Artikel Popular

Monday, May 7, 2012

Berakhirnya Sarkozy, Berkuburnya Jimat-cermat

ISNIN, 7 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Seperti yang dijangkakan secara meluas, akhirnya Pilihan Raya Presiden Perancis menyaksikan kemenangan kepada calon Sosialis, Francois Hollande, menewaskan Presiden Nicolas Sarkozy.  Seperti yang diketahui, Hollande mendahului Sarkozy sejak awal lagi, seterusnya dalam pusingan pertama, dan akhir sekali pusingan kedua,   meskipun tinjauan pendapat terakhir, menunjukkan bahawa penjawat kini memperlihatkan kemaraannya

Sejak kempen bermula, ulasan yang  popular ialah berakhirnya Sarkozy, dan kekalahan beliau dalam pusingan pertama yang tidak pernah terjadi mana-mana Presiden Perancis sebelum ini.   mengesahkan semua jangkaan itu. Dalam kempen pilihan raya, Sarkozy disindir menerusi "perang coli"  yang secara simbolik, mencerminkan penolakan rakyat.  Selain itu,   beliau dikatakan bergelut dengan pelbagai masalah, baik peribadi mahupun dasar.  Akibatnya, Presiden yang luar biasa tumbang.    Sarkozy menyertai kumpulan para pemimpin Eropah yang tumbang akibat krisis ekonomi, iaitu beliau menjadi mangsa ke-11

Tewas dalam pusingan pertama, iaitu memperoleh 27.2 peratus undi berbanding dengan Hollande yang memperoleh 28.6 peratus, Sarkozy dari segi matematik menempuh laluan yang sukar. Beliau mengharapkan sokongan Marine Le Pen, tetapi calon Barisan Nasional yang berjaya meraih 6.4 juta undi (18 peratus) dalam pusingan pertama pada 22 April lalu, mengambil pendirian "mengundi kertas kosong" dan menyeru para penyokongnya "mengundi mengikut hati nurani mereka." Meskipun dijangkakan 60 peratus penyokongnya akan memihak kepada Sarkozy, jumlah ini tidak dapat mengimbangi sokongan calon tengah Francois Bayrou dan calon kiri keras Jean-Luc Melenchon kepada Hollande,  yang masing-masing memperoleh sembilan peratus dan 11 peratus undi dalam pusingan pertama.  

Pilihan Raya Presiden kali ini, memetik John Lichfield yang menulis dalam The Independent, "Perancis berpecah belah, dan Eropah terpaksa membayar harganya."  Mengakui bahawa Hollande akan mencipta kemenangan sambil mengingatkan sesiapa jua yang menang, akan wujud akibatnya.  

Keputusan pilihan raya itu, menurut The Economist, merupakan simbolik untuk puak kanan dan juga puak kiri.  Sarkozy tercatat dalam buku sejarah hanya sebagai Presiden kedua, selepas Valery Giscard d'Estaing pada tahun  1981, gagal untuk memenangi penggal kedua sebagai Presiden di Republik Kelima.  Bagi Parti Sosialis, selepas 17 tahun menunggu, akhirnya parti berkenaan kembali berkuasa.

Kemenangan Hollande itu, menurut Time,  selain kerana rakyat mahukan perubahan dasar, juga ditafsirkan sebagai celaan atau kritikan peribadi terhadap Sarkozy yang tidak popular dan dilanda masalah. Kemenangan itu juga dipercayai  mempunyai implikasi terhadap krisis hutang Eropah, perang di Afghanistan, dan diplomasi global. 

Anne Sinclair yang menulis dalam The Huffington Post mengimbas kembali bagaimana Sarkozy yang begitu popular pada tahun 2007, akhirnya ditolak oleh rakyatnya sendiri, manakala Hollande yang mencipta kemenangan yang tidak banyak orang jangkakan dua tahun lalu, bahkan sesetengahnya meragui kemampuan beliau. Namun, Sinclair tetap memberikan harapan dan kepercayaan terhadap ketua negara Perancis yang baru ini. 

Hollande menyambut kemenangannya dengan berjanji untuk mengubah cara Eropah menangani krisis ekonomi dengan melawan balik langkah jimat-cermat yang diterajui oleh Jerman. "Tarikh 6 Mei sepatutnya merupakan tarikh agung untuk negara kita, permulaan baru untuk Eropah, harapan baru untuk dunia.  Saya pasti bahawa di banyak negara Eropah, wujud kelegaan, harapan bahawa akhirnya jimat-cermat bukan tidak dapat dielakkan."  Beliau menjelaskan bahawa misinya adalah menemui para pemimpin Eropah untuk menuntut supaya mengambil langkah untuk "pertumbuhan, pekerjaan, dan kemakmuran."  Langkah pertama beliau sebagai Presiden ialah mendesak Jerman untuk merundingi semula perjanjian disiplin belanjawan Eropah, dengan memasukkan klausa pertumbuhan.



Para pengundi Perancis dan Greece,  tegas Anthony Faoila dalam The Washington Post, jelas menolak jimat-cermat. Mereka melukis semula peta politik Eropah pada hari Ahad sebagai tindak balas yang sungguh kuat terhadap cara Jerman menangani krisis hutang di benua itu, iaitu pelaksanaan  jimat-cermat yang menyakitkan. 

Walau bagaimanapun, Robert Reich mengingatkan bahawa kemenangan Hallonde bukan bermakna bahawa sosialisme adalah jawapannya untuk Eropah dan tempat-tempat lain.  Sebaliknya,  jawapannya ialah pembaharuan kapitalisme menerusi penyebaran yang lebih baik faedah revolusi produktiviti.  


Jimat-cermat yang membawa keburukan terhadap ekonomi yang pemulihannya masih lemah, juga tidak membawa kebaikan dari segi politik kerana para pengundi, seperti yang berlaku di Eropah, menterjemahkan keberangan mereka terhadap langkah jimat-cermat kerajaan mereka melalui peti undi.  Dengan kata lain, referendum terhadap jimat-cermat, dan seperti yang dirumukan oleh Larry Elliott:  Kemelesetan + Jimat-cermat = Hilang kuasa politik, yang menyaksikan kebangkitan semula Parti Buruh dalam Pilihan Raya Tempatan, manakala kerajaan Pakatan tersungkur. 


Selain Perancis, rakyat Greece yang mengundi untuk Pilihan Raya Parlimen negara itu juga menunjukkan keberangan mereka terhadap jimat-cermat yang membawa kesengsaraan kepada mereka.  Di negara itu, dua parti yang menyokong pelan penyelamat kehilangan majoriti mereka


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...