Artikel Popular

Friday, June 1, 2012

Kesejahteraan Idaman Setiap Orang

JUMAAT, 1 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Steve Forbes yang menulis bahawa Jepun dan Eropah membunuh diri sendiri, mengharapkan Amerika Syarikat akan menerajui dunia semula untuk kemakmuran. Sementara Forbes melihat kesejahteraan di peringkat negara dan global, Warren Buffett pula mencadangkan keseimbangan antara pekerjaan dengan kehidupan di peringkat invididu, yang juga menjadi tumpuan Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) untuk negara anggotanya. 

Baik kemakmuran mahupun keseimbangan antara pekerjaan dengan kehidupan, yang jelas bahawa wujud usaha untuk mengukur sesuatu, yang melampaui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Kini, lebih banyak tumpuan diberikan terhadap kegembiraan.  


Vivienne Walt yang menulis dalam Time pula membahaskan mengapa setiap orang cuba mengukur kesejahteraan, mencatatkan pengalamannya menjamu selera pada suatu petang di kaki lima  di Paris, yang  benar-benar sengsara. Meskipun Perancis merupakan negara yang paling dilawati di dunia, tinjauan pendapat Gallup International menunjukkan negara itu paling pesimistik dalam kalangan 51 buah negara yang dikaji. 

"Empat puluh tahun selepas indeks Kegembiraan Negara Kasar direka cipta oleh Raja Bhutan," bahas Vivienne, "kegembiraan akhirnya mendapat kuasa tarikan sebagai petunjuk negara yang serius."  Jelas beliau, "Minggu lalu, ahli ekonomi di OECD, yang mewakili 34 ekonomi utama, memberitahu khalayak yang penuh sesak di dalam auditorium di Paris bahawa mereka berharap Indeks Kehidupan yang Lebih Baik dilancarkan setahun lalu akan memujuk kerajaan memberikan tumpuan sebanyak mungkin terhadap faktor, seperti alam sekitar kepaduan komuniti, sebagaimana ukuran KDNK, seperti produktiviti dan pendapatan


Dari segi pertumbuhan KDNK, dua buah negara yang sering  menjadi tumpuan, iaitu China dan India.  Untuk China pertumbuhan ekonomi tidak selalunya kegembiraan yang sama,  seperti kajian Pew Research Center's Global Attitudes Project, dan kertas kerja yang dibentangkan oleh pasukan dari University of Southern California, yang diketuai oleh Richard Easterlin.  Sementara India pula, lebih 30 peratus penduduknya "sengsara" dan merasakan  masa depan mereka gelap, menurut kajian Gallup.  Di India juga, diskriminasi dan keganasan terhadap kaum wanita, menurut A.R. yang menulis dalam The Economist, semakin berleluasa.


Apabila kesejahteraan dan kegembiraan sering diperkatakan, dan disyorkan dijadikan sebagai petunjuk untuk sesebuah negara, ini bukan bermakna bahawa keusangan KDNK.  Sebalinya, kesejahteraan dan kegembiraan merupakan pelengkap KDNK.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...