Artikel Popular

Friday, April 3, 2020

Pasca-PRK Tanjung Piai: Protes yang Berpanjangan


JUMAAT, 3 April 2020
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Pada petang 16 November 2019, saya minum kopi bersama-sama seorang kawan saya sambil mengikuti liputan pilihan raya kecil (PRK) melalui telefon bimbit masing-masing. Meskipun pusat mengundi baru sahaja ditutup,  media sosial  daripada blok Barisan Nasional (BN) mula menunjukkan bahawa kemenangan memihak kepada mereka. Apabila satu demi satu keputusan awal diketahui, semakin jelas bahawa Pakatan Harapan akan mengalami satu lagi kekalahan dalam PRK yang diadakan di Semenanjung.
            Kawan saya memberitahu bahawa beliau  mengikuti kempen di Tanjung Piai, yang pastinya tidak memeranjatkan sekiranya Bersatu sekali lagi kehilangan kerusi, seperti yang berlaku di Dewan Undangan Negeri Semenyih. Sambutan orang ramai di sana terhadap setiap kempen yang diadakan oleh BN jelas menunjukkan bahawa mereka akan memilih calon parti itu. “Dalam kempen yang diadakan oleh BN di kawasan Melayu, kelihatan ramai orang Cina dan begitu juga sebaliknya. Ceramah kelompok PH jelas tidak mendapat sambutan orang ramai.”
Khusus untuk ceramah MCA, sambutan orang Cina diibaratkan sambutan mereka terhadap setiap ceramah DAP dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 dan sebelum itu. Segala-galanya berubah di Tanjung Piai yang sejak awal lagi menandakan satu “arus balik” akan berlaku. Perubahan yang berlaku secara mendadak yang tidak mampu dibendung dengan kudap-kudapan dan pelbagai harapan yang dijanjikan semasa kempen, pasti ada puncanya.  Apa yang berlaku dalam PRU lalu, yang menyaksikan ceramah BN  secara keseluruhannya, tidak dipedulikan oleh orang ramai, kini berjangkit kepada PH.
            Sambil menghirup kopi dan mengikuti laporan keputusan, saya bertanya kepada kawan saya, “Adakah momentum kemenangan BN sejak PRK Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, dan kini, Tajung Piai  akan berterusan hingga pilihan raya umum akan datang?” Jawab kawan saya, “Belum pasti kerana kejayaan BN dalam kesemua PRK itu berpunca daripada keberangan rakyat terhadap PH. Sekiranya PH  yang merupakan parti kerajaan dapat meredakan keberangan itu, seperti menunaikan beberapa janji dalam manifesto dan mengurangkan kesengsaraan hidup rakyat, maka BN akan kehilangan modal besar mereka.”
            Ketika kami berpisah kira-kira jam 7.00 malam, berdasarkan keputusan demi keputusan yang dilaporkan, calon BN jauh mendahului saingan utamanya, calon PH daripada  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Nampaknya PH, khususnya Bersatu sekali lagi akan menghadapi malam yang panjang.
            Menepati jangkaan banyak pihak, termasuk tinjauan pendapat Ilham Centre dan saya sendiri, keputusan rasmi menunjukkan bahawa calon BN,  Wee Jeck Seng memenangi PRK Parlimen Tanjung Piai,  memperoleh 25,466 undi, menewaskan calon lain, iaitu  Karmaine Sardini calon Bersatu yang  memperoleh 10,380 undi,  calon Gerakan, Wendy Subramanian menerima 1,707 undi,  calon Berjasa, Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz memperoleh 850 undi, dan dua  calon bebas, iaitu  Dr. Ang Chuan Lock memperoleh 380 undi dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar, 32 undi. Keputusan majoriti 15,086 undi memang di luar jangkaan  pemimpin politik, pemerhati politik, dan pekerja parti yang bertanding, bahkan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri memberitahu beberapa hari selepas itu,  bahawa beliau menjangkakan calon partinya kalah kira-kira 2000 undi.
