Artikel Popular

Tuesday, July 16, 2019

Dari Kuala Kangsar ke Singapura

SELASA, 16 Julai 2019
Oleh: ZULKIFLI SALLEH


Sebagaimana bapanya, Tun Abdul Razak juga memasuki Kolej Melayu Kuala Kangsar (KMKK), iaitu pada 26 Jun 1934.  Setelah beliau  lulus peperiksaan darjah lima dan memperoleh kelulusan yang cemerlang, Dato’ Hussein menulis surat kepada Tengku Besar Pahang, Tunku Sulaiman ibni al-Marhum Sultan Ahmad, Menteri Besar Pahang merangkap anggota Lembaga Pengurusan KMKK, untuk menempatkan Tun Razak di Maktab Melayu (Nik Anuar, Muhammad, dan Abd. Ghapa, 2011: 29). Di KMKK, beliau menunjukkan keterampilannya dalam berbagai-bagai bidang, baik pelajaran mahupun kokurikulum. “Beliau terpilih menjadi ketua pelajar dan terkenal sebagai pemain hoki, bola sepak, dan tenis.  Beliau juga menjadi presiden Kesatuan Pelajar  KMKK dan naib presiden Persatuan Persuratan, Drama, dan Perbahasan (Zainuddin, 1997: 7;  rujuk juga Paridah, 2009: 6 - 7). Meskipun pendiam, Tun Abdul Razak dikatakan hebat berbahas.
Meskipun Tun Abdul Razak  tidak mempunyai pengetahuan atau kemahiran langsung dalam bahasa Inggeris yang merupakan bahasa pengantar KMKK (Paridah, 2009: 6), beliau  menunjukkan kecemerlangan dalam bidang pelajaran, lulus Junior Examination University Cambridge ketika berusia 15 tahun (Zainuddin, 1997: 7).  Pada 31 Mei 1940, Tun Abdul Razak meninggalkan KMKK untuk melanjutkan pelajaran di Raffles College.  Tun Abdul Razak yang ketika itu berusia 19 tahun, mendapat biasiswa untuk mengambil kursus selama tiga tahun dalam bidang ekonomi, undang-undang, dan sejarah (Paridah, 2009: 7; rujuk juga Zainuddin, 1997: 9).  Ketika itu,  beliau  menjalani latihan Perkhidmatan Tadbir Melayu (Malay Administrative Service). Tun Abdul Razak   bertolak ke Singapura dengan  menaiki  kereta api mel dari Kuala Lipis.   Turut bersama-sama beliau ialah Ghazali Shafie, seorang pelajar Clifford English School, Kuala Lipis (Nik Anuar, Muhammad, dan Abd. Ghapa, 2011: 38).  Menurut Tun Muhammad Ghazali Shafie,  mereka mengenali antara satu sama lain sejak remaja lagi.  Persahabatan mereka bertambah rapat dan erat apabila kami bersama-sama menuntut di Raffles College (Mohd Ghazali Shafie, 2006: 27). 
Di Raffles College, Tun Abdul Razak mengenali  pelajar senior, seperti  (Tun) Hamdan Sheikh Tahir,  (Tun) Syed Zahiruddin  (Syed Hassan),  (Tan Sri) Taib Andak yang sudah setahun melalui pelajaran mereka (Nik Anuar, Muhammad, dan Abd. Ghapa, 2011: 38). Wujud kekeliruan   tentang Taib Andak, sama ada beliau ketika itu masih menuntut,  kerana Taib dikatakan  “tamat pengajian di Raffles College pada tahun 1938, manakala Tun  Abdul Razak memasuki kolej itu pada 31 Mei 1940” (Kalsom, 2009: 86).  Beliau juga mengenali Tan Sri Abdul Kadir Yusuf (Paridah, 2009: 8).    Robert Kuok memberitahu bahawa beliau mula bertemu Tun Razak di Raffles College pada bulan Mei atau Jun 1941.  Tun Razak, seperti yang dikenali pada masa itu, ialah setiausaha kehormat Persatuan Sejarah.  Saya ialah seorang penuntut baharu yang diusik dan diejek (ragged) oleh mahasiswa-mahasiswa lama dengan teruk (Kuok, 2006: 49).Profesor Tan Sri Maurice Baker,  pernah menulis  pengalaman dan pemerhatian beliau tentang Tun Abdul Razak semasa di Raffles College.  Ketika Tun Abdul Razak mendaftarkan dirinya sebagai penuntut di sana, Maurice Baker – yang kemudiannya merupakan salah seorang rakan karib beliau, berada dalam tahun tiga. “Tidak ramai antara kami yang mengenali beliau kerana sifatnya yang pemalu dan rendah diri.  Kemudian, dalam sekelip mata sahaja beliau menjadi seorang wira,” tulis Baker yang pernah berkhidmat sebagai diplomat Singapura. “Dengan menghasilkan gol kemenangan dalam perlawanan bola sepak tahunan menentang musuh ketat kami, Kolej Perubatan (Medical College), Tun Razak serta-merta meletakkan dirinya sebagai mahasiswa baharu yang patut diberikan perhatian”  (Baker, 2006:  15).

Walaupun lebih setengah abad  berlalu, detik-detik Tun Abdul Razak menjaringkan gol kemenangan setelah permainan terikat tanpa jaringan gol, dan masa permainan hanya tinggal lima minit lagi, masih segar dalam memori Baker. Dan bahkan, beliau menulis seperti pengulas  profesional yang membuat  siaran langsung perlawanan bola sepak.  “... Tun Razak berjaya menguasai bola. Beliau berlari dengan pantas di sebelah sayap kiri, mengelecek bola melepasi pertahanan tengah yang sedang mara menujunya dan menyepak bola dari sudut yang sukar.  Bola itu tidak dapat diselamatkan oleh penjaga gol dan itulah gol kemenangan kami” (Baker, 2006: 15). Maurice Baker sebenarnya bukan sekadar bernostalgia, tetapi beliau mentafsirkan dengan tepat kehebatan Tun Abdul Razak dari padang bola ke medan politik.  Tulis Baker, “Tahun-tahun berikutnya, Tun Razak membuktikan kemahiran dan stamina beliau mengatasi lebih jauh dari padang bola dan suatu hari nanti beliau akan berkhidmat untuk Malaysia dengan cemerlang” (Baker, 2006: 15).
(Dipetik daripada Bab Dua, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)


Monday, July 15, 2019

Perang 7168

ISNIN, 15 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Peperangan bermula dengan angka 7168 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia tentang kuota kemasukan bumiputera ke institusi pengajian tinggi awam. Berdasarkan angka itu bermakna tidak ada pelajar bumiputera yang layak masuk ke IPTA pada tahun ini - pada abad ke-21.  Jika angka ini disebut tiga lalu, mungkin banyak pihak yang akur dengannya.

Pendedahan angka tersebut semakin runcing kerana kira-kira 500 pelajar bukan bumiputera yang cemerlang tidak berpeluang meneruskan pengajian mereka ke IPTA. Sebagai langkah penyelesaian, beberapa orang pemimpin politik mencadangkan supaya kuota yang tidak dapat dipenuhi itu diberikan kepada 500 pelajar berkenaan.  Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang merupakan beberapa orang pemimpin yang "terperangkap" dengan angka 7168 itu. Dr. Mahathir melangkah lebih jauh dengan mengeluarkan kenyataan bahawa sistem kuota akan dikaji sekiranya rakyat meminta kerajaan berbuat demikian.

