Artikel Popular

Saturday, June 23, 2012

Pecah Belah

SABTU, 23 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Laporan baru Pew Research Center yang dipetik menunjukkan bahawa rakyat Amerika lebih berpecah belah dari segi politik, iaitu mengikut garis kepartian, dan perbezaan antara Demokrat dengan Republikan mengatasi perbezaan antara rakyat yang berbeza dari segi ras atau kaum, gender, umur, dan pendapatan. Jurang yang luas ialah perbezaan pendapat antara Republikan dengan Demokrat berhubung dengan jaringan keselamatan sosial. Polarisasi kepartian ini ketara ketika Presiden George W. Bush dan Barack Obama.

Sebenarnya, rakyat Amerika bukan sahaja berpecah belah dari segi politik, tetapi juga dari segi ekonomi, seperti yang dibahaskan oleh Joseph Stiglitz dalam The Washington Post.  Dasar yang dilaksanakan di Amerika Syarikat, hujah beliau, menyumbang kepada pecah belah ekonomi yang lebih besar.  Negara itu di tengah-tengah kitaran ganas ketidaksamaan dan kemelesetan:  Ketidaksamaan memanjangkan lagi tempoh kemerosotan, dan kemerosotan melebarkan lagi ketidaksamaan. Keadaan ini diburukkan lagi dengan agenda jimat-cermat yang diperjuangkan oleh puak konservatif. 

Beliau memetik data terbaharu yang dikeluarkan  bulan ini oleh Rizab Persekutuan yang menunjukkan kesan teruk kemelesetan terhadap kekayaan dan pendapatan golongan berpendapatan rendah dan sederhana. 

Amerika, hujah Stiglitz, "hebat"  dari segi ketidaksamaan sejak sekurang-kurangnya permulaan alaf ini.  Ketidaksamaan lebih besar di Amerika Syarikat jika dibandingkan dengan mana-mana negara maju lain.  "Data mengingatkan kita bagaimana kombinasi dasar monetari, fiskal, dan kawal selia menyumbang ketidaksamaan ini. Kuasa pasaran memainkan peranan, tetapi pasaran juga memainkan peranan di negara lain juga.  Politik banyak mempunyai kaitan dengan perbezaan dari segi hasil (outcomes)." 

Jelas beliau lagi, Kemelesetan Besar menjadikan ketidaksamaan ini teruk, yang berkemungkinan memanjangkan lagi tempoh kemerosotan.  Mereka golongan atasan membelanjakan sebahagian kecil pendapatan mereka jika dibandingkan dengan mereka golongan bawahan dan menengah yang terpaksa membelanjakan segala-galanyan hari ini. Pengagihan semula daripada golongan bawahan kepada atasan jenis yang berlaku di Amerika Syarikat sekarang, merendahkan jumlah permintaan.

Joseph Stiglitz mengkritik langkah jimat-cermat yang diperjuangkan oleh sesetengah anggota Republikan, yang pastinya memburukkan lagi keadaan, akan membawa kepada pengangguran yang tinggi, yang akan membawa upah yang rendah kerana para pekerja bersaing untuk mendapatkan pekerjaan.  Pertumbuhan yang kurang akan bermakna kurang hasil negeri dan kerajaan tempatan, membawa kepada pemotongan dalam perkhidmatan penting untuk kebanyakan rakyat Amerika (termasuk pekerjaan guru, polis, dan ahli bomba.)

"Kalau kita mahukan pemulihan," beliau mengingatkan, "kita tidak tidak ada pilihan, kecuali bergantung pada dasar fiskal. Mujurlah, perbelanjaan yang direka bentuk dengan baik, dapat membawa secara serentak kepada lebih banyak guna tenaga, pertumbuhan, dan kesamaan."

Tambah beliau, "Sebaliknya, jika mengikut laluan jimat-cermat, nescaya kita menempuh risiko kemelesetan curam berganda, terutamanya jika krisis Eropah semakin teruk.  Sekurang-kurangnya, kemerosotan yang kita hadapi berkemungkinan mengambil masa yang lama untuk berakhir berbanding dengan yang sepatutnya. Pertumbuhan kita pada depan akan lemah." 

Namun, keadaan yang lebih serius, seperti yang diperingatkan oleh Stiglitz, "negara kita akan semakin berpecah belah, dan kita akan membayar harga ekonomi yang tinggi untuk ketidaksamaan kita yang semakin menjadi-jadi dan peluang yang merosot. Kesannya akan lebih buruk terhadap demokrasi kita, jati diri kita sebagai negara yang membuka peluang dan kesamaan untuk setiap orang, dan masyarakat kita."

Ketidaksamaan di Amerika, adalah teruk daripada yang difikirkan yang mencetuskan perdebatan tentang golongan kaya dan miskin, satu peratus lawan 99 peratus.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...