Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Selain China, Quebec, dan Perancis, Rusia juga mencuba
untuk mengambil langkah yang sama jika untuk mencegah pencerobohan bahasa asing.
Wujud rang undang-undang terbaru
dari parlimen negara itu, Duma, yang bertujuan menyekat penggunaan tidak
perlu. Penceroboh bahasa akan didakwa
dengan denda yang besar dan berat. Pada tahun lalu, wujud cadangan ahli politik supaya
dibersihkan bahasa Rusia daripada kata pinjaman yang tidak perlu. Walau bagaimanapun, kali ini kelihatan
serius. Rang undang-undang itu telah
mendapat sokongan jawatankuasa budaya Duma yang diketuai oleh Vladimir Bortko,
anggota Parti Komunis dan pengarah filem terkenal. Walaupun masih jauh untuk menjadi undang-undang,
dan bahkan jika diluluskan, belum pastikan dikuatkuasakan, menurut laporan Interfax, melibatkan sekurang-kurangnya 31 perkataan
asing, seperti shtraf (denda), deputat (timbalan), dan kodeks
(kod).
Alexey
Kovalex mengkritik langkah itu
dalam The Guardian pada
pertengahan Jun 2014, atas alasan tidak
realistik kerana perlu mengambil masa beberapa tahun dan melibatkan berbilion
ruble pembayar cukai. (Ruble ialah mata
wang Rusia.) Walau bagaimanapun, beliau menyatakan bukan Rusia sahaja yang
terpaksa bersusah payah untuk memelihara ketulenan leksikal dengan mengemukakan
contoh: Iceland yang tersaurus tidak
banyak berubah sejak abad ke-12, pemimpin boneka rejim Nazi Crotia pernah
mencuba bukan sahaja membersihkan dirinya daripada unsur “yang tidak diingini,” seperti orang Serb,
Yahudi, dan Roma, tetapi juga
bahasanya daripada perkataan “asing.”
Rusia
juga menyekat penggunaan perkataan yang dianggap kesat apabila pada Mei lalu, Presiden Vladimir
Putin menandatangani undang-undang cabul.
Undang-undang itu menyenaraikan penggunaan empat perkataan
sumpah khusus dan derivatif perkataan itu, terutamanya leksikon lucah dan
girang yang dikenali sebagai “kusam” (mat) Rusia dalam persembahan awam kerana boleh
didenda sehingga 2,500 ruble (AS$70) bagi individu dan sehingga 50,000 ruble
bagi syarikat dan organisasi.
“Peristiwa bahasa” muncul sekali-sekala di pentas dunia.
Seperti yang dibincangkan, Rusia mengambil langkah mengawal “wilayah” bahasa
Rusia, di samping memelihara ketulenan bahasa itu. Meskipun tidak serancak peristiwa lain,
seperti Piala Dunia 2014, Negara Islam
Iraq dan Syria (ISIS), dan keganasan Israel di Gaza, impak sesuatu keputusan
atau tindakan yang berkait dengan bahasa, khususnya dari segi hubungan antarabangsa atau
geopolitik tidak boleh dipandang ringan.
Sementara
itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menggunakan “helah bahasa” demi
kepentingan dan kelangsungan Israel. Ketika
pertemuan awam di Baitulmuqqadis pada
akhir Mei tahun ini, beliau dilaporkan
“bertikam lidah” dengan Pope Francis tentang bahasa yang dituturkan oleh Jesus dua
alaf lalu. Netanyahu memberitahu
Francis, “Jesus di sini, di tanah ini.
Jesus bertutur dalam bahasa Ibrani” untuk menunjukkan hubungan erat
antara Judaisme dengan Kristian. Walau
bagaimanapun, Pope mencelah, “bahasa Aramia.”
“Jesus bertutur dalam bahasa Aramia, tetapi Jesus tahu bahasa Ibrani,”
Netanyahu menjawab balik.
Oleh
sebab Netanyahu beria-ia mengaitkan bahasa Ibrani dengan
Jesus, maka beliau dapat ditafsirkan menggunakan
bahasa dari segi politik untuk mendapatkan wilayah untuk Israel. Beliau boleh diibaratkan dalam “satu kapal” dengan Putin: menggunakan bahasa untuk pengilhakan (annexation).
Presiden Rusia itu beberapa bulan lalu mewajarkan pencerobohan Rusia terhadap
Ukraine dengan alasan untuk menyelamatkan penutur bahasa Rusia di negara itu.
Netanyahu pula mencuba untuk menggunakan bahasa yang dituturkan oleh Jesus
untuk mewajarkan Israel menduduki wilayah Palestin.
Sebagaimana
banyak perkara di Timur Tengah, wacana zaman moden tentang Jesus dikatakan
rumit dan selalunya politik. Bagi orang Yahudi, Jesus lahir di Bethlehem,
wilayah Judea yang diperintah oleh Rom, yang kini Tebing Barat yang diduduki oleh Israel.
Orang Palestin pula ada kalanya menjelaskan Jesus sebagai Palestin. Akan tetapi, Israel menentang penjelasan itu.
Jauh di
Australia, Perdana Menteri Tony Abbott memberitahu bahawa beliau enggan merujuk Baitulmuqqadis Timur “diduduki” (occupied), yang bagi beliau, hanya
soal tatabahasa. Beliau menjelaskan
bahawa “diduduki” ialah perkataan yang sukar untuk kerajaan Australia
sebut. Dalam tindakan susulan, Abbott berkata, meskipun tidak wujud
perubahan dalam dasar, “Kami secara mutlak enggan merujuk Baitulmuqqadis Timur
‘diduduki.’”
Sementara
itu, Peguam Negara George Brandis menerangkan kata nama betul “Diduduki” (Occupied)
dipertikaikan. Brandis berulang-ulang kali menjelaskan istilah itu
sebagai “menimbulkan perbalahan,” di samping “andaian sangat, sangat
kontroversi” dan “terbeban” (loaded). Brandis yang enggan berganjak, mengulangi
pendiriannya dalam kenyataan: “Australia menyokong penyelesaian damai
untuk pertikaian antara Israel dengan rakyat Palestin, yang mengiktiraf hak
Israel untuk wujud secara aman dalam sempadan yang terjamin dan juga
mengiktiraf aspirasi taraf negara rakyat
Palestin... Penjelasan Baitulmuqqadis sebagai ‘Baitulmuqqadis Timur Diduduki’ ialah istilah diwajibkan dengan
implikasi pejoratif, yang tidak sesuai dan tidak berguna. Sepatutnya tidak dan tidak akan menjadi
amalan kerajaan Australia untuk menjelaskan kawasan rundingan dalam bahasa
pertimbangan sedemikian.”
Brandis
secara berani membuat kenyataan tersebut, meskipun Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara eksplisit menyatakan pada Februari tahun ini
bahawa: “Majlis Hak Asasi Manusia menegaskan bahawa penempatan dan aktiviti
Israel di Wilayah Palestin Diduduki,
termasuk Baitulmuqqadis Timur, adalah menyalahi undang-undang antarabangsa.”
Keputusan
kerajaan Australia untuk menghentikan penggunaan pemerihal berhuruf besar
“Diduduki” dalam hubungan dengan Baitulmuqqadis Timur dianggap melanggar
undang-undang antarabangsa dan konvensyen domestik, dan yang terbaru dalam siri
tindakan menunjukkan sokongan kerajaan terhadap Israel dan program
penempatannya. Perubahan bahasa yang
digunakan oleh kerajaan Australia untuk merujuk Baitulmuqqadis Timur diduduki
dianggap entah dari mana, tetapi hal itu menandakan agenda propenempatan Parti
Konservatif yang semakin meningkat. Namun begitu, Australia kelihatan menerima
padah akibat keterlanjuran menganjak peristilahan kerana menerima kutukan
antarabangsa dan domestik.
Walaupun
hanya sekadar melibatkan penggunaan huruf besar “D” (atau “O” bahasa Inggeris), implikasinya agak serius:
Australia bagaikan terjebak dalam perang Arab-Israel. Dalam
kalangan penyokong Israel, mereka menyanjung pendirian kerajaan Australia itu,
manakala kumpulan Arab mengkritik. Kumpulan duta besar dari negara Islam,
termasuk pasaran eksport lembu dan biri-biri utama, mengeluarkan amaran bahawa
mereka boleh menyekat eksport ladang Australia ke Timur Tengah jika pendirian
tersebut tidak diubah. Amaran itu
melahirkan kebimbangan petani
Australia.
Terlajak
perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Kerajaan Australia terpaksa
menganjak pendiriannya dengan sewajarnya.
Dalam surat bertarikh 19 Jun,
kepada duta besar Maghribi, Menteri Luar Julie Bishop berkata, kenyataan
Brandis “adalah tentang tatanama, dan bukannya komen terhadap status
perundangan Wilayah Palestin.” Dalam
usaha memujuk pemimpin Arab di Australia, ketua Delegasi Umum Palestin ke
Australia, Izzat Abdulhadi, memberitahu akhbar Haaretz, Bishop “menekankan bahawa maksud Brandis bahawa kerajaan tidak akan
menggunakan istilah ‘Baitulmuqqadis Timur Diduduki’ dengan huruf Besar ‘D’
(‘O’) sebagai kata nama yang betul, tetapi akan terus menggunakan huruf kecil
‘d’ (‘o’) dalam menjelaskan status perundangan Baitulmuqqadis Timur sebagai
‘diduduki.’”
Dalam usaha
mengawal kerosakan, kerajaan Australia akan menasihati rakan sejawatan Islam
bahawa tidak wujud anjakan terhadap dasar Timur Tengah negara itu untuk meredakan
“reaksi berlebihan” terhadap keputusannya menghentikan sebutan Baitulmuqqadis
Timur “diduduki.” Negara Islam yang naik
berang terhadap perubahan itu, yang mereka katakan dibuat tanpa perundingan
sehingga mencetuskan hiruk-pikuk diplomatik. Sesetengah negara Islam dilaporkan
mempertimbangkan usul di Perhimpunan Agung PBB mengutuk Australia.
Isu ini
tercetus hanya beberapa minggu lawatan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu ke
Australia yang belum diumumkan secara rasmi. Beliau mengalu-alukan perubahan
perkataan, berkata, langkah Australia itu, “berani” dan “menyegarkan.” Beliau berkata, Australia enggan untuk
“menyucikan dusta,” dan setiap orang yang berminat terhadap penyelesaian secara
aman sepatutnya sedar bahawa penyelesaian mesti berasaskan kebenaran dan bukan
“dusta sejarah.”
Di Timur
Tengah, dikatakan era baru geopolitik taifah
bermula. Apakah geopolitik bahasa
juga bermula di beberapa wilayah tertentu?
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam
Dewan Bahasa, di bawah judul, “Membentengi Wilayah daripada Bahasa Penjajah,” September, 2014.)