Artikel Popular

Tuesday, January 15, 2019

Berakhirnya Hegemoni Melayu

SELASA, 15 Januari 2019
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Dengan menggunakan konsep “hegemoni” yang biasanya dikaitkan dengan pemikir Marxis Itali, Antonio Gramsci, Thock Ker Pong dalam bukunya, Ketuanan Melayu   mengesan kemunculan hegemoni Melayu selepas Peristiwa 13 Mei 1969, iaitu hegemoni politik, hegemoni ekonomi, dan ekonomi budaya (Thock, 2005: 71 – 85). Pembentukan Barisan Nasional memacu kekuasaan politik Melayu. Dengan keanggotaan yang lebih besar, kepentingan bukan Melayu tidak lagi hanya diwakili oleh MCA dan MIC. Kehegemonian politik Melayu juga dapat dilihat dalam proses persempadanan semula kawasan pilihan raya. Kehegemonian ekonomi Melayu adalah melalui campur tangan kerajaan dalam ekonomi dan penubuhan perbadanan awam ketika pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), penyertaan dalam bidang perniagaan, pemilikan modal saham,  penyusunan semula masyarakat,  perancangan pendidikan dan latihan, dan kelahiran golongan profesional. Kehegemonian budaya berlaku melalui penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) pada tahun 1971, yang bermatlama pengukuhan dan pencapaian perpaduan negara, keperibadian kebangsaan, dan kualiti kehidupan. Hujah Thock, seiring dengan perkembangan nasionalisme politik dan ekonomi, nasionalime kebudayaan Melayu turut memuncak pada masa itu. Dengan tunjangan nasionalisme ini, elit politik dan budayawan Melayu ingin melihat pembinaan negara bangsa berlandaskan satu kebudayaan dan satu bahasa. Kerajaan yang dikuasai oleh UMNO menerapkan dasar asimilasi untuk menangani masalah kemajmukan etnik dan budaya di Malaysia. Dasar ini dilaksanakan untuk memastikan kehegemonian budaya Melayu tercapai (Thock, 2005: 84).
Sama ada disedari ataupun tidak, hegemoni politik UMNO mula kelihatan  terhakis dalam pilihan raya umum 1999 akibat pelancaran Reformasi bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Meskipun UMNO mara semula dalam pilihan raya umum 2004 yang menyaksikan Barisan Nasional meraih kemenangan besar-besaran. Namun begitu, kejayaan cemerlang ini tidak dapat dipertahankan dalam pilihan raya umum yang diadakan empat tahun kemudian dan gagal bangkit dalam pilihan raya umum 2013. Dalam pilihan raya umum 2018, Barisan Nasional yang diterajui oleh UMNO tewas dan kehilangan kuasa yang dipegangnya selama kira-kira 60 tahun. Sekiranya kita berpegang pada tafsiran Thock bahawa kegemonian politik Melayu bertunjangkan UMNO, maka keputusan pilihan raya itu dan ekoran kekalahan itu, jelas menunjukkan berakhirnya kehegemonian politik Melayu.
Demikian juga dengan kehegemonian ekonomi Melayu yang juga terhakis sejak krisis kewangan Asia 1997-1998 yang menyaksikan banyak ahli perniagaan Melayu tumpas dan kebanyakannya tidak bangkit semula, manakala beberap buah  syarikat kepentingan Melayu terpaksa diberikan pelan penyelamat dan berpindah tangan. Persengketaan yang  berpanjangan dalam politik Melayu, antara UMNO dengan PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan terutamanya antara Dr. Mahathir dengan Anwar sejak September 1998 yang  berpanjangan hampir dua dekad turut menjejaskan kehegemonian ekonomi Melayu.
Kehegemonian budaya Melayu yang bersandarkan DKK mengalami nasib yang sama. DKK sejak pelaksanaannya mendapat tentangan kuat daripada orang bukan Melayu, iaitu Cina dan India. Sejak berdekad-dekad lalu DKK tidak kedengaran, meskipun kementerian yang berkait dengan kebudayaan masih wujud dan bekas Perdana Menteri, Mohd. Najib, pernah melantik bekas menteri sebagai penasihat sosiobudaya. Meskipun (tokoh) budayawan Melayu kelihatan muncul di sana sini, terutamanya dalam seminar, kongres,  wawacana, dan sebagainya, mereka boleh dikatakan tumpas di tangan “pahlawan budaya”  dan golongan yang memperjuangkan fahaman pelbagai budaya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...