Artikel Popular

Friday, January 25, 2019

Konsep Negara Ibn Khaldun

JUMAAT, 25 Januari 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Selain sejarah,  masyarakat tinggal menetap atau berperadaban, masyarakat primitif atau nomad, dan asabiyyah, Ibn Khaldun memberikan sumbangan pemikiran   tentang kebangkitan dan kejatuhan negara yang juga disebut dinasti.  Selepas  menelusur  pemikiran politik Barat tentang  sejak dari zaman  Yunani Kuno hingga kini, iaitu daripada  Socrates,  Plato, dan Aristotle membawa kepada  Hobbes, Montesquieu, Jean-Jacques Rousseau,  dan seterus kepada Friedrich Engels dan Karl Marx, A. Rahman Zainuddin mendapati wujud permasalahan dalam membicarakan konsep negara menurut Ibn Khaldun.  Masalah ini berpunca daripada terjemahan kata-kata daulah yang digunakan oleh Ibn Khaldun yang diterjemahkan oleh Franz Rosenthal sebagai dynasty atau dinasti dan bukannya negara atau state. Alasan yang diberikan tidak terdapat perbezaan antara negara dengan dinasti. A. Rahman menggunakan kata daulah itu diterjemahkan dengan “negara.”  Sementara itu, Mukadimah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, yang diterjemahkan daripada buku Arab,  menggunakan istilah negara, di samping dinasti dan kerajaan. Dengan penjelasan ini, penggunaan konsep “negara” (state) untuk membincangkan dan membahaskan pemikiran Ibn Khaldun, sememangnya tidak mengelirukan sama sekali.
Ibn Khaldun  mengibaratkan “negara dan pemerintahan sebagai    pasar dunia, tempat karya-karya ilmiah dan keterampilan ditarik ke dalamnya.” Tambah beliau, kata hikmah yang bernada menentang dan adat yang terlupakan dihadirkan ke dalamnya.  Dalam pasar ini cerita dituturkan dan pokok berita sejarah diungkapkan. Apa yang berlaku di pasar ini akan laku bagi semua orang di mana-mana sahaja. Ibn Khaldun menjelaskan:  “Dan apabila negara yang mapan itu menjauhi ketidakadilan, prasangka, kekurangan, dan bermuka-muka, dengan ketentuan menjaga sistem yang benar dan tidak membelokkannya, maka pelbagai barangan di pasarnya itu akan setulen barang-barang daripada jenis perak dan emas.  Dan apabila negara dipengaruhi oleh kepentingan peribadi, dan persaingan, atau dipenuhi oleh kezaliman, tirani dan ketidakjujuran, maka barang-barang di pasarnya akan menjadi barang-barang yang tidak berharga dan benda-benda logam yang tidak bernilai.”
Ibn Khaldun menegaskan  bahawa mana-mana autoriti diraja mesti dibina pada dua tapak. Yang pertama, ialah kekuatan atau  syawkah, dan perasaan kumpulan atau asabiyyah, yang dapat diungkapkan melalui ketenteraan. Yang kedua, ialah wang atau maal, yang menanggung kehidupan tentera tersebut, dan memberikan seluruh struktur yang diperlukan oleh autoriti diraja. Dengan kata lain, dua tonggak negara dan kedaulatan, ialah tenaga manusia dan  sumber  kewangan. Sebelum ini beliau memetik penyataan Anusyirwan (Raja Sasan yang terkenal dengan keadilan) bahawa autoriti diraja wujud melalui tentera, tentera melalui wang, wang melalui cukai, cukai melalui penanaman, penanaman melalui keadilan, keadilan menerusi penambahbaikan pegawai, penambahbaikan pegawai menerusi kejujuran para wazir, dan yang berada paling atas, ialah menerusi penyeliaan peribadi raja terhadap keadaan rakyatnya dan keupayaannya untuk bertindak mendidik supaya baginda dapat memerintah mereka dan bukan mereka memerintah baginda.
Bagi Ibn Khaldun, menurut Fuad Baali, “tapak atau asas negara merupakan matlamat asabiyyah dan kebandaran atau urbanisme matlamat orang nomad. Oleh sebab orang ini mempunyai asabiyyah yang kuat, maka mereka dapat mencapai matlamat itu.”   Negara bagi Ibn Khaldun, menurut tafsiran Muhsin Mahdi, bersifat semula jadi dan perlu kerana masyarakat bersifat semula jadi dan perlu, dan kerana masyarakat tidak boleh terus wujud, kecuali dengan negara. Memang benar bahawa manusia wujud terlebih dahulu daripada pembentukan negara, tetapi kewujudannya lebih kepada sifat haiwan berbanding dengan manusia. Melalui negara, manusia menunjukkan sifat istimewanya sebagai manusia, iaitu keupayaan rasionalnya yang berlawanan dengan keinginan vegetatif yang mendorong kepada pembentukan masyarakat yang bersifat keperluan, dan tuntutan kehaiwanan yang liar dengan menceroboh dan melangkaui yang terbit darippada masyarakat mewah.
Tentang pembentukan atau asal-usul negara,  Ibn Khaldun  menyebut, suatu golongan umat manusia hanya boleh mendapat kekuasaan dengan berjuang, iaitu perjuangan yang membawa kemenangan, dan berdirinya sesuatu negara. Apabila tujuan itu telah tercapai, perjuangan akan terhenti.              Seterusnya, Ibn Khaldun  membahaskan kemunculan negara baharu dengan dua cara, iaitu pertama, daripada gabenor-gabenor yang berkuasa di daerah-daerah  yang jauh dan sewaktu naungan kerajaan yang berkuasa tidak berkesan, maka daerah tersebut kembali kepada keadaannya yang asal.  Cara kedua, ialah oleh mereka yang membuat propaganda supaya berlaku sesuatu sebab atau pemberontakan terhadap kerajaan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...