Artikel Popular

Tuesday, September 10, 2019

Bangsa Melayu dengan Bangsa-bangsa Dagang


SELASA, 10 September 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

(Dipetik daripada Sejarah Perjuangan Kita oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy. Nota: Mungkin berlaku kesilapan dalam merumikan teks asal yang ditulis Jawi.)



Kemakmuran, kebesaran, kemegahan dan keagungan kerajaan-kerajaan Melayu dahulu adalah harum kemasyhurannya ke seluruh dunia. Mulai dari saudagar-saudagar bangsa India dan Cina beribu-ribu tahun yang lalu telah pun mengadakan perhubungan dengan Negeri-Negeri Melayu dan akhirnya kemakmuran dan kemewahan Negeri-Negeri Melayu itu bertambah merebak tersiarnya hingga sampai ke Parsi, Arab, Rom dan Eropah. Maka beransur-ansurlah pula orang-orang Parsi, Arab, Rom, Eropah datang berniaga ke Negeri-Negeri Melayu dengan kapal dan bahtera mereka yang besar-besar
Kebetulan pula - di masa itu, di Eropah telah disuluh oleh tamadun Islam. Mereka telah tahu khasiatnya rempah-rempah. Maka mula orang-orang Spain, Portugis belayar jauh hingga ke India dan akhirnya sampailah kepada gugusan pulau-pulau Melayu tempat tumpuan saudagar-saudagar India membeli rempah yang diperniagakan ke Eropah itu. Dari semenjak itu semakin terkenallah kemakmuran Tanah Melayu ini dengan mata benda perniagaan yang digemari oleh bangsa-bangsa dagang, dan semakin ramailah orang-orang Cina, India, Parsi, Arab dan orang-orang Eropah datang ke Tanah Melayu. Di antara bangsa-bangsa dagang itu, termasuklah bangsa-bangsa Belanda, Inggeris memulakan perniagaan dengan negeri-negeri Melayu itu.
Sebagaimana telah diketahui, kerajaan Melayu adalah dalam keadaan mewah makmur dan kaya raya. Mereka hidup dengan aman damai, ria dan bahagia. Hidup bermasyarakat di antara sama bangsa dengan tiada ada yang mengganggunya sebelumnya didesak oleh bangsa-bangsa dagang yang datang ke tanah air kita.
Tetapi – perubahan-perubahan tekad mula datang kepada bangsa Melayu dan kepada tanah air Melayu, ialah oleh desakan bangsa-bangsa dagang yang dating ke Tanah Melayu, kerana itulah orang-orang asing seperti Cina, India, Arab, dan sebagainya telah dipanggil dengan “orang dagang”, kerana kedatangan mereka ke Tanah Melayu ini lebih dikenali dengan dagangan mereka, kemudian berturutlah dengan sebutan-sebutan “dagang senteri”, “dagang piatu” dan sebagainya. Sedang dalam bahasa Inggeris berlainan bilangannya dengan perkataan Foreigner dan Stranger, manakala terjemahannya yang lebih tepat ialah Trade, Trader, Trading, Commerce dan sebagainya.
Inilah dia “takrif” pengenalan orang-orang Melayu terhadap orang-orang luar atau orang dagang di masa itu sebagai membuktikan besarnya pasar perniagaan dalam kerajaan Melayu di masa itu.
Bagaimanapun – bangsa-bangsa India, Cina, Parsi dan Arab hanyalah setakat merebut perdagangannya sahaja di Tanah Melayu ini. Tetapi bangsa-bangsa Barat (Inggeris, Belanda, Sepanyol, Portugis dan Amerika) bukan sahaja setakat merebut perniagaan, tetapi adalah terus menjajah Tanah Melayu ini – yang menyebabkan hakikatnya bangsa Melayu yang menjadi “dagang” di tanah airnya sendiri.
Bagaimana bijaknya orang-orang Barat hendak memulakan cengkaman kuku penjajahannya “di kepulauan ini” ialah dengan nama “syarikat perniagaan” mereka yang disebut dengan nama “kompeni” itu dan “kompeni” ini. Kerana itulah juga orang Barat itu di Tanah Melayu dengan sebutan “orang kompeni”.
Tahun 1511M. itulah tahun malapetaka, tahun yang paling malang kepada bangsa Melayu, kerana pada tahun itulah tarikh jatuhnya kerajaan Melayu yang gah dan masyhur itu. Kemudian beransu-ansurlah malang dan nahas yang menimpa seluruh bangsa Melayu di gugusan pulau-pulau Melayu, dan dari semenjak itulah mula tenggelam hak dan keadilan  bangsa Melayu dari muka dunia, sebagai suatu bangsa yang pernah berdaulat dan bekerajaan sendiri.
Sudah begitu, maka dalam buku-buku bahasa Inggeris pula yang ditulis oleh pengarang-pengarang itu mereka telah membesar-besarkan, memperkenalkan bangsa Melayu kepada dunia dengan “cap” bangsa yang pemalas, jahil – bodoh, perompak lanun dan sebagainya. (Itulah sebabnya kedatangan orang-orang Barat itu kononnya kerana hendak mengajar dan memimpin bangsa Melayu untuk menjadi bangsa yang berkemajuan  - dan hasil pimpinan mereka itulah sebagaimana keadaan kita hari ini – hidup merana di negeri sendiri).
Tetapi apakah yang sebenarnya bangsa Melayu di dalam lipatan tawarikh dan sejarah dunia? Dan di dalam ingatan sanubari bangsa Melayu sendiri? Kenapakah mereka mendapat gelaran yang rendah itu sebagai bangsa pemalas, perompak dan sebagainya? Iaitu sesudahnya bangsa-bangsa dagang itu dapat mengecap kemakmuran bumi Melayu yang makmur dan kaya-raya ini??
Maka jawabnya telah pun jelas tergambar sebelum tahun 1511 dengan terus mata dan ramalan Laksamana Hang Tuah, ketika melihatkan ancaman yang hebat yang sedang dan akan menimpa bangsa Melayu dengan pesanan beliau yang berhikmat “Tak Melayu hilang di dunia!”
Ancaman ini datangnya adalah berpunca dari perdagangan – sebagaimana orang-orang Inggeris telah pun terkenal dengan nama  “East India Company” dan orang Belanda dengan VOC (Vereenigde oost Indische Compagnie) dan akhirnya kepulauan Melayu ini telah menjadi rebutan kapitalis Eropah itu dan kesudahannya menjadi imperialis (penjajah).




Monday, September 9, 2019

Tangan Kotor dalam Penswastaan

ISNIN, 9 September 2019
Oleh: ZULKIFLI SALLEH


Dua peristiwa penting yang berlaku pada penghujung Mac lalu yang nampaknya berasingan tetapi sebenarnya berkaitan. Pertama, ura-ura Datuk Seri S, Samy Vellu, Menteri Kerja Raya untuk menswastakan perkhidmatan bekalan air yang mendapat tentangan daripada pelbagai pihak, khususnya persatuan pengguna, kesatuan sekerja, dan pertubuhan bukan kerajaan.Kedua, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Vincent Ng Kim Khoay menolak injuksi Tan Sri Tajuddin Ramly, pengerusi Technology Resources Industries Berhad, dengan berkata bahawa beliau (Tan Sri Tajuddin) datang ke mahkamah dengan "tangan tidak bersih" (unclean hands).

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa tangan tidak bersih atau lebih tepat, tangan kotor juga wujud dalam penswastaan yang menyebabkan setiap kali ada rancangan penswastaan, maka timbul tentangan atau protes daripada pelbagai pihak. Setiap tentangan itu mempunyai kewajaran dan kerasionalannya apabila beberapa projek penswastaan menempuh kegagalan. Apabila gagal, pihak kerajaan terpaksa mengambil projek berkenaan atau pembayar cukai terpaksa menanggung kerugian. Lantaran itu, timbul tanggapan bahawa yang diswastakan keuntungan, dan pihak pengusaha projek penswastaan itu tidak perlu gusar akan kerugian kerana jika berlaku kerugian, pihak kerajaan atau pembayar cukai yang menanggungnya. 

Sebagaimana dalam bidang perniagaan lain, dalam penswastaan juga terdapat "pemodal atas angin" yang semata-mata mengharapkan keuntungan daripada penswastaan. Akibatnya, apabila berlaku kerugian, kerajaan terpaksa mengambil alih projek penswastaan berkenaan dengan alasan kepentingan negara atau kepentingan awam.

Anehnya, individu atau syarikat yang menyertai projek penswastaan bukan calang-calang.  Mereka  mempunyai rekod perniagaan yang membanggakan dan meyakinkan lalu mendorong kerajaan mempelawa mereka mengusahakan sesuatu projek itu. Pastinya juga mereka mampu meyakinkan kerajaan bahawa projek itu menghasilkan keuntungan. 

Namun begitu, tangan kotor telah mencemarkan, malahan merosakkan projek penswastaan  yang diamanahkan kepada mereka. Keuntungan yang diharapkan telah bertukar kepada kerugian, dan beban kerugian ini pula terpaksa ditanggung oleh kerajaan atau pembayar cukai. Tangan kotor ini menyebabkan penswastaan yang berjaya dibayangi oleh penswastaan yang gagal. Akibatnya, timbul keraguan dan tentangan pelbagai pihak terhadap setiap projek penswastaan yang dirancangkan oleh kerajaan. Contoh terbaharu ialah rancangan penswastaan perkhidmatan bekalan air.

Sebelum in, rakyat dapat melihat dan menilai sendiri kegagalan penswastaan kemudahan asas, seperi  kumbahan dan pembuangan sampah.  Perkhidmatan yang disediakan itu tidak memuaskan, malaha tidak menunjukkan ciri-ciri swasta yang pada tanggapan umum adalah cekap. Daripada pengalaman ini, memang sukar  untuk meyakinkan rakyat tentang kebolehlaksanaan rancangan penswastaan bekalan air.

