Artikel Popular

Tuesday, June 12, 2012

Kelangsungan Dunia Permajalahan

RABU, 13 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Tindakan hartawan Warren Buffett membuat pelaburan yang besar dengan membeli 63 buah akhbar, menimbulkan tanda tanya.  Hal ini demikian kerana penerbitan bercetak, baik buku mahupun akhbar dan majalah sudah sampai di persimpangan dan seolah-olah menunggu waktu  untuk  diambil alih oleh penerbitan digital sepenuhnya, seperti yang berlaku terhadap Encyclopedia Britannica

Bahkan, di sesetengah negara, kelangsungan kedai buku mula bergantung kuat pada penerbitan digital, e-buku yang kian menguasai pasaran.   Sementara di  United Kingdom tahun lalu, jualan e-buku meningkat 360 peratus.  Kemunculan Kindle misalnya, bukan sahaja menjejaskan pasaran buku bercetak atau p-buku, bahkan dipercayai membunuh kulit buku, seperti yang pernah dibahaskan oleh Betsy Morasi dalam The Atlantic.  

Penerbitan buku sendiri, banyak dibantu oleh penerbit baru, seperti Amazon, Apple, Barnes and Noble.com, dan Google yang membantu para penulis daripada bergantung pada orang tengah, termasuk editor dan ejen, dan menerbitkan karya mereka dengan penerbit itu secara terus. Dari segi ulasan buku pula, pengkritik profesional dikatakan tidak lagi boleh dipercayai jika dibandingkan dengan penarafan atau penggredan buku yang diberikan oleh Amazon.

Walau bagaimanapun, industri e-buku juga menghadapi masalah, seperti yang berlaku di Amerika Syarikat apabila pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang  penetapan harga  terhadap Apple dan lima penerbit lain. 

Bagi penerbit, bagaikan ribut taufan meranapkan perniagaan mereka dan demi kelangsungan, banyak majalah dan akhbar terpaksa beralih kepada Web. Walau bagaimanapun Richard Mollet yang menulis dalam The Guardian menegaskan bahawa "dunia digital mencergaskan penerbitan dan bukannya memusnahkannya."  


Dalam "tidak ada berita adalah berita baik," The Economist menegaskan bahawa ancaman Internet menyebabkan penerbit semakin cerdik. Selepas ribut reda, landskap penerbitan baru muncul.  Apa yang pernah benar-benar perniagaan seragam, iaitu mengenal pasti kumpulan orang ramai yang disatukan oleh beberapa identiti atau nyala rasa bersama, tulis cerita untuk mereka untuk mereka baca dan jual iklan selepas cerita, dipecahkan kepada beberapa jenis yang berbeza.


Mengakui bahawa cerita kasar keras sukar menghasilkan keuntungan dan di negara kaya, banyak akhbar terpaksa ditutup, tetapi dalam kalangan majalah wujud makna baru optimisme. Di Amerika Utara, yang kemelesetan agak dalam, lebih banyak majalah baru dilancarkan berbanding dengan yang ditutup pada tahun 2011 untuk tahun kedua berturut-turut.  Persatuan Media Majalah (MPA) melaporkan bahawa khalayak majalah meningkat dengan pantas berbanding dengan khalayak televisyen atau akhbar, terutamanya dalam kalangan orang muda. 


Tidak seperti akhbar, kebanyakan majalah tidak mempunyai bahagian iklan terkelas yang besar yang hilang kepada Internet, dan bahan majalah mempunyai hayat simpanan yang lebih lama. Selain itu, memetik David Carey, ketua Hearst Magazines, penerbit Amerika terbesar, mereka mewakili aspirasi:  "Mereka menjalankan kerja yang baik mengilhamkan impian anda."  Orang ramai secara rapat mengenali diri mereka dengan majalah yang mereka baca, dan dengan itu, pengiklan menyanyangi majalah.  Memetik Paul-Bernhard Kallen, Pengerusi Hubert Burda Media, penerbit Jerman terbesar, kekal penting untuk pembinaan jenama.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...