Artikel Popular

Saturday, July 20, 2019

Pagar Makan Padi

SABTU, 20 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

"Inilah masalah yang kita hadapi. Biasanya, apabila kita bagi kontrak, lesen, AP (permit Import), bukannya perniagaan yang dapat, sebaliknya jual kontrak, jual AP, jual lesen. Kita buat macam-macam cara untuk tolong bumiputera, tetapi mereka buat angkara." Ulas Datuk Seri Dr, Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia terhadap ahli perniagaan bumiputera apabila kesemua kontraktor gagal menyiapkan makmal sekolah.

Sejak sekian lama, khususnyas sejak pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru, 1971 - 1990, kisah ahli perniagaan bumiputera yang bersifat Ali-Baba atau lebih tepat, "pagar makan padi" sering terbongkar. Sikap tidak amanah, tidak bertanggungjawab, dan ingin cepat kaya merupakan gelaja yang sukar dikikis dalam kalangan mereka. Selain bersikap demikian, mereka begitu gelojoh untuk mengaut keuntungan sehingga rela menggadai martabat atau maruah bangsa. Sesetengahnya pula apabila berada di puncak kejayaan dan hidup kaya-raya mula lupa daratan dan jauh sekali ingin membantu perniagaan kecil milik bangsa sendiri.

Keadaan hidup masyarakat Melayu  kini kelihatan porak-peranda bukan kerana angkara ahli politik semata-mata, tetapi juga angkara ahli perniagaan bumiputera. Tindak-tanduk mereka untuk mengaut kekayaan semasa zaman mewah dan mengemis pertolongan kerajaan semasa tersepit telah menimbulkan kebencian dalam kalangan orang Melayu sendiri. Oleh itu, kroni bukan sekadar permainan bahasa politik dan ekonomi, tetapi juga merupakan pertentangan budaya dalam masyarakat Melayu kini.  Keadaan ini memisahkan ahli perniagaa Melayu dengan masyarakat mereka sendiri, dan kerajaan terpaksa menanggung sebahagian akibat pertentangan itu.  Di samping itu, imej ahli perniagaan tulen yang bertungkus-lumus membina perniagaan mereka turut tercemar akibat kemunculan ahli perniagaan yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah.

Oleh yang demikian, apabila beberapa orang ahli perniagaan bumiputera atau syarikat kepentingan bumiputera kerugian sehingga pemilikannya terpaksa berpindah tangan kepada bukan bumiputera sekalipun, orang Melayu tidak mempedulikannya.  Mereka tidak terasa terhina, tercabar, dan jauh sekali untuk mempertahankannya.  Keadaan ini berbeza sama sekali pada tahun 1980-an, seperti kes pemilikan UMBC, orang Melayu bangkit memperjuangkan kepentingan kaum mereka, meskipun pada masa itu, kuasa ekonomi dan pemilikan modal mereka amat kecil.

Sesungguhnya, sikap "pagar makan padi" dalam kalangan ahli perniagaan bumiputera membawa akibat  yang besar. Pihak kerajaan terpaksa berhadapan dengan keyakinan rakyat semakin terhakis sehingga tidak mudah bagi kerajaan untuk menyelamatkan syarikat yang terbabit, lebih-lebih lagi jika syarikat pada tanggapan umum, ada hubungan politik. Orang Melayu pula tidak lagi mendesak kerajan supaya menyelamatkan syarikat berkenaan, malahan mereka dengan lantang melemparkan kritikan.

Sebenarnya, ada orang Melayu  ingin melihat syarikat perniagaan bumiputera berjaya dalam perniagaan, tetapi angkara sesetengah ahli perniagaan menyebabkan mereka berdiam diri.  Mereka takut untuk bersuara supaya kerajaan menyelamatkan syarikat yang bermasalah kerana mungkin dianggap membela kroni. Orang  Melayu bukannya bersikap hasad dengki terhadap kejayaan perniagaan bumiputera sehingga mereka sanggup melihat syarikat berkenaan jatuh tersungkur.  Kadangkala mereka hilang pertimbangan kewarasan apabila mereka melihat segelintir ahli perniagaan Melayu yang haprak. 

