Artikel Popular

Friday, July 26, 2019

Meningkatkan Taraf Pendidikan Kaum India

JUMAAT, 26 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Kedatangan orang India ke Tanah Melayu berlaku sebelum pemerintahan British lagi, misalnya “komuniti  saudagar Hindu dan Islam pada zaman Kesultanan Melaka.  Daripada perkahwinan komuniti yang bertempat di Melaka dengan penduduk dengan komuniti tempatan, maka lahirlah golongan yang dikenali India Peranakan Melaka, atau lebih dikenali sebagai Melaka Chitty” (Belle, 2015: 137). Orang India datang dari beberapa wilayah atau daerah di India untuk bekerja atau diambil bekerja dalam bidang pekerjaan tertentu. “Orang Tamil Sri Lanka atau dikenali di Tanah Melayu sebagai orang Tamil ‘Jaffna’ diambil oleh pegawai British untuk memenuhi jawatan teknikal dan perkhidmatan awam di Negeri-Negeri Melayu” (Belle, 2015: 137). Satu lagi golongan, ialah Chettiar atau lazim disebut Chetty yang kampung leluhur mereka terletak di wilayah yang dikenali sebagai Chettinad dalam wilayah Ramnad dan Pudukkottai, selatan Chennai (Belle, 2015: 139). Sementara orang Sikh, iaitu orang India Utara  berhijrah ke Tanah Melayu untuk mencari pekerjaan yang berkaitan dengan keselamatan, seperti tentera, jaga, penjaga, dan polis (Belle, 2015: 141). Satu lagi golongan India Utara, terutamanya orang Islam Punjabi juga memperoleh pekerjaan dalam polis dan tentera ketika zaman kolonial (Belle, 2015: 143).  Satu lagi golongan yang terdiri daripada migran profesional, kerani, dan teknikal India Selatan yang berpendidikan Inggeris untuk memenuhi keperluan pengembangan pesat ekonomi kolonial (Belle, 2015: 142). Golongan lain terdiri daripada peniaga atau saudagar dari India Utara dan India Selatan – Hindu dan Islam – yang ingin mencari peluang perniagaan, terutamanya di Negeri-Negeri Selat (Belle, 2015: 143 – 144).
Ada banyak kajian atau kepustakaan tentang kedatangan orang India di Tanah Melayu, terutamanya untuk bekerja dalam ekonomi kolonial, iaitu dalam sektor perladangan, misalnya (Sinnappah, 1970) dan Michael Stenson (1980).  Yang  terbaru oleh Carl Vadivella Belle (2015), yang mendapati daripada 1957 Federation of Malaya Census Report,  bahawa empat juta orang India diambil untuk bekerja di Tanah Melayu kolonial dan bahawa 2.8 juta orang kemudiannya  dihantar pulang ke India.  Banyak daripada imigresen bersih yang berjumlah  1.2 orang seakan-akan lesap oleh penyakit, pagutan ular, keletihan, pemakanan tidak seimbang, bagi penduduk India di Tanah Melayu hanya berjumlah 858,614 orang yang 62.1 peratus adalah dilahirkan di sini (Belle, 2015: xiii). Antara tahun 1860 hingga 1957, dianggarkan sejumlah kira-kira juta orang India berhijrah ke Tanah Melayu untuk bekerja dalam ekonomi kolonial, iaitu dalam sektor perladangan; daripada jumlah itu, dalam tempoh yang sama 70 peratus meninggalkan negara ini. Buruh yang bersara atau berumur dihantar pulang ke negara asal mereka, India (Jomo, 1986: 192).
 Antara tahun 1830-an hingga 1909, kira-kira 250,000 buruh terikat India, kebanyakannya diambil dari Madras Presidency di Tanah Melayu (Belle, 2015: 96).  Sebelum pengambilan buruh terikat dihapuskan pada tahun 1910, “sistem kangany” telah lama diperkenalkan untuk pengambilan pekerja India untuk memenuhi  keperluan tenaga kerja dalam sektor perladangan di Tanah Melayu. “Berdasarkan data rasmi, dianggarkan antara tahun 1865 hingga 1938, sebanyak 1,116,717 orang emigran India tiba di Tanah Melayu di bawah naungan kangany (Belle, 2015: 107).  Pada tahun 1940, sejumlah 218,000 orang pekerja India, terdiri daripada 62 peratus jumlah tenaga kerja perladangan, bekerja dalam estet getah. Buruh India juga bekerja dalam sektor awam, seperti Jabatan Kerja Raya, Majlis Perbandaran, Lembaga Bandar dan Lembaga Kebersihan, dan kereta api (Belle, 2015: 108). 
Pada tahun 1939, ada kira-kira 700,000 orang India yang menetap di Tanah Melayu, iaitu 15 peratus daripada jumlah penduduk negara ini.  Daripada jumlah itu, hanya empat peratus bekerja dalam bidang perdagangan, perniagaan atau profesion, manakala kira-kira 10 peratus terlibat dalam pekerjaan mahir dan separuh mahir.  Selebihnya, diserapkan ke dalam pekerjaan tidak mahir dan kerja kasar (Belle, 2015: 149).
Meskipun buruh India yang bekerja di ladang-ladang getah milik kapitalis swasta selalunya dikaitkan dengan upah rendah, kemiskinan,  dan eksploitasi, “dari tahun 1922, sebuah jawatankuasa ditubuhkan untuk menentukan kadar upah piawai untuk mereka” (Jomo, 1986: 195). Meskipun orang India secara keseluruhan menerima upah yang kurang untuk kerja yang sama, mereka selalunya disediakan kemudahan perumahan, klinik, dan kebajikan masyarakat lain, menggambarkan tumpuan perhatian Jabatan Buruh kolonial dengan hal ehwal buruh India.  Dalam pada itu, penubuhan Kesatuan Pekerja Perladangan Kebangsaan (NUPW) pada awal tahun 1950-an tidak banyak meningkatkan keadaan pekerja estet (Jomo, 1986: 196). 
Gambaran keseluruhan tenaga kerja India pada tempoh yang membawa kepada pencerobohan Jepun pada Disember 1941 adalah bahawa dilanda oleh masalah sosial utama, termasuk kesihatan yang teruk, petunjuk tinggi tentang alkoholisme, ditempatkan  dalam perumahan substandard, dan dikekang oleh kurang pendidikan (Belle, 2015: 122 – 123).  Meskipun wujud bukti perjudian yang berleluasa dalam kalangan buruh, masalah sosial yang sangat besar dalam komuniti India ialah alkoholisme, seperti tabiat minum todi (Belle, 2015: 124). Selain itu, wujud bukti yang menunjukkan bahawa pendidikan kanak-kanak Tamil diberikan keutamaan rendah oleh majikan dan pihak berkuasa kerajaan. Walau bagaimanapun, kerajaan Tanah Melayu menegaskan pendidikan yang disediakan untuk kanak-kanak perladangan adalah “standard sesuai dengan keperluan mereka,”  dan bahawa celik huruf dalam orang Tamil di Tanah Melayu sangat tinggi berbanding dengan penduduk di Madras Residency (Belle, 2015: 126).
Daripada semua golongan itu, secara relatif,  buruh Tamil  yang bekerja dalam sektor perladangan getah, hidup dalam kemiskinan dan kemelaratan. Golongan tersebut  dikatakan menjadi keprihatinan Tun Sambanthan. Sebelum menerajui MIC, beliau  “terlibat dalam aktiviti parti itu bekerja sangat gigih untuk membawa parti itu kepada pekerja Tamil, yang membentuk kira-kira 85 peratus tenaga kerja perladangan” (Paridah, 2011: 192). Selepas pulang daripada menuntut pelajaran di India, Sambanthan yang ketika itu tidak bekerja menghabiskan masa dengan bersiar-siar di estet milik keluarganya yang memberikan peluang kepadanya untuk melihat sendiri keadaan hidup masyarakat estet. Beliau sedar bahawa masyarakat estet hidup dalam keadaan daif  dan tidak berpendidikan (Ummadevi, 2004: 18). 
Tun Sambanthan sedar bahawa buruh estet terperangkap dalam apa disebut dalam istilah ekonomi, “kitaran ganas,” iaitu mereka tidak dapat menghantar anak-anak mereka ke sekolah Inggeris yang terletak di bandar kerana kekangan kewangan. Akibatnya, mereka kekal dalam belenggu kemiskinan. Dengan kata lain,  tidak berlaku mobiliti sosial; sebaliknya mereka lahir, membesar, dan meninggal dunia hanya sebagai buruh estet. “Realiti yang menyakitkan kehidupan ladang tidak menggalakkan banyak buruh untuk melabur dalam pendidikan anak-anak mereka atau untuk menuntut kemudahan yang cukup dan guru yang berkelayakan. Dalam kebanyakan kes, pandangan dunia majikan tidak melampaui sempadan perladangan.  Meskipun sebilangan pekerja memahami peranan pendidikan dalam mengejar peluang sosial atau ekonomi, dalam mana-mana keadaan, anak-anak mereka dikehendaki bekerja pada usia awal untuk menambah  pendapatan keluarga” (Belle, 2015: 126).  Sekolah-sekolah Tamil di ladang-ladang getah pula dikatakan  dalam keadaan daif, bahkan tidak ada bangunan sekolah.
Hanya minoriti kecil kanak-kanak tamat enam tahun pendidikan rendah yang ditawarkan oleh estet, dan kerana semua pendidikan menengah ditawarkan dalam bahasa Inggeris, hampir kebanyakannya melepasi tahap rendah (Belle, 2015: 126 – 127). Untuk meningkatkan taraf pendidikan anak-anak buruh estet, Sambanthan mengambil daya usaha dengan memperkenalkan kelas bahasa Inggeris untuk mereka.  Pelantikan beliau sebagai anggota Lembaga Pelajaran Negeri Perak memberi peluang kepadanya untuk bertindak secara rasmi bagi kebaikan masyarakat estet.  Pada awal tahun 1950-an, beliau ialah Ketua Persatuan India Sungai Siput, yang memberinya peluang untuk memberikan perhatian terhadap masalah sosial masyarakat estet  (Ummadevi, 2004: 19). 
Usaha itu benar-benar direalisasikan apabila pada tahun 1952, Tun Sambanthan merancang penubuhan Sekolah Tamil Mahatma Gandhi di Sungai Siput.  Untuk itu, sebagai langkah awal, beliau menubuhkan Jawatankuasa Penubuhan Sekolah, dengan beliau sendiri sebagai setiausahanya. Tanah bagi tapak sekolah yang akan dibina itu ialah  ladang milik ayah Tun Sambanthan, Veerasamy dan Suppiah Pillai, seluas tiga ekar diberikan percuma. Keluarga Sambanthan dan keluarga Pillai juga bersetuju menderma $25,000, manakala buruh estet mengumpulkan $7,000 (Ummadevi, 2004: 19).  Pillai ialah kawan rapat ayah Sambanthan, berasal dari Tiruchi, India Selatan, sama-sama bekerja di kedai runcit Periathambi, di Kuala Kangsar.
Upacara perletakan batu asas Sekolah Tamil Mahatma Gandhi berlangsung pada 12 Jun 1952.  Sekolah itu  dirasmikan oleh Vijayalakshmi, adik Pandit Jawaharlal Nehru, Perdana Menteri India, dan Presiden Majlis Perhimpunan Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),  pada 14 Ogos 1954, yang dalam rangka lawatannya ke Jepun.  Sebelum itu, iaitu pada 24 Oktober 1953, Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Gerald Templer melawat sekolah itu dan merasmikan upacara perletakan patung Gandhi.  Sekolah Tamil Mahatma Gandhi yang dapat menampung 160 orang murid, mempunyai enam bilik darjah, dan sebuah dewan, merupakan sekolah Tamil pertama yang didirikan oleh seorang India yang lahir di Tanah Melayu, dan menjadi model pembinaan sekolah-sekolah Tamil selepas merdeka.  Di bangunan yang sama, Sambanthan membuka kelas tadika untuk anak-anak buruh estet yang belum mencapai umur persekolahan (Ummadevi, 2004:  19 – 21).
(Dipetik daripada Bab Enam, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

