Artikel Popular

Friday, August 30, 2013

Kertas Terbakar, Kewartawanan Tercabar

JUMAAT, 30 Ogos 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Liputan yang sentiasa mendapat liputan dalam akhbar adalah tentang akhbar itu sendiri: tentang kemerosotan jumlah edaran dan sumbangan periklanan, tentang cabaran Internet terhadap akhbar, tentang plagiat dan penipuan editor dan wartawan,  tentang akhbar disaman oleh pihak tertentu, dan tentang penutupan sesebuah akhbar.    Akibat krisis kewangan 2008 – 2009, banyak akhbar di Amerika Syarikat yang terpaksa memfailkan kemuflisan di mahkamah, atau   beralih kepada penerbitan dalam talian. 
            Pastinya, yang paling menarik pendedahan oleh akhbar The Guardian pada awal Julai lalu tentang  penggodaman telefon yang dilakukan oleh  The News of the World   yang selepas itu mendapat liputan luas akhbar dan media lain yang seakan-akan mengheret Britain ke kancah skandal  Watergate.  Berikutan pendedahan skandal itu, empayar media Murdoch seakan-akan senasib dengan   Tembok Berlin: runtuh.  Dalam usaha mengawal tangkis kerosakan, mogul media, Rupert  Murdoch memaklumkan bahawa akhbar  berusia 168   ditutup, muncul dengan keluaran terakhir pada 10 Julai 2011, meninggalkan dua juta pembaca tanpa akhbar hari Ahad.  Keputusan penutupan itu dilihat sebagai mengorbankan akhbar semata-mata demi  menyelamatkan seorang wanita, iaitu Rebekah Brooks, Ketua Eksekutif News International, syarikat induk The News of the World.  Walau bagaimanapun, selepas 11 hari tekanan politik terhadap skandal penggodaman telefon itu,  pada 15 Julai lalu, Rebekah mengumumkan perletakan jawatannya atas alasan tidak mahu terus menerus  “menjadi sasaran debat.”  Antara respons terhadap pengumuman itu, “Rebekah pergi, tetapi persoalan masih kekal,” “dia menjadi sebahagian masalah dan bukannya penyelesaian.”  
            Segala-galanya bermula dengan pendedahan The Guardian bahawa Glenn Mulcaire, penyiasat bebas yang pernah bekerja dengan The News of The World menggodam telefon bimbit kepunyaan murid perempuan, Milly Dowler – ketika itu Rebekah mengedit akhbar itu. Milly hilang pada usia 13 tahun dalam perjalanan ke rumahnya di Walton-on-Thames pada 21 Mac 2002.  Hari-hari selepas kehilangannya, pesanan suara (voicemail messages) mula dipintas.  Pesanan lama dibuang untuk memberikan ruang kepada pesanan baru, mendorong sesetengah orang percaya bahawa gadis itu masih hidup.  Selepas itu, satu demi satu pendedahan tentang penggodaman telefon, termasuk terhadap doktor bekas Perdana Menteri, Gordon Brown, Putera Charles dan isterinya, dan Putera William.
Penggodaman telefon membawa kepada penyebaran skandal dan ledakan persoalan.  Organisasi media, dunia persuratkhabaran, dan profesionalisme kewartawanan  dihadapkan ke muka pengadilan yang amat perit yang menyaksikan pertembungan antara kebebasan dengan privasi. Atau dengan kata lain, kebebasan media mesti ditunjangi oleh hak dan tanggungjawab.  Timbalan Perdana Menteri Britain, Nick Clegg mentakrifkan prinsip  dalam bersuara  memerlukan “kebebasan, kebertanggungjawaban, dan kejamakan.”  Beliau mengesani keaiban The News of the World kepada secara fundamental, hubungan yang dirosakkan antara politik, media, dan polis.  
Bahkan, Perdana Menteri Britain, David Cameron turut “dibicarakan,” dan beliau terpaksa bersusah payah untuk menjauhkan dirinya daripada skandal penggodaman itu selepas beliau berhadapan dengan persoalan tentang keputusanya melantik Andy Coulson untuk  berkhidmat sebagai pengarah komunikasinya.  Coulson ialah  editor akhbar itu yang ketika dialah banyak penggodaman telefon berlaku, telah ditangkap oleh polis.  Cameron yang enggan memohon maaf atau mengakui kesilapan yang dilakukannya hanya mengakui, “hubungan antara ahli politik dengan media menjadi terlalu rapat.”
Skandal penggodaman telefon itu  dikatakan secara radikal mengubah tanggapan awam tentang bagaimana ahli politik bekerja, bahaya kuasa  korporat tunjukkan kepada demokrasi, dan pada takat yang polis Metropolitan sanggup bertolak ansur dan melakukan rasuah yang kini terbabit begitu jauh seakan-akan mereka bekerja untuk Murdoch.  Berikutan pendedahan itu, sesetengah pihak mempersoalkan peranan,  kebebasan, dan kebertanggungjawaban  akhbar. Skandal penggodaman telefon itu juga mendedahkan bahawa   penulis, kolumnis, dan penulis blog  hanyalah khadam yang bekerja untuk tuan mereka, iaitu ahli korporat. 
Namun, diakui mustahil bahawa hanya akhbar-akhbar milik News Corporation yang menggunakan kaedah pemberitaan yang tidak berprinsip.  Penyiasatan awam yang ditubuhkan segera akan pastinya mendedahkan contoh yang tidak menyenangkan yang lain.  “Kematian The News of the World,” Eric Pfanner dalam The New York Times, menggalakkan desakan untuk beberapa cara yang merisaukan, termasuk kawalan seterusnya terhadap wartawan British.  Menggodam telefon bimbit remaja yang dibunuh, adalah antara mangsa lain, tidak wajar, tidak beretika, dan salah dari segi undang-undang.”  Akan tetapi, dalam “The State of British Journalism” itu, Pfanner mengingatkan  bahawa Britain telah mempunyai beberapa  sekatan  yang sangat ketat terhadap media berita jika dibandingkan dengan mana-mana negara Barat,  termasuk undang-undang fitnah bertulis atau libel yang menggerunkan dan kanun  privasi tidak bertulis.  British tidak memerlukan peraturan yang lebih banyak terhadap media berita.  Yang diperlukan ialah memisahkan raja akhbar yang sangat berkuasa dan ahli politik daripada berkongsi katil  yang sama.
Melalui  “Phone Hacking: British Politics Bas Been Corrupted by a Cosy Camaraderie” yang diterbitkan dalam The Telegraph, Janet  Daley mengkritik hubungan akrab yang berlebih-lebihan antara akhbar yang mencemarkan budaya politik. Kebenaran menurut beliau, adalah bahawa untuk semua kekuatan yang berseteru dan bersifat penyiasatan yang banyak, kewartawanan politik British pada asasnya, kelab yang dianggotai oleh kedua-duanya, iaitu ahli politik dan wartawan. Wujud keakraban yang  mesra antara akhbar dengan golongan pemerintah di Britain yang sahabat-sahabat wartawan Amerikanya mendapati mengejutkan  - sesuatu yang tidak berlaku di negara mereka:  “Setiap orang di Britain tahu hal orang lain.”   Sebahagian tugas wartawan adalah untuk membawa ahli politik makan tengah hari secara tetap.  Sebaliknya, agak memeranjatkan walau bagaimana sekalipun pada amnya terbuka dan mesranya masyarakat Amerika, hubungan antara wartawan dengan ahli politik jauh lebih formal dan terlalu rasmi jika dibandingkan dengan mereka di Westminster.  “Sebagaimana begitu banyak lingkungan kehidupan di negara ini, iaitu dunia seni, bidang tertentu akademia dan golongan atasan profesion perundangan merupakan contoh yang terpancul dalam minda,” tegas Janet, “adalah mustahil sama sekali untuk hidup dalam kewartawanan politik sebagai orang luar.”
Oleh sebab pengaruh media terhadap politik dan masyarakat terlalu besar, Ed Miliband, pemimpin Parti Buruh, menggesa supaya empayar Murdoch mesti dihapuskan.  Dalam wawancara eksklusif dengan akhbar The Observer, beliau mendesak diwujudkan peraturan pemilikan media yang baru dengan mengatakan ketua News Corporation mempunyai kuasa yang terlalu banyak di United Kingdom.  Bagi beliau, peraturan pemilikan media semasa sudah ketinggalan zaman, menjelaskan peraturan itu sebagai “peraturan analog untuk zaman digital” tidak mengambil kira kemunculan digital massa dan penyiaran satelit.  Miliband berkata bahawa penghentian oleh News International dalam bidanya untuk BSkyB, perletakan jawatan ketua eksekutif, Rebekah Brooks, dan  penutupan The News of the World, tidak memadai untuk memulihkan kepercayaan dan menenangkan orang awam.