Ahli perniagaan Melayu sepatutnya  memikul tanggungjawab  yang besar. Selain memajukan perniagaan mereka sendiri, mereka perlu menunaikan harapan kerajaan dan mendukung martabat bangsa mereka. Selain itu, mereka perlu membantu usaha untuk melahirkan masyarakat perniagaan dan perindustrian bumiputera, Namun begitu,  harapan dan tanggungjawab itu tidak akan tercapai sekiranya perniagaan mereka terumbang-ambing atau "hidup segan mati tak mahu."

("Nota Ketua Editor," Dewan Budaya, Disember 2001.)

Politik: Ke Arah Kepimpinan Kebangsaan

SABTU, 20 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Hingga tahun 1959, pembentukan parti politik tidak berlaku di Sarawak, agak terkebelakang jika dibandingkan dengan Tanah Melayu (Leigh, 1974: 7).  Parti politik pertama di negeri itu, ialah Parti Rakyat Bersatu Sarawak atau Sarawak United People’s Party (SUPP) yang ditubuhkan pada 12 Jun 1959 (Leigh, 1974: 14). Parti ini diasaskan oleh (Tan Sri) Ong Kee Hui, (Datuk Amar) Stephen Yong (Kuet Tze) dan Song Thian Cheok (Sutlive, 1992: 140). Beberapa  pemimpin, termasuk Temenggong Jugah dan Pengarah Montegrai, bersetuju untuk menyokong SUPP.  Kemudiannya, setiap pihak mentafsirkan “sokong” secara  berbeza.  Jugah dan Montegrai mengatakan bahawa mereka hanya bersetuju tidak menentang pembentukan SUPP, manakala pucuk pimpinan SUPP berpendapat komitmen untuk menerajui parti telah dibuat (Leigh, 1974: 14, nota kaki 28; Sutlive, 1992: 140). 
            Berkemungkinan  bahawa pada tahap awal, para pegawai kolonial menggalakkan Jugah menyertai atau paling tidak, menyokong SUPP.  Kemudian, bimbang bahawa SUPP mungkin kekal di bawah kawalan para pemimpin yang mereka percayai, maka para pegawai yang sama, tidak menggalakkan Jugah, atau mengarahkan beliau tidak menyertainya (Sutlive, 1992: 141).  Kerajaan dikatakan hilang keghairahan terhadap SUPP, bahkan sebelum penubuhannya, antaranya kerana kerajaan sedar akan pengaruh  komunis yang  meresap ke dalam  SUPP (Leigh, 1974: 14 -15). Pentadbiran kolonial percaya SUPP tertakluk kepada penyerapan berterusan oleh Clandestine Communist Organization  atau ringkasnya COO (Bradley, t.t.: 128). Jugah nampaknya akur dengan nasihat dan memahami pendirian kerajaan terhadap SUPP.
            Seterusnya,   Parti Negara Sarawak (PANAS) ditubuhkan pada  April 1960, iaitu 10 bulan selepas penubuhan SUPP, dengan Datu Bandar Abang Haji Mustapha sebagai pengerusi dan adiknya, Abang Othman sebagai setiausaha agung. Jawatankuasa pusat agak seimbang, iaitu Melayu, Cina, dan Dayak (Leigh, 1974: 26).  Penubuhan PANAS sebagai saingan terhadap SUPP, pada mulanya menarik sokognan pelbagai kaum, termauk pemimpin terkenal komuniti  Melayu dan Iban. Walau bagaimanapun, Datu Bandar Abang Haji Mustapha memegang  peranan kepimpinan dominan, dan PANAS kemudiannya menjadi sarana puak Melayu yang menyokong penyerahan  (Bradley, t.t.: 128 - 129).
            Jugah  adalah antara yang dipujuk supaya menubuhkan parti itu (Sutlive, 1992: 142). Menurut satu catatan,  beliau tidak menganggotai jawatankuasa pusat pertama PANAS (rujuk Ho, 2000: 85). Parti  ini pada mulanya pelbagai kaum, tetapi semakin dikuasai oleh orang Melayu.  Pada masa awalnya, PANAS memasukkan beberapa orang pemimpin Iban terkenal, dan yang paling terkenal, termasuk penghulu (Francis) Umpau dan Temenggong Jugah, sebagai naib presiden PANAS (Searle, 1983: 12;  Nidzam, 2006: 194).
            Kedua-duanya, iaitu Francis Umpau dan Jugah ialah jawatankuasa pusat PANAS. Kedua-duanya  merupakan orang lama yang keberatan meninggalkan PANAS.   Walau bagaimanapun,  Umpau bersedia untuk meletakkan jawatan dan menubuhkan parti baharu, tetapi Jugah tidak bersedia untuk berbuat demikian (Leigh, 1974: 37; Sutlive, 1992: 143). Jugah  seakan-akan menilai ciri “budak lama” PANAS (Leigh, 1974: 37). Bagi beliau, PANAS membawa imprimatur kerajaan, dan untuk meninggalkan  parti itu, bermakna mengkhianati pihak berkuasa (Sutlive, 1992: 143).  Pada pertengahan Julai 1962, empat pengasas Pesaka, iaitu Banyang, Umpau, Bangau, dan Penghulu Pengabang, bersama-sama banyak penyokong parti, berjumpa Jugah di lapangan terbang Sibu  (Leigh, 1974: 37; Sutlive, 1992: 143). Dengan keberatan, Jugah bersama-sama mereka ke Kanowit tempat beliau berjumpa (Desmond L.) Bruen, pegawai daerah di situ.  Dalam pertemuan itu, Jugah mengingatkan Bruen dengan berkata, “Kamu British teruk! Pada mulanya kamu beritahu,  Parti Negara adalah baik, dan kamu menggalakkan saya menyertainya. Kini, kamu beritahu, silap.” Jawab Bruen, “Bukan begitu.  Kamu perlu membentuk parti baharu jika kamu mahu kamu mempunyai  bahagian dalam  kerajaan.”  Akhirnya, Jugah berkata, “Jika demikian, semuanya tidak ada masalah” (Sutlive, 1992: 143 – 144). Sebagaimana keengganan Jugah menyertai SUPP, keengganannya   meninggalkan PANAS adalah kerana beliau mematuhi nasihat  pegawai British di Sarawak.

