Pages

Tuesday, September 25, 2012

Mesir: Revolusi yang Gagal?

SELASA,  25 September 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton, semasa melawat Mesir pada pertengahan Julai lalu, mengingatkan tentera supaya kembali kepada peranan keselamatan negara sambil menegaskan bahawa Amerika Syarikat menyokong pewujudan sepenuhnya pemerintahan demokratik di negara itu.
            Tentera yang merupakan tonggak kuasa  selama  enam dekad, bertindak mengehadkan kuasa presiden awam yang baru, Mohamed Morsi, biarpun para pengundi memilih beliau, manakala memperkukuh autoriti mereka sendiri dalam dekri perlembagaan.  Para jeneral juga membubarkan Parlimen yang dikuasai oleh Ukhwanul Muslimin (Muslim Brotherhood) atas alasan perintah mahkamah yang menganggap peraturan pemilihan tidak mengikut perlembagaan.  Walau bagaimanapun, Morsi  yang mencabar keputusan itu sebaik-baik beliau dipilih sebagai presiden, mengeluarkan dekri mengarahkan  Parlimen yang dibubarkan itu meneruskan semula aktiviti perundangan,  mencetuskan ketegangan dalam perebutan kuasa.
Siaran akhbar daripada anggota Parlimen, Mohamed Anwar Sadat menegaskan bahawa “keputusan untuk membuka semula Parlimen adalah sah, kecuali keputusan itu bercanggah dengan undang-undang.”  Namun, sukar untuk mengetahui apakah undang-undang yang wujud di Mesir sekarang.  Sementara Ukhwanul  Muslimin  berasa keliru dengan arahan Morsi itu, lagipun mereka belum bersedia untuk bergelut sekali lagi Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF).  Dekri Morsi itu, walau bagaimanapun, dibatalkan oleh mahkamah tinggi Mesir.
            Setelah 500 hari tumbangnya Presiden Hosni Mubarak, maka pada 24 Jun lalu, Mesir mempunyai pemimpin baru, iaitu Mohamed Morsi daripada Ikhwanul Muslimin.  “Rakyat Mesir akan memberikan peluang untuk Morsi mencuba,” tulis Ahdaf Soueif dalam guardian.co.uk, “Morsi tahu  lebih separuh penyokong adalah percubaan terakhir secara nekad untuk menyekat rejim memperoleh kuasa semula.  Beliau juga mengetahui bahawa tujuh juta orang (undi tambahan)  yang terdorong untuk mengundi Jeneral Ahmed Shafiq kerana mereka takut atau sekurang-kurangnya tidak sukar  apa yang mereka bayangkan  Ukhwanul Muslimin akan lakukan jika mereka berkuasa.”  Hari-hari awal kepresidenan Morsi berlalu dengan aman, ketegangan diredakan.
            Minggu-minggu yang mendahului kemenangan Morsi dikatakan sarat dengan kehampaan.  Jauh daripada menjadi simbol harapan, Pemberontakan Arab tiba-tiba dirasakan seakan-akan petanda buruk.  Seperti yang diperhatikan wujud kempen media menyasarkan kuasa revolusioner, terutamanya Ukhwanul Muslimin, perpecahan dalam barisan revolusioner, dan pergaduhan dalam kalangan orang awam.  Namun, dengan perisytiharan Morsi sebagai presiden, maka dikatakan, ini bermaksud revolusi Mesir kini mempunyai tiga tonggak, iaitu presiden, Parlimen, dan dataran.  Parlimen dan presiden sejajar dengan kesahan pilihan raya demokratik, manakala dataran mempunyai kesahan revolusionernya sendiri.  
Sebelum keputusan pilihan raya presiden itu diumumkan, wujud spekulasi bahawa tentera Mesir menang sekali lagi.  Bahkan, Time dalam keluaran 9 Julai dengan kulit depannya “The Revolution that Wasn’t” mempersoalkan mengapa para jeneral Mesir merupakan pemerintah yang sebenar, meskipun Morsi dipilih secara sah sebagai presiden. Sehari selepas Ukhwanul Muslim mengadakan pertunjukan bunga api sebagai meraikan kemenangan presiden yang cukup bersejarah, menurut Jay Newton-Small dan Abigail Hauslohner yang menulis rencana utama,  Mejar Jeneral Mohamed Said al-Assar, salah seorang anggota SCAF, yang secara rasmi memerintah Mesir selama 16 bulan, menyatakan dengan bangga mereka tidak kalah. “Kini, kita mempunyai presiden baru yang dipilih, justeru,  ini pencapaian yang sangat besar untuk SCAF.”  Selain menyatakan bahawa mereka dengan sukarela menyerahkan kepada Morsi, mereka menegaskan bahawa “mereka menyelamatkan revolusi.”
            Selain pembubaran Parlimen, sebaik-baik pilihan raya presiden ditutup, SCAF mengeluarkan perintah mengehadkan kuasa presiden.  Morsi tidak benar-benar mengawal belanjawan dan tidak ada peranan muktamad dalam dasar luar, pertahanan atau hal-hal keselamatan negara.  Bahkan, beliau tidak mempunyai status simbolik panglima besar angkatan tentera. Dari segi perintah, junta mengekalkan kuasa itu untuk diri mereka sendiri dengan alasan untuk “mengekalkan Mesir dalam tangan yang selamat.”
            Newton-Small dan Hauslohner yang memetik Joshua Stacher, ahli sains politik dan pakar Mesir di Kent State University bahawa dengan membenarkan Morsi menang menyebabkan beliau dan Ukhwanul Muslimin “tumpuan utama untuk tanggungjawab  apa-apa jua masalah struktur yang berterusan, seperti ekonomi, pelancongan yang tidak dapat diselesaikan.  SCAF menganjakkan semua tanggungjawab kepada kerajaan yang dipilih itu.”  Morsi dan Ukhwanul Muslimin amat menyedari keterbatasan kuasa presiden  dan memerlukan perjuangan yang berpanjangan untuk pemerintahan awam.
Keadaan  dirumitkan lagi oleh saiz mandat yang diterima oleh Morsi , iaitu hanya lebih separuh undi daripada jumlah kurang separuh orang yang keluar mengundi. Keberangan terhadap Ukhwanul Muslimin diluahkan semasa Hillary Clinton  melawat negara itu mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin masyarakat sivil dan aktivis, di samping beberapa orang yang enggan menemui beliau.  Amerika Syarikat didakwa menyokong rejim autoritarian Hosni Mubarak, kini menyokong Islamis, Ukhwanul Muslimin.  Mereka berasa bimbang dan marah apabila pihak Amerika merestui Islam politik di Mesir.  Puak minoriti Kristian Mesir yang kebanyakannya golongan sekular, dikatakan semakin lantang melahirkan ketakutan mereka terhadap kebangkitan Islamis sejak pemilihan calon Ukhwanul Muslimin, Mohamed Mursi sebagai presiden.
Majalah Time  didapati beberapa kali  menerbitkan rencana utama tentang revolusi Mesir, yang berbaloi untuk diberikan sorotan ringkas di sini.  Dalam keluaran 18 April 2011, kulit depan majalah itu muncul dengan “Egypt’s Unfinished Revolution” yang menggambarkan bahawa dua bulan selepas Dataran Tahrir, golongan demokrat dan puak demagog bersengketa untuk menentukan masa depan negara itu.  Ketika itu para jeneral kelihatan lebih berkuasa.  Tentera diperhatikan tidak berminat  menyerahkan cara hidup lama mereka, iaitu kepentingan perniagaan mereka, daripada kilang pakaian kepada loji baja yang bernilai berbilion-bilion dolar. Dalam tempoh dua bulan itu, tentera menangkap beribu-ribu orang, banyak daripada mereka penunjuk perasaan atau pembantah yang mempersoalkan tindak-tanduk tentera, termasuk cadangan SCAF untuk mengharamkan tunjuk perasaan.  Walau bagaimanapun, banyak orang biasa Mesir memandang lelaki yang berpakaian seragam dengan rasa hormat yang tinggi dan yakin bahawa mereka akan kembali ke berek mereka sebaik-baik sahaja kerajaan awam terbentuk.
Seterusny, a dalam keluaran 5 Disember 2011, majalah muncul dengan kulit depannya, “Revolution Redux” mengingatkan bahawa berbulan-bulan selepas Hosni Mubarak digulingkan,  rakyat Mesir memberontak menentang pemerintahan tentera, membangkitkan persoalan, “Adakah pilihan raya bebas dan janji Pemberontakan Arab berhadapan dengan risiko?”  Banyak rakyat Mesir berasa kecewa akan pemberontakan yang belum selesai sehingga mendorong mereka turun ke jalanan semula untuk membantah pemerintah tentera mereka. Meskipun menjanjikan demokrasi, SCAF pada hakikatnya memulihkan kestabilan autoritarian.
Pada pertengahan Mei lalu, Francis Fukuyama menulis dalam The Daily Beast tentang kegagalan generasi Facebook dalam Pemberontakan Arab untuk membawa perubahan politik yang berpanjangan, atau secara khusus, kegagalan golongan liberal memanfaatkan revolusi yang menumbangkan rejim.   Revolusi Dataran Tahrir pada awal tahun lalu, hujah Fukuyama, diperkasa oleh orang muda yang marah, iaitu kelas menengah Mesir yang menggunakan media sosial, seperti Facebook dan Twitter untuk mengatur protes mereka, menyebarkan perkataan kekejaman rejim, dan membina sokongan untuk Mesir yang demokratik.  Ketika itu, banyak percakapan tentang bagaimana teknologi memperkasa demokrasi dan memaksa membuka masyarakat tertutup yang tidak dapat mencegah aliran maklumat.   Meskipun kumpulan aktivis muda  masih dapat digembleng untuk protes jalanan, beliau menyalahkan golongan liberal Mesir itu sendiri yang mampu mengatur protes dan mengadakan demonstrasi, dan bertindak dengan begitu berani untuk mencabar rejim lama. 
