Artikel Popular

Tuesday, May 1, 2012

Gerakan Menduduki dan Hari Pekerja

SELASA, 1 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Menjelang Hari Pekerja, Noam Chomsky menulis bahawa orang ramai seakan-akan mengetahui Hari Buruh di mana-mana sahaja, kecuali di manakah hari itu bermula, iaitu di sini, Amerika Syarikat.  Hal ini demikian kerana mereka yang berkuasa melakukan apa-apa sahaja yang dapat  memadamkan maknanya yang sebenar.  

Tulis beliau lagi, hari ini, wujud kesedaran yang diperbaharui, ditenagakan oleh gerakan Menduduki yang mengatur rancangan sekitar Hari Pekerja, dan kerelevanannya untuk melakukan pembaharuan dan mungkin akhirnya revolusi. "Jika anda revolusioner yang serius, maka anda tidak mencari revolusi autokratik, tetapi revolusi popular yang bergerak ke arah kebebasan dan demokrasi.  Revolusi ini berlaku hanya jika rakyat jelata melaksanakannya, menjalankannya, dan menyelesaikan masalah."

Tahun ini, sebagaimana beberapa tahun lalu, Hari Pekerja disambut di tengah-tengah kemuraman ekonomi, apabila  kemelesetan melanda semula beberapa buah negara, yang terbaharu, Sepanyol, sebelum ini, Britain,  manakala  pemulihan, misalnya Amerika Syarikat dengan kadar pertumbuhan suku pertama 2012, hanya 2.2 peratus, dikhuatiri  tiba-tiba kaku. Sementara kadar pengangguran di peringkat global, menurut Pertubuhan Buruh Antarbangsa (ILO) adalah muram, dengan 50 juta pekerjaan kurang jika dibandingkan dengan sebelum kemelesetan bermula pada tahun 2008. Dalam laporan tahunan terbaharunya, ILO menyatakan "pemulihan tidak kelihatan dalam pasaran buruh."

Keadaan ini diperburukkan lagi oleh tindakan kerajaan beberapa buah negara, terutamanya di Eropah yang begitu ghairah melaksanakan  jimat-cermat atas alasan mengurangkan defisit, tetapi para pekerja terpaksa menanggung akibatnya. 


Walau bagaimanapun, para pekerja masih bersemangat dan bertenaga untuk menghadapi pelbagai tekanan, bangkit menentang, antaranya terhadap langkah jimat-cermat kerajaan, seperti yang berlaku di Eropah khususnya, dan terhadap ketidaksamaan agihan pendapatan serta penguasaan kekayaan,   Menduduki Wall Street.  Bersempena Hari Pekerja, gerakan ini dilaporkan oleh Bloomberg,  merancang untuk melancarkan protes global. Mereka menyeru supaya diadakan mogok umum dengan tidak bekerja, tidak bersekolah, tidak ada perbankan, dan tidak ada beli-belah muncul pada laman web di Toronto, Barcelona, London, Kuala Lumpur, dan Sydney, antara beratus-ratus kota di Amerika Utara, Eropah, dan Asia. 


Setelah meninjau sejarah Hari Pekerja yang disambut di peringkat antarabangsa, kecuali di Amerika Syarikat, Peter Dreier, yang menulis dalam The Nation bahawa Hari Pekerja menyuntikkan nafas baru kepada gerakan Menduduki yang melancarkan semula tindakan protes mereka.  Gabungan Menduduki di sesetengah kota menyeru "mogok umum" Hari Pekerja menuntut pekerjaan untuk semua, hak kaum imigran, penangguhan perampasan rumah, dan pengiktirafan perumahan, pendidikan, dan kesihatan sebagai hak asasi manusia.  Gerakan ini dikatakan akan mengambil kesempatan daripada mood di Amerika Syarikat yang semakin membara terhadap "99 peratus melawan satu peratus."


Dengan seruan "mogok umum" ini, tegas Allison Kilkenny dalam The Nation,  "Menduduki Wall Street berharap sekali lagi mendapat perhatian."  Mogok umum dikatakan merupakan cara terbaik untuk melumpuhkan kapitalisme, seperti yang "diwasiatkan" oleh   Rosa Luxemburg


Bersempena Hari Pekerja, gerakan Menduduki Wall Street yang dari sejarah,  wujud di Amerika Syarikat 150 tahun yang lalu, bertenaga semula. 



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...