Artikel Popular

Wednesday, December 3, 2014

Menurap Laluan ke 270

RABU, 3  Disember 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Pada Disember 2011, pengurus kempen Obama, Jim Messina mengemukakan lima kemungkinan laluan untuk Presiden Barack Obama memperoleh 270 undi badan perwakilan pemilih dan kesemuanya kelihatan sukar.  Akan tetapi, 10 bulan dan banyak tinjauan pendapat kemudian, laluan yang sukar kelihatan lebih mudah. Bahkan, menurut laporan Associated Press, kempen Obama meninjau kemungkinan mara  ke negeri yang di luar jangkauan mereka, iaitu Arizona.
            Laluan kempen pemilihan semula Obama, seperti yang dicatatkan oleh Elspeth Reeve dalam The Atlantic Wire, berasaskan negeri yang John Kerry menang pada tahun 2004, dicampur negeri lain, sama ada (1) Florida, atau (2) Ohio dan Iowa, atau (3) Virginia dan North Carolina, (4) Colorado, New Mexico, Nevada, dan Iowa, atau (5) Arizona, Colorado, Nevada, dan New Mexico tanpa New Hampshire dan Pennsylvania.  Reaksi cerdik pandai ialah penuh keraguan.
            Kebanyakan ramalan menunjukkan, sama ada  Obama  melepasi  ataupun menghampiri garisan.  Misalnya, CNN melalui peta pilihan rayanya menjangkakan  Obama  mempunyai 237 undi badan perwakilan pemilih berbanding 206 undi bagi pencabarnya, Mitt Romney, manakala  95 undi dianggap “lambung duit” yang melibatkan lapan buah negeri berayun, iaitu Nevada (enam undi),  Colorado (sembilan undi),  Iowa (enam undi), Wisconsin (10 undi), Florida (29 undi), Ohio (18 undi), Virginia (13 undi),   dan New Hampshire (empat undi).    Dari segi matematik, kebanyakan bijak pandai menganggap laluan Obama untuk memperoleh 270 undi badan perwakilan pemilih lebih mudah berbanding dengan Romney. 
Daripada sejumlah negeri berayun, hanya dua   buah, menurut tinjauan pendapat, dijangkakan dikuasai oleh Romney, iaitu Florida, North Carolina, dan Virginia.  Namun, apabila keputusan Pilihan Raya Presiden diumumkan, Romney hanya memenangi North Carolina, manakala keputusan untuk Florida, ketika makalah ini ditulis, belum lagi diumumkan, walaupun pengiraan sudah selesai dengan Obama mendahului Romney 49.8 peratus berbanding 49.3 peratus. 
Barack Obama, seperti yang pernah dibahaskan oleh Charlie Cook dalam National Journal, mempunyai laluan yang terbentang luas untuk kemenangan berbanding dengan Romney.  Setelah menyenaraipendekkan negeri berayun kepada tujuh buah,  iaitu Colorado, Florida, Iowa, New Hampshire, North Carolina, Ohio, dan Virginia, yann mempunyai 94 undi, tegas Cook, Romney memerlukan 79 undi; Obama hanya 17 undi.  Obama, menurut beliau lagi, mempunyai kelebihan hasil daripada iklan awal yang memburuukkan lawannya, Romney.
Jangkaan cerdik pandai, peninjau pendapat, dan peramal bahawa Obama menguasai negeri berayun  memang tepat apabila kira pukul 12.20 tengah hari (7 November, waktu Malaysia), beliau memperoleh 275 undi badan perwakilan pemilih setelah beliau menang di Ohio. Ketika itu, Obama juga mendahului Romney di beberapa negeri berayun lain, dan tatkala  Romney terpaku pada 230 undi, Obama terus melebarkan jarak dengan meraih 284 undi, kemudian 290 undi.  Kesudahannya, tanpa Florida,    Obama berjaya memperoleh 303 undi berbanding 206 undi untuk Romney. 