Simon Jenkins yang menulis  dalam guardian.co.uk sebaik-sebaik skandal itu terbongkar, “How News of the World Editors Lost Self-control – and All Respect for the Law,”  mengingatkan kesukaran dalam dunia persuratkhabaran sekarang.  “Mengedit akhar pada permulaan abad ke-21 merupakan tugas yang berat.  Konsep pengantaraan peristiwa dunia kepada kumpulan pembaca terpilih berkecai ke dalam dekad.  Pemberita, penulis, editor, dan pencetak berkelana ke sana ke mari, seperti mangsa letupan bom, diselubungi dalam gumpalan debu digital.  Profesion kewartawanan terhuyung-hayang ke sana sani, menyendal udara.  Tiada siapa yang benar-benar tahu apakah yang berlaku.”  Tambah beliau, pendedahan berterusan tentang amalan pemberitaan The News of the World menunjukkan bom itu adalah bunuh diri.  Para editor di akhbar yang sesuatu yang perlu ialah keazaman manusia kelihatan hilang semua hormat terhadap undang-undang, apatah lagi kawalan kendiri.  Menggodam telefon Milly Dowler merupakan sebahagian budaya gangguan yang dianggap untuk mengetahui tiada batasan.
Bagi Simon Jenkins, dunia persuratkhabaran kini dalam situasi yang cukup mencabar dan terancam  akibat kemaraan Internet dan media sosial,  seperti blog, Facebook, dan Twitter.  Berkembangnya rangkaian sosial meletakkan pencerobohan ini hampir-hampir tanpa batasan, tetapi juga mengambilnya melampaui skop akhbar yang banyak duit.  Keadaan ini menjadikan privasi peribadi, kerahsiaan kerajaan, dan kebijaksanaan umum terlalu rapuh yang kegasangan sebaik sahaja dibeli untuk harga akhbar boleh dipuaskan dengan percuma, dengan hanya mengklikkan tetikus.  Selera orang awam untuk perkara-perkara yang remeh tentang peribadi terbukti tidak akan kering-kering. Sementara itu, blog, Facebook, dan Twitter pada hakikatnya mustahil untuk menggunakan kawalan undang-undang, apatah lagi mengawas cita rasa atau etika. Beliau mengingatkan bahawa tekanan terhadap editor dan pemilik akhbar bukan hanya “kurang intelektual atau kurang canggih,” tetapi juga untuk meninggalkan semua rasa bersalah dan menahan diri yang mendalam. 
Penyebaran web menyebabkan media konvensional menjadi panik, tulis Jenkins.  “Bagi semua akhbar, skandal penggodaman telefon The News of the World  menjadi detik kebenaran.  Skandal ini menunjukkan bagaimana tekanan komersial daripada web dan dari dalam perbadanan besar memutarbelitkan etika.  Kewartawanan selalunya menguji sempadan pencerobohan penyiasatan, tetapi tidak boleh melanggar atau mencampuri proses undang-undang.”
Akhbar British dikatakan mewakili  yang paling baik dan yang teruk dalam kewartawanan penyiasatan, tidak dibimbangi oleh pihak berkuasa, nekad untuk mendapatkan kebenaran, tetapi mudah untuk mengelirukan keunggulan atau ideal pemberitaan dalam kepentingan awam dengan melaporkan segala-gala yang mungkin menjadi minat orang awam.  Kekeliruan itu bukan sahaja  merebak dalam media pasaran massa, tetapi juga mencemari kewartawanan terbitan lebar sehelai kerana akhbar bercetak terpaksa bertungkus-lumus kerana kemerosotan hasil periklanan berikutan kebangkitan revolusi digital.
Akhbar milik Murdoch, seperti yang diperhatikan  menjangkiti wacana awam.  Akhbar pesaing  terpaksa bersaing untuk tajuk berita yang penuh sensasi, untuk skandal palsu, untuk gosip selebriti yang direka-reka.  “Akan tetapi,” tulis Margaret Drabble dalam akhbar The Independent, “pastinya, orang awam berminat.  Orang awam, atau sesetengah orang awam, akan berduyun-duyun menghadiri upacara penggantungan, seperti yang mereka lakukan di Iran seandainya mereka mempunyai sedikit peluang.”  Akibatnya, tegas beliau, kewartawanan yang buruk menyingkirkan kewartawanan yang baik, dan orang awam dipaksa menyaksikan akhbar yang mulia secara tidak jujur mengelakkan daripada penafisan orang ramai yang berminda tinggi dengan melakukan ringkasan tentang cerita yang lebih memalukan daripada akhbar lain.
Tuduh menuduh berlaku dalam kalangan media sendiri. Akhbar The Guardian yang beria-ria benar mendedahkan skandal penggodaman telefon itu dilihat sebagai satu usaha untuk membangkitkan kebencian orang ramai terhadap Rupert Murdoch.  Selain akhbar berkenaan, saluran berita kabel,  BBC turut dianggap mengambil kesempatan  untuk membalas dendam terhadap empayar  Murdoch.  Seperti yang diketahui, Murdoch juga memiliki  Fox News yang tidak dapat tidak, merupakan   pesaing BBC.  Kuasa BBC dan kebencian dari segi sejarah terhadap empayar Murdoch, dikatakan adalah hanya satu aspek peperangan yang lebih besar yang kini melangkaui Atlantik, yang sasarannya bukan akhbar yang boleh secara sah, didakwa melakukan perbuatan yang tidak berhati perut, tetapi adalah terhadap Fox News.
Namun,  ada juga  yang menyanjung peranan  akhbar  kerana melalui akhbarlah penggodaman itu akhirnya diketahui umum.  Dalam hubungan ini, The Guardian sekali lagi mencipta nama dalam dunia kewartawanan kerana pada tahun lalu, akhbar itu bersama-sama beberapa akhbar lain, antaranya The New York Times,  bekerjasama dengan  WikiLeaks Julian Assange,   mendedahkan kabel diplomatik kedutaan Amerika Syarikat. Kini, The Guardian sekali lagi menjadi tumpuan cerita berita yang sangat penting, kedua-duanya dari segi isi dan bagaimana fungsi kewartawanan.  Tulis  Peter Osnosdan Clive Priddle dalam theatlantic.com, “How Britain’s Guardian is Making Journalism History,”  akhbar ini menerajui usaha untuk mendedahkan perbuatan membuka telefon dan skandal penggodaman data telefon.  Usaha itu berkemungkinan memberikan ancaman yang paling serius terhadap masa hadapan News International milik Rupert Murdoch dalam beberapa dekad kebangkitannya sebagai perusahaan berita yang paling berkuasa di Britain (di samping BBC), dan menjadi semakin jelas, sumber rasuah jenayah.