            Pada Julai 1962, kedua-duanya, iaitu  Umpau dan  Jugah meninggalkan PANAS untuk membantu membentuk Parti Pesaka Anak Sarawak (Pesaka), yang Jugah menjadi presiden pengasas (Searle, 1983: 12 – 13; 29; Nidzam, 2006: 194).   Pesaka ditubuhkan pada Ogos 1962 dan mewujudkan tapaknya di Bahagian Ketiga Sarawak (Searle, 1983: 29; Nidzam, 2006: 194),  dan merupakan parti Dayak (Ahmad Nidzammuddin, 1994: 13).  Pesaka jelas bergerak di atas pentas Dayak, walaupun secara praktik, kelihatan lebih banyak orang Iban berbanding dengan suku Dayak lain menyertai parti ini (Nidzam, 2006: 194).     
(Dipetik daripada Pengukir Sejarah Pembina Bangsa Jilid II, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

Friday, July 19, 2019

Dunia Berpecah-belah

JUMAAT, 19 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Serangan terhadap Pusat Dagangan Dunia dan Pentagon pada 11 September 2001, dan tindak balas Amerika Syarikat menyerang Afghanistan pada 7 Oktober, menyebabkan dunia mula meninggalkan pengakhiran sejarah. Daripada pertentangan ideologi semasa Perang Dingin, dunia beralih kepada pertentangan yang berasaskan budaya dan keagamaan. Apabila Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush menuduh bahawa Osama bin Ladin dan al-Qaeda bertanggunngjawab melakukan serangan berani itu, tercetus perseteruan agama penganut Kristian dengan Islam di Amerika, Eropah, dan Australia.

