Artikel Popular

Monday, September 16, 2019

Malaysia: Mengenang Jasa Tun Jugah

ISNIN, 16 September 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Selepas pembentukan Malaysia  pada tahun 1963, kelihatan seorang lelaki yang berpakaian gaya Barat, tetapi dengan rambutnya mencerminkan jati diri atau pengenalan suku kaum peribumi.  Meskipun ketika itu  taraf kenal huruf rakyat masih rendah, manakala  media, seperti televisyen belum tersebar  luas, kalaupun ada hanya akhbar, melalui gambarnya, orang ramai   dapat  mengenali beliau.  Sememangnya, gaya rambutnya itu bukan sekadar  pengenalan peribadinya, tetapi juga memperlihatkan  jati diri kaumnya yang  memasuki arus perdana melalui pembentukan Malaysia. Beliau ialah pemimpin kaum Iban yang merupakan kira-kira 30 peratus penduduk Sarawak.  Oleh sebab penampilan  peribadinya sedemikian, maka boleh dikatakan, beliau  terkenal ketika itu, dengan jawatannya sebagai Menteri Persekutuan bagi  Hal Ehwal Sarawak. Beliau adalah antara pemimpin awal dari Sarawak dan Sabah  yang dilantik  menganggotai  Kabinet Tunku Abdul Rahman sebaik-baik  sahaja Malaysia terbentuk.
           Pengumuman Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra tentang gagasan pembentukan Malaysia ketika berucap di Singapura pada 27 Mei 1961,   mengejutkan para pemimpin Borneo, di samping pemerhati asing di rantau ini ketika itu.  Dalam kalangan pemimpin Borneo yang terkenal ketika pengumuman Malaysia, di Sarawak ialah Ong Kee Hui, pengerusi SUPP dan presiden Majlis Perbandaran Kuching, Temenggong Jugah anak Barieng yang merupakan Pemimpin Agung dan pemimpin tetap kaum Dayak, dan Datu Bandar Abang Mustapha (Ongkili, 1967: 26 – 27).
            Di Sarawak, kaum Dayak dan orang Cina yang merupakan dua kelompok dominan di negeri itu, menentang rancangan Malaysia. SNAP yang didominasi oleh orang Dayak diketuai oleh Stephen Kalong Ningkan menentang rancangan Sarawak menyertai Malaysia dengan anggapan Persekutuan Tanah Melayu ialah kuasa asing (Mohd, 2016: 240).  Orang Cina pula menolak rancangan Malaysia disebabkan kebimbangan ianya [sic] akan mengancam kedudukan  ekonomi mereka yang akan dikuasai oleh penduduk Persekutuan Tanah Melayu.  Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu bagaimanapun, tidak menumpukan usaha untuk memujuk orang Cina yang dianggap oleh Tunku sebagai kaum oportunis, sebaliknya menumpukan usaha memujuk orang Melayu dengan harapan akan membuka ruang besar penerimaan penduduk tempatan terhadap rancangan Malaysia (Mohd, 2016: 240).  Perbezaan politik tempatan, seperti yang berlaku di Sarawak,  merumitkan lagi  rancangan  Malaysia. Misalnya,    Temenggong Jugah dan Ong Kee Hui tidak sehaluan dengan  Datu Bandar Abang Haji Mustapha. Jugah pernah enggan datang ke Tanah Melayu bersama-sama  Datu Bandar (Ghazali, 2004: 79).
Di Sarawak, kerajaan Persekutuan Tanah Melayu mengharapkan pemimpin berpengaruh, seperti Temenggong Jugah, Datu Abang Haji Mustapha, Louis Bereng, dan Datu Abang Haji Zain dapat dipujuk untuk menyokong gagasan Malaysia (Mohd, 2016: 239 – 240). Ghazali Shafie yang memainkan peranan utama bersama-sama Tun Abdul Razak untuk bertemu dengan pemimpin tempatan, sasaran utamanya ialah beberapa suku kaum, khususnya Temenggong Jugah sebagai tokoh utama yang dapat mempengaruhi  penduduk Iban dan kaum lain di Sarawak (Mohd, 2016: 237).
