Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton,
semasa melawat Mesir pada pertengahan Julai lalu, mengingatkan tentera supaya
kembali kepada peranan keselamatan negara sambil menegaskan bahawa Amerika
Syarikat menyokong pewujudan sepenuhnya pemerintahan demokratik di negara itu.
Tentera
yang merupakan tonggak kuasa selama enam dekad, bertindak mengehadkan kuasa
presiden awam yang baru, Mohamed Morsi, biarpun para pengundi memilih beliau,
manakala memperkukuh autoriti mereka sendiri dalam dekri perlembagaan. Para jeneral juga membubarkan Parlimen yang
dikuasai oleh Ukhwanul Muslimin (Muslim Brotherhood) atas alasan perintah
mahkamah yang menganggap peraturan pemilihan tidak mengikut perlembagaan. Walau bagaimanapun, Morsi yang mencabar keputusan itu sebaik-baik
beliau dipilih sebagai presiden, mengeluarkan dekri mengarahkan Parlimen yang dibubarkan itu meneruskan
semula aktiviti perundangan, mencetuskan
ketegangan dalam perebutan kuasa.
Siaran akhbar daripada anggota Parlimen,
Mohamed Anwar Sadat menegaskan bahawa “keputusan untuk membuka semula Parlimen
adalah sah, kecuali keputusan itu bercanggah dengan undang-undang.” Namun, sukar untuk mengetahui apakah
undang-undang yang wujud di Mesir sekarang.
Sementara Ukhwanul Muslimin berasa keliru dengan arahan Morsi itu, lagipun
mereka belum bersedia untuk bergelut sekali lagi Majlis Tertinggi Angkatan
Tentera (SCAF). Dekri Morsi itu, walau
bagaimanapun, dibatalkan oleh mahkamah tinggi Mesir.
Setelah
500 hari tumbangnya Presiden Hosni Mubarak, maka pada 24 Jun lalu, Mesir
mempunyai pemimpin baru, iaitu Mohamed Morsi daripada Ikhwanul Muslimin. “Rakyat Mesir akan memberikan peluang untuk
Morsi mencuba,” tulis Ahdaf Soueif dalam guardian.co.uk,
“Morsi tahu lebih separuh penyokong
adalah percubaan terakhir secara nekad untuk menyekat rejim memperoleh kuasa
semula. Beliau juga mengetahui bahawa
tujuh juta orang (undi tambahan) yang
terdorong untuk mengundi Jeneral Ahmed Shafiq kerana mereka takut atau
sekurang-kurangnya tidak sukar apa yang
mereka bayangkan Ukhwanul Muslimin akan
lakukan jika mereka berkuasa.” Hari-hari
awal kepresidenan Morsi berlalu dengan aman, ketegangan diredakan.
Minggu-minggu
yang mendahului kemenangan Morsi dikatakan sarat dengan kehampaan. Jauh daripada menjadi simbol harapan,
Pemberontakan Arab tiba-tiba dirasakan seakan-akan petanda buruk. Seperti yang diperhatikan wujud kempen media
menyasarkan kuasa revolusioner, terutamanya Ukhwanul Muslimin, perpecahan dalam
barisan revolusioner, dan pergaduhan dalam kalangan orang awam. Namun, dengan perisytiharan Morsi sebagai
presiden, maka dikatakan, ini bermaksud revolusi Mesir kini mempunyai tiga
tonggak, iaitu presiden, Parlimen, dan dataran.
Parlimen dan presiden sejajar dengan kesahan pilihan raya demokratik,
manakala dataran mempunyai kesahan revolusionernya sendiri.
Sebelum keputusan pilihan raya presiden itu
diumumkan, wujud spekulasi bahawa tentera Mesir menang sekali lagi. Bahkan, Time
dalam keluaran 9 Julai dengan kulit depannya “The Revolution that Wasn’t”
mempersoalkan mengapa para jeneral Mesir merupakan pemerintah yang sebenar,
meskipun Morsi dipilih secara sah sebagai presiden. Sehari selepas Ukhwanul
Muslim mengadakan pertunjukan bunga api sebagai meraikan kemenangan presiden
yang cukup bersejarah, menurut Jay Newton-Small dan Abigail Hauslohner yang
menulis rencana utama, Mejar Jeneral
Mohamed Said al-Assar, salah seorang anggota SCAF, yang secara rasmi memerintah
Mesir selama 16 bulan, menyatakan dengan bangga mereka tidak kalah. “Kini, kita
mempunyai presiden baru yang dipilih, justeru,
ini pencapaian yang sangat besar untuk SCAF.” Selain menyatakan bahawa mereka dengan
sukarela menyerahkan kepada Morsi, mereka menegaskan bahawa “mereka
menyelamatkan revolusi.”
Selain
pembubaran Parlimen, sebaik-baik pilihan raya presiden ditutup, SCAF
mengeluarkan perintah mengehadkan kuasa presiden. Morsi tidak benar-benar mengawal belanjawan
dan tidak ada peranan muktamad dalam dasar luar, pertahanan atau hal-hal
keselamatan negara. Bahkan, beliau tidak
mempunyai status simbolik panglima besar angkatan tentera. Dari segi perintah,
junta mengekalkan kuasa itu untuk diri mereka sendiri dengan alasan untuk “mengekalkan
Mesir dalam tangan yang selamat.”
Newton-Small
dan Hauslohner yang memetik Joshua Stacher, ahli sains politik dan pakar Mesir
di Kent State University bahawa dengan membenarkan Morsi menang menyebabkan
beliau dan Ukhwanul Muslimin “tumpuan utama untuk tanggungjawab apa-apa jua masalah struktur yang berterusan,
seperti ekonomi, pelancongan yang tidak dapat diselesaikan. SCAF menganjakkan semua tanggungjawab kepada
kerajaan yang dipilih itu.” Morsi dan
Ukhwanul Muslimin amat menyedari keterbatasan kuasa presiden dan memerlukan perjuangan yang berpanjangan
untuk pemerintahan awam.
Keadaan dirumitkan lagi oleh saiz mandat yang diterima
oleh Morsi , iaitu hanya lebih separuh undi daripada jumlah kurang separuh
orang yang keluar mengundi. Keberangan terhadap Ukhwanul Muslimin diluahkan
semasa Hillary Clinton melawat negara
itu mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin masyarakat sivil dan aktivis,
di samping beberapa orang yang enggan menemui beliau. Amerika Syarikat didakwa menyokong rejim
autoritarian Hosni Mubarak, kini menyokong Islamis, Ukhwanul Muslimin. Mereka berasa bimbang dan marah apabila pihak
Amerika merestui Islam politik di Mesir.
Puak minoriti Kristian Mesir yang kebanyakannya golongan sekular, dikatakan
semakin lantang melahirkan ketakutan mereka terhadap kebangkitan Islamis sejak
pemilihan calon Ukhwanul Muslimin, Mohamed Mursi sebagai presiden.
Majalah Time
didapati beberapa kali menerbitkan rencana utama tentang revolusi
Mesir, yang berbaloi untuk diberikan sorotan ringkas di sini. Dalam keluaran 18 April 2011, kulit depan
majalah itu muncul dengan “Egypt’s Unfinished Revolution” yang menggambarkan
bahawa dua bulan selepas Dataran Tahrir, golongan demokrat dan puak demagog
bersengketa untuk menentukan masa depan negara itu. Ketika itu para jeneral kelihatan lebih
berkuasa. Tentera diperhatikan tidak
berminat menyerahkan cara hidup lama
mereka, iaitu kepentingan perniagaan mereka, daripada kilang pakaian kepada
loji baja yang bernilai berbilion-bilion dolar. Dalam tempoh dua bulan itu,
tentera menangkap beribu-ribu orang, banyak daripada mereka penunjuk perasaan
atau pembantah yang mempersoalkan tindak-tanduk tentera, termasuk cadangan SCAF
untuk mengharamkan tunjuk perasaan.
Walau bagaimanapun, banyak orang biasa Mesir memandang lelaki yang
berpakaian seragam dengan rasa hormat yang tinggi dan yakin bahawa mereka akan
kembali ke berek mereka sebaik-baik sahaja kerajaan awam terbentuk.
Seterusny, a dalam keluaran 5 Disember
2011, majalah muncul dengan kulit depannya, “Revolution Redux” mengingatkan
bahawa berbulan-bulan selepas Hosni Mubarak digulingkan, rakyat Mesir memberontak menentang
pemerintahan tentera, membangkitkan persoalan, “Adakah pilihan raya bebas dan
janji Pemberontakan Arab berhadapan dengan risiko?” Banyak rakyat Mesir berasa kecewa akan
pemberontakan yang belum selesai sehingga mendorong mereka turun ke jalanan
semula untuk membantah pemerintah tentera mereka. Meskipun menjanjikan
demokrasi, SCAF pada hakikatnya memulihkan kestabilan autoritarian.
Pada pertengahan Mei lalu, Francis Fukuyama
menulis dalam The Daily Beast tentang
kegagalan generasi Facebook dalam Pemberontakan Arab untuk membawa perubahan
politik yang berpanjangan, atau secara khusus, kegagalan golongan liberal
memanfaatkan revolusi yang menumbangkan rejim. Revolusi Dataran Tahrir pada awal tahun lalu,
hujah Fukuyama, diperkasa oleh orang muda yang marah, iaitu kelas menengah
Mesir yang menggunakan media sosial, seperti Facebook dan Twitter untuk
mengatur protes mereka, menyebarkan perkataan kekejaman rejim, dan membina
sokongan untuk Mesir yang demokratik.
Ketika itu, banyak percakapan tentang bagaimana teknologi memperkasa
demokrasi dan memaksa membuka masyarakat tertutup yang tidak dapat mencegah
aliran maklumat. Meskipun kumpulan
aktivis muda masih dapat digembleng
untuk protes jalanan, beliau menyalahkan golongan liberal Mesir itu sendiri
yang mampu mengatur protes dan mengadakan demonstrasi, dan bertindak dengan
begitu berani untuk mencabar rejim lama.
“Akan tetapi,” hujah Fukuyama, “mereka
tidak boleh hanya menyokong seorang calon, dan kemudian terlibat dalam kerja
yang perlahan, membosankan, yang
mengazabkan dari segi mengatur parti politik yang boleh bertanding dalam
pilihan raya, daerah demi daerah.”
Beliau menarik perhatian kegagalan mengatur parti politik yang koheren
merupakan kegagalan kumpulan liberal dalam banyak peralihan demokratik yang
diidamkan dua dekad lalu: Rusia selepas keruntuhan Kesatuan Soviet dan Revolusi
Jingga Ukraine.
Sebaliknya, hujah Fukuyama, parti-parti
Islamis di seluruh Timur Tengah terus hidup sepanjang tahun, meskipun berlaku
penindasan yang teruk kerana mereka memahami bagaimana untuk mengatur atau
menyusun. Hal ini bukan hanya persoalan
memilih kader dan mempromosikan ideologi; mereka juga hidup dalam kalangan
orang miskin dan akan sentiasa menyediakan perkhidmatan sosial secara kepada
para pengundi di kawasan mereka. Beliau menegaskan bahawa parti politik menjadi
maju dan berjaya kerana menegakkan sesuatu: bukan sekadar menentang
kediktatoran, tetapi program positif untuk pertumbuhan ekonomi, bantuan sosial,
atau menolong petani. “Jika anda
bertanyakan aktivis Mesir liberal tipikal apakah rancangan untuk pembangunan
ekonomi, saya tidak pasti anda akan mendapat jawapan yang koheren.”
Bagi memperkukuh hujah tentang kegagalan golongan liberal di Mesir, Fukuyama memetik pesan gurunya, mendiang Samuel
Huntington bahawa “individu kelas
menengah hampir tidak pernah menyudahkan revolusi, kecuali dia berjaya berhubung
dengan rakyat jelat di desa. Pelajar
tahu bagaimana untuk berdemonstrasi dan merusuh, tetapi mereka tidak dapat
mengatur. Kedua-duanya, iaitu Lenin dan
Mao merupakan pakar penganjur, dan berjaya dalam menjalinkan hubungan dengan luar
bandar.” Ini sesuatu yang tidak dapat
difahami oleh banyak aktivis liberal muda pada tempoh yang Huntington jelaskan,
tegas Fukuyama, dan pada masa sekarang.
Sementara Fukuyama melahirkan kekecewaannya
terhadap kegagalan golongan liberal Mesir untuk mengatur parti politik yang
menyebabkan kemenangan memihak kepada Ukhwanul Muslimin, Samir Amin yang
menulis MRZine meragui bahawa
pertubuhan itu akan menunaikan harapan revolusi
Mesir. “Ukhwanul Muslimin,” hujah
beliau, yang merupakan bahagian sistem kuasa, sepatutnya tidak dianggap sebagai
‘parti Islam’ semata-mata, tetapi yang
pertama-tama sebagai parti ultra reaksionari yang lagipun ialah Islamis. Reaksionari bukan hanya memberikan tumpuan
terhadap apa yang kita kenali sebagai ‘isu sosial,’ tetapi juga, dan pada
darjah yang sama, reaksionari dalam bidang asas ekonomi dan kehidupan sosial:
Ukhwanul Muslimin menentang mogok, tuntutan pekerja, kesatuan sekerja bebas,
gerakan penentangan terhadap ekspropriasi petani.
Intelektual Marxis kelahiran Mesir itu
menegaskan, kegagalan yang dirancang tentang “revolusi Mesir,” akan dengan itu,
menjamin kesinambungan sistem yang bertapak sejak Sadat, diasaskan pada
perseikatan kumpulan pemerintah tertinggi tentera dan Islam politik. Memang
betul, dengan kekuatan memenangi pilihan raya, maka Ukhwanul Muslimin kini
mampu menuntut lebih kuasa berbanding dengan yang mereka miliki, dengan itu, lebih besar daripada yang
diberikan oleh pihak tentera. Walau
bagaimanapun, menyemak semula agihan faedah perseikatan ini untuk memihak
kepada Ukhwanul Muslimin mungkin terbukti sukar.”
Meskipun pilihan raya telah berlangsung dan
presiden dipilih, tidak bemakna bahawa
revolusi boleh dianggap berjaya kerana
elit rejim purba, iaitu junta tentera masih berkeliaran. Gambaran bahawa Pemberontakan Arab dari
Tunisia ke Mesir dan ke beberapa buah negara lain selalu membesar-besarkan
demokrasi dan kebebasan, juga peranan media sosial, sedangkan persoalan pokok
yang mendasari pemberontakan itu jarang-jarang diketengahkan, iaitu agihan
kekayaan yang tidak adil, ketidaksamaan pendapatan, dan pengangguran yang
tinggi.
No comments:
Post a Comment