Meskipun Bush menegaskan bahawa Amerika tidak bermusuh dengan orang Islam dan Samuel Huntington pula menafikan pertembungan peradaban, rentetan peristiwa 11 September menjurus kepada pertentangan antara Barat dengan Islam. Serangan terhadap Amerika (sebenarnya, serangan terhadap dasar luar negara itu), diputarbelitkan oleh para pemimpin Amerika dan media arus perdana untuk mewajarkan serangan terhadap Afghanistan.  Apabila Amerika dan sekutunya, Britain menyerang negara itu, negara Islam semakin lantang kewajaran serangan itu, meskipun mereka mengutuk serangan terhadap WTC dan Pentagon. 

Memang benar bahawa beberapa buah negara Islam, seperti Pakistan menyokong tindakan Amerika untuk menghapuskan keganasan. Namun begitu, rakyat negara itu menunjukkan pendirian yang berbeza, mereka menentang Amerika dan mengancam pihak pemerintah mereka. Amerika bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan negara Islam, seperti Iran, Iraq, dan Sudan, tetapi juga terpaksa menghadapi penentangan daripada penduduk dan kumpulan Islam di seluruh dunia. Keadaan semakin teruk kerana negara yang menyokong Amerika, sepert Pakistan mula menghadapi huru-hara, anarki, dan mungkin berlaku perang saudara atau pemberontakan tentera. Bantuan kewangan Amerika dan sekutunya, di samping penarikan sekatan ekonomi, gagal meredakan kemarahan rakyat Pakistan apabila saudara di Afghanistan dizalimi dengan sewenang-wenangnya. 

Amerika juga terpaksa menghadapi tentangan daripada golongan antipeperangan yang setiap hari mengadakan tunjuk perasaan di Seattle, Washington, New York, dan serata tempat di dunia. Di beberapa buah tempat, golongan ini bergabung dengan golongan antiglobalisasi dan antikapitalis yang bermula secara kecil-kecilan di Seattle pada akhir tahun 1999 dan berubah menjadi satu gerakan di Genoa pada Julai lalu. Dengan slogan antglobalisasi dan antikapitalis, dan kini, antipeperangan, gerakan tersebut menjadikan Amerika sebagai sasaran mereka. Memang menakjubkan apabila generasi muda yang tidak berpeluang melihat kekejaman Amerika di Vietnam dan Amerika Latin, tetapi sejak akhir-akhir ini mereka amat peka terhadap tindak-tanduk Amerika di pelosok dunia, khususnya dalam arena ekonomi dan politik.

Berakhirnya Perang Dingin dengan kemenangan kepaa kapitalisme dan kekalahan kepada sosialisme, jurang antara negara maju, khususnya antara Amerika dengan negara Islam semakin meluas.  Globalisasi gagal menyatukan dunia di bawah satu wawasan; sebaliknya, dengan memetik kata-kata Edwad Said, "mewujudkan pertembungan kejahilan."

Walaupun tidak dapat dipastikan, sama ada perang menentang keganasan ataupun jihad yang pasti, dunia memasuki ambang perpecahan.  Sebagaimana Bush tidak dapat menerima serangan terhadap WTC dan Pentagon, umat Islam juga pasti tidak dapat menerima sebarang tindakan Amerika terhadap Osama, sama ada hidup ataupun mati. Osama dianggap sebagai wira yang muncul daripada Peristiwa 11 September, sebagaimana kemunculan Che Guevara semasa Revolusi Cuba. Meskipun kedua-duanya muncul dalam era dan "ideologi" berbeza, wawasan mereka sama, iaitu menentang keangkuhan, kezaliman, dan penindasan Amerika.

