Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Presiden Barack Obama dalam Pilihan Raya Presiden kali ini diperhatikan menghadapi kesukaran untuk menggembleng sokongan yang beliau peroleh empat tahun lalu. Beliau dikatakan menghadapi kesukaran untuk mengotakan janji perubahan yang akan beliau lakukan.
Maka, tidak memeranjatkan jika pencabarnya, Mitt Romney akan muncul sebagai pemenang. Calon daripada Parti Republikan ini, mendapat rentak selepas Persidangan Kebangsaan Republikan di Tampa, Florida. Tambahan pula, Romney mendapat sokongan padu daripada penyumbang dana melalui daya usaha Karl Rove. Akan tetapi, Romney dianggap "salah seorang calon yang paling tidak popular dalam sejarah politik moden."
Dalam pada itu, kempen Obama, menurut Major Garrett dalam National Journal, tetap yakin bahawa Obama akan menang dalam Pilihan Raya Presiden tahun 2012. Sementara lantunan yang dicapai oleh Romney, menurut tinjauan pendapat Reuters/Ipsos hanya sekejap, iaitu hanya bersempena persidangan partinya. Pada hari Sabtu semalam, Obama merampas semula kedudukan yang beliau sebagai pendahulu sebelum ini. Hal ini memperkukuhkan lagi hujah Nate Silver bahawa terlalu awal untuk mengukur lantunan semasa persidangan.
Enam model yang mengunjurkan keputusan pilihan raya tahun ini, seperti yang diperkatakan oleh Dylan Matthews, kebanyakannya, walaupun tidak kesemuanya memilih Barack Obama sebagai pemenang. Model yang diperkenalkan oleh Helmut Norpoth dan Michael Bednarczuk memilih Obama yang dijangkakan memperoleh 53.2 peratus undi berbanding Romney 46.8 peratus. Hal ini memberi Obama 88 peratus peluang untuk menang.
Demikian model yang diperkenalkan oleh Robert Erikson dan Christopher Wlezien yang menjangkakan Obama akan mendapat 52.6 peratus undi berbanding Romney 47.4 peratus, dan ini memberikan peluang untuk Obama menang 80 peratus.
Model yang diperkenalkan oleh Alan Abramowitz, yang berdasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku tahun kedua tahun pilihan raya, juga memilih Obama yang dijangkakan mendapat 50.6 peratus undi berbanding Romney 49.4 peratus. Dalam sangat pilihan raya yang bersaing sengit ini, Abramowitz memberikan satu pertiga peluang kepada Romney untuk menang. Lebih daripada itu, menurut beliau, berkemungkinan besar calon yang memenangi undi popular tanpa memenangi badan perwakilan pemilih.
Sebaliknya, model yang diperkenalkan oleh Michael S. Lewis-Beck dan Charles P. Tien memilih Romney sebagai pemenang, iaitu beliau akan mendapat 51.8 peratus undi berbanding 48.2 undi untuk Obama, dan secara kebetulan anggaran mereka itu, 48.2 peratus pasti. Demikian juga model Douglas Hibbs yang memilih Romney yang akan memperoleh 53 peratus undi berbanding Obama 47 peratus.
Jika diambil kira satu lagi model, iaitu model yang diperkenalkan oleh Nate Silver, maka Obama mempunyai kelebihan berbanding dengan Romney. Silver menjangkakan Obama mendapat 50.8 peratus, manakal Romney 48 peratus. Obama mempunyai 71.6 peratus peluang keseluruhan untuk menang.
Presiden Barack Obama yang nampaknya ketinggalan dari segi pendanaan jika dibandingkan dengan Mitt Romney, tetapi menurut tinjauan pendapat The Washington Post/ABC News, mempunyai kelebihan dari segi kerja di lapangan, iaitu hubungan pasukan petugas dengan pengundi. Atau dengan kata lain, "manusia lawan wang." Kempen Obama juga dari segi sumber manusia, dilaporkan mendapat sokongan yang dibantu oleh MoveOn.org, dan perseikatan super PAC, AFl-CIO.
No comments:
Post a Comment