Kerajaan boleh meneruskan rancangan penswastaan ini dengan mengemukakan pelbagai alasan, dan rakyat terpaksa menerimanya dengan hati yang berat kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain.  Namun begitu, setiap kali mereka menerima bil air, atau bekalan air terganggu, kadar bayaran air meningkat, dan sebagainya, nescaya mereka akan menyalahkan kerana menswastakan perkhidmatan tersebut.

Air merupakan kemudahan yang palinga asas. Jika kerajaan tidak lagi menyediakan kemudahan yang paling asas ini, apalagi yang diharapkan oleh rakyat daripada  kerajaan. Penswastaan bekalan air bermakna memisahkan rakyat daripada kerajaan dan mengurangkan pergantungan mereka pada kerajaan. 

("Memo Ketua Editor," Dewan Budaya, Mei 2002.)

Asal Usul Kebangsaan Melayu

ISNIN, 9 September 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

(Dipetik daripada Sejarah Perjuangan Kita oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy. Nota: Mungkin berlaku kesilapan dalam merumikan teks asal yang ditulis Jawi.)



Sejarah "Perjuangan Kita" supaya jelas dan terang, dapat difaham dan dipelajari oleh tiap-tiap seorang bangsa Melayu hari ini, hendaklah diselidiki dan dipelajari dari asal usulnya, dari akar dan umbinya sekali. Kerana hanya begitulah sahaja, baru dapat menimbulkan rasa keinginan dan kepercayaan teguh yang akan menjadi "asas dan dasar" kita memperjuangkan cita-cita suci menuju matlamatnya - iaitu "merdeka" - merdeka dalam erti kata yang sebenar-benarnya, iaitu kemerdekaan bangsa, agama dan tanah air. (Bangsa Melayu menjadi tuan di tanah airnya sendiri.)
Di sini - saya akan menerangkan dengan seberapa ringkas. Menjelaskan perjuangan kita bangsa Melayu yang telah sambung menyambung sejak dahulu sehingga kepada masa yang akhir-akhir ini. (Di ketika Parti Kebangsaan Melayu Malaya ditubuhkan pada tahun 1945).
Menurut pendapat ahli-ahli sejarah bahawa Nusantara tanah air kita adalah terkenal kepada beberapa nama yang di antaranya:-
1. Gugusan pulau-pulau Melayu.
2. Malaysia - Maliziat.
3. Pulau-pulau rempah.
4. Melayu Raya.
5. Malay Archipelego.
6. Indonesia.
7. Malaynesia.
8. Macronesia.
9. Polynesia.
10. Dan sebagainya - lihat buku Falsafah Kebangsaan Melayu.
Kawasan-kawasan ini telah didiami orang sejak beribu-ribu tahun sebelum tarikh dunia ini tertulis.
Dipandang dari segi alam (ilmu?) tawarikh dan beberapa kenyataan, adalah tanda-tanda menunjukkan lebih daripada 3,000 tahun yang kawasan ini telah mempunyai tamadun (kemajuan). Kitab-kitab tarikh Hindu dan Cina - begitu juga dalam tawarih Arab ada menegaskan: bahawa kerajaan Melayu "Sriwijaya" di Palembang-Sumatera tidak kurang dari 2,000 tahun telah terdiri (tahun 500 - 1400 M.).
Dan sesudahnya kerajaan Sriwijaya ini, berpindah pula ke keagungan dan kebesaran bangsa Melayu kepada suatu kerajaan yang terkenal dengan nama kerajaan "Majapahit" (tahun 1293 - 1520 M.). Kemudian pada akhirnya berpindah kepada kerajaan Melaka. Ketiga-tiga empayar ini berdiri sendiri, dengan mulia agung, bebas dan merdeka, berbaik-baik dan bersahabat dengan kerajaan asing yang berjiran, seperti India, China, Arab dan sebagainya.
Kawasan dan sempadan ketiga-tiga kerajaan Melayu Raya yang berganti-ganti itu, ke utaranya adalah sempadan Siam, manakala ke baratnya hingga ke pantai-pantai negeri Hindi, lantas ke pulau-pulau Madagaskar, ke timurnya pula Farmosa berdekatan dengan Kyiasu Jepun, dan ke selatan adalah meliputi beribu-rubu pulau di lautan teduh.
Pada masa itu, seluruh dunia belum lagi mempunyai politik pemerintahannya, sebagaimana hari ini. Pengertian kebangsaan (National) di masa itu berlainan dengan pengertian kebangsaan yang terpakai dalam politik pemerintahan hari ini. Kerana pada masa itu istilah kebangsaan adalah mengikut sesuatu kemaharajaan sahaja. Orang-orang atau rakyat sesebuah negeri itu adalah dihitung menjadi dihitung menjadi rakyat negeri itu dengan pengertian "rakyat serimaharaja Sriwijaya, rakyat serimaharaja Majapahit, rakyat serimaharaja Melaka" begitu juga bangsa-bangsa asing seperti bangsa Cina seumpamanya adalah dikenal dengan rakyat Cina di sini.
Tetapi - manakala ahli-ahli sejarah dan ahli-ahli tawarikh dunia hendak mempersuaikan kedudukan bangsa-bangsa dunia ini, kedudukan peta muka buminya, dan kedudukan politik pemerintahan sesuatu negara itu, supaya mudah dikenali, maka sejak itulah baru nama "gugusan pulau-pulau Melayu" atau "Malay Archipelego" dan sebagainya itu dituliskan orang. Dan sebab-sebab dinamakan pulau-pulau itu "kepulauan Melayu" ialah kerana negeri-negeri itu bahasa Melayulah yang lebih luas terpakai.
Dari segi kebudayaan pula - haruslah tiada suatu bangsa yang besar dalam dunia ini yang telah pernah menempuh kebudayaan-kebudayaan yang besar serentak dan selari sebagaimana bangsa Melayu. Bangsa telah menempuh tiga kebudayaan besar, agung dan hebat yang terkenal di dunia ini. Iaitu kebudayaan Hindu beribu-ribu tahun sejak kerajaan Sriwijaya - kemudian bersambung pula dengan kebudayaan Buddha  sehingga kepada  kerajaan Majapahit, manakala pada abad ke-11 Masihi berganti pula dengan kebudayaan Islam, iaitu sejak kerajaan Islam Melaka sehingga kerajaan penjajahan hari ini. Semua kebudayaan itu adalah mempengaruhi jiwa budi - daya bangsa Melayu yang telah menjadikan bangsa Melayu itu suatu bangsa yang kaya dengan kebudayaan dan mempunyai bentuk kebudayaan yang tersendiri pula.

