Artikel Popular

Thursday, June 14, 2012

Demokrasi dan Kapitalisme Akhirnya Berpisah Jua

KHAMIS,  14 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pasangan penyu yang hidup bersama-sama 115 tahun akhirnya bercerai, maka tidak hairan jika demokrasi dan kapitalisme juga memilih jalan yang sama.  Sejak berlakunya krisis kewangan global dan dunia terjebak dalam kemelesetan yang teruk, seperti yang dikiaskan oleh Joseph Stiglitz, "jatuh bebas" dan Warren Buffett "dalam curam yang dalam," kapitalisme yang terkenal sebagai  krisis tanpa kesudahan sering dipersoalkan. Orang mula merasakan bahawa kapitalisme akan berakhir, meskipun tidak dapat dipastikan apakah sistem atau sistem-sistem yang akan  menggantikannya. 

Krisis zon euro menyaksikan kedua-duanya, iaitu demokrasi dan kapitalisme di persimpangan  dan saling bercanggah antara satu sama lain.  Apabila pemimpin demokrat di Greece bumi kelahiran demokrasi, dan Italy terpaksa berundur dan memberikan laluan kepada teknokrat, maka pandangan umum ialah demokrasi terpaksa dikorbankan demi menyelamatkan kapitalisme.  

Seterus,  Pilihan Raya Presiden Perancis berkesudahan kekalahan Nicolas Sarkozy di tangan Francoie Hollande, dan Pilihan Raya Parlimen Greece, yang secara jelas memperlihatkan penolakan terhadap pemimpin dan parti yang melaksanakan jimat-cermat yang memburukkan lagi krisis. Keputusan kedua-dua pilihan raya ini ditafsirkan sebagai demokrasi merosakkan zon euro.  

Di Greece nampaknya demokrasi gagal menyelamatkan negara itu daripada kelumpuhan ekonomi dan kebuntuan politik, manakala Jerman pula, hujah Mark Mazower, "gagal mempertahankan komitmen Eropah terhadap demokrasi itu sendiri."  Krisis hutang benar-benar mencetuskan kebimbangan terhadap demokrasi yang berkemungkinan menyerahkan suratan takdirnya kepada Bundesbank.

Bagi Pankaj Mishra,  demokrasi dan kapitalisme menuju ke jalan perpisahan. Melalui tulisannya dalam Bloomberg, beliau meragui andaian bahawa kerajaan nasional yang dipilih dan ekonomi pasaran global merupakan rakan kongsi logik dalam penciptaan kekayaan dan terlalu perlahan, tetapi mantap, membasmikan kemiskinan. Untuk itu, beliau memetik John Gray bahawa "demokrasi dan pasaran merupakan pesaing dan bukannya rakan kongsi."  Gray, seperti yang dipetik oleh Mishra, mengingatkan bahawa "mobiliti global modal dan pengeluaran di dunia ekonomi terbuka menyebabkan dasar pusat demokrasi sosial Eropah tidak dapat berfungsi.  Mobiliti itu juga menyebabkan "masalah pengangguran massa hari ini tanpa penyelesaian mudah."

Mishara ialah penulis dari India yang boleh dikatakan agak terkenal. Untuk negaranya, beliau  mengakui bahawa untuk sementara waktu, ketegangan antara demokrasi dengan kapitalisme  dapat dikekang. 

Beliau pernah mengulas buku Niall Ferguson dalam London Review of Books, yang mencetuskan keberangan pengarang itu sehingga mengancam dengan tindakan undang-undang.   Ferguson yang terkenal dengan kelantangan menggasak Paul Krugman dan Presiden Barack Obama, hilang kesabaran apabila terkena "batang hidungnya sendiri" yang dituding oleh Mishara, "perhatikan orang ini."


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...