            Keputusan  itu  ditafsirkan oleh cerdik pandai politik sebagai pungutan suara kepada  Tun Mahathir. Bahkan, terdapat dalam kalangan pemimpin parti komponen PH,  belum sempat bermalam, menyasarkan kritikan mereka terhadap beliau. Sesetengah  cerdik pandai mentafsirkan kekalahan Maruah Melayu di tangan Muafakat Nasional, kekalahan Bersatu yang kaya dengan sumber di tangan perang gerila UMNO, dan kegagalan kempen “Buy Muslim First” atau BMF. Seorang ahli akademik tempatan yang menganalisis keputusan PRK itu, mengibaratkan PH ‘kiambang yang sentiasa memerlukan air untuk terapung.”   Perlu ditambah di sini: Retorik Malaysia Baharu menjadi basi dalam sekelip mata.
            Seperti lazim, “orang yang  menang selalunya betul,” manakala yang kalah serba tidak kena dan serba-serbi  kekurangan. Kekalahan calon parti pemerintah  dalam majoriti yang memeranjatkan banyak pihak;  tambahan pula, berlaku dalam tempoh kira-kira satu tahun setengah. Tatkala BN tersenyum lebar meraikan kemenangan,  PH bertelagah sesama sendiri meratapi kekalahan yang sungguh dramatis itu. Selain Tun Mahathir, pemimpin DAP, seperti Lim Kit Siang; demikian juga, Anwar yang dipersalahkan kerana tindak-tanduknya yang jelas tidak sabar untuk menjadi Perdana Menteri sehingga para pengundi naik meluat dan bosan. Perpaduan yang longgar atau pertelagahan dalam kalangan parti komponen PH turut menyumbang kepada kekalahan teruk calon PH.
            Berdasarkan pemerhatian saya ketika mengikuti kempen di Tanjung Piai, jelas bahawa BN mendahului PH dari banyak segi, dan yang ketara dalam “permainan padang.” Penyelarasan gerak kerja dalam kalangan parti PH, yang terdiri daripada Bersatu, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, dan Parti Amanah Negara (Amanah) memang lemah dan tidak kelihatan bergerak sebagai satu pasukan. Bahkan, pada hari pengundian, menurut laporan media, petugas daripada PKR, DAP, dan Amanah meninggalkan jentera kempen Bersatu seorang diri.
Jelas bahawa setelah memberikan sokongan kepada PH sehingga berjaya menumbangkan kerajaan BN yang memerintah selama 60 tahun, para pengundi mula berpaling tadah, kerana kegagalan kerajaan PH menunaikan segala janji manis mereka dalam PRU lalu. Dengan pelbagai retorik   yang secara terang-terangan memperlekeh atau mempersendakan   rakyat jelata: manifesto bukan kitab suci, baru kahwin malam ini, mustahil esok dapat anak, tanam durian memerlukan masa lima enam tahun untuk mengeluarkan hasil.
            Penyakit yang melanda BN ketika pimpinan Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi seakan-akan mula mendekati  PH. Kita selalu mendengar orang berkata, “yang pasti, kunci kegagalan ialah apabila kita cuba memuaskan hati setiap orang.” Selepas menang besar dalam PRU 2004, kepimpinan Tun Abdullah ditanggapi sebagai “tidak cuba memuaskan hati setiap orang” yang jelas kelihatan ketidakgiatan untuk menangani pelbagai isu yang berbangkit. Akibatnya,  orang Melayu dan bukan Melayu marah, sehingga menyebabkan BN kalah teruk pada tahun 2008, iaitu hilang empat negeri, iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak, dan Selangor, gagal menawan Kelantan, serta hilang majoriti dua pertiga di  Dewan Rakyat.
            Khusus  bagi orang Melayu  keluh-kesah dan perasaan tidak puas hati mereka   semakin menjadi-jadi. Mereka secara terbuka menjauhkan diri mereka daripada PH. Sejak PRK Sungai Kandis tahun 2018 lagi, orang Melayu mula menjauhkan diri mereka daripada PH, seperti yang dapat dilihat dalam beberapa PRU yang menyusul selepas itu. Trend ini jelas kelihatan sejak PRK Cameron Highlands, Setakat ini, PH gagal menambat hati orang Melayu, serta  gagal meredakan  ancaman yang ditanggapi dalam diri orang Melayu  yang merupakan golongan majoriti. Di Tanjung Piai, orang Melayu yang merupakan 57.6 peratus pengundi,  dengan jelas, menterjemahkan keluh-kesah    mereka.