Friday, September 6, 2019

Kritikan Syed Husin terhadap Mahathir

JUMAAT, 6 September 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Sejak dahulu lagi, Syed Husin Ali bersikap kritis terhadap Dr. Mahathir Mohamad.  Dalam satu forum yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, seperti yang dicatatkan oleh Syed Husin sendiri, berlaku sindir menyindir antara beliau dengan Mahathir yang bercakap sebelum beliau. “Seperti biasa dia (Dr. Mahathir) menyindir.  Sambil menoleh kepada aku dia berkata lebih kurang begini, ‘Orang keturunan Arab patutnya tak ada hak membincangkan soal politik di negara ini.’  Disambut gembira oleh sebahagian besar hadirin” (Syed Husin, 2012: 48 – 49). 
Meskipun Syed Husin mengkritik dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak, sebagai perbandingan, beliau menegaskan Tun Razak banyak menumpukan perhatian pada pertanian dan nasib para petani.  Akan tetapi, pada masa pemerintahan Mahathir hampir tidak ada penumpuan yang sama, bahkan kelihatan seolah-olah keadaan pertanian terbiar.  Namun begitu, Mahathir memperkenalkan Dasar Pertanian Negara pada tahun 1983 (Syed Husin, 2008b: 151).  Penekanan terhadap perindustrian pada era Mahathir menyebabkan pertanian bagaikan “industri  meleset,” yang seterusnya menyebabkan pengajian tani atau ekonomi luar bandar tidak  penting lagi.
Pendirian Dr. Mahathir yang menuduh pemiliknegaraan sebagai dasar komunis dan anti-Islam, hujah Syed Husin,  “Mahathir sebenar mencela Perdana Menteri Tun Abdul Razak dan menteri-menteri lain yang menandatangani perisytiharan dalam sidang Algier (1971), Lahore (1974), dan Dakar (1975), mendukung milik negara sebagai salah satu cara mencapai keadilan sosial” (Syed Husin, 2008b: 160).
Tentang krisis Perlembagaan tahun 1993, Syed Husin menulis, “ironinya, Mahathir  akhirnya telah mewujudkan mahligai lebih besar daripada istana raja untuk kediamannya sebagai Perdana Menteri.  Beliau menjalani hidup yang kelihatan lebih mewah daripada raja.  Beliau meminda Perlembagaan untuk mengurangkan kuasa raja, akan tetapi pada masa yang sama telah mengumpulkan atau menimbunkan kuasa kepada dirinya” (Syed Husin, 2012: 63).
Syed Husin juga mendedahkan sifat dolak-dalik Dr. Mahathir tentang tuduhan liwat terhadap Anwar. Menurut beliau, Mahathir pernah menafikan khabar angin tentang liwat yang dilakukan oleh Anwar. Beliau memetik laporan akhbar Utusan Malaysia pada 25 Ogos 1997, di bawah tajuk, “Fitnah Anwar Bermotifkan Politik – PM.” Seterusnya, Syed Husin memetik kenyataan yang diterbitkan dalam Mingguan Malaysia pada 31 Ogos 1997, Dr. Mahathir menyatakan, “penyebar khabar angin, termasuk mengenai peletakan jawatan Menteri Kewangan ‘sepatutnya ditembak’.”  Apa yang cuba dibangkitkan oleh Syed Husin, meskipun Dr. Mahathir menafikannya, dan Ketua Polis Negara Tan Sri  Abdul Rahim Noor menyatakan “skandal seks yang melibatkan Anwar selesai disiasat dan didapati tidak benar,” Anwar  akhirnya didakwa dengan tuduhan liwat (Syed Husin, 2012: 138).
Bagi Syed Husin, tindakan Dr. Mahathir memecat timbalannya Anwar Ibrahim mungkin untuk mengelak  kejatuhan  Presiden Suharto turut menimpa dirinya. Mahathir melihat Anwar mencabar kedudukannya (Syed Husin, 2015: 83). Tindakan Mahathir itu, kemudian menyeretnya ke mahkamah dengan tuduhan rasuah dan liwat, menyebabkan sebahagian besar orang Melayu meluap-luap marah terhadap Mahathir dan UMNO. Mahathir diserang habis-habisan di jalanan dan melalui Internet, yang diatur, dipimpin, dan disertai oleh mereka yang menggelar diri mereka Reformis (Syed Husin, 2015: 83).
Kritikan Syed Husin terhadap Dr. Mahathir bukan setakat kezalimannya  terhadap Anwar Ibrahim, tetapi juga beliau mendapati, “Mahathir mengetuai sebuah kerajaan yang menjadi semakin autoritarian.  Terutama selepas memecat timbalan beliau, Anwar Ibrahim, kebangkitan gerakan Reformasi,  dan pengukuhan Barisan Alternartif  (BA), penindasan kerajaan menjadi semakin teruk.  Parti pemerintah semakin menguasai badan kehakiman, polis, dan media.  Keganasan kerajaan, terutamanya oleh polis, menjadi lebih serius.  Tambah Syed Husin, “Mahathir semakin banyak memusatkan kuasa dalam tangannya sendiri.  Atas sebab ini, beberapa orang percaya bahawa kerajaan Malaysia perlahan-lahan bertukar menjadi pemerintahan diktator satu orang”  (Syed Husin, 2015:  128).
Syed Husin juga mencela dan memandang jijik terhadap amalan kronisme yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional, terutamanya yang berlaku pada era Dr. Mahathir.  Namun begitu, seperti yang pernah dibahaskan oleh kenalannya,  Terence Gomez (2003), “dalam dunia korporat, pada awal tahun 1997, perbadanan utama Malaysia, termasuk beberapa buah firma yang dikawal  oleh bumiputera, kebanyakan semuanya sangat berhubung rapat dengan salah seorang daripada tiga ahli politik yang paling berkuasa di Malaysia. Mahathir,  Anwar Ibrahim,Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, dan Daim Zainuddin, penasihat ekonomi kerajaan ketika itu. Gomez seterusnya menyenaraikan nama yang berkait kuat dengan tiga ahli politik tersebut. Orang Melayu yang mengawal firma besar, termasuk Halim Saad, Tajudin Ramli, Wan Azmi Wan Hamzah, Samsudin Abu Hassan, Hassan Abas, Ahmad Sebi Abu Bakar, dan Amin Shah Omar Shah, yang bersekutu rapat dengan Daim; Ishak Ismail, Mohamad Sarit Yusoh, Kamaruddin Jaafar, Kamarudin Mohd Nor, dan Rashid Hussain, yang  dikaitkan dengan Anwar; manakala mereka yang rapat dengan Perdana Menteri, termasuk anaknya Mirzan dan Mokhzani Mahathir, selain Allahyarham Yahya Ahmad, Basir Ismail, dan Mohd Noor Yusof.
Tatkala hubungan Mahathir dengan Anwar diibaratkan “retak menanti belah,” pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 1998, “Mahathir mengeluarkan, tanpa notis, senarai orang Melayu yang mendapat manfaat daripada penswastaan dan kontrak kerajaan. Anaknya, Mokhzani tersenarai, tetapi juga Zahid (Hamidi) dan anggota keluarga Anwar”  (Wain, 2009:  286).
Satu lagi amalan jijik yang berlaku secara berleluasa dalam UMNO sejak tahun 1981, yang ada kaitannya dengan perbuatan rasuah, yang turut dikutuk oleh Syed Husin, ialah “politik wang.”  Barangkali beliau lupa bahawa Anwar Ibrahim semasa dalam kerajaan juga bergelumang dengan amalan  jijik itu.  Dalam pemilihan Perhimpunan Agung UMNO tahun 1993, ketika Anwar mengalahkan Tun Abdul Ghafar dan pasukan naib presiden Anwar menumpaskan lawan mereka, antara RM500 juta hingga RM600 juta diagihkan.  Kadar ganjaran meningkat 30 kali ganda dalam masa kurang satu dekad (Wain, 2009: 142).  Jangan lupa pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri Sabah tahun 1994, dengan Anwar Ibrahim selaku Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, ialah pengarah pilihan raya Barisan Nasional. Dalam usaha untuk merampas negeri itu daripada PBS, “meskipun politik wang bukan baru dalam sejarah pilihan raya di Malaysia, kempen UMNO di Sabah kali ini dicorakkan oleh ‘tahap tinggi luar biasa dorongan kewangan’. Walau bagaimanapun, keputusan pilihan raya menunjukkan PBS menang dengan majoriti sempit, iaitu 25 kerusi daripada 48 kerusi. Dengan kemenangan tipis itu, maka tidak memeranjatkan tiga anggota Dewan Undangan Negeri PBS melompat parti membolehkan UMNO menggulingkan PBS.  Wujud spekulasi meluas bahawa pembelot PBS ditawarkan RM3 juta seorang untuk melompat ke Barisan Nasional (Hwang, 2003: 234 – 235).
(Dipetik daripada Bab Tiga, Pemerkasa Menara Gading, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