Namun begitu, beberapa pemimpin dan tokoh pendidikan Melayu bukan sahaja tidak rela sistem kuota dimansuhkan, malahan mereka tidak mahu kuota 7168 itu diberikan kepada pelajar bukan bumiputera. Bahkan, ada tuntutan agar peratus pelajar bumiputera dinaikkan sejajar sejajar dengan peratusan mereka sebagai penduduk Malaysia.  Yang jelas dalam kalangan yang terlibat dalam perang kuota ini ialah kaum bumiputera adalah tertumpu pada pelajar Melayu sahaja, padahal bumiputera merangkumi penduduk bumiputera di Sabah dan Sarawak. Oleh itu, pelajar bumiputera di dua buah negeri itu seolah-olahnya tercicir dalam peruntukan kuota yang mencetuskan pertikaian ini. Walaupun hampir setengah abad Malaysia merdeka, masih ada pihak tertentu di Semenanjung mentakrifkan bumiputera secara sempit, sebagaimana ada orang menyebut: "Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak."

Setelah perang 7168 tercetus seketika, Menteri Pendidikan Malaysia menjelaskan bahawa tidak timbul isu kekosongan. Namun begitu, komen Wong Chun Wai dalam akhbar The Star (11 Mei 2001) memang menarik: "Jika laporan itu silap, Kementerian Pendidikan Malaysia sepatutnya menelefon, menghantarkan surat melalui atau mengirim e-mel untuk pembetulan kepadaThe Star." Dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), banyak cara untuk menyelesaikan masalah dengan pantas, demikian mesej yang ingin disampaikan oleh Chun Wai.

Angka 7168 menghangatkan lagi persoalan hak istimewa dan seterusnya menajamkan lagi perkauman di Malaysia. Sejak negara memasuki abad ke-21, bibit pertentangan kaum semakin kelihatan seolah-olahnya ada  sahaja yang "tidak kena." Kepekaan terhadap perkara yang telah dipersetujui dan diamalkan selama ini semakin pudar. Ada pihak yang cuba menguji kesabaran pihak lain, walaupun kesabaran itu menuntut pengorbanan yang besar. Ada pihak yang ingin mengundang kecelakaan setelah sekian lama diulik oleh keharmonian Ada pihak yang "beraja di mata, bersultan di hati."

Di samping mengingatkan pelbagai pihak tentang bahaya isu kuota ini, pegawai kanan kerajaan pula perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan atau laporan yang boleh menimbulkan kontroversi. Keghairahan mengeluarkan kenyataan atau laporan sedemikian, walaupun atas nama ketelusan boleh membawa keburukan kepada orang ramai. Ada baiknya kalau kenyataan atau laporan yang kontoversi itu dirujuk kepada menteri terlebih dahulu.  Sekiranya kenyataan atau lappran itu silap, maka pegawai kanan atau pihak kementerian berkenaan perlu membetulkannya dengan segera.  Tambahan pula, kita kini hidup dalam era ICT dan bukan lagi zaman putung berasap. Tindakan melambatkan pembetulan boleh menyebabkan orang ramai keliru, merumitkan dan menegangkan lagi suasana.

Tatkala melihat perang 7168 baru-baru ini, jelaslah bahawa budaya kerja lama masih tebal, meskipun kita telah memasuki ambang ICT. Pihak kerajaan boleh menyediakan pelbagai prasarana, termasuk prasarana ICT untuk membangunkan negara, tetapi ada prasarana untuk mengubah budaya kerja lama dalam perkhidmatan awam. Oleh itu, terpulanglah kepada warga perkhidmatan awam untuk mengubah budaya tersebut agar peristiwa perang 7168 tidak berulang pada masa hadapan.

("Memo Ketua Editor," Dewan Budaya, Jun 2001.)

Sunday, July 14, 2019

"4K"

AHAD, 14 Julai 2019'
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Lazimnya, para  pemimpin negara akan menghadapi  masalah sekiranya mereka mempunyai anak yang meningkat dewasa kerana anak-anak mereka ingin mengumpulkan kekayaan  di bawah naungan negara atau melalui mencari sewa (rent seeking). Apabila anak-anak sudah besar, mereka mendirikan rumah tangga, maka menantu juga mahu tumpang sekaki. Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri  ketika beliau berusia 64 tahun, ketika anak-anaknya, meskipun hanya dua orang, sudah dewasa dan masing-masing telah mendirikan rumah tangga. Meskipun bilangan mereka kecil, tersebar tohmahan bahawa “anak menantu memagari beliau;” bahkan daripada gelaran sinis “4K,” salah seorang “K,”  ialah  anak dan seorang lagi menantu.

Kejayaan besar Tun Abdullah  dalam pilihan raya umum tahun 2004  menjadikan beliau lalai dan memandang mudah terhadap sungutan dan keluhan rakyat, bahkan peringat akar umbi UMNO berasa kurang gembira dengan tindak-tanduknya.   Beliau jelas memperlihatkan ketidakgiatannya dan selesa dengan “Mr. Clean,” sedangkan imej itu pada mata rakyat kian tercemar. Desas-desus kedengaran kononnya, menantunya Khairy Jamaluddin, yang ketika itu naib ketua Pergerakan Pemuda UMNO, banyak mencampuri urusan pentadbiran negara.  
Keluarga Abdullah menjadi sumber kekuatannya semasa memimpin, tetapi juga menjadi sumber kritikan. Kritikan utama dilemparkan kepada menantunya, Khairy Jamaluddin yang berkahwin dengan Nori pada tahun 2001. Khairy dituduh menjadi orang yang menguasai pentadbiran Abdullah melalui kawalannya terhadap “Budak Tingkat Empat,” yang merupakan kumpulan profesional muda yang menyertai unit pembuat dasar di Pejabat Perdana Menteri.   Khairy yang dilantik sebagai pegawai khas dan  Timbalan Setiausaha Sulit Kanan, juga terlibat dengan kontroversi pemilikan saham yang bernilai RM9.2 juta dalam ECM Libra Avenue (Welsh & Chin,  2014:  xxiii – xxiv).  Setelah menerima pelbagai kritikan, terutamanya daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad, maka pada awal Ogos 2006, Khairy menjual sahamnya dalam ECM Libra Avenue.Namun begitu,  jika diperhatikan  serangan Dr. Mahathir itu, “tanduk dikilas,  telinga dipulas” – sasarannya terhadap Tun Abdullah dan Khairy dan tidak ketinggalan Kamaluddin.  Beliau mendakwa Scomi Bhd. milik anaknya,  Kamaluddin mempunyai  kontrak bernilai RM1 bilion dengan syarikat negara, manakala Khairy tanpa jawatan rasmi meluluskan semua cadangan perniagaan  yang dikemukakan kepada kerajaan (Wain, 2009: 323).
Tun Abdullah  pernah muncul di kaca televisyen dalam satu wawancara yang berlangsung pada 7 Ogos 2006 untuk menjawab tuduhan rasuah dan nepotisme yang dilemparkan oleh Dr. Mahathir.  Namun begitu, kemunculannya  tidak banyak membantu untuk mengawal kerosakan, seperti yang diperhatikan oleh Ooi Kee Beng, “beliau menangani prestasi yang tidak cukup baik yang mendedahkan beliau pada kritikan seterusnya, terutamanya tentang amalan perniagaan anaknya, Kamaluddin dan menantunya, Khairy” (Ooi, 2008: 25). 
Pada tahun bermulanya kejatuhan Tun Abdullah itu, Paridah Abd Samad menerbitkan buku Abdullah Ahmad Badawi: A New Breeze in Malaysia’s Politics – A Polical Analysis.  Buku ini diterbitkan pada tahun 2008, iaitu tahun bermulanya kejatuhan Tun Abdullah, tetapi tidak dapat dipastikan, sama ada diterbitkan sebelum ataupun selepas pilihan raya umum Mac tahun itu. Dalam buku ini, Paridah menyorot dan membahaskan kesukaran yang dihadapi oleh Tun Abdullah, iaitu kesukaran peribadi berkait dengan Khairy, kesukaran di peringkat nasional, dan kesukaran politik.  
Di tengah-tengah nama keluarga Tun Abdullah, muncul Patrick Lim yang dianggap  kroni beliau dan menambah comot “Mr. Clean.” Lim dikatakan bersekongkol dengan Khairy dan membolot semua projek besar di Terengganu (Welsh & Chin, 2014: xxv).
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Bab Dua Belas, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

