Artikel Popular

Wednesday, June 27, 2012

Keluaran Dalam Negara Kasar Dunia

KHAMIS, 28 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pertumbuhan ekonomi dunia, menurut carta harian The Economist, meningkat pada tiga bulan pertama tahun ini, mengukur Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global, berdasarkan 52 negara. Output pada suku pertama tahun 2012 berkembang sebanyak 2.9 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu, satu persepuluh titik perpuluhan lebih tinggi berbanding suku tahun sebelumnya.  

Walau bagaimanapun, langkah jimat-cermat disertai dengan ketidakpastian tentang masa depan euro, menyaksikan ekonomi kawasan mata wang bersama itu merosot  sedikit.  Dan yang lebih membimbangkan tanda kejatuhan sumbangan kepada KDNK global oleh negara BRIC, yang dianggap secara meluas merupakan kuasa pemacuan di sebalik pertumbuhan global.  Pertumbuhan ekonomi di Brazil, India, dan China perlahan pada suku pertama lalu.  Di Amerika, meskipun tanda pemulihan boleh menyahpecut, pertumbuhan suku pertama hampir mencecah dua peratus, dipacu terutamanya oleh penggunaan dan eksport.


Ekonomi sesebuah negara mempunyai gambaran yang berbeza-beza, baik dari segi pemulihan mahupun pertumbuhan.  Ekonomi Amerika Syarikat, menurut laporan Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD),  pulih. Laporan yang diterbitkan setiap dua tahun, menyatakan bahawa pemulihan Amerika Syarikat memperoleh rentak, tetapi masih lemah, dengan negara itu menghadapi masalah, seperti rekod pengangguran jangka panjang, ketidaksamaan pendapatan, dan kekurangan pelaburan dalam bidang pendidikan dan inovasi.   


Laporan itu menyatakan masalah  yang sering diperkatakan sekarang, khususnya  oleh Joseph Stiglitz, yang menulis di sana sini, yang terbaharu dalam The Financial Times:    ketidaksamaan. Selain itu, telah diketahui umum bahawa Amerika Syarikat menanggung hutang yang besar, iaitu 102 KDNK, jauh lebih tinggi daripada purata Kesatuan Eropah 83 peratus dan Kanada kira-kira 85 peratus. Hal ini membangkitkan persoalan: berapa bahayanya hutang negara itu?  


Sementara itu, Bank of England memberikan amaran bahawa tinjauan ekonomi United Kingdom yang telah pun terjebak ke dalam kemelesetan curam berganda,  semakin teruk. Sepanyol dan Italy pula bergelut dengan halangan ekonomi yang baru, iaitu kos peminjam meningkat dan pasaran saham jatuh.  Oleh sebab Cyprus memohon pelan penyelamat, maka timbul ketakutan tentang jangkitan yang melanda zon euro - merumitkan dan menajamkan lagi krisis di zon tersebut. 


Rana Foroohar yang menulis dalam Time keluaran 18 Jun, mendedahkan bahawa pertumbuhan KDNK perlahan di ekonomi terbesar dunia, misalnya diunjurkan pada tahun ini tumbuh hanya dua peratus, China lapan peratus, BRIC enam peratus, dan zon euro menguncup sebanyak 0.3 peratus. Sementara Eropah yang dilanda kemelesetan pada tahun ini, pertumbuhan dua peratus boleh membangkitkan keseronokan. Eropah yang dilanda krisis hutang diibaratkan "Bad Romance" memetik lagu Lady Gaga.


Berhubung dengan pertumbuhan perlahan dan masalah ekonomi lain yang dialami oleh negara BRIC, hal ini disedari dan sering dibangkitkan sejak akhir-akhir ini.  Misalnya, baru-baru ini, Bloomberg mendedahkan penurunan nilai mata wang negara tersebut  sejak tahun 1998, menjadi semakin teruk. 


Jim O'Neill, Pengerusi Goldman Sachs Asset Management, yang memperkenal konsep BRIC, melahirkan kebimbangan terhadap empat negara itu - Brazil, Rusia, India, dan China kerana para pelabur mencampakkan saham negara berkenaan. China memotong sasaran pertumbuhannya kepada kadar terendah sejak tahun 2004, penarafan kredit gred pelaburan India mungkin dipotong, pertumbuhan ekonomi Brazil terus kurang daripada tiga peratus untuk dua tahun berturut-turut, dan kejatuhan harga minyak mungkin menjejaskan Rusia.  Kemerosotan yang berpanjangan yang dialami oleh empat negara itu memberikan ancaman baru terhadap ekonomi dunia yang masih lemah sejak berakhirnya kemelesetan pada tahun 2009.


India diberikan gambaran seakan-akan cerita pertumbuhannya  berakhir, dan  seperti yang ditunjukkan dalam The Economist, kadar pertumbuhan India jatuh kepada 5.3 peratus mungkin tidak penting, tetapi kadar itu adalah yang terendah dalam tujuh tahun, dan menggerutup keajaiban ekonomi membawa kos sosial yang dapat melebihi kesakitan zon euro.  Selain itu, yang pada takat tertentu  juga ada kaitannya dengan BRIC, iaitu keajaiban Asia, menurut Antoine Van Agtmael dalam Foreign Policy, sudah berakhir, iaitu kemerosotan memang benar. 


Di samping India, Brazil diperhatikan kehilangan "lembu jantan" apabila  ekonomi hanya tumbuh 2.7 peratus pada tahun 2011, jauh ditinggal oleh negara lain dalam BRIC, iaitu Rusia, India, dan China mampu mencatatkan pertumbuhan antara 4.3 peratus hingga sembilan peratus. 

BRIC  turut  menerima kesan buruk daripada krisis zon euro, tetapi tiga negara  BRIC, iaitu Brazil, India, dan China  juga memainkan peranan aktif dari segi menghulurkan bantuan kepada negara membangun lain. Untuk China dan Brazil, Charles Kenny yang menulis dalam Foreign Policy mencadangkan supaya kedua-dua negara itu "membangun;" kedua-duanya baru kaya - gambaran yang elok bahawa sekurang-kurangnya dua negara BRIC merupakan negara kaya. 


Meskipun carta harian yang dipetik pada permulaan tulisan ini menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi dunia meningkat pada suku pertama tahun 2012, yang jelas kemelesetan masih lagi menghantui, bahkan, seperti yang dibahaskan oleh  Kenneth Rapoza dalam Forbes, dunia terjunam ke kemelesetan semula. 


Keterukan kemelesetan yang berlaku sekarang, seperti yang ditegaskan oleh Jack A. Goldstone dalam The Atlantic, "memang teruk berbanding dengan apa yang anda fikirkan.  Separuh masa antara dua dekad yang hilang." Jelas beliau ekonomi Brazil secara praktik tegun pada suku pertama, semua angka pembuatan China menunjukkan pertumbuhan yang sangat rendah jika dibandingkan dengan tahun lalu, Britain kekal dalam kemelesetan, sistem perbankan Sepanyol memerlukan pertolongan dan mungkin runthy, dan Amerika Syarikat yang kekal titik terang (bright spot) terakhir dalam ekonomi global tiba-tiba  mula menggerutup.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...