Thursday, July 25, 2019

Daripada Perguruan kepada Keusahawanan

KHAMIS, 25 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Tun Tan Cheng Lock dilahirkan pada 5 April 1883 di Jalan Heeren, Melaka,  anak lelaki ketiga pasangan suami isteri Tan Keong Ann dan Lee Seck Bin, yang mempunyai tujuh anak lelaki dan perempuan (Yeo, 1990: 1 dan 75, Lampiran A). Leluhurnya tinggal di Melaka sejak 250 tahun lalu, pengasas MCA, berkhidmat sebagai presiden hingga tahun  1958.  Pada tahun 1860-an, bapanya menubuhkan syarikat kapal wap di Melaka untuk berulang-alik di antara pelabuhan Negeri-Negeri Selat dan perintis utama peladang ubi kayu dan gambir” (Voon, 2007: 34, nota 17; Morais, 1981: 1).
Beliau menuntut di Sekolah Tinggi Melaka hingga tamat Darjah VII pada tahun 1899  dan memenangi  Biasiswa Tan Teck Guan yang dianugerahkan kepada pelajar terbaik.   Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Raffles Institution di Singapura (Yeo, 1990: 6; Morais, 1981: 2). Di sini wujud beberapa tanda tanya, kerana menurut sumber, beliau penerima Biasiswa Queen, manakala sumber lain mengatakan beliau, “Kepujian Kelas Ketiga dan menyatakan bahawa sekiranya Biasiswa Queen tidak digantung ketika itu, beliau mungkin dianugerahi biasiswa itu.  Rekod dokumen lain yang dapat diperoleh menunjukkan Cheng Lock, dalam dua peperiksaan tahun 1900 dan 1901 untuk Junior dan Senior Cambridge School Certificates, “memuaskan Pemeriksa,” tetapi tidak cukup untuk dianugerahi mana-mana tiga  kelas kepujian dan juga Biasiswa Queen (Yeo, 1990: 6 – 7).
Tun Tan Cheng Lock tidak dapat melanjutkan pelajarannya ke United Kingdom untuk menuntut dalam bidang undang-undang  kerana tanpa biasiswa dan kewangan, maka alternatif kedua terbaik ialah mengajar  di Raffles Institution dari tahun 1902 hingga 1908 – profesion untuk calon yang kurang berjaya (Yeo, 1990: 7). Oleh sebab beliau sangat tidak gembira dengan pekerjaan gurunya dan sangat tidak sabar, maka ibunya, Lee Seck Bin, mendesak beliau pulang ke Melaka.  “Cheng Lock yang meninggalkan profesion perguruan  dan Singapura pada tahun 1908, pada usia 25 tahun, menjadi orang yang berubah” (Yeo, 1990: 8).
Pada tahun itu juga, dengan pertolongan sepupu di sebelah ibunya, Lee Chim Tuan, Cheng Lock menceburi industri getah.  Dari tahun 1908 hingga 1910, beliau penolong pengurus, estet sepupunya, iaitu Estet Getah Bukit Kajang (Yeo, 1990: 8; Morais, 1981: 2).  Di sini beliau menimba pengalaman yang berharga dalam perladangan getah, yang membawa pelantikannya sebagai “ejen pelawat Estet Getah Nyalas pada tahun 1909” (Yeo, 1990: 9). 
Walau bagaimanapun, Tan Cheng Lock tidak lama di situ kerana dikatakan letih bekerja dengan orang lain. Kuat berpegang pada tradisi, seperti ayahnya, Tun Tan Cheng Lock, ialah orang berwawasan dan berani, mengapungkan syarikat baharu, iaitu Ayer Molek Rubber Co. Ltd yang beliau menjadi pengurus.  Cheng Lock mengapung dua buah lagi syarikat, iaitu Malaka Pinda Rubber Estates Ltd. pada tahun 1909 dan United Malacca Rubber Estates Ltd. pada tahun 1910.  Seterusnya, beliau memegang jawatan pengarah urusan dan pengerusi (Morasi, 1981: 2). Beliau mengapung tiga ladang getah itu dengan pertolongan Chan Kang Swi, ahli perniagaan yang terkenal di Melaka dan pinjaman $10,000 daripada Lee Chim Tuan (Yeo, 1990: 9).  Beliau juga menganggotai lembaga Overseas Assurance Corporation Ltd., Sime Darby & Co. Ltd., dan Overseas Chinese Banking Corporation (Morais, 1981: 2).
Setelah kelihatan berjaya dalam perladangan getah, pada tahun 1913, Tan Cheng Lock berkahwin dengan Yeo Yeok Neo, anak Yeo Tin Hye, pemimpin komuniti Hokkien di Melaka (Yeo, 1990: 9; Morais, 1981: 5). Perkahwinan ini penting bagi kerjaya beliau kerana tidak lama selepas itu,  kerana kira-kira 1913 hingga 1914, beliau mengalami masalah kecairan akibat menerima nasihat  usaha niaga yang silap dalam spekulasi getah dan Lee Chim Tuan, pemiutang beliau, mengancam untuk merampas ladang getah beliau.  Walau bagaimanapun, dengan bantuan isterinya, yang mewarisi $130,000 daripada ayahnya, Yeo Tin Hye, Tan Cheng Lock mampu bayar semula (Yeo, 1990: 10).  Daripada perkahwinan itu, mereka dianugerahi lima orang anak, iaitu Lily Kim Tin, Wee Geok Kim (dijadikan anak angkat oleh adik beradik perempuan Tan Cheng Lock),  Siew Sin, Alice Kim Yoke, dan Agnes Kim Lwi (Yeo, 1990: 75, Lampiran A dan 77, Lampiran C).  Tun Tan Siew Sin kemudiannya menerajui MCA – parti yang diasaskan oleh Tan Cheng Lock, dan menganggotai Kabinet Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak Hussein.
Tun Tan Cheng Lock  ahli perniagaan Cina Malaysia dengan kepentingan yang meluas dalam perlombongan bijih timah, estet getah, perbankan, dan perdagangan. Tokoh penting  yang menumpukan hidupnya untuk memperjuangkan hak dan kebajikan komuniti Cina di Malaya (Paridah, 2011: 185).  Beliau empunya perladangan getah yang besar, pemilik banyak sekali rumah, dan pengarah dalam 16 buah syarikat saham bersama (Voon, 2007: 34, nota 17; Paridah, 2011: 185 - 186).  
Walaupun menerima pendidikan Inggeris dan hidup kaya-raya, Tun Tan Cheng Lock masih berpegang  pada amalan tradisi.  “Dia sangat suka menghidangkan makanan Melaka kepada tetamunya. Hidangan utamanya ialah nasi lemak dengan segala lauk-pauk.  Biasanya, kami gemar sekali akan masakannya, dan apabila selesai makan, dia akan mengeluarkan cerutunya yang masyhur, yang barangkali telah bertahun-tahun disimpannya, kerana dia sendiri tidak merokok.”  Oleh sebab cerutu itu sudah dimakan bubuk, maka  menimbulkan kesukaran untuk menghisapnya (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 213). Satu lagi punca kebanggaan Tun Cheng Lock ialah perabot dari China purba, terutama katil besi datuknya.  Setiap kali Tunku ke Melaka dan perlu bermalam, Tunku bermalam di rumah Tun Tan Cheng Lock kerana beliau tidak membenarkan Tunku  tidur di rumah rehat. Tunku menghadapi kesukaran untuk tidur nyenyak kerana katil tua itu “berkiut-kiut dan mengerang” (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 213).
(Dipetik daripada Bab Lima, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