Akhbar datang, akhbar pergi, akhbar muncul, akhbar menghilang, tetapi para wartawan tetap memainkan peranan penting untuk mendedahkan sesuatu yang mungkin tidak diketahui oleh orang awam, atau mereka tidak mampu mendedahkannya sendiri.   Para wartawan sentiasa memberikan kesegaran terhadap dunia persuratkhabaran, meskipun ada kalanya tindakan mereka itu  melanggar undang-undang atau tidak beretika.  Apa yang berlaku dalam The News of the World yang kemudiannya  terbongkar atas daya usaha The Guardian bukan sekadar memperlihatkan betapa kuatnya kuasa akhbar, tetapi juga mempamerkan warna-warni dalam dunia persuratkhabaran.  Sebagaimana dalam kehidupan manusia, akhbar juga mempunyai asam garamnya yang kadangkala mengerikan, kadangkala menghiburkan, kadangkala menakutkan, kadangkala menyeronokkan.  Justeru,  hanya manusia yang dangkal dan jahil yang tergamak memboikot atau mengadakan upacara pembakaran akhbar, seperti yang berlaku di negara kita.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, Ogos 2011.)

Tuesday, August 20, 2013

Jimat Cermat Gagal

SELASA, 20  Ogos 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Tatkala  negara Eropah berlumba-lumba melaksanakan jimat cermat,  Pengerusi Rizab Persekutuan, Ben Bernanke memberitahu Kongres   bahawa jika langkah seperti itu turut dilaksanakan di negara mereka, nescaya membawa risiko yang terlalu tinggi kerana ekonomi Amerika Syarikat diancam kemelesetan. Dalam testimoni untuk Kongres   pada Julai tahun lalu itu,  beliau berkata bahawa Pentadbiran Obama sepatutnya melengah-lengahkan langkah untuk mengurangkan defisit belanjawan dengan memotong perbelanjaan atau menaikkan cukai.  Pendirian Bernanke yang menentang penjimatan fiskal  hingga pemulihan ekonomi dilihat berbeza dengan pendekatan yang diambil oleh Britain dan negara zon euro, yang mempercayai tindakan kerajaan untuk mengurangkan defisit belanjawan tidak boleh dilengah-lengahkan lagi.

            Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) juga mempunyai pendirian yang sama yang menasihati anggota negara kayanya bahawa sepatutnya mempertimbangkan penangguhan  penjimatan jika kelemahan terbaharu dalam aktiviti ekonomi masih wujud.  OECD turut menasihati United Kingdom supaya memikirkan semula langkah jimat cermat kerana negara itu, seperti yang berlaku pada awal September lalu, mencatatkan defisit perdagangan yang terburuk dalam barang dan perkhidmatan sebanyak 13.2 bilion paun. Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) ketika itu, Dominique Strauss-Kahn,  dalam ucapannya di Brookings Institution di Washington pada April tahun ini, tidak ketinggalan untuk memberikan amaran terhadap pemotongan belanjawan terlalu jauh dan mewujudkan pengangguran jangka panjang.  Bagi beliau,  pengetatan fiskal boleh merendahkan pertumbuhan dalam jangka pendek dan langkah ini, bahkan boleh meningkatkan pengangguran jangka panjang, mengubah kitaran menjadi masalah struktur.  Pokok pangkal adalah bahawa pelarasan fiskal mesti dilakukan dengan memberikan perhatian yang tajam terhadap pertumbuhan.  
            Ireland dikatakan anak yang menonjolkan diri untuk helang defisit, apabila negara lain masih berpeluk pada John Maynard Keynes, iaitu melaksanakan pakej rangsangan fiskal, negara itu dengan megah merangkul jimat cermat.  Kerajaan di Dublin mengumumkan  tiga belanjawan cantas dan bakar terhadap sektor awam dan hak kelayakan. Akibatnya, seperti yang dinyatakan oleh Larry Elliot dalam guardian.co.uk akhir September lalu, “pengangguran tiga kali ganda, penghijrahan bakat disambung semula, tetapi semuanya dianggap harga yang berbaloi dibayar.”   Elliot yang menyalahkan langkah jimat cermat yang sepatutnya diteladani oleh United Kingdom,  menambah,  “potongan belanjawan melemahkan keupayaan ekonomi untuk tumbuh.  Kerajaan Irish mahu mencantas defisit belanjawan negar itu daripada 12 peratus kepada kurang tiga peratus pada 2014, sesuatu yang sukar dicapai, bahkan jika ekonomi tumbuh dengan pesat.”
            Negara Eropah  beria-ia untuk melaksanakan jimat cermat yang boleh dikatakan mendahului negara lain di dunia, tetapi pelaksanaannya tidak berjalan lancar kerana mendapat tentangan daripada rakyat mereka,  khususnya para pekerja.  Pada akhir September 2010,  lebih 100,000  orang pekerja dari 30 buah negara  Eropah mengadakan protes antijimat cermat di hadapan bangunan Kesatuan Eropah, di Brussels,   menentang potongan perbelanjaan kerajaan, untuk menyatakan “tidak untuk jimat cermat.”  Tunjuk perasaan  juga berlaku di Sepanyol,  Greece, Portugal, Ireland, Slovenia, dan Lithuania.
            Kita memasuki Zaman Jimat Cermat.  Isytihar   Robert J. Samuelson dalam Newsweek pada Oktober lalu, “jimat cermat telah tiba di Eropah dan dalam perjalanan ke Amerika Syarikat.  Kerajaan seluruh Eropah memotong perbelanjaan sosial dan menaikkan cukai, atau berfikir-fikir untuk melakukannya.  Negara kebajikan dan pasaran bon bertembung, dan negara kebajikan sedang berundur.  Bahkan, negara kaya mendapati kos terlalu tinggi, tetapi jimat cermat yang dilaksanakan secara tiba-tiba boleh menghalang tercetusnya   krisis kewangan yang baru.”  Samuelson yang nampaknya mempertahankan langkah jimat cermat, berhujah bahawa “jimat cermat mengubah ekonomi dan politik.  Zaman Hak Kelayakan adalah tentang hadiah percuma; Zaman Jimat Cermat mengenai mengambil balik.  Zaman Hak Kelayakan adalah tentang memaksimumkan pertumbuhan ekonomi; Zaman Jimat Cermat adalah tentang meminimumkan kebalikan ekonomi.” 
       Beliau turut mengakui bahawa kerajaan terpaksa mengambil langkah tidak popular ini, iaitu memotong belanjawan dan menaikkan cukai:  “Kita perlu tidak mengancam pemulihan dengan mencatas defisit belanjawan serta-merta, tetapi kita perlu bertindak secara meyakinkan untuk mengawal defisit pada masa hadapan.  Jimat cermat tidak menyeronokkan, tetapi bagaimana sakit sekalipun, langkah itu masih merupakan separuh daripada kita.”
            Dasar jimat cermat secara salah menunjukkan bahawa perbelanjaan keperluan sosial merupakan faktor kerajaan bergelut dengan defisit belanjawan.  Jimat cermat didapati tidak perlu dari segi ekonomi, jimat cermat merupakan bencana dari segi ekonomi. Sejak pelaksanaannya, jimat cermat diperhatikan dengan penuh keraguan, dan bahkan dijangkakan menjejaskan pemulihan yang masih lemah.  Pasaran yang menuntut pelaksanaan jimat cermat mewujudkan dalam proses itu, hutang-deflasi, dan bersama-sama tercetus kekacauan sosial.  Untuk Eropah khususnya, rantau itu menjadi rantaian yang lemah dalam ekonomi global.  Dijangkakan fasa seterusnya krisis ekonomi dunia, euro akan sama ada mengukuhkan kedudukan ataupun runtuh. Sementara itu, potongan belanjawan pula gagal memujuk para pelabur ke negara yang akan mungkir terhadap hutang mereka.  