Kritikan Alatas terhadap Revolusi Mental dan Mahathir

JUMAAT, 5 September 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Bagi  Syed Hussein Alatas, penyimpangan watak orang Melayu menurut para penulis Revolusi Mental dan sedikit banyak juga menurut Mahathir (Tun Dr. Mahathir Mohamad), disebabkan oleh kurangnya wawasan mereka tentang ilmu kemasyarakatan, penalaran bebas mereka, dan ketidakkenalan mereka dengan sejarah Melayu. Mereka mirip orang Negro Amerika yang meyakini apa yang dikatakan tentang mereka (Alatas, 1977b: 166; 2016c: 163)... ada kemiripan antara Revolusi Mental dengan ideologi kolonial.  Ini berkat pengaruh tetap ideologi kolonial yang dirangakaikan dengan kelemahan ilmiaj dan intelektual yang memberi ciri Revolusi Mental (Alatas, 1977b: 166; 2016c: 163).  Alatas juga mendedahkan kegagalan para penulis buku ini dan Dr. Mahathir dalam The Malay Dilemma, (Dilema Melayu) dalam mentakrifkan dan mengenal pasti  watak nasional (Alatas, 1977b: 175 – 176; 2016c: 175 – 177).  Terdapat sejumlah besar kelemahan dalam Revolusi Mental dan buku Mahathir (Alatas, 1977b: 178; 2016c: 178).
            Alatas menyimpulkan pendapatnya tentang Revolusi Mental dan The Malay Dilemma Dr. Mahathir, melukiskan gambaran yang keliru tentang masyarakat Melayu.  Paling hebat gambaran ini mencerminkan kehidupan kaum elit yang berkuasa, dan sama sekali bukan cerminan masyarakat Melayu.  Landasan penalaran mereke goayah dan pengetahuan mereka tentang berbagai-bagai kenyataan terbatas. Pentafsiran mereka keliru dan pemikiran mereka merupakan kepanjangan ideologi kolonial.  Mereka telah mengabaikan banyak unsur kebudayaan dan sejarah Melayu yang menekankan nilai-nilai kemajuan.  Mereka juga kebingungan yang mana kebudayaan dan yang mana sejarah (Alatas, 1977b: 180; 2016c: 182).
            Tidak mencukupi kritikannya dalam The Myth of the Lazy Native (Mitos Peribumi Malas), Alatas menerbitkan sebuah buku khususnya, iaitu Siapa Yang Salah: Sekitar Revolusi Mental dan Peribadi Melayu pada tahun 1979,  untuk mengkritik Revolusi Mental dan tidak terkecuali The Malay Dilemma, yang menurut beliau, “mengelirukan pembaca tentang peribadi Melayu.  Kedua-duanya merendahkan peribadi dan kebudayaan Melayu, walaupun ini mungkin tidak dituju oleh pengarang-pengarangnya” (Alatas, 2015a: xvii).
            Dalam Bab 3, Revolusi Mental membincangkan peribadi nasional, dengan merujuk pendapat Margaret Mead, ahli sosiologi Amerika yang menegaskan “peribadi nasional ialah satu kenyataan dan bukannya satu khayalan” (Senu, 2002: 24). Bagi Mead, peribadi nasional disebabkan dan ditentukan oleh kebudayaan (Senu, 2002: 24 – 25). Berdasarkan konsep peribadi nasional yang diperkenalkan, maka penulis (penulis-penulis) buku ini, membincangkan peribadi bangsa Melayu dengan menggunakan sumbe penulisan para penulis Portugis dan  Belanda, dan para  pentadbir Inggeris, dan seterusnya merumuskan bahawa bahasa sebagai gambaran kebudayaan (Senu, 2002: 26 – 28).
            Alatas dalam kritikannya  menegaskan bahawa soal penentuan peribadi bangsa, ataupun peribadi nasional, Revolusi Mental sudah banyak terkeliru. Buku ini tidak benar-benar memahami pendapat Margaret Mead bahawa peribadi nasional ialah peribadi yang terdapat dalam kalangan orang ramai satu bangas yang dipengaruhi oleh kebudayaan (Alatas, 2015a: xix).  Bahkan, Alatas pergi lebih jauh dengan membangkitkan sebuah buku yang masyhur ketika itu tentang peribadi nasional, karangan Ruth Fulton Benedict, The Crysanthemum   and the Sword (1967), tentang peribadi Jepun semasa Perang Dunia Kedua.  Dengan nada menyindir, Alatas menulis, “buku ini mungkin tidak diketahui oleh pengarang Revolusi Mental. Yang pasti belum dibaca, kerana tanda-tandanya tidak ada dalam Revolusi Mental.
            Alatas yang meletakkan The Malay Dilemma dalam “bakul” yang sama dengan Revolusi Mental dalam mentakrifkan dan membincangkan peribadi nasional, menegaskan bahawa sifat mengamuk, mata gelap, hilang ingatan, membinasakan jiwa, dianggap sebagai penting daripada peribadi Melayu oleh Dr. Mahathir ialah satu peristiwa yang sangat menyedihkan.  Perbuatan gila dianggap bahagian dasar peribadi Melayu.  Dengan pendapat demikian, Dr. Mahathir telah merendahkan peribadi Melayu, lebih daripada Revolusi Mental dan lebih daripada penjajah Inggeris.  Penjajah Inggeris menggambarkan peribadi Melayu sedemikian (Alatas, 2015a: xxi – xxii).  Menurut Alatas, Dr. Mahathir menggunakan istilah   mengamuk dan bukannya latah  sebagai bahagian  sendi besar peribadi Melayu (Alatas, 2015a: xxii – xxiii; huruf condong oleh Alatas sendiri). Alatas menjelaskan bahawa unsur mengamuk, mata gelap, hilang ingatan, berbuat tidak senonoh, membahayakan atau menganiayakan tubuh manusia lain bukan unsur peribadi Melayu kerana kebudayaan Melayu tidak mengutamakannya, tidak mengajarnya melalui saluran-saluran sahan dan ianya [sic]  pula tidak diamalkan oleh banyak orang Melayu. Beliau juga  menjelaskan bahawa mengamuk ialah cara bertempur melawan  musuh yang jumlahnya jauh lebih besar (Alatas, 2015a: xxiii - xxiv). Ketidaktahuan Mahathir tentang ilmu sosial mendorongnya menganggap amuk sebagai sifat utama psikologi orang Melayu (Alatas, 1977b: 177; 2016c: 177 – 178; huruf condong oleh Alatas sendiri).  Dalam bukunya yang penerbitan asalnya pada tahun 1970, Dr. Mahathir menyebut  amuk yang menurut beliau, perkataan Melayu yang kini difahami secara universal. Amuk menjelaskan satu lagi segi peribadi Melayu, tetapi kini, amuk hanya legenda.  Peradaban memalapkan peribadi Melayu ini (Mahathir, 1981: 117 – 118).
            Dalam “pengenalan” bukunya itu, Dr. Mahathir menegaskan bahawa faktor keturunan dan persekitaran menyebabkan prestasi lemah pelajar Melayu dalam peperiksaan tanpa menafikan faktor lain (Mahathir, 1981: 1). Seterusnya, dalam Bab 3,  beliau membincangkan  keturunan dan persekitaran mempengaruhi kemajuan orang Melayu di Semenanjung, walaupun kajian saintifik sebenar  belum dilaksanakan (Mahathir, 1981:  16 – 31).  Dalam kritikannya, Alatas berhujah bahawa Dr. Mahathir juga mengemukakan suatu pendapat yang ganjil dan menyeleweng dari dasar ilmiah mungkin disebab kerana keahlian beliau dalam bidang ilmu yang mempelajari kemajuan kurang sekali.  Beliau mengatakan bahawa faktor keturunan orang Melayu membawa kemunduran, sedangkan faktor keturunan orang Cina dianggapnya membawa kemajuan (Alatas, 2015a: xxiv).  Dengan menekankan faktor keturunan,   Dr. Mahathir bukan sahaja melakukan suatu kesilapan yang besar, tetapi pendapatnya boleh dianggap  “sealiran” dengan  rasisme dan Fasisme. “Selain kaum rasis, kaum Fasis, kaum Nazi di Jerman semasa Hitler, dan kaum penjajah Eropah yang rasis, pendapat demikian itu telah ditolak oleh hampir keseluruhan ahli ilmu pengetahuan” (Alatas, 2015a: xxvii).  
(Dipetik daripada Bab Dua, Pemerkasa Menara Gading, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