Menurut Tunku Abdul Rahman, pemimpin di Sabah, seperti Tun Datu Mustapha, dan di Sarawak, seperti Tun  Tuanku Haji Bujang (Tuanku Othman),   Abdul Rahman Ya’kub, Datu Bandar (Abang Haji  Mustapha), dan   Temenggong Jugah, berhasrat untuk bercantum dengan Persekutuan atau mengadakan hubungan yang lebih erat dengan Tanah Melayu (Tunku  Abdul Rahman Putra, 1980: 98,  101).  Jugah tidak secara keseluruhannya menentang idea Malaysia, meskipun sikap awal beliau dikatakan, berwaspada (Sutlive, 1992: 174). Kewahaman Jugah tentang kemungkinan Persekutuan tidak sekuat penolakan terhadapnya seperti yang berlaku di Brunei dan Borneo Utara (Sutlive, 1992: 175).
Tunku benar-benar mahu memenangi hati  Jugah. Justeru, apabila “Bennet Jarrow, orang Iban dari bahagian pedalaman Sarawak,  mencadangkan kepada Ghazali Shafie dan kemudian kepada Tunku, bahawa Temenggong Jugah bersedia untuk berjumpa Tunku, tetapi lebih berkesan sekiranya Tunku menjemput Jugah sebagai tamu peribadi,   Tunku menerima idea itu tanpa teragak-agak (Ghazali, 2004: 91).
            Pada suatu ketika, Temenggong Jugah dikatakan mahu lebih banyak masa untuk memahami Konsep Malaysia. Beliau memberitahu bahawa  banyak orang dari kawasannya dan rumah panjang yang lain, pergi ke Tanah Melayu, tetapi tidak seorang pun yang mampu menjelaskan kepada beliau, apakah sebenarnya Konsep Malaysia.  Beliau menegaskan bahawa keputusan sepatutnya tidak dibuat tergesa-gesa.  Seperti pendirian yang diambil oleh pegawai kolonial British, Jugah memerlukan masa (Ghazali, 2004: 160). Akan tetapi,  Pengarah dan Penghulu  menyokong Konsep Malaysia dan mahu “Merdeka”  menerusi Malaysia dengan segera. Mereka berjaya memujuk Jugah  mengubah fikirannya supaya bersama-sama mereka  (Ghazali, 2004: 176). Jugah pernah mengemukakan pandangannya bahawa beliau menyokong kemerdekaan Sarawak dan Borneo Utara terlebih. Bagi beliau, elok dua wilayah ini menyelesaikan masalah perseikatan rapat mereka terlebih dahulu (Ongkili, 1967: 31; Sutlive, 1992: 174).
            Walau apa-apa pun pandangan dan pendiriannya tentang pembentukan Malaysia, Temenggong Jugah terlibat dalam perbincangan atau rundingannya  sejak awal lagi. Ketika  Tunku Abdul Rahman mengadakan pertemuan dengan orang kenamaan dari Bahagian Ketiga Sarawak,  di Sibu,  di atas kapal Tentera Laut Diraja Tanah Melayu, Mutiara, Temenggong Jugah mengetuai senarai tetamu itu. Dalam pertemuan itu Tunku secara jenaka merujuk Jugah sebagai pereka potongan  rambut Beatles! Seorang Iban dalam perkhidmatan tadbir yang bertugas di Sibu bernama  Bennett Umpam memberitahu Ghazali Shafie, jika Jugah dapat dipujuk, maka tidak akan  ada masalah daripada orang Iban di Sarawak (Ghazali, 2004: 47; Ghazali, 2015: 57). Menurut Ghazali, Temenggong Jugah buta huruf, tetapi beliau seorang insan yang banyak pengalaman dan bijaksana. Beliau juga ialah seorang pemimpin masyarakat yang sejati, bukan sahaja untuk kaum Iban. Beliau seorang pemurah, baik, dan sentiasa berhati-hati supaya tidak menyakitkan hati orang lain. Sangat penting untuk memilik Jugah di pihak Konsep Malaysia (Ghazali, 2015: 176).
            Proses pembentukan Malaysia tidak berjalan dengan licin sehingga menyebabkan  tarikh yang dirancang pada 31 Ogos 1963, terpaksa ditunda.  Selain tentangan daripada pemimpin di Sarawak dan Borneo Utara, Brunei pula, atas alasan yang tidak perlu diulang di sini,  menarik diri.  Satu-satunya negeri, yang beria-ria dan bersungguh-sungguh menyertai gagasan pembentukan Malaysia, ialah Singapura, pimpinan Lee Kuan Yew.