Sempat Bergelar Wakil Rakyat

KHAMIS, 25 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Impian Dato’ Onn untuk bergelar “wakil rakyat” akhirnya kesampaian apabila beliau memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu Selatan dalam Pilihan Raya Umum tahun 1959 – pilihan raya pertama selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan  pada tahun 1957. Dalam pilihan raya itu, Dato’ Onn yang bertanding Parti Negara menewaskan calon Perikatan Engku Muhsien Abdul Kadir dengan majoriti 2612 undi   Dalam pilihan raya itu, untuk Parlimen, Terengganu menyaksikan kemasukan calon dari luar, selain Dato’ Onn sendiri, iaitu Dr.  Burhanuddin al-Helmy Mohd Noor, Hassan Adli  Haji Arshad, dan Khatijah Sidek – semuanya calon PAS dan mereka berjaya meraih kemenangan.   Daripada enam kerusi Parlimen, PAS memenangai empat kerusi, Parti Negara satu kerusi, dan Perikatan satu kerusi (Hamdan, 2015: 18, Jadual 2).  Selain memenangi satu-satunya  kerusi Parlimen, Parti Negara memenangi empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, iaitu di Langkap, Bukit Besar, Ladang, Bukit Besar dan Batu Buruk.  “Kekuatan parti tersebut  terletak pada keperibadian Dato’ Onn dan tidak mungkin kekal lamanya sekiranya beliau meninggal dunia” (Milne dan Mauzy, 1982: 183).
Dalam pilihan raya itu PAS membentuk kerajaan Terengganu kerana memenangi 13 kerusi daripada 24 kerusi,  manakala selebihnya Perikatan – tujuh kerusi (Hamdan, 2015: 20, Jadual 3).  PAS kemudiannya mempunyai sedikit kelebihan apabila anggota DUN Langkap daripada Parti Negara, iaitu Ismail Abbas menyertai PAS pada (Hamdan, 2015: 26; Ramlah, 2005: 400).  Walau bagaimanapun, usia PAS memerintah Terengganu – hanya dua tahun empat bulan ekoran undi  tidak percaya yang dikemukakan oleh anggota DUN Ladang daripada Parti Negara, iaitu Wan Daud Wan Ahmad  terhadap kepimpinan Menteri Besar, Mohd Daud Abdul Samad pada 30 Oktober 1961 (Hamdan, 2015:  26 – 28). Kerajaan negeri berpindah tangan daripada PAS kepada Perikatan di bawah pimpinan Tan Sri  Ibrahim Fikri yang pernah menganggotai PKMM.
Sementara  PAS kehilangan sebuah negeri, Parti Negara kehilangan tiga anggota DUN kerana mereka menyertai UMNO.  Ketika politik Terengganu dilanda krisis, Dato’ Onn  yang tinggal jauh dari Kuala Terengganu  kesihatannya terganggu kerana menghidap kencing manis dan sakit jantung.  Masalah kesihatan ini menjejaskan penglibatannya dalam politik, seperti melawat kawasan dan menyertai persidangan Dewan Rakyat.
Pada 19 Januari 1962, Dato’ Onn meninggal dunia secara mengejut, dan dengan itu pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu Selatan diadakan pada 17 Mac 1962.  PAS mencalonkan Tengku Syahdan Tengku Abdul Hamid, Perikatan (UMNO) mencalonkan Ismail Haji Kassim, manakala Parti Negara diwakili oleh Gharif Raub.  Perikatan berjaya merampas kerusi Parlimen itu dengan memperoleh 7275  undi, menewaskan   Parti Negara dan PAS yang masing-masing memperoleh 5198 undi dan 889 undi. Dengan kekalahan Parti Negara,  maka usaha parti itu untuk meneruskan legasi Dato’ Onn tidak membuahkan hasil (Hamdan, 2015: 28 – 29).  
Pada saat keharuan itu, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan akan memberikan penghormatan terakhir  kepada Dato’ Onn dengan mengadakan istiadat pengkembumian negara kerana mengenangkan jasanya yang tidak ternilai kepada bangsa dan nusa. Jenazah  Dato’ Onn Ja’afar disemadikan pada 20 Januari di Makam Diraja Perkuburan  Mahmudiah (Anwar, 2005: 257; Paridah, 2011: 261). Semasa hayatnya, Dato’ Onn dianugerahi “Bintang Knight of British Empire (K.B.E.) yang disampaikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British  Sir Gerald Templer pada tahun 1953.
Tunku Abdul Rahman pernah menulis, “biar apa juga kelemahannya, namun beliau tetap merupakan orang yang mula-mula menyatukan bangsa Melayu.  Beliaulah yang mendirikan UMNO, dan kerana pimpinannyalah maka UMNO telah parti yang unggul di seluruh negara.  Di bawah pimpinannyalah juga UMNO memperoleh kekuatan dan pengaruh yang begitu besar hingga memperoleh rasa hormat daripada sahabat dan juga lawan” (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 44).
Pada 27 November 2015,  sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak Tahun 2015, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menganugerahkan Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (S.P.C.M.) yang membawa gelaran “Dato’ Seri” kepada Allahyarham Dato’ Onn Ja’afar.
Dua buah parti yang Dato’ Onn  asaskan mengalami nasib yang berbeza.  Parti Negara (sebelum ini IMP) berkubur bersama-sama beliau, “walaupun Parti Negara bertanding dalam pilihan raya 1964, semua calonnya kalah dan parti itu beransur-ansur lenyap” (Milne dan Mauzy, 1982: 183). Sebuah lagi parti, iaitu UMNO setakat tahun 2016, terus berkuasa selama 70 tahun, meskipun hegemoninya kian terhakis. 
Mungkinkah Dato’ Onn kalah pertempuran, tetapi menang perjuangan?
(Dipetik daripada Bab Empat, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

Wednesday, July 24, 2019

Pejuang Bahasa

RABU, 24 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Dalam keluaran Mac 2015,  Dewan Masyarakat muncul dengan ruang “khas” sebagai memperingati kepulangan ke rahmatullah Tun Abdul Rahman Ya’kub, mantan Menteri Persekutuan, mantan Ketua Menteri, dan mantan Yang Dipertua Negeri Sarawak. Dalam ruangan itu dimuatkan dua makalah, iaitu “Peranan Bahasa Melayu dalam Pembinaan Tamadun Tinggi” yang merupakan teks syarahan Allahyarham ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) pada 29 Mei 2004. Makalah ini pernah diterbitkan oleh PLM dengan judul yang sama dalam Suara Pejuang Bahasa (2005), dengan Abdul Rahim Bakar dan Awang Sariyan sebagai editor.
            Tun Abdul Rahman, antaranya menulis, bahasa Melayu sebelum Islam meskipun mula memperlihatkan bibit peranannya dalam pembentukan tamadun, seperti yang berlaku dalam zaman Sriwijaya ialah bahasa yang agak terbatas dalam bidang yang mewakili konsep tamadun tinggi. Selain sebagai bahasa perhubungan umu, dan sedikit dalam bidang keagamaan Hindu-Buddha, tidak jelas adanya warisan tamadun tinggi dalam kosa kata atau perbendaharaan kata (Abdu-Rahman, 2015: 17). Tulis beliau lagi, selain menjadi bahasa ilmu, falsafah, pemikiran, undang-undang, ketatanegaraan, seni sastera, dan persejarahan, bahasa Melayu ternyata menjadi bahasa dalam bidang perhubungan diplomatik (Abdu-Rahman, 2015: 18). Beliau juga menyentuh  peranan bahasa Melayu sebagai lingua franca, khususnya sebagai bahasa perdagangan berlangsung kerana banyak negeri di alam Melayu yang menjadi pusat perdagangan (Abdu-Rahman, 2015: 18).
            Satu lagi makalah, “Perginya Seorang Negarawan Pendidikan dan Perpaduan Nasional” yang ditulis oleh Awang Azman Awang Pawi, yang boleh dianggap sebagai obituari dengan menyentuh latar belakang kehidupan Tun Abdul Rahman, sejak dilahirkan, bersekolah  hingga beliau  menceburi politik dan memegang beberapa jawatan penting di peringkat negeri Sarawak dan Persekutuan. Abdul Rahman terkenal sebagai pemidato yang cukup petah.  Keupayaan berhujah dan bijak menyusun kata menyebabkan beliau dikenali sebagai Sukarno Malaysia.  Kepintarannya juga menyebabkan beliau diberikan gelaran “Sang Kancil Sarawak.”  Kepetahannya berpidato menarik perhatian khalayak dan berupaya membina dan meluaskan pengaruh politik di peringkat negeri dan nasional (Awang Azman, 2015: 22). Beliau disifatkan  sebagai negarawan ulung (Awang Azman, 2015: 22).


            Pada 20 Mei 1969,  Tunku Abdul Rahman membentuk  barisan Kabinetnya  yang menyaksikan kepulangan semula Tun Dr. Ismail  yang meletakkan jawatan pada tahun 1967 atas alasan kesihatan, dilantik   sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri (sekarang, Menteri Dalam Negeri).  Tunku kekal sebagai Perdana Menteri,  manakala Tun Abdul Razak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri juga sebagai Menteri Pertahanan dan pemangku Menteri Kewangan.  MCA yang kalah teruk dalam pilihan raya itu enggan menyertai Kabinet, tetapi keesokannya tiga orang anggota parti itu dilantik sebagai Menteri Tanpa Jabatan, iaitu Tun Tan Siew Sin, Khaw Kai Boh, dan Lee Siok Yew  (Comber, 2007: 144). 
Dalam Kabinet itu, Abdul Rahman dilantik sebagai Menteri Pelajaran menggantikan Tan Sri Mohd. Khir Johari yang berpindah ke kementerian lain. Dengan pelantikan itu, beliau merupakan Menteri Pelajaran keempat selepas Tun Abdul Razak, Abdul Rahman Talib, dan Khir Johari, dan merupakan menteri pertama dari  luar Semenanjung yang menerajui portfolio penting. Dalam kalangan orang Melayu terutamanya, yang baru bangkit daripada tragedi berdarah, pada mulanya mereka tidak memberikan harapan yang tinggi pada beliau, meskipun mereka mengalu-alukan pertukaran Khir Johari.
Menurut cerita, pada mulanya Tunku Abdul Rahman mahu memindahkan Abdul Rahman ke Kementerian Penerangan, kerana Tunku mahu kementerian ini juga cemerlang, seperti Kementerian Tanah dan Galian.  Namun begitu, Tun Abdul Ghafar Baba mencadangkan Abdul Rahman diletakkan di kementerian yang lebih penting, iaitu Kementerian Pelajaran, yang lebih sesuai dengan kewibawaannya.  Lagipun, kementerian ini memerlukan seorang menteri yang dinamis dan berpandangan jauh (H. M. Tuah, 1999: 177 – 178).
Abdul Rahman menyambut pelantikan barunya dengan rasa penuh gembira.  Semenjak berusia lapan tahun lagi, dia telah jatuh cinta dengan pelajaran.  Dia telah melalui segala macam kepayahan dalam usahanya hendak menimba ilmu pengetahuan.  Pelajaran telah lama bersatu dalam dirinya (H. M. Tuah, 1999: 178).
Pelantikan anak Sarawak dalam jawatan Menteri Pelajaran selain kepercayaan tinggi pucuk pimpinan nasional adalah disebabkan untuk mengelakkan pendidikan menjadi isu yang panas dan kritikal hingga dijadikan bahan politik parti pembangkang. Dengan pelantikan anak Sarawak, maka kerangka yang lebih luas yang melangkaui sempadan UMNO dana wilayah di Semenanjung Malaysia (Awang Azman, 2015: 21).
            Abdul Rahman tidak memerlukan masa lama untuk memperlihatkan komitmen dan ketegasannya  dalam melaksanakan Dasar Pelajaran Kebangsaan.  Tatkala bahang Peristiwa 13 Mei masih belum reda, beliau mengambil langkah berani mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan “Pada 30 Julai 1969, Menteri Pelajaran mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah di Semenanjung Malaysia secara berperingkat-peringkat, bermula dengan darjah satu pada tahun 1970.  Bahasa Inggeris hanya diajar sebagai bahasa kedua.  Pelaksanaan ini dilanjutkan ke sekolah menengah, termasuk tingkatan enam, akan menggunakan bahasa Melayu  pada tahun 1982.  Mulai tahun 1983, bahasa Melayu akan digunakan sebagai bahasa pengantar dalam tahun pertama di kuliah-kuliah universiti” (Comber, 1970: 146).
            Tentang pelantikannya sebagai Menteri Pelajaran, Abdul Rahman pernah menulis: “Yang menjadi keutamaan saya apabila dilantik ke jawatan tersebut adalah bagaimana sistem pendidikan kebangsaan dapat dilaksanakan.  Antara kekurangan yang cukup jelas kekurangan guru, khususnya bagi bidang sains dan matematik, yang dapat mengajar dalam bahasa Melayu.  Saya mendapat persetujuan Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak untuk mengusahakan kedatangan guru dari Indonesia sebagai langkah segera untuk mengatasi masalah kekurangan guru yang dapat mengajar dalam bahasa Melayu” (Abdul-Rahman, 2015: 19).
Kemuncak pendaulatan  bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam bidang pendidikan, adalah dengan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970, sebagai tindak balas terhadap “ura-ura orang Cina untuk menubuhkan Universiti Merdeka” (Zainuddin, 1997: 41; Syed Husin, 2012: 51).  Tunku Abdul Rahman dan Menteri Pelajaran Mohd. Khir Johari tidak begitu ghairah dengan cadangan penubuhan UKM, sedangkan Tun Abdul Razak memberikan sokongan, tetapi tidak secara terbuka  (Zainuddin, 1997: 41).  Penubuhan UKM adalah atas daya usaha Menteri Pelajaran ketika itu, Tun Abdul Rahman Ya’kub bersama-sama Tun Abdul Razak, yang dilantik  sebagai canselor pertama.  Beliau (Tun Abdul Razak) mahukan UKM “diorientasikan sebagai sebuah institusi yang dapat melahirkan golongan berpendidikan yang bersifat praktikal dan berfikiran terbuka, bukan menjadi universiti yang hanya melahirkan golongan ideologue sahaja” (Nik Anuar, Muhammad, dan Abd. Ghapa, 2011: 319). 
Dalam satu ucapannya, Abdul Rahman menjelaskan bahawa penubuhan UKM pada tahun 1970 adalah “hasil daripada usaha beberapa orang pejuang kebangsaan kita yang bersidang beberapa kali di ibu negara.  Usaha mereka ini,  tidak boleh kita lupai dan nama mereka patutlah ditulis dengan ‘tinta emas’ dalam sejarah UKM ini” (Dewan Masharakat [sic], 1970: 3).
Dalam ucapan itu juga Abdul Rahman menyentuh pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan sepenuhnya yang beliau umumkan beberapa bulan sebelum ini. Beliau memperlihatkan ketegasannya dalam menghadapi tindak-tanduk golongan yang “meragui    kesanggupan dan kebolehan bahasa kebangsaan digunakan sebagai bahasa pengantar yang utama dalam mata pelajaran sains dan yang serupa dalam pusat pengajian tinggi, dan juga di sekolah menengah di negara ini. Ada golongan yang dengan sengaja memutarbelitkan apa yang telah dilaksanakan  mulai Januari 1970.  Mereka  menuduh kerajaan menghapuskan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di Malaysia. Beliau menegaskan bahawa propaganda itu tidak berasas sama sekali sambil mengingatkan bahawa Dasar Pelajaran Kebangsaan mewajibkan tiap-tiap murid di bangku sekolah daripada rendah sehingga ke atas mempelajari bahasa Inggeris” (Dewan Masharakat [sic], 1970: 2). Bahkan, beliau mengkritik golongan tersebut dengan  menganggap mereka  “sebenarnya tidak mahu bahasa kebangsaan digunakan dengan seluas-luasnya di negara ini sambil memetik Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, bahawa mereka masih berjiwa kolonial, meskipun negara sudah merdeka. Mereka belum dapat mengeluarkan diri mereka daripada penjajahan jiwa mereka” (Dewan Masharakat [sic], 1970: 3). 
(Dipetik daripada Bab Dua, Pengukir Sejarah Pembina Banga, Jilid II, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

KRIS Bukan Pilihan

RABU, 24 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Sebelum menubuhkan dan mengetuai UMNO, Dato’ Onn ialah ahli asal Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS), dan beliau ialah peserta kongres KRIS yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 16 dan 17 Ogos 1945  (Comber, 2007: 52). Pada bulan Julai 1945, beberapa minggu sebelum  menyerah diri, Jepun memutuskan untuk menyegerakan rancangan mereka untuk memberikan kemerdekaan kepada Indonesia. Dalam satu pertemuan yang dihadiri oleh Setiausaha Agong Pentadbiran Tentera Jawa, Sumatera, Celebes, dan Tanah Melayu pada penghujung bulan itu, sebuah parti baharu terkenal dengan nama KRIS telah muncul di bawah Ibrahim (Haji) Yaacob. KRIS  – senjata turun-temurun orang Melayu – bertujuan untuk menggalakkan idea Indonesia Raya dan pada amnya, memperluas konsep kebangsaan Melayu (Comber, 2007: 51).  Meskipun rancangan kemerdekaan Tanah Melayu dan bergabung dengan Indonesia tidak dapat dilaksanakan, diputuskan bahawa  KRIS – tanpa kehadiran Ibrahim yang telah terbang ke Jakarta – akan  meneruskan perjuangan kebangsaan di Tanah Melayu (Comber, 2007: 53). 
Mustapha Hussein dalam memoirnya menulis penubuhan KRIS, yang menurut beliau, singkatan Kekuatan Rakyat Istimewa dan bukannya Kekuatan Rakyat Indonesia Semenanjung – nama yang terdengar selepas Jepun menyerah kalah  (Insun Sony, 1999: 363 – 364; 383, nota 2).  Mustapha menceritakan perihal  KRIS  dalam Bab 25 “Hodosho dan Pertubuhan KRIS (Kekuatan Rakyat Semenanjung) Julai – Ogos 1945.”  Mustapha yang tidak hadir dalam Kongres KRIS yang berlangsung di Station Hotel, Kuala Lumpur, kerana uzur, mencatatkan penglibatan Dato’ Onn.  Berdasarkan surat Ibrahim kepada beliau pada 20 Mei 1975, “Kongres KRIS 16 dan 17 Ogos diserahkan kepada Dr. Burhanuddin memimpin bersama Hassan Manan, Dato’ Onn, Tengku Hussein – Singapura,  dan lain-lainnya”  (Insun Sony, 1999: 379).  Beliau  juga memetik surat Leftenan Osman Daim, ajutan Ibrahim,  yang menjelaskan bahawa Kongres KRIS yang dihadiri oleh banyak pemimpin, termasuk Dato’ Onn tidak dapat dilaksanakan kerana Jepun telah menyerah diri.  Osman dan “banyak pemimpin lain, termasuk Allahyarham Dato’ Onn dan Encik (Tan Sri) Samad Ismail telah bersama-sama naik kereta (api) mail ke Singapura”  (Insun Sony, 1999: 380).   Tindakan Dato’ Onn tidak mematuhi perintah Ibrahim untuk meneruskan Kongres KRIS bersama-sama Dr. Burhanuddin,  dan pulang ke Selatan Semenanjung, menyebabkan Ibrahim dalam suratnya kepada Mustapha, menuduh Dato’ Onn “pembelot” (Insun Sony, 1999: 380). Mustapha yang menyesali  dan bahkan mengkritik tindak-tanduk Ibrahim, termasuk tindakannya “pergi ke Indonesia bukanlah dengan mandat atau diutus  oleh Kongres KRIS” (Insun Sony, 1999: 382), mempertahankan kewajaran kongres itu tidak diadakan.  “Wakil-wakil Kongres KRIS menggunakan akal fikiran dan sempat menjauhkan diri daripada terperangkap”  (Insun Sony, 1999: 381).
Tan Sri A. Samad Ismail, yang turut menghadiri Kongres KRIS itu atas arahan Ibrahim,  menulis, “pertama kali saya menemui Dato’ Onn dalam perhimpunan wakil-wakil Keris [sic] yang diadakan di Station Hotel, Kuala Lumpur sejurus sebelum Jepun menyerah kalah.  Kongres itu diadakan untuk membincangkan proklamasi kemerdekaan Malaya, tetapi telah dibatalkan apabila Jepun menyerah diri akibat ledakan bom di Hiroshima dan Nagasaki. Dato’ Onn dan Sardon Jubir (Tun) adalah antara wakil dari negeri Johor.  Saya menjadi wakil Singapura” (rujuk Anwar, 2005: 25).
Tidak dapat dipastikan sejauh mana penglibatannya dalam KRIS mencorakkan pemikiran dan perjuangan politik Dato’ Onn. Yang jelas, “beliau tidak bersetuju dengan gagasan Dr. Burhanuddin al-Helmy, pemangku Pengerusi KRIS untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu menerusi Indonesia Raya.  Beliau mengingatkan orang Melayu supaya berfikir dengan teliti sebelum bercakap kemerdekaan Tanah Melayu”  (Cheah, 2014: 121).  Beliau juga bersikap krisis terhadap KRIS dan bentuk kemerdekaan Tanah Melayunya.  Meskipun beliau dikatakan anggota Kesatuan Melayu Muda (KMM), beliau dikatakan enggan menyertai KRIS (Cehah, 2014: 283 – 284).
KRIS mempunyai hayat yang singkat, kalau menurut catatan Mustapha Hussein,  ditubuhkan “pada 3 Julai 1945” (Insun Sony, 1999: 367), dan   “apabila British kembali semula ke Tanah Melayu pada akhir September 1945, para pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM),  Pembela Tanah Air (PETA), dan KRIS ditangkap, tetapi mereka dibebaskan kemudian. 
Perjuangan KRIS yang dimasuhkan diteruskan dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), yang menjadi cergas dalam politik sejak awal lagi setelah Inggeris kembali semula ke Tanah Melayu (Comber, 2007: 53).  PKMM ditubuhkan oleh golongan  kiri Melayu dalam perhimpunan pertama di Ipoh, Perak  pada  17 Oktober  1945 (Ariffin, 2015: 47), wujud hanya beberapa bulan lebih awal daripada PMSJ.  Dato’ Onn yang menerajui PMSJ meneruskan kerjaya dan perjuangan politiknya tanpa menyertai PKMM; sebaliknya,  beliau akhirnya  menubuhkan UMNO.  “PMSJ ini juga menjadi sebuah daripada pertubuhan Melayu yang mengasaskan UMNO”  (Ibrahim, 1981: 327).  Meskipun pegawai PKMM, seperti Ishak Haji Muhammad cuba mendapatkan Dato’ Onn supaya bekerja dengan mereka, parti beliau, PMSJ, enggan bersama-sama PKMM (Cheah, 2014: 284).
Dato’ Onn menggunakan pelbagai saluran untuk membela dan memperjuangkan nasib orang Melayu.  Selain melalui akhbar dan persatuan, beliau turut menghadiri persidangan yang bersifat  “nasionalisme Melayu.”  Beliau pernah menghadiri Kongres Persatuan Melayu Kedua, sebagai  tamu istimewa.  Kongres yang terakhir sebelum Pendudukan Jepun, berlangsung di Singapura pada 25 dan 26 Disember 1940, dihadiri oleh 41 orang wakil daripada 11 badan negeri dari Singapura, Pulau Pinang, Melaka, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Kelantan Johor, Brunei, dan Sarawak.  Sungguhpun tidak berjaya melahirkan sebuah pertubuhan Melayu yang meliputi seluruh Malaya, persatuan-persatuan Melayu itu tidak syak lagi mempunyai kejayaan juga dan turut memberikan sumbangan yang bererti kepada kepesatan berkembangnya nasionalisme politik Melayu beberapa tahun kemudian. Dalam satu pengakuan setelah berakhirnya kongres tersebut, Dato’ Onn berkata, “Sebenarnya, bangsa Melayu belum  jatuh dan tidak  jatuh... Dengan pendirian persatuan-persatuan Melayu di Semenanjung  Tanah Melayu ini saya yakin memang orang Melayu boleh mengembalikan kuasa yang lalu dan membaikkan kehidupan orang Melayu (Roff, 2014: 263 – 264; rujuk juga Ramlah, 2005a: 58 - 60).
(Dipetik daripada Bab Empat, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)


Tuesday, July 23, 2019

Kematian Demokrasi

SELASA, 23 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


"Demokrasi telah mati di Malaysia,” isytihar Tun Dr. Ismail   Abdul Rahman apabila tercetusnya Peristiwa 13 Mei 1969. Bagi mereka yang masih mengenang   Dr. Ismail yang terkenal dengan ketegasannya, ucapan beliau ke seluruh negara itu masih kekal dalam memori mereka.  Pastinya,  tidak kurang menimbulkan tanda tanya ketika itu akan maksud di sebalik amaran beliau itu kerana Darurat telah diisytiharkan di seluruh negara  pada 15 Mei 1969 dan Parlimen digantung dan Majlis Gerakan Negara (Mageran) ditubuhkan sehari kemudian.  Selalunya, jika demokrasi berkubur, maka tempatnya digantikan oleh autoritarian.
Dengan memetik  kata-kata Winston Churchill bahawa “demokrasi ialah sistem pemerintahan yang paling buruk, tetapi tidak ada satu sistem lain pun yang lebih baik daripada itu," dan ucapan  Dr. Ismail itu, Firdaus Haji  Abdullah (2009),  merumuskan “iktibarnya ialah tidak mudah untuk mengamalkan demokrasi dalam pengertian yang murni.”
         Dr. Ismail meninggalkan dunia persaraannya yang selesa kerana beliau menganggotai lembaga pengarah beberapa buah syarikat, seperti Malayan  Sugar Refinery dan  Guthrie Corporation,  bahkan  tidak mempedulikan  masalah kesihatannya   semata-mata ingin menabur khidmat dan bakti kepada negara Malaysia yang dilanda kacau-bilau akibat rusuhan kaum selepas Pilihan Raya Umum pada 10 Mei 1969.  Tawaran beliau untuk berkhidmat semula disambut dengan senang hati oleh Tunku Abdul Rahman yang tidak lagi popular akibat prestasi teruk Perikatan dalam pilihan raya itu.  Beliau menyifatkan kepulangan semula Dr. Ismail untuk berkhidmat tatkala negara menghadapi detik runcing itu sebagai “gerak isyarat kesetiaan dan sayang untuk kawan”  (Tunku Abdul Rahman, 1978: 128). Dr. Ismail   menyertai  Mageran,  dengan Tun Abdul Razak   sebagai pengarahnya. Ahli politik yang turut dilantik,  ialah  Dato’  Hamzah Abu Samah, Menteri Penerangan dan Penyiaran; Tun Tan Siew Sin; Tun V.T. Sambanthan. Anggota lain terdiri daripada dua orang pegawai awam, Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin, Pengarah Perkhidmatan Awam dan Tan Sri Ghazali Shafie, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.  Tentera dan polis diwakili Tengku Osman Jiwa, Ketua Turus Angkatan Tentera dan Tan Sri Mohammad Salleh, Ketua Polis Negara.  Seorang lagi pegawai tentera, Leftenan Jeneral Dato’ Ibrahim Ismail, yang menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (Milne dan Mauzy, 1982: 110). Seterusnya, pada 20 Mei tahun itu beliau menganggotai Kabinet Darurat yang diwujudkan oleh Tunku Abdul Rahman (Comber, 2007: 144),  dengan beliau dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal  Dalam Negeri, jawatan yang beliau pernah sandang sebelum beliau meletakkan jawatan pada tahun 1967.
            Mageran berbeza daripada Kabinet dalam beberapa perkara.  Sebahagian besar tanggungjawab Mageran adalah terhadap keadaan keselamatan, harus menumpukan perhatiannya pada masalah khusus dan serta-merta... Ahli-ahli ini memainkan peranan penting dalam sebarang pertimbangan yang dibuat oleh Mageran. Dalam kalangan ahli politik, Tun Razak dan Tun Ismail memikul tanggungjawab yang amat berat (Milne dan Mauzy, 1982: 110 – 111).
Jeneral Tun Ibrahim Ismail yang berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Mageran, mencatatkan dalam autobiografinya bahawa pada 15 Mei, beliau diperintahkan hadir di Residency, kediaman rasmi Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri ketika itu. Tunku mengadakan mesyuarat Kabinet pada pagi itu. Tun Dr. Ismail menawarkan perkhidmatannya kepada kerajaan kerana negara  mengalami krisis yang teruk.  Dengan itu, beliau sekali lagi diterima menganggotai Kabinet juga turut hadir pada pagi itu (Ibrahim, 2008: 324).
Dalam  “kata pengantar”  buku  Ooi Kee Beng (2007), Tun Mohd.  Salleh Abas, mantan Ketua Hakim Negara,  mengimbas kembali bahawa Tun Abdul Razak memanggil beliau hadir dalam pertemuan  di kediaman Tunku Abdul Rahman. Ketika itu,  rusuhan masih  marak. “Para menteri yang hadir membincangkan bagaimana cara mengendalikan rusuhan,” tulis Mohd. Salleh sambil menambah, “Sebentar kemudian, Dr. Ismail, yang sudah bersara daripada Kabinet dua tahun sebelum itu tiba dengan wajah yang penuh khuatir.”    Tun Mohd. Salleh masih ingat akan kata-kata peringatan Dr. Ismail kepada mereka yang hadir, supaya jangan menggantungkan Perlembagaan buat selama-lamanya.  Katanya, “Kalau kamu gagal, kelak sama sahaja dengan kudeta yang lain, kamu semua mati ditembak satu demi satu.” Berkat amaran Dr. Ismail yang tegas, perbincangan berubah haluan, lalu bertumpu pada perisytiharan Darurat dan penubuhan Mageran untuk mentadbir negara hingga suasana pulih dan Parlimen dapat bersidang semula.
(Dipetik daripada Bab Tiga, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa JIlid I,  yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)


