KHAMIS, 4 April 2019
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Carroll Quingley yang
menunjukkan hubungan antara peradaban dengan ekonomi, menyatakan peradaban berkembang kerana peradaban mempunyai suatu
“alat pengembangan,” iaitu organisasi ketenteraan, keagamaan, politik, atau
ekonomi yang menghimpunkan lebihan dan melaburkannya ke dalam inovasi yang
produktif. Mengikut pengertian moden,
kita mengatakan bahawa kadar pelaburan
telah menurun. Hal ini berlaku kerana
kelompok sosial yang menguasai lebihan itu mempunyai kepentingan sendiri yang
menggunakannya bagi “maksud tidak produktif, tetapi bagi tuntutan hawa nafsu...
yang mengagihkan lebihan itu kepada penggunaan, tetapi tidak mewujudkan kaedah
pengeluaran yang lebih berkesan.” Orang menghabiskan modal mereka dan
peradaban beralih daripada peringkat
keadaan sejagat kepada peringkat kemerosotan.
Beliau menyentuh
tempoh kemerosotan ekonomi yang amat genting, kemerosotan taraf hidup,
perang saudara antara pelbagai pihak yang berkepentingan dan peningkatan kadar
buta huruf. Semakin lama masyarakat
menjadi semakin lemah. Usaha yang
sia-sia dibuat untuk menyekat pembaziran melalui perundangan. Namun begitu, tahap kemerosotan ini terus
berlaku. Tahap keagamaan, intelek, sosial, dan politik masyarakat juga mula
kehilangan kesetiaan dalam kalangan rakyat jelata secara besar-besaran. Gerakan
agama yang baharu mula melanda seluruh masyarakat. Orang semakin keberatan untuk berjuang demi
masyarakat atau untuk menyokongnya dengan membayar cukai. Quingley melihat
hubung kait kemajuan ekonomi dengan kebangkitan peradaban, demikian juga
sebaliknya.
Dalam membincangkan peradaban kapitalis, Immanuel
Wallerstein, memperkenalkan konsep imejan Kristian, iaitu Four Horsemen of the Apocalypse.
Keempat-empatnya itu ialah peperangan (perang antara manusia, antara negara),
perang saudara, kebuluran, dan kematian akibat wabak, plag, atau binatang liar.
Four Horsemen ini tegas Wallerstein dalam bukunya, Historical
Capitalism with Capitalist Civilization merupakan seram dunia, pengganggu keamanan,
keseronokan, dan kepuasan. Tambah beliau, peradaban kapitalis adalah luar biasa
dalam meletakkan tuntutannya terhadap kemampuan untuk memperoleh “melampaui
sejarah” dalam sejarah, untuk
menyelesaikan dilema kejahatan dan kecelakaan yang tidak dapat dielakkan, untuk mewujudkan negara beraja Tuhan
di atas muka bumi ini; secara ringkasnya, untuk mengatasi ancaman Four Horsemen of the Apocalypse. Sejak mula lagi, orang yang meraikan
menegaskan bahawa kapitalisme sebagai sistem sejarah, akan sejak mula-mula
lagi, memenuhi “keperluan asas” semua orang yang hidup dalam sempadannya.
Sementara itu, Fernand Braudel dalam bukunya, A History of Civilizations,
menegaskan bahawa untuk “mentakrifkan idea
peradaban memerlukan semua sains sosial, termasuk sejarah.” Braudel,
mengenal pasti empat bidang sains sosial yang terlibat, iaitu geografi,
sosiologi, ekonomi, dan psikologi kolektif.
Peradaban, sangat besar atau sebaliknya, selalunya dapat dicari pada peta. Bahagian
penting ciri peradaban bergantung pada kekangan atau kelebihan situasi geografi
peradaban berkenaan. Pastinya, ini akan terjejas untuk berabad-abad atau bahkan alaf oleh
usaha manusia. Setiap landskap mengandungi susur-galur buruh selanjar dan
kumulatif, generasi selepas generasi memberikan sumbangan kepada keseluruhan
itu.
Dalam membincangkan peradaban sebagai ekonomi, Braudel,
memberikan tumpuan terhadap geografi dan pada takat tertentu, ekologi. Untuk membincangkan peradaban, hujah beliau,
adalah untuk membincangkan ruang, tanah, dan kontur, cuaca, spesies tumbuhan,
spesies haiwan dan alamiahnya atau kelebihan lain. Juga untuk membincangkan
apakah manusia telah lakukan terhadap syarat asas ini, iaitu pertanian, stok
pembiakbakaan, makanan, tempat berlindung, komunikasi, industri, dan
sebagainya. Setiap peradaban, hujah beliau lagi, berasaskan kawasan yang lebih
kurang menetapkan had. Setiap peradaban
mempunyai geografi sendiri dengan peluang dan kekangannya sendiri,
sesetengahnya boleh dikatakan tetap dan agak berbeza antara sebuah peradaban
dengan sebuah peradaban lain.
