Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Malapetaka selalunya mendekatkan manusia dengan
Tuhan. Contoh terbaru ialah kehilangan
pesawat MH370. Tatkala misi pencarian
yang melibatkan pelbagai negara tertumpu di Laut China Selatan dan Teluk Siam,
kemudian beralih sepenuhnya ke selatan Lautan Hindi, orang ramai, baik penganut agama Islam mahupun
bukan Islam, terus berdoa agar kehilangan
misteri dapat dirungkaikan dan para penumpang selamat. Tatkala Taufan Haiyan melanda Filipina pada
akhir tahun lalu, penduduk negara itu yang majoritinya beragama Katolik bertanya, “mengapa Tuhan memilih mereka”
sebagai sasaran malapetaka yang sangat dahsyat itu. Kira-kira sepuluh tahun lalu, ketika tsunami melanda
Indonesia, India, Sri Lanka, Malaysia, Thailand, dan beberapa buah negara di
Lautan Hindi, yang mengorbankan berpuluh-puluh ribu nyawa, kebesaran Tuhan mendapat perhatian penganut agama yang
berkenaan: masjid di Aceh, patung Buddha
di Sri Lanka, dan dua buah gereja Katolik
di India, yang terselamat.
Dalam kalangan
pemimpin politik dan pengikut mereka pula, seperti yang berlaku di Malaysia,
mereka cenderung mentafsirkan sesuatu tragedi, seperti bencana alam untuk menyerang pihak lawan. Misalnya kalau di Terengganu, banjir, menurut
orang PAS, “bala” Tuhan.
Walau bagaimanapun, sebaik-baik sahaja parti tersebut memerintah negeri itu pada akhir tahun 1999, berlaku banjir, maka diberikan alasan
“cuci dosa.”
Ada
kepercayaan dan jenaka di sebalik banjir
yang berlaku. Ketika saya masa kanak-kanak dahulu, apabila banjir
berlaku, air Sungai Terengganu naik dan arusnya deras. Bunyi arus yang kuat jelas kedengaran pada waktu malam, yang
kononnya bunyi naga dari hulu Terengganu turun ke laut. Apabila
saya meningkat remaja, ada orang menyebut, “banjir besar malam tadi,”
sambil menambah “empat kaki atas katil.” Pada suatu ketika dahulu, di Kuala
Terengganu, banjir seakan-akan satu pesta, iaitu untuk orang lelaki “cuci
mata,” kerana adanya sebilangan anak gadis dan wanita yang “bermain air bah” menyelak kain mereka hingga ke paras paha.
Baru-baru
ini, banjir yang digambarkan dalam
filem Noah benar-benar
berlaku. Vue Cinema di kota Exeter, United Kingdom
terpaksa membatalkan tayangan epik Bible lakonan Russell Crowe dan Emma Watson
itu kerana banjir yang berpunca daripada
mesin ais yang tidak dapat dikawal, tetapi nasib baik kerana “bahtera tidak
diperlukan.”
Filem Noah
yang diharamkan tayangannya di beberapa buah negara Islam, termasuk
Malaysia dan Indonesia, dan ditentang oleh orang Islam serta orang Kristian kerana bercanggah dengan kitab
suci mereka, mengingatkan masyarakat kini tentang banjir
yang berlaku pada zaman lampau. Bagi
orang Islam, kisah Nabi Nuh AS,
selalunya dikaitkan dengan banjir besar yang Allah turunkan kerana kaum Nuh
menolak kebenaran dan melakukan
kesalahan. Akibatnya, mereka yang ingkar
ditenggelamkan, manakala yang beriman diselamatkan.
Ketika
zaman kanak-kanak dahulu, saya pernah mendengar kisah Nabi Nuh dan banjir
besar, dan ada dua perkara yang masih kekal dalam ingatan saya hingga sekarang,
tetapi saya tidak pernah memastikan kesahihannya.
Pertama, bubur sura yang masih wujud hingga kini, dikatakan pada asalnya
dimasak dalam bahtera Nabi Nuh.
Kedua, selain umat yang setia pada Nabi Nuh, haiwan juga dibawa menaiki
bahtera itu. Dalam banyak-banyak haiwan
itu, babi dan anjing “berkelakuan tanpa segan-silu, bergomol jantan betina,” dan
akibatnya, kedua-dua haiwan itu dijatuhi
hukuman yang dipatuhi oleh orang Islam.
Namun
begitu, kisah banjir besar, seperti yang dibahaskan oleh Ishaan Tharoor dalam Time
dalam talian, tidak bermula dengan Bible, sebaliknya bermula dalam peradaban
purba Mesopotamia. Tharoor merujuk Epic
of Gilgamesh yang lahir hampir 5000 tahun lalu dan difikirkan mungkin kisah
tertulis paling tua tentang planet ini.
Dalam epik itu diriwayatkan kisah pendeta agung, Utnapishtim, yang
memberikan amaran tentang banjir akan diturunkan tidak lama lagi oleh
tuhan-tuhan yang murka. Beliau membina
bot besar berbentuk bundar, diperteguh dengan tampalan tar dan gegala, yang
membawa saudara-maranya, bijian, dan haiwan.
Selepas beberapa hari bertahan daripada ribut taufan, Utnapishtim,
seperti Noah dalam Genesis, melepaskan burung
untuk mencari tanah yang kering.
Pelbagai
ahli arkeologi, seperti yang dipetik
oleh Tharoor, menyatakan bahawa wujud banjir besar bersejarah antara
5000 tahun hingga 7000 tahun lalu yang melanda tanah merangkumi kawasan dari
Laut Hitam ke yang banyak orang sebut sangga peradaban, iaitu dataran banjir di
antara Sungai Tigris dengan Sungai Eupharates. Mitos banjir
Mesopotamia itu dipercayai mendahului kisah Noah dalam Bible.
Walau
bagaimanapun, hujah Tharoor, kisah banjir berkembang daripada banyak
sumber. Budaya purba tidak terkira
banyaknya mempunyai legendanya sendiri tentang bencana air dan takhlisan
(salvation). Beliau memetik tradisi
Vedic yang mengisahkan ikan memberitahu Manu, raja India mitos bahawa
banjir akan memusnahkan manusia. Maka,
Manu membina kapal untuk dapat bertahan daripada hujan yang sangat lebat dan
kemudian dibawa ke puncak gunung oleh ikan yang sama. Tharoor
juga menyebut kisah banjir di Aztec,
dan pewujudan mitos dari Mesir ke
Scandinavia yang melibatkan gelombang banjir. “Mitos banjir terlalu universal
yang ahli psikoanalisis Hungary, Geza Roheim fikirkan bahawa mitos itu berasal
daripada psikologik dan bukannya sejarah, menghipotesiskan mimpi banjir datang
apabila manusia tertidur dengan pundi penuh.”
Dalam
“Flood Stories from Around the World,”
yang dapat diperoleh melalui laman Web, The Talk Origins Archive, Mark Isaak
menulis dalam pengenalan: “Kisah yang di bawah merupakan kisah banjir daripada
folklore dunia. Saya memasukkan kisah
jika (1) kisah itu kisah; (2) kisah itu folklore, dan bukannya laporan sejarah
atau fiksyen yang ditulis pengarang yang diketahui, dan (3) kisah melibatkan
banjir.” Kisah banjir yang beliau
senaraikan itu merangkumi wilayah Eropah, Timur Dekat, Australia, Kepulauan
Pasifik, Amerika Utara, Amerika Tengah, dan tidak ketinggalan Asia yang Benua-Jakun (Semenanjung Tanah Melayu) dan Kelantan turut
tersenarai. Menurut kisah Benua-Jakun,
tanah yang kita pijak adalah semata-mata kulit yang meliputi abis air atau
jurang air yang dalam. Lama dahulu,
Pirman, dewa, mengoyakkan kulit ini, maka berlaku banjir dan memusnahkan
dunia. Walau bagaimanapun, Pirman mencipta lelaki dan wanita dan menempatkan
mereka dalam kapal yang tertutup secara keseluruhan yang dibuat daripada kayu
pulai. Banjir di Kelantan pula
mengisahkan satu hari, perayaan diadakan
untuk bersunat dan ketika itu semua jenis binatang liar diadukan untuk berlawan
antara satu lain. Perlawanan terakhir
adalah antara anjing dengan kucing.
Ketika perlawanan itu berlangsung, banjir besar turun dari gunung,
menghanyutkan setiap orang, kecuali dua atau tiga orang gaji yang disuruh ke
bukit mencari kayu api.
Mengapakah
hampir setiap budaya mempunyai tradisi banjir global? Persoalan ini cuba dijelaskan oleh John D. Morris, dari Institute for
Creation Research (ICR), yang menegaskan bahawa satu keterangan paling kukuh
untuk banjir global yang memusnahkan semua manusia di Bumi ini, kecuali Noah dan keluarganya, ialah kehadiran yang sentiasa
ada legenda banjir dalam folklore
kumpulan orang dari seluruh dunia. Dan
kisah semuanya sangat sama. Geografi
tempatan dan aspek budaya mungkin ada, tetapi kisah itu semuanya seakan-akan
memberitahu kisah yang sama.
Morris
selama beberapa tahun mengumpulkan lebih 200 kisah banjir global, yang pada
asalnya dilaporkan oleh pelbagai mubaligh, ahli antropologi, dan ahli etnologi,
menegaskan walaupun perbezaan tidak selalunya remeh, inti pati lazim kisah itu
adalah penuh dengan maklumat: keluarga
diutamakan, mereka diberikan amaran terlebih awal, banjir berpunca daripada
kejahatan manusia, malapetaka hanya banjir, banjir adalah global, terselamat
kerana bot, haiwan juga diselamatkan, haiwan juga memainkan peranan, orang yang
selamat mendarat di gunung, geografi
tempatan, burung dihantar ke luar, pelangi disebut, orang yang selamat rela berkorban, dan secara
khususnya, lapan orang diselamatkan, yang dapat dijalinkan menjadi sebuah
kisah.
“Pastinya,
kisahnya kedengaran banyak persamaan dengan kisah banjir besar zaman Noah yang
disebut dalam Bible,” tulis Morris.
“Laporan yang paling serupa lazimnya daripada budaya Timur Tengah,
tetapi memeranjtkan legenda yang sama ditemui di Amerika Selatan dan Kepulauan
Pasifik dan tempat-tempat lain. Tidak
satu pun kisah ini mengandungi kecantikan, kejelasan, dan perincian yang boleh
dipercayai yang diberikan dalam Bible, tetapi setiap kisah itu penuh bermakna
kepada budaya mereka sendiri.”
Walau
bagaimanapun, Morris menjelaskan ahli antropologi akan memberitahu bahawa mitos
selalunya memori yang luntur tentang peristiwa sebenar. Perincian mungkin ditokoktambahkan, hilang,
atau dikaburkan dalam penceritaan demi penceritaan, tetapi inti kebenaran
kekal. “Apabila dua budaya yang
berasingan mempunyai ‘mitos’ yang sama dalam badan folklore, leluhur budaya itu
mesti mempunyai, sama ada mengalami peristiwa yang sama, ataupun kedua-dua budaya itu turun daripada sumber nenek moyang yang sama yang dengan
sendirinya mengalami peristiwa itu.”
Meskipun
dianggap mitos, wujud pengajaran yang berguna untuk generasi masa kini tatkala
dunia bergelut dengan pertembungan peradaban dan persengketaan kaum serta agama
yang berleluasa. Seperti yang ditegaskan
oleh Morris, “hanya cara yang boleh dipercayai untuk memahami legenda banjir
yang sama, yang tersebar luas adalah untuk mengakui bahawa semua orang yang
hidup hari ini, meskipun dipisahkan dari segi geografi, bahasa, dan budaya,
berasal daripada beberapa orang sebenar yang terselamat daripada banjir global
sebenar, menaiki bot sebenar yang akhirnya mendarat di gunung sebenar. Keturunan mereka kini memenuhi dunia, tidak
pernah melupakan peristiwa sebenar.”
Balik
kepada filem Noah yang juga diharamkan tayangannya di China atas alasan
agama, mendapat bantahan orang Islam
dan orang Kristian, menyaksikan penganut
kedua-dua agama ini “bersatu,” sesuatu
yang jarang-jarang berlaku. Beberapa
tahun lalu, orang Islam dan Yahudi di Jerman bersatu menentang rancangan
kerajaan negara itu mengharamkan amalan bersunat dalam kalangan
kanak-kanak. Bagi sebilangan orang
Kristian, kini baru mereka menyedari bahawa selain dalam Bible, kisah Nabi Nuh juga terkandung dalam al-Qur’an. Mereka
juga menyedari bahawa selain Nabi Muhammad SAW, orang Islam juga dikehendaki
mempercayai para rasul yang lain dan melindungi
para rasul daripada dipersendakan, seperti yang berlaku
dalam filem arahan Darren
Aronofksy itu.
Kisah
banjir menunjukkan bahawa budaya yang berbeza mempunyai mitos yang sama.
Dalam konteks yang lebih luas, apakah
banjir besar melahirkan budaya besar atau budaya agung?
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Budaya, Julai 2014.)
No comments:
Post a Comment