Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Dengan menggunakan konsep “hegemoni” yang biasanya
dikaitkan dengan pemikir Marxis Itali, Antonio Gramsci, Thock Ker Pong dalam bukunya, Ketuanan Melayu mengesan kemunculan hegemoni Melayu selepas Peristiwa 13 Mei 1969, iaitu
hegemoni politik, hegemoni ekonomi, dan ekonomi budaya (Thock, 2005: 71 – 85).
Pembentukan Barisan Nasional memacu kekuasaan politik Melayu. Dengan
keanggotaan yang lebih besar, kepentingan bukan Melayu tidak lagi hanya
diwakili oleh MCA dan MIC. Kehegemonian politik Melayu juga dapat dilihat dalam
proses persempadanan semula kawasan pilihan raya. Kehegemonian ekonomi Melayu
adalah melalui campur tangan kerajaan dalam ekonomi dan penubuhan perbadanan
awam ketika pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), penyertaan dalam bidang perniagaan, pemilikan
modal saham, penyusunan semula
masyarakat, perancangan pendidikan dan
latihan, dan kelahiran golongan profesional. Kehegemonian budaya berlaku
melalui penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) pada tahun 1971, yang bermatlama pengukuhan dan
pencapaian perpaduan negara, keperibadian kebangsaan, dan kualiti kehidupan.
Hujah Thock, seiring dengan perkembangan nasionalisme politik dan ekonomi,
nasionalime kebudayaan Melayu turut memuncak pada masa itu. Dengan tunjangan
nasionalisme ini, elit politik dan budayawan Melayu ingin melihat pembinaan
negara bangsa berlandaskan satu kebudayaan dan satu bahasa. Kerajaan yang
dikuasai oleh UMNO menerapkan dasar asimilasi untuk menangani masalah
kemajmukan etnik dan budaya di Malaysia. Dasar ini dilaksanakan untuk
memastikan kehegemonian budaya Melayu tercapai (Thock, 2005: 84).
Sama ada disedari
ataupun tidak, hegemoni politik UMNO mula kelihatan terhakis dalam pilihan raya umum 1999 akibat
pelancaran Reformasi bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Meskipun UMNO mara semula dalam pilihan raya umum 2004 yang menyaksikan Barisan
Nasional meraih kemenangan besar-besaran. Namun begitu, kejayaan cemerlang ini
tidak dapat dipertahankan dalam pilihan raya umum yang diadakan empat tahun
kemudian dan gagal bangkit dalam pilihan raya umum 2013. Dalam pilihan raya
umum 2018, Barisan Nasional yang diterajui oleh UMNO tewas dan kehilangan kuasa
yang dipegangnya selama kira-kira 60 tahun. Sekiranya kita berpegang pada
tafsiran Thock bahawa kegemonian politik Melayu bertunjangkan UMNO, maka
keputusan pilihan raya itu dan ekoran kekalahan itu, jelas menunjukkan
berakhirnya kehegemonian politik Melayu.
Demikian juga dengan
kehegemonian ekonomi Melayu yang juga terhakis sejak krisis kewangan Asia
1997-1998 yang menyaksikan banyak ahli perniagaan Melayu tumpas dan
kebanyakannya tidak bangkit semula, manakala beberap buah syarikat kepentingan Melayu terpaksa
diberikan pelan penyelamat dan berpindah tangan. Persengketaan yang berpanjangan dalam politik Melayu, antara
UMNO dengan PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan terutamanya antara Dr.
Mahathir dengan Anwar sejak September 1998 yang
berpanjangan hampir dua dekad turut menjejaskan kehegemonian ekonomi
Melayu.
Kehegemonian budaya
Melayu yang bersandarkan DKK mengalami nasib yang sama. DKK sejak
pelaksanaannya mendapat tentangan kuat daripada orang bukan Melayu, iaitu Cina
dan India. Sejak berdekad-dekad lalu DKK tidak kedengaran, meskipun kementerian
yang berkait dengan kebudayaan masih wujud dan bekas Perdana Menteri, Mohd.
Najib, pernah melantik bekas menteri sebagai penasihat sosiobudaya. Meskipun
(tokoh) budayawan Melayu kelihatan muncul di sana sini, terutamanya dalam
seminar, kongres, wawacana, dan sebagainya,
mereka boleh dikatakan tumpas di tangan “pahlawan budaya” dan golongan yang memperjuangkan fahaman
pelbagai budaya.
No comments:
Post a Comment