Beberapa hari sebelum Hari Pilihan Raya pada 6 November, tinjauan pendapat menyatakan bahawa Obama dan Romney terikat di peringkat nasional, tetapi Obama mendahului pencabarnya di peringkat  negeri.  Hal ini bermakna Obama akan memenangi undi badan perwakilan pemilih untuk kekal sebagai Presiden  bagi  satu penggal lagi, tetapi berkemungkinan undi popular dikuasai oleh Romney.  Namun, apabila keputusan pilihan raya diketahui, Obama juga menguasai undi popular, iaitu 59,848,870 undi (50.3 peratus), manakala Romney memperoleh 57,172,920 undi (48.1 peratus).
Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tahun 2012 berlangsung ketika ekonomi negara itu masih teruk, iaitu pertumbuhan dalam lingkungan dua peratus, dan  kadar pengangguran pada bulan Oktober yang diumumkan pada hari Jumaat sebelum Hari Pilihan Raya, meningkat kepada 7.9 peratus daripada 7.8 peratus bulan September. Dalam ekonomi  seperti itu, Obama dijangkakan mengalami nasib yang sama dengan penjawat kini lain, seperti Perdana Menteri British Gordon Brown dan Presiden Perancis Nicolas Sarkozy. 
Walau bagaimanapun, Presiden Barack Obama mencipta sejarah sekali lagi, dengan kemenangan yang melanggar trend berdekad-dekad lamanya bahawa di Amerika Syarikat, penjawat kini tidak akan menang apabila  ekonomi masih dalam kemurungan dan sentimen awam masih resah.  Dengan kata lain, Obama boleh berpuas hati dengan tempoh sepenggal sahaja di Rumah Putih,  lebih-lebih lagi kerana ekonomi dijangkakan merupakan faktor utama dalam pilihan raya kali ini, sebagaimana empat tahun lalu. 
Sementara beberapa tinjauan pendapat pula menunjukkan bahawa rakyat Amerika lebih yakin pada Romney untuk menangani ekonomi dan  dasar luar untuk Obama.  Malangnya, Romney dan kempennya gagal  memanfaatkan kelebihan beliau ini sebaik mungkin.   Terbukti bahawa seperti yang dibahaskan oleh John Tamny dalam Forbes, para penasihat ekonomi Romney yang menyebabkan beliau kalah dalam pilihan raya.
 Romney  hanya  mengkritik dasar ekonomi Pentadbiran Obama  yang menurut beliau,  gagal, tetapi beliau sendiri gagal  memperkenalkan dasar ekonominya.  Dasar cukai yang beliau perkenalkan dipersoalkan oleh banyak pihak,  termasuk oleh ahli ekonomi dan janji beliau untuk mewujudkan 12 juta pekerjaan dalam penggal pertama beliau jika dipilih sebagai Presiden diragui. Romney   juga seakan-akan mengharapkan “bulan jatuh ke riba” pada hari Jumaat pertama setiap bulan apabila laporan pekerjaan diumumkan.  Apabila setiap kali diumumkan bahawa kadar pengangguran masih tinggi, bahkan lebih lapan peratus, Romney dan kempennya “melompat keriangan” sehingga wujud tafsiran bahawa beliau mempunyai kecenderungan untuk bergembira atas kesusahan orang lain,  walaupun beliau bertujuan memperlekeh Obama.