Monday, July 22, 2019

Tahun Baharu Harapan Lama


ISNIN, 22 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Setiap kehadiran tahun baharu akan disambut dengan keriangan, harapan, dan tidak kurang pula yang menyambutnya dengan pesta yang meriah. Manusia yang bermacam-macam ragam menyambutnya dengan bermacam-macam cara. Yang pasti, mereka berasa seronok menyambut tahun baharu dan mereka ingin melupakan segala suka duka tahun sebelumnya.

Tahun 2002 merupakan tahun kedua pada abad ke-21 yang dinanti-nantikan bersama-sama alaf baharu. Sebagaimana dua tahun sebelumnya, iaitu tahun 2000 dan 2001, tahun 2002 disambut dengan penuh kenangan dan keceriaan, khususnya bagi warga kota. Tahun 2001 ditinggalkan bersama-sama pelbagai kenangan dan kenangan itu pula akan hanya diingati untuk sementara waktu kerana kebanyakan orang lebih bersedia untuk mengharungi hidup pada tahun 2002.

Walaupun tahun demi tahun berganti dan disertai dengan harapan baharu, banyak perkara lama yang terus berulang, baik  di peringkat negara ataupun mahupun antarabangsa. Di peringkat negara kita, Malaysia, soal perkauman, kemiskinan, gejala sosial, amalan rasuah, dan sebagainya masih berleluasa setiap tahun. Pendek kata, penyakit dan masalah lama berterusan setiap tahun. Perkara yang sepatutnya selesai, sesuai dengan tempoh kemerdekaan yang semakin lama, seperti perkauman belum dapat dibanteras. Peristiwa Kampung Medan yang berlaku pada tahun lalu memang sukar dipercayai memandangkan sifat toleransi yang wujud dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Demikian juga tuntutn yang berbau perkauman yang ingin merampas atau melucutkan hak kaum tertentu masih berlaku. Kadangkala sukar dibayangkan bagaimana seseorang itu datang ke rumah orang dengan tujuan ingin merampas harta benda tuan rumah atau mengusir tuan rumah keluar.

Selain perkauman, ketegangan yang bersifat keagamaan masih berlaku, meskipun Malaysia memberikan kebebasan agama.  Jika diteliti beberapa peristiwa beberapa tahun yang lalu, toleransi agama semakin merundum. Meskipun masyarakat mengalami perubahan dan pemodenan, pertembungan kejahilan dalam bentuk keagamaan kian berlaku. Ketegangan  bukan sahaja tercetus antara agama, tetapi juga dalam agama itu sendiri.  Gejala seperti ini sukar diterima kerana sepatutnya kejahilan telah dihakiskan sama sekali, Berbanding dengan generasi terdahulu,yang secara relatifnya, kurang moden, tetapi mereka berpegang pada amalan toleransi agama yang sangat tinggi.

Sementara itu, amalan  rasuah dan perbuatan  rogol anak sendiri seakan-akan tidak terkawal. Memang sukar dibayangkan agensi yang dipertanggungjawabkan dan diamanahkan menjaga wang rakyat boleh berlaku curang atau pecah amanah.  Demikian juga perbuatan si ayah merogol anak sendiri yang semakin berleluasa. Memang aneh kerana ketika kesedaran terhadap agama semakin mendalam, gejala sosial, seperti rasuah dan rogol semakin menjadi-jadi. Seolah-olahnya berlaku pertembungan antara arus kesedaran agama dengan gejala sosial.

Di peringkat antarabangsa pula , keganasan dan kekejaman semakin berleluasa dan sukar dibendung. Walaupun warga dunia hidup dalam era kecanggihan teknologi dan mereka mendukung globalisasi, tidak ada seorang pemimpin dari negara maju yang sanggup berusaha untuk mewujudkan orde dunia yang lebih rukun demi kesejahteraan umat manusia.  Dendangan lagu "We are the world, we are the children" ketika Afrika dilanda kebuluran pada pertengahan tahun 1980-an, sepatuttnya dihayati dalam arena antarabangsa masa kini. Tujuannya adalah untuk mewujudkan orde baharu dunia yang lebih adil kepada semua warga dunia, tidak kira sama ada di Utara ataupun di Selatan.

Serangan terhadap Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan Afghanistan menambahkan lagi kisah ngeri dan yang menyayat hati yang terpaksa ditanggung oleh sebilangan warga dunia. Kini, warga dunia berasa tidak selamat, walau di mana-mana pun mereka berada. Ketakutan terhadap kebuluran, kemiskinan, dan peperangan kini ditambah oleh ketakutan terhadap keganasan dan kejahilan. Bangsa yang menganggap diri mereka beradab kadangkala lebih ganas daripada yang dianggap gasar. 

Apabila kita merenung setiap tahun berlalu dan tahun baharu menjelang tiba, kita dapati tidak banyak perubahan ke arah  kesejahteraan umat manusia.  Prasangka dan kebencian, sama ada berdasarkan agama ataupun budaya semakin tebal.

("Memo Ketua Editor," Dewan Budaya, Januari 2002.)





Keusahawanan

ISNIN, 22 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Mulai  Januari  1994, Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan majalah bulanannya,  Dewan Ekonomi.  Salah satu ruang yang disediakan dalam majalah ini, ialah “Tokoh Usahawan,” dengan Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir muncul dalam keluaran sulung, diikuti oleh Tan Sri Azman  Hashim dalam keluaran berikutnya, dan  Tan Sri Teh Hong Piow dalam keluaran Mac.  Apabila DBP mengambil alih semua majalahnya  yang difrancaiskan kira-kira satu dekad kepada sebuah penerbit swasta, termasuk Dewan Ekonomi, mulai keluaran Januari 2007,  majalah ini dengan tenaga editorialnya   tidak menunggu lama untuk menemui Tan Sri Teh dan Public Bank, yang muncul dalam    keluaran September   melalui ruangan “Korporat.” Pastinya, antara dua liputan ini, banyak peristiwa yang berlaku di peringkat negara dan antarabangsa, seperti  krisis kewangan Asia 1997/1998,  yang akibatnya, bank-bank tempatan diarahkan bergabung  antara tahun 1999 – 2000.  Pastinya, antara tempoh itu, Public Bank terus berkembang maju, berjaya mengharungi krisis terburuk itu, dan merealisasikan statusnya sebagai bank anchor.
            Hasil usaha gigihnya menubuhkan dan membina Public Bank Bhd., Teh Hong Piow,   tahun demi tahun, muncul sebagai salah seorang individu terkaya di Malaysia.  Shang Hai, majalah bulanan ekonomi dalam bahasa Cina keluaran April 1989 muncul dengan  “Ten Largest Chinese Businessmen,” dengan   Teh Hong Piow salah seorang daripadanya (dipetik daripada Hara, 1991:  360).  Beliau  menduduki tangga keenam daripada 30 orang kapitalis Cina Malaysia yang utama pada tahun 2006, dengan kekayaan anggaran pada 29 Disember tahun itu, RM7.150 bilion (Beh, 2007: 245, Jadual 7.9).  Dalam senarai  40 orang terkaya di negara ini pada tahun 2015, beliau menduduki tangga kelima, dengan kekayaan RM18.174 bilion seperti pada 17 Januari tahun itu.  Pada tahun 2014, beliau menduduki tangga ketiga, dengan kekayaan RM18.066 bilion.  Pada tahun 2015, tempat ketiga beliau diambil oleh Tan Sri Lim Kok Thay daripada Genting Group, dengan kekayaan RM25.35  bilion, manakala seorang lagi banker, Tan Sri Quek Leng Chan daripada Hong Leong Group, kekal di tangga keempat, dengan kekayaan RM20.42 bilion. Sementara itu, Robert Kuok Hock Nien daripada Kerry Group/Kuok Group  dan T. Ananda Krishnan daripada Usaha Tegas, masing kekal di tangga pertama dan kedua dengan kekayaan masing-masing RM41.358 bilion dan RM35.502 bilion (Mior, 2015: 28).  Dalam senarai individu yang terkaya di Malaysia pada tahun 2016, Teh menduduki tempat ketiga, dengan kekayaan RM20.327 bilion berbanding dengan RM18.404 bilion, meningkat RM1.923 bilion atau 10.4 peratus.  Beliau  di belakang Robert Kuok yang memiliki kekayaan RM36.735 bilion dan Tan Sri Lim Kok Thay yang memiliki kekayaan RM22.207 bilion (StarBiz Team, 2017: 3) Pada tahun 2017, beliau menduduki tempat ketiga, dengan kekayaan bersih RM21.5 bilion, di belakang Robert Kuok (PBB Group/Kerry Group) dan Tan Sri Lim Kok Thay (Genting Group) dengan kekayaan bersih masing-masing RM49.9 bilion an RM23.8 bilion (StarBiz Team, 2018: 12).

