Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Selepas Jabatan Buruh Amerika Syarikat mengumumkan bahawa
pada bulan Ogos (2012) hanya 96,000 pekerjaan diwujudkan berbanding dengan anggaran130,000
pekerjaan, dan meskipun kadar pengangguran di negara itu jatuh daripada 8.3
peratus pada Julai kepada 8.1 peratus,
Ezra Klein yang menulis dalam blog The
Washington Post, menegaskan bahawa
“Presiden lawan ekonomi.” Penurunan
kadar pengangguran sebenarnya berpunca
daripada sebilangan penganggur meninggalkan pasaran buruh, iaitu mereka tidak
mahu mencari pekerjaan lagi.
Laporan bulanan
tentang pekerjaan yang muram itu
dijangkakan membayangi kejayaan
Persidangan Kebangsaan Parti Demokratik di Charlotte, North Carolina,
yang baru sahaja selesai. Presiden
Barack Obama yang berucap untuk menerima pencalonan daripada partinya kelihatan tidak setanding bekas Presiden Bill Clinton dan isterinya,
Michelle, yang berucap sebelum itu, kerana
beliau “terganggu” oleh laporan tersebut yang
beliau terima lebih awal: krisis pekerjaan masih wujud. “Ucapan itu,”
hujah Klein, “adalah sesuai untuk ekonomi
pada pengangguran 6.5 peratus dan bukannya pengangguran 8.1 peratus.”
Ketika pengumuman Jabatan Buruh itu dibuat 7 September,
Pilihan Raya Presiden tahun 2012 hanya tinggal dua bulan lagi. Dengan kadar pengangguran yang tinggi dan
pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pula kurang daripada dua
peratus, pastinya penjawat kini, iaitu
Presiden Barack Obama menghadapi laluan yang sukar untuk penggal kedua.
Sejak zaman Franklin D. Roosevelt, tidak ada Presiden Amerika Syarikat
yang dapat mempertahankan jawatannya apabila kadar pengangguran lebih lapan peratus.
Laporan pekerjaan itu diramalkan akan
merancakkan lagi kempen di kedua-dua belah pihak, iaitu Barack Obama dan
lawannya, Mitt Romney daripada Republikan.
“Kita menuju arah yang salah,” isytiharkan Romney, memandangkan masih banyak
rakyat Amerika yang terhuyung-hayang
akibat kemelesetan yang teruk. “Kita
tahu tidak cukup,” ulas Obama, “Kita perlu mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan lebih cepat.”
Beberapa laporan lain yang tidak memberangsangkan,
menambahkan lagi tekanan terhadap Presiden Obama. Tatkala kedua-dua calon yang bertanding
berusaha untuk meraih sokongan golongan kelas menengah, pada Ogos lalu, Pew Research Center, mengeluarkan
laporan The Lost Decade of the Middle
Class, menunjukkan bahawa sejak tahun 2000, golongan itu mengecil dari segi
saiz, merosot dari segi pendapatan dan
kekayaan, membayangkan kemungkinan keterhakisan golongan itu pada masa hadapan.
Seterusnya, pada September, Biro Banci Amerika Syarikat menerbitkan
Income,
Poverty, and Health Insurance Coverage in the United States: 2011,
menunjukkan banyak lagi berita buruk
untuk kelas menegah. Ketidaksamaan ekonomi
terus meningkat, dipacu oleh pertumbuhan pendapatan dalam kalangan orang
kaya Amerika, manakala golongan yang berpendapatan lebih sederhana mendapati
pendapatan mereka mereka beku atau bahkan merosot. Pendapatan isi rumah median
terus jatuh pada tahun 2011, tahun kedua pemulihan ekonomi, iaitu jatuh
kira-kira empat peratus. “Ketidaksamaan
pendapatan semakin teruk,” tulis Timothy Noah dalam The New Republic. “Seperti yang kita ketahui bahawa golongan kaya
terus meningkatkan bahagian mreka daripada pendapatan kolektif negara pada
tahun 2010, apabila secara luar biasa 93 peratus pemulihan masuk ke dalam saku
golongan satu peratus.”
Laporan
itu juga menyatakan bahawa 46.2 juta rakyat Amerika hidup dalam kemiskinan,
dengan garis kemiskinan untuk keluarga seramai empat orang ialah AS$22,811. Kejatuhan jumlah ini dianggap baik dan agak
memeranjatkan kerana Amerika Syarikat masih bersusah payah untuk pulih daripada
kemelesetan. Data menunjukkan bahawa
kadar kemiskinan keseluruhan 15.0 peratus adalah rendah pada tahun 2011
berbanding dengan 15.1 peratus pada tahun sebelum ini, suatu perbezaan
kira-kira 96,000 orang.