Dalam kalangan Republikan sendiri, ada yang meragui bahawa ekonomi merupakan pengubah permainan  kerana menurut mereka, jika demikian, Obama sudah lama berkubur.  Sebaliknya, Obama terus kuat, bahkan melalui kempennya, mereka sejak awal lagi berjaya mentakrifkan Romney mengikut kehendak mereka.  Melalui iklan khususnya,  kempen Obama menggasak Romney, terutamanya tempoh pemegangan jawatan beliau sebagai ketua ketua eksekutif di Bain Capital.  Serangan mereka terhadap Romney menjadi lebih mudah kerana Romney sendiri melakukan kesilapan bodoh, seperti ketika beliau melawat London, sempena Sukan Olimpik, Baitulmuqqadis, dan Warsaw.  Tatkala Romney terhuyung-hayang kerana digasak oleh kempen Obama, pada pertengahan September, David Corn mendedahkan dalam Mother Jones pita video tentang majlis pungutan derma untuk Romney yang berlangsung di Florida pada bulan Mei.  Dalam majlis itu, Romney mengatakan “47 peratus penyokong Obama tidak membayar cukai dan hidup mereka bergantung pada kerajaan.”
Sepanjang  bulan September, Mitt Romney kelihatan serba tidak kena, daripada Persidangan Kebangsaan Parti Republikan yang berlangsung pada akhir Ogos yang tidak memperlihatkan lantunan yang tinggi,  kepada pita video yang dikenali “47 peratus” itu. Jika pilihan raya diadakan pada bulan tersebut, pastinya Obama menang besar.  Sekali lagi puak konservatif berasa risau bahawa Romney yang laluannya ke Rumah Putih memang sempit, sedang menuju ke arah kekalahan. 
Walau bagaimanapun, keadaan berubah secara mendadak selepas   debat pertama Presiden di Denver, Colorado pada 3 Oktober,  yang menyaksikan prestasi buruk Obama.  Beliau yang kelihatan tidak bersedia dan terpinga-pinga – kalau dalam masyarakat Malaysia seakan-akan kena pukau –  “jatuh tersungkur”  dikerjakan oleh Romney.  Kegagalan Obama untuk mengenakan “paku terakhir pada keranda” Romney  membolehkan lawannya bangkit semula.  Sebaliknya,  Obama kelihatan berundur sehingga berlangsung  debat Naib Presiden antara Joe Biden dengan Paul Ryan, yang berkesudahan dengan Biden berjaya menghalang  “jatuh bebas” Obama.  Seterusnya, Obama dapat menyekat pendarahan berikutan kejayaannya dalam debat kedua Presiden.  Kejayaan Obama dalam debat itu dan debat ketiga, iaitu debat terakhir,  sekadar menebus kekalahan beliau dalam debat pertama, tetapi tidak banyak menghasilkan lantunan.  Dalam pada itu, momentum Romney wujud sejak debat pertama tiba-tiba lesu, manakala Obama memperkukuh kedudukannya semula.
Daniel Gross yang menulis dalam The Daily Beast sebaik-baik sahaja Obama menang dalam pilihan raya, cuba mengesan titik tolak kebangkitan semula Obama akibat kalah teruk dalam debat pertama itu.   Obama, tegas Gross, dapat menstabilkan kedudukannya  pada akhir bulan itu berikutan pengumuman oleh Biro Perangkaan Buruh pada Jumaat 6 Oktober bahawa 114,000 pekerjaan baru diwujudkan pada bulan September dan kadar pengangguran jatuh kepada 7.8 peratus daripada 8.1 peratus bulan Ogos – kali pertama di bawah lapan peratus sejak Januari 2009 – ketika Obama mula memegang jawan Presiden  Kejatuhan kadar pengangguran ini sukar diterima oleh Romney dan puak konservatif yang menyokong beliau, lalu mereka mendakwa bahawa Pentadbiran Obama mereka-reka data berkenaan demi kepentingan pilihan raya beliau.  “Laporan itu,” tulis Gross, “adalah penting dari segi psikologi, ekonomi, dan politik.  Kebanyakan cerdik pandai memikirkan Ohio merupakan tembok api Presiden Obama.  Akan tetapi, data pengangguran yang benar-benar menjadi kubu beliau yang tidak boleh ditawan.” 
