Artikel Popular

Saturday, September 8, 2012

Jumaat Terus Menzalimi Obama?

SABTU, 8 September 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Persidangan Kebangsaan Parti Demokratik di Charlotte, North Carolina yang mencapai kemuncaknya dengan ucapan Presiden Barack Obama sebagai tanda penerimaan pencalonan partinya untuk Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tahun 2012. Ucapan beliau  yang berlangsung pada malam Khamis (waktu Amerika), pastinya disambut dengan laporan pekerjaan bulan Ogos yang akan diumumkan pada pagi Jumaat yang dijangkakan dapat mengubah prestasi persidangan dan menentukan pilihan raya pada tahun ini. 

Laporan pekerjaan itu, menurut Daniel Gross,  dapat dikesan  melalui ucapan Obama itu kerana beliau menerima laporan itu lebih awal.  Sebelum Obama berucap, timbul tanda tanya mampukah beliau menandingi ucapan bekas Presiden Bill Clinton yang berucap sehari sebelum ini yang sangat diharapkan oleh Obama, dan  menurut tafsiran Dana Milbank, "Obama hidup dalam bayang-bayang Clinton."  Ucapan Clinton untuk mengemukakan pencalonan Obama, seperti yang dibahaskan oleh John Baldoni, "anjing besar memiliki pentas besar"  dan  "melancarkan peperangan terbuka terhadap Republikan."  Dalam ucapan itu, Clinton, antara lain, merayu para pengundi yang belum membuat keputusan agar memilih Obama.

Terbukti bahawa Obama tidak mampu menyaingi Clinton, bahkan tidak mampu menyaingi isterinya,  Michelle,  yang berucap pada hari pertama  persidangan. "Bahkan, bukan ucapan yang terbaik pada minggu ini," isytihar editor Bloomberg. Obama, menurut tafsiran John Dickerson, "kelihatan seperti orang yang berubah"  dan mengakui perubahan sebenar memerlukan masa bertahun-tahun. Namun, Michael Gerson pergi lebih jauh, dengan mengatakan bahawa Obama gagal di Charlotte, manakala James Fallows yang agak berlapik, mengatakan "ucapan Obama yang mengecewakan."

Obama menyampaikan ucapan yang membosankan,  tidak menarik, dan terlalu yakin, tegas Michael Tomasky, yang terpesona dengan ucapan Clinton.  Dalam ucapan itu,  tidak banyak menyentuh tentang dirinya dan pencapaiannya dan tentang pencabarnya, Mitt Romney. Sebaliknya, beliau,  hujah David Corn, menjelaskan pilihan raya ini sebagai pilihan laluan yang sangat berbeza.  Sebelum ini, Obama pernah mengulas Persidangan Kebangsaan Republikan di Tampa, Florida, sebagai "televisyen hitam putih" - ketinggalan zaman.

Sementara John Casssidy yang menulis enam soalan yang tidak dijawab di Charlotte, turut mengulas ucapan Obama bahawa "sebagai pendahulu, beliau memilih jalan selamat."  Namun, hujah Ryan Lizza, yang juga menulis dalam The New Yorker, mungkin langkah strategik ini  betul, tetapi bahaya untuk menang dengan cara ini.

Apabila laporan pekerjaan terbaharu dikeluarkan, maka terbukti bahawa telahan Daniel Gross ada kebenarannya bahawa Obama dihantui oleh laporan yang beliau ketahui lebih awal itu.  Ekonomi, seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg, hanya menambah 96,000 pekerjaan pada bulan lebih rendah daripada yang dijangkakan dan daripada 141,000 pekerjaan pada bulan Julai yang disemak semula. Sementara kadar pengangguran turun daripada 8.3 peratus kepada 8.1 peratus pada bulan Ogos kerana  penganggur meninggalkan pasaran buruh.  Sejak tahun ini,  ekonomi hanya menambah 139,000 pekerjaan sebulan berbanding dengan purata 153,000 pekerjaan pada tahun 2011.

Pastinya, laporan pekerjaan yang tidak memberangsangkan ini menggembirakan Romney dan rakan-rakannya  dalam Republikan.  "Kita menuju ke arah yang silap," isytihar beliau sebagai tanda menyalahkan Obama.  Laporan pekerjaan ini, menurut jangkaan Susan Page yang menulis dalam USA Today, merancakkan lagi kempen kedua-dua belah pihak.  Laporan pekerjaan ini juga memulakan pertempuran pascapersidangan.

Sementara hujah Daniel Gross, laporan ini penting dari segi politik kalaupun tidak dari segi ekonomi: meletakkan Obama dalam keadaan sukar, sebaliknya memberikan suntikan semangat kepada Romney untuk membangkitkan isu ekonomi.