Dasar Ekonomi Baru dan Tindakan Afirmatif

AHAD, 14 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri ketika pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB, 1971 – 1990) “separuh perjalanan.”  Apabila tamat tempoh pelaksanaannya, DEB digantikan oleh Dasar Pembangunan Nasional (DPN, 1991 – 2000),  seterusnya oleh Dasar Pembangunan Wawasan (DPW, 2001 – 2010), kemudian, Perdana Menteri Dato Seri Mohd.  Najib Tun Abdul Razak memperkenalkan Model Baru Ekonomi (MBE, 2011 – 2020), langkah terakhir untuk mencapai Wawasan 2020.  Walau bagaimanapun, Dr. Mahathir lebih cenderung bercakap tentang DEB berbanding dengan DPN dan DPW, bahkan “dari segi percakapan, kedua-dua dasar ini masih disebut DEB” (Wain, 2009: 103). Beliau terus mempertahankan dan melaksanakan dasar ekonomi yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak itu.
 Bagi Mahathir, meskipun DEB sudah berakhir dan sudah digantikan dengan DPN, tidak bermakna bahawa matlamat DEB untuk menyusun semula  masyarakat  supaya tidak ada pengenalan kaum, dengan fungsi ekonomi dan pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum sudah dilupakan.  Matlamat ini masih dijunjung oleh kerajaan (Ahmad Fawzi dan Mohd Foad, 2005:  157).  Dr. Mahathir mengencam sebilangan  orang Melayu dan bumiputera yang bersekongkol dengan dakwaan bahawa DEB dan penswastaan menguntungkan sebilangan kecil elit Melayu.  Bagi beliau, tanpa DEB, mereka tidak akan mendapat pelajaran dan kedudukan yang tinggi.  Mereka sebenarnya elit yang mendapat nikmat DEB, tetapi tidak mengenang budi. Hujah beliau, DEB dan penswastaan menguntungkan semua lapisan masyarakat (Ahmad Fawzi dan Mohd Foad, 2005:  85 - 86).  Beliau juga menjelaskan bahawa dengan pelaksanaan DEB dan pembesaran kek ekonomi, maka bumiputera memperoleh hak mereka tanpa merampas hak  bukan bumiputera (Ahmad Fawzi dan Mohd Foad, 2005:  466). 
Seiringan dengan pelaksanaan DEB, program tindakan afirmatif turut dilaksanakan.  Sebagaimana dua Perdana Menteri sebelum beliau, Dr. Mahathir juga melaksanakan program ini,  terutamanya  dalam bidang ekonomi dan pendidikan.  Beliau pernah menegaskan bahawa walaupun  dasar tindakan afirmatif memihak kepada Melayu, masyarakat Cina mendahului dalam bidang perniagaan.  Sebanyak 90 peratus jutawan Malaysia ialah kaum Cina dan ada antara mereka yang billionaire. Biarpun Melayu kononnya mendapat keistimewaan, tetapi Cina Malaysia tidaklah terpinggir seperti orang Melayu dipinggirkan di Singapura (Mahathir, 2015: 60). Dr. Mahathir turut menjelaskan bahawa DEB yang berupa program afirmatif diperkenalkan bagi mengatasi masalah kemunduran orang Melayu serta menjamin masa depan sosioekonomi mereka. Bagi beliau, program tindakan afirmatif merupakan pertimbangan perpaduan kebangsaan dan kelangsungan negara (Mahathir, 2015: 60).
Apabila Perdana Menteri Mohd. Najib  melaksanakan liberalisasi ekonomi, Dr. Mahathir menyambutnya dengan rasa kurang senang.  Beliau  menyifatkan “pelaksanaan liberalisasi ekonomi sebagai mengambil hak golongan bumiputera” adalah terlalu keras dan memeranjatkan. Juga tersirat  kekecewaan beliau terhadap “keruntuhan” satu dasar yang dilaksanakan sejak  tahun 1971.  Hujah beliau, pencapaian  DEB  yang meletakkan syarat kuota 30 peratus bagi bumiputera tidaklah begitu buruk. Beliau mengingatkan: “Ada orang yang gembira dengan dasar liberalisasi itu, tetapi ada juga pihak berasa tidak gembira” dan “selama 38 tahun DEB dilaksanakan, pertumbuhan negara adalah antara yang terbaik antara negara membangun”  (Zulkifli, 2009:   43). 
Dalam wawancara  dengan  AsiaWeek,  keluaran Mac 1998 -  di tengah-tengah kegawatan  ekonomi,  Dr. Mahathir  menegaskan bahawa kerajaan menolong sesiapa sahaja, Cina, India, Melayu.  “Memang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menolong sektor swasta, khususnya bumiputera kerana kami dalam proses mencuba untuk membetulkan ketidakseimbangan ekonomi”   (Zulkifli, 2009:  46).
Meskipun tindakan afirmatif ini sering dikritik, terutamanya oleh golongan yang memperjuangkan meritokrasi, menurut pemerhatian Joseph Stiglitz, “program yang dilaksanakan sejak berdekad-dekad untuk membantu orang Melayu secara agresif, ialah bahagian penting pembinaan bangsa (nation-building); pandangan bahawa semua kumpulan akan menikmati faedah daripada masyarakat yang stabil dan saksama diterima secara meluas, meskipun sebagai akibatnya, orang Cina mungkin hilang peluang. Walau bagaimanapun, oleh sebab kerajaan memastikan semua orang berkongsi hasil pembangunan, maka konflik kaum dapat dielakkan secara keseluruhannya” (Stiglitz, 2006: 49).  Bagi pendukung DEB, telah diakui tentang “bahaya ketidaksamaan, dan keadaan begini tidak dapat ditanggung bagi tempoh yang lama mengikut mana-mana definisi masyarakat bertamadun yang berdasarkan prinsip keadilan dan belas kasihan bagi pihak yang miskin dan tidak bernasib baik... Lambat-laun ketidaksamaan seperti itu akan membawa kepada letusan sosial, walaupun jika penduduknya terdiri daripada kaum yang sama tanpa terdapat faktor tambahan terhadap bangsa” (Faaland, Parkinson, dan Rais, 1991: 60).
Apabila DEB berakhir pada tahun 1990, didapati tindakan afirmatif dari segi pembasmian kemiskinan mencapai kejayaan yang besar apabila “kemiskinan mutlak dalam kalangan orang Mealyu dikurangkan daripada 64.8 peratus pada tahun 1970 kepada 20.4 peratus pada tahun 1990” (Gomez, Saravanamuttu, dan Maznah, 2013: 9).  Pengurangan kemiskinan ini dihasilkan oleh kedua-duanya, iaitu pertumbuhan ekonomi yang pesat berikutan perindustrian dan tindakan afirmatif kerajaan yang tersebar luas, terutamanya dalam sektor luar bandar dan pendidikan (Ragayah, 2013: 56).
Telah diakui akan peranan pendidikan dalam meningkatkan produktiviti  dan tahap pendapatan, dengan itu, DEB memberikan tumpuan terhadap pendidikan untuk cara membasmikan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.  Dua dekad pelaksanaan DEB pertumbuhan yang sangat besar kaum bumiputera menjadi terpelajar  pada semua tahap, rendah, menengah, dan tertiari, dan dalam semua bidang.  Program pendidikam, termasuk kuota pengambilan masuk ke universiti, biasiswa, dan subsidi lain dalam bidang pendidikan, membantu bumiputera meningkatkan kapasiti perolehan upah mereka, yang membawa kepada pengurangan petunjuk kemiskinan (Ragayah, 2013: 52).
Namun begitu, pada penghujung perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir  kelihatan mula berundur daripada program tindakan afirmatif dan mula menerima pakai meritokrasi, misalnya  dalam bidang pendidikan, iaitu “menawarkan untuk melepaskan kuota bumiputera untuk kemasukan ke universiti”  (Karim, 2003: 138).  Perubahan ini, iaitu daripada sistem kuota kepada meritokrasi, menurut pemerhatian Muhammed Abdul Khalid, “menghalang mobiliti sosial golongan miskin dan bumiputera” (Muhammed, 2014:  168). Muhammed menjelaskan bahawa sistem kuota yang digantikan dengan sistem meritokrasi pada Januari 2003, dan akibatnya, bukan bumiputera mempunyai bahagian yang lebih besar kemasukan ke universiti awam.  Misalnya, pengambilan pada tahun 2004 menunjukkan bukan bumiputera menerima manfaat paling banyak daripada anjakan dasar ini, dengan pelajar India dan Cina masing-masing meningkat sebanyak 46 peratus dan 36 peratus, pelajar bumiputera hanya meningkat sebanyak 10 peratus. Angka pada tahun sebelumnya menunjukkan pelajar Cina melihat pengambilan mereka meningkat sebanyak 27 peratus pada tahun 2003 berbanding dengan tahun 2002, manakala pelajar bumiputera meningkat tiga peratus (Muhammed, 2014: 169). Muhammed juga membandingkan jurang pendapatan relatif antara bumiputera dengan Cina dalam era tiga Perdana Menteri, yang menurut beliau, pascatahun  2009, menyaksikan jurang tersebut semakin melebar. Jurang pendapatan relatif melebar sebanyak 10 peratus dalam tempoh 2009 – 2012, iaitu era Perdana Menteri Mohd.  Najib Tun Abdul Razak, manakala jurang ini dipotong separuh semasa pentadbiran Tun Abdullah Badawi.  Sebagai perbandingan, ketika era Mahathir, jurang pendapatan antara Cina dengan bumiputera dipotong kira-kira 10 peratus (Muhammed, 2014: 94 – 95).
(Dipetik daripada Bab Sepuluh, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.) 

Pembangunan yang Runcing

AHAD, 14 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga  2001 - 2010 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 3 April 2001 merupakan fasa kedua untuk mencapai Wawasan 2020. Seperti sebelum ini, RRJPK3  mengandungi pelbagai harapan dan cabaran. Harapan untuk pertumbuhan ekonomi, pembangunan negara, kesejahteraan, dan sebagainya. Cabaran pula kerana RRJPK3 dibentangkan ketika negara masih menerima kesan kegawatan ekonomi tahun 1997 dan berhadapan dengan ketidakstabilan, ketidakpastian, tekanan neoliberalisme, dan kesan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat.

Pencapaian Wawasan 2020 bergantung pada prestasi RRJPK3 dalam tempoh 10 tahun dari sekarang. Sekrianya RRJPK3 berjaya mencapai matlamatnya, maka fasa ketiga iaitu RRJPK4, lebih mudah mencapai Wawasan 2020. RRJPK3 merupakan sokongan utama kepada RRJPK4 untuk mencapai matlamat negara pada tahun 2020. Sebarang kepincangan dan halangan dalam proses pelaksanaan RRJPK3 akan membebankan RRJPK4 dan seterusnya menjejaskan pencapaian Wawasan 2020.

Kejayaan RRJPK3 bergantung pada keupayaan menangani beberapa persoalan asas, yang berakar umbi sejak Malaysia merdeka, meskipun pembangunan memasuki Rancangan Malaysia Kelapan 2001 - 2005. Meskipun negara banyak mencapai kemajuan dan rakyat pada keseluruhannya hidup sejahtera, persoalan asas, iaitu pembangunan tidak seimbang dan polarisasi antara yang kaya dengan yang miskin, antara bandar dengan luar bandar, dan antara negeri, masih belum dapat ditangani dengan sepenuhnya. Akibat daripada pembangunan tidak seimbang dan polarisasi ini ialah polarisasi kaum yang boleh mencetuskan ketegangan kaum yang membimbangkan. Peristiwa di Kampung Medan baru-baru ini bukan sekadar mendedahkan bahawa ketegangan kaum boleh tercetus, tetapi yang lebih runcing, mendedahkan pembangunan tidak seimbang dan polarisasi antara yang kaya dengan yang miskin masih berleluasa, dan mungkin semakin meluas. 

Walau satu demi satu rancangan pembangunan lima tahun dilaksanakan, masih wujud golongan yang tidak menikmati faedah pembangunan. Masalah kemiskinan, setinggan, dan kemudahan asas masih wujud di Lembah Kelang dan pastinya, di tempat lain, sedangkan negara mencapai kemerdekaan hampir setengah abad. Sebaliknya, banyak projek yang dapat dilaksanakan dalam sekelip mata, seperti Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur dan Koridor Raya Multimedia, apabila kerajaan menunjukkan iltizam yang tinggi. Keadaan penduduk Kampung Medan yang kelihatan daif serta tanpa pembelaan mendedahkan kelalaian beberapa buah kementerian dan kerajaan negeri dalam melaksanakan tanggungjawab.  Memang benar bahawa golongan miskin mempunyai kuasa beli yang rendah, tetapi mereka mempunyai kuasa lain yang dapat menggugat dan mengubah keadaan.

Pembangunan tidak seimbang dan polarisasi antara yang kaya dengan yang miskin dan antara bandar dengan luar bandar bukan slogan kosong dalam kalangan anti-Golongan Berkuasa, parti pembangkang, ahli akademik,dan sebagainya, tetapi turut diakui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semasa membentangkan RRJPK3. Beliau menegaskan bahawa Dasar Wawasan Negara bertujuan membentuk satu bangsa Malaysia yang progresif dan makmur yang hidup harmoni serta berkongsi untung nasib dengan saksama... pengurangan ketidaksamaan sosial, ekonomi, dan wilayah. Meskipun beliau tidak menyebut pembangunan tidak seimbang dan polarisasi tersebut secara langsung, hakikat yang tersirat dalam ucapannya menjurus ke arah itu. 

RRJPK3 2001 - 2010 dan Rancangan Malaysia Kelapan 2001-2005 menghadapi cabaran yang runcing lagi genting. Dari satu segi, pembangunan itu perlu mewujudkan kesejahteraan serta keharmonian rakyat dan pembangunan mapan, dari satu segi yang lain, memenuhi tuntutan dan desakan pengumpulan modal yang tanpa kesudahannya,

("Memo Ketua Editor," Dewan Budaya, Mei 2001.)

Saturday, July 13, 2019

Memperingati Tun Abdul Razak


SABTU, 13 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Bersempena 40 tahun kematian Tun Abdul Razak Hussein Perdana Menteri Malaysia kedua, beberapa program  dilaksanakan pada bulan Januari 2016.  Yayasan Cemerlang dan Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) menganjurkan “Seminar Khas Memperingati Tun Abdul Razak.” Anaknya, Dato’ Seri Mohd. Najib, Perdana Menteri, yang menyampaikan ucaptama dilaporkan sebak dan bergenang air mata sewaktu menceritakan jasa dan sumbangan Allahyarham Tun Abdul Razak kepada negara. Menurut Mohd. Najib, “Allahyarham meninggalkan   asas untuk kita semua dan juga generasi akan datang bagi terus membina apa yang sudah dihasilkan, selain membuatkan diri berasa bangga.  Apa yang dimulakan Tun Abdul Razak, kita perlu teruskan.  Tambah Mohd. Najib, “ketelitian dan komitmen bapanya membawa pembangunan kepada rakyat Malaysia menjadikan Allahyarham sebagai pemimpin yang dicontohi (Utusan Malaysia, 2016a:  7).  Selepas menyampaikan ucaptama itu. Mohd. Najib melancarkan buku Tun Ahmad Sarji, My Recollections of Tun Abdul Razak.
            Bersempena memperingati pemergian Tun Abdul Razak  itu juga beberapa akhbar tempatan memberikan liputan kepada Allahyarham, misalnya Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia menerbitkan beberapa makalah tentang beliau.  Sementara itu,  The Star keluaran 14 Januari 2016, muncul dengan  Star Special: Tun Abdul Razak Hussein (Prime Minister 1970 – 1976) – Remembering His Legacy.  Dalam sisipan khas itu terkandung beberapa makalah  tentang pelbagai kisah dan sumbangan Allahyarham, kebanyakannya ditulis oleh staf editorial akhbar itu sendiri, misalnya Razak Ahmad, muncul dengan tiga makalah, iaitu “Committed to Honesty, Sincerity,” “Toward a New Malaysia,” dan “Land for Landless,” Michelle Tam dengan “Devoted to Each Other,” Sheela Chandran dengan “Strict and Loving,” dan S. Ramaguru dengan “Field of Dreams.”  Penulis luar untuk sisipan ini terdiri daripada Tunku Shahriman Tunku Sulaiman dengan “They Were Made for Each Other,” sebuah makalah disediakan oleh Bernama, “A Man of the Rakyat” dan sebuah makalah ringkas oleh Tan Sri Lim Kok Wing. Dalam sisipan ini juga dimuatkan penulisan tentang Tun Abdul Razak, termasuk biografi, analisis, dan bahkan sajak;  di samping  peristiwa penting beliau dari tarikh kelahirannya pada 11 Mac 1922 hingga beliau meninggal dunia pada 14 Januari 1976, pada usia 53 tahun. Juga  turut  dimuatkan pesanan Tun Abdul Razak: “A politician thinks of the next election and a statesman thinks of the next generation... not only do they think the next generation, but they think, from day to day, of the next opportunity, when they can give unselfish service to Malaysia. I beg you  to do the right thing.”  Tentang “ahli politik memikirkan pilihan raya akan datang dan negarawan memikirkan generasi akan datang,” pesanan ini  pernah diungkapkan oleh James Freeman Clarke. Tentang "lakukan kerja yang betul (sejak mula-mula lagi)”  merupakan   pesanan lazim  guru pengurusan.
            Beberapa saluran televisyen, seperti Astro Prima dan Astro Maya menyiarkan dokumentari khas, Tun Abdul Razak: 40 Years in Rememberence pada 14 Januari 2016, jam 9.00 malam, dan diikuti oleh A Leader Legacy: Tun Abdul Razak jam 10.00 malam melalui saluran National Geographic, National Geographic HD, dan Astro Awani.
Seterusnya, Kumpulan Utusan dalam “Utusan Business Awards 2015” menobatkan Allahyarham Tun Abdul Razak sebagai “Tokoh Negarawan Ulung.”  Anugerah itu diberikan kepada “Bapa Pembangunan” itu bagi menghargai sumbangan besar beliau kepada pembangunan negara sehingga ke akhir hayatnya.  Anugerah tersebut disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kepada balu Allahyarham, Tun Rahah Mohammad Noah. Bersempena anugerah tersebut, Utusan Malaysia, mengimbas kembali sumbangan Tun Abdul Razak kepada negara selama berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri. Sebaik mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada tahun 1970, Allahyarham bertindak merencanakan pembangunan Malaysia dan tiada apa pun yang melemahkan jiwa beliau untuk mencurahkan bakti kepada negara. Sungguhpun telah tiada, legasinya kekal hingga kini, antaranya rancangan Buku Hijau, penubuhan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Majlis Amanah Rakyat (Mara), dan beberapa agensi lagi yang terangkum di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).  DEB berjaya menangani cabaran ekonomi, politik, dan keselamatan negara pada waktu itu sekali gus membawa kesejahteraan kepada semua kaum (Utusan Malaysia, 2016b: 2).

