Artikel Popular

Thursday, January 24, 2019

Asabiyyah Ibn Khaldun


KHAMIS, 24 Januari 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Istilah asabiyyah Ibn Khaldun benar-benar menarik perhatian banyak sarjana dengan pelbagai makna dan tafsiran. Mereka mendapati bahawa asabiyyah merupakan istilah atau konsep yang sangat kompleks dan menjelaskannya dari sudut pandangan dan pengertian yang baharu, seperti kepaduan sosial, kekuatan yang menggerakkan negara, dan sesuatu yang berkaitan dengan politik dan sosial, keluarga, semangat kelompok atau ras, semangat nasionalisme, parti dan patriotisme.
            Menurut Fuad Baali, asabiyyah merupakan salah satu konsep dalam karya Ibn Khaldun dan sebagai faktor penting dalam pembangunan atau perkembangan masyarakat, berasal daripada kata akar Arab, asab yang maksud mengikat (to bind), misalnya mengikat individu ke dalam kumpulan (asabtun, usbatun, atau isabatun). Asabiyyah juga bentuk yang diperoleh daripada asaba, yang mereka cipta konsep yang dari segi etimologinya diabstrak daripada bentuk konkrit.
            Walau bagaimanapun, Baali menjelaskan bahawa apakah makna khusus Ibn Khaldun tentang istilah asabiyyah sukar untuk diputuskan. Meskipun Ibn Khaldun sangat bergantung pada istilah ini, beliau tidak pernah mentakrifkannya dengan jelas. Istilah ini seakan-akan agak biasa atau diketahui pada masa beliau, dengan itu, beliau berasa perlu untuk mentakrifkannya.




Menurut Ibn Khaldun, asabiyyah mempunyai hubungan darah atau “sesuatu yang secocok dengannya,” diberikan terjemahan yang pelbagai, seperti “kesegaran negara (vitality of the state),” “kehidupan orang ramai,”  “Lebenskraft,” “semangat awam,” “esprit de corps,” “kepaduan sosial,” “kumpulan kesepaduan,” dan “keazaman bersama.” Baali mengemukakan terjemahan istilah asabiyyah, iaitu “esprit de corps,”  “kepartisanan,” “famille,” “parti,” “kesedaran puak,” “hubungan darah,” “semangat puak,” “kesetiaan puak,” “kesegaran” (“vitaliti”), “perasaan kesatuan,” “pautan kumpulan,” “groupdom,” “deria solidariti,” “minda kumpulan,” “kesedaran kolektif,” “perasaan kumpulan,” “solidariti kumpulan,” “perasaan solidariti,” dan “solidariti sosial.” Esprit de corps,  terjemahan bahasa Perancis oleh de Slane dan terjemahan “solidariti sosial” dalam bahasa Inggeris dianggap lebih rapat dengan istilah asal.
            Walau bagaimanapun, Heinrich Simon, menurut Baali, percaya bahawa istilah asabiyyah dan solidariti tidak mempunyai maksud yang benar-benar sama. Salah satu alasan pencapan ini  ialah bahawa “solidariti” terlalu abstrak  berbanding dengan asabiyyah. (Tidak ada bentuk majmuk untuk perkataan solidariti, tetapi asabiyyah ada.) Asabiyyah mencerminkan kelejekatan kumpulan yang konkrit, bukannya kejeleketan secara umum. Sehubungan dengan itu,  Simon mencadangkan supaya dikekalkan sahaja istilah Arab, kerana pada hakikatnya, asabiyyah tidak dapat diterjemahkan secara lengkap. Baali menegaskan bahawa pengekalan istilah Arab itu memang wajar bukan kerana tidak dapat diterjemahkan secara lengkap, tetapi juga kerana istilah ini amat jarang-jarang kalaupun pernah digunakan dalam kesusasteraan atau kepustakaan Arab moden atau sezaman. Asabiyyah dalam doktrin  Ibn Khaldun bermaksud deria solidariti; oleh itu, sosial apabila diterapkan kepada kumpulan sosial atau orang yang hidup dalam ruang atau komuniti  tertentu dan mempunyai gaya hidup yang mereka  berusaha untuk kekalkan.
            Dengan itu, asabiyyah ialah ikatan sosial yang dapat digunakan untuk mengukur kekuatan dan kestabilan perkumpulan sosial. Konsep absrak ini menyampaikan idea ikatan yang memastikan kejelekatan kumpulan sosial, seperti seadanya, secara analogi, tendon yang memastikan kejeleketan darah dengan tulang. Walau bagaimanapun, ikatan ini, asabiyyah bukan semestinya  berasaskan hubungan sedarah. Ikatan ini, sememangnya sosial, di samping fenomena psikologi, fizikal, dan politik, yang mencerminkan dengan sendiri secara jelas dalam kalangan oranga nomad atau suku kaum, tetapi tidak hanya terbatas pada mereka.
            Selain itu,  wujud kesalingan atau hubungan saling melengkapi antara ekonomi rakyat dengan negara.  “Tahap dan tempoh kehidupan ekonomi rakyat berperadaban bergantung pada sifat, kuasa, dan tempoh yang membawa kepada kemunculannya. Oleh itu, sebuah negara yang kuat dapat memperkukuh pemerintahannya dan mengembangkan pentadbiran yang berkesan, menggubal undang-undang yang melindungi kegiatan ekonomi dan mengadakan permintaan bagi barang mewah dan kemahiran khusus melalui perbelanjaan yang meluas dalam prasarana awam, cenderung untuk menggalakkan perkembangan sebuah ekonomi berperadaban.”


Dalam mana-mana bentukan masyarakat (social formation), wujud hubungan dialektik antara asabiyyah pada satu pihak dengan kebangkitan dan kejatuhan kuasa politik pada satu pihak yang lain.  Penjelasan ini turut ditegaskan oleh Soyer dan  Gilbert bahawa “asabiyyah memainkan peranan penting dalam kebangkitan dan kejatuhan peradaban manusia.”   Ibn Khaldun mewujudkan hubungan bersama antara agama dengan asabiyyah.  Dalam skim teoritisnya, beliau merumuskan kesalingan ini bahawa agama dan asabiyyah saling memerlukan antara satu sama lain ketika kedua-duanya memperkukuhkan yang lain pada masa yang sama. Menurut beliau, tidak agama yang dapat berjaya dalam sejarah tanpa asabiyyah sebagai alasan sosialnya.
Bagi Ibn Khaldun, asabiyyah merujuk kepada hubungan persanakan, agama yang jeleketan   dari segi sosial, seperti agama Islam yang menyediakan ungkapan yang mengesahkan aspirasi ketua suku kaum  untuk autoriti diraja (mulk), dan memperkukuh ketua suku kaum menerusi perdagangan, harta rampasan,  penjarahan, dan penaklukan.  Asabiyyah merupakan jalinan atau ikatan sosial yang menjadikan bangsa bersatu padu.  Asabiyyah mempunyai dua peranan, iaitu menubuhkan solidariti dan kekuatan jiwa dalam kelompok atau kumpulannya dan juga mempersatukan berbagai-bagai asabiyyah yang bertentangan sehingga menjadi kelompok manusia yang lebih besar.  
Menurut Syed Farid Alatas, asabiyyah  Ibn Khaldun, ialah perasaan tentang kesamaan dan kesetiaan terhadap sesebuah kumpulan, yang terutamanya dibina berdasarkan ikatan   darah. Terdapat tiga jenis hubungan yang membentuk asabiyyah, iaitu ikatan darah, hubungan penaung-klien (clientship), dan perikatan. Jenis asabiyyah ditentukan unsur mana yang lebih dominan daripada setiap unsur. Asabiyyah yang muncul terutamanya kerana ikatan darah adalah yang paling kuat dan lebih dipercayai  serta mencipta perasaan soladiriti yang paling kuat. Namun begitu, ketika unsur kekeluargaan merosot,  maka hubungan penaung-klien  dan perikatan bisa menjadi unsur dominan dalam hubungan kumpulan, mengangkat bentuk asabiyyah yang sebelumnya lebih  lemah.
Sementara itu, `Abd. Al-Razaq Majid, seperti yang dipetik oleh Indriaty Ismail menyatakan: “Sekiranya kita meneliti Muqaddimah Ibn Khaldun, kita akan dapat mengenal pasti  penggunaan istilah asabiyyah kepada dua pengertian, iaitu perasaan bersungguh-sungguh yang timbul atas asas pertalian darah dan ikatan kekeluargaan tertentu disebabkan oleh tabiat semula jadi, dan kedua, asabiyyah diertikan sebagai puak atau golongan. Pengertian pertama nampaknya mendapat tempat yang utama dalam huraian beliau tentang kehidupan kemasyarakatan.”
Asabiyyah berdasarkan ikatan darah merupakan bentuk solidariti yang paling kuat. Ikatan darah yang mengukuhkan  asabiyyah adalah yang berasal daripada leluhur yang sama, jelas, dan meyakinkan, sehingga memunculkan perasaan saling membantu dan saling menyayangi. Oleh sebab itu, kumpulan dengan ikatan darah yang lebih kuat akan memiliki asabiyyah yang lebih kuat dan lebih unggul sejauh tahap saling membantu dan saling menyayangi antara mereka lebih besar. Kepimpinan sesebuah masyarakat harus muncul daripada mereka yang berasal daripada leluhur yang sama.
Perasaan kumpulan wujud berdasarkan keturunan atau pertalian darah, dalam kalangan masyarakat Badwi  yang dari segi ekonomi bergiat dalam bidang pertanian dan penternakan, dan dari segi geografi, mereka tinggal di padang pasir. Hidup dalam kemiskinan dan dalam persekitaran yang sukar mendorong mereka untuk membentuk perasaan kumpulan dan mewujudkan kepercayaan dan saling bekerjasama antara satu sama lain. Melalui pertalian  darah inilah, nilai dan norma dibina dengan kukuh, sehinggakan “meskipun perasaan kumpulan yang baharu dimajukan, kumpulan ini tidak sekuat seperti perasaan kumpulan asal, kerana ketiadaan pertalian darah.”  Dari segi ekonomi, keturunan menjalankan fungsi memperluaskan lingkungan persanakan, dan oleh itu, bilangan orang yang dapat dipercayai dalam perusahaan ekonomi.
Selain pembentukan asabiyyah melalui silaturahim yang merupakan dasar utama pembentukan, menurut  Indriaty, dasar yang kedua pembentukan asabiyyah menerusi perhubungan antara maula (tuan) dengan hamba-hambanya atau sistem perhambaan, atau dalam bentuk kabilah, hubungan antara ketua dengan anggota kabilah di bawah pimpinannya. Menurut Ibn Khaldun, hubungan yang terjalin dalam kepimpinan akan mencetuskan kesan yang sama seperti ikatan yang terhasil menerusi keturunan. Kedua-dua dasar asabiyyah, iaitu silaturahim dan hubungan antara maula dengan hamba-hambanya akan membangkitkan kesedaran anggota kabilah untuk mempertahankan hak, pegangan, dan perasaan kekabilahan mereka.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...