Dalam peperangan yang masih panjang, George W.  Bush dan Tony Blair mencuba sedaya-upaya untuk meredakan kemarahan umat Islam dengan menggunakan saluran diplomatik dan menghulurkan bantuan makanan kepada penduduk Afghanistan. Namun begitu, seperti kata Robert Fisk, wartawan Independent: "Seperti biasa, kita diberitahu bahawa rakyat Afghanistan bukan musuh kita.  Kata-kata yang sama diungkapkan sebelum ini, iaitu Terusan Suez (1956), Lubnan (1982), Libya (1985), Iraq (1991), tetapi adakah umat Islam boleh mempercayai penipuan demi penipuan dan keganasan demi keganasan?" Pertembungan kejahilan mengorbankan rakyat yang tidak berdosa dan meletakkan dunia dalam keadaan ketidakpastian - kegelapan pada awal abad ke-21.

("Memo Ketua Editor," Dewan Budaya, November 2001.)














Kapitalisme Kroni: Tidak Ada Tempat untuk Mengelak


JUMAAT, 19 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan pembentukan Malaysia pada tahun 1963, kerajaan melancarkan pelbagai rancangan lima tahun, seperti General Plan of Development, 1956 – 1960,  Second Five-Year Plan,  1961 – 1965, Rancangan Malaysia Pertama, 1966 – 1970, Rancangan Malaysia Kedua, 1971 – 1975, dan seterusnya. “Rancangan Malaysia Pertama dan Rancangan Malaysia Kedua mempunyai impak segera terhadap laluan yang diambil oleh Kuok Brothers Ltd.  Rancangan termasuk insentif untuk menarik pelabur swasta dan menggalakkan pembangunan ekonomi di Malaysia yang digunakan sepenuhnya oleh Kuok Brothers. Pemahaman ciri ini penting dalam menjelaskan kejayaan Robert Kuok” (Sia, 1995: 57).
Kepentingan yang sangat luas ditunjukkan dalam hubungan antara Kuok Brothers Ltd.  dengan anggota terkemuka kerajaan Malaysia di kedua-dua peringkat, iaitu negeri dan Persekutuan. Hal ini dapat dikesan dengan kawan dan jiran di Johor Bahru dan rakan persekolahan dan pengajiannya di Raffles College (Sia, 1995: 57). Analisis tentang syarikat awalnya yang diperbadankan di Malaysia dan kini bersatu ke dalam Perlis Plantations  Bhd. pada tahun 1987, menunjukkan gaya pengembangan yang dilaksanakan oleh Robert Kuok. Anehnya, Robert Kuok tidak sangat berjaya dalam perniagaan papan lapis dan venir yang dicadangkan oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.  Beliau mengatasi perkara ini dan memberikan tumpuan terhadap semua peluang yang diberikan secara percuma oleh kerajaan pada tempoh pascamerdeka (Sia, 1995: 57).
Pada tahun awal kemerdekaan, kerajaan memperkenalkan perindustrian penggantian import (ISI), berdasarkan cadangan rombongan Bank Dunia pada tahun 1954, yang dalam laporannya mencadangkan usaha menggalakkan modal perindustrian tempatan, menarik modal asing, menawarkan pengecualian cukai serta galakan lain, membekalkan kemudahan bagi kawasan perindustrian dan membangunkan infrastruktur lain.  Dalam usaha menggalakkan ISI, secara langsung atau tidak langsung, kerajaan melindungi pasaran tempatan dan menawarkan galakan untuk menawarkan galakan untuk menubuhkan kilang baharu (Jomo, 1992: 54). Dorongan ISI  pascakolonial mencerminkan kepentingan kedua-duanya, iaitu modal perindustrian asing yang bimbang untuk mengekalkan atau memperluas pasaran era pascakolonial, di samping kepentingan modal tempatan yang terlibat dalam litar nasional (Jomo, 1986: 210).