“Akan tetapi,” hujah Fukuyama, “mereka tidak boleh hanya menyokong seorang calon, dan kemudian terlibat dalam kerja yang perlahan, membosankan,  yang mengazabkan dari segi mengatur parti politik yang boleh bertanding dalam pilihan raya, daerah demi daerah.”  Beliau menarik perhatian kegagalan mengatur parti politik yang koheren merupakan kegagalan kumpulan liberal dalam banyak peralihan demokratik yang diidamkan dua dekad lalu: Rusia selepas keruntuhan Kesatuan Soviet dan Revolusi Jingga Ukraine.
Sebaliknya, hujah Fukuyama, parti-parti Islamis di seluruh Timur Tengah terus hidup sepanjang tahun, meskipun berlaku penindasan yang teruk kerana mereka memahami bagaimana untuk mengatur atau menyusun.  Hal ini bukan hanya persoalan memilih kader dan mempromosikan ideologi; mereka juga hidup dalam kalangan orang miskin dan akan sentiasa menyediakan perkhidmatan sosial secara kepada para pengundi di kawasan mereka. Beliau menegaskan bahawa parti politik menjadi maju dan berjaya kerana menegakkan sesuatu: bukan sekadar menentang kediktatoran, tetapi program positif untuk pertumbuhan ekonomi, bantuan sosial, atau menolong petani.  “Jika anda bertanyakan aktivis Mesir liberal tipikal apakah rancangan untuk pembangunan ekonomi, saya tidak pasti anda akan mendapat jawapan yang koheren.”
Bagi memperkukuh hujah  tentang kegagalan golongan liberal di Mesir,  Fukuyama memetik pesan gurunya, mendiang Samuel Huntington bahawa  “individu kelas menengah hampir tidak pernah menyudahkan revolusi, kecuali dia berjaya berhubung dengan rakyat jelat di desa.  Pelajar tahu bagaimana untuk berdemonstrasi dan merusuh, tetapi mereka tidak dapat mengatur.  Kedua-duanya, iaitu Lenin dan Mao merupakan pakar penganjur, dan berjaya dalam menjalinkan hubungan dengan luar bandar.”  Ini sesuatu yang tidak dapat difahami oleh banyak aktivis liberal muda pada tempoh yang Huntington jelaskan, tegas Fukuyama, dan pada masa sekarang.
Sementara Fukuyama melahirkan kekecewaannya terhadap kegagalan golongan liberal Mesir untuk mengatur parti politik yang menyebabkan kemenangan memihak kepada Ukhwanul Muslimin, Samir Amin yang menulis MRZine meragui bahawa pertubuhan itu  akan menunaikan harapan revolusi Mesir.  “Ukhwanul Muslimin,” hujah beliau, yang merupakan bahagian sistem kuasa, sepatutnya tidak dianggap sebagai ‘parti Islam’ semata-mata, tetapi  yang pertama-tama sebagai parti ultra reaksionari yang lagipun ialah Islamis.  Reaksionari bukan hanya memberikan tumpuan terhadap apa yang kita kenali sebagai ‘isu sosial,’ tetapi juga, dan pada darjah yang sama, reaksionari dalam bidang asas ekonomi dan kehidupan sosial: Ukhwanul Muslimin menentang mogok, tuntutan pekerja, kesatuan sekerja bebas, gerakan penentangan terhadap ekspropriasi petani.
Intelektual Marxis kelahiran Mesir itu menegaskan, kegagalan yang dirancang tentang “revolusi Mesir,” akan dengan itu, menjamin kesinambungan sistem yang bertapak sejak Sadat, diasaskan pada perseikatan kumpulan pemerintah  tertinggi tentera dan Islam politik. Memang betul, dengan kekuatan memenangi pilihan raya, maka Ukhwanul Muslimin kini mampu menuntut lebih kuasa berbanding dengan yang mereka miliki,  dengan itu, lebih besar daripada yang diberikan oleh pihak tentera.  Walau bagaimanapun, menyemak semula agihan faedah perseikatan ini untuk memihak kepada Ukhwanul Muslimin mungkin terbukti sukar.”
Meskipun pilihan raya telah berlangsung dan presiden  dipilih, tidak bemakna bahawa revolusi boleh dianggap berjaya kerana  elit rejim purba, iaitu junta tentera masih berkeliaran.  Gambaran bahawa Pemberontakan Arab dari Tunisia ke Mesir dan ke beberapa buah negara lain selalu membesar-besarkan demokrasi dan kebebasan, juga peranan media sosial, sedangkan persoalan pokok yang mendasari pemberontakan itu jarang-jarang diketengahkan, iaitu agihan kekayaan yang tidak adil, ketidaksamaan pendapatan, dan pengangguran yang tinggi. 

No comments:

Post a Comment