SELASA, 23 April 2019
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Penulis buku Sistem Perakaunan dalam Islam (Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993, RM50.00), memulakan perbincangan tentang pemilikan
harta menurut Islam. Walaupun pemilik harta yang sebenar ialah Allah
S.W.T., Islam tidak pula menghalang
umatnya daripada memiliki harta. Pemilikan harta menurut Islam berdasarkan
pemilikan semula jadi, pemindahan milik, dan pusaka. Jenis pemilikan harta
terdiri daripada milik perseorangan, milik awam,dan pemilikan bersama.
Islam juga, menurut penulis buku ini, iaitu
Muhammad Kamal `Atiyah, mengenakan beberapa
peraturan terhadap pemilikan harta, iaitu larangan pembekuan harta, larangan
pembaziran dan bakhil, larangan membiarkan tanah tanpa diusahakan, menahan
perbelanjaan yang wajib, larangan menggunakan cara yang tidak betul bagi
pemilikan harta, perlunya akhlak yang mulia dalam mencari harta, berusaha
mencari harta yang halal, dan keseimbangan antara kepentingan awam dengan
kepentingan individu.
Peraturan ini membuktikan bahawa Islam tidak
memandang hina terhadap harta dan tidak menyeru umatnya supaya meninggalkan
harta. Oleh yang demikian, Islam mewajibkan harta yang berlebihan dilaburkan
setelah ditunaikan hak Allah dan hak manusia, dan bukannya disimpan beku.
Pelaburan ini akan memberi manfaat kepada umat manusia.
Selain harta, Islam mementingkan modal, iaitu
modal asas yang merupakan bahagian harta atau wang yang dikhaskan untuk
memulakan sesuatu projek perniagaan. Harta yang dilaburkan dalam sesuatu projek
perniagaan dikenali sebagai harta perniagaan yang mempunyai maksud yang lebih
luas jika dibandingkan dengan modal kerana harta perniagaan meliputi semua
harta yang terdapat dalam projek berkenaan.
Keuntungan pula menjadi pelindung kepada
modal, dan oleh itu, keuntungan tidak boleh diagihkan kepada pemegang saham
sesuatu projek, melainkan setelah modal asas terjamin. Menurut pemikiran Islam,
keuntungan bersih, keuntungan disimpan, dan keuntungan yang diagihkan hendaklah
dinyatakan dalam sistem perakaunan. Begitu juga dengan segala kerugian - perlu
dikira dalam sistem perakaunan.
Oleh sebeb Islam memberikan perhatian kepada
harta, modal, dan pengiraan keuntungan serta kerugian, maka Islam mementingkan
sistem perakunan yang bersumber daripada tujuan kerohanian, keagamaan, dan
kenegaraan.
Islam menggalakkan umatnya menceburi kegiatan
ekonomi yang halal atau diharuskan oleh syarak, seperti pemburuan, pengusahaan
(sama ada menggunakan tangan ataupun fikiran), pertanian, perkilangan,
perlombongan, dan perdagangan atau perniagaan.
Sehubungan dengan itu, Islam menyuruh
pemegang harta supaya menggunakan cara yang paling baik untuk melaburkan harta.
Pelaburan itu mestilah bersesuaian dengan kepentingan masyarakat dan bukannya
memudaratkan mereka. Dengan usaha pelaburan, maka kemakmuran masyarakat dan
kekayaan negara akan meningkat.
Islam mengemukakan beberapa panduan
pelaburan. Bidang pelaburan yang
paling baik mestilah dipilih, iaitu mengikut keutamaan
kemanusiaan, seperti keperluan asas, keperluan penggenap, keperluan tambahan.
Bidang pelaburan itu menjadi sumber rezeki sebanyak mungkin untuk memenuhi
keperluan makanan manusia. Pelaburan itu bertujuan membasmikan kemiskinan dan
merapatkan jurang perbezaan agihan pendapatan dan kekayaan. Harta perlu dijaga
dan dikembangkan dengan menggunakan nilai bersih semasa bagi satu-satu projek.
Dalam pelaburan, kepentingan generasi kini dan akan datang perlu dipertahankan.
Kesan sesuatu projek terhadap tenaga buruh, kadar upah, gaji, dan pulangan
kepada masyarakat perlu diteliti. Keuntungan pelaburan itu mesti tidak
bertentangan dengan syarak, iaitu keuntungan berpatutan dengan sumber hasil dan
tidak melakukan penindasan. Kos yang ditanggung oleh masyarakat kerana
pelaburan patut diambil kira dan diukur dengan kaedah perakaunan secara ilmiah.
Oleh sebab Islam menggalakkan umatnya
menceburi kegiatan ekonomi, maka Islam mengharamkan monopoli dalam perniagaan
kerana amalan ini mengancam kebebasan perdagangan.
Sebagaimana monopoli, Islam juga mengharamkan
riba kerana menurut dasar Islam, wang tidak melahirkan wang. Riba bukannya
pulangan kepada faktor pengeluaran, iaitu modal kerana pulangan mengandungi
unsur usaha dan modal digabungkan dengan risiko.
Menurut penulis lagi, di samping agama Islam,
agama-agama Samawi yang lain, seperti agama Yahudi dan agama Kristian
mengharamkan amalan riba dalam kalangan penganut mereka.
Dalam buku ini, Muhammad Kamal `Atiyah
membincangkan aspek ekonomi, kewangan, dan perakaunan Islam dengan terperinci
hasil daripada kajian yang komprehensif serta membezakan ekonomi, kewangan, dan
perakaunan Islam dengan konvensional.
(Dewan Ekonomi,
Mei 1993.)
No comments:
Post a Comment