Tuesday, September 3, 2019

Ragam Pengeluaran Samir Amin


SELASA, 3 September 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Istilah ragam pengeluaran (modes of production) berasal daripada karya Karl Marx, dan dan konsep ini memainkan peranan penting dalam teori Marxis seterusnya. Wacana ragam pengeluaran memang popular dalam kalangan Marxis, dan menurut takrif  Marxisme, ialah sebagai cara masyarakat disusun atau diatur untuk mengeluarkan barang dan perkhidmatan.  Ragam pengeluaran mengandungi dua aspek utama, iaitu kuasa pengeluaran dan hubungan pengeluaran. Kuasa pengeluaran termasuk semua unsur yang dibawa bersama-sama dalam pengeluaran, seperti tanah, bahan mentah, bahan api, kemahiran manusia, buruh, jentera, alat, dan kilang. Hubungan pengeluaran pula termasuk perhubungan dalam kalangan orang dan perhubungan orang dengan kuasa pengeluaran yang menerusinya keputusan dibuat tentang apakah yang akan dilakukan terhadap hasil.
            Lazimnya, wacana tentang ragam pengeluaran akan merujuk kepada Louis Althusser dan Etienne Balibar, yang dikenali sebagai  “ahli struktural Perancis.” Balibar mentakrifkan ragam pengeluaran sebagai melibatkan kombinasi tiga unsur, iaitu buruh, alat pengeluaran, dan beliau menambah,  bukan buruh yang seperti dua unsur juga  wajar disebut “faktor.”   Unsur ketiga ini  mengambil lebihan buruh, dan ini kapitalis. Beliau berpendapat, semua  unsur ini disertai oleh  perkaitan  “harta” dan perkaitan  “pengambilan sebenar” (real appropriation).
            Terdapat lima ragam pengeluaran yang berbeza: (1) komuniti ragam pengeluaran “primitif” yang terawal daripada ragam pengeluaran; (2) ragam pengeluaran pembayaran ufti, yang menambah kepada komuniti kampung yang masih wujud apratus sosial dan politik untuk mengeksploitasi komuniti menerusi penuntutan ufti; ragam pengeluaran pembayaran ufti ialah bentuk kelas prakapitalis  paling tersebar luas, terdapat perbezaan  antara bentuk awal dengan bentuk kemudian, seperti bentuk pengeluaran “feudal,” yang komuniti kampung hilang dominium eminens mereka terhadap tanah kepada pembesar feudal, dan komuniti terus sebagai komuniti keluarga; (3) Ragam pengeluaran hamba, bentuk yang jarang-jarang, meskipun bertaburan secara meluas; (4) ragam pengeluaran komoditi kecil mudah, bentuk yang kerap, tetapi dari segi praktik, tidak pernah membentuk ragam bentukan masyarakat yang dominan; dan (5) Akhir sekali, ragam pengeluaran kapitalis. Dalam “keadaan tulen,” semua ragam pengeluaran ini mempunyai ciri penting spesifiknya sendiri.
            Syed Farid Alatas dalam Bab 6: “Ibn Khaldun and the Ottoman Modes of Production, bukunya Applying Ibn Khaldun: The Recovery of Lost Tradition in Sociology, mengambil pendekatan ragam pengeluaran Samir Amin dan Eric Wolf.
Samir Amin pada mulanya mengelaskan  lima ragam pengeluaran, tetapi dalam karya berikutnya, iaitu  Eurocentrism (1989/2009), beliau mengelaskan  tiga ragam pengeluaran,  dengan  memberikan tumpuan pada ragam pengeluaran ufti.  Hujah beliau, “Saya menyebut ufti dalam bentuk umum semua masyarakat prakapitalis maju, dengan feudalisme hanya merupakan spesies khusus.” Tambah beliau, dalam sejarah yang dicadangkan di sini, wujud hanya tiga tahap sifat universal yang berturutan: tahap komuniti, peralihan panjang daripada komunisme primitif; tahap ufti, yang mencirikan semua masyarakat prakapitalis maju; dan kapitalisme, yang menjadi sistem dunia.  Tahap ufti ialah sejarah semua peradaban berasaskan ciri yang berikut: (1) perkembangan signifikan kuasa produktif, misalnya pertanian kekal atau sedentari yang dapat memastikan lebih daripada penakatan (survival) semata-mata, lebihan yang sangat banyak dan boleh dipercayai, kegiatan bukan pertanian (pertukangan  atau   artisanal) menggunakan pengetahuan teknikal dan pelbagai alat (kecuali mesin); (2) memajukan kegiatan bukan produktif sejajar dengan saiz lebihan ini; (3) pembahagian kepada kelas sosial berdasarkan asas ekonomi ini; dan (4) negara yang maju yang melampaui had kewujudan kampung.
            Tahap ufti ini menunjukkan aspek yang berikut: (1) termasuk bermacam-macam bentuk besar, yang mempunyai ciri bersama, kerana penyarian  buruh lebihan selalunya dikawal oleh dominan superstruktur dalam konteks ekonomi yang ditentukan oleh nilai gunaan; (3) ragam fundamental ialah ragam ufti; (4) ragam feudal ialah varian ini; (5) yang dianggap ragam perhambaan kelihatan sebagai pengecualian, lebih kerap interstitial dan dalam kaitan dengan hubungan pasaran; (6) kompleksiti bentukan tahap ini bermakna, melampaui hubungan pengeluaran terdekat, hubungan dalaman, dan pertukaran luaran, yang membangkitkan persoalan hubungan pasaran dan memerlukan konsep bentukan masyarakat; dan (7) tahap ini bukan tergenang, tetapi sebaliknya, dicirikan oleh kemajuan besar kuasa pengeluaran pada asas hubungan pengeluaran ufti yang beroperasi dalam bentukan yang difahami dalam kompleksiti kuasa pengeluaran itu.
            Pada tahap pertama, menurut Amin, lebihan terlalu kecil untuk membolehkan lebih daripada permulaan kelas dan pembentukan negara. Justeru, tidak masuk akal untuk dicampurkan bersama-sama di bawah keturunan rubrik, suku, dan bentukan puak pada satu pihak, dan pembentukan negara pada satu pihak yang lain. Walau bagaimanapun, inilah tesis yang ragam Asiatic cuba lakukan bahawa peralihan kepada masyarakat kelas. Tambah beliau, pada tahap pertama ini, tingkat  lemah pembangunan dan keturunan, suku, dan hubungan puak yang dirangkaikan  tidak dapat diungkai. Sememangnya, hubungan ini yang memungkinkan permulaan pembangunan kuasa produktif melampaui fasa komunis primitif (pergerakan kepada pertanian kekal  atau sedentari), dan pada masa yang sama, menyekat pembangunan  berterusan mereka selepas titik tertentu. Apabila hubungan sedemikian berlaku, tingkat  kuasa produktif semestinya rendah; apabila hubungan itu tidak ditemui, tingkatnya tinggi. Bentuk harta yang ditemui pada tahap pertama menunjukkan sifat fundamental biasa: harta komuniti yang penggunaannya dikawalaturkan sebagai fungsi persanakan yang memerintah mutakhir dominan (dominant instance).
            Pada tahap kedua, tingkat  pembangunan kuasa produktif memungkinkan dan memerlukan negara, iaitu melangkaui persanakan, yang dapat menyara hidup hanya apabila tertakluk kepada kerasionalan lain. Bentuk harta pada tahap kedua ini membolehkan kelas dominan mengawal akses kepada tanah pertanian, dan akibatnya, mengenakan ufti pada pengeluar tani.  Situasi ini dikuasai oleh ideologi yang selalunya mengandaikan bentuk yang sama: agama negara atau kuasi-agama.
            Tahap ketiga mewakili tingkat tinggi ciri kuasa produktif kapitalisme.  Tingkat ini bermakna harta kapitalis.  Pada satu sudut, golongan borjuis mempunyai monopoli kawalan terhadap ragam pengeluaran yang bukan lagi terutamanya tanah, tetapi mesin, alat, dan kilang.  Pada sudut yang lain, wujud buruh upah bebas.  Penyarian lebihan (di sini, nilai lebihan) dibuat oleh alat pertukaran ekonomi, misalnya oleh jualan tenaga buruh. Dari segi praktik, pembangunan pertanian melampaui titik tertentu mesin dan baja yang diperlukan, misalnya industri, dan dengan itu, kapitalisme. Kapitalisme bermula dalam pertanian peralihan, kemudian dibangunkan di tempat-tempat lain sebelum kembali semula kepada pertanian untuk mengambil alih bidang itu.
            Jelas Amin, ini ialah  takrif yang sangat umum dan abstrak tentang tiga bentuk harta: komuniti (tanah), ufti (tanah), dan kapitalisme (alat pengeluaran selain tanah). Penekanan adalah terhadap kandungan harta, difahami sebagai kawalan sosial, dan bukannya terhadap bentuk undang-undang dan ideologinya. Setiap bentuk harta adalah sejajar dengan tahap dalam kemajuan kuasa produktif.  Pada tahap pertama, organisasi pengeluaran tidak melampaui keturunan atau kampung. Pada tahap kedua, dikawalaturkan terutamanya pada tahap lebih atau kurang besar negara, tetapi selalunya lebih besar daripada kampung. Peredaran lebihan mengambil kira kepentingan tukang terkhusus, fungsi tidak produktif, negara, kota, perdagangan, dan sebagainya. Tahap tertinggi  pembangunan memerlukan pasaran yang lebih luas, iaitu pasaran kapitalis. Pada setiap tahap abstraksi ini, setiap tahap sejajar dengan keperluan universal.
            Amin yang memberikan tumpuan pada tahap ufti, menjelaskan bahawa ciri pertama  ragam pengeluaran yang ditunjukkan oleh tahap kedua (ufti) pembangunan  kuasa produktif adalah bahawa penyarian produk  lebihan diperoleh melalui alat bukan ekonomi, kerana pengeluar tidak dipisahkan daripada alat pengeluaran. Ciri khusus ragam pengeluaran berasaskan kelas pertama ini adalah berbeza dengan ragam komuniti yang mendahului ragam ufti. Dalam ragam pengeluaran ufti, kelas yang mengeksploitasi  tidak mengambil produk lebihan.  Sebaliknya, amalan ini dipusatkan oleh kumpulan pemerintah untuk kegunaan kolektif atau diagihkan semula menurut keperluan pengeluaran semula. “Penyarian produk lebihan, adalah dengan itu, seperti ufti  yang dibayar kepada kelas yang mengeksploitasi. Itu secara tepat mengapa saya mencadangkan untuk menyebutnya ragam ufti.”
            Ciri kedua ragam ufti adalah bahawa organisasi pengeluaran penting berasaskan nilai gunaan dan bukannya berasaskan nilai pertukaran.  Produk masih disimpan oleh pengeluar adalah secara langsung nilai gunaan yang bertujuan untuk penggunaan, kebanyakannya untuk penggunaan sendiri. Akan tetapi, produk yang disarikan oleh kelas yang mengeksploitasi adalah untuk dirinya juga secara langsung nilai gunaan.  Justeru, inti pati ragam ufti adalah untuk membentuk ekonomi semula jadi, tanpa pertukaran, meskipun bukan tanpa perpindahan (ufti adalah satu) dan pengagihan semula.
            Ciri ketiga ragam ufti ialah penjelmaan kestabilan, dan bahkan berkekalan, bukan sekurang-kurangnya terbatas, pastinya kepada Asia. Dari segi realiti, ini penjelmaan yang mengelirukan berlaku kerana berbeza dengan kapitalisme.  Berdasarkan nilai gunaan, hukum fundamental yang terdapat pada kapitalisme terletak pada tingkat asas ekonomi. Persaingan dengan kapitalis membangkitkan perlunya pengumpulan, misalnya merevolusikan kuasa produktif  yang tidak putus-putus. Ragam pengeluaran, berasaskan nilai gunaan tidak mempunyai kendalian yang sama yang diperlukan pada tingkat asas ekonomi. Walau bagaimanapun, masyarakat ufti bukan tidak berubah. Mereka mencapai kemajuan yang luar biasa dalam pembangunan kuasa produktif mereka antaranya di Mesir, China, Jepun, India dan Asia Selatan, Arab dan Timur Parsi. Perjuangan kelas antara pengeluar tani dengan kelas mengeksploitasi ufti berlaku dalam seluruh sejarah bentukan ufti di Asia, Afrika, dan Amerika Latin, di samping di Eropah.  Walau bagaimanapun, wujud perbezaan yang penting antara perjuangan ini dan perjuangan antara proletariat dengan borjuis dalam kapitalisme. Perjuangan kelas dalam bentukan ufti tidak pernah berkesudahan dengan kemenangan kaum tani.
            Amin juga menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan  teori Marxisme yang diterima lazim yang membezakan tiga tahap peradaban yang berbeza dari segi kualiti: perhambaan, feudalisme, dan kapitalisme.  Sebaliknya, beliau mengemukakan teori menurut: (1) bentuk umum masyarakat kelas yang menggantikan bentukan komunal sebelum ini, iaitu masyarakat ufti; (2) bentuk feudal bukannya peraturan umum, tetapi hanya bentuk pinggir jenis ufti; (3) pelbagai keadaan yang menentukan bentuk spesifik setiap masyarakat ufti (kasta, estet era feudal dalam maksud Eropah – Stande; komuniti tani tertakluk kepada birokrasi negara, dan sebagainya); (4) perhambaan bukan keperluan umum – bentuk ini hilang daripada kebanyakan peristiwa penting sejarah (Mesir, India, China); perhambaan tidak mungkin menjalani mana-mana pembangunan  penting, melainkan bentuk ini dikaitkan dengan ekonomi komersial, dan dengan itu, perhambaan ditemui pada zaman yang sangat berbeza dari sudut pandangan  pembangunan kuasa produktif.
            Walau bagaimanapun, bukannya Amin, sebaliknya Marxis Jepun, Jiro Hayakawa,  dikatakan yang mula-mula memperkenalkan konsep ragam pengeluaran ufti, tetapi beliau tidak menerbitkan teks dalam bahasa Barat, maka ideanya masih tidak diketahui di Barat.  Sebaliknya, Amin mempopularkan konsep itu di sana. Hayakawa menulis pada pertengahan 1930-an, menyamakan ragam pengeluaran ufti dengan ragam pengeluaran Asiatic. Ion Banu, sejarawan falsafah di University of Bucharest, pula mengenal pasti persamaan  Asiatic dengan bentukan masyarakat ufti. Selain Amin, terdapat beberapa kajian lain, antaranya oleh John Haldon yang mengkaji ragam pengeluaran ufti.