Ketika
Barack Obama bersiap sedia untuk pertarungan penggal keduanya, penggunaan setem
makanan dilaporkan, mencecah rekod tertinggi, iaitu 46.7 juta pada Jun.
Penyertaan meningkat 0.4 peratus dari Mei dan 3.3 peratus lebih tinggi jika
dibandingkan dengan tahun lalu dan kekal lebih besar daripada 46 juta sepanjang
tahun kerana kadar pengangguran masih tinggi.
“Terlalu banyak keluarga kelas menengah yang hidup dalam kesusahan masih
terpaksa bersusah payah,” jelas Setiausaha Pertanian, Tom Vilsack melalui e-mel
kepada Bloomberg pada awal September
lalu. “Matlamat kami adalah untuk menyediakan bantuan yang keluarga ini
perlukan agar mereka mampu mengharungi masa yang sukar ini dan kemudian mampu
berdikari semula secepat yang mungkin.”
Perbelanjaan stem makanan meningkat lebih berlipat ganda dalam masa
empat kepada rekod tertinggi AS$75.7 bilion pada tahun fiskal yang berakhir 30 September 2011, merupakan
perbelanjaan terbesar Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA).
Sementara
itu, seperti yang dilaporkan oleh CNN
yang memetik USDA, pada awal September, lebih
50 juta orang Amerika, tidak mampu membeli makanan pada masa tertentu pada
tahun 2011. Kanak-kanak dalam kira-kira
3.9 juta isi rumah sengsara akibat keadaan tidak keselamatan makanan (food
insecurity) pada tahun lalu, dengan keluarga mereka tidak mampu menyediakan
makanan berkhasiat yang cukup. Hampir 17
juta orang Amerika sengsara akibat “keselamatan
makanan yang rendah,” bermakna mereka terpaksa mengurangkan jumlah
makanan yang mereka makan, iaitu makanan yang mereka beli tidak dapat tahan
lama dan mereka tidak cukup wang untuk membeli makanan yang banyak. Mereka lazimnya mendapati diri mereka dalam
situasi sedemikian beberapa hari dalam sebulan untuk tujuh bulan setahun. Bilangan orang dalam kategori ini meningkat
sebanyak lebih 800,000 orang daripada jumlah pada tahun 2010.
Seperti Pilihan Raya Presiden pada tahun 2008, ekonomi
dianggap merupakan faktor utama dalam pilihan raya kali ini. Ketika itu, Amerika Syarikat terjebak dalam kemelesetan, dan tatkala kempen
sedang rancak, tiba-tiba pada pertengahan September, Lehman Brothers
mengisytiharkan kemuflisan yang menyebabkan berlaku runtuhan Wall Street dan
pasaran saham dunia lintang-pukang. John
McCain daripada Republikan yang ketika itu
mendahului Barack Obama, bagaikan dihempap oleh runtuhan itu dan terus
tidak bangkit hingga hari pilihan raya.
Kini, walaupun Amerika telah keluar daripada kemelesetan pada
pertengahan tahun 2009, sebilangan
besar penduduk tidak merasainya
kerana kadar pertumbuhan rendah
dan kadar pengangguran masih tinggi.
Sememangnya, ekonomi tidak memihak kepada Barack Obama, bahkan
kadar pengangguran yang diumumkan pada Jumaat
pertama setiap bulan, seakan-akan terus menzalimi beliau. Prestasi ekonomi beliau tidak memuaskan, dan
dengan itu, beberapa tinjauan pendapat menunjukkan bahawa rakyat Amerika lebih
yakin kepada Mitt Romney untuk mengurus ekonomi dan menangani pengangguran.
Dalam kad laporan Obama pada akhir penggal, The
Economist memberikan gred untuk perkara yang berikut: Respons terhadap
krisis (A-); rangsangan (B+); perumahan (C+); pasaran buruh (C+); perdagangan
(B-); dasar perindustrian (F); kawal selia (D+); dan hutang/dasar fiskal (tidak
lengkap).
Sementara Robert J. Samuelson yang menulis dalam The Washington Post, memberikan gred C+
untuk kad laporan ekonomi Presiden Obama, iaitu kurang bermutu terbaik,
meskipun mengakui bahawa Presiden biasa tidak banyak pengaruh terhadap
ekonomi. Terlalu besar dan tertakluk
kepada terlalu banyak kuasa kompleks, daripada teknologi baru kepada keadaan
global. Lagipun, banyak pihak yang
terlibat, seperti Kongres untuk cukai dan perbelanjaan, Rizab Persekutuan untuk
pasaran kewangan, dan agensi kawal selia.
“Presiden selalunya dipersalahkan atau diberikan pujian,” tegas
Samuelson, “kerana ekonomi apabila mereka tidak wajar juga. Akan tetapi, ketika krisis, Presiden
memperoleh kuasa. Oleh sebab itu, Obama akan dan sepatutnya dinilai dari segi
prestasi ekonomi.”
Lebih menarik daripada keseluruhan gred saya, jelas
Samuelson ialah komponenannya. “Untuk enam bulan pertama, saya memberinya A-;
untuk bulan seterusnya, C- atau D. Saya memberikan wajaran dua gred itu secara
seimbang kerana beliau wajar diberikan banyak pujian kerana menghentikan jatuh
bebas ekonomi apabila memegang jawatan Presiden.”
Jika isu ekonomi dibangkitkan atau laporan tentang
ekonomi dikemukakan, Demokrat dan kempen Obama kelihatan bersifat defensif,
sesuatu yang sukar untuk dijawab atau dijelaskan. Sebelum Persidangan Kebangsaan Parti Demokratik,
mereka dikemukakan soalan yang pernah
dikemukakan oleh Ronald Reagan pada tahun 1980, ketika mencabar penjawat kini,
Presiden Jimmy Carter: “Adakah rakyat Amerika lebih baik sekarang berbanding
dengan empat tahun lalu?”
Beberapa anggota Demokrat yang diajukan soalan itu tidak
cuba menjawabnya, sebaliknya mereka menyerang kempen Romney yang menurut mereka,
tidak segan silu berdusta kepada pengundi. David Plouffe, penasihat kanan Rumah
Putih enggan memberikan jawapan, sama ada ya ataupun tidak. Apabila pengacara
program televisyen ABC, George Stephanopoulos berulang-ulang kali
bertanyakan beliau: “Anda masih tidak
dapat memberikan jawapan ya.” “Jelas
kita semakin baik, George,” jawab Plouffe. “Kita mencapai banyak kemajuan
daripada kemelesetan yang teruk ... Kita perlu terus pulih.” Sementara dalam program Fox News, ahli strategi kempen
Obama, iaitu David Axelrod, enggan memberikan jawapan yang berterus terang,
manakala Gobenor Maryland, Martin O’Malley, yang muncul dalam program
televisyen CBS, kelihatan tidak
bersemangat, “Tidak, tetapi itu bukan soalan pilihan raya ini.”
Hanya selepas itu, dalam usaha mengawal “api daripada
terus marak,” daripada dijadikan modal
oleh kempen Romney, anggota Demokrat lebih tegas memberikan jawapan
mereka. Misalnya, ketika ditanya, sama
ada rakyat Amerika lebih baik, dalam program televisyen NBC, timbalan pengurus kempen Obama, iaitu Stephanie Cutter,
memberikan jawapan yang muktamad dengan menyenaraikan statistik peningkatan
pengangguran dan kemerosotan upah dalam masa enam bulan sebelum Obama menjadi
Presiden. Mengikut mana-mana ukuran, negara ini mengorak langkah sepanjang
empat tahun lalu. Bahkan, Martin O’Malley mengubah jawapannya, memberitahu CNN, “Kita jelas lebih baik sebagai sebuah negara kerana kita kini
mewujudkan pekerjaan berbanding dengan kehilangan pekerjaan.”
Benarkah ekonomi
menentukan keputusan Pilihan Raya Presiden tahun ini? Jika demikian, bahkan diakui oleh anggota Republikan sendiri,
Obama sudah lama berkubur; sebaliknya,
beliau masih dan terus kuat. Tinjauan
pendapat demi tinjauan pendapat yang dikeluarkan, khususnya selepas persidangan
partinya, beliau terus mendahului Romney, baik di peringkat nasional, mahupun
di peringkat negeri berayun yang kebanyakan beliau kuasai. Sejak berbulan-bulan, Romney masih gagal
memisahkan para pengundi yang masih
mendakap setia pada Obama, meskipun kempen demi kempen dilancarkan,
iklan demi iklan disiarkan. Dari segi
kepopularan dan dasar luar, nyata bahawa Romney tidak mampu menyaingi lawannya.
Medan pertarungan yang sepatutnya dikuasai oleh Romney,
iaitu ekonomi, Obama menampakkan
kemaraannya. Daripada belanjawan kepada
pencukaian kepada penjagaan kesihatan, kempen Romney gagal meyakinkan rakyat,
dan terutamanya para pengundi. Bahkan,
janji Romney untuk mewujudkan 12 juta
pekerjaan dalam penggal pertama jika beliau dipilih sebagai Presiden, diragui
oleh banyak pihak, terutamanya ahli ekonomi dan para penganalisis.
Hakikatnya, setakat ini, ekonomi belum lagi membawa bencana terhadap Obama, dan kemungkinannya hal
ini berterusan pada 6 November ini, walaupun dua lagi laporan pekerjaan
dan satu lagi laporan KDNK akan diumumkan.
Lagipun, ekonomi sekarang diperhatikan tidak seburuk tahun 1980 yang
menyaksikan kekalahan Carter di tangan Reagan. Menurut rekod, Presiden daripada
Parti Demokratik didapati lebih baik dari segi mengurus ekonomi dan mewujudkan
pekerjaan; ketika Obama, lebih empat juta pekerjaan diwujudkan, biarpun
pengangguran masih tinggi.
Diketahui umum, Barack Obama mewarisi masalah daripada
George W. Bush, tetapi beliau pastinya
tidak dapat cuci tangan dengan menyalahkan Presiden sebelumnya. Lebih-lebih lagi Obama banyak menghabiskan
masa, iaitu dua tahun pertama untuk
memperkenalkan pelan penjagaan kesihatan – padahal, beliau sepatutnya
memberikan tumpuan terhadap pemulihan ekonomi dan usaha untuk mewujudkan
pekerjaan. Sementara anggota Republikan, baik semasa merupakan
minoriti, mahupun majoriti dalam Dewan Perwakilan, iaitu selepas Pilihan Raya
Separuh Penggal tahun 2010, enggan bekerjasama dengan Obama sehingga parti itu
dikenali sebagai “parti tidak.” Bahkan, sebaik-baik sahaja Obama memenangi
Pilihan Raya Presiden, tetapi belum lagi
memegang jawatan itu, Republikan mengisytiharkan bahawa mereka tidak akan bekerjasama
dengan beliau. Bagi mereka, “demi memastikan Obama hilang
pekerjaan, biarkan rakyat tanpa pekerjaan.”
Rakyat kini menyalahkan Washington, iaitu Dewan
Perwakilan, Senat, dan Rumah Putih terhadap masalah yang wujud, baik dari segi
ekonomi mahupun politik. Seperti yang
pernah ditegaskan oleh bekas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Robert
Gates, kegagalan menangani hutang dan masalah belanjawan yang teruk adalah
kerana ahli politik Republikan dan Demokratik “lebih mementingkan kemenangan
dalam pilihan raya dan meraih kemenangan ideologi berbanding dengan
menyelamatkan negara.”
Memang Obama boleh
dikatakan gagal dari segi ekonomi, tetapi Romney gagal mengemukakan alternatif
yang terbaik. Dalam pilihan raya kali
ini, rakyat nampaknya perlu membuat
pilihan antara dasar yang gagal dengan alternatif yang teruk. Pastinya, pilihan
raya kali ini bukannya pertarungan angka semata-mata, bukannya hanya
kuantitatif, tetapi ini juga kualitatif, yang dari segi ini Obama banyak
mempunyai kelebihan berbanding dengan Romney. Kempen yang kurang cacat juga
banyak membantu kemenangan calon, dan dari segi ini, kempen Obama mempunyai
kelebihan berbanding dengan kempen Romney.
Ketika makalah ini ditulis, iaitu pada pertengahan
September, The Huffington Post menunjukkan
bahawa Barack Obama menguasai 316 berbanding 206 undi badan perwakilan pemilih untuk
Mitt Romney, manakala masih wujud dua
buah negeri berayun, iaitu Wisconsin dan Iowa. Pastinya, dalam masa kira-kira
50 hari, kedudukan itu akan berubah-ubah. Sementara Nate Silver, penganalisis yang
sering dirujuk, melalui kolumnya dalam The New York Times, dalam ramalannya
pada 18 September, Obama memperoleh 320.2 undi badan perwakilan pemilih berbanding 217.8 untuk Romney. Peluang Obama menang pula ialah 91.3 peratus
berbanding 8.7 peratus untuk Romney.
Ketika majalah ini
beredar dalam pasaran pada bulan November, keputusan pilihan raya telah pun
diketahui. Maka, dapat disahkan, sama
ada Obama menang kerana kempennya, biarpun ekonomi teruk, ataupun Romney menang
kerana ekonomi, biarpun kempennya teruk.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, November 2012.)
No comments:
Post a Comment