Artikel Popular

Thursday, September 20, 2012

Barbra Streisand: Pilihan

KHAMIS, 20 September 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Barbra Streisand, nama yang tidak asing dalam dunia hiburan, baik sebagai penyanyi mahupun sebagai pelakon.

Namun, bagi sesiapa yang membaca  tulisan beliau dalam The Huffington Post, "Obama vs. Romney: A Clear Choice," pastinya mereka dapat mengesani keistimewaan dan kelebihan seniwati ini bahawa dunia bukannya sekadar hiburan semata-mata.

Dalam tulisan yang cukup berkesan dan amat menarik itu, Barbra mengajak para pengundi di Amerika Syarikat membuat pilihan yang jelas antara penjawat kini, Barack Obama dengan pencabarnya, Mitt Romney.  Memilih Romney, hujah Barbra, bermakna balik semula kepada  dasar Pentadbiran  Presiden George W. Bush. Dasar yang akhirnya membawa malapetaka ekonomi.  Romney, Barbra mengingatkan mengutamakan golongan kaya dan korporat, tetapi mengabaikan 30 juta orang tanpa jaringan keselamatan.

Dengan mengemukakan hujah dan mengupas berdasarkan fakta, Barbra memperlihatkan dirinya sebagai cerdik pandai politik dan pada masa yang sama, sebagai ahli ekonomi. Untuk mengajak para pengundi membuat pilihan yang tepat, beliau mengemukakan perbezaan yang jelas antara Barack Obama dengan Mitt Romney.

Dengan daya tarikan yang cukup bertenaga dan nada pujukan yang mempesonakan,  Barbra menyudahkan tulisannya:  Pada hari Selasa, 6 November, rakyat Amerika akan mempunyai kuasa untuk membuat pilihan itu. Dan saya berharap setiap orang, muda dan tua, dari negeri merah ke negeri biru, memilih progres berbanding dengan keuntungan korporat.  Dan sepanjang empat tahun akan datang, saya berharap kita dapat semua bangkit bersama-sama untuk membina semula Amerika yang peluang dan kemakmuran yang sekali lagi setiap orang dapat nikmati.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...