Monday, September 2, 2019

Analisis Sistem-Dunia


ISNIN, 2 September 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Immanuel Wallerstein,  pengasas sistem-dunia, bukan sahaja menekankan penggunaan sempang, tetapi juga enggan mengatakan  teori sistem-dunia; sebaliknya, beliau mengatakan analisis sistem-dunia. Wallerstein dalam bukunya, seperti  World-Systems Analysis: An Introduction dan The Uncertainties of Knowledge,  mengisahkan cerita  yang panjang yang membawa kepada kelahiran analisis sistem-dunia  pada awal tahun 1970-an, sebagai perspektif tentang realiti sosial. Sesetengah konsepnya digunakan sejak sekian lama dan sesetengahnya baharu atau sekurang-kurangnya diberikan nama baharu. Konsep  hanya dapat difahami dalam konteks masa konsep berkenaan.  Seperti mana-mana perspektif lain, analisis sistem-dunia dibina pada perbincangan  dan kritikan awal.
            Cerita  kemunculan analisis sistem-dunia terbenam dalam sejarah sistem-dunia moden dan struktur ilmu yang berkembang sebagai bahagian sistem itu.  Sememangnya, berguna untuk menjejak permulaan cerita bukan tahun 1970-an, tetapi ke pertengahan abad ke-18. Ekonomi-dunia kapitalis telah pun wujud kira-kira dua abad. Sangat mustahak pengumpulan modal tanpa kesudahan menjanakan keperluan untuk perubahan malar, pengembangan malar perbatasan – geografi, psikologi, intelektual, dan saintifik.
Berbetulan, debat berlaku dalam kalangan sejarawan ekonomi Barat tentang asal-usul kapitalisme moden. Debat sejarah ini mendapat liputan yang meluas, yang memperlihatkan percanggahan dalam kalangan Marxis, sebagaimana antara sejarawan Marxis dengan bukan Marxis.  Pada tahun 1950, berlaku bertukar-tukar pandangan  antara ahli ekonomi, Paul Sweezy dengan sejarawan ekonomi, Maurice Dobb yang bukunya, Studies in the Development of Capitalism (1946) yang Sweezy kritik.  Menurut Ellen Meiksin Wood,  bertukar-tukar pandangan mereka berkembang ke dalam debat besar dalam kalangan mereka yang terkenal, terutamanya Marxis, sejarawan dalam jurnal Science & Society, yang kemudiannya dikumpulkan  dan diterbitkan dalam buku, The Transition from Feudalism to Capitalism, yang R.H. Hilton sebagai editor. Apa yang dikenali sebagai “debat peralihan,” merupakan  titik rujukan utama untuk perbincangan subjek ini dalam kalangan Marxis dan lain-lainnya sejak itu.
Sebenarnya, debat peralihan daripada feudalisme kepada kapitalisme melibatkan para sarjana yang bertutur dalam bahasa Inggeris, manakala kumpulan Annales yang berasal-usul di Perancis tidak terlibat. Annales yang pengaruh pada masa antara perang adalah minimum, berkembang pada tahun 1945 di bawah kepimpinan Braudel. Beliau mengetengahkan bahasa tentang masa sosial yang muncul untuk mengubah-ubah karya  seterusnya. Braudel yang mengkritik “peristiwa dikuasai” atau sejarah berepisod (histoire evenementielle), menegaskan isu unit analisis. Dalam karya utama pertamanya, beliau menegaskan bahawa Mediterranean pada abad ke-16, yang beliau kaji, membentuk “ekonomi-dunia” (economie-monde), dan beliau menjadikan sejarah ekonomi-dunia ini objek kajiannya.
            Pada pertengahan tahun 1960-an, Wallerstein menemui beberapa makalah yang mengagumkan ditulis oleh Marian Malowist dalam Africana Bulletin. Daripada makalah pertama Malowist, Wallerstein mengenali karya agung, Fernand Braudel tentang  The Mediterranean. Daripada pembacaan itu, beliau menemui dua konsep Braudel yang penting untuk karya beliau selepas itu, iaitu konsep ekonomi-dunia dan konsep longue durée. Daripada Malowist (kemudian, pastinya pengarang lain Poland dan Hungary), beliau menemui peranan Eropah Timur sebagai pinggir yang sedang muncul dalam ekonomi-dunia Eropah pada abad ke-16.
            Wallerstein mengambil konsep “ekonomi-dunia” Braudel itu dan menggabungkannya dengan pandangan Karl Polanyi, sejarawan ekonomi, yang menegaskan  bahawa wujud tiga bentuk organisasi ekonomi, yang beliau  sebut kesalingan (jenis memberi dan menerima secara langsung), pengagihan semula (barang beredar daripada paras bawah tangga sosial kepada paras atas dan kembali semula sebahagiannya ke bawah),  dan pasaran (tempat pertukaran berlaku dalam bentuk monetari dalam arena awam. Kategori jenis sistem sejarah ini, iaitu sistem mini, empayar-dunia, dan ekonomi-dunia – seakan-akan cara lain untuk menyatakan tiga bentuk organisasi ekonomi Polanyi itu. Sistem mini menggunakan kesalingan, empayar-dunia menggunakan  pengagihan semula, dan ekonomi-dunia menggunakan pertukaran pasaran.
            Kemudian, Wallerstein menegaskan bahawa sistem-dunia moden ialah ekonomi-dunia kapitalis, bahawa kapitalisme dapat wujud hanya dalam rangka ekonomi-dunia, bahawa ekonomi-dunia dapat beroperasi hanya pada prinsip kapitalis. Beliau menegaskan perkara ini dalam seluruh penulisan beliau.  Pada awal tahun 1970-an orang mula bercakap secara eksplisit tentang sistem-dunia sebagai perspektif.  Analisis sistem-dunia berusaha untuk menggabungkan secara koheren mengambil berat  terhadap unit analisis, mengambil berat  terhadap temporaliti sosial, dan mengambil berat terhadap sekatan yang terbina antara disiplin sains sosial yang berbeza. Analisis sistem-dunia bukannya “sosiologi dunia ini,” yang sebelah menyebelah dengan sosiologi bandar atau sosiologi kumpulan kecil atau sosiologi politik.  Sebaliknya, analisis sistem-dunia mewakili dirinya sebagai kritik banyak premis sains sosial yang wujud, sebagai ragam yang Wallerstein, “sains sosial yang tidak berfikir.” Oleh sebab itu, beliau selalu menentang penggunaan istilah “teori sistem-dunia,” yang digunakan secara kerap  untuk menjelaskan apa yang dihujahkan, terutamanya oleh bukan pengamal, dan berkeras menggesa kerja kita “analisis sistem-dunia.”
            Menurut Wallerstein, kategori Prebish turut digabungkan juga. Ekonomi-dunia kapitalis dikatakan ditandakan oleh pembahagian kerja paksi antara proses pengeluaran seperti pusat (core-like) dengan proses pengeluaran pinggir, yang mengakibatkan pertukaran tidak seimbang yang mementingkan mereka yang terlibat dalam proses pengeluaran seperti pusat.  Oleh sebab proses cenderung dikumpulkan bersama-sama di negara tertentu, kita boleh menggunakan bahasa trengkas dengan bercakap tentang zon pusat dan zon pinggir (atau bahkan, negara pusat dan negara pinggir), selagi kita ingat bahawa sememangnya, proses pengeluaran dan bukannya negara yang merupakan seperti pusat dan pinggir. Dalam analisis sistem-dunia, pusat-pinggir ialah konsep relasional, bukannya pasangan yang digabungkan, iaitu makna penting yang berasingan.
            Analisis sistem-dunia mengambil bentuk pada tahun 1970-an, adalah kerana keadaan untuk kemunculannya sudah tiba untuk sistem-dunia.  Faktor utama yang dapat diringkaskan sebagai revolusi tahun 1968 – kedua-duanya, iaitu peristiwa itu sendiri dan keadaan yang mendasari memberikan kebangkitan kepada peristiwa itu. Pergolakan intelektual ini disusuli oleh kejutan budaya revolusi tersebut, yang mempunyai tapak yang kuat di universiti dunia, juga mula membangkitkan beberapa isu tentang struktur ilmu.
            Sejak kemunculannya, analisis sistem-dunia dikritik, selain Brenner, kritikan juga datang daripada Theda Skocpol, Aristide Zolberg, Stanley Aronowitz, dan bahkan daripada Gunder Frank sendiri.  Sejak itu juga, sistem-dunia  berkembang berikutan kajian demi kajian  lain, yang sesetengahnya tidak berpegang pada sistem-dunia moden  Wallerstein yang berasal-usul pada abad ke-16. Ada kajian menunjukkan bahawa sistem-dunia wujud sebelum abad itu, sebelum sistem-dunia kapitalis, dan bahkan wujud sejak zaman purbakala lagi.
            Selain itu, analisis sistem-dunia dianggap sebuah lagi  “naratif agung,” yang akan dicampakkan  ke dalam tong sampah.

Sunday, September 1, 2019

Pengantar "Sejarah Perjuangan Kita"


AHAD, 1 September 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Di bawah ini diterbitkan "Pengantar"  yang ditulis oleh Ahmad Azam  untuk buku Dr. Burhanuddin al-Helmy,  Sejarah Perjuangan Kita: 

Buku "Sejarah Perjuangan Kita" ini telah ditulis oleh Tuan Doktor Burhanuddin al-Helmy, pada kira-kira hampir sepuluh tahun yang lampau, iaitu tahun 1946 sebagai memperingati perjuangan kebangsaan Melayu dalam parti politik (PKMM) genap setahun. Dan telah pun dicita-cita dan diterbitkan di masa itu di ketika beliau sebagai sifatnya pemimpin agung Parti Kebangsaan Melayu Malaya.
Dalam kata pendahuluannya yang bertarikh 8 Oktober 1946, di antara lain beliau berkata: "di dalam buku (Perjuangan Kita) ini moga-moga kiranya terbayanglah rupa perjuangan kita untuk menambah dan memperkukuhkan keyakinab kita menempuh perjuangan di masa depan."
Malaya hak Melayu - kita berjuang membela hak dan keadilan bangsa kita bulat dan tegak menuju ke arah keinginan dan keselamatan bangsa dan nusa. Tuhan tetap kepada pihak yang benar....
Hari ini diterbitkan semula ialah dengan maksud dapat dibaca oleh segenap bangsa Melayu yang kini telah pun menjadi bangsa yang ingin merdeka. Semoga dapatlah kita mempelajari sedikit sebanyak sejarah perjuangan bangsa kita sejak beberapa tahun yang lampau terutamanya di ketika mana "benih merdeka" mula ditanam dan disemai oleh pejuang bangsa kita yang akibatnya mereka meringkuk dalam tahanan Darurat beberapa tahun dan serentak dengan itu pula parti mereka (PKMM) telah diharamkan.
Setakat manakah penghargaan masyarakat kita terhadap pejuang-pejuang kemerdekaan itu? Terserahlah kepada rakyat menilainya. Ini juga menjadi ukuran setakat mana kesedaran kita sebagai suatu bangsa yang benar-benar ingin merdeka dan anti kepada apa juga corak pemerintahan di tanah air kita.
Wabillah iltaufik - merdeka!
Ahmad Azam
Dr. Burhanuddin al-Helmy ialah:
·         Bekas pemimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya.
·         Bekas pengerusi gabungan Putera-(A.M.C.J.A).
·         Wakil Malaya ke Persidangan Seluruh Asia tahun 1947.
·         Pemerhati ke Persidangan Afro-Asia pada bulan April 1955.
·         Pengerusi jawatankuasa pemandu Kongres Pemuda se-Malaya.
·         Pemimpin rakyat yang belum pernah turut memegang jawatan kerajaan.
·         Pemimpin yang tetap pendiriannya memperjuangkan hasrat dan cita-cita kebangsaan Melayu.
Untuk berkenal lebih dekat, bacalah buah qalam beliau: Sejarah "Perjuangan Kita" ini semoga menambahkan keyakinan kita bangsa Melayu sebagai bangsa yang ingin merdeka.

Penerbit
Bukit Mertajam, Oktober 1955.

Golongan Kiri Melayu


AHAD, 1  September 2019
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH
Seperti yang dijejaki oleh Rustam A. Sani, akibat Kemelesetan Besar tahun 1930-an, maka lewat separuh kedua dekad 1930-an, wujud sejumlah organisasi politik berasaskan negeri, seperti di Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, dan Province Wellesley (kini, Seberang Perai). Seterusnya, daripada akar umbi yang membentuk jalur utama politik orang Melayu sebelum perang, lahir “golongan kiri Melayu” yang membentuk jalur yang berbeza, dengan penubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM), yang mempunyai persekitaran politik dan sosial  1930-an (Rustam, 2011: 5 – 7).
Golongan  kiri Melayu  juga  disebut dengan berbagai-bagai istilah, seperti radikal Melayu, nasionalis radikal Melayu, nasionalis sayap kiri Melayu, dan gerakan sayap kiri Melayu.  Dengan memetik pembahagian golongan kiri Melayu kepada beberapa kelompok mereka mengikut jarak mereka daripada pihak yang berkuasa, yang diperkenalkan oleh Khoo Kay Kim, Mohamed Salleh Lamry, menyatakan kelompok pertama, ialah “kiri pelampau,” iaitu yang “paling jauh” daripada pihak yang berkuasa. Selepas kelompok kini wujud kelompok kiri komited, yang cenderung kepada sosialisme dalam pengertian yang luas atau sekurang-kurangnya ingin melihat perubahan struktur dilakukan terhadap masyarakat Melayu. Satu kelompok lain, yang paling kuat yang bersikap anti-British ialah kelompok kiri Islam.  Ada juga kelompok yang boleh digelar sebagai kiri fana, iaitu golongan yang paling mudah membuat penyesuaian, tetapi perjuangan mereka tidak berasaskan ideologi. Akkhir sekali, kelompok yang mempunyai pegangan  nasionalistik yang kuat.  Mereka ini dianggap kiri bukan dari segi ideologi, tetapi kerana mereka menentang UMNO yang mempunyai hubungan yang rapat dengan pentadbiran British dan banyak memberi konsesi kepada golongan bukan Melayu (Mohamed Salleh, 2016:  22 – 23).
Dalam mengelompokkan pemikiran radikalisme Melayu, Ishak Saat pergi lebih jauh,  yang menurut beliau, terdiri  daripada pemikiran kebangsaan Melayu, pemikiran keagamaan/Islam, pemikiran Melayu sosialis, dan pemikiran Melayu komunis (Ishak, 2007:  33 – 67).  Dua yang terakhir benar-benar bersifat ideologi.  Untuk pemikiran Melayu sosialis, beliau menyebut pemimpin kesatuan sekerja, Abdul Majid Salleh, dan pengasas parti sosialis di Tanah Melayu yang beraliran komunis, iaitu Mokhtaruddin Lasso, Arshad Ashaari, Baharuddin Tahir, Rashid Maidin, dan Abdullah C.D. ketika penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).  Mereka ini mengusulkan Parti Sosialis Malaya, tetapi digagalkan oleh Ahmad Boestamam (Ishak, 2007: 56 – 57). Sementara pemikiran Melayu komunis yang terpengaruh dengan Marxisme dan Communist International amat terhad dalam kalangan orang Melayu.  Hanya berkisar dalam kalangan mereka yang benar-benar  menjiwai falsafah perjuangan komunisme, seperti Musa Ahmad, Rashid Maidin, dan Abdullah C.D. (Ishak, 2007:  61 – 63).
Sosialisme selalunya dikaitkan dengan Karl Marx dan rakannya, Friedrich Engels yang menulis The Communist Manifesto – buku yang benar-benar mengubah dunia dan membangkitkan berjuta-juta orang untuk mencetuskan revolusi.  Dalam bab “Socialist and Communist Literature,” Marx dan Engels membahaskan sosialisme reaksionari, yang terdiri daripada sosialisme feudal, sosialisme borjuis bawahan, dan Jerman atau sosialisme “sebenar;” dan konservatif atau sosialisme borjuis (Marx and Engels, 2008: 67 – 81).  Walau bagaimanapun, Marx dan Engels, secara perbandingan ialah pendatang lewat kepada komunisme.  Engels mengisytiharkan dirinya komunis lewat pada tahun 1842, Marx berkemungkinan tidak hingga bahagian terkemudian tahun 1843, selepas menyelesaikan kisah yang lebih  berpanjangan  dan kompleks dengan liberalisme dan falsafah Hegel.  Bahkan, di Jerman, air mati politik, mereka bukannya orang pertama sosialis (Hobsbawm, 2011: 16).
Walau bagaimanapun, Rustam A. Sani mengingatkan bahawa sikap berhati-hati perlu diamalkan ketika bercakap tentang konsep seperti “golongan kiri Melayu,” supaya aspek ideologi pada konsep berkenaan tidak terlalu  ditekankan.  Maksud beliau, pembicaraan itu tidak terlalu terpengaruh dengan ideologi sayap kiri (sosialisme dan komunisme), yang sering dilihat sebagai idea tunggal dan tidak berubah, berasal daripada rumusan Marx, Engels, dan Lenin.  Rumusan itu kemudian  disampaikan tanpa perubahan kepada setiap generasi golongan kiri, dalam apa-apa juga latar belakang sosial golongan itu beroperasi (Rustam, 2014: 1).  Beliau yang bersetuju dengan R.O. Tilman bahawa sifat politik Melayu dan politk Malaysia secara keseluruhan dalam pelbagai dimensi adalah lebih “bersifat perkauman” berbanding dengan “bersifat ideologi” (Rustam, 2014: 1). Dalam pengertian sekarang, politik jati diri yang sedang bangkit di seluruh dunia.
(Dipetik daripada Bab Tujuh, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)



Saturday, August 31, 2019

Konsep Bangsa

SABTU, 31 Ogos 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Apakah bangsa atau dalam bahasa Inggeris disebut nation? Bangsa ialah kumpulan orang yang disatukan oleh bahasa,  leluhur, sejarah, atau budaya bersama. Orang mempunyai selalunya berasa sangat patuh kepada bangsa mereka dan bangga akan ciri nasional mereka. Bangsa, menurut takrif Max Weber, ialah “komuniti manusia yang (berjaya) menuntut monopoli penggunaan sah kuasa fizikal dalam wilayah yang dinyatakan.” Dalam kata lain, intipati kenegaraan ialah penguatkuasaan, iaitu keupayaan muktamad untuk menghantar seseorang dengan pakaian seragam dan senapang untuk memaksa orang mematuhi undang-undang negara (Fukuyama, 2005: 8; huruf condong oleh beliau sendiri).
Immanuel Wallerstein dalam “The Left and the Nation: Unresolved Ambiguities” melalui  laman webnya  (Commentary No. 419, 15 Februari  2016), menjelaskan bahawa istilah “bangsa” mempunyai banyak makna yang berbeza merentas abad.  Akan tetapi, kini, dan sejak Revolusi Perancis lebih kurang, istilah ini dikaitkan dengan negara, sebagai negara bangsa.  Dalam penggunaan ini, “bangsa” merujuk kepada mereka yang menjadi anggota menurut hak komuniti yang terletak dalam negara.  Wallerstein percaya bahawa negara mewujudkan bangsa dan bukan sebaliknya.
Dalam  Race, Nation, Class: Ambiguous Identities, Wallerstein menyorot secara ringkas pandangan yang wujud dalam sains sosial tentang peoplehood, iaitu konsep yang wujud daripada struktur dan proses dalam sistem sejarah. Menurut beliau, istilah “orang” agak jarang-jarang digunakan berbanding dengan tiga  istilah yang sama, iaitu “ras,” “bangsa,” dan “kumpulan etnik,” yang kesemuanya mungkin keanekaan “orang” di dunia moden. Kesemua tiga yang terakhir ini adalah paling baharu dan dalam hubungan ini, menggantikan istilah “minoriti”  yang digunakan secara meluas sebelum ini (rujuk Balibar dan Wallerstein, 1991: 77).
Wallerstein menjelaskan bahawa “ras” sepatutnya dianggap kategori genetik, yang mempunyai bentuk fizikal boleh nampak. Berlaku perdebatan hangat sepanjang 150 tahun lalu tentang nama dan ciri  ras. “Bangsa” sepatutnya dianggap kategori sosiopolitik, entah kenapa dikaitkan dengan sempadan negara sebenar atau sempadan potensi. “Kumpulan etnik”  sepatutnya dianggap kategori budaya, yang dikatakan kelakuan  terus-menerus tertentu yang diperturunkan daripada satu generasi kepada satu generasi dan  yang secara normal tidak berkait dalam teori sempadan negara (Wallerstein, 1991: 77).  Beliau menjelaskan, konsep “ras” adalah berkait dengan pembahagian kerja paksi dalam ekonomi-dunia, iaitu antimoni pusat-pinggir. Konsep “bangsa” berkait dengan superstruktur politik sistem sejarah ini, negara berdaulat yang membentuk dan berasal daripada sistem antara negara. Konsep “kumpulan etnik” berkait dengan penciptaan struktur  isi rumah yang membenarkan pengekalan komponen besar buruh bukan upah dalam pengumpulan modal. Tidak ada satu daripada tiga istilah itu berkait secara langsung dengan kelas. Hal ini kerana “kelas” dan peoplehood ditakrifkan secara ortogon yang akan kita  lihat satu percanggahan sistem sejarah ini (rujuk Balibar dan Wallerstein, 1991: 81).
Sementara itu, kawan sealiran dengan Wallerstein, iaitu Samir Amin menjelaskan bahawa konsep “bangsa” berdasarkan pertentangan yang asas yang menentang ketelitian komuniti terhadap kesejagatan – spesies manusia, nasibnya, bentuk masyarakatnya – yang membentuk kemanusiaan. Analisis saintifik sebenarnya terletak pada penelitian terhadap mitos, persepsi, dan konsep yang berhubungan dengan bangsa (Amin, 2001: 21). Dengan menoleh kepada sejarah, iaitu Revolusi Perancis, Amin seterusnya menjelaskan bahawa peraturan sosial baharu yang mula terbentuk di kawasan hujung Eropah pada Zaman Pembaharuan, penaklukan Dunia Baharu, ekonomi merkantil dalam pemerintahan beraja Eropah Barat – menghuraikan dengan lebih lanjut latar baharu pembangunannya. Latar ini bakal menjadi negara bangsa borjuis yang pertama (terutamanya England dan Perancis). Di situlah letaknya Revolusi Perancis. Ia membentuk satu bangsa baharu, bukan berdasarkan hubungan darah keturunan atau agama Kristian, tetapi ditakrifkan sebagai bangsa manusia yang merdeka (pada masa itu konsep persamaan jantina amat tidak dapat diterima). Oleh itu, bangsa termasuk semua orang yang melibatkan diri dalam Revolusi, meskipun bahasa  ibunda mereka bukan bahasa Perancis, misalnya orang Alsatia. Oleh itu, bangsa dikenali sebagai suatu ideologi kewarganegaraan (Amin, 2001: 21). Amin mengkritik konsep “bangsa” yang diperkenalkan oleh puak sayap kanan, iaitu dalam lingkungan sayap nasionalis konservatif, yang menurut beliau, “yang dengan namanya terseru perjuangan, kekal merupakan khayalan atau kabur, pada masa-masa tertentu menafikan hakikat kepelbagaian etnik, agama, atau linguistik yang jelas terkandung di dalamnya (Amin, 2001: 23).
Amin juga cuba membahaskan teori bangsa dari sudut Eurocentrism, dengan alasan Eurocentrism dinyatakan secara praktikal dalam semua bidang pemikiran sosial.  Hujah Amin, “realiti sosial tidak hanya terbatas pada ragam pengeluaran, bentukan masyarakat (social formation), sistem bentukan, negara, dan kelas sosial.         Bahkan, jika diakui memang sedemikian pun, dalam analisis akhir, teras penting realiti global, yang terkemudian itu juga termasuk berbagai-bagai bangsa, kumpulan etnik, struktur keluarga, komuniti linguistik atau komuniti agama, dan semua dalam bentuk lain kehidupan yang mempunyai kewujudan sebenar dan menduduki tempat dalam kesedaran manusia” (Amin, 2009: 255). Menurut beliau, bangsa wujud dengan jelas di dua tempat, iaitu pertama,  dalam masyarakat ufti (tributary societies) maju yang ufti dipusatkan oleh negara, kelas ufti merupakan sebahagian negara (China atau Mesir), berbeza dengan masyarakat mundur secara relatif  (seperti masyarakat feudal Eropah) yang ufti masih berpecah-pecah; dan kedua, dalam kapitalisme yang persaingan modal (yang mengakibatkan persamaan kadar untung) dan mobiliti buruh yang diurus oleh campur tangan negara (undang-undang, sistem monetari, dan dasar ekonomi negara). Jelas Amin lagi, konsep bangsa kelihatan dengan jelas dalam masyarakat maju, sama ada ufti (China atau Mesir) atau kapitalis (bangsa Eropah kapitalis pusat).  Dalam ragam pengeluaran pinggir mundur, realiti sosial etnik terlalu kabur untuk disebut nasional (Amin, 2009: 257). Sejarah pengalaman Eropah menunjukkan dua fakta penting yang lain, iaitu pertama, bangsa berkemungkinan tidak wujud terlebih dahulu penciptaannya; dan kedua, model kesekenaan antara negara dengan bangsa hanya merupakan model ideal atau unggul, direalisasikan secara tidak sempurna, dan model ini tidak bertindak balas terhadap mana-mana keperluan kapitalisme (Amin, 2009: 258).  Secara keseluruhannya,  Amin cuba memberikan perspektif sejarah tentang bangsa dan pewujudannya dalam masyarakat apa yang diistilahkan sebagai masyarakat ufti  maju dan dalam masyarakat Eropah, meskipun beliau pernah menyatakan bahawa “kekaburan rujukan jati diri budaya yang mendominasi sistem ufti yang lalu, misalnya Hinduisme dan Islam” (Amin, 2001: 23).
Konsep bangsa di Eropah dimajukan di rupa bumi atau terain patrimonial dan negara pemutlak. Negara patromonial ditakrifkan sebagai harta raja. Dalam keanekaan bentuk analog di negara berbeza di seluruh Eropah, negara patromonial dan negara pemutlak merupakan bentuk politik yang diperlukan untuk memerintah  hubungan sosial feudal dan hubungan pengeluaran. Menurut Michael Hardt dan Antonio Negri, kemenangan politik borjuis, seperti Revolusi Inggeris dan Revolusi Perancis menunjukkan dengan jelas, “di balik dimensi ideal konsep bangsa wujud tokoh kelas yang telah pun menguasai  proses pengumpulan. Justeru, ‘bangsa’ pernah adalah kedua-duanya, iaitu ‘keazaman umum’ Rousseaunian dan apa yang mereka-reka ideologi anggap sebagai  ‘komuniti keperluan’ (iaitu peraturan kapitalis pasaran) yang dalam jangka panjang pengumpulan primitif di Eropah adalah lebih atau kurang liberal dan selaluya borjuis” (Hardt dan Negri, 2001: 96).
Apabila pada abad ke-19 dan ke-20, konsep bangsa mengambil bentuk dalam konteks ideologi yang sangat berbeza dan menerajui mobilisasi popular di wilayah dan negara di dalam dan di luar Eropah yang mengalami bukannya revolusi liberal dan bukan juga tahap sama pengumpulan primitif, masih selalunya mewakili konsep pemodenan kapitalis, yang mendakwa membawa bersama-sama tuntutan antara kelas untuk perpaduan politik dan keperluan pembangunan ekonomi. Dalam kata lain, bangsa diutarakan sebagai satu dan hanya wahana yang dapat menyampaikan kemodenan dan pembangunan (Hardt dan Negri, 2001: 96). Jelas Hardt dan Negri lagi, proses pembinaan banga, yang memperbaharui konsep kedaulatan dan memberinya takrif baharu, dengan pantas menjadi mimpi ngeri ideologi dalam setiap konteks sejarah (Hardt dan Negri, 2001: 97).

Pembinaan bangsa ialah bentuk paling biasa proses pembentukan jati diri kolektif dengan pandangan untuk mengesahkan kuasa awam dalam wilayah tertentu. Proses ini dibentuk daripada tradisi, institusi, dan adat yang sedia ada, dan mentakrifkan semua itu sebagai ciri nasional untuk menyokong tuntutan bangsa terhadap kedaulatan dan keunikan.  Proses pembinaan bangsa yang berjaya menghasilkan unjuran budaya bangsa yang mengandungi set tertentu andaian, nilai, dan kepercayaan yang boleh berfungsi sebagai asas yang sah struktur negara.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...