Keadaan menjadi semakin runcing, iaitu melibatkan Sarawak yang tidak menggalakkan sehingga timbul persoalan, sama ada  Malaysia dibentuk tanpa penyertaan negeri itu.  Hal ini berpunca daripada pelantikan gabenor (Yang Dipertua Negeri) apabila “Waddel, Gabenor British mencabar kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. (Sir Alexander Waddel, ialah Gabenor Tanah Jajahan British Sarawak yang terakhir.)  Waddell bersungguh-sungguh mencadangkan Temenggong Jugah sebagai gabenor dan Stephen Kalong Ningkan yang juga berbangsa Iban menjadi Ketua Menteri” (Mohd, 2016: 261). 
Tunku menjelaskan kepada Kabinet bahawa British mencadangkan nama Jugah sebagai gabenor pertama  Sarawak.  Ini dilakukan kerana  desakan  “kerajaan Ningkan.  Beliau  memberitahu bahawa Tanah Melayu tidak boleh mengiktiraf “kerajaan Ningkan” dan sekiranya datang daripada kerajaan British, ini semestinya atas desakan pentadbiran kolonial.  Walau bagaimanapun, wujud persefahaman dengan Kalong Ningkan bahawa jika  Ketua Menteri pertama ialah Iban, maka gabenor ialah Melayu atau sebaliknya.  Pelantikan pertama hanya untuk selama dua tahun.  Tunku yang nampak  sangat marah menuduh perkara ini berlaku kerana campur tangan oleh pentadbiran kolonial dengan melantik Kalong Ningkan sebagai “Ketua Menteri” (Ghazali, 2004: 440; Ghazali, 2015: 531).  Tunku merumuskan bahawa Malaysia sepatutnya dibentuk seperti yang dijadualkan, iaitu pada 16 September, bersama-sama  dengan Singapura dan Borneo Utara tanpa Sarawak  (Ghazali, 2004: 440; Ghazali, 2015: 531). 
Kemudian Tunku  menyentuh  Jugah yang beliau sangat sayangi,  tetapi  beliau  berkata  Jugah tidak layak menjadi gabenor.  Tunku mendapati sukar  untuk mengesyorkan nama seseorang yang tidak boleh membaca menulis, kecuali   namanya sahaja.  Seorang lepas  seorang menteri bercakap dan menyokong Tunku tentang keputusannya bahawa Sarawak yang patut dikeluarkan  daripada Malaysia, kecuali Tun Abdul Razak yang tegas bahawa beliau tidak dapat bayangkan keadaan  tanpa Sarawak dalam Malaysia. Beliau yakin bahawa pencalonan Ningkan dan Jugah dapat diselesaikan dengan mudah (Ghazali, 2004: 440; Ghazali, 2015: 531 - 532).
Walau bagaimanapun, impian pembentukan Malaysia akhirnya menjadi kenyataan,  apabila kebuntuan di Sarawak dapat dirungkaikan, semata-mata kerana Temenggong Jugah sanggup berkorban.  Bagi beliau, penyertaan Sarawak dalam Malaysia lebih penting daripada jawatan gabenor yang dicadangkan diberikan kepadanya. Seperti yang dilaporkan dalam Sarawak Tribune, “demi kepentingan muhibah menjelang pembentukan Malaysia, Temenggong Jugah dengan hati yang mulia meminta supaya namanya tidak dipertimbangkan untuk jawatan gabenor pertama” (dipetik daripada Sutlive, 1992: 192). Dengan persefahaman itu, Tun Abang Haji Openg dilantik sebagai Gabenor Sarawak, meskipun nama Datu Bandar Abang Haji Mustapha turut disebut-sebut. 
        Dipercayai bahawa tanpa usaha gigih Ghazali Shafie, pembentukan Malaysia mungkin tidak menjadi kenyataan. Perlu ditambah di sini,  bahawa tanpa pengorbanan besar Temenggong Jugah, “Malaysia kalau terbentuk,  cacat sejak lahir.”
          (Dipetik daripada Bab Satu, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa Jilid II, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...