Dalam PRU lalu, di Semenanjung, 25 peratus orang Melayu mengundi PH, manakala 75 peratus kepada BN dan PAS. Oleh sebab itu, dikatakan kekalahan BN sebagai kejatuhan kuasa politik Melayu. Kini UMNO dan PAS menjalinkan kerjasama melalui Muafakat Nasional.  Pemerhatian saya dalam PRK Tanjung Piai jelas bahawa kerjasama UMNO-PAS memperlihatkan impak yang ketara. Para penyokong PAS, baik dari Johor mahupun luar Johor memberikan sokongan kuat dan menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap calon BN daripada MCA itu, tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran. PH tidak boleh memandang rendah terhadap kerjasama UMNO-PAS yang boleh dianggap gabungan nasionalis-Islamis  dalam mencorakkan politik tanah air terutamanya dalam kalangan orang Melayu-Islam, meskipun kerjasama itu cuba diberikan beberapa gelaran negatif.
Sesuatu yang memeranjatkan berlaku dalam PRK Tanjong Piai apabila  orang Cina yang merupakan 41.4 peratus pengundi, beranjak secara ketara daripada PH kepada BN.  Sebagaimana orang Melayu, mereka juga tidak puas hati terhadap prestasi  kerajaan, terutamanya dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat. Mereka juga marah kerana kerajaan PH gagal menunaikan segala janji yang ditaburkan dalam PRU lalu. Mereka  tidak puas hati terhadap langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan dan isu Zakir Naik. Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menghentikan geran  pada tahun 2019 dan 2010, untuk Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai TAR UC, mencetuskan kemarahan pengundi Cina kerana bagi mereka, tidak semua orang Cina mampu menghantar anak-anak mereka ke universiti swasta yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Bagi para pengundi yang terdiri daripada pekebun kecil kelapa sawit, mereka tidak berasa puas hati terhadap Menteri Industri Utama, Teresa Kok yang dianggap gagal menangani kejatuhan harga kelapa sawit yang merupakan periuk nasi mereka. Sementara orang Melayu beranggapan bahawa kerajaan PH dikuasai oleh DAP, orang Cina pula beranggapan bahawa para pemimpin parti itu sejak menjadi  kerajaan mula kehilangan suara kecinaan.
Ilham Centre   meramalkan 76 peratus pengundi Melayu memilih BN berbanding 21 peratus untuk PH, manakala bakinya, tiga peratus untuk calon Berjasa. Pengundi Cina pula, diramalkan 62 peratus memilih BN berbanding dengan 35 peratus untuk PH dan tiga peratus untuk Gerakan. Dalam PRK ini, menurut analisis Ilham Centre, BN memenangi kesemua 27 pusat daerah mengundi (PDM) dan memenangi 124 daripada 125 saluran mengundi. Dalam PRU lalu, PH memenangi  11 daripada 27 PDM (majoriti Cina), manakala BN memenangi   selebihnya (majoriti Melayu). Dalam PRU lalu, PH memenangi 49 daripada 128 saluran, manakala BN memenangi selebihnya, iaitu  79 saluran.
            Daripada keputusan di Tanjung Piai jelas bahawa politik jati diri, iaitu kaum dan  tidak mempengaruhi para pengundi, meskipun wujud kempen “BMF.”  Bahkan, taraf iman  Karmaine tidak memberikan sebarang impak dan gagal mencabar kebolehpercayaan para pengundi terhadap Wee Jeck Seng. Keputusan BN meletakkan Wee daripada MCA yang pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan itu dianggap langkah bijak. Meskipun ada ura-ura UMNO mahu calon parti itu diturunkan, pucuk pimpinan BN atas semangat setiakawan, menurunkan semula Wee yang kalah dalam PRU lalu. Kejayaan beliau menang dengan meraih  majoriti besar tidak akan diperoleh  sekiranya calon UMNO  mewakili BN. Silap-silap MCA boleh berpaling tadah. Anehnya, UMNO dan PAS yang bekerja bermati-matian dan bertungkus-lumus untuk memastikan kemenangan calon Cina itu digembar-gemburkan oleh PH dan pihak yang menentang politik jati diri dengan menuduh kedua-dua parti itu menggadai Muafakat Nasional.
            Sebagai perbandingan, BN yang kehilangan kuasa dengan cepat menyesuaikan diri mereka sebagai pembangkang dan seterusnya membina semula kekuatan. Sebaliknya, PH yang berkuasa masih kelihatan sukar untuk memperlihatkan dan menyesuaikan diri mereka sebagai kerajaan. Ahli politik PH ada yang masih lagi terbawa-bawa dengan tindak-tanduk pembangkang mereka selama ini, padahal mereka kini kerajaan. Dalam ketidakmampuan dan kebuntuan mereka memenuhi pelbagai tuntutan rakyat yang ada kalanya bercanggah antara satu sama lain, ahli politik dan menteri PH  tidak henti-henti menyalahkan kerajaan BN dan bekas Perdana Menteri Mohd. Najib Razak, padahal “bola kini di kaki mereka sendiri.”
            Dalam PRU lalu, PH menggunakan skandal 1MDB untuk menyerang BN dan menjadikan Najib Razak (dan isterinya, Rosmah Mansor) sebagai “tebusan,” dan langkah ini  sungguh berkesan dan menjadi. Namun begitu, taktik  itu,  tidak lagi berkesan kerana BN telah dijatuhkan melalui kuasa rakyat dan Najib bukan sahaja tidak berkuasa lagi, tetapi beliau juga diheret ke muka pengadilan dengan  berpuluh-puluh tuduhan. Di Tanjung Piai, para pengundi tidak lagi terpengaruh dengan taktik  PH yang menyalahkan Najib dan mendedahkan skandal 1MDB.
            Jelas bahawa Muafakat Nasional berjaya mempengaruhi pengundi Melayu di Tanjung Piai. Oleh sebab Muafakat Nasional didukung oleh UMNO dan PAS, maka mereka tidak teragak-agak untuk mengundi calon bukan Melayu. Oleh sebab pengundi Melayu lebih mempercayai  kedua-dua parti ini dalam menentukan untung nasib dan  masa hadapan mereka,  maka mereka tidak mengendahkan  segala  kempen PH untuk memburukkan MCA dan Wee Jeck Seng yang dikatakan,  kononnya anti-Melayu dan anti-Islam.
            Jika kita perhatikan beberapa PRK, termasuk di Tanjung Piai,  PH masih tidak berupaya menebus “defisit” keyakinan orang Melayu, bahkan keadaan semakin melebar. Tindakan orang Melayu menjauhkan diri mereka daripada PH, dijangkakan semakin ketara selepas Tun Mahathir berundur kelak.
            Meskipun terlalu awal untuk kita menilai penerimaan orang Melayu terutamanya, terhadap Muafakat Nasional, kejayaan calon BN meraih kemenangan majoriti yang besar dengan merampas kerusi Parlimen Tanjung Piai, riak awal mula kelihatan yang menunggu detik dan ketika untuk berubah menjadi gelombang besar. Selain faktor Muafakat Nasional, faktor calon BN, iaitu Wee juga menyumbang kepada kejayaan besar BN. Ringkasnya, Muafakat Nasional bukannya suatu kelebihan mutlak  BN. Namun begitu, perlu diingatkan bahawa Johor merupakan negeri kelahiran UMNO dan negeri itu merupakan kubu UMNO. Kejatuhan Johor ke tangan PH, punca utamanya ialah orang Melayu ketika itu marah akan kerajaan pimpinan Najib Razak.
            Muafakat Nasional berjaya dalam percaturan pertama, dan kejayaan itu diraih di negeri yang boleh dianggap “kosmopolitan” yang penduduknya berbilang kaum. Pastinya, kita dapat dijangkakan, Muafakat Nasional tidak menghadapi laluan sukar untuk mara di negeri yang penduduk majoriti Melayu: Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, dan pada takat tertentu, Perak.
Namun begitu, Bekas Perdana Menteri British, Harold Wilson pernah berpesan, “dalam politik, satu minggu satu tempoh yang panjang” dan apa-apa sahaja boleh berlaku. Sesuatu yang perlu dihayati  oleh ahli politik kita, baik PH mahupun BN. Kemarahan rakyat terhadap kerajaan PH yang dimanfaatkan sebaik mungkin oleh BN, mungkin akan reda sebelum PRU ke-15. Jika demikian, BN akan kehilangan tanah yang subur untuk menyemaikan kemarahan rakyat, dan sekali gus Muafakat Nasional akan hilang serinya.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...