            Dalam kalangan 20 buah syarikat teratas dari segi  membayar ganjaran kepada lembaga pengarah pada tahun 2013, Public Bank Bhd. menduduki tangga keenam dengan bayaran RM44.486 juta; pada tahun sebelum ini, Public Bank membayar RM38.185 juta, menduduki tangga kelima. Hasil bank ini pada tahun 2013 berjumlah RM15.264 bilion dan keuntungan bersih RM4.065 bilion (Nurul ‘Ain, 2014:  24). Pengarah bank ini yang menerima bayaran tertinggi, ialah pengasas dan pengerusi eksekutifnya, Tan Sri Teh Hong Piow, iaitu RM18.936 juta pada tahun 2013 dan RM14.514 juta pada tahun 2012 (Nurul ‘Ain, 2014:  25).
Dipetik daripada Bab Tiga, Peneraju Dunia Korporat, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)





Sunday, July 21, 2019

Wartawan dan Usahawan

AHAD, 21 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Selepas Perang Dunia Kedua tamat pada tahun 1945,  Tun Fuad Stephens dikatakan  bekerja sebagai kontraktor membekalkan kayu balak untuk kerja-kerja pembangunan kepada Jabatan Kerja Raya.  Selepas itu, beliau menjadi pemberita   North Borneo News di Daerah Pantai Barat, Borneo Utara.
Dalam beberapa pekerjaan yang diceburi  sebelum Fuad Stephens menceburi  politik, kewartawanan boleh dianggap menjadi “darah daging” beliau.  Beliau bukan sekadar wartawan, tetapi juga usahawan yang mendirikan syarikat akhbarnya sendiri. Terbukti bahawa syarikat akhbarnya berkembang  maju. Menurut laman Web Istana Negeri, pada tahun 1953, Tun Fuad menubuhkan The Sabah Times.  Beliau  menggabungkan North Borneo News dengan The Sabah Times  beberapa bulan kemudian dan menamakannya  North Borneo News and Sabah Times.  
            Sebagai wartawan dan penerbit Sabah Times, beliau dapat menguasai fikiran rakyat melalui tulisan-tulisannya dalam akhbar tersebut (Yahaya Ismail, 1978: 15). North Borneo News menjadi wadah beliau memperjuangkan nasib kaum peribumi yang terpinggir di Sabah. Dalam masa yang singkat, pihak pengurusan akhbar yang diterbitkan dua minggu sekali di Sandakan Fuad Stephens menjadi wartawan atau koresponden di Bahagian Pantai Barat.  Kepetahan beliau bermain kata-kata dalam penulisannya, akhirnya menyaksikan akhbar berkenaan menawarkan beliau untuk mempunyai ruangannya yang tersendiri.            Beliau menulis dengan nama pena, seperti “Rambler” dan “Roderick.” Beliau juga menulis untuk ruangan “surat kepada pengarang” dengan pelbagai nama pena, antara yang paling popular dan menjadi sebut banyak pembaca ialah nama pena, “Vox Populi” (Joniston, 2009: 69).
            Joniston Bangkuai yang menyumbang makalah untuk Terbilang: Potret Tokoh Wartawan Negara, menegaskan bahawa Fuad Stephens bukan sekadar menceburi dunia kewartawanan, bahkan beliau bercita-cita untuk memiliki akhbar sendiri di Jesselton. Hanya oleh sebab kekurangan modal, maka akhbar pilihannya, The Sabah Times tidak dapat dilancarkan. Justeru, beliau terus mempergiatkan tulisannya dalam North Borneo News, membongkar kepincangan pentadbiran kerajaan British dan dasar penjajah yang dianggap lapuk dan menindas kaum peribumi (Joniston, 2009: 71).
            Pada tahun 1952, impian Fuad Stephens untuk menerbitkan akhbar sendiri menjadi kenyataan, dengan sumbangan adiknya, Tan Sri Ben Stephens sebanyak $1000.  Wang itu ialah titik peluh Ben yang dinaikkan pangkat dan tunggakan gajinya.  Bersama-sama rakan seperjuangannya yang mempunyai impian yang sama, seperti Tan Sri Pao Tzu, beliau mengasaskan The Sabah Times. Kelahiran akhbar ini menjadi kenyataan pada 21 Januari 1953, dengan Fuad Stephens adalah segala-galanya: pemilik, wartawan, penulis, dan ada ketikanya, budak pengantar akhbar berkenaan (Joniston, 2009: 73 – 77).  Beliau banyak menumpukan masanya untuk penerbitan akhbar ini, kecuali pada hari Ahad, kerana akhbar ini diterbitkan pada hari itu,  maka beliau mempunyai masa terluang untuk bersama-sama keluarga, sahabat handai, dan rakan-rakan (Joniston, 2009: 77).
            Edaran dan jualan The Sabah Times meningkat secara mendadak.  Fuad Stephens mula membina empayar medianya, apabila “pada tahun 1954, beliau mengambil alih North Borneo News.  Kedua-dua akhbar ini digabungkan di bawah nama North Borneo News and Sabah Times” (Joniston, 2009: 79).  Bagi memastikan jumlah pembaca mencakupi pelbagai lapisan rakyat, satu halaman didedikasikan khas kepada pembaca Melayu. Akhbar berkenaan juga mempunyai ruangan bahasa Kadazan yang disunting oleh rakan Fuad Stephens, Datuk Freed Sinidol. Kedua-duanya, iaitu Fuad Stephens dan Sinidol menjadi rakan yang akrab kerana bersama-sama memperjuangkan hak dan kebudayaan Kadazan, ini termasuk mempunyai siaran radio dalam bahasa Kadazan (Joniston, 2009: 79).  Pada Februari 1955, Fuad Stephens menerbitkan beberapa siri rencana untuk memaparkan kebudayaan kehidupan seharian masyarakat Kadazan yang sebelum ini tidak mendapat perhatian (Joniston, 2009: 83). 
            Pada suatu ketika,  Fuad Stephens  menawarkan  Tan Sri Abdul Samad Ismail untuk memimpin akhbar yang dimiliki di Sabah itu, tetapi Samad menolak (A. Samad, 1997: 17).  Dengan mempelawa Samad Ismail, wartawan terkenal, nampaknya Fuad Stephens mempunyai cita-cita besar untuk mengembangkan dan memajukan lagi syarikat akhbarnya.
            K. Bali,  dari  Kelantan kemudiannya   merantau ke Sabah,   mencatatkan dalam memoirnya perkenalannya dengan Fuad Stephens. “Pada 9 April 1956, saya menaiki bas (dari Menggatal) menuju ke Jesselton. Dari perhentian bas Jesselton saya berjalan kaki menuju ke Jalan Gaya, mencari pejabat Sabah Times yang berhampiran dengan pejabat akhbar Han Chiau Jit Pao (K. Bali, 2002: 288).  “Seorang wanita mempelawa saya duduk di kerusi rotan dan sekejap kemudian, Tuan Donald keluar dan kami berjabat tangan” (K. Bali, 2002: 288 - 289). Daripada catatan K. Bali itu jelas menunjukkan Fuad Stephens  sangat melayan dan menghormati  tetamu, kerana beliau  mempelawa K. Bali  minum, meskipun K. Bali memberitahu bahawa baru sahaja minum di Menggatal (K. Bali, 2002: 289).
            Sebenarnya, Fuad Stephens  meminta K. Bali datang ke pejabat Sabah Times untuk urusan bayaran,  kalau dalam istilah sekarang, honorarium sumbangan tulisan K. Bali.   Bersama-sama wang kertas $50, K. Bali diminta menandatangani baucar yang disertakan (K. Bali, 2002: 289). Di sini menunjukkan bahawa  Fuad Stephens menghargai sumbangan penulis dan masa yang sama, beliau mengambil berat pengurusan kewangan, iaitu menyediakan dokumen bayaran: baucar. Apabila K. Bali bertanya tujuan wang itu diberikan kepadanya, Fuad Stephens menjawab, “Tidak apa-apa, kamu selalu menulis untuk siaran Sabah Times, wang ini sebagai sagu hati. Terimalah buat belanja kopi” (K. Bali, 2002: 289).
            Meskipun K. Bali menjelaskan bahawa beliau menulis sebagai sumbangan sahaja tanpa memikirkan bayaran, Fuad Stephens  menjelaskan, “Terima sajalah Encik Bali, surat khabar kami sebagai business paper ada pendapatan.  Kami mesti bayar kepada penulis dan pemberita.  Saya nampak kamu sangat rajin menulis dan selalu hantar untuk Sabah Times (K. Bali, 2002: 289). Dalam perbualan itu jelas menunjukkan bahawa akhbar milik Fuad ketika itu sudah berdaya maju, manakala Fuad Stephens  sendiri membuktikan kejujurannya dengan membayar titik peluh pengkarya.  Sebenarnya, bukan mudah untuk sebuah akhbar untuk membayar sumbangan penulis dengan  berbagai-bagai alasan. Yang menarik, Fuad Stephens sendiri menyuruh orangnya bernama Abdullah mencari K. Bali di Menggatal untuk urusan bayaran. Ketika itu, K. Bali mengikuti rombongan sandiwara Booty Suria Negara mengadakan persembahan di beberapa tempat di Sabah.
(Dipetik daripada Pengukir Sejarah Pembina Bangsa Jilid II, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

Saturday, July 20, 2019

Memulakan Perjalanan Politik

SABTU, 20 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Tun Datu Mustapha Datu Harun memberitahu, sejak tahun 1953 lagi,  beliau mengikuti perjuangan UMNO dari dekat, iaitu ketika beliau menuntut di Maktab Pertanian di Serdang.  Tan Sri Ong Kee Hui terdahulu dari beliau menuntut di situ. “Ketika itu juga saya ada bertemu dua kali di maktab itu  sekali di rumah  kediamannya minum teh dengan Allahyarham Dato’ Sir Onn Ja’afar yang mulai memimpin Parti Negara [sic]. Pertemuan itu adalah perantaraan seorang guru maktab itu, cikgu Muhammad  Rashid Ahmad yang sangat karib dengan Dato’ Onn ketika itu. Dato’ Onn ada bertanya apakah saya tidak tertarik dengan politik Semenanjung ketika itu. ‘Saya tidak berani masuk campur, kerana saya adalah rakyat Borneo Utara’, itu penjelasan saya” (Subky, 1981: 10). Serdang itu sendiri ialah pusat kegiatan politik. Seorang tokoh Parti Negara [sic], cikgu Muhammad Rashid Ahmad, menjadi orang kanan Dato’ Onn, bertugas di Maktab Pertanian itu. Oleh itu, tempat inilah sentiasa menjadi tumpuan dan tempat berulang orang politik.  Cikgu Rashid inilah yang memperkenalkan Mustapha dengan Dato’ Onn (Subky, 1981: 50 – 51).
            “Akan tetapi ketika itu perjuangan UMNO dalam mencapai kemerdekaan sungguh menarik perhatian saya. Saya ikuti setiap perkembangan dan perjuangannya juga asya perhatikan dari dekat. Saya hampir menyertainya.  Bagaimanapun, saya dinasihatkan oleh kawan-kawan yang rapat bahawa adalah tidak bijak bagi seorang yang ada kedudukan dalam sebuah wilayah yang terjajah untuk mencampuri urusn politik negeri lain. Kawan-kawan itu menasihatkan kalaupun saya tertarik dengan politik UMNO, maka tugas saya bukanlah dalam UMNO, saya harus balik ke Sabah dan memperjuangkan nasib orang Sabah dahulu” (Subky, 1981: 10 – 11).
            Menurut Arkib Negara Malaysia, kerjaya politik Mustapha bermula apabila beliau dilantik sebagai anggota Majlis Undangan  Negeri Borneo Utara pada tahun 1954, dan seterusnya anggota Majlis Kerja Borneo Utara pada tahun 1956. Pada tahun 1961, Mustapha  mengasaskan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), dan beliau dipilih sebagai Yang Dipertua (presiden) USNO pertama pada 24 Disember tahun itu.
            Mustapha menggerakkan beberapa buah persatuan bagi mewujudkan pertubuhan politik di Sabah (Hamdan, 2015: 39). Cadangan penubuhan USNO bermula pada 2 Jun 1961, apabila Mustapha mengumpulkan sebanyak 60 orang di rumah Haji Abdullah Salleh, bertempat di pekan Kudat.  Susulan pertemuan itu, maka pada 24 Jun, suatu mesyuarat khas diadakan di Kelab Rekreasi Kudat bagi membentuk jawatankuasa penaja USNO. Ahli jawatankuasa yang dilantik ialah Mustapha (Yang Dipertua), Datu Aliuddin Datu Harun (timbalan), Cikgu Sabri Muhidin (setiausaha), Abdul Salam Noor (timbalan setiausaha), Haji Sulaiman Ahmad Mukhtar (bendahari), 21 orang bekas pasukan gerila Mustapha serta seorang bekas perisik (Hamdan, 2015: 40).
            Pembentukan USNO merupakan hasil gabungan beberapa buah persatuan Islam, badan kebudayaan, dan badan bahasa, dari beberapa tempat dan bandar di Sabah (Hamdan, 2015: 41). Kemunculan USNO ialah hasil daya usaha Mustapha  dan pemimpin-pemimpin Islam yang telah lama bergerak dalam persatuan sosiopolitik dan sosiobudaya di Sabah. Antara tokoh yang terbilang itu ialah  Datuk Zakaria Gunn, Datuk Ahmad Mahmud, Haji  Yusuf Shamsudin, Datuk Parman Hasan Raji, Datu Haji Ariffin,  dan Datu Haji Abdul Malik Jangkit (Jangkat (Sabihah, 2008: 10). Abdullah menyatakan nama tersebut bersama-sama beberapa nama lain, iaitu Datuk Mursyidi Nambi, Abang Dzulkifli Apong, Ahmad Haji Mohd. Taib, Datuk Othman Haji Sidik, dan Datuk K.M. Ednin sebagai jawatankuasa penaja yang diketuai oleh Mustapha, manakala Datuk Habib Abdul Rahman dan Mohsin Beldram dikemukakan oleh pihak penaja sebagai setiausaha agung (Abdullah, 1976: 69).
            Penubuhan USNO didorong oleh perkembangan politik di Persekutuan Tanah Melayu dan pengumuman konsep gagasan Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman, dan “dipercayai penubuhannya atas nasihat dan persetujuan Tunku dan Tun Abdul Razak.:
            Beberapa bulan sebelum penubuhan USNO,  iaitu menjelang Ogos 1961, Donald Stephens (Tun Mohammad Fuad Stephens) menubuhkan Pertubuhan Kadazan Kebangsaan Bersatu (UNKO), sebuah parti yang mewakili kaum Kadazan (Mohd, 2016: 242). Atas nasihat Datuk Ahmad Mahmud, orang kerajaan yang berasal dari Kedah, lama tinggal di Sabah, kongres penubuhan USNO diadakan di Kudat demi menghindari saingan dengan  UNKO.  Mustapha bersetuju dengan cadangan itu (Abdullah, 1976: 69). USNO dan UNKO saling bersaing untuk mengembangkan pengaruh dalam kalangan masyarakat bumiputera di Sabah, yang akhirnya membawa kepada perseteruan politik.
            Mustapha pernah memberitahu dalam memoirnya, “oleh sebab orang Kudat boleh dikatakan kebanyakannya berkeluarga dengan saya, maka tidak sukar saya mendapatkan bantuan bagi memulakan kerja-kerja USNO.  Lagipun kedudukan saya ketika itu bolehlah dikatakan terkemuka juga disebabkan saya adalah seorang yang telah dipilih oleh British duduks sebagai anggota Dewan Undangan Negeri yang sama kedudukan dengan wakil rakyat sekarang dan juga Exco yang sama kedudukan dengan Exco di negeri-negeri sekarang (Subky, 1981: 7 – 8). Semasa kerajaan British, Mustapha sendiri sudah diberikan menikmati kekayaan bumi Sabah, iaitu beliau bekerja sebagai pemborong dan British memberi beliau kawasan balak.  Tulis Mustapha, “ketika saya memulakan gerakan USNO itu pendapatn saya kira-kira $80,000 sebulan.  Dengan wang inilah saya gunakan untuk perjuangan itu. Wang sebanyak itu hendak dibawa ke mana bagi keadaan seperti Sabah (Subky, 1981: 8).
            USNO  membuka keanggotaannya kepada semua golongan bumiputera Sabah, memperjuangkan hak semua penduduk bumiputera Sabah, biarpun dalam tindak-tanduknya lebih menekankan kepentingan bumiputera Islam (Sabihah, 2008: 10). Kemunculan USNO yang membuka keanggotaannya kepada semua masyarakat bumiputera Sabah telah menyebabkan dasar keanggotaan  UNKO tergugat kerana banyak  bumiputera Dusun yang tidak bersetuju dengan penggunaan perkataan Kadazan telah menyertai USNO (Sabihah, 2008: 9). Penekanan parti yang demikian ini membezakan perjuangan USNO dengan UNKO yang lebih mengutamakan bumiputera bukan Islam. Perbezaan penekanan inilah yang antara lain menjadi punca pertikaian  antara pemimpin USNO dengan UNKO (Sabihah, 2008: 10).
     Mustapha memberitahu kesukarannya untuk menggerakkan USNO apabila beliau terpaksa menghadapi pelbagai ancaman, termasuk ancaman nyawa yang terpaksa dihadapi. “Banyak sekali pujukan dan ugutan yang terpaksa saya tempuh. Saya masih ingat betapa sahabat saya karib saya Haji Abdul Ghani menangis-nangis datang kepada saya: katanya dia ada mendengar saya akan ditahan oleh British dan dan saya akan dicampakkan ke dalam jel. Seorang tauke Junior Kwan dari Sandakan datang bersama-sama Residen Keith Wookey menawarkan wang $1.5 juta meminta saya supaya jangan mencampuri politik. Seorang lagi tauke Sabah bernama Chung Chao Long juga ikut menemui saya dan menawarkan $1 juta kiranya saya sedia meninggalkan USNO.
(Dipetik daripada Bab Empat, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa Jilid II, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...