Seterusnya, Braudel berhujah bahawa tidak ada peradaban
tanpa masyarakat yang menyokong peradaban itu dan membangkitkan ketegangan dan
kemajuan peradaban. Masyarakat dan
peradaban tidak dapat dipisahkan, iaitu dua idea ini merujuk kepada realiti
yang sama. Idea “masyarakat” bermaksud
kekayaan kandungan, dan dengan itu, amat menyerupai maksud peradaban, yang
selalunya saling berkait. Tambah beliau, memandangkan hubungan rapat antara
peradaban dengan masyarakat, wujud keadaan untuk menerima pakai model sosiologi
apabila melihat sejarah panjang peradaban.
Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan,
“sebagai sejarawan, kita sepatutnya tidak hanya mengelirukan masyarakat
dengan peradaban.”
Setiap masyarakat, hujah Braudel, bergantung pada
keadaan ekonomi, teknologi, biologi, dan
demografi. Keadaan bahan (material) dan
biologi selalunya membantu menentukan takdir (destiny) peradaban.
Peningkatan dan kejatuhan penduduk, kesihatan atau penyakit, ekonomi atau
pertumbuhan atau kemerosotan teknologi – semua ini mempengaruhi secara mendalam
terhadap budaya, di samping struktur sosial.
Ekonomi politik dalam maksud yang lebih luas ialah kajian tentang semua
masalah yang sangat besar ini. Dari segi prinsip dan dari segi fakta,
peningkatan penduduk selalunya membantu pertumbuhan peradaban, seperti yang
berlaku di Eropah pada abad ke-13, ke-16, ke-18, ke-19, dan ke-20. Walau bagaimanapun,
hanya secara tetap, apabila penduduk berkembang lebih pantas daripada ekonomi,
kelebihan yang wujud sebelum ini menjadi kelemahan atau kemudaratan, seperti
berlakunya kebuluran, kejatuhan dalam perolehan sebenar, pemberontakan popular,
dan tempoh kemerosotan yang menggerunkan.
Tambah Braudel, kehidupan ekonomi tidak pernah menghentikan turun naik,
pada jeda yang kadangkala panjang dan kadangkala pendek. Masa baik dan masa
buruk silih berganti; dan masyarakat dan peradaban merasai kesannya, terutamanya
apabila peningkatan atau kemerosotan berpanjangan.
Sama ada melambung atau merosot, kegiatan ekonomi hampir
selalunya menghasilkan lebihan.
Perbelanjaan, atau pembaziran lebihan tersebut, merupakan satu keadaan
yang sangat diperlukan untuk kemewahan
dalam peradaban dan untuk bentuk seni tertentu.
Menurut Braudel, peradaban mencerminkan agihan semula
kekayaan. Peradaban memperoleh ciri yang berbeza, pertama golongan yang di atas
dan kemudian dalam kalangan rakyat jelata, menurut cara peradaban mengagihkan
semula kekayaan, dan menurut jentera sosial dan ekonomi yang diambil daripada
edaran kekayaan apa-apa sahaja yang ada untuk kemewahan, seni atau budaya.
Beliau menjelaskan bahawa kemewahan pada abad ke-18, apabila golongan aristokrat
dan borjuis menyertai
bersama-sama kerabat diraja dalam menyebarkan budaya, sains, dan falsafah.
Walau bagaimanapun, kemewahan pada masa itu masih merupakan hak istimewa
golongan minoriti sosial. Peradaban yang
mendasarinya, iaitu kehidupan hari kerja sederhana, mempunyai bahagian sedikit
dalam kemewahan.
Selepas geografi, masyarakat, dan ekonomi, menurut
Braudel, kita mesti akhirnya beralih kepada psikologi. Dengan perbezaan ini bahawa sebagai sains,
psikologi kolektif adalah kurang keyakinan diri dan kurang kaya dari segi
akibat berbanding dengan sains sosial lain.
Psikologi juga jarang-jarang diusahakan sepanjang laluan sejarah.
Menetapkan atau mengimlakkan sikap masyarakat, membimbing pilihannya,
mengesahkan prasangkanya dan mengarahkan tindakannya, mengesahkan, ini sangat
banyak fakta peradaban. Tambah beliau, agama ialah ciri yang paling kuat
tentang peradaban, tonggak peradaban masa kini dan masa lalu. Namun begitu, beliau menjelaskan bahawa sejak
perkembangan pemikiran Yunani kecenderungan peradaban Barat ke arah
rasionalisme, dan dengan itu, jauh daripada kehidupan agama, tetapi perkara
seperti ini tidak ditemui dalam sejarah dunia di luar Barat. “Hampir semua peradaban adalah direbakkan
atau ditenggelami oleh agama, oleh kuasa ghaib (supernatural), dan oleh
magis,” hujah Braudel.
Ekonomi yang dibincangkan dan dibahaskan oleh Braudel
merupakan topik lazim mikroekonomi dan makroekonomi, atau juga ekonomi politik.
Secara ringkas, peradaban sebagai ekonomi yang diperkatakan oleh Braudel, ialah
penduduk, iaitu pertumbuhan atau
kejatuhan penduduk, keperluan biologi dan kesihatan, bahan dan teknologi, ekonomi yang turun naik atau tidak
stabil, dan kekayaan serta agihan
kekayaan.
Perihal penduduk telah lama ditekankan oleh Robert Thomas
Malthus dalam bukunya, An Essay on the Principle of Population, yang
meneliti hubungan antara bekalan
makanan dengan penduduk. Menurut
Malthus, jumlah manusia tidak
boleh berlebihan sehingga ke tahap kelaparan hanya kerana orang ramai mengubah
kelakuan mereka dalam menghadapi insentif ekonomi. Dengan mengatakan bahawa
sementara pengeluaran makanan cenderung meningkat secara aritmetik, penduduk
cenderung meningkat secara semula jadi pada kadar geometri (lebih pantas),
Malthus menegaskan bahawa memang tidak memeranjatkan bahawa orang ramai, dengan
itu, memilih untuk mengurangkan (atau “memerhatikan”) pertumbuhan penduduk.
Beliau meramalkan bahawa penduduk akan melebihi bekalan makanan, yang membawa
kepada pengurangan makanan per orang dan dengan itu, kepada kebuluran yang
meluas.
Beribu-ribu tahun sebelum Revolusi
Perindustrian, peradaban terbenam dalam
Perangkap Malthusian. Jika banyak orang meninggal dunia, pendapatan cenderung
meningkat, kerana hanya sebilangan kecil pekerja mendapat faedah daripada
bekalan tanaman yang stabil. Walau
bagaimanapun, jika banyak orang dilahirkan, pendapatan akan jatuh, yang
selalunya membawa kepada lebih banyak kematian. Itu menjelaskan “perangkap,”
yang juga menjelaskan mengapa penduduk hampir sama dengan Keluaran Dalam Negara
Kasar (KDNK) di seluruh dunia.
Tentang kebuluran, pernah ditegaskan oleh Penerima Hadiah
Nobel Ekonomi, Amartya Sen dalam bukunya, Development as Freedom, bahawa
kebuluran bukan hanya berkait dengan pengeluaran makanan dan pengembangan
pertanian, tetapi juga dengan fungsi seluruh ekonomi, dan bahkan secara lebih
luas, operasi politik dan pengaturan sosial yang secara langsung dan tidak
langsung, dapat mempengaruhi keupayaan orang ramai memperoleh makanan dan untuk
mencapai kesihatan dan makanan.
Dipercayai
bahawa pertumbuhan ekonomi moden
disertai pertama dan pertama-tama oleh pembandaran, maksudnya, oleh
peningkatan bahagian penduduk sesebuah negara yang tinggal di kawasan
bandar. Wujud dua alasan asas mengapa
pertumbuhan ekonomi dan pembandaran bergerak seiringan. Pertama, pengeluaran
pertanian yang meningkat. Oleh sebab pengeluaran makanan per petani meningkat,
maka ekonomi memerlukan kurang dan semakin kurang petani yang menyara penduduk keseluruhan. Oleh sebab pengeluaran
makanan per petani meningkat, maka harga
makanan jatuh, mendorong petani dan terutamanya anak-anak mereka mencari
pekerjaan dalam kegiatan bukan ladang. Kedua, ialah kelebihan kehidupan bandar
kepadatan tinggi, terutamanya permintaan perdagangan bersemuka dan bahagian
lain dalam sektor perkhidmatan.
Dijangkakan bahawa
keruntuhan peradaban akan berlaku tidak lagi akibat ledakan bom dan pemusnahan
alam sekitar. “Pertumbuhan penduduk, bersama-sama dengan per kapita penggunaan
berlebihan, mengheret peradaban ke curam yang dalam: berbilion orang kini
kebuluran atau
mikronutrien tak seimbang pemakanannya, dan
gangguan cuaca merupakan pembunuhan manusia,” catat Damian Carring dalam The
Guardian, memetik Paul Ehrlich. Dalam “Paul Ehrlich: 'Collapse of Civilisation is a
Near Certainty Within Decades',” keruntuhan peradaban yang
menghancurkan adalah “hampir
pasti.” Carring menegaskan dekad akan
datang kerana pemusnahan berterusan manusia terhadap dunia semula jadi yang
menampung semua kehidupan di bumi ini. Beliau memberitahu bahawa Ehrlich yang
berkhidmat di Stanford University sejak tahun 1959, berusaha untuk mengurangkan
ancaman keruntuhan peradaban yang menghancurkan.
Makalah
ini memberikan tumpuan terhadap
geografi, termasuk ekologi, dan penduduk dan keperluan biologi mereka. Penduduk juga
menentukan pertumbuhan atau kemerosotan ekonomi, di samping
mencorakkan agihan kekayaan. Jumlah
penduduk yang semakin meningkat dan kerakusan mereka menyebabkan kemusnahan
alam sekitar dan seterusnya kemusnahan peradaban.
No comments:
Post a Comment