       Tatkala  Greece dan Ireland yang melaksanakan jimat cermat,  masih bergelut dengan krisis hutang yang membangkitkan persoalan antara kedua-dua negara itu, negara mana yang “menang” dalam perlumbaan kemungkiran, Portugal juga menyertai Mediterranean Club itu. Ketiga-tiga negara  didesak melaksanakan jimat cermat yang mencetuskan protes kerajaan dan mogok umum kerana tiga zon euro itu terpaksa mematuhi  terma pelan penyelamat mereka.   Portugal   melakukan apa-apa sahaja yang dituntut oleh helang fiskal, tetapi masih memohon pelan penyelamat, seperti yang diperhatikan oleh Benjamin Fox dalam New Statesman,  “How Austerity and the Financial Sector Broke Portugal.”  Selepas banyak minggu dan bulan yang menyeksakan, Portugal menjadi negara terkini mengaku kalah kepada pasaran kewangan dan terpaksa memohon pinjaman kecemasan daripada Kesatuan Eropah dan IMF.  Meskipun kononnya negara itu melakukannya apa yang pasaran beritahu dan meluluskan tiga belanjawan, Portugal masih mempunyai pemotongan kredit mereka.  “Tragedi Portugal,” tulis Fox, “adalah bahawa kerajaan melakukan apa yang diberitahu dan masih dikenakan hukuman.  Kerajaan mencatas perbelanjaan awam, upah, dan pencen demi menenangkan pasaran kewangan dan helang jimat cermat yang menguasai politik Eropah.”
      Pada akhir Mac lalu, Perdana Menteri Jose Socrates terpaksa meletakkan jawatan selepas gagal memperoleh sokongan Parlimen untuk pakej jimat cermat terbaharu, iaitu yang keempat dan paling keras yang dikemukakan oleh kerajaan minoriti dalam tempoh kurang setahun.  Walaupun kerajaan memberikan amaran bahawa penolakan pakej jimat cermat itu akan mengasak Portugal paling hampir untuk mencari pelan penyelamat, pihak pembangkang enggan menerima peningkatan cukai dan pemotongan perbelanjaan sosial yang seterusnya, dengan hujah bahawa langkah ini menyusahkan  angota yang paling mudah terjejas dalam masyarakat. 
       Dalam makalah itu juga Fox melihat Sepanyol yang tidak seperti Greece dan Ireland, mempunyai kewangan awam yang kukuh dan dalam beberapa tahun melaksanakan rancangan bersepadu untuk mengurangkan peminjaman kerajaan.  Masalah sistemik negara itu ialah kadar pengangguran yang tinggi, yang tertinggi di Kesatuan Eropah dan mencecah 40 peratus dalam kalangan mereka yang berusi 18 hingga 25 tahun.
       Dalam “Turbulence Ahead,” Joseph E.  Stiglitz yang menulis dalam Newsweek pada Januari tahun ini mengingatkan meskipun menurut angka, kemelesetan teruk telah pun berlalu, tiada pemulihan yang boleh dinyatakan benar-benar berlaku tanpa mengurangkan kadar pengangguran. Para pemimpin ekonomi menerima pakai misi jimat cermat yang tidak bijak, dan bukannya memastikan orang ramai bekerja semula.  Wang tunai rangsangan di Eropah dan Amerika kini semakin kabur, sedangkan  pemulihan yang benar-benar kuat tidak berlaku.  Mengingatkan pengalaman sebelum ini, beliau berhujah, “daripada Presiden Hoover semasa Kemelesetan Besar kepada respons global terhadap krisis Asia Timur akhir tahun 1990-an, memang jelas bahawa pemotongan perbelanjaan kerajaan melemahkan ekonomi dan bukannya mengurangkan rasa tidak senang. Tindakan mencatas perbelanjaan memincangkan pertumbuhan ekonomi; kita menyaksikan kesannya di Ireland, Greece, dan negara lain yang terletak pada barisan depan.” Stiglitz mengemukakan andaian mudah yang masuk akal tentang kitaran yang berlaku berikutan pemotongan:  “Mereka yang tidak bekerja untuk tempoh yang berpanjangan melihat akaun simpanan mereka terjejas dan kemahiran mereka lemah.  Kurang perbelanjaan bermakna ekonomi lebih perlahan.  Pertumbuhan yang anemia meneruskan kepincangan kedudukan fiskal negara, mendorong lebih banyak pemotongan.”
            Sebelum ini, dalam “Alternatives to Austerity” yang diterbitkan dalam guardian.co.uk pada awal  Disember 2010, Stiglitz memerhatikan bahawa akibat kemelesetan yang teruk, negara terjebak dalam defisit masa aman yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan meningkatkan kebimbangan tentang hutang negara mereka yang membesar.  Di banyak negara, keadaan ini membawa kepada pusingan baru jimat cermat, iaitu dasar yang tentunya mengheret ekonomi negara dan global menjadi semakin lemah dan keadaan yang lembap yang jelas dalam rentak pemulihan.
            Kerajaan Eropah, tegas Stiglitz semasa berucap di Copenhagen pada Mei lalu, seperti yang dipetik oleh Bloomberg Businessweek, dicengkam erat oleh “fetisyisme defisit.  Bagi beliau, langkah jimat cermat “tidak berfungsi” dan mencegah negara daripada mewujudkan pekerjaan untuk  menjanakan pertumbuhan ekonomi dan.  Jimat cermat merupakan eksperimen yang telah dicuba sebelum ini dengan hasil yang sama.  Memotong belanjawan dalam kitaran pertumbuhan rendah membawa kepada pengangguran yang tinggi dan menghalang pemulihan. 
       Jimat cermat, meminjam Paul Krugman, delusi atau penipuan diri sendiri.  Melihat apa yang berlaku pada  Portugal, Ireland, dan Britain, beliau yang menulis dalam The New York Times, “semua peristiwa ini sama, iaitu bukti bahawa mencatas perbelanjaan ketika pengangguran yang tinggi adalah silap.”  Para penyokong jimat cermat meramalkan bahawa pemotongan perbelanjaan akan membuahkan hasil yang cepat dalam bentuk keyakinan yang meningkat, dan bahawa sebilangan kecil kesan yang tidak menyenangkan jika ada, terhadap pertumbuhan dan pekerjaan.  “Akan tetapi,” isytihar Krugman, “mereka silap.”  Sepatutnya tegas beliau, wujudkan pekerjaan sekarang, tangani defisit kemudian merupakan strategi yang betul.  Malangnya, strategi itu ditinggalkan di muka risiko khayalan dan harapan delusi.  “Dari satu segi, kita secara konstan diberitahu bahawa jika tidak mencatas perbelanjaan segera kita akan hanya menerima nasib seperti Greece, tidak mampu meminjam, kecuali pada kadar faedah yang sangat tinggi.  Dari satu segi yang lain, kita diberitahu jangan bimbang tentang impak pemotongn perbelanjaan terhadap pekerjaan kerana jimat cermat fiskal akan biasanya mewujudkan pekerjaan dengan menaikkan keyakinan.”