Bangsawan Pekan

Menurut banyak sumber, Tun Abdul Razak dilahirkan pada 11 Mac 1922 di Pulau Keladi, Pekan, Pahang, kecuali  Paridah Abd. Samad, menyatakan “1 Mac” (Paridah, 2009: 2). Nama Abdul Razak, bagi masyarakat Islam, membawa erti “Hamba yang Membawa Rezeki” (Paridah, 2009: 2).  Beliau anak sulung  Dato’ Hussein  Mohd. Taib, Penolong Pegawai Daerah di Pekan, dengan  Teh Fatimah  Daud, anak seorang guru agama dan imam Kampung Pulau Keladi, yang mendirikan rumah tangga pada tahun 1920 (Nik Anuar, Muhammad, dan Abd. Ghapa, 2011: 26). Fatimah seorang gadis cantik dan peramah ialah  dan  sepupu beliau (Paridah, 2009: 3)
Bapa Tun Abdul Razak, golongan aristokrat atau bangsawan, berketurunan bangsawan Bugis;  ibunya juga berdarah Bugis dari cucu keturunan Sultan Hasanuddin (Zainuddin, 1997: 5).   Bapanya    bergelar Orang Kaya Indera Shahbandar – salah seorang orang besar empat Pahang. Beliau dianugerahi gelaran itu pada 3 Mac 1930. Berikutan anugerah gelaran itu, beliau ditukarkan  daripada  Penolong Pegawai Daerah Kuala Kubu, Selangor kepada Penolong Pegawai Jajahan di Kuantan.  Sejak itu, gelaran Orang Kaya Indera Shahbandar masih diwarisi oleh keturunan Dato’ Hussein (Nik Anuar, Muhammad, dan Abd. Ghapa, 2011: 27).   Dato’ Hussein merupakan antara kumpulan pertama golongan muda aristokrat yang dipilih memasuki Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).  Pada awal tahun 1916, ketika berusia 18 tahun, beliau dilantik sebagai Pegawai Melayu Rendah (Zainuddin, 1997: 5; Paridah, 2009: 3).  
Tidak banyak maklumat tentang adik beradik Tun Abdul Razak, meskipun biografi beliau tidak kurang banyaknya.  Beliau mempunyai seorang adik perempuan seibu sebapa, di samping 14 adik beradik dengan ibu tirinya, Cik Rokiah Salleh (Nik Anuar, Muhammad, dan Abd. Ghapa, 2011: 27), tetapi tidak dinyatakan nama mereka.  Satu-satunya adik Tun Abdul Razak ialah Datin Maimunah, isteri Dato’  Mohammad Jusoh  yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Pahang  (Zainuddin, 1997: 5; Paridah, 2009: 3). Adik  beliau yang lain, ialah Pun Sri Zainun, isteri Tan Sri Hamzah Abu Samah, yang pernah memegang jawatan menteri dalam Kabinet Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak, dan Tun Hussein Onn.  Seorang lagi, Toh Puan Temah yang menetap dan meninggal dunia di Kuala Terengganu pada akhir Januari 2016.
Meskipun Tun Abdul Razak berasal daripada keluarga bangsawan dan bapanya, Dato’ Hussein merupakan pegawai kanan kerajaan, beliau hidup seperti orang susah.  Cerita yang lazim kedengaran, beliau ke sekolah berkaki ayam,  meredah sawah untuk ke sekolah yang kelihatan daif.  Tidak lama selepas beliau dilahirkan, bapanya dipindahkan ke Pejabat Daerah Pekan.  Kemudian, dalam masa kira-kira dua tahun, Dato’ Hussein dinaikkan pangkat sebagai penolong Pegawai Daerah Temerloh.  Kenaikan pangkat  ini bermakna perpindahan bagi bapanya, menyebabkan Tun Abdul Razak dihantar ke Kampung Jambu   Langgar untuk tinggal bersama-sama datuk sebelah bapanya. “Di sana, Tun Abdul Razak dibesarkan sebagaimana kanak-kanak yang lain.  Sekalipun datuknya bukan daripada keluarga miskin dan memiliki rumah yang terbesar terletak di tengah-tengah kampung yang mundur,  rumah itu tidak mempunyai bekalan air, elektrik,  dan kemudahan  moden yang lain”  (Zainuddin 1997: 5; Paridah, 2009: 3).  Beliau dianggap sebagai separuh petani, separuh bangsawan  (Nik Anuar, Muhammad, dan Abd. Ghapa, 2011: 27).  Hal ini demikian kerana  beliau hidup dalam masyarakat yang terdiri daripada petani yang “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang;” mengerjakan sawah, bercucuk tanam, menangkap ikan di sungai, menternak lembu kerbau, dan bekerja dalam perusahaan tenunan sutera yang berasal dari Bugis (Zainuddin, 1997: 7).
Tun Abdul Razak menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jambu Langgar pada tahun 1928 ketika berusia enam tahun. Beliau berjalan kaki bersama-sama rakannya sejauh empat kilometer sehari.  “Beliau belajar di sekolah atap ini dari darjah satu hingga darjah empat” (Paridah, 2009: 5).  Di sekolah ini, beliau merupakan murid yang cekap dan pintar.  Beliau ketua darjah dan beliau juga cemerlang dalam kelas.  Beliau selalu mendapat markah yang baik dalam semua mata pelajaran dalam peperiksaan.  Beliau suka membaca   (Nik Anuar, Muhammad, dan Abd. Ghapa, 2011: 29).
(Dipetik daripada Bab Dua, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentaral.)

Penswastaan Hadapi Perbicaraan


SABTU, 13 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Pengumuman kerajaan untuk membeli saham MAS daripada Naluri Berhad telah menimbulkan pelbagai tafsiran yang mengandungi rasa tidak puas hati, kecewa, dan marah dalam kalangan orang ramai. Perasaan itu bukan sahaja kerana pembelian pada harga yang tinggi, iaitu pada RM8 sesaham, tetapi berkait dengan arah tuju atau masa depan penswastaan. Pelbagai tafsiran yang datang daripada pelbagai pihak, seperti warga korporat, ahli politik, dan kumpulan sosial, termasuk komen Tun Abdul Ghafar Baba, bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, yang mengingatkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan pelaksanaan penswastaan di Malaysia.  Dalam wawancara sebuah akhbar tempatan, Tun Ghafar menyebut dalam bahasa yang mudah: "Konsep penswastaan ini satu dasar yang betul... Penswastaan betul, tetapi pelaksanaannya itu betul atau tidak, dipertikaikan. Ada yang ambil balik, ada yang serah balik kepada kerajaan..."

Penswastaan di Malaysia yang dilaksanakan pada tahun 1983 membawa harapan untuk peralihan daripada kapitalisme pemerintah (negara) kepada kapitalisme swasta. Penswastaan dialu-alukan kerana dijangkakan dapat menjimatkan wang awam daripada salah urus dan ketidakcekapan yang sering berlakud dalam kapitalisme pemerintah. Dengan itu, penswastaan dapat mengurangkan pembaziran dan penyelewengan dalam sektor awam dan seterusnya mengurangkan campur tangan kerajaan dalam kegiatan ekonomi semasa pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Akibatnya, kesan penswastaan terhadap pekerja yang terlibat dan pengguna kurang mendapat perhatian dan dianggap tidak penting.

Meskipun penswastaan menunjukkan beberapa kejayaan, seperti penswastaan Jabatan Telekom Malaysia, Lembaga Letrik Negara, sejak awal lagi, pelaksanaan penswastaan terpaksa berhadapan dengan kegagalan. Misalnya, pada tahun 1984, Hospital Lady Templer yang diswastakan kepada Rampai Muda, terpaksa diambil semula oleh kerajaan kerana pihak syarikat menanggung kerugian. Beberapa projek penswataan, seperti kumbahand dan bekalan air, sama ada di peringkat negeri ataupun Persekutuan, menemui kegagalan sehingga memerlukan kerajaan campur tangan sekurang-kurangnya dari segi bantuan kewangan.

Namun begitu, kegagalan itu tidak seburuk kegagalan penswastaan MAS,  kerana sejak awal lagi, kebolehlaksanaannya diragui.  Sebaliknya, penswastaan MAS yang dilaksanakan sejak sekian lama dan "penerbangannya" kelihatan lancar dan licin. Bagi rakyat jelata, mereka sukar membayangkan bagaimana syarikat penerbangan ini menanggung kerugian sehingga kerajaan terpaksa ambil alih. Apabila kerajaan membuat keputusan untuk membeli saham MAS demi kepentingan negara dan syarikat penerbangan itu, keraguan orang ramai terhadap penswastaan semakin menebal.

Lantaran itu, timbul persoalan: Apakah yang sebenarnya diswastakan? Pada pandangan umum, penswastaan melibatkan entiti, projek, atau perkhidmatan. Namun begitu, pengalaman penswataan MAS itu pasti mengingatkan seseorang tentang tahap bebasnya pasaran bebas,  seperti yang disebut oleh Noam Chomsky. Dengan merujuk kepada penswataan di Amerika Syarikat khususnya, Chomsky berkata bahawa "sebenarnya keuntungan yang diswastakan." Dengan itu, selagi entiti, projek, atau perkhidmatan berkenaan menghasilkan keuntungan, tempoh penswastaannya akan berlanjutan. Sebaliknya, apabila mula menanggung kerugian, tempoh penswastaan akan berakhir kerana kapitalis swasta itu akan menyerahkan semula atau menjual entiti, projek, atau perkhidmatan itu kepada kerajaan. Pendek kata, tidak ada penswataan tanpa keuntungan. Penswataan akan terus hidup dan berkembang atas nama keuntungan semata-mata. Kapitalis swasta tidak berpegang pada  rukun atau adat perniagaan, iaitu keuntungan atau kerugian.

Pengalaman penswastaan juga mengingatkan seseorang kepada kebenaran kata-kata bahawa rakyat menanggung kos, manakala si kaya mengaut keuntungan. Oleh itu, Tun Ghafar  mempunyai alasan yang kukuh apabila beliau meluahkan pandangannya. Pastinya, beliau juga tidak keseorangan dalam mentafsirkan dan menilai beberapa kegagalan penswastaan di Malaysia.

Kepada individu atau syarikat yang ingin menceburi penswastaan, satu peringatan yang berguna ialah, "kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai."

("Memo Ketua Editor," Dewan Budaya, April 2001.)

Friday, July 12, 2019

Bersama-sama “Team B”


JUMAAT, 12 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Selepas bersara,  Tunku Abdul Rahman Putra  berkhidmat sebagai Setiausaha Agung OIC di Jeddah. Semasa di sana, Tunku membawa  kawan karibnya, iaitu Lim Yew Hock, bekas Ketua Menteri Singapura dan bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia dan Tan Sri Abdul Aziz Zin, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan untuk berkhidmat di OIC (Abdul Aziz, t.t.: 147 – 148). Meskipun Tunku terkenal dengan gemar berhibur, berjenaka, bermain  poker, dan berjoget serta meminati lumba kuda, bola sepak, dan perfileman, beliau juga menyumbang kepada pembangunan Islam di peringkat nasional, serantau, dan antarabangsa.  Selain penubuhan OIC, beliau mewujudkan  Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) pada 19 Ogos 1960 dan mengambil daya usaha menubuhkan Majlis islam Serantau Asia Tenggara (Riseap) pada 14 Januari 1980.  Untuk peristiwa bersejarah berkait dengan Tunku Abdul Rahman, rujuk Dr. Rais Yatim (2012: xviii – xxi).
Tunku yang boleh dikatakan terpinggir daripada arus perdana pada zaman Tun Abdul Razak, kembali aktif pada zaman Tun Hussein Onn.  Beliau kelihatan menulis dalam ruang “As I See it” dalam akhbar The Star   (Star pada tanggapan umum bermakna “suara Tunku Abdul Rahman”). Beliau kelihatan bersimpati dengan Dato’ Harun Idris, tetapi pada masa yang sama, menjaga hubungan baik dengan Tun Hussein.
Pada tahun 1987,  apabila “Team B” (Razaleigh-Musa) mencabar “Team A” (Mahathir-Ghafar), Tunku bersama-sama Tun Hussein menyokong “Team B.” Apabila pada tahun 1988, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan  UMNO tidak sah, diharamkan  “Tunku  tidak puas hati dengan Dr. Mahathir Mohamad, Presiden UMNO  waktu itu seolah-olah sengaja membiarkan UMNO diharamkan oleh mahkamah kerana 33 buah cawangannya tidak berdaftar” (Abdul Ghafar, 2006: 79). Tunku dan Tun Hussein berusaha mendaftarkan semula UMNO yang diharamkan dengan nama UMNO Malaysia, tetapi gagal – alasannya telah diketahui umum, kerana  UMNO Baru Dr. Mahathir dalam pembikinan. Tunku dan Tun Hussein tidak menyertai UMNO Baru  hingga ke akhir hayat mereka, kerana “Dr. Mahathir dan UMNO Barunya menyekat mereka berdua daripada menjadi anggota” (Kobkua, 2017: 258).  Dalam pilihan raya umum tahun 1990, Tunku menyokong Parti Semangat 46 pimpinan  Tengku Razaleigh yang menerajui dua pakatan pembangkang, iaitu Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Gagasan Rakyat.
 hak-hak keistimewaan bumiputera sebagai penduduk asal Tanah Melayu.
(Dipetik daripada Bab Satu, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

Singa Menerkam Harimau Mengaum


JUMAAT, 12 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Perkembangan yang berlaku sejak mutakhir ini menimbulkan suasana dan keadaan yang menyebabkan orang Melayu berasa marah, sedih, khuatir, tidak senang hati, dan memikirkan kemungkinan yang akan berlaku pada bangsa dalam abad ini. Demikian ulas Hassan Ahmad dalam artikel "Kalut Melayu,"  Dewan Budaya (Februari 2001).  Semasa artikel beliau dalam proses penerbitan, kalut Melayu semakin lantang kedengaran kerana reaksi terhadap kenyataan  Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong, bahawa orang Melayu di negara kota itu lebih maju berbanding dengan orang Melayu di Malaysia.

Ekorannya, pemimpin Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan, individu, dan media arus perdana di Malaysia riuh-rendah, melenting, dan menyangkal kenyataan itu dengan sekeras-kerasnya. Apabila pemimpin Malaysia menunjukkan pendirian yang kurang senang terhadap kenyataan Perdana Menteri Singapura, maka suku-sakat dan kaum kerabat mereka menunjukkan reaksi yang berlebih-lebihan dan kadang-kadang "lebih sudu daripada kuah."  Malahan, Kementerian Luar memanggil Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke negara ini untuk menyatakan pendirian dan pendapat Malaysia. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini. beberapa pihak di Malaysia, sering menunjukkan sifat kalut dan latah apabila berhadapan dengan satu-satu isu yang tidak seberapa.

Jika diamati, kenyataan Goh sekadar menunjukkan bahawa orang Melayu di Singapura tidak ketinggalan dalam pelbagai bidang. Sebagai pemimpin negara yang termaju di Asia Tenggara, beliau pasti ingin menghebahkan kemajuan rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum.  Pada masa yang sama, mengikis tanggapan orang Melayu Malaysia bahawa orang Melayu di negara itu didiskriminasi dan dipinggirkan oleh pemerintah.  Setiap pemimpin di dunia mempunyai sikap "mendabik dada" tentang kemajuan yang dicapai oleh negara dan rakyat mereka. Goh merupakan contoh terbaharu daripada beberapa banyak contoh yang wujud selama ini, termasuk Malaysia sendiri.

Perbandingan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Singapura itu berdasarkan ukuran tertentu dan bukannya berdasarkan emosi dan ego. Menurut laporan, Goh menggunakan pendapatan per kapita dan pencapaian orang Melayu dalam bidang tertentu sebagai ukuran untuk membandingkan kemajuan mereka dengan orang Melayu Malaysia. Memang benar bahawa pendapatan per kapita dipersoalkan oleh ahli ekonomi, tetapi ukuran itu diterima pakai oleh masyarakat antarabangsa. Pendapatan per kapita juga digunakan untuk mengukur kemajuan sesebuah negara jika dibandingkan dengan negara lain. Malahan, pemimpin Malaysia pernah menggunakan pendapatan per kapita (diukur dalam dolar Amerika) untuk menunjukkan kesan kegawatan ekonomi yang berlaku pada Julai 1997 terhadap rakyat negara ini.

Pihak yang berkenaan d Malaysia sepatutnya mengkaji perbandingan Goh secara mendalam dengan menggunakan pendekatan keilmuan sesuai dengan era ekonomi ilmu (k-ekonomi) dan bukannya dengan penuh emosi. Seolah-olah orang Melayu khusus dan orang Malaysia amnya, tidak boleh disentuh, diusik, dan dikritik. Apabila berhadapan dengan perbuatan sedemikian, nescaya reaksi mereka berkobar-kobar.  Telah banyak terbukti bahawa tindak balas yang berbentuk emosi dalam berhadapan dengan negara jiran dan negara luar membuahkan hasil yang tidak dapat dimanfaatkan. Oleh sebab gemar bertindak balas secara emosi, maka negara berkenaan sering mengusik dan mempersendakan Malaysia.

Kemajuan orang Melayu Singapura membuktikan rumpun Melayu, sebagai golongan minoriti ataupun majoriti yang tinggal di Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand, Kemboja, dan sebagainya, untuk "berdiri sama tinggi, duduk sama rendah" dengan kaum dan bangsa lain di negara berkenaan. Orang Melayu Malaysia tidak sepatutnya sikap iri hati atau cemburu apabila rumpun Melayu berjaya mengejar kemajuan di tanah air mereka sendiri.

Mentaliti atau tanggapan bahawa orang Melayu Malaysia sahaja yang maju berbanding dengan rumpun Melayu lain pasti akan menyempitkan dan dan membekukan dispora Melayu.  Sikap memandang rendah terhadap rumpun sendiri kerana disempadani oleh geopolitik dan geobudaya akan merugikan orang Melayu sendiri. Kenyataan Goh adalah dorongan bahawa orang Melayu boleh maju  di mana-mana sahaja, meskipun mereka merupakan golongan minoriti. Oleh sesetengah pihak di Malaysia tidak perlu rasa tercabar atau diperlekeh.  Tunjukkan kebijaksanaan dan kewarasan apabila berhadapan dengan satu-satu isu, khususnya yang bersifat serantau dan antarabangsa.  Tindak-tanduk golongan nasionalis ini (bukan nasionalis bahasa) jika sentiasa ditonjolkan pasti tidak memberikan manfaat kepada rakyat dan negara.

("Memo Ketua Editor," Dewan Budaya, Mac 2001.)

Thursday, July 11, 2019

Nasib Hasan dan Joyah


KHAMUS, 11 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Hasrat Hasan bin Darus untuk bernikah dengan Joyah binti Abu tidak tercapai kerana mas kahwin bernilai RM501 tunai. Hasan yang terperanjat akan nilai mas kahwin yang tinggi tergesa-gesa meninggalkan majlis akad nikah, walaupun "Bumiputra-Commerce dekat ja.,  Nasib malang terus menimpa Hasan dan Joyah kerana iklan tersebut tidak disiarkan lagi akibat kritikan ahli politik.  Meskipun nasib Hasan dan Joyah tidak menyayat kalbu jika dibandingkan dengan kisah Uda dan Dara, Romeo dan Juliet, dan Laila Majnun, penamatan iklan berkenaan tidak wajar kerana kritikan yang dikemukakan tidak berasas  sama sekali. 

Pengiklan terpaksa akur terhadap kriikan itu, walaupun iklan tersebut menunjukkan daya kreatif yang tinggi. Iklan yang kononnya dianggap menghina agama telah dimatikan oleh ahli politik yang ingin menunjukkan sifat pelindung secara berlebih-lebihan. Seolah-olahnya gambaran yang ditunjukkan dalam iklan itu tidak pernah dan merupakan perkara yang aneh.

Padahal, kelam-kabut pengantin lelaki semasa akad nikah lazim berlaku dan merupakan cerita harian dalam masyarakat, khususnya di luar bandar. Misalnya, kisah pengantin lelaki yang tidak dapat menjawab nikah yang akhirnya menyebabkan dia terpaksa dimandi limau dan ada kalanya wang hantaran tidak cukup apabila dikira oleh pihak pengantin perempuan. Oleh itu, agensi pengiklanan sekadar mengolah keadaan kelam-kabut semasa akad nikah sesuai dengan tujuan komersial.

Oleh sebab agensi pengiklanan mempunyai daya kreatif yang tinggi dan watak Hasan berjaya menghidupkan kelucuan, maka iklan itu sentiasa menjadi perhatian atau tontonan khalayak.  MIsalnya, nama Hasan bin Darus dan Joyah binti Abu menjadi sebutan anggota keluarga yang mergadakan majlis perkahwinan di Kuala Terengganu baru-baru ini. Seorang kawan dari tempat yang sama memberitahu bahawa anak lelakinya berumur lima tahun akan menyebut nama Hasan bin Darus setiap kali dia bersalaman pada hari Aidilfitri yang lalu. Sambutan yang sedemikian rupa menggambarkan bahawa agensi pengiklanan berkenaan berjaya menarik perhatian khalayak melalui daya kreatif yang mengandungi unsur lucu yang lazim berlaku dalam masyarakat.

Malangnya, daya kreatif yang mampu menerobos minda khalayak dan seterusnya mempengaruhi tanggapan mereka dimatikan oleh ahli politik yang berfikiran sempit dan menganggap iklan itu sebagai penghinaan. Mereka juga mencadangkan supaya siaran iklan Bumiputra-Commerce yang menggambarkan sifat boros keluarga Cina dan lelaki Melayu dihentikan. Namun begitu, ahli politik ini lupa bahawa iklan Jualan Mega yang menggalakkan orang ramai membeli-belah sebenarnya lebih boros daripada iklan bank berkenaan. Sekiranya ahli politik ingin menunjukkan sifat pelindung, mereka sepatutnya bercakap dengan nada yang serupa terhadap iklan Jualan Mega.

Sebenarnya, tindak-tanduk ahli politik berkenaan yang bertaraf wakil rakyat mendedahkan bahawa fikiran dangkal masih berleluasa dalam masyarakat Malaysia.  Lebih malang, fikirang dangkal itu lahir daripada golongan yang dianggap berpendidikan dan bermartabat. Jika fikiran dangkal itu tidak dicabar dan sering dipatuhi, nescaya daya kreatif masyarakat dalam bidang pengiklanan, penulisan, dan sebagainya terkongkong.  Bahkan, dalam jangka panjang, bakat kreatif individu semakin malap. 

Nasib Hasan dan Joyah menunjukkan bagaimana fikiran yang dangkal mampu membunuh fikiran yang kreatif dan bernas. Karyawan yang bercita-cita mengasah bakat dalam bidang seni terpaksa tunduk kepada golongan yang lebih berkuasa, tetapi daif dari segi pemikiran,  Sebelum ini, iaitu pada tahun 1980-an, iklan kad kredit American Express yang menampilkan seorang Tan Sri mengalami nasib yang sama. Sebagaimanya iklan Bumiputra-Commerce, siaran iklan American Express itu dihentikan kerana kritikan ahli politik di Dewan Rakyat.

Sepatah kata orang bawahan apabila iklan Hasan dan Joyah dihentikan: "Ahli politik mahu campur tangan dalam segala hal." Pada alaf baharu dan pada abad ke-21, ahli politik yang dangkal patut ditolak oleh rakyat.

("Memo Ketua Editor," Dewan Budaya, Februari 2001.)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...