Artikel Popular

Saturday, May 26, 2012

Krisis Ekonomi China

SABTU, 26 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Republik Rakyat Skandal terus menjadi perhatian media dan para pengulas, antaranya James Fallows dan Robert D. Kaplan,  yang merangkumi pelbagai aspek, termasuk hubungan dengan negara jirannya. Fareed Zakaria yang turut menyumbang  untuk rencana utama Time, iaitu tentang kepulangan politik di China, sekali lagi muncul dalam The Washington Post dengan krisis ekonomi negara itu. Fareed memulakan tulisannya dengan membahaskan pergelutan kuasa di China berikutan penyingkiran Bo Xilai, ketua Parti Komunis yang sangat berkuasa di Chongqing, yang menggunakan populisme, wang, dan komplot untuk menuju ke puncak.

"China mungkin mampu mengharungi krisis politiknya," tulis Fareed, tetapi negara itu mendepani cabaran yang lebih mendesak, iaitu krisis ekonomi."  Selama tiga dekad, pertumbuhan ekonomi China amat menakjubkan, iatu 9.5 peratus secara purata setahun. Akan tetapi, hujah beliau, hal ini bukan tidak pernah berlaku sebelum ini.  Jepun, Korea Selatan, dan Taiwan semuanya mengalami pertumbuhan hampir sembilan peratus setahun selama kira-kira dua dekad, dan kemudian mula perlahan.  Banyak orang berfikir bahawa nasib China adalah seperti Jepun, yang runtuh pada tahun 1990-an dan belum bangkit semula.  Akan tetapi, senario yang lebih realistik di Jepun pada tahun 1970-an apabila pertumbuhan harimau Asia asal perlahan, iaitu daripad sembila peratus kepad kira-kira enam peratus.  Korea dan Taiwan mengikut laluan yang sama.

Fareed menjelaskan bahawa punca kemerosotan ini ialah kejayaan.  "Dalam setiap kes, ekonomi mewujudkan tahap pendapatan pertengahan.  Memang  menjadi lebih sukar untuk tumbuh pada rentak terlalu laju apabila anda mempunyai ekonomi dan masyarakat kelas menengah yang besar."  Meskipun kelas menengah di Amerika Syarikat dikatakan merosot, dijangkakan kumpulan ini berkembang sebanyak satu juta orang pada dekad akan datang, kebanyakannya di Asia, termasuk China. Kewujudan golongan kelas menengah dipercayai penting untuk pertumbuhan ekonomi, tetapi Fareed nampaknya mempunyai pendirian yang berbeza.

Data yang lemah mula kelihatan di China apabila baru-baru ini dilaporkan bahawa sektor pembuatannya merosot selama tujuh bulan berturut-turut. Bank Dunia dalam unjuran terbaharunya mengurangkan pertumbuhan ekonomi China pada tahun 2012,  daripada 8.4 peratus kepada 8.2 peratus juga kadar yang sama dijangkakan oleh Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) baru-baru ini. Dalam suku pertama tahun 2012, ekonomi China jatuh kepada 8.1 peratus, terendah dalam masa tiga tahun, tetapi dijangkakan melantun semula dalam bulan mendatang. 

Arthur Kroeber yang menulis dalam Foreign Policy, memerhatikan pertumbuhan ekonomi negara itu  adalah terutamanya mengenai penggemblengan sumber, dan bukannya kecekapan sumber. Kira-kira dua pertiga pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar tahunan China disumbangkan oleh tambahan modal dan buruh. Hanya satu pertiga datangnya daripada kecekapan yang lebih besar dalam penggunaan sumber. Kelajuan pertumbuhan ekonomi negara itu dikatakan mula "melanggar tembok."  Selain itu, bagi China, bahas Austin Ramzy, pertumbuhan ekonomi tidak selalunya kegembiraan yang sama.

China boleh dikatakan tidak terlepas daripada radar The Economist, daripada "paradoks kemakmuran" kepada "barbarian di tepi pintu kota," seterusnya, laporan khas tentang ekonomi China. Dalam carta hariannya, majalah itu menafikan bahawa pertumbuhan China disumbangkan oleh eksport, seperti yang banyak orang percaya, sebaliknya sumbangan pelaburan yang tinggi, jauh lebih tinggi daripada keajaiban Asia sebelum ini, seperti Korea Selatan dan Jepun. 





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...