Artikel Popular

Thursday, January 10, 2019

Negara dalam Hikayat

KHAMIS, 10 Januari 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


(Nota: Tulisan ini berdasarkan cadangan buku "Negara dalam Hikayat" yang idak dapat disempurnakan - Zulkifli Salleh)


BAB 1
Pengenalan dan Latar Belakang
Dalam Sulalat al-Salatin,  Tun Seri Lanang banyak mencatatkan dan menghuraikan hal yang berkaitan dengan negeri dan rajanya, pembukaan negeri baharu, kemajuan yang dicapai oleh negeri baharu itu, sistem pemerintahan, peperangan, dan leluhur raja-raja Melayu.  Seperti yang  dibahaskan oleh Jelani (2003: 223):  “Sejarah Melayu misalnya, bukan sahaja karya agung bangsa Melayu yang merakamkan  sejarah kewujudan negara kota Melaka, tetapi juga menampilkan adat istiadat pemerintahan raja Melayu yang diwarisi turun-temurun.  Dalam karya tersebut terakam pelbagai peraturan tentang  tugas dan tanggungjawab  raja dan pembesar  negara, meliputi pentadbiran dalam negara dan juga hubungan dengan negara luar.” 
Sebelum itu, Jelani (2003: 221 – 222) menegaskan, “dalam karya historiografi, kanun undang-undang, adat istiadat, dan sebagainya, terakam pelbagai keterangan tentang perkara asas yang biasa terdapat dalam sesebuah sistem pemerintahan negara yang meliputi persoalan berkaitan raja, para pembesar, rakyat, wilayah negara, istana, undang-undang, sistem ekonomi, politik, sosial, agama, kepercayaan, adat istiadat, tentera, hubungan luar negara, dan sebagainya.” Beliau juga menyenaraikan sumber penting tentang buku pentadbiran negara di alam Melayu, kumpulan karya yang dikenali umum sebagai genre sastera bercorak sejarah atau historiografi Melayu, antaranya Hikayat Raja-Raja Pasai, Sejarah Melayu, Tuhfat al-Nafis, Hikayat Merong Mahawangsa, Misa MelayuHikayat Pahang, Hikayat Patani, dan Hikayat Aceh.
Jelani  (2003: 10) mencatatkan bahawa  sejarah perkembangan tamadun bangsa Melayu sebagai suatu bangsa yang memiliki peradaban hidup.  Bagi beliau, budaya penulisan manuskrip yang muncul dan berkembang di alam Melayu sekitar abad ke-14 hingga abad ke-19 meninggalkan sejumlah besar khazanah persuratan Melayu. Sehingga kini, khazanah manuskrip Melayu menjadi sumber rujukan penting dalam pelbagai bidang pengajian tentang alam Melayu, meliputi disiplin sejarah, bahasa, sastera, agama, budaya, politik, pengurusan, pendidikan, falsafah, dan beberapa disiplin ilmu yang lain.
Justeru, kita tidak boleh terus menerus selesa atau menerima bulat-bulat akan  saranan  Muhammad Haji Salleh dalam “Pengenalan”   yang jelas  bersifat defensif dan   bernada memohon maaf  (1997:  xl):    “Kita  tidak harus mengukur konsep sejarah dan kenyataan Sulalat al-Salatin mengikut konsep kita hari ini, yang disalutkan oleh pandangan Eropah yang agak tebal.” Jika kita terus akur dengan saranan Muhammad itu,  nescaya khazanah sastera klasik  yang amat penting dan  bernilai  hanya sekadar terkenal sebagai  “pemujaan wira feudal”  - istilah yang diperkenalkan oleh Shaharuddin Maaruf (2014).
Kewujudan mitos dan legenda   yang hanya merupakan kisah sampingan yang sepatutnya tidak dibiarkan merosakkan kisah teras atau tema utama Karya Agung ini, meskipun penggunaan dua unsur itu, seperti yang ditegaskan oleh Zalila Sharif (2006), “untuk memperlihatkan kebesaran martabat bangsa Melayu, khas golongan raja.”  Buku ini tidak bertujuan membahaskan  mitos dan legenda dengan panjang lebar, kerana selain Zalila, Haron Daud (2006)  turut membahaskan  aspek tersebut apabila beliau memperkatakan buku M.  Rajantheran, Sejarah Melayu:    Kesan Hubungan Kebudayaan Melayu dan India.  Walau bagaimanapun, perlu dinyatakan di sini bahawa pengaruh India atau Hinduisme itu juga wujud dalam filem Hollywood sezaman, seperti Batman dan Star Wars,  (Dhaliwal, 2014), dan hal ini secara perbandingan, menunjukkan kedalaman pemikiran dan kecanggihan pengetahuan pengarang sastera Melayu klasik yang hidup pada zaman tanpa Internet dan media sosial.
Perlu disedari  bahawa kepercayaan terhadap  sesuatu yang dianggap mitos atau legenda wujud dalam setiap masyarakat dan budaya dan merentas zaman. Dalam mitologi Yunani dan Rom, wira dan manusia agung selalunya lahir daripada hubungan  dewa dan wanita manusia, misalnya dalam kisah Hercules, Zeus menghamilkan ibunya dengan menyerupai suami ibunya.  Helen  of Troy  dikandungi  apabila Zeus menyerupai angsa dan sama ada menggoda atau merogol ibunya, Leda.  Bahkan,  Augustus, Pythagoras, dan Alexander the Great dikatakan mempunyai ibu manusia dan bapa ketuhanan.  Idea dewa atau separa dewa berpasangan dengan wanita manusia dikatakan lazim wujud  di seluruh Timur Dekat Purba.  Idea ini juga  muncul dalam buku Genesis.  Namun begitu, kewujudan mitologi ini tidak menafikan kewujudan Helen dan Alexander, antaranya, manakala Genesis tetap dianggap sebagai kitab suci orang Kristian. 
Kisah dewa dan dewi juga muncul dalam puisi epik Homer, Iliad yang terkenal dengan mitos Perang Trojan.  Dewi Hera dan Athena berasa dicela oleh Paris, kerana putera Raja Priam Trojan itu terpikat dengan godaan dewi Aphrodite yang menjanjikan beliau wanita yang paling cantik di dunia sebagai isterinya.  Wanita itu tidak lain dan tidak bukan, Helen of Troy, permaisuri Raja Menelaus Sparta, yang kemudiannya dilarikan oleh Paris. Nama dewa, seperti Poseidon dan Zeus juga wujud  dalam puisi epik itu.  Walau bagaimanapun, kemunculan dewa dan dewi  tidak melenyapkan Troia, Kota Legenda Priam  daripada sejarah, bahkan   tempat berlakunya Perang Trojan itu diisytiharkan sebagai  Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak tahun 1998.









BAB 2
Kedatangan Negara
Seandainya rakyat  Scotland  memilih untuk merdeka dalam pungutan suara yang berlangsung pada  pertengahan September 2014,  Scotland akan terbentuk   negara ke-196 di dunia ini. Scotland hilang taraf “negara” kerana bergabung di bawah Great Britain bersama-sama England dan Wales  pada tahun 1707 dan seterusnya United Kingdom, dengan penyertaan Ireland Utara. Boleh dikatakan, pembentukan dan pembubaran negara berlaku sepanjang zaman, dari negara kota ke negara bangsa.
Negara  yang  menganggotai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),  semuanya merupakan pewujudan sistem-dunia moden. Immanuel Wallerstein (1991: 80 – 81), menjelaskan bahawa   kebanyakan negara ini bahkan tidak wujud, sama ada dari segi nama ataupun sebagai unit pentadbiran lebih satu atau dua abad lalu.  Hanya sebilangan yang dapat dikesan nama dan entiti pentadbiran berterusan dalam kira-kira lokasi geografi yang sama ke tempoh menjelang tahun 1450, iaitu Perancis, Rusia, Portugal, Denmark, Sweden, Switzerland, Maghribi, Jepun, China, Iran, dan Ethiopia yang mungkin merupakan kurang kabur, meskipun negara tersebut wujud sebagai  negara berdaulat moden hanya dengan kemunculan sistem-dunia sekarang. Selain itu, wujud sesetengah negara moden, seperti Greece, India, dan Mesir lebih merupakan sejarah tidak selanjar penggunaan nama untuk menjelaskan zon. 
Sementara itu, negara Malaysia, seperti yang dicatatkan oleh Mohd. Taib Osman (2002: 4),  “wujud setelah melalui liku-liku sosiopolitik zaman berzaman.  Apa yang kita warisi pada ketika ini terbentuk mengikut peristiwa-peristiwa yang baru sahaja kita lalui pada abad ke-20 ini. Namun apa yang berlaku sejak zaman berzaman itu tetap meninggalkan kesan, walaupun secebis di sana, secebis di sini, tetapi tetap mewarnai anyaman atau tapestry negara Malaysia hari ini.”  Sebenarnya,   penjajah Inggeris  membahagi-bahagikan  negeri-negeri   yang suatu masa “berdaulat” dan bertaraf negara kepada Negeri-Negeri Selat (Melaka, Pulau Pinang, Singapura), Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor), dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu (Johor, Kedah, Kelantan, Perlis, Terengganu).  Kesemua negeri ini, kecuali Singapura, bergabung apabila Persekutuan Tanah Melayu dibentuk pada tahun 1948 dan terus kekal apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.  Seterusnya,   pada tahun 1963, Singapura turut menyertai pembentukan Malaysia  bersama-sama Sabah dan Sarawak, tetapi negara itu “disingkirkan” dua tahun kemudian, kekal sebagai negara kota hingga kini.
            Kepustakaan tentang kewujudan negara dapat diperoleh  sejak zaman Yunani lagi, misalnya melalui karya   Aristotle, kemudian kepada Ibn Khaldun,  seterusnya kepada  Thomas  Hobbes  dan  Jean-Jacques Rousseau – sekadar menyebut beberapa nama.
Dalam Karya Agungnya, Mukadimah, Ibn Khaldun (2002:  xLix), mengibaratkan “negara dan pemerintahan   pasar dunia, tempat karya-karya ilmiah dan keterampilan ditarik ke dalamnya.” Tambah beliau:  “Dan apabila negara yang mapan itu menjauhi ketidakadilan, prasangka, kekurangan, dan bermuka-muka, dengan ketentuan menjaga sistem yang benar dan tidak membelokkannya, maka pelbagai barangan di pasarnya itu akan setulen barang-barang daripada jenis perak dan emas.  Dan apabila negara dipengaruhi oleh kepentingan peribadi, dan persaingan, atau dipenuhi oleh kezaliman, tirani dan ketidakjujuran, maka barang-barang di pasarnya akan menjadi barang-barang yang tidak berharga dan benda-benda logam yang tidak bernilai.”  Tentang pembentukan atau asal usul negara,  beliau (2002: 160), menyebut, “suatu golongan umat manusia hanya boleh mendapat kekuasaan dengan berjuang, iaitu perjuangan yang membawa kemenangan, dan berdirinya sesuatu negara.”  Seterusnya, Ibn Khaldun (2002; 371), membahaskan kemunculan negara baharu dengan dua cara, iaitu pertama, daripada gabenor-gabenor yang berkuasa di daerah-daerah  yang jauh dan sewaktu naungan kerajaan yang berkuasa tidak berkesan, maka daerah tersebut kembali kepada keadaannya yang asal.  Cara kedua, ialah oleh mereka yang membuat propaganda supaya berlaku sesuatu sebab atau pemberontakan terhadap kerajaan.

Negara Kota 

 Aristotle   memulakan  Politics dengan mentakrifkan perkaranya (subjeknya), iaitu kota dan perkongsian politik.  Dengan berbuat demikian, maka memerlukan beliau menjelaskan tujuan kota.  (Perkataan Yunani untuk kota ialah polis. Sesetengah terjemahan menggunakan “negara kota” untuk polis.)  Yunani pada zaman Aristotle, entiti politik yang penting ialah kota, yang mengawal wilayah sekeliling yang mengerjakan tanah.  Kota ketika itu bukannya subordinat kepada negara atau bangsa, seperti yang berlaku sekarang; kota mempunyai kedaulatan terhadap wilayah yang dikawalnya (Clayton, tiada tarikh). Aristotle mentakrifkan komuniti politik sebagai perkongsian dan bukannya sebagai undang-undang yang diikuti oleh komuniti politik atau oleh kumpulan yang memegang kuasa atau sebagai entiti yang mengawal wilayah tertentu.  Warga komuniti politik, bahas beliau, ialah rakan kongsi, dan seperti mana-mana perkongsian mereka mencari kebaikan bersama.  Dalam kes kota, kota merupakan kebaikan yang paling autoritatif dan paling baik. Menurut beliau lagi,  kebaikan yang paling autoritatif dan paling baik ialah sifat murni dan kegembiraan warga, dan tujuan kota adalah untuk memungkinkan warga menikmati sifat murni dan kegembiraan.
            Aristotle, seperti yang dinyatakan oleh Edward Clayton, memberitahu kisah bagaimana kota muncul dari segi sejarah.  Perkongsian pertama antara manusia adalah antara “individu yang tidak dapat wujud tanpa individu lain, iaitu wujud dua pasangan manusia.  Pasangan pertama adalah bahawa lelaki dan wanita, demi pengeluaran semula.  Satu pasangan lagi adalah bahawa “memerintah dan diperintah secara natural, demi kepentingan pemuliharaan.”  Di sini, Aristotle merujuk kepada perhambaan. Dengan  “pemuliharaan,” beliau bermaksud bahawa tuan memerintah secara natural dan hamba diperintah secara natural memerlukan antara satu sama lain jika mereka mahu memulihara diri mereka; perhambaan ialah jenis perkongsian yang memberikan manfaat kepada kedua-duanya, iaitu tuan dan hamba.  Tentang perkongsian pertama, Aristotle hanya menegaskan bahawa pasangan orang ini muncul bersama-sama dan membentuk isi rumah, yang muncul untuk tujuan memenuhi keperluan kehidupan harian, seperti makanan, tempat perlindungan, pakaian, dan sebagainya.  Keluarga hanya cukup besar untuk menyediakan keperluan hidup semata-mata, menampung kehidupan anggota keluarga dan membolehkan pengeluaran semula spesies.  Sepanjang masa, keluarga berkembang,  dengan demikian, keluarga itu berhubung dengan keluarga lain.  Akhirnya, bilangan keluarga digabungkan dan membentuk kampung.  Kampung lebih baik daripada keluarga kerana kampung lebih sara diri.  Oleh sebab kampung lebih besar daripada keluarga, maka orang ramai dapat membuat pengkhususan dalam susunan tugas yang lebih luas dan dapat membangunkan kemahiran dalam perkara, seperti masak-memasak, perubatan, pembinaan, ketenteraan, dan seterusnya yang mereka tidak dapat majukan dalam kumpulan yang kecil. 
            Meskipun penduduk kampung hidup lebih selesa, dengan memperoleh lebih banyak barang dan perkhidmatan berbanding dengan mereka yang hanya hidup dalam keluarga, berlaku perubahan signifikan dalam komuniti manusia, apabila bilangan kampung bergabung untuk membentuk kota.  Sesebuah kota, hujah Aristotle bukan sekadar kampung yang besar, tetapi juga wujud perbezaan fundamental:  Perkongsian bangkit daripada kesatuan beberapa buah kampung yang selengkapnya ialah kota.  Di sini orang ramai berkemungkinan hidup lebih baik, yang beliau maksudkan, membawa hidup gembira dan sifat murni.
            Setelah menjelaskan bahagian asas kota, Aristotle kembali semula kepada perbincangan tentang isi rumah, bermula dengan persoalan perhambaan, yang menurut beliau, amalan yang adil.  Hakikatnya, setiap budaya Mediterranean purba mempunyai beberapa bentuk institusi perhambaan.  Hamba biasanya dua jenis: sama ada mereka pada suatu ketika kalah dalam peperangan, dan hakikatnya mereka kalah bermakna taraf mereka lebih rendah dan bermakna bersedia untuk mengabadikan diri mereka, ataupun mereka ialah anak hamba, yang bermakna taraf mereka lebih rendah jelas daripada taraf lebih rendah ibu bapa mereka.  Ekonomi negara kota bergantung pada perhambaan, dan tanpa hamba (dan wanita) untuk melakukan kerja produktif, maka tidak wujud santai untuk lelaki untuk terlibat dalam gaya hidup intelektual yang lebih banyak.
            Sebagaimana semua komuniti lain, negara, bahas Aristotle,  mesti wujud untuk matlamat, dan matlamat negara ialah kebaikan tertinggi manusia, yang beliau maksudkan sifat murni dan bertafakur.  Dalam usaha untuk menemui sifat negara, dan bagaimana negara berbeza daripada komuniti lain, beliau menganalisisnya ke dalam bahagian komponen dan mengkajinya dari segi asal usulnya. Beliau menjelaskan bahawa wujud dua naluri asas yang merupakan instrumental dalam membawa manusia hidup bersama.  Pertama, ialah naluri pengeluaran semula yang membawa lelaki dan wanita bersatu, manakala yang kedua, ialah pemuliharaan diri, yang menyebabkan tuan dan hamba muncul bersama-sama untuk faedah bersama mereka (Zarri, 2012).  Daripada dua perhubungan ini, perkara pertama yang bangkit ialah keluarga, yang merupakan tahap pertama dalam pembentukan negara.  Tahap kedua tiba apabila beberapa keluarga bersatu, dan penyatuan ini bertujuan sesuatu yang lebih berbanding dengan penawaran keperluan harian.  Justeru, terbentuk kampung, yang dalam bentuk paling naturalnya ialah kesatuan keluarga yang mempunyai keturunan yang sama, satu jenis masyarakat kebapaan atau patriakal.  Apabila beberapa buah kampung bersatu dalam komuniti lengkap tunggal, memang cukup untuk hampir atau agak sara diri, negara wujud, berasal daripada keperluan harian yang hanya cukup, dan terus wujud demi hidup yang lebih baik.  Negara berbeza daripada keluarga dan kampung dari segi jenis, dan dari segi kuantitatif semata-mata.  Bagi Aristotle, negara ialah masyarakat natural.  Beliau menunjukkan bagaimana manusia didorong oleh setiap sifat sangat semula jadi mereka untuk membentuk masyarakat keluarga, kampung, dan negara.  Matlamat natural manusia ialah kehidupan baik yang hanya dapat ditemui dalam negara.  Justeru, negara ialah masyarakat natural.


Teori Pembentukan Negara
Melalui proses evolusi yang tidak pernah berhenti, maka   suku kaum berkembang menjadi kerajaan (chiefdom),  kerajaan menjadi negara, negara menjadi empayar, dan empayar menjadi peradaban. Pembangunan pertanian, seperti yang berlaku di Mesopotamia, China, Ocenia, dan Mesoamerica, kira-kira 10,000 tahun lalu,  memungkinkan peralihan daripada masyarakat tahap kumpulan (band-level) kepada masyarakat tahap kabilah (tribal-level). Walaupun masyarakat tahap kabilah ini digantikan pula oleh masyarakat tahap negara,  fahaman kabilah ini tidak mudah lenyap.
Peralihan daripada kumpulan kepada suku kaum (tribe) dan akhirnya negara kebanyakannya bermula pada akhir zaman ais terakhir, iaitu antara 8000 hingga 10,000 tahun lalu.  Ahli arkeologi dan sejarawan berasa hairan mengapa peralihan ini berlaku.  Lagipun, dikatakan leluhur kita hidup selama beratus-ratus ribu tahun sebagai  pencari (forager).  Mereka berkemungkinan besar mempunyai masyarakat tahap kumpulan dan masyarakat tahap kabilah sepanjang tempoh yang sangat lama.  Peralihan ini kelihatan tidak masuk akal, iaitu meninggalkan cara hidup egalitarian untuk memberikan laluan kepada sosial, politik, dan ketidaksamaan ekonomi. Penjelasan yang meyakinkan adalah bahawa peralihan politik dan sosial berdasarkan  pilihan ekonomi yang diwujudkan oleh nenek moyang kita sebagai respons terhadap perubahan persekitaran utama dan tekanan penduduk yang bertambah.  Pada mulanya mereka menjalankan pertanian dan berternak sendiri untuk mendapatkan keperluan makanan mereka.  Walau bagaimanapun, amalan ini tidak lagi dapat diteruskan apabila masyarakat terus membesar, maka kerajaan menjadi penyelesaian lazim terhadap masalah ini. Langkah evolusi seterusnya ialah pembangunan pertanian intensif, dan ini menyebabkan pewujudan negara purba hampir tidak dapat dielakkan.
Wujud beberapa teori untuk menjelaskan kewujudan negara, kebanyakannya adalah apa yang disebut teori “penggerak utama.” Teori ini mengandaikan bahawa wujud faktor utama tunggal yang bertanggungjawab terhadap pembentukan negara.  Antara teori yang paling diketahui ialah teori sukarela (voluntaristic theory), teori hidraulik,  dan teori paksaan  (coercive theory). Teori sukarela mengandaikan bahawa orang ramai membuat keputusan ekonomi rasional yang membawa mereka tidak dapat tidak, kepada memajukan negara pertama.  Teori hidraulik mencadangkan bahawa sistem politik tahap negara bangkit daripada keperluan untuk membina dan mengurus sistem pengairan skala besar yang perlu untuk pertanian intensif dalam kawasan lembah sungai gersang.  Teori paksaan pembentukan negara mencadangkan bahawa negara dimajukan sebagai cara menggerakkan tentera untuk menakluki orang ramai yang berjiran yang bersaing.  Teori ini mencadangkan bahawa tekanan penduduk yang semakin meningkat dalam masyarakat pertanian awal akan mengakibatkan persaingan intensif dengan masyarakat lain untuk mendapatkan sumber yang terhad, seperti tanah, air, garam, dan kayu.  Hal ini akan mencetuskan perang penaklukan.  Kerajaan negara berpusat akan dimajukan untuk menggerakkan dan mengarahkan tentera.  Tentera ini akan terus wujud sebagai alat untuk mengawal orang ditakluki, mengutip ufti, dan memperuntukkan sumber.

Teori Sukarela

Dalam makalah “A Theory of the Origin of the State” yang diterbitkan dalam Science pada tahun 1970, Robert L.  Carneiro, mencatatkan bahawa kira 4000 S.M., pembentukan negara pertama berlaku dalam sejarah, berikutan kampung mula menjadi agregat ke dalam unit politik yang lebih besar bukan sehingga mungkin 5000 S.M. Apabila proses pengagregatan bermula, proses ini berterusan pada rentak yang lebih pantas secara progresif.   Beliau menjelaskan makna negara yang beliau maksudkan, iaitu unit politik autonomi, mencakupi banyak komuniti dalam wilayahnya dan mempunyai kerajaan berpusat dengan kuasa untuk memungut cukai, mengerahkan orang untuk bekerja atau berperang, dan mendekrikan dan menguatkuasakan undang-undang.
Carneiro yang memperoleh Ph.D dalam bidang antropologi pada tahun 1957 dari University of Michigan, dan pernah berkhidmat sebagai profesor adjung di Columbia University, bagaimanapun, mengakui bahawa asal usul negara masih difahami secara tidak sempurna.  Sesungguhnya, tidak satu pun teori semasa tentang kebangkitan negara memuaskan sepenuhnya, dan pada suatu masa tertentu atau masa lain,  semua gagal. Teori eksplisit asal usul negara adalah moden secara relatif.  Beliau mengkritik penulis klasik, seperti Aristotle, yang tidak lazim dengan bentuk lain organisasi politik, cenderung untuk memikirkan negara sebagai “natural,” dan oleh itu, tidak memerlukan penjelasan.  Walau bagaimanapun, zaman penerokaan, dengan menjadikan orang Eropah sedar bahawa banyak orang di seluru dunia tinggal, bukannya di negara, tetapi kampung atau suku kaum bebas, menjadikan negara kelihatan kurang natural, dan oleh itu, lebih banyak memerlukan penjelasan.  Carneiro yang menolak teori moden asal usul negara berasaskan perkauman, juga menolak kepercayaan bahawa negara ialah perluahan “genius” orang, atau bahawa negara bangkit menerusi “kejadian sejarah”  (“historical accident”).  Pandangan sedemikian menjadikan negara kelihatan sesuatu metafizikal atau adventitius atau secarus kebetulan
Teori serius tentang asal usul negara, menurut Carneiro, ialah dua jenis umum, iaitu sukarela dan paksaan.  (Huruf condong oleh Carneiro sendiri.)  Teori lain yang beliau kemukakan ialah lingkungan persekitaran (environmental circumscription), evolusi politik, penumpuan sumber, dan lingkungan sosial.
Teori sukarela berpendapat bahawa pada sesetengah titik  dalam sejarah mereka, orang ramai tertentu secara spontan, rasional, dan sukarela melepaskan kedaulatan individu mereka dan bersatu dengan komuniti lain untuk membentuk unit politik yang lebih besar yang wajar disebut negara. Daripada teori tersebut, yang paling dikenali ialah teori kontrak sosial lama, yang berkait secara khusus dengan nama Jean-Jacques Rousseau.  Walau bagaimanapun, Carneiro awal-awal lagi menolak kontrak sosial dengan hujah, “Kita kini tahu bahawa tidak ada kompak tersebut yang pernah dilanggan oleh kumpulan sosial, dan teori kontrak sosial pada hari ini hanyalah keingintahuan sejarah.”  Seterusnya, beliau mengemukakan teori sukarela moden yang diterima secara meluas, yang beliau sebut, teori “automatik” yang dikaitkan dengan nama ahli arkeologi British V. Gordon Childe. Menurut teori ini, rekaan pertanian secara automatik membawa lebihan makanan, membolehkan sesetengah individu memisahkan diri mereka daripada pengeluaran makanan dan menjadi tukang tembikar, tukang tenun, tukang emas, tukang batu, dan seterusnya, dan oleh itu, mewujudkan pembahagian buruh yang ekstensif.  Daripada pengkhususan pekerjaan ini dimajukan integrasi politik yang menyatukan beberapa komuniti yang sebelum ini bebas menjadi negara.
Kesukaran utama teori ini, hujah Carneiro, adalah bahawa pertanian tidak secara automatik mewujudkan lebihan makanan.  (Huruf condong oleh Carneiro sendiri.)  “Kita tahu hal ini kerana banyak orang yang bertani di dunia tidak mengeluarkan lebihan makanan,” tulis beliau dengan mengemukakan semua orang India Amazon sebagai contoh.
Satu lagi teori sukarela semasa tentang asal usul negara ialah “hipotesis hidraulik” yang diperkenalkan oleh Karl Wittfogel.  Menurut Carneiro, Wittfogel melihat negara bangkit, iaitu di kawasan gersang atau separuh gersang tertentu di dunia, tempat petani kampung terkial-kial untuk menampung diri mereka dengan cara pengairan skala kecil.  Maka, tibalah masanya apabila mereka melihat ada kebaikannya jika semua yang terlibat mengetepikan autonomi individu mereka dan menggabungkan kampung mereka menjadi unit politik besar tunggal yang mampu membawa pengairan dalam skala yang luas.  Badan rasmi yang mereka wujudkan untuk merancang dan mentadbir kerja pengairan ekstensif tersebut membawa kewujudan negara.
“Teori ini,” hujah Carneiro, baru-baru ini menghadapi masalah.  Bukti arkeologi kini jelas menunjukkan di sekurang-kurangnya tiga kawasan yang dipetik oleh Wittfogel sebagai contoh “hipotesis hidraulik,” iaitu Mesopotamia, China, dan Mexico, dimajukan sebagai negara sepenuh lama sebelum pengairan skala besar. Justeru, pengairan tidak memainkan peranan penyebab dalam kebangkitan negara yang Wittfogel kelihatan anggap sedemikian.”
 Teori Paksaan
Setelah mengetepikan teori sukarela, Carneiro mengemukakan teori paksaan yang menurut beliau, “penelitian rapat sejarah menunjukkan bahawa hanya teori ini dapat menerangkan kebangkitan negara.” Daya (force) dan bukannya kepentingan diri yang ditunjukkan, ialah mekanisme yang evolusi politik membawa, langkah demi langkah, daripada kampung autonomi kepada negara.  Di sini, beliau memetik Heraclitus yang menulis 2500 tahun lalu, “perang ialah bapa segala benda” untuk melihat peperangan terletak pada akar umbi negara bukan sesuatu yang sama sekali baru.  Walau bagaimanapun, beliau mengakui bahawa kajian teliti pertama tentang peranan peperangan dalam kebangkitan negara dilakukan kurang 100 tahun lalu, oleh Herbert Spencer dalam bukunya, Principles of Sociology.
Carneiro nampaknya akur bahawa perang memainkan peranan muktamad dalam kebangkitan negara,  meskipun teori paksaan tertentu mempunyai kekurangan. Bukti sejarah dan arkeologi tentang perang ditemui pada tahap awal pembentukan negara Mesopotamia, Mesir, India, China, Jepun, Greece, Rom, utara Eropah, tengah Afrika, Amerika Tengah, dan Colombia, antara contoh yang paling ketara.  Namun  begitu, beliau mengakui bahawa peperangan bukannya hanya faktor, meskipun peperangan jelas merupakan penggerak utama dalam asal usul negara. Lagipun, perang berlaku di banyak tempat di dunia yang negara tidak pernah wujud.  “Justeru, meskipun peperangan mungkin merupakan syarat perlu untuk kebangkitan negara, peperangan bukannya sesuatu yang lengkap,” tulis beliau sambil menambah, “dengan kata lain, meskipun kita dapat mengenal pasti perang sebagai mekanisme pembentukan negara, kita juga perlu menetapkan syarat yang membangkitkan negara.”
Teori Lingkungan Persekitaran
Apabila menyentuh teori lingkungan persekitaran, Carneiro begitu yakin bahawa wujud faktor lazim bagi kawasan di dunia yang negara muncul secara semula jadi, di kawasan, seperti Nil, Tigris-Euphrates, Lembah Indus di Dunia Lama dan Lembah Mexico dan gunung dan lembah pantai Peru di Dunia Baru.  “Meskipun kawasan ini berbeza antara satu sama lain dalam banyak cara, dari segi altitud, suhu, hujan, jenis tanah, pola pengairan, dan banyak ciri lain lagi,” hujah beliau, “kawasan tersebut mempunyai satu perkara yang sama, iaitu merupakan semua kawasan tanah pertanian yang dilingkungi. Setiap kawasan itu diserlahkan oleh gunung, laut, atau gurun, dan ciri persekitaran ini dengan jelas membatasi kawasan yang orang berladang yang mudah dapat menduduki dan bercucuk tanam.”
Pentingnya tanah pertanian yang dilingkungi untuk asal usul negara, menurut Carneiro, dapat difahami dengan baik dengan membandingkan pembangunan politik di dua wilayah di dunia yang mempunyai ekologi yang berbeza, iaitu satu wilayah dengan tanah pertanian dilingkungi dan satu lagi wilayah yang wujud tanah ekstensif dan tidak terhad, antara lembah pantai Peru dengan lembangan Amazon. Walaupun komuniti Amazonia menjalankan pertanian pindah yang memerlukan tanah yang banyak, mereka masih dapat memperoleh tanah hutan yang diperlukan untuk berkebun.  Di Amazonia secara keseluruhan, kepadatan penduduk rendah dan tekanan sara diri terhadap tanah masih kecil. Peperangan pastinya kerap berlaku di Amazonia, tetapi dilancarkan kerana alasan dendam, membawa lari wanita, mendapat martabat peribadi, dan motif yang seumpama itu.  Oleh sebab tidak wujud kekurangan tanah, maka tegas Carneiro, tidak berlaku peperangan kerana berebut tanah. Puak yang tewas dalam peperangan, jelas beliau, tidak  diusir dari tanah mereka. Puak yang menang pula tidak mengambil apa-apa usaha untuk menguasai puak yang tewas, atau memungut ufti daripada mereka.  Lagipun, puak yang menang tidak mempunyai cara berkesan untuk mencegah puak yang tewas melarikan diri ke dalam hutan yang berhampiran.
Sebalik di lembah pantai Peru, kampung-kampung yang sempit ada gunung di belakang, ada laut di hadapan, dan ada gurun yang kering di kiri kanan.  Akibatnya, lembah pertanian dilingkungi dengan lebih teruk jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain.  “Sebagai komuniti neolitik,” jelas Carneiro, “kampung-kampung lembah pantai Peru cenderung berkembang dari segi saiz.  Kampung-kampung cenderung bertambah dari segi bilangan lebih cepat berbanding dengan kampung-kampung berkembang dari segi saiz.” 
Peperangan yang berlaku di lembah pantai Peru berkemungkinan banyak sama jenis dengan yang berlaku di Amazonia, tetapi ketika itu tanah pertanian masih sedikit bilangannya dan bekalan tanah masih bagus.  Walau bagaimanapun, jelas Carneiro, dengan tekanan penduduk manusia semakin bertambah terhadap tanah, insentif utama untuk perang berubah daripada keinginan membalas dendam kepada keperluan untuk memperoleh tanah.  Dan, oleh sebab punca peperangan adalah terutamanya ekonomi, maka kekerapan, keamatan atau intensiti, dan pentingnya perang meningkat. 
Di sini, beliau menunjukkan perbezaan akibat peperangan antara di lembah pantai Peru dengan Amazonia.  Apabila tahap ini dicapai, penduduk kampung Peru yang kalah perang tidak mempunyai alternatif. Gunung, gurun, dan laut menghalang mereka dari segenap penjuru  untuk melarikan diri ke kampung berjiran.  Penduduk kampung yang kalah dalam peperangan dibenarkan tinggal di tanah mereka, tetapi ada harga yang perlu dibayar:  penguasaan politik kepada pemenang.  Penguasaan ini pada amnya, diperlukan sekurang-kurangnya bayaran ufti atau cukai dalam bentuk benda, dengan kampung yang kalah itu boleh hanya menyediakan dengan mengeluarkan lebih banyak makanan jika dibandingkan dengan sebelum ini.  Akan tetapi, jelas Carneiro, penguasaan ada kalanya melibatkan kehilangan autonomi seterusnya pada pihak kampung yang kalah, iaitu digabungkan ke dalam unit politik yang dikuasai oleh pemenang.
“Menerusi berulang-ulangnya peperangan jenis ini,” rumus Carneiro, “kita menyaksikan pertambahan unit wilayah bersepadu di pantai Peru menjangkaui kampung dari segi sain dan darjah organisasi. Evolusi politik mencapai tahap kerajaan (chiefdom).” Tambah beliau, “oleh sebab kekurangan berterusan dan menjadi bahkan lebih teruk, maka demikian juga peperangan.  Walau bagaimanapun, kini, unit yang bersaing bukan lagi kampung-kampung kecil, tetapi, kerap melibatkan kerajaan besar.  Menerusi penaklukan kerajaan oleh kerajaan, saiz unit politik meningkat secara progresif pada kadar yang pesat.  Semula jadinya, oleh sebab saiz unit politik meningkat dari saiz, maka unit itu berkurangan dari segi bilangan, dengan akibat bahawa seluruh lembah akhirnya disatukan di bawah payung kerajaan yang lebih kuat.  Justeru, unit politik yang dibentuk tanpa diragui cukup berpusat dan kompleks untuk mewajarkan disebut negara.”
Lanjutan daripada lingkungan persekitaran, Carneiro seterusnya menyentuh evolusi politik, yang menurut beliau, walaupun pengagretan kampung menjadi kerajaan, dan kerajaan menjadi negara beraja (kingdom), berlaku melalui perolehan luaran, struktur unit politik yang lebih besar semakin meningkat ini dijelaskan oleh evolusi dalaman. Perubahan dalaman ini, pastinya berkait rapat dengan peristiwa luaran.  Pengembangan negara yang berjaya ini membawa orang dan wilayah yang ditawan dalam sempadan mereka yang perlu ditadbirkan.  Beliau percaya bahawa proses evolusi politik bukan hanya berlaku  di lembah pantai Peru, tetapi  juga  di kawasan pertanian yang dilingkungi di tempat lain di dunia, seperti Lembah Mexico, Mesopotamia, Lembah Nil, dan Lembah Indus, yang menyaksikan proses berlaku banyak dalam cara yang sama dan kerana pada hakikatnya, alasan yang sama.  Di kawasan ini juga menurut beliau, kampung neolitik yang autonomi digantikan oleh kerajaan, kerajaan oleh negara  beraja, dan negara beraja oleh empayar.
Carneiro yang meragui penumpuan  sumber untuk menjelaskan pembentukan negara menulis, “kita dapat dengan selamat menambah penumpuan sumber kepada lingkungan persekitaran sebagai faktor yang membawa kepada peperangan untuk berebut tanah, dan oleh itu, kepada integrasi politik melampaui tahap kampung.” 
Beliau juga menyentuh konsep “lingkungan sosial” yang diperkenalkan oleh Napoleon A. Chagnon yang berurusan dengan teori lingkungan persekitaran ketika membincangkan orang India Yanomamö Venezuela.  Dengan lingkungan sosial, Chagnon bermaksud bahawa kepadatan penduduk yang tinggi di kawasan itu dapat mewujudkan kesan terhadp orang yang tinggal dekat pusat kawasan berkenaan yang adalah sama dengan kesan yang dihasilkan oleh lingkungan persekitaran.  “Pendapat ini, bagi saya, merupakan tambahan penting kepada teori kita,” tulis Carneiro sambil  menjelaskan: “Pertama, berlaku pengurangan saiz tanah wilayah setiap kampung.  Kemudian, oleh sebab tekanan penduduk menjadi semakin teruk, peperangan kerana berebut tanah menyusul.  Akan tetapi, sebab tanah bersebelahan untuk berbatu-batu sekitar telah pun menjadi harta kampung lain, maka penduduk kampung yang kalah tidak mempunyai tempat untuk lari.  Akibatnya, peperangan untuk kampung itu, dan untuk evolusi politik secara umum, pada hakikatnya, seperti yang saya jelaskan perkara ini untuk situasi lingkungan persekitaran.”
Pendirian Carneiro ialah teori lingkungan dalam bentuknya yang dihuraikan pergi jauh ke hadapan menjelaskan asal usul negara. Teori ini menjelaskan mengapa negara bangkit di sesebuah tempat, dan mengapa negara gagal bangkit di tempat lain.  Teori ini menunjukkan negara merupakan respons yang dapat diramalkan terhadap keadaan budaya, demografi, dan ekologi khusus tertentu.  Justeru, teori lingkungan membantu menerangkan apa yang tidak diragui lagi langkah tunggal paling penting yang pernah diambil dalam evolusi politik manusia.
Walau bagaimanapun, dalam kalangan ahli antropologi, menurut Kathryn W. Kemp, teori lingkungan tidak diterima tanpa persoalan. Lingkungan tidak semestinya fizikal, tetapi juga sosial.  Sesungguhnya, kehadiran negara jiran yang berkuasa mungkin mendesak kumpulan budaya yang lebih kecil ke dalam pembentukan negara sebagai soal pertahanan diri.  Lagipun, kesan lingkungan mungkin tidak memerlukan sempadan fizikal mutlak yang jelas, seperti gurun.  Tidak orang menunggu sehingga mereka mencapai eksploitasi maksimum aset mereka sendiri sebelum mereka bergerak menentang jiran yang lemah.  Akhir sekali, pembentukan negara mengambil masa.  Dalam pada itu, Kemp menjelaskan bahawa dalam komuniti antropologi, bahkan yang menolak teori lingkungan sebagai penjelasan mutlak untuk mekanisme pembentukan negara mendapati teori ini sekurang-kuangnya berguna sebahagiannya; mereka cenderung bersetuju bahawa peperangan, dalam mana-mana kes, memainkan bahagian penting dalam pewujudan negara.

Pembentukan Negara Asli dan Negara Bersaing

Dalam bukunya, The Origins of Politcal Order:  From Prehuman Times to the French Revolution, Francis Fukuyama,    menyatakan bahawa ahli antropologi dan ahli arkeologi membezakan antara apa yang mereka sebut pembentukan “negara asli” dengan “negara bersaing.”  Pembentukan negara asli ialah kemunculan awal negara (atau kerajaan) daripada masyarakat tahap kabilah. Pembentukan negara bersaing berlaku hanya selepas negara pertama mula bergerak. Negara biasanya jauh lebih tersusun dan berkuasa jika dibandingkan dengan masyarakat tahap kabilah yang negara, sama ada  takluki ataupun serapkan mereka, atau kalau tidak, diikuti jejak oleh jiran kabilah yang tidak berhasrat ditakluki.  Sementara wujud banyak contoh sejarah pembentukan negara bersaing, tidak ada seorang pun pernah memerhatikan versi asli, oleh itu, ahli falsafah politik, ahli antropologi, dan ahli arkeologi hanya dapat  membuat spekulasi bagaimana negara pertama atau negara muncul  (2011: 81 - 82).
Seterusnya, Fukuyama (2011: 81 – 90), mengemukakan beberapa kategori penjelasan tentang pembentukan negara, yang boleh dikatakan   tidak banyak berbeza daripada teori yang dikemukakan oleh Robert L. Carneiro, iaitu negara sebagai kontrak sosial sukarela, negara sebagai projek hidraulik-kejuruteraan, kepadatan penduduk,  negara sebagai hasil  kekerasan  dan pemaksaan, dan lingkungan persekitaran dan faktor  geografi lain.  Walau bagaimanapun, beliau memasukkan kategori negara sebagai hasil wibawa berkarisma – sesuatu yang ditolak oleh Carneiro sejak awal-awal lagi:  “Menurut pandangan saya, asal usul negara bukannya misteri atau secara kebetulan.  Negara bukannya hasil  ‘genius’ atau hasil kebetulan, tetapi natijah proses budaya yang tetap dan tertentu.  Lagipun, negara bukannya peristiwa unik, tetapi fenomena berulang-ulang, iaitu negara bangkit secara bebas di tempat yang berbeza dan masa yang berbeza.  Apabila keadaan sesuai wujud, maka negara muncul.”
Hujah Fukuyama, ahli arkeologi yang membuat spekulasi tentang asal usul politik cenderung bersikap bias, iaitu mengutamakan penjelasan kebendaan, seperti persekitaran dan tahap teknologi berbanding dengan faktor budaya, seperti agama, semata-mata kerana kita tahu lebih banyak tentang persekitaran benda masyarakat awal. Akan tetapi, besar kemungkinan idea agama adalah kritikal untuk tahap pembentukan negara awal, kerana idea ini dapat mengesahkan peralihan kepada hierarki dan kehilangan kebebasan yang dinikmati oleh masyarakat kabilah.  Dengan menyatakan perkataan Yunani,  karisma bermakna  “disentuh oleh Tuhan,” Fukuyama menjelaskan bahawa pemimpin berkarisma menegaskan  wibawa bukan kerana dia dipilih oleh rakan-rakan dalam suku kaumnya atas alasan keupayaan kepimpinannya, tetapi kerana dia dipercayai ditunjukkan oleh Tuhan. (Huruf condong oleh Fukuyama sendiri.) Beliau juga menjelaskan bahawa wibawa agama dan kehandalan ketenteraan bergerak seiringan.
Negara sebagai hasil wibawa berkarisma, seperti yang bahaskan oleh Fukuyama, berlaku di negara Arab semasa Nabi Muhammad S.A.W. apabila masyarakat tahap kabilah disatukan menjadi masyarakat tahap negara tunggal. Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kuasa politik idea agama bukan hanya berlaku dalam pembentukan negara Arab pertama semata-mata, hal yang serupa berlaku di tempat lain.  “Hakikatnya, setiap negara lain bergantung pada agama untuk mengesahkan negara.  Mitos pengasas negara Yunani, Rom, Hindu, dan China semuanya mencari sokongan leluhur rejim untuk ketuhanan, atau sekurang-kurangnya wira separuh ketuhanan. Kuasa politik dalam negara awal tidak dapat difahami terpisah daripada ritual agama yang pemerintah kawal dan gunakan untuk mengesahkan kuasanya,” tulis Fukuyama.
Khusus untuk China, Fukuyama (2011: 94), merumuskan bahawa pemacu utama pembentukan negara China bukannya keperluan untuk membina projek pengairan agam, bukannya  juga  kebangkitan pemimpin agama berkarisma, tetapi peperangan yang tidak henti-henti.  Sememangnya, perang dan keperluan perang membawa kepada penyatuan sistem 10,000 unit politik menjadi negara tunggal dalam jarak 1800 tahun, yang mendorong pewujudan golongan birokrat dan pentadbir terlatih yang kekal, dan yang mewajarkan untuk bergerak jauh daripada  persanakan sebagai asas untuk organisasi politik.  Di sini,  beliau memetik Charles Tilly yang berkata tentang Eropah dalam tempoh kemudian, untuk China, “perang bikin negara, dan negara bikin perang.”

BAB 3
Pengasas Negara:  Dari Macedonia ke Dunia Melayu
Setelah memberitahu bahawa beliau diminta menulis hikayat tentang raja-raja Melayu dan istiadat mereka supaya dapat didengar oleh  anak cucu akan datang, Tun Seri Lanang (1997: 4),   mengetengahkan Raja Iskandar Zulkarnain, anak Raja Darab, berbangsa Rom, dari Macedonia, ingin melihat matahari terbit hingga sempadan Hindi, yang mempunyai raja, iaitu Raja Kida Hindi, yang mempunyai kerajaan yang sangat besar. Kedatangan Raja Iskandar Zulkarnain disambut dengan peperangan oleh Raja Kida Hindi.  Meskipun tewas, Raja Kida Hindi tidak diperlakukan oleh Raja Iskandar Zulkarnain sebagai orang kalah perang.  Sebaliknya, baginda diminta oleh Raja Iskandar Zulkarnain memeluk Islam dalam agama Nabi Ibrahim A.S.  Seterusnya, Raja Kida Hindi mengahwinkan puteri baginda, Syahr al-Bariah dengan Raja Iskandar Zulkarnain.
Cucu cicit hasil perkahwinan ini akhirnya muncul di beberapa buah negeri di dunia Melayu – sebuah wilayah yang menurut James C. Scott (2010: 49), “dunia pelautan far excellence, yang pengaruh budaya terangkum dari Pulau Easter di Pasifik ke Madagascar dan pantai Afrika Selatan, tempat penutur bahasa Swahili di pelabuhan pesisir membuktikan bekasnya.” Walau bagaimanapun, buku ini tidak bertujuan mengenal pasti wilayah dunia Melayu secara terperinci,  yang dapat dirujuk kepada beberapa sumber.
Oleh sebab keturunan Raja Iskandar Zulkarnain  akhirnya datang ke beberapa buah negeri dan ditabalkan menjadi raja di negeri itu dan ada yang membuka negeri baru, maka baginda dan keturunan baginda dapat disifatkan sebagai “pengasas  negara” di dunia Melayu, meskipun baginda tidak pernah menjejak kaki di rantau ini.  Seperti yang diriwayatkan oleh Tun Seri Lanang, perjalanan Raja Iskandar Zulkarnain  hanya setakat negara Hindi kemudian kembali ke negeri asal baginda.  “Setelah sudah empat puluh lima tahun lamanya Raja Iskandar sudah kembali ke negeri Maqaduniah maka Raja Kida Hindi kembalilah ke rahmatullah” (Tun Seri Lanang, 1997:  8).
Muhammad Haji Salleh yang menulis “Pengenalan” Sulalat al-Salatin, memetik Bustan al-Salatin: “Segala raja-raja yang kerajaan di negeri Melaka, Johor, Pahang, menyatakan salasilah mereka itu daripada Sultan Iskandar Zulkarnain”  (Tun Seri Lanang, 1997: xxxii).  Sekadar mencari bukti lain tentang kehadiran Raja Iskandar Zulkarnain,  Muhammad tidak mencuba untuk melangkah lebih  jauh  untuk membahaskan  mengapa raja-raja Melayu “memilih”  pemimpin agung itu  sebagai leluhur mereka  yang dari segi geografi, jauh di benua Eropah, dan dari segi masa, muncul pada zaman  Sebelum Masihi (S.M.) lagi.
            Raja Iskandar Zulkarnain dan keturunannya memang  sebati dalam pemikiran dan budaya penduduk di dunia Melayu zaman lampau. Tatkala Melaka dalam kemasyhuran “dari bawah angin datang ke atas angin,” “rajanya daripada bangsa anak cucu Iskandar Zulkarnain” (Tun Seri Lanang, 1997: 65).  
Apabila tiga orang muda turun ke Bukit Seguntang  berjumpa dengan dan memberitahu Uwan Empuk dan Uwan Malini, bahawa mereka  anak cucu Raja Iskandar Zulkarnain,  kedua-dua wanita tidak terpinga-pinga, siapakah pemimpin agung itu yang disebut itu? Sebaliknya, seperti yang dikisahkan oleh Tun Seri Lanang (1997: 21 – 22),   orang muda  bertiga yang terdiri daripada Mancitram, Paladutani, dan Nila Tanam,  hanya sekadar memberitahu latar belakang mereka untuk meyakinkan  Uwan Empuk dan Uwan Malini yang berhuma padi yang subur di Bukit Seguntang:  “Adapun kami ini bukan daripada bangsa jin dan peri.  Bahawa kami daripada anak cucu Raja Iskandar Zulkarnain. Nisab kami daripada Raja Nusyirwan, raja masyrik dan maghrib, pancar kami daripada Raja Sulaiman ‘alaihissalam.”  Apabila kedua-dua wanita itu meminta bukti, maka tiga orang muda bertiga itu menyahut, “Makota inilah ‘alamatnya, tanda hamba anak cucu Raja Iskandar Zulkarnain.  Hai ibuku, jikalau tuan hamba tiada percaya akan kata hamba ini, itulah tandanya.  Sebab hamba jatuh ke mari ini maka padi ibuku berbuahkan emas dan berdaunkan perak dan berbatangkan tembaga suasa dan tanah nagara (h) bukit itu pun menjadi emas.”
            Tidak seperti kedatangan Raja Iskandar Zulkarnain disambut dengan peperangan oleh Raja Kida Hindi, kedatangan tiga orang muda keturunan baginda bukan sahaja disambut secara besar-besaran, bahkan mereka bertiga ditabalkan menjadi raja. Ketibaan anak cucu baginda di dunia Melayu boleh ditafsirkan meneruskan perjalanan baginda yang hanya  berkesudahan di  Hindi.  Yang tua dijemput oleh orang Andalas dan dirajakan di Minangkabau, yang tengah dijemput oleh orang   Tanjung Pura dan dirajakan di Tanjung Pura, dan yang bongsu kekal di Palembang, digelarkan oleh Demang Lebar Daun raja bongsu dirajakan di negeri itu.        
Sememangnya, raja-raja Melayu ketika itu memberikan pengiktirafan yang tinggi terhadap Raja Iskandar Zulkarnain dan keturunannya.  Bukan hanya  Demang Lebar Daun,    raja Palembang, yang  rela turun takhta menjadi mangkubumi,  bahkan Uwan Seri Beni, raja Bentan rela berbuat demikian demi memberikan laluan kepada keturunan Iskandar Zulkarnain.  Apabila Seri Teri Buana, Raja Palembang dan rombongannya yang cukup besar dengan segala kelengkapan dalam perjalanan untuk menubuhkan negeri baru, raja Bentan, Uwan Seri Beni yang mendengar khabar tentang “Raja dari Bukit Seguntang, bangsyanya daripada Raja Iskandar Zulkarnain,” lalu baginda  menitahkan perdana menterinya dengan segala kelengkapan, untuk “Jikalau raja itu tuha katakan: ‘Adinda empunya sembah’, dan jikalau ia muda, katakan: ‘Bonda empunya salam’.”  Pada mulanya, Uwan Seri Beni ingin menjadikan Seri Teri Buana suaminya, tetapi memandangkan Seri Teri Buana  masih muda, maka Uwan Seri Beni mengambilnya  sebagai anaknya dan menobatkannya  di Bentan menggantikan baginda   (Tun Seri Lanang,  1997: 26).

Iskandar-Alexander:  Dua Nama Satu Jiwa
Shaharuddin Maaruf yang mengkritik amalan “pemujaan wira” pernah menulis (2014: 59):  “Dalam sejarah Melayu, nilai-nilai dan psikologi feudal telah berterusan ke hari ini dalam berbagai-bagai bidang kehidupan.”  Walau bagaimanapun,   kehadiran  Raja Iskandar Zulkarnain    di dunia Melayu tidak boleh dianggap sebagai   amalan tersebut.  Hal ini demikian kerana, Raja Iskandar Zulkarnain atau Alexander the Great kini merupakan perebutan dan pertikaian sehingga mencetuskan ketegangan antara Macedonia dengan  Greece (Zulkifli, 2011a dan 2011b). Dengan meneliti pertikaian antara dua buah negara berjiran itu, kita dapat memahami kewajaran dan kerasionalan  raja-raja Melayu pada zaman silam ingin bernaung di bawah pemimpin agung ini.  Mereka nampaknya mendahului  Skopje dan Athens dalam memilih  Raja Iskandar Zulkarnain untuk  menampilkan   “wibawa berkarisma” yang ada pada diri  mereka  – satu faktor  dalam   pembentukan negara. Dan peristiwa semasa yang berlaku di Eropah itu jelas memperlihatkan kebijakan dan wawasan Tun Seri Lanang dalam menampilkan Raja Iskandar Zulkarnain di dunia Melayu. 
Kami yakin bahawa Raja Iskandar Zulkarnain yang disebut oleh Tun Seri Lanang  dan Alexander the Great ialah individu yang sama.   Nota hujung dalam Bab I Sulalat al-Salatin menjelaskan persoalan ini. “Iskandar Zulkarnain, Iskandar Dua Tanduk, anak Raja Darab atau Macedonia (Maqaduniah), lahir pada 356 (menurut Sejarah Melayu), terkenal di alam Melayu melalui Hikayat Iskandar Zulkarnain, sebuah hikayat awal Melayu yang mengisahkannya menakluki Empayar Parsi, sebahagian besar Laut Tengah dan Timur Tengah, dan juga menyeberang sampai ke India.  Hubungan dengan raja di India inilah yang dikaitkan dengan Raja-raja Melayu di  Bukit Seguntang” (rujuk Tun Seri Lanang, 1997: 267, nota hujung 23).
            Alexander the Great, Raja Macedonia dan penakluk Empayar Parsi dianggap genius ketenteraan agung sepanjang zaman.  Baginda menjadi inspirasi penakluk kemudian, seperti Hannibal, pahlawan Rom, iaitu Pompey dan Caesar, dan Napoleon.  Alexander dilahirkan pada 356 S.M. di Pella, ibu negara purba Macedonia, putera Philip II, Raja Macedonia dan Olympias.  Alexander menghabiskan zaman kanak-kanaknya memerhatikan ayahanda mengubah Macedonia menjadi kuasa ketenteraan agung, mencipta kemenangan demi kemenangan di medan pertempuran seluruh Balkan.  Pada usia 12 tahun, Alexander memperlihatkan kehebatannya menunggang kuda.  Apabila berusia 13 tahun, Philip mengupah ahli falsafah Yunani, Aristotle untuk menjadi tutor peribadi Alexander.  Dalam masa tiga tahun seterusnya, Aristotle melatih Alexander dalam retorik dan sastera dan merangsang minat baginda dalam sains, perubatan, dan falsafah, semuanya menjadi penting dalam kehidupan Alexander kemudian.
Alexander the Great bertakhta sebagai raja Macedonia dari tahun 336 hingga 323 S.M.   Di bawah kepimpinannya, baginda menyatukan Greece, mewujudkan Liga Corinthian, dan menakluki Empayar Parsi.  Baginda menjadi raja Paris, Babylon, dan Asia, dan mewujudkan koloni Macedonia di Iran.  Baginda mangkat kerana demam malaria di Babylon, Parsi (Iraq sekarang) pada 323 S.M., ketika baginda merancang untuk menakluki Carthage dan Rom.
Menurut History of Macedonia blog, sebaik-baik sahaja menaiki takhta menggantikan ayahandanya yang mati dibunuh, Alexander dengan pantas menghapuskan musuh dalam negeri dan memadamkan pemberontakan yang tercetus di wilayah   yang ditakluki.  Dengan wilayah itu secara kukuh dikawal Macedonia, Alexander yang ketika itu berusia 22 tahun bersiap sedia untuk menceroboh Asia.   Pada tahun 334 S.M., Alexander memulakan  ekspedisi Asia, tiba di Troy, kemudian bertempur dengan dan menewaskan tentera Raja   Darius III  Parsi dekat Sungai Grancius. Pada musim gugur, Alexander dan tenteranya menyeberangi pantai selatan Asia Kecil ke Gordium.  Pada musim panas 333 S.M.  tentera Alexander dan Darius bertempur sekali lagi di Issus.  Tentera Parsi tewas sekali lagi dan Darius melarikan diri.  Pada tahun 333 S.M., Alexander mengisytiharkan dirinya raja Parsi.  Setelah menewaskan tentera Parsi di Peperangan Gaugamela,  baginda mara ke Mesir yang dapat ditakluki dengan mudah.  Dari sana baginda menakluki timur Iran,  tempat baginda mewujudkan koloni Macedonia dan pada 327 merampas kubu di Arimazes.  Selepas menawan Putera Oxyartes, Alexander berkahwin dengan puterinya, Rhoxana.
Pada musim bunga 327 S.M., Alexander dan tenteranya mara ke India melanggar Punjab.  Keagungan peperangan Alexander di India ialah di Sungai Hydaspes, menentang Raja Porus, salah seorang pemerintah India yang sangat berkuasa.  Pada musim panas 326 S.M., tentera menyeberangi sungai yang dipertahankan dengan kuat ketika ribut petir dahsyat untuk bertempur dengan tentera Porus.  Tentera India dikalahkan dalam peperangan sengit ini, meskipun mereka berlawan menggunakan gajah, yang tentera Alexander  tidak pernah lihat sebelum ini.  Porus ditawan dan seperti pemerintahan tempatan yang lain yang Alexander tewaskan, baginda membenarkan Porus terus memerintah di wilayahnya.  Alexander terus mara ke arah timur ke Ganges, tetapi terpaksa berundur kerana tenteranya enggan mara jauh.  Dalam perjalanan pulang sepanjang Indus, Alexander dicederakan oleh pahlawan Malli.


Keagungan  yang Sentiasa Mekar

Boleh dikatakan bahawa Raja Iskandar Zulkarnain atau Alexander the Great  wujud  sepanjang zaman, daripada buku kepada filem, bahkan Ibn Khaldun (2002) juga tidak ketinggalan menyebut Alexander dan Iskandar Yang Agung.  Dalam membicarakan absurd yang terjadi pada para pelajar, Ibn Khaldun (2002: Lxxiii):  “Dikatakan bahawa Iskandar Yang Agung telah dihalang oleh binatang-binatang laut sewaktu hendak mendirikan Kota Pelabuhan Iskandariah. Baginda dikatakan telah masuk ke dalam sebuah peti kayu yang di dalamnya terdapat sebuah peti kaca, dan diturunkan ke dasar laut.” Dalam bahagian lain, beliau menulis (2002: 257):  “Lalu Iskandar dan orang-orang Yunani menewaskan orang-orang Parsi, dan orang-orang Yahudi pun berada di bawah bidang kuasa bangsa Yunani.”
Buku-buku tentang Alexander the Great, baik dalam bentuk sejarah mahupun biografi bukan sahaja sentiasa ditulis, tetapi juga diulas dalam media terkenal, misalnya dalam The New York Review of Books, yang pernah memuatkan ulasan yang ditulis  oleh Mary Beard (2011).  Beard yang mengulas empat buah buku tentang Alexander, merumuskan, “kebanyakan mana-mana orang Rom, diberikan perintah angkatan tentera dan sekali imbas tanah ke Timur, akan segera mengimpikan menjadi Alexander the Great.  Dalam fantasi mereka itu sekurang-kurangnya, mereka mengikut jejak langkah raja Macedonia yang antara 334 hingga 323 S.M., menyeberangi Asia, menakluki Empayar Parsi yang diperintah oleh Darius III, dan membawa tenteranya jauh sehingga ke Punjab, kira-kira 3000 batu dari negaranya, sebelum meninggal dunia dalam perjalanan pulang, di kota Babylon, pada usia 32 tahun.”
Dari semasa ke semasa, menurut Beard, beberapa bukti ditemui untuk mencetuskan imaginasi popular.  Pada tahun 1880-an, bukti ini muncul dalam bentuk “Keranda Batu Alexander” ditemui di Lubnan, sekarang di Muzium Arkeologi di Istanbul.  Bertarikh akhir abad keempat B.C., dan hampir pasti keranda marmar monarki muda yang ditabalkan oleh Alexander sendiri, keranda itu menggambarkan latar peperangan dan perburuan daripada kehidupan Alexander.  Walau bagaimanapun, yang paling menarik ialah penemuan sejak tahun 1970-an di Vergina, dekat istana diraja Macedonia itu sendiri, secara khusus, beberapa makam abad keempat S.M., ditemui kebanyakannya tidak diusik, dan dimuatkan dengan barang kemas berharga, vesel emas dan perak, perabot yang beradun, dan lukisan dinding.  “... berkemungkinan besar makam kerabat diraja Macedonia, pastinya bukan Alexander sendiri, tetapi mungkin ayahandanya, Phillip II dan kaum kerabat lain...”  rumus Beard.
“Akan tetapi, bagi kebanyakan bahagian,” hujah Beard, “debat tentang Alexander, dan bukti yang debat itu asaskan, tidak banyak berubah sepanjang dua alaf.  Dilema asas untuk para penulis, pembikin filem, artis, dan negarawan, adalah masih, sama ada Alexander dikagumi ataupun dikesali.”
Dalam debat yang berlangsung sepanjang abad, dengan tema baharu datang dan pergi,  seperti yang dicatatkan dalam bahagian sebelum  ini, muncul kontroversi politik yang hangat, yang Beard sebut, “Greekness”  Alexander.  “Adakah Alexander keturunan Slav, seperti yang didakwa oleh kerajaan Bekas Republik Yugoslav Macedonia (FYROM)?  Adakah Alexander ialah orang Greece bona fide, maka tidak ada  kena sama sekali dengan FYROM Slavic? Dalam soal ini, beliau menegaskan, “jati diri nasional purba merupakan konsep licin; dan konsep jati diri etnik orang Macedonia adalah diselubungi mitos.”
Akan tetapi, hal ini, menurut Beard, tidak menghalang beratus-ratus orang ahli akademik, kebanyakannya golongan klasik, daripada menulis surat kepada Presiden Barack Obama pada tahun 2009, iaitu mereka mengisytiharkan bahawa Alexander ialah “orang Greece keseluruhan dan  tidak dapat disangkal,” dan mereka gesa Obama campur tangan untuk “membersihkan” kesilapan sejarah FYROM itu.
Kira-kira setahun kemudian, The New York Review of Books, menerbitkan ulasan yang ditulis oleh Peter Green, yang seperti juga Mary Beard, membangkitkan debat hangat tentang, sama ada orang Macedonia pada hakikatnya, orang Greece ataupun bukan.  Green dalam  “He Found the Real Alexander,” bermula dengan mencatatkan bahawa sepanjang abad kelima dan keempat S.M., negara-negara selatan Greece semakin mempunyai hubungan tidak selesa dengan negara beraja Macedonia.  Negara itu dianggap oleh jiran-jiran di selatannya sebagai anakronisme sosial primitif, yang mengamalkan monarki dinasti ketika negeri lain di tanah besar, kecuali Sparta, telah lama meninggalkan raja untuk  lebih kurang republikanisme demokrasi.
Sementara itu, Tom Holland (2011) yang muncul dalam ulasan, “The Greatest of Them All,” memetik Oliver Stone, pengarah filem Alexander, yang menyarankan semua orang muda melihat sesuatu pada Alexander kerana ada idealisme pada dirinya.  Holland membangkitkan unsur mitos dan  legenda  dalam penulisan tentang Alexander, seperti baginda melawan naga, baginda terbang ke udara dengan menaiki rata, baginda turun ke dasar laut dalam loceng selam.  “Bahkan, Alexander  muncul dalam Qur’an,” tulis Holland.
Ulasan lain ditulis oleh Steve Coates (2011), “Paths of Glory” yang menegaskan bahawa manipulasi kisah Alexander bermula dalam seumur hidup raja itu sendiri.  Coates mencatatkan bahawa meskipun Alexander dikatakan menakluki Parsi bagi pihak Greece, dalam dunia purba, orang Greece dan orang Macedonia dianggap berbeza. 
Satu lagi ulasan yang muncul lebih awal, ialah oleh Rory Stewart (2005), “Great Expectations” tentang empat buku biografi baharu Alexander the Great.  “Untuk hampir 2500 tahun, Alexander mewakili wawasan utama manusia.  Kehidupan baginda mempunyai aroma cerita pari-pari, sebahagian kerana kisah itu memberikan inspirasi kepada banyak orang,” tulis Stewart yang menyentuh keistimewaan Alexander:  kecantikan fizikal, kepahlawanan, dididik oleh Aristotle, dan dilahirkan di istana.  Tambah  Stewart: “Baginda memilih untuk mempertaruhkan pewarisannya menghadapi empayar agung di Eropah dan Asia” – sesuatu yang turut dilakukan oleh Seri Teri Buana berabad-abad kemudian untuk membuka negeri.
Di sebalik legasi dan kemasyhuran itu, Macedonia menjadi rebutan banyak negara, seperti yang dicatatkan oleh Robert D. Kaplan dalam buku sejarah/kembaranya,  Balkan Ghost:   A  Journey Through History.  Oleh sebab Philip Macedonia dan puteranya Alexander the Great mewujudkan negara beraja yang agung pada abad keempat S.M., maka orang Greece percaya bahawa Macedonia milik mereka.  Oleh sebab orang Bulgaria pada akhir abad ke-10 semasa pemerintahan Raja Samuel dan sekali pada abad ke-13 di bawah pemerintahan Raja Ivan Assen II yang memperluas sempadan Bulgaria jauh ke barat hingga ke Laut Adriatic, maka orang Bulgaria percaya Macedonia milik mereka.  Oleh sebab Raja Stefan Dushan pernah menakluki  Macedonia pada abad ke-14 dan mendirikan kan Skopje, maka orang Serb percaya Macedonia milik mereka”  (Kaplan, 1994: 57 – 58).


Diplomasi Budaya

Dalam penaklukan yang sangat besar itu,  merentas dari Mesir ke India, Alexander  dikatakan melakukan  keganasan dan kekejaman bukan sahaja terhadap negara musuh, bahkan juga terhadap kawan-kawannya sendiri. Empat bulan selepas menduduki Babylon, orang Macedonia membakar kota diraja di Persepolis, memusnahkan sama sekali Empayar Parsi purba.
Walaupun baginda disanjung tinggi kerana baginda mempamerkan minda ketenteraan yang hebat, baginda juga dikatakan selalu menggunakan taktik kejam.  Sejarawan klasik mengkritik Alexander kerana membunuh penduduk beramai-ramai dan memusnahkan kota purba, kerana membunuh staf kanannya dan membawa tenteranya merentas gurun yang luas dan berbahaya. Golongan Athens konservatif menganggap “baginda sebagai separuh Gasar.” Alexander dianggap sebagai “kejam,  bercita-cita tinggi,  orang terlalu sombong dan kolot yang kejam,” bahkan baginda dianggap menjelmakan Hitler atau Stalin.  Banyak penulis moden mendapati diri mereka sukar untuk memaafkan cita-cita tinggi Alexander.  Mereka menganggap cita-cita itu sebagai kelemahan dalam tuntutan baginda sebagai wira Hellenic sebenar.
Walau bagaimanapun, di sebalik segala keganasan dan kekejaman itu, Alexander juga mengamalkan “diplomasi budaya.” Bukti yang jelas, baginda menghormati tawanan perang, bahkan baginda berkahwin dengan Roxana (juga dieja Roxane), puteri Oxyartes, ketua Bactrian yang ditawan ketika baginda menakluki Asia.  Baginda  melayan bonda, permaisuri, dan anak-anak Raja Darius yang melarikan diri ketika Perang Issus dengan hormat dengan pertimbangan mereka ialah kerabat diraja. Meskipun baginda memburu Darius beratus-ratus batu dari Persepolis, kemudian menemui raja Parsi mati dibunuh di dalam kereta kudanya, baginda memberikan pengebumian diraja untuk Darius. Demikian juga Porus yang  ditawan,  dan seperti pemerintahan tempatan yang lain yang Alexander  tewaskan, baginda membenarkan Porus terus memerintah di wilayahnya. 
 Untuk memenangi sokongan golongan aristokrat Parsi, Alexander melantik banyak orang Parsi sebagai gabenor wilayah dalam empar baharu baginda.  Baginda menggunakan pakaian Parsi untuk upacara, mengeluarkan perintah supaya orang Parsi diambil berkhidmat dalam tentera, dan menggalakkan orang Macedonia berkahwin dengan wanita Parsi.  Akan tetapi, orang Macedonia  tidak gembira dengan Orientalization  Alexander itu kerana mereka berbangga dengan adat, budaya, dan bahasa Macedonia.
Raja Iskandar Zulkarnain juga mengamalkan diplomasi budaya. Seperti yang diriwayatkan oleh Tun Seri Lanang.  Raja Kida Hindi yang tewas tidak diperlakukan oleh Raja Iskandar Zulkarnain sebagai orang kalah perang.  Sebaliknya, baginda diminta oleh Raja Iskandar Zulkarnain memeluk Islam dalam agama Nabi Ibrahim A.S.  Seterusnya, Raja Kida Hindi mengahwinkan puteri baginda, Syahr al-Bariah dengan Raja Iskandar Zulkarnain. Cucu-cicit baginda di dunia Melayu turut mengamalkan warisan leluhur ini, misalnya perkahwinan antara Sultan Mansur Syah dari Melaka dengan Raden Galuh Cendera Kirana, puteri Betara Majapahit (Tun Seri Lanang, 1997: 95).  Ketika itu, wujud tiga negeri yang sama besar, pertama Majapahit, kedua Pasai, dan ketiga Melaka (Tun Seri Lanang, 1997: 77). 
Wujud kecenderungan Raja-Raja Melayu untuk menjalinkan hubungan dengan kuasa besar ketika itu, iaitu Benua Keling dan Benua China melalui perkahwinan.  Misalnya, perkahwinan antara Raja Muda Singapura, yang kemudiannya menerajui kerajaan dengan nama Seri Rana Wikrama dengan tuan puteri anak Raja Benua Keling, Tuan Puteri Talla Puncadi (Tun Seri Lanang, 1997: 35).  Sementara itu, Sultan Mansur Syah Melaka berkahwin dengan Puteri Hang Liu, puteri Raja China (Tun Seri Lanang, 1997: 105). Nampaknya, “perkahwinan diraja”  merupakan ukuran martabat seseorang raja atau sultan. Apabila Sultan Mansur Syah ingin memperisterikan Puteri Gunung Ledang, atas alasan baginda ingin “mencari kelainan daripada anak-anak raja yang lain,”  baginda diberitahu oleh orang besar-besarnya, “...karena pada zaman dahulu kala Raja Iskandar Zulkarnain yang beristerikan anak Raja China.  Akan sekarang Yang Dipertuanlah”  (Tun Seri Lanang, 1997: 123).  Dengan kata lain, dari segi sejarah, hanya dua orang raja yang berkahwin dengan puteri Raja China, iaitu Sultan Mansur Syah dan leluhurnya dari Macedonia, walaupun boleh dikatakan, raja muncul silih berganti, baik di bawah angin mahupun di atas angin.
Satu contoh lagi tentang diplomasi budaya,  ialah  layanan baik  Sultan Mansur Syah terhadap Maharaja Sura, raja Pahang sebuah negeri besar, takluk Benua Siam, yang kalah peperangan dengan Melaka:  “Adapun tatkala alah negeri hamba maka hamba tertangkap oleh Seri Bija al-Diraja perasyaan hamba seperti  dalam kerajaan hamba juga...”  (Tun Seri Lanang, 1997: 109).   Bahkan, Maharaja Sura digunakan sebagai   “pakar rujuk” gajah.
Dalam Sulalat al-Salatin, kita  ditunjukkan bagaimana konflik atau persengketaan diselesaikan melalui perkahwinan, seperti perkahwinan antara Sultan Muzaffar Syah dengan Tun Kudu; perkahwinan Tun Kudu dengan Seri Nara al-Diraja untuk mendamaikan beliau dengan Paduka Raja.  Ramlah Adam (2015) mentafsirkan peristiwa ini sebagai “raja sebagai pemimpin bestari.”  Hujah Ramlah, “kebijaksanaan raja sebagai pemerintah akan terserlah dalam menyelesaikan kemelut pentadbiran kerajaannya. Sultan Muzaffar Syah telah dicatatkan oleh Tun Seri Lanang sebagai seorang pemerintah yang mempunyai pemikiran yang tinggi dan sangat dihormati. Baginda juga sanggup berkorban dan mengetepikan kepentingan diri demi menyelesaikan konflik pentadbirannya. Hal ini terserlah dalam hubungannya dengan sepupunya yang juga merupakan bendahara Melaka iaitu Seri Nara al-Diraja.”

Perjalanan Penuh Peristiwa
Dalam Sulalat al-Salatin,  Tun Seri Lanang banyak mencatatkan dan menghuraikan hal yang berkaitan dengan negeri dan rajanya, pembukaan negeri baru, kemajuan yang dicapai oleh negeri baru itu, sistem pemerintahan, peperangan, dan leluhur raja-raja Melayu.  Seperti yang  dibahaskan oleh Jelani Harun (2003: 223):  “Sejarah Melayu misalnya, bukan sahaja karya agung bangsa Melayu yang merakamkan  sejarah kewujudan negara kota Melaka, tetapi juga menampilkan adat istiadat pemerintahan raja Melayu yang diwarisi turun-temurun.  Dalam karya tersebut terakam pelbagai peraturan tentang  tugas dan tanggungjawab  raja dan pembesar  negara, meliputi pentadbiran dalam negara dan juga hubungan dengan negara luar.” 
            Jika diperhatikan dalam beberapa bab, Tun Seri Lanang (1997) cenderung bermula dengan menyatakan nama negeri dan nama raja, atau nama raja dan nama negeri. Hal ini jelas  membuktikan bahawa negara telah terbentuk, iaitu dari segi geografi wujud wilayahnya, dan dari segi politik, wujud ketua negara dan jentera pentadbiran untuk melaksanakan “orde politik.”  Dan sekali gus, terbukti bahawa di negeri Melayu yang dikisahkan oleh beliau, masyarakat yang wujud ketika itu  bukan lagi tahap kabilah, tetapi lebih merupakan masyarakat tahap negara, jika kita berpegang pada tafsiran Fukuyama (2011: 80 – 81).  
Muhammad Haji Salleh dalam “Pengenalan” yang panjang lebar, lebih 40 halaman, dengan segala kekaguman beliau terhadap Karya Agung ini,  tidak cuba menggarapkan persoalan penting yang diketengahkan oleh Tun Seri Lanang.    Untuk pembentukan negara yang merupakan persoalan besar dalam Karya Agung ini,  Muhammad hanya menyebutnya  dalam satu ayat:  “Misalnya pada tempat-tempat yang memerikan penubuhan negeri, peperangan, nilai-nilai pentadbiran  serta agama, nada suaranya agak serius dan objektif”  (Tun Seri Lanang, 1997:  xxxiv).
Walaupun sudah bertakhta, pertama di Palembang, kemudian di Bentan, pastinya suatu kehidupan yang cukup selesa, Seri Teri Buana masih berhasrat menubuhkan negeri baharu. Untuk itu, baginda sanggup meninggalkan takhta dan singgahsana. “Apa bicara bapa hamba karena hendak berangkat ke laut mencari tempat yang baik hendak beta  perbuatkan negeri?”  (Tun Seri Lanang, 1997:  25).  Dalam mencari  tempat  yang sesuai untuk ditubuhkan negeri baru, petuanya  tidak ditunjukkan dalam mimpi,  atau firasatnya tidak   diturunkan dari langit. Dewa-dewa yang menjadi leluhur Seri Teri Buana tidak menjelma untuk membisikkan  baginda tentang   tempat  yang sesuai. Pawang dan dukun juga langsung tidak kelihatan.  Sebaliknya, baginda dengan para  pembesar dan  rombongan,  terpaksa berusaha mencari tempat itu dalam suatu penjelajahan yang sukar lagi mencabar, mengharungi samudera dan menempuh gelombang. Sesuai dengan misi untuk membuka negeri,  maka   lambang kebesaran dan   kelengkapan   dibawa bersama-sama:  “Maka rupa perahu itu pun terlalu banyak, tiada terbilang lagi,  rupa tiangnya seperti pohon kayu, rupa tunggul dan panji-panji seperti awan berarak, rupanya payung segala raja-raja seperti mega”  (Tun Seri Lanang, 1997: 26).
Dinobatkan sebagai Raja Bentan dan hampir jatuh berkenan oleh  Uwan Seri Beni,  singgah di Bemban untuk bertemasya dan berburu, sesungguhnya sesuatu yang boleh melekakan Seri Teri Buana dengan segala kemewahan dan keseronokan. Walau bagaimanapun,  baginda  tidak seperti  Mark Antony yang cair darah pahlawannya semata-mata kerana tergoda dengan kecantikan Cleopatra dan hanyut dalam kemewahan yang ditaburkan oleh ratu Mesir itu. Seri Teri Buana tetap  tidak lupa akan tujuan   penjelajahan baginda dan rombongan, iaitu  membuka negeri baharu. Dari kejauhan   baginda meninjau  ke seberang, lalu terpandang tanah seberang yang pasirnya terlalu putih yang menarik perhatian baginda (Tun Seri Lanang, 1997: 28).
Dalam penjelajahan tersebut, Seri Teri Buana dan rombongan terpaksa bertarung antara  hidup dengan mati, iaitu   alam yang amat mencabar.     Ketika di tengah laut dalam perjalanan ke tanah Temasik,  mereka  dilanda ribut sehingga kenaikan mereka dimasuki air.  Tidak memadai dengan menimba, harta yang ada terpaksa dibuangkan ke dalam laut.  Walau bagaimanapun, segala usaha tidak membuahkan hasil, kenaikan  terus tenggelam.  Sebagai langkah terakhir, mahkota baginda dibuang ke dalam laut, maka  barulah ribut teduh dan kenaikan mereka timbul semula (Tun Seri Lanang, 1997: 28).
Apabila tiba di Kuala Temasik, baginda dan rombongannya terpandang “seekor binatang maha tangkas lakunya, merah warnanya tubuhnya, hitam kepalanya dan putih dadanya.  Sikapnya terlalu pantas dan perkasya, besyarnya sedikit daripada kambing raduk” (1997: 28 – 29). Seri Teri Buana yang kehairanan itu akhirnya dipersembahkan  oleh Demang Lebar Daun, “Tuanku, ada patik menegar dahulu kala singa juga yang demikian itu sifatnya, pada bicara patik singalah gerangan itu”   (1997: 29).
Walaupun petunjuk yang jelas sudah kelihatan tentang tempat yang sesuai, Seri Teri Buana tidak tergesa-gesa membuka negeri, kerana selain tanah, ada satu lagi faktor yang lebih penting. Seperti yang diriwayatkan oleh Tun Seri Lanang (1997: 29), Seri Teri Buana menitahkan perdana menteri Indera Bokala kembali menghadap Uwan Seri Beni mempersembahkan bahawa baginda tidak akan kembali lagi sambil memohon, “berilah kita ra`yat  dan gajah kuda.  Kita hendak berbuat negeri di Temasik.”  Setelah permohonan itu diperkenankan oleh Uwan Seri Beni, barulah Seri Teri Buana menamakan Temasik itu Singapura, mengambil nama haiwan yang amat hebat yang  baginda tidak pernah temui. Penggunaan nama haiwan ini yang mengandungi unsur mitos tidak sepatutnya mengaburi cita-cita besar dan usaha gigih Seri Teri Buana untuk membina sebuah negeri baharu sebagai pusat pemerintahan dan pentadbiran.
Perjalanan Seri Teri Buana yang penuh peristiwa    boleh dikatakan setanding dengan Odysseus dalam Odyssey,    puisi epik Homer, walaupun matlamatnya berbeza:  Seri Teri Buana membuka negeri dan seterusnya membentuk negara,  Odysseus melancarkan peperangan, yang dikenali Perang Trojan. Singapura sejak  dibuka oleh  Seri Teri Buana yang  bergelar Paduka Seri Pikrama Wira    berkembang maju  dan menjadi pusat perdagangan terkenal, dengan unit politik dan pentadbiran yang tersusun.


Negara Kota:  Singapura dan Melaka

Apabila  Singapura jatuh ke tangan Majapahit dalam peperangan kedua, Sultan Iskandar Syah yang tewas  melarikan diri ke Muar. Kemudian ke sebuah tempat yang dikenali Biawak Busuk, baginda  berkota pula di Kota Buruk, berpindah ke Setang Ujung, dan  oleh sebab tempatnya baik, baginda meninggalkan menterinya di situ (Tun Seri Lanang, 1997: 57).  Demikian perjalanan panjang Sultan Iskandar Syah untuk mencari tempat yang sesuai untuk baginda membuka negeri baharu, sebelum baginda berhenti  di tepi Sungai Bertam, dan kemudian baginda berburu.  Ketika itu berlaku peristiwa,  iaitu anjing diterajangkan oleh pelanduk putih, yang membawa kepada pembukaan Melaka – bersempena nama pokok yang di bawahnya baginda berdiri (Tun Seri Lanang, 1997: 58).  Sebagaimana pembukaan Singapura, pembukaan negeri baharu ini, iaitu Melaka juga tidak “dihidangkan dalam  dulang emas.”
            Kewujudan unsur mitos dalam pembukaan Singapura dan kemudiannya, Melaka, tidak sepatutnya mengaburi usaha gigih Seri Teri Buana dan Sultan Iskandar Syah. Dalam mencari  tempat  yang sesuai untuk ditubuhkan negeri baharu, petuanya  tidak ditunjukkan dalam mimpi,  atau firasatnya tidak   diturunkan dari langit. Dewa-dewa yang menjadi leluhur Seri Teri Buana tidak menjelma untuk membisikkan  baginda tentang   tempat  yang sesuai. Selain itu, pembukaan Singapura dan Melaka tidak disambut dengan kenduri-kendara dan pesta-pestaan.
Selepas pembukaan itu, kedua-dua negara kota menjadi makmur dan masyhur. Seperti yang dicatatkan oleh Tun Seri Lanang (1997: 30): Singapura, menurut Tun Seri Lanang,  “sudah itu maka segala perdana menteri dan orang kaya-kaya dan segala ceteria, sida-sida, bentara, hulubalang dengan ‘adatnya pada zaman itu, permai sekali... Negeri Singa Pura pun besyarlah.  Maka segala dagang pun berkampunglah terlalu ramai.  Maka masyhurlah kebesarannya pada segala ‘alam.” Tidak ketinggalan  pekan yang juga  wujud (Tun Seri Lanang, 1997: 55).
Kemajuan dan kejayaan  yang dicapai dalam sekelip mata menimbul rasa iri hati dan mencetuskan kemarahan Betara  Majapahit:   “Setelah Betara Maja Pahit menegar Singa Pura negeri besar, raja tiada sembah kepada baginda, maka Betara Maja Pahit pun terlalu amarah”  (Tun Seri Lanang, 1997: 31).   Setelah gagal melalui “kuasa lembut”2, Betara Majapahit yang berasal daripada keinderaan, seluruh raja luruh Jawa semuanya  takluk baginda dan segala raja Pustar sudah setengah takluk baginda, menitahkan hulubalangnya berlengkap perahu untuk menyerang Singapura.  “Seratus buah jong dan lain-lain daripada itu melambang dan kelulus, jongkong, cerucuh, tiadalah terkatakan lagi” (Tun Seri Lanang, 1997: 33).   Walaupun berlaku perang darat yang sengit dengan segala kelengkapan dan segala hulubalang dalam suatu tempoh  yang panjang, Singapura masih tidak dapat dikalahkan oleh Majapahit, maka semua  orang Jawa itu terpaksa kembali ke negeri mereka.  Walau bagaimanapun, angkara Sang Rajuna Tapa yang belot, dalam peperangan kali kedua yang juga sengit, Singapura dikalahkan oleh Majapahit.
Sementara itu, di bawah pemerintahan Sultan Muhammad Syah, Melaka menjadi terlalu besar dan segala dagang berkampung, dan jajahannya semakin banyak: dari Barat sehingga Beruas Ujung, dari arah Timur hingga Terengganu Ujung Karang.  Melaka yang diperintah oleh anak cucu Iskandar Zulkarnain, menjadi masyhur ke segenap rantau, disanjung tinggi dan dihormati oleh raja-raja lain (Tun Seri Lanang, 1997: 65 dan 117). Demikian juga  ketika pemerintahan Sultan Mahmud Syah, dengan rakyat yang terlalu sekali; segala dagang pun berkampung. “Pada zaman itu ra‘yat di dalam negeri Melaka juga sembilan belas laksa banyaknya, lain daripada ra`yat segala teluk rantau dan segala jajahan Melaka” (Tun Seri Lanang, 1997: 198).  Melaka menjadi pusat dunia Melayu pada abad ke-15 dan awal abad ke-16.  Di sini, berbagai-bagai budaya bertemu dan bertembung.  Dari Timur datang diplomat dan pedagang Cina dan Campa, Berunai, Maluku, dan Majapahit; dari Barat, atau atas angin datang budaya Parsi, Arab, Turki, India, dan Portugis (Muhammad, 1997: xxxiii).
Walau bagaimanapun, kegemilangan dua buah negara kota itu, tidak dapat bertahan lama.  Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Singapura kalah di tangan  Majapahit, manakala Melaka di tangan Portugis.  Bagi Singapura, “rakyat yang dibawa dari Bentan,” hilang selama-lama, kerana menurut tafsiran kepimpinan sezaman, Singapura adalah  “tanpa sejarah silam” dan “semua warganya pendatang.” Kisah Singapura selepas dikalahkan oleh Majapahit boleh dikatakan hampir tidak kelihatan (kecuali dalam hlm. 78 dan 88), seolah-olahnya Tun Seri Lanang membayangkan sesuatu yang akan berlaku berabad-abad kemudian bahawa negara kota akan hilang selama-lamanya daripada tangan peribuminya. Hanya pada bab akhir,  iaitu Bab XXXI, Singapura muncul semula:  Patih Ludang seteru Sang Setia, lari ke Pahang dengan segala sukunya.  Pembunuhan Patih Ludang oleh Sang Setia hampir-hampir mencetuskan persengketaan politik di Pahang seakan-akan membayangkan bahawa dalam konteks sezaman, Singapura akan sentiasa mengacah-acah Malaysia! Dalam konteks hubungan serantau,  meletakkan Malaysia dalam keadaan rumit, berpunca daripada bekalan air dan tuntutan wilayah  (Zulkifli, 2003).




BAB  4
Bumi dan Manusia

Seri Teri Buana  dan rombongan  tiba di Temasik dapat dikatakan dalam keadaan “sehelai sepinggang,” kerana segala harta, bahkan mahkota baginda terpaksa dicampakkan ke laut. Di negeri baharu itu, baginda kelihatan  terpaksa bermula dengan sifar menunjukkan betapa sukarnya pembukaan Singapura, melibatkan penjelajahan yang panjang sebelum menemui sebuah pulau yang hampir atau  tidak berpenghuni.
Seperti yang dinyatakan dalam bab sebelum ini, setelah menemui Temasek, Seri Teri Buana memohon Uwan Seri Beni “memberikan rakyat dan gajah kuda,”  yang secara jelas menunjukkan bahawa rakyat dan  haiwan ini merupakan faktor penting bagi sesebuah kerajaan.   Kedua-duanya, iaitu rakyat dan haiwan tersebut bukan sahaja mempunyai “nilai gunaan,” tetapi juga sebagai simbol atau lambang kekuasaan sesebuah kerajaan.  Kebesaran, keagungan, dan kemakmuran sesebuah kerajaan dapat diukur melalui jumlah rakyat yang banyak.  Selain itu, apabila  Seri Teri Buana memohon pertolongan  daripada Uwan Seri Beni yang  jelas membayangkan bahawa baginda ingin membina masa depan yang gilang-gemilang untuk pulau itu.
Genghis Khan (1162 – 1227 Masihi) pernah berpesan: “Menakluki sesebuah negara dengan berkuda memang mudah,”  menjangkakan masalah yang akan dihadapi apabila menakluki China, “turun dari kuda dan membina negara itu memang sukar.” Hal yang sama turut difikirkan oleh Seri Teri Buana, iaitu kesukaran membina negara jika tanpa rakyat.
Sementara itu, Ibn Khaldun pernah membahaskan kesukaran mendirikan negara baharu kerana masyarakat pada mulanya sukar untuk patuh kepada kekuasaan umum, kecuali mereka dipaksakan oleh suatu kuasa yang sangat berpengaruh. Kerajaan yang baharu, tegasnya adalah suatu yang sangat asing pada mereka.  Rakyatnya belum lagi biasa dengannya, atau sudah betah, dengan pemerintahannya (Ibn Khaldun, 2002: 139).
Mengapa Seri Teri Buana memohon rakyat daripada Uwan Seri Beni dapat dijelaskan melalui penegasan Ibn Khaldun, bukan sahaja dari segi sokongan, tetapi juga dari segi pentadbiran, khususnya untuk negara yang baru didirikan. “Orang yang menerajui pemerintahan hanya dapat berkuasa dengan bantuan daripada rakyatnya sendiri.  Rakyat jelata itulah yang menjadi kumpulannya dan pembantu dalam melangsungkan segala usahanya. Mereka itulah yang dipilih untuk menjawat jawatan di jabatan pentadbirannya, yang dilantik menjadi menteri dan diberikan kepercayaan untuk mengumpulkan wang kutipan cukai. Merekalah yang membantunya untuk mendapatkan kemenangan. Mereka memainkan peranan untuk menguruskan hal-hal yang bersangkutan dengan kenegaraan. Mereka juga berkongsi dalam kegiatan penting yang lain-lainnya” (Ibn Khaldun, 2002: 182). Dalam kes Singapura, bantuan rakyat diperlukan untuk membangunkan dan memajukan pulau itu dan mereka juga akan dikerah untuk tujuan pertahanan.


Rakyat dan Negara Berpisah Tiada

“Rakyat ialah kumpulan terbesar dalam sesebuah negara.  Setiap rakyat dikehendaki patuh kepada raja” (Jelani, 2003: 274). “Orang Melayu pada masa itu tidak mengenali identiti dirinya sebagai satu bangsa seperti orang Cina atau orang Anam, tetapi sebagai rakyat seseorang raja.  Jika ditanya tentang identitinya, orang Melayu akan menjawab bahawa dirinya adalah rakyat atau hamba seseorang raja.  Di  mana ada raja di situlah ada kerajaan” (Ahmad Jelani, 2006:  xvii).  Dua petikan ini jelas menunjukkan keakraban hubungan antara rakyat dengan seseorang raja, bahkan sehingga kini, kita masih dapat mendengar keakraban itu melalui ungkapan, “raja dan rakyat berpisah tiada.” 
Akan perlu dan pentingnya rakyat, Anthony Reid  berpesan:  “Politik konteks menjadi bahaya bagi orang kecil untuk menunjukkan kekayaannya, kecuali dia mempunyai tanggungan yang cukup untuk mempertahankan dan mengesahkannya...  Justeru, modal mula-mula sekali perlu digunakan untuk memperoleh orang dengan membeli hamba, memberikan pinjaman kepada mereka yang memerlukannya, perikatan perkahwinan dan ketenteraan, dan kenduri-kendara” (dipetik daripada  Scott, 2010: 68 – 69). Sesuatu yang mungkin pernah difikirkan oleh Seri Teri Buana apabila membuka dan memajukan Singapura, ada pihak yang iri hati, lalu baginda “memohon rakyat” sebagai langkah proaktif.
James C.  Scott  membahaskan kepentingan rakyat yang beliau sebut tenaga manusia (manpower) di Asia Tenggara, termasuk dunia Melayu prakolonial, bahawa  “teras negara beraja dan pemerintahnya mesti mempertahankan dan mengekalkan, di samping dibekalkan oleh penawaran buruh” (Scott, 2010: 41). Hujah beliau,   “sumber tenaga manusia   di teras negara Asia Tenggara bukan hanya penting untuk pengeluaran makanan; mereka penting dari segi ketenteraan untuk pertahanan dan pengembangan negara menentang negara seterunya” (Scott, 2010: 43).    Hujah beliau lagi,  “penumpuan tenaga manusia merupakan kunci kepada kuasa politik  di Asia Tenggara pramoden.  Penumpuan ini merupakan prinsip pertama tataurus negara (statecraft) dan pada hakikatnya, mantera setiap sejarah negara  beraja prakolonial di rantau ini”  (Scott, 2010: 64). 
Scott  membezakan  Asia Tenggara dengan  China tentang manusia dan bumi.  “Di Asia Tenggara, mengawal orang menganugerahi kawalan terhadap tanah, manakala di China, mengawal tanah semakin menganugerahi kawalan terhadap orang” (Scott, 2010: 65).  Beliau juga berhujah bahawa “negara Asia Tenggara pramoden yang berjaya berusaha secara tetap untuk mengumpulkan penduduk yang diperlukan dan mengekalkan mereka di sesebuah tempat.  Demografi pula tidak memihak kepada negara.  Bencana alam, epidemik, kegagalan tanaman, peperangan, tidak perlu disebut sempadan yang sering diganggu, secara tetap mengancam negara kecil.  Apa yang berlaku di China lebih satu alaf lebih awal, iaitu demografi tidak memihak kepada pembikinan negara, iaitu jika serakan orang ramai tidak dapat dikekalkan, nescaya negara kota akan menjadi timbunan runtuhan, ahli arkeologi yang bekerja di Asia Tenggara mendapati tidak kurang timbunan tersebut” (Scott, 2010: 66).
Bagi Scott, tenaga manusia bukan sahaja penting dari kuasa politik, tetapi juga, seperti yang beliau jelaskan:  “Pengumpulan penduduk melalui peperangan dan serbuan hamba sering dilihat sebagai asal usul hierarki sosial dan tipikal pemusatan permulaan (Scott, 2010; 67).  Justeru, negara beraja secara tetap mencuba untuk menambah dan memperbesar asas tenaga manusia mereka dengan menempatkan  secara paksa tahanan perang berpuluh-puluh ribu orang atau dengan membeli atau menculik hamba.  “Sebagaimana ukuran penting kuasa negara ialah tenaga manusia yang dapat dikumpulkan, demikian juga tenaga manusia yang merupakan ukuran penting kedudukan perbandingan pegawai, aristokrat, dan orde agama yang bersaing untuk tanggungan, hamba lelaki, dan hamba” (Scott, 2010:  67). Beliau juga memetik Clifford Geertz tentang “perseteruan politik orang Bali bahawa mereka adalah ‘perjuangan untuk lebih banyak manusia berbanding dengan tanah’ yang juga dapat diterapkan untuk semua tanah besar Asia Tenggara” (Scott, 2010: 67). 
Meskipun Scott menumpukan bukti dari tanah besar, beliau mengakui bahawa “tumpuan perhatian yang sama terhadap tenaga manusia, jika apa-apa sahaja,   lebih jelas di semenanjung Asia Tenggara pramoden, terutamanya di dunia Melayu”  (Scott, 2010: 71).
Berdasarkan hujah Scott itu, kita dapat mentafsirkan mengapa Seri Teri Buana “meminta rakyat.” Dalam Sulalat al-Salatin, Tun Seri Lanang ada kalanya mencatatkan jumlah rakyat dengan jelas, iaitu dari segi kuantiti: “Pada zaman itu ra`yat di dalam negeri Melaka juga sembilan belas laksa banyaknya, lain daripada ra`yat segala teluk rantau dan segala jajahan Melaka” (Tun Seri Lanang, 1997: 198). Atau beliau  menyebut “banyak” yang menunjukkan bilangan dan suasana ramai,   “... membawa ra`yat terlalu banyak” (Tun Seri Lanang, 1997: 73);  “Maka ra`yat pun banyak matinya;” (Tun Seri Lanang, 1997: 115); “Hatta maka Raja Ligor pun datang ke Pahang dengan segala ra`yat. Tiada terhisabkan lagi banyaknya.  Maka berparanglah dengan orang Pahang” (Tun Ser Lanang, 1997: 197). “Berkampung” juga mencerminkan jumlah rakyat yang banyak suasana (rujuk Tun Seri Lanang, 1997: 85).
Gambaran lain yang ada kaitannya dengan jumlah rakyat, dapat diperhatikan melalui petempatan atau kediaman,  kenderaan atau kelengkapan, dan suasana, seperti peperangan dan perhimpunan.  “Maka dari Air Leleh datang ke hulu Muar pasar tiada berputusan lagi, dari sebelah Kampung (Keling) lalu ke Kuala Penajuh tiada berkeputusan.  Jika orang pergi-pergian datang ke Jugra tiada membawa api lagi, barang ke mana ia berhenti di sana adalah rumah orang” (Tun Seri Lanang, 1997: 198). “Tatkala itu kelengkapan Bentan empat ratus banyaknya” (Tun Seri Lanang, 1997: 26);  “... segala lancang kenaikan baginda, pelang peraduan, jong pebujangan, bidar kekayuhan serta jong penanggahan, teruntum penjalaan, terentang permandian.  Maka rupa perahu yang mengiringkan tiada terbilang lagi” (Tun Seri Lanang, 1997: 270);  “Maka dihantari baginda ra`yat dan gajah kuda, tiada tepermanai lagi banyaknya (Tun Seri Lanang, 1997: 29); “Maka terlalu ramai, gemerencing bunyi segala senjata, terlalu ‘azamat bunyi tempik segala hulubalang juga kedengaran, guruh bunyi sorak tempik segala ra`yat itu, tiada sangka bunyi lagi bunyinya.  Daripada kedua pihak ra`yat itu pun banyaklah mati (Tun Seri Lanang, 1997: 33); “... Betara Maja Pahit pun segera menyuruh tiga ratus buah jong; lain daripada itu kelulus, pelang, jongkong tiada terbilang lagi banyaknya.  Maka dua keti ra`yat Jawa yang pergi itu”  (Tun Seri Lanang, 1997: 56 – 58). Selain itu, jumlah rakyat yang banyak dinyatakan secara perbandingan:  “Maka titah Raja China, ‘Besar sungguh Raja Melaka ini, terlalu sekali banyak ra`yatnya, tiada beda dengan ra`yat kita.  Baiklah ia kuambil akan menantuku’.” Raja China itu bertitah demikian selepas baginda mendengar sembah Tun Perpatih Putih, “Itulah, tuanku, pada seorang-seorang disuruh raja kami menggolek dia. Demikianlah peri banyak ra`yat raja kami, tiada seorang pun tahu akan bilangannya” (Tun Seri Lanang, 1997: 105).  Ketika Melaka berurusan dengan China “sarat sebuah pilu itu dengan jarum juga” (Tun Seri Lanang, 1997: 103), menunjukkan jumlah rakyat Cina yang banyak, seperti yang dapat dilihat dalam surat Raja China kepada Sultan Mansur Syah (Tun Seri Lanang, 1997: 104):
... Bahawa kita dengar warta Raja Melaka raja besar, maka kita hendak bersahabat dengan Raja Melaka.  Bahawa tiadalah lagi raja-raja dalam dunia daripada kita dan tiada siapa pun tahu akan bilang ra`yatnya. Maka daripada sebuah rumah sebilah jarum kita pintakan, itulah jarumnya sarat sebuah pilu kita kerahkan ke Melaka.”

Secara keseluruhannya, jumlah rakyat yang banyak, di samping mencerminkan kuasa politik (mungkin juga hegemoni), kebesaran,  dan kemakmuran sesebuah negeri, rakyat  juga penting untuk tujuan pertahanan atau peperangan.  Dalam Sulalat al-Salatin, seperti yang ditunjukkan dalam contoh di atas,  ketika berlakunya peperangan, penglibatan rakyat lebih ketara.  Boleh dikatakan rakyat  yang lebih kerap muncul,  baik yang berperang mahupun yang terkorban, berbanding dengan tentera (Tun Seri Lanang, 1997: 13)   dan hulubalang yang muncul sekali-sekala.  Hal ini jelas menunjukkan bahawa rakyat bukan sahaja perlu mencurahkan kesetiaan mereka kepada negara, tetapi mereka  juga sanggup turun ke medan perang untuk bertempur dengan musuh. Mereka juga rakyat dan mereka juga tentera.
Dengan mengerahkan rakyat untuk berperang, adakah Raja-Raja Melayu ketika itu dapat dianggap sebagai Machiavellian?  Dalam erti kata, mereka bergantung pada tentera yang terdiri daripada rakyat mereka sendiri untuk berperang.  Menurut tafsiran James  Scott (2010: 69): “Strategi Machiavellian di bawah keadaan ini mengelilingi diri anda sendiri dengan bilangan besar sekutu yang mempunyai kewajipan terhadap anda.  Sesetengah sekutu benar-benar dibeli.”  Beliau memetik catatan pelawat pada abad ke-16 bahawa orang Melaka percaya “bahawa lebih baik mempunyai lelaki hamba berbanding dengan memiliki tanah kerana lelaki hamba melindungi tuan mereka”  (Scott, 2010:  69).
“Logik tenaga manusia beroperasi pada setiap tahap sistem politik Asia Tenggara prakolonial,” hujah Scott. “Penguasa (prince), aristokrat, saudagar, pegawai ketua kampung hinggalah kepada ketua isi rumah berpendirian dengan sifat murni sekutu yang jirih-perih dan sokongan dapat diharapkan apabila mereka dicabar” (Scott, 2010:  68).
Untuk penguasa,   Machiavelli, pernah berpesan: “Asas utama semua negara, baharu,  lama, atau campuran, ialah undang-undang yang baik dan tentera yang baik,” sambil menambah, “tidak boleh wujud undang-undang yang baik apabila tidak wujud tentera yang baik” (Machiavelli,  2011: 53).  Jelas beliau,  wujud tiga jenis tentera, iaitu pasukan  tentera penguasa (prince) sendiri, askar upahan, dan pasukan tambahan.  Askar upahan dan pasukan tambahan tidak berguna dan bahaya. Askar upahan tidak bersatu, tidak berdisiplin, bercita-cita tinggi, dan tidak setia.  Pasukan tambahan, iaitu askar yang dipinjamkan dari negara yang lebih berkuasa, juga tidak berguna seperti askar upahan. Meskipun mereka selalunya berjuang dengan baik, penguasa yang bergantung pada pasukan tambahan meletakkan dirinya dalam situasi tidak menang.
Dalam konteks hubungan  antara Melaka dengan China pula, jumlah rakyat merupakan ukuran penting. Dari segi jumlah rakyat,  Melaka dengan China diibaratkan “duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.”  Justeru,  Raja China sudi menerima Sultan Mansur Syah sebagai menantu, dan sekali gus, menjalinkan hubungan diplomatik antara dua negara ini.
Selain itu, rakyat juga perlu  menghadiri dan memeriahkan  upacara yang dianjurkan oleh pihak istana,  seperti perkahwinan diraja, atau upacara tertentu, seperti ketika Tuan Puteri Naya Kesuma ingin memilih suami: “Setelah sudah maka segala raja-raja dan para puteri dan segala sida-sida, abintara, hulubalang dan segala ra`yat kecil besar tuha muda, bongkok, tempang pun sekalian berkampunglah ke Maja Pahit, kurang-kurang dikerah orang, datang sendirinya terlebih banyak...” (Tun Seri Lanang, 1997: 85). 
Dalam masyarakat Melayu prakolonial, hasil kerah (corvee labour) atau kerah kelihatan sebagai obligasi rakyat kepada golongan pemerintah.  Semua rakyat jelata tertakluk kepada hasil kerah (Jomo, 1986:  9).  Jomo yang mengkaji ekonomi Semenanjung Tanah Melayu dari zaman prakolonial, kolonial, dan pascakolonial, mencatatkan: “Kerah berkemungkinan bergantung pada kawalan langsung rakyat, dan  tidak semestinya diantarai oleh kawalan terhadap tanah.  Justeru, jika rakyat ditindas dengan teruk, mereka akan berhijrah, pemerintah kehilangan sumber lebihannya, misalnya pengeluar tani.  Bahkan, lebih teruk jika rakyat itu berhijrah ke kawasan musuh pemerintah berkenaan  (Jomo, 1986: 9). Beliau juga menyatakan  golongan pemerintah, sesetengah pegawainya, dan sebilangan individu lain yang mempunyai hak istimewa dikecualikan daripada kerah.
Gajah Berdaulat

Kedudukan dan peranan gajah dalam tradisi kesultanan Melayu zaman silam pernah dibahaskan oleh Nurul Izzati  Md. Mustafa (2015), yang dilihat dalam konteks kelestarian dalam pemerintahan beraja. “Gajah sebagai haiwan elit yang telah wujud sejak zaman berzaman sangat ‘berjasa’ dan berkepentingan terutamanya dalam urusan-urusan rasmi diraja.” Tanpa menafikan peranan para pemerintah yang berperanan besar dalam memajukan sesebuah kerajaan Melayu,  beliau cuba untuk “menonjolkan satu faktor pendukung yang turut membantu  sesebuah kerajaan untuk berdiri kukuh,” iaitu kedudukan gajah dari segi hubungan diplomatik, gajah semasa upacara perkahwinan, gajah dalam peperangan, dan perlawanan dan “ilmu gajah.”


Perang dan Pembentukan Negara
Ketika pemerintahan Sultan Mansur Syah, Siak, sebuah negeri besar diserang dan ditakluki dan Megat Kudu ditabalkan menjadi raja (Tun Seri Lanang, 1997: 115), manakala negeri yang sudah wujud, iaitu Kedah, dan  yang baru dibuka, iaitu Patani,  memohon nobat sultan Melaka (Tun Seri Lanang, 1997: 171 dan 191).  

Sesuai dengan ungkapan, “perang ialah bapa segala benda” dan “perang bikin negara, dan negara bikin perang,” maka timbul persoalan: Adakah perang memainkan peranan dalam kebangkitan negara? Sepintas lalu, kita tidak mempunyai jawapan muktamad kerana, pertama, Jawa yang menang kembali ke Majapahit – seolah-olah Betara Majapahit hanya ingin memusnahkan Singapura semata-mata dan bukannya memerintah negeri itu, dan kedua,   Sultan Iskandar Syah yang tewas  melarikan diri ke Muar dan bukannya dipaksa tinggal  di Singapura dengan  tunduk pada pemerintahan Betara Majapahit. 
Namun begitu, jika kita jejaki perjalanan Sultan Iskandar Syah itu  nyata berkesudahan dengan kebangkitan negara, iaitu pembukaan  Melaka.  Seperti yang dibincangkan sebelum ini, peperangan merupakan faktor penting dalam pembentukan negara, iaitu pihak  yang menang akan menguasai wilayah dan penduduk yang tewas itu jika mereka  tidak  berpeluang melarikan diri.  Walau bagaimanapun, dalam kes  Melaka keadaan adalah berbeza, kerana pihak yang tewas, Sultan Iskandar Syah  melarikan diri, meninggalkan  Singapura tanpa kembali semula, sebaliknya baginda mencari kawasan lain  untuk membina negeri baharu. 
Dari Singapura ke Muar, kemudian ke sebuah tempat yang dikenali Biawak Busuk, berkota pula di Kota Buruk, berpindah ke Setang Ujung, dan  oleh sebab tempatnya baik, baginda meninggalkan menterinya di situ (Tun Seri Lanang, 1997: 57).  Demikian perjalanan panjang Sultan Iskandar Syah untuk mencari tempat yang sesuai untuk baginda membuka negeri baru, sebelum baginda berhenti  di tepi Sungai Bertam, dan kemudian baginda berburu.  Ketika itu berlaku peristiwa,  iaitu anjing diterajangkan oleh pelanduk putih, yang membawa kepada pembukaan Melaka – bersempena nama pokok yang di bawahnya baginda berdiri (Tun Seri Lanang, 1997: 58).  Sebagaimana pembukaan Singapura, pembukaan negeri baru ini, iaitu Melaka juga tidak “dihidangkan dalam  dulang emas.”

Biar Roboh Kota Melaka
Kejatuhan empayar Melaka pada tahun 1511  ke tangan Portugis hanya menyaksikan pertukaran kedudukan empayar, iaitu dari Melaka ke Johor Lama yang terletak di hujung selatan Semenanjung Tanah Melayu (Shaharil Talib dan Mohammad Raduan, 2000:  166).  Kejatuhan Melaka tidak memusnahkan kerajaan Melayu, kerana budaya jelas mencatatkan bahawa di mana raja di situlah ada kerajaan.  Orang Melayu memperkenalkan diri mereka sebagai hamba seorang raja... Tempat tidak menjadi satu perkara penting untuk penubuhan kerajaan Melayu.  Rakyat akan terus setia kepada raja asal mereka dan bukan kepada pemerintahan baharu (Ahmad Jelani, 2006: xvii).
            Seperti yang dicatatkan oleh Tun Seri Lanang, walaupun  Melaka ke tangan Portugis, kerajaan Melayu tidak berakhir.   Sultan Ahmad, anakanda Sultan Mahmud Syah, berundur ke Muar, lalu ke Pagoh, dan membina kota di Bentayan, manakala Sultan Mahmud Syah ke Batu Hampar.   Setelah Portugis menyerang Pagoh, Sultan Ahmad dan Sultan Mahmud Syah berjalan ke hulu Muar, lalu ke Pahang.  Dari sana, baginda ke Bentan, manakala Sultan Ahmad membuka negeri di Kopak (1997: 213 – 215). Dalam pemerintahan kerajaan baru ini, kewujudan negara memang jelas apabila Sultan Mahmud Syah  mempertanggungjawabkan hierarki subordinat,  untuk jawatan bendahara, perdana menteri, penghulu bendahari, menteri,  kepala abintara, dan laksamana, manakala Raja  Muzaffar Syah sebagai bakal pengganti baginda.   Walau bagaimanapun, Sultan Mahmud  Syah kemudiannya melantik Sultan Alauddin Syah, putera baginda dengan Tun Fatimah, dengan mengetepikan Raja Muzaffar Syah, sebagai “Sultan Muda” (rujuk Tun Seri Lanang, 1997: 215).
            Walaupun kehilangan empayar Melaka,  kerajaan baru  Sultan Mahmud di Bentan masih dihormati oleh pemimpin negeri lain, misalnya Lingga dan Siak (Tun Seri Lanang, 1997: 221 – 222 dan 231). Sementara  Raja Haru, Sultan Husin, menjadi menantu baginda, iaitu berkahwin dengan puteri baginda, Raja Putih (Tun Seri Lanang, 1997: 235 – 238), dan Sultan Pahang berkahwin dengan puteri baginda, Raja Hatijah serta  dinobatkan (Tun Seri Lanang, 1997: 241). Walau bagaimanapun, Raja Kampar, Sultan ‘Abdullah menderhaka, enggan menyembah dan menghadap baginda di Bentan, bahkan bersekongkol dengan Portugis di Melaka, tetapi Sultan ‘Abdullah dikhianati oleh Portugis  (Tun Seri Lanang, 1997: 217 – 219).
            Semasa Bentan, Sultan Mahmud Syah mencuba untuk merampas semula Melaka daripada tangan Portugis, tetapi gagal, manakala  Portugis pula bertindak menyerang Bentan dalam suatu peperangan yang sengit.  Meskipun Bentan pasti akan jatuh ke tangan Portugis,  baginda enggan berundur: “Hai Seri Nara al-Diraja, sedia kita ketahui Bentan ini tanah pulau.  Oleh bicara kita undur, baiklah kita diam pada tanah besar, karena yang `adat raja-raja itu, alah negerinya ia mati”  (Tun Seri Lanang, 1997: 242). Walau bagaimanapun, sembah Seri Nara al-Diraja, “Salah titah tuanku itu, karena ada raja di negeri sekalian.  Jika ada hayat Yang Dipertuan sepuluh negeri boleh diadakan,” lalu beliau menarik tangan baginda untuk berundur (Tun Seri Lanang, 1997: 242). Setelah ke Dompak, atas nasihat bendahara, Sultan Mahmud Syah ke Kampar:  “Patik menegar khabar daripada bapa patik, jikalau barang sesuatu hal negeri raja (di)bawa ke Kampar”  (Tun Seri Lanang, 1997: 245).
            Sultan Mahmud Syah, seperti yang dicatatkan oleh Tun Seri Lanang, menduduki takhta dalam suatu tempoh yang lama:  “Di Melaka tiga puluh tahun, maka Melaka pun alah, dari Muar lalu ke Pahang setahun, di Bentan baginda dua belas tahun, di Kampar lima tahun, maka menjadi semuanya ‘umur baginda di atas kerajaan empat puluh dulapan tahun” (1997: 247).



BAB 4
Masyarakat Tahap Negara Berbanding dengan Masyarakat Tahap Kabilah
Fukuyama (2011: 80 – 81), mengemukakan beberapa aspek penting yang membezakan    masyarakat tahap negara  berbanding dengan  masyarakat tahap kabilah.  Beliau  menjelaskan pertama, masyarakat tahap negara  mempunyai sumber berpusat wibawa atau autoriti, sama ada dalam bentuk raja, presiden, atau perdana menteri.  Sumber wibawa atau  dalam masyarakat tahap negara ini mempertanggungjawabkan hierarki subordinat yang mampu, sekurang-kurangnya dari segi prinsip, menguatkuasakan peraturan terhadap seluruh masyarakat. Sumber wibawa ini,” “melebihi semua yang lain dalam wilayahnya, yang bermakna bahawa sumber itu berdaulat.  Semua tahap pentadbiran, seperti ketua kecil, pengawas, dan pentadbir, memperoleh wibawa pembuatan keputusan daripada penyekutuan formal dengan daulat. (Huruf condong oleh Fukuyama sendiri.) Kedua, sumber wibawa disokong oleh monopoli cara paksaan  yang sah, dalam bentuk tentera dan/atau polis.  Kuasa negara adalah cukup untuk mencegah segmen, suku kaum, atau wilayah daripada berpisah atau kalau tidak, mengasingkan diri mereka. Hal ini membezakan negara daripada kerajaan (chiefdom). Ketiga, wibawa negara berasaskan wilayah berbanding dengan berasaskan sanak. Justeru, Perancis pada zaman Merovigian tidak benar-benar negara apabila ketika itu diperintah oleh raja orang Frank dan bukannya raja Perancis.  Keempat, negara jauh lebih  tersusun dan tidak sama berbanding dengan suku kaum, dengan pemerintah dan staf pentadbirannya selalunya mengasingkan diri mereka dengan golongan lain dalam masyarakat. Dalam sesetengah kes, mereka merupakan elit keturunan. Perhambaan dan keabdian, meskipun bukannya tidak diketahui dalam masyarakat kabilah, berkembang secara besar-besaran di bawah naungan negara. Akhir sekali, negara disahkan oleh lebih banyak bentuk jelas kepercayaan agama, dengan  golongan paderi yang berasingan sebagai penjaga  negara.  Ada kalanya, golongan paderi ini mengambil kuasa secara langsung, jika negara itu ialah teokrasi; ada kalanya golongan paderi dikawal oleh pemerintah sekular jika negara itu digelarkan caesaropapist; dan ada kalanya golongan paderi ini saling wujud dengan pemerintahan sekular di bawah beberapa bentuk perkongsian kuasa.

            Dalam Sulalat al-Salatin, Tun Seri Lanang (1997), jelas menunjukkan sumber berpusat wibawa, iaitu  seorang raja bersama-sama pembesarnya, seperti perdana menteri, bendahara, temenggung, hulubalang, bentara, dan sida-sida, yang bertanggungjawab menguatkuasakan peraturan terhadap rakyat jelata.  Contoh yang menunjukkan “rantaian perintah” dengan jelas ialah  apabila Seri Teri Buana ingin meninggalkan Palembang, baginda menitahkan Demang Lebar Daun, yang juga bapa mentuanya untuk bersiap, manakala Demang Lebar Daun pula mengerahkan orang berlengkap.  Beliau juga memberitahu saudaranya yang muda, “Tinggallah tuan melenggarakan negeri ini karena hamba hendak pergi dengan Yang Dipertuan...”  Maka sahut saudaranya itu, “Baiklah, yang mana kata tuan hamba (tiada) hamba lalui.”
Semasa Sultan Muhammad Syah memerintah Melaka, baginda mengatur takhta kerajaan baginda. Baginda menetapkan beberapa peraturan, yang membezakan antara pemerintah dengan yang diperintah, misalnya warna pakaian, perhiasan senjata, protokol ketika para pembesar menghadap baginda,  menyambut utusan asing, persalinan para pembesar, mengusung baginda, mengiringi baginda ketika menaiki gajah dan penobatan, dan penurunan kuasa serta pembahagian tugas (Tun Seri Lanang, 1997: 60 – 64).
Sumber wibawa ini disokong oleh tentera yang siap sedia untuk berperang, sama ada menentang serangan ataupun melancarkan serangan. Kewujudan negeri  yang dicatatkan  dan dibicarakan Karya Agung itu, baik secara langsung atau tidak langsung disahkan oleh agama, iaitu agama Islam. Demikian juga  tokoh agama, mereka  tidak dipisahkan daripada negara (misalnya, Tun Seri Lanang 1997: 60 dan 122 - 123).   
Sebenarnya, kewujudan mitos dan legenda   hanya merupakan kisah sampingan yang sepatutnya tidak dibiarkan merosakkan kisah teras. Dalam mitologi Yunani dan Rom, wira dan manusia agung selalunya lahir daripada hubungan  dewa dan wanita manusia, misalnya dalam kisah Hercules, Zeus menghamilkan ibunya dengan menyerupai suami ibunya.  Helen  of Troy  dikandungi  apabila Zeus menyerupai angsa dan sama ada menggoda atau merogol ibunya, Leda.  Bahkan,  Augustus, Pythagoras, dan Alexander the Great dikatakan mempunyai ibu manusia dan bapa ketuhanan.  Idea dewa atau separa dewa berpasangan dengan wanita manusia dikatakan lazim wujud  di seluruh Timur Dekat Purba.  Idea ini juga  muncul dalam buku Genesis, kitab suci orang Kristian.  Kisah dewa dan dewi juga muncul dalam puisi epik Homer, Iliad yang terkenal dengan mitos Perang Trojan.  Walau bagaimanapun, kemunculan dewa dan dewi  tidak melenyapkan Troia, Kota Legenda Priam  daripada sejarah, bahkan   tempat berlakunya Perang Trojan itu diisytiharkan sebagai  Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak tahun 1998.

BAB 5
Kontrak Sosial dan Pelanggarannya
Kontrak sosial yang pernah dibahaskan oleh Thomas Hobbes, John Locke, dan  Jean-Jacques Rousseau, memberikan gambaran  empirik tentang bagaimana negara bangkit.  Mereka cuba memahami asas kesahan kerajaan. Bagi Rousseau (1968), tema hebat kebebasan dan sifat murni merupakan tema bukunya itu. Beliau mula menulis The Social Contract sebagai buku tentang kebebasan dan berakhir dengan buku tentang sifat murni, iaitu hakikat apabila manusia masuk ke dalam masyarakat, kebebasan tidak dapat dipisahkan dengan sifat murni. Kontrak sosial yang dibincangkan dalam buku itu adalah sah, bukan dibuat-buat dan merupakan kontrak sah, yang memberikan manfaat kepada setiap orang, kerana kontrak itu menyatukan kebebasan dengan undang-undang dan utiliti dengan hak. “Warga negara semuanya sama menurut kontrak sosial, semuanya mesti menetapkan apa yang semua mesti lakukan, dan tidak ada orang mempunyai hak untuk meminta orang lain sepatutnya lakukan apa yang dia tidak lakukan sendiri” (Rousseau, 1968:  144).
            Dalam membahaskan negara sebagai kontrak sosial sukarela, Fukuyama  memetik Hobes bahawa negara (atau Leviathan) menerusi monopoli daya menjamin setiap warganegara keselamatan asas. Negara boleh juga  menyediakan bentuk lain barang awam, seperti hak harta, jalan, mata wang, timbang dan ukuran seragam, dan pertahanan luaran yang warganegara tidak peroleh sendiri.  Sebagai balasan, warganegara memberi negara hak untuk mengenakan cukai, melakukan kerah, dan kalau tidak, negara menuntut benda daripada mereka.  Walau bagaimanapun, Fukuyama menjelaskan bahawa amat mustahil  bahawa negara pertama bangkit daripada kontrak sosial eksplisit jika isu utama  yang mendorongnya adalah ekonomi semata-mata, seperti perlindungan hak harta atau penyediaan barang awam (Fukuyama, 2011: 82).

Waad antara Yang Dipertuan dengan Patik

Dalam Sulalat al-Salatin, kontrak sosial sukarela terbentuk apabila Demang Lebar  Daun berwaad dengan  Seri Teri Buana, meskipun perjanjian itu bukannya antara suku kaum untuk mewujudkan wibawa berpusat.  Sebaliknya, perjanjian antara bekas seorang raja yang menjadi mangkubumi dengan seorang raja yang mempunyai martabat yang tinggi kerana leluhurnya, Raja Iskandar Zulkarnain. 
Untuk berwaad, Demang Lebar membahasakan Seri Teri Buana “Yang Dipertuan” dan “patik” untuk dirinya sendiri – membezakan antara yang memerintah dengan yang diperintah.  Beliau memohon janji daripada Seria Teri Buana:  “Tuanku, segala anak cucu patik setia akan jadi hambalah ke bawah Duli Yang Dipertuan.  Hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu tuan hamba. Syahadan jika ia berdosya besyar-besyar I dosya sekalipun jangan ia difadhihatkan dan dinista dengan kata yang jahat-jahat. Jikalau besar dosyanya dibunuh, itu jikalau patut pada hukum syr’i.”  Seri Teri Buana yang berkenaan dengan permohonan itu juga meminta Demang Lebar Daun berjanji:  “Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa jangan durhaka, dan anak cucu hamba, jikalau ia zalim dan jahat pekertinya sekalipun” (Tun Seri Lanang, 1997: 23 – 24). Kedua-duanya, iaitu Seri Teri Buana dan Demang Lebar Daun pun bersumpah akan padah jika sesiapa mengubahkan perjanjian itu, dilaknati oleh Allah S.W.T.  Jika rakyat menderhaka, nescaya  rumahnya terbalik dengan tiangnya ke atas.  Jika raja memberi aib, alamat negeri akan binasa.  
Dalam “Pengenalan,”  Muhammad Haji Salleh membahagikan cerita atau episod ke dalam dua golongan, iaitu cerita asas  dan  cerita ranting, meletakkan   kontrak sosial antara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana, yang melakarkan hubungan dan tanggungjawab raja dan rakyat dalam  cerita asas (Tun Seri Lanang, 1997: xxvi).  Waad memetik Rousseau, “kontrak sah, yang memberikan manfaat kepada setiap orang.” 


Pelanggaran yang Membawa Padah

Kontrak sosial antara Demang Lebar dengan Teri Seri Buana yang terjalin di Palembang, akhirnya dilanggar.  Tiga peristiwa,  kesemuanya berlaku di Singapura; dua daripadanya berlaku pada zaman  Paduka Seri Maharaja yang memerintah Tun Jana Khatib dibunuh.  Baginda naik murka kerana hamba Allah dari Pasai itu menunjukkan kehebatannya  dekat istana,  membelah dua batang dengan menggunakan tilikan,  disaksikan isteri baginda (Tun Seri Lanang, 1997: 55).  Kemudian, todak melanggar Singapura, juga ketika Paduka Seri Maharaja, banyak rakyat yang terkorban.  Serangan todak akhirnya dapat dipatahkan apabila  seorang budak cerdik mencadangkan supaya dibina kota batang pisang dan bukannya berkotakan betis. Walau bagaimanapun, akibat termakan hasutan orang besar-besar, maka baginda memerintahkan budak itu dibunuh (Tun Seri Lanang, 1997: 56).
Satu lagi,   peristiwa yang melibatkan bendahara Sang Rajuna Tapa, yang anak perempuannya yang cantik jelita, dipakai dan dikasihi oleh Sultan Iskandar Syah,  difitnah oleh segala gundik raja yang lain, kononnya anak perempuan Sang Rajuna Tapa itu berbuat jahat.  “Sultan Iskandar Syah yang terlalu murka, disuruh baginda diperjangkangkan di ujung pasar.  Maka Sang Rajuna Tapa terlalu malu hal anaknya itu”  (Tun Seri Lanang, 1997: 56).  Sang Rajuna Tapa yang merasakan dirinya dan anak perempuan diaibkan oleh baginda, belot  dengan mengirimkan surat kepada Betara Majapahit menyatakan kesediaan dia untuk membantu betara menyerang Singapura (Tun Seri Lanang, 1997: 56). Dalam peristiwa ini, kedua-dua pihak, iaitu  Sultan Iskandar Syah dan Sang Rajuna Tapa, melanggar kontrak sosial, dan kedua-duanya menerima  padahnya. Singapura jatuh ke tangan Majapahit, dan Sultan Iskandar Syah terpaksa melarikan diri ke Muar, manakala   “dengan takdir Allah Ta’ala rumah Sang Rajuna Tapa dua laki isteri menjadi batu” (Tun Seri Lanang, 1997: 57).
Waad antara  Demang Lebar Daun yang memohon agar keturunannya tidak diaibkan, tidak dinista, dan diadili mengikut undang, manakala Seri Teri Buana meminta agar mereka tidak menderhaka, walaupun keturunannya bersikap zalim,  tidak diamalkan lagi.  Kedua-dua belah pihak, iaitu rakyat dan negara melanggar kontrak sosial itu. Tidak wujud lagi  hubungan timbal-balik, iaitu negara menjamin keselamatan untuk setiap warganegara, manakala warganegara mencurahkan kesetiaan kepada negara. Meskipun berlaku  peperangan yang sengit antara Singapura dengan Majapahit sehingga banyak kedua-dua pihak yang terkorban dan  Singapura kalah  di tangan Majapahit, pelanggaran kontrak sosial merupakan  isu dan masalah utama.   Oleh sebab negara ialah hasil kontrak sosial sukarela, maka pelanggarannya membawa implikasi yang sangat buruk, iaitu negara runtuh dan rakyat merana.  Singapura mungkin menjadi bandar tinggal (ghost town), kerana selain rakyatnya banyak yang terkorban, Sultan Iskandar bersama-sama pembesar serta pengikutnya melarikan diri dan orang Jawa pulang ke Majapahit – tidak menetap di Singapura.
Dalam pengertian sezaman,  negara bangsa hilang kedaulatan – sesuatu yang kemungkinan besar akan dihadapi oleh Malaysia apabila kontrak sosial yang dibentuk lebih setengah abad lalu, semakin  dicabar dan dicabuli.  Sesuatu yang dikhuatiri oleh Demang Lebar Daun  dan Seri Teri Buana berabad-abad lalu, betul-betul terletak di atas bahu kita sekarang.



BAB 7
Pertanian dan Penguftian
Karl Wittfogel dalam teori “hidraulik” negara berhujah bahawa kebangkitan negara di Mesopotamia, Mesir, China, dan Mexico dipacu oleh keperluan terhadap pengairan skala besar yang dapat diuruskan hanya oleh negara birokratik berpusat (Fukuyama, 2011, 83).  Walau bagaimanapun, hipotesis beliau banyak menghadapi masalah kerana kebanyakan projek pengairan awal di wilayah tempat negara mula tumbuh adalah kecil dan diuruskan secara tempatan.  Dengan kata lain, negara muncul sebelum kewujudan projek pengairan skala besar. Walau bagaimanapun, Scott menegaskan, syarat utama untuk pembentukan negara di tempat lain, di samping  di tanah besar Asia Tenggara, ialah potensi kawasan tengah penanaman padi.  “Pada hakikatnya, semua teras negara pramoden di Asia Tenggara ditemui dalam latar ekologi yang sesuai dengan penanaman padi berpengairan... Kerja pengairan tersebut wujud sebelum pewujudan teras negara” (Scott, 2010: 42).    
            Dalam Sulalat al-Salatin, Tun Seri Lanang hanya menyebut penanaman padi huma di Bukit Seguntang, yang diusahakan oleh Uwan Empuk dan Uwan Malini (1997: 21). Justeru, tidak dapat dipastikan bahawa negara sebagai projek hidraulik atau pengairan, meskipun beliau menyebut beras penting untuk rakyat yang sedang berperang, yang dijadikan helah oleh Sang Rajuna Tapa yang belot: “Beras tiada lagi” (Tun Seri Lanang, 1997: 57).
            Samir Amin dalam menjelaskan sistem penguftian dan sistem dunia, mendapati status Asia Tenggara kabur, tetapi beliau mengakui wujud kemungkinan untuk mengiktiraf beberapa jenis pusat pembentukan penguftian. Jenis pertama terdiri daripada empayar Khmer, diikuti oleh penggantinya, iaitu Thai, Burma, dan Kemboja dari abad kelima, dan di Indonesia, negara beraja Majapahit dari  abad ke-13. Dari satu segi yang lain, masyarakat tersusun Malaysia dan Indonesia yang dibentuk ke dalam negara di bawah pengaruh Hinduisme (dari abad kelima) dan kemudian Islam, terdiri daripada keluarga pinggir (2012:  71 – 72). Pentingnya sistem ufti, seperti yang dibahaskan oleh Amin, ialah dari segi kewujudan negara di dua negara  di dunia Melayu, iaitu Malaysia dan Indonesia sejak abad awal Masihi.  
Pada penghujung Sulalat al-Salatin,   Tun Seri Lanang  mencatatkan sesuatu yang diamalkan di dunia Melayu sebelum kedatangan kuasa Barat, iaitu ufti (1997: 253 – 254). Pemberian ufti  merupakan adat bagi negeri yang mempunyai hasil: “Hatta maka Adipati Kampar pun datang membawa ufti seperti ‘adat sediakala.  Maka Adipati Kampar pun datang pada Seri Nira al-Diraja, karena ‘adatnya apabila Adipati dan Raja Tungkal dan Mandulika Kelang dan segala orang yang memegang negeri yang berhasil dipersembahkannya hasilnya, datang dahulu kepada penghulu bendahari, bendaharilah membawa dia masuk ke dalam. Maka Adipati Kampar pun datanglah pada Seri Nara al-Diraja karena ia penghulu bendahari”  (Tun Seri Lanang, 1997: 253).  Amalan pemberian ufti ini pastinya berbeza dengan apa yang dibahaskan dalam pembentukan negara berdasarkan teori paksaan: kerajaan negara berpusat menggunakan tentera sebagai alat mengawal orang yang ditakluki, mengutip ufti, dan memperuntukkan sumber.

BAB 8
Negara dan Kedaulatan
Sejak peguam-ahli politik Perancis, Jean Bodin, menciptanya dalam bukunya, Six Livres de la Republique (1576), negara bangsa menjadi organ tunggal kuasa politik, kedua-duanya, iaitu dalam negara dan luar negara. Buku itu kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Six Book of the Commonweal (atau Negara) pada tahun 1606. Bodin juga merupakan ahli teori faham kuasa mutlak yang terkenal. Akhir abad ke-16, ke-17, dan awal abad ke-18 di Eropah ada kalanya dijelaskan sebagai zaman faham kuasa mutlak.  Di banyak negara Eropah, kuasa negara lazimnya diperintah oleh raja, berkembang sambil mengorbankan kebebasan wilayah dan kebebasan individu.  Walaupun sukar untuk kita mengatakan bahawa raja-raja Melayu, seperti yang diriwayatkan oleh Tun Seri Lanang, ialah faham kuasa mutlak, pada hakikatnya, wujud kuasa negara yang diperintah oleh raja, yang mengehadkan kebebasan individu dan pada takat tertentu, kebebasan wilayah.
            Doktrin utama Bodin, iaitu kedaulatan tidak terbatas dan tidak boleh dibahagikan, terutamanya penting untuk perkembangan teori politik.  Menurut doktrin ini, di setiap negara mesti wujud seorang (atau satu kumpulan orang yang ditakrifkan) yang mempunyai semua kuasa yang perlu untuk memerintah komuniti, dan siapa yang menjadi rajanya. Jika seorang menggubal undang-undang, tetapi orang lain yang memerintah tentera, dan orang ketiga mengendalikan ekonomi, nescaya akan berlaku percanggahan abadi, dan negara akan runtuh dengan cepat.
           

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...