Tatkala rakyat Amerika ternanti-nanti “kejutan Oktober” yang dikatakan akan dicetuskan oleh kempen Romney, tetapi tidak kunjung tiba, pada akhir bulan itu,  Taufan Sandy yang melanda Pantai Timur Amerika Syarikat.  Obama yang dijadualkan berkempen di Florida bersama-sama bekas Presiden Bill Clinton, terpaksa membatalkan program itu dan pulang ke Washington untuk memerhatikan dan memantau taufan itu.  Selama tiga hari beliau tidak berkempen, meninggalkan tugas berat itu kepada Clinton dan Naib Presiden Joe Biden, tetapi nyata bahawa siap siaga beliau untuk menghadapi Taufan Sandy itu membuahkan hasil.  Beliau benar-benar memperlihatkan dirinya sebagai panglima besar Amerika, dan kerana  itu, menurut tinjauan pendapat, rakyat memberikan markah yang tinggi kepada beliau. 
Sebenarnya, Taufan Sandy itu diibaratkan “tuah dalam kemalangan” kepada Obama kerana Republikan, seperti  Gabenor New Jersey – Chris Christie, memuji beliau, sedangkan selama ini, Christie begitu lantang mengkritik beliau.  Sebaik-baik sahaja taufan reda, Obama melawat negeri itu  dengan disambut mesra oleh Christie dan mereka berdua menaiki helikopter meninjau keadaan.  Romney melihat orang harapannya, Christie bersama-sama  Obama,  dengan “hati yang luluh,”   beliau memberitahu pembantunya, walaupun di hadapan khalayak,  beliau seolah-olah menerima seadanya.  Komitmen Obama dalam menghadapi Taufan Sandy mendorong Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg mengumumkan bahawa beliau menyokong Obama.  Dengan pengumuman itu, Romney yang ditinggalkan oleh Christie pada saat genting itu, bagaikan “sudah jatuh ditimpa tangga.”
Beberapa hari sebelum pilihan raya, pasukan Romney memperluas peta mereka dengan “menyerang” Pennsylvania negeri yang dikuasai oleh Demokrat.  Strategi yang munasabah ini menurut cerdik pandai, sebenarnya membayangkan    Romney terpaksa mencari laluan alternatif dalam perjalanan ke Rumah Putih kerana laluannya di negeri berayun semakin sempit.  Beliau tidak boleh lagi mengharapkan laluan Ohio  yang semakin jelas dikuasai oleh Obama, walaupun tidak ada calon Republikan yang menang sebagai Presiden tanpa menang di  negeri itu.  Pada hari Selasa, seminggu sebelum pilihan raya, Romney membeli AS$2 juta dalam iklan televisyen di Pennsylvania, manakala   kumpulan Republikan mencurahkan AS$9 juta tambahan.  Penasihat kanan Presiden Obama, iaitu David Plouffe mengibaratkan usaha terakhir Romney untuk memenangi Pennsylvania “mencampakkan spaghetti ke dinding.”
Penglibatan Bill Clinton secara aktif sejak Persidangan Kebangsaan Parti Demokratik pada awal September dan beliau kelilhatan ke sana ke mari berkempen untuk Obama dan calon Demokrat yang lain, bahkan beliau turun ke Pennsylvania untuk menangkis serangan Romney dan pasukannya, sesungguhnya banyak membantu kemenangan Barack Obama untuk penggal kedua.  Selain itu, Obama mempunyai pasukan kempen yang mantap dan berpengalaman yang pernah mencipta kejayaan  beliau pada tahun 2008.  Mereka, sama ada  berkhidmat di Rumah Putih ataupun di ibu pejabat kempen Obama di Chicago, seperti David Plouffe, David Axelrod, Jim Messina, Stephanie Cutter, dan Robert Gibbs – sekadar menyatakan beberapa nama, terus memberikan sumbangan yang besar kepada Obama kali ini.  Tidak kurang peranan penting Naib Presiden, Joe Biden dan wanita pertama, Michelle Obama, yang bersama-sama menurap laluan kemenangan tersebut.

(Nota:   Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, Disember 2012.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...