"Ekonomi lawan Presiden," tulis Ezra Klein sebaik-baik sahaja laporan pekerjaan diumumkan dengan mengemukakan graf.  Dan Presiden Obama, menurut beliau, mengetahui laporan itu lebih awal bahawa wujud krisis pekerjaan.  

Derek Thompson sambil memetik Zachary Goldfarb, yang menulis dalam The Washington Post menegaskan laporan pekerjaan itu berkemungkinan silap yang meletakkan Barack Obama dalam keadaan sukar, sedangkan sejak setahun setengah lalu, bertambah baik.  Hujah Thompson, banyak sektor, kecuali kerajaan, mencatatkan perubahan, baik dari segi peratusan mahupun jumlah.  

Tidak dapat dipastikan, sama ada ekonomi merupakan medan pertempuran yang kritikal kerana sejak berbulan-bulan laporan menunjukkan pekerjaan adalah lemah dan laporan suku tahun pula menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat adalah perlahan, Barack Obama, masih mendahului lawannya, Mitt Romney.  Seperti yang dibahaskan oleh Jonathan Bernstein, laporan pekerjaan yang mendukacitakan  ini berkemungkinan tidak mengubah pertandingan Presiden.

Sejak zaman Roosevelt, tidak ada Presiden yang berjaya mempertahankan jawatannya apabila kadar pengangguran lebih 7.2 peratus, dan dengan itu, meletakkan Obama dalam keadaan sukar, manakala seakan-akan selesa.  Memang ekonomi yang lemah, hujah Michael Paarlberg, menjejaskan peluang penjawat kini, tetapi pengangguran merupakan petunjuk yang sangat tidak bermakna.  Ronald Reagan menang besar pada tahun 1984 mengalahkan Walter Mondale ketika pengangguran 7.2 peratus.  Justeru, jelas Paarlberg, ahli sains politik yang meramalkan pilihan raya cenderung melihat lebih banyak angka agregat. 

Meskipun tinjauan pendapat menunjukkan bahawa para pengundi lebih yakin pada Romney untuk mengurus ekonomi dan menangani pengangguran, tegas Bob Burnett, Obama masih disukai atau digemari oleh mereka.  Dalam pertandingan kepopularan, tegas Burnett, penjawat kini terus  mendahului pencabarnya, dan Romney nampaknya menghadapi kesukaran untuk membebaskan dirinya daripada pasungan ini.

"Pilihan," tulis Derek Thompson, "rekod  Obama yang lemah lemah lawan  alternatif Romney yang teruk."  Walaupun Obama dianggap lemah dari segi ekonomi, Romney pula gagal memberikan alternatif yang lebih baik dan bukannya sekadar mengkritik dasar dan prestasi lawannya.  Bahkan, janji beliau jika dipilih sebagai Presiden, akan mewujudkan 12 juta pekerjaan diragui. Lebih-lebih lagi, Bill Clinton dalam ucapannya sempena persidangan  itu menjelaskan jumlah pekerjaan yang diwujudkan oleh Obama dan  menyatakan jumlah pekerjaan yang diwujudkan selama Demokratik menguasai Rumah Putih sejak tahun 1960, berbanding dengan Republikan: 42 juta lawan 24 juta pekerjaan.   "Para pengundi," hujah Greg Sargent, "sukar untuk memisahkan diri mereka dengan Obama, meskipun kempen Romney melancarkan pelbagai iklan."


Pertarungan di negeri berayun, menurut pemerhatian Harry J Enten, lebih memihak kepada Obama berbanding dengan Romney.  Perbelanjaan iklan oleh kempen Romney untuk negeri berkenaan, kelihatan seperti strategi yang tewas. Berbekalkan 247 badan perwakilan pemilih berbanding 191 untuk Romney, Obama mempunyai beberapa kelebihan.  Beliau hanya memerlukan sebuah negeri berayun, iaitu Florida untuk memastikan kemenangannya bagi penggal kedua.  

"Obama mempunyai 18 cara untuk meraih 270 badan perwakilan pemilih," hujah Enten, "manakala Romney mampu menyatakan 11 kombinasi kemenangan."  Percaturan di negeri berayun, jelas beliau pernah dilakukan oleh Michael Dukakis pada tahun 1988 dan John Kerry pada tahun  2004, tetapi kedua-duanya tewas.  Kerry jelas Enten lagi, banyak mempunyai perkataan "atau" dan "sama ada" dalam rancangannya.  Beliau mempunyai beberapa laluan yang berbeza untuk kemenangan.  Romney banyak mempunyai "dan" dan "mesti" untuk menang.




Jika hari Jumaat merupakan berita buruk untuk Obama kerana laporan pekerjaan tersebut, pada hari itu juga, tinjauan pendapat Gallup membawa berita baik untuk beliau: wujud lantunan selepas persidangan di Charlotte, iaitu kepopularan Obama meningkat.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...