Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Ukraine terus bergolak. Persengketaan dalaman dan ancaman Rusia
menjadi-jadi. Selepas kehilangan
Semenanjung Crimea yang mengadakan pungutan
suara dengan berkeputusan kembali semula ke pangkuan Rusia, wilayah timur
pula bercadang untuk mengambil langkah yang sama. Kehilangan
Semenanjung Crimea sewajarnya menjadi tamparan terhadap rakyat Ukraine yang tidak
tahu menghargai “hidup aman,” iaitu gemar mengadakan tunjuk perasaan atau
protes jalanan. Tatkala Kiev bermuram
durja dan terpinga-pinga, Moscow melompat keriangan menerima kepulangan bekas
wilayahnya itu sambil bersiap sedia untuk menelan wilayah lain.
Seperti
yang dicatatkan oleh Manuela Hoelterhoff dalam Bloomberg News, Ukraine,
berlumuran darah. “Novel, drama, puisi, dan filem menyediakan jendela
untuk merenung sejarah tidak teratur dan kotor Ukraine tentang anjakan sempadan
dan perubahan dipertuan, yang mengeluarkan kesakitan maksimum daripada orang
yang tinggal di sana.”
Memang
bukan mudah untuk negara pelbagai bahasa, tulis R.L.G. dalam The Economist tentang konflik
bahasa. “Tidak lama selepas Presiden Viktor
Yanukovych digulingkan, kerajaan baru Ukraine melakukan kesilapan sukarela
memansuhkan undang-undang tahun 2012 yang memberikan status rasmi untuk bahasa
Rusia (bersama-sama bahasa Ukraine) di wilayah yang penutur bahasa Rusia yang
lebih banyak.”
Dengan
menggunakan helah Tsar Nicholas I, Presiden Vladimir Putin memberikan alasan untuk menceroboh Ukraine:
puak fasis berazam untuk menghapuskan semua susur-galur bahasa dan
budaya orang Rusia dari bumi Ukraine. Putin dikatakan mempunyai fantasi
Eurasia, walaupun dengan sikap agresif terhadap Ukraine itu orang Rusia dikatakan
memerlukan satu abad lagi sebelum bersedia menyertai peradaban Eropah.
Pada
tahun 1850-an, Crimea pernah terjebak ke
dalam kancah persengketaan antara dua kuasa besar di Timur Dekat, iaitu Rusia
dengan Empayar Ottoman. Tsar Nicholas I mendakwa hak untuk melindungi nyawa dan harta benda
orang Kristian Ortodoks yang di bumi Ottoman, termasuk mereka yang mengawal
laluan ke tanah suci Baitumuqqadis.
Sultan Ottoman, Abdülmecid I, menafikan bahawa orang Kristian Ortodoks
yang merupakan lebih satu pertiga rakyatnya,
terancam. Dakwaan Tsar itu,
menurut baginda adalah semata-mata helah untuk campur tangan hal ehwal dalam
negara baginda. Kegagalan diplomasi
untuk menyelesaikan pertikaian itu, tercetus Perang Crimea antara Rusia dengan
Ottoman yang dibantu oleh Britain, Perancis, dan Sardinia.
“Crimea
selalunya merupakan sebahagian penting Rusia dalam hati dan minda rakyat,” isytihar Presiden Putin ketika menyampaikan amanat dalam Dewan St. George di hadapan beratus-ratus orang anggota
Parlimen, gabenor, dan hadirin lain pada pertengahan Mac lalu. Tema ucapan pahlawan Perang Dingin itu ialah
memulihkan Rusia selepas zaman keaiban berikutan keruntuhan Kesatuan Soviet
yang beliau selalu sebut, “malapetaka geopolitik yang maha dahsyat pada abad
ke-20.”
Krisis
Ukraine seakan-akan mengheret Barat dan Timur ke dalam kancah Perang Dingin
baru, manakala Putin pula dilihat cuba mewujudkan Orde Baru Dunia. Walau bagaimanapun, Michael Hirsh, cuba
melihatnya dalam konteks yang berbeza, dengan membuka “kitab” Samuel Huntington: perjuangan global antara budaya, iaitu
“pertembungan peradaban,” akan menggantikan perpecahan ideologi antara Barat
dengan blok Soviet. Hirsh yang menulis
dalam National Journal, “Ukraine
and the Clash of Civilizations,” mencatatkan
bahawa tidak ada idea akademik yang lebih banyak dibahaskan dan lebih
banyak ditolak, sambil menambah krisis semasa di Ukraine, dan kebuntuan yang bukan mudah antara bahagian timur yang lebih pro-Rusia
dengan bahagian yang lebih dibaratkan, mengundang perhatian dan lebih
menggalakkan pada tesis Huntington, iaitu
antara Eurasia di timur dengan Kesatuan Eropah di barat Ukraine.
Huntington,
tegas Hirsh, silap kerana pertembungan
peradaban tidak berlaku, sebaliknya trend global kelihatan muncul integrasi
global, pertumpuan sistem ekonomi (kapitalisme) dan sistem demokrasi
(demokrasi) kelihatan bergerak seiringan dengan tesi “Pengakhiran Sejarah”
Francis Fukuyama. Akan tetapi, hujah
Hirsh, pertumpuan global akhir-akhir ini kelihatan terbantut berikutan
pendudukan Crimea yang sepatutnya dilihat sebagai sebahagian
usaha Putin untuk menghidupkan semula
budaya dan penguasaan politik Rusia dalam lingkungan bekas Soviet, biarpun
akhirnya beliau secara beransur-ansur menjadikan dirinya kuasi-tsar/pemerintah
gaya Soviet. “Kesatuan Ekonomi Eurasia,”
termasuk Rusia, Belarus, dan Kazakhstan berasaskan apa yang Putin sebut “nilai
terbaik Kesatuan Soviet,” mungkin mempunyai motif politik, tetapi lebih banyak
diwajarkan pada alasan budaya.
Pemimpin
Rusia itu dan puak konservatif yang mengelilingi beliau di Kremlin, menurut
Hirsh sudah lama berusaha untuk menggalakkan penyusunan semjula kuasa Rusia
berasaskan idea bahawa banyak negara ini dengan banyaknya penduduk bertutur
dalam bahasa Rusia, termasuk wilayah Ossetia Selatan dan Abkhazia yang berpisah
dari Georgia (kini, dikawal oleh Moscow), ialah sebahagian budaya Eurasia yang
tersendiri yang berbeza daripada Barat pada banyak tahap, termasuk dari segi
rohaniah. “Rusia berusaha untuk membawa balik idea perpaduan
kaum,” tulis Hirsh, “pandangan ini
berakar umbi dalam kepustakaan akademik,
yang diketengahkan dalam debat tentang konsep, seperti ‘Neo-Eurasianisme’ dan
‘Byzantisme,’ yang tema penyatuan menolak nilai Barat.”
“Anda
tidak boleh mempunyai banyak musuh pada sesuatu masa.” Nampaknya, pesan ini sedikit sebanyak
dipegang oleh Presiden Putin. Tatkala
Putin mengheret negaranya ke dalam kancah persengketaan dengan Barat, sama ada
di medan Perang Dingin baru ataupun pertembungan peradaban, hubungan negaranya
dengan dunia Islam adalah kritikal. Pendirian
Moscow terhadap perang saudara di Syria yang berlaku sejak lebih tiga tahun lalu memang jelas:
menolak campur tangan asing. Sementara di
peringkat dalaman, dapat dijangkakan bahawa Moscow
pastinya tidak sanggup melihat
kewujudan satu lagi Chechnya yang bersengketa dengan Rusia sejak pembubaran
Kesatuan Soviet.
Sebagai
imbas kembali, Rusia bersama-sama
Perancis dan Jerman bersepakat, sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah
Eropah tiga buah negara ini bersatu, menentang pencerobohan Amerika Syarikat
dan sekutunya terhadap Iraq. Dan,
sebagai imbas kembali, ketika
berlangsungnya sidang kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) di Kuala Lumpur pada tahun 2003,
Vladimir Putin diundang dan beliau menyampaikan ucapan. Antara lain, beliau menegaskan sebagai
penyertaan komuniti Islam yang besar di Rusia.
Komuniti, yang menurut beliau, tidak lagi mengasingkan diri mereka daripada
komuniti Islam antarabangsa, yang bersedia untuk penglibatan produktif dalam
kehidupan rohaniah, budaya, dan politik mereka.
Pengumuman
Crimea untuk mengadakan pungutan suara
yang keputusannya dapat dijangkakan, perhatian turut tertumpu pada orang Tatar. Puak
ini, iaitu kumpulan Islam dianggap menyukarkan Rusia mewujudkan kawalan terhadap
Crimea berbanding dengan Ossetia Selatan,
Abkhazia, dan Transnistria.
Daripada lebih dua juta orang
penduduk di wilayah itu, orang Tatar
berjumlah kira-kira 12 peratus. Secara tradisi, mereka pro-Ukraine, dan oleh
itu, mereka berhati-hati terhadap peluasan Rusia.
Tambahan pula, pengalaman pahit mereka
yang pernah diusir secara besar-besaran dari Crimea oleh Stalin
pada tahun 1944 kerana menyokong Nazi.
Apakah mimpi ngeri berulang lagi?
“Jika
masalah orang Tatar Crimea meledak,” tulis Andrew Wilson, “tiup balik terhadap
Moscow akan sangat besar.” Melalui
makalahnya yang diterbitkan dalam The Guardian pada awal Mac, Wilson
mengingatkan bahawa hubungan Rusia dengan Turki telah pun terancam. Reputasinya sebagai sahabat Islam di Timur
Tengah akan rosak. Rusia sendiri, tambah beliau, mempunyai berjuta-juta orang
Islam, yang majoritinya Sunah, termasuk
di Caucasus Utara. “Dari segi sejarah,
orang Tatar Crimea mempunyai hubungan rapat dengan orang Circassian, yang
diusir dari kawasan Sochi pada tahun 1864.
Dan satu alasan Putin beria-ia menyokong rejim Alawite Assad di Syria
melawan puak Sunah ialah ketakutan beliau terhadap kekacauan puan Sunah di
negaranya.”
Apabila
Presiden Putin mengisytiharkan pengilhakan Crimea dalam majlis yang dinyatakan sebelum ini, diperhatikan pada barisan ketiga, iaitu
di belakang perwakilan pro-Kremlin daripada komuniti Crimea Rusia dan anggota
Parlimen serta pegawai Rusia lain, duduk dua ulama Islam pangkat tinggi
Persekutuan Rusia. “Meskipun Putin dalam
ucapannya tidak menyebut Islam, kehadiran mereka dalam majlis tersebut diserlahkan
oleh serban dan jubah mereka di
tengah-tengah hadirin bersut hitam dan bertali leher, menghantar mesej yang
memang jelas,” tulis Robert D. Crews dalam Foreign Affairs. “Krisis
Crimea bukan sekadar hubungan Rusia dengan Barat, tetapi juga sangat banyak
peranan Islam di Rusia.”
Golongan
elit Islam Rusia, jelas Crews dalam “How Moscow is Trying to Integrate Crimean Muslims,” sejak sekian lama memainkan peranan dalam peluasan negara
Rusia. Pada waktu penting sejarah Rusia
dan Soviet, ulama Islam dari wilayah Volga memujuk penduduk Islam di sepanjang
sempadan selatan dan timur empayar menjadi rakyat tzar. Peluasan formal
lazimnya diikuti oleh gelombang saudagar Tatar yang berkembang maju di wilayah
yang baru digabungkan itu dan membantu mengintegrasikan orang Islam ke dalam rangkaian perdagangan empayar.
“Pada zaman Soviet, beberapa usaha yang diterajui oleh orang Tatar untuk
mewujudkan sintesis antara sosialisme dengan Islam, dan jambatan antara
U.S.S.R. dengan dunia Islam.”
Putin
nampaknya bertindak balas, memetik
Michael Hirsh sekali lagi, terhadap
“dasar Amerika Syarikat dan Barat sejak berakhinya Perang Dingin yang hanya
cenderung mengusik kebertahanan budaya (cultural defensiveness) dan nasionalisme Rusia.” Percaturan beliau setakat ini membayangkan bahawa pertembungan Rusia dan Islam pada satu pihak
dengan Barat pada satu pihak yang lain.
Terima
kasih Ukraine kerana membuka medan pertembungan ini!
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Budaya, Jun 2014.)
No comments:
Post a Comment