Kerajaan juga  memperkenalkan Ordinan Industri Perintis 1958, untuk menggalakkan pelaburan, dengan memberikan insentif yang menarik kepada para tempatan dan asing. Industri yang diberikan taraf perintis layak menikmati pelepasan cukai, termasuk peruntukan cukai untuk pelaburan modal.  Apabila menghadapi batasan dasar ISI, kerajaan beralih kepada strategi perindustrian berorientasikan eksport yang memberikan dorongan baharu kepada sektor perkilangan atau pembuatan.  Pada awal tahun 1970-an, kerajaan giat menggalakkan perindustrian berorientasikan dengan memperkenalkan pelbagai langkah baharu, termasuk penubuhan zon perdagangan bebas.
Komoditi gula dan tepung gandum diberikan taraf perintis oleh kerajaan Malaysia. Langkah ini selari dengan dasar kerajaan untuk menggalakkan para pelabur dan usahawan tempatan terlibat secara aktif dalam perindustrian di negara ini (Sia, 1995: 59). Robert Kuok mengambil peluang daripada pelbagai insentif yang ditawarkan oleh kerajaan. Beliau memperoleh taraf perintis untuk kedua-dua syarikatnya, iaitu Malayan Sugar Manufacturing, yang didirikan bersama dengan syarikat Jepun di Perai, dan Federal Flour Mills.  Dua syarikat Robert Kuok ini seterusnya menikmati faedah apabila di bawah Rancangan Malaysia Pertama, 1966 – 1970, kerajaan mencorakkan industri gula dan tepung gandum untuk promosi dalam  menggalakkan usaha ISI. Syarikat Kuok menikmati pelepasan cukai, seperti peruntukan pengurangan pelaburan, kredit cukai pelaburan, dan susut nilai dipercepat (Lee, Cheong, dan Lee, 2013:  278). 
Dasar ISI pada tempoh sebelum rusuhan  13 Mei menampakkan sebagai contoh, Robert Kuok – daripada perniagaan keluarga yang mapan – bergerak secara berturut-turut ke dalam kedudukan dilindungi dalam mengilang gula, mengilang gandum, dan perkapalan  menerusi perkongsian dengan penyedia teknologi Jepun (Studwell, 2007: 32). Di setiap tempat wilayah ISI gagal mewujudkan tradisi kapitalisme perindustrian untuk melengkapi kapitalisme saudagar yang dibenarkan berkembang maju pada era kolonial.  Sebaliknya, kapitalis saudagar  berjaya memperoleh kepentingan pembuatan atau perkilangan dalam usaha sama atau hubungan teknologi dengan pengusaha  Barat atau Jepun. Pola ini tidak pernah berubah seterusnya (Studwell, 2007: 33).
Negara dikatakan menyediakan rangsangan awal kepada perniagaan Robert Kuok, meskipun ketika itu, “hubungan perniagaan  dengan kerajaan agak unik bagi perniagaan Cina, berkemungkinan berpunca daripada persahabatan dengan Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak, yang beliau temui semasa di Raffles College” (Jesudason, 1989: 61).