        Pastinya, ada yang tidak sealiran dengan Paul Krugman, seperti yang dapat dilihat dalam tulisan Niall Ferguson, “Austerity Works” yang diterbitkan dalam Newsweek. Memang benar bahawa ekonomi Greece, Ireland, dan Portugal, iaitu tiga negara yang komited terhadap program jimat cermat sebagai syarat untuk pelan penyelamat Kesatuan Eropah dan IMF, merosot sepanjang tahun lalu.  Kadar pengangguran di atas 10 peratus di ketiga-tiga negara itu.  Sementara itu, ekonomi United Kingdom tumbuh dengan perlahan.  “Akan tetapi,” bahas Ferguson, “untuk membuat kesimpulan daripada keadaan ini bahawa Amerika Syarikat boleh menangguhkan percubaan serius terhadap penstabilan fiskal adalah silap sama sekali, dan membawa bahaya yang semakin dalam.”  

        Dengan menyindir beliau menambah, “anggota kelab Deficits Forever ialah orang yang malas dari segi intelektual apabila mereka menegaskan bahawa ekonomi United Kingdom tumbuh dengan perlahan kerana jimat cermat tidak berfungsi, bermakna bahawa perkara akan menjadi lebih baik seandainya perbelanjaan mengikut nafsu diteruskan.  Mungkin.  Akan tetapi, mungkin tidak.  Ahli politik yang bertanggungjawab tidak akan mengambil risiko kerana kos melakukan kesilapan adalah terlalu tinggi.  Sekadar tanya orang Greece.

Meskipun langkah  jimat cermat mencetuskan perdebatan yang hangat, setakat ini, langkah tersebut, boleh dikatakan gagal.  Dasar ekonomi kini jelas dipacu oleh idea bahawa jimat cermat bagus, tetapi seperti yang diperhatikan,  masalahnya tidak ada satu pun usul yang menyokong jimat cermat adalah benar. 

Melampaui jimat cermat, sebenarnya langkah itu merupakan usaha puak neoliberal untuk kembali semula, selepas terpaksa berundur seketika, terutamanya akibat tercetusnya krisis kewangan dan kemelesetan terbaharu yang menyaksikan fundamentalisme pasaran tumpas. Puak neoliberal mendakwa bahawa seperti isi rumah, kerajaan mesti hidup mengikut kemampuan mereka. Jika dahulu, iaitu pada tahun 1973 mereka menggunakan Chile untuk tapak eksprimen mereka, kali ini mereka memilih Eropah, dan sekali gus cuba  menghidupkan semula slogan Margaret Thatcher, iaitu “tiada alternatif.”  
        (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Ogos 2011.)


Friday, August 16, 2013

Seks dan Wang

JUMAAT, 16  Ogos 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Baik melalui rangkaian sosial, seperti Facebook, mahupun pada tembok atau poster, pastinya kita sering terpandang iklan tentang "ubat kuat lelaki."  Dengan menggunakan ubat atau petua yang dicadangkan itu, "kekuatan" lelaki terjamin dan wanita "naik stim."

Bagi pasangan suami isteri yang "galak" bersetubuh, anda tidak sepatutnya berasa malu.  Hal ini demikian kerana selain memenuhi keinginan dan keperluan naluri membara anda, kajian yang dipetik secara meluas, antara oleh  CBS News dan  The Huffington Post, yang mendapati bahawa orang yang mengadakan hubungan seks sekurang-kurangnya empat kali seminggu mampu menghasilkan banyak wang.

Kajian selama setahun yang melibatkan 7500 isi rumah Greece, antaranya menanyakan responden berapa kali mereka mengadakan hubungan seks dalam seminggu, sama ada mereka bekerja, berapa banyak wang yang mereka hasilkan, dan berapa jam seminggu mereka bekerja.  Kajian itu mendapati bahawa dua  faktor salilng berkait.  Orang yang kerap mengadakan hubungan seks cenderung menjadi gembira, mempunyai harga diri yang tinggi, keupayaan taakulan yang lebih baik, dan kurang kemungkinan mengalami kemurungan.  Penyelidikan lain mendapati bahawa pekerja yang mempunyai masalah kesihatan cenderung menghasilkan kurang wang kerana produktiviti yang terhad dan dalam sesetengah keadaan, diskriminasi.

Ringkasnya:  Lebih banyak hubungan seks menjadikan anda sihat dan gembira.  Dan orang sihat dan gembira cenderung menghasilkan lebih banyak wang.

Sememangnya, ada kebaikannya kerap mengadakan hubungan seks, tetapi pastikan dengan pasangan masing-masing, dan bukannya dengan sembarangan, seperti yang dilakukan oleh guru wanita di Amerika Syarikat dan sewenang-wenangnya, seperti yang berlaku dalam kalangan remaja di Denmark.

Mampukah anda mengadakan hubungan seks sekerap yang dicadangkan itu?  Tepuk dada tanya selera!


Baik Buruk Facebook

JUMAAT,  16 Ogos 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pada akhir tahun lalu, Facebook dilaporkan  mempunyai akaun yang mencecah satu bilion, tidak termasuk akaun palsu.  Hal ini memnbayangkan bahawa mempunyai akaun media sosial itu suatu kemestian dan penggunaannya menjadi sebahagian budaya masyarakat.  Tidak kurang juga para pengguna yang seakan-akan ketagih dengan Facebook.  Kebaikan dan keburukan Facebook turut dibincangkan, yang ada kalanya berdasarkan kajian.

Melalui makalahnya dalam The Atlantic, James Hamblin, berhujah bahawa Facebook bukan sekadar kegembiraan dan meragui bahawa media sosial ini menyebabkan penggunanya berasa kesepian, atau kurang gembira.  Beliau mengingatkan bahawa seseorang itu menggunakan media sosial bukan untuk mencari kegembiraan, tetapi untuk berhubung antara satu sama lain.

Dalam pada itu, daripada kajian yang dipetik oleh The Economist, rangkaian sosial, termasuk Facebook, menjadikan orang lebih sengsara.  Sebelum ini, kajian mendapati bahawa penggunaan Facebook berkait dengan rasa cemburu, ketegangan sosial, pengasingan, dan kemurungan. Kajian terbaharu pula menunjukkan bahawa pengguna Facebook berasa kurang puas hati dengan kehidupan mereka.  

Kajian yang turut dipetik oleh The Independentmendapati bahawa meskipun pengguna Facebook saling berhubung antara satu sama lain, tidak bermakna bahawa mereka berasa gembira.  Penggunaan secara tetap rangkaian sosial ini dijangkakan membawa kemerosotan dari segi kesejahteraan pengguna. 

Kajian itu juga mendapati bahawa Facebook mempunyai kesan psikologi negatif dalam erti kata penggunanya berasa bimbang dan kesepian. Kajian yang turut dipetik oleh Time, mendapati bahawa Facebook mempunyai dua wajah:  Kita menggemarinya, tetapi tidak menjadikan  kita berasa gembira. 

Sebagai pengguna Facebook, pastinya anda mempunyai pengalaman dan jawapan yang tersendiri!  

Wednesday, August 14, 2013

Sejarah Budaya Tetek

RABU,  14  Ogos  2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Tetek boleh dikatakan menjadi sebutan dan perhatian setiap orang, manakala bagi kebanyakan wanita, tetek diibaratkan "mahkota" mereka. Dalam kalangan selebriti pula, terutamanya seniwati Hollywood, selain paras rupa, tetek juga mereka "pelihara" dengan rapi. Tanpa tetek seolah-olahnya kehidupan seks menjadi "gersang."

Seperti yang dicatatkan dalam The Huffington Post, tetek  diraikan dalam seni, sastera, dan dalam kehidupan harian.  Kita mempunyai beratus-ratus perkataan untuk menjelaskan perihal tetek; orang menggubah lagu tentang tetek. 

Tetek, seperti yang dibahaskan oleh  Tracy Clark-Flory,  mempunyai sejarah budaya, meskipun manusia belum dapat menjelaskan mengapa wanita mengubah suai tetek mereka, dengan implan tetek kini semakin popular.  Tracy yang memuatkan  wawancaranya dengan Florence Williams bahawa banyak lelaki benar-benar tertarik pada tetek, tetapi hal ini tidak menjelaskan bahawa daya tarikan tersebut datang kemudian atau merupakan sekunder, tidak dapat dibuktikan sepenuhnya bahawa semua lelaki dalam semua silang budaya setiap masa "tergila-gila" dengan tetek.  

Dalam wawancara itu, Florence menegaskan bahawa Hollywood dan pembedahan plastik ingin kita mempercayai bahawa tetek bersaiz besar diutamakan secara sejagat, tetapi masih belum dapat dbuktikan kesahihannya.  Wujud lelaki yang sukakan tetek bersaiz kecil atau sederhana, dan wujud sesetengah lelaki yang kelihatan tidak mempunyai minat khusus terhadap tetek.



Monday, August 12, 2013

George Orwell, "Kacau-bilau Politik Berkait dengan Kemerosotan Bahasa"

ISNIN,  12  Ogos 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH





Sesungguhnya, seseorang itu tidak perlu pergi jauh untuk melihat kebenaran kata-kata Orwell, sebaliknya memadai dengan melihat apa-apa yang berlaku di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan, atau lebih khusus, sejak tahun 1998.  Kacau-bilau politik yang tidak menampakkan tanda untuk reda dirumitkan lagi dengan jenayah yang semakin meningkat, dengan kejadian tembak bermaharajalela: menandakan runtuhnya undang-undang dan perintah.

Sebab-musabab politik yang kacau-bilau dapat dikaitkan dengan kemerosotan bahasa Melayu, bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara Malaysia yang merdeka.  Kemerosotan ini dapat dikesan, iaitu berlaku  sejak awal tahun 1990-an, dan diperburukkan lagi dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). 

Malangnya, tidak ada pemimpin negara dan pemimpin politik Melayu terutamanya, melihat hubung kait yang pernah dibangkitkan oleh George Orwell itu.  Seseorang pastinya dapat mengagak mengapa para pemimpin berkenaan mengambil pendirian "membisu" terhadap  isu dan masalah yang berkait dengan kemerosotan bahasa Melayu yang boleh dikatakan pada tahap "hidup segan mati tak mahu."


Saturday, August 3, 2013

Berita Baik dalam Pasaran Buruh AS?

SABTU,  3  Ogos 2013
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH




Laporan terbaharu tentang pekerjaan di Amerika Syarikat menunjukkan kadar pengangguran pada Julai  jatuh kepada 7.4 peratus dan menambah 162,000 pekerjaan.  Jumlah pekerjaan kurang daripada jangkaan ahli ekonomi yang menganggarkan 184,000 pekerjaan pada bulan berkenaan.  Sementara kadar penganggguran yang baru itu adalah yang terendah dalam masa empat tahun, iaitu sejak akhir 2008.

Dengan kadar itu, diperhatikan bahawa gambaran pekerjaan bertambah baik secara perlahan-lahan.  Berdasarkan struktur umur penduduk sekarang, Gary Burtless menganggarkan pekerjaan di Amerika Syarikat memerlukan kira-kira 7.2 juta pekerjaan lebih tinggi untuk kembali semula kepada guna tenaga penuh. Pada kadar  sederhana semasa pertumbuhan pekerjaan, negara itu memerlukan masa lima atau enam tahun lagi untuk mencapai matlamat tersebut. Selain itu, meskipun kadar pengangguran jatuh, pemulihan masa depan Amerika Syarikat masih perlahan.

Adakah ini membawa berita baik dalam pasaran buruh Amerika Syarikat, seperti yang dipersoalkan oleh Matthew O'Brien apabila kadar pengangguran jatuh kepada 7.4 Julai daripada 7.6 peratus Jun. Berita baik, hujah beliau, ialah pengangguran jangka panjang jatuh daripada 5.1 juta kepada 4.2 juta pada tahun lalu.  Namun, hujah beliau, ekonomi hanya menambah 1.6 juta pekerjaan penuh masa dan 300,000 pekerjaan sepanjang tempoh itu.


Thursday, August 1, 2013

Mendaulatkan Bahasa: Belajar dengan Quebec

KHAMIS, 1 Ogos 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Tidak seperti wilayah-wilayah lain di Kanada, Quebec satu-satunya wilayah yang sejumlah besar penduduknya menggunakan bahasa Perancis.  Dan, Quebec bukan sekadar menggunakan bahasa Perancis, tetapi juga mendaulatkan bahasa itu tanpa sebarang tolak ansur. Daripada menu makanan kepada nama syarikat, pastikan tidak berbau bahasa lain, seperti bahasa Italy dan bahasa Inggeris.

Bahkan, Bouton, iaitu burung kakak tua yang bertutur dalam bahasa Inggeris di Montreal Biodome, Quebec, dihantar pulang ke Toronto berikutan lawatan mengejut ke zoo itu oleh wakil Office québecoise de la langue française (OQLF), badan yang dipertanggungjawabkan memastikan keagungan bahasa Perancis di Quebec. Kisah itu yang diterbitkan dalam majalah Beaverton, menjadi olok-olokan, tetapi sikap tidak tolak ansur Quebec terhadap bahasa rasmi wilayah itu memang sentiasa benar.

Selain itu, seperti yang dilaporkan dalam The Economist, permohonan Xavier Menard untuk menyenaraikan firmanya dengan pendaftar syarikat di wilayah itu, ditolak.  Alasannya, nama syarikat itu terlalu berbunyi bahasa Inggeris.  

Kesusahan yang dialami oleh Menard, menurut majalah itu, bukannya peristiwa yang terasing.  Quebec mempunyai undang-undang bahasa yang ketat, dikuatkuasakan dengan penuh berani oleh OQLF.  Satu statut  menjadikan  Perancis "bahasa normal dan setiap hari kerja, arahan, komunikasi, perdagangan, dan perniagaan."  Statut itu juga membenarkan OQLF "bertindak mengikut daya usahanya sendiri atau berikutan adanya aduan yang dikemukakan."

Jika dibandingkan dengan di Malaysia, tindakan pihak berkuasa, iaitu OQLF di Quebec dalam mendaulatkan bahasa, terlalu berbeza, boleh diibaratkan "antara langit dengan bumi."

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...