Pada tahun 1971, kerajaan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB),  dan pada tahun 1975, kerajaan memperkenalkan  Akta Penyelarasan Perindustrian (ICA).  Pelaksanaan ICA dikatakan mencetuskan pelbagai reaksi daripada komuniti perniagaan Cina.  ICA mendorong anjakan pelaburan Cina dari sektor  perkilangan atau pembuatan ke sektor perdagangan, kewangan, pembinaan,  pembangunan hartanah, dan usaha niaga spekulatif yang menjanakan pulangan segera dan tidak tertakluk kepada syarat ICA. Beberapa syarikat Cina besar yang berasa tidak terjamin dalam pelaburan domestik mula menempatkan semula operasi dan modal mereka di luar negara menyebabkan berlakunya “larian modal” dari Malaysia,  dalam jumlah yang besar, iaitu menurut anggaran, antara tahun 1976 hingga 1986, berjumlah AS$12 bilion. Sesetengah syarikat pula,  menyesuaikan strategi perniagaan mereka dengan persekitaran politik dan ekonomi yang berubah (Chin, 2007: 285 – 286). Keluarga Kuok misalnya, berpindah ke Hong Kong dengan meningkatkan  jumlah syarikat mereka di sana dan mengurangkan syarikat mereka di Malaysia  Jesudason, 1989: 154; Chin, 2007: 286). Syarikat-syarikat di Malaysia disemai dengan penyertaan bumiputera yang berpengaruh dan pengarah bumiputera  dilantik menganggotai Lembaga Pengarah Kuok Brothers Sdn. Bhd. (Chin, 2007: 286).
Robert Kuok  dianggap usahawan yang mencapai kejayaan dan mencipta “konglomerat” perniagaan sebelum pelaksanaan DEB (Chin, 2007: 287).  Selain itu, dalam penglibatan bumiputera, beliau dikatakan “mendahului DEB.” Hal ini jelas kerana   “sebelum pelaksanaan kuota, perniagaannya  memasukkan penyertaan bumiputera yang signifikan. Beliau menarik penyertaan Melayu menerusi Felda dan Tabung Haji sebagai rakan kongsi dalam Malayan Sugar Manufacturing, Perlis Plantations Bhd., dan Federal Flour Mills” (Lee, Cheong, dan Lee, 2013:  279 – 280). Oleh sebab Robert Kuok mempunyai hubungan rapat dengan elit Melayu, maka beliau peka terhadap keprihatinan parti pemerintah untuk menggalakkan lebih banyak orang Melayu dalam bidang ekonomi.  Pada mulanya, penyertaan orang Melayu melibatkan mereka yang mempunyai hubungan rapat  beliau ketika di Johor dahulu, terutamanya kerabat diraja, di samping rakan karib beliau di negeri itu (Lee, Cheong, dan Lee, 2013:  280).
Namun begitu, di sebalik kejayaannya di Malaysia, “layanan baik” yang diberikan kepada syarikatnya oleh kerajaan Malaysia, dan sebagai ahli perniagaan yang mempunyai hubungan rapat dengan para pemimpin negara ini, Robert Kuok, kira-kira empat dekad lalu,  bersiap sedia untuk  meninggalkan Malaysia berpindah  ke Hong Kong. “Tempat persembunyian Hong Kong atau Singapura merupakan sumber keselamatan dan pelaburan yang boleh dipercayai bagi taikun dari Thailand, Malaysia, Indonesia, dan Filipina, sama ada pada ke-19 ataupun hari ini” (Studwell, 2007: 35). Wujud tanda tanya mengapa beliau menempatkan semula dirinya dan perniagaannya ke Hong Kong (misalnya,  Lee, Cheong, dan Lee, 2013). Ada yang mengatakan bahawa beliau   amat tidak menyukai  DEB yang mengutamakan bumiputera dan mengakibatkan kronisme, (Li, 2013; huruf condong oleh saya sendiri).
Kalau benar bahawa pelaksanaan DEB merupakan salah satu alasan perpindahan itu, maka perlu dinyatakan bahawa “pemilikan ekuiti orang Cina dalam sektor korporat  tidak terjejas dalam tempoh pelaksanaan DEB (1971 – 1990), meskipun pemilikan bumiputera (individu, institusi, dan agensi amanah) meningkat daripada hanya 2.4 peratus pada tahun 1970 kepada hampir 20 peratus pada tahun 1990. Sebaliknya, orang Cina mencatatkan peningkatan ekuiti korporat mereka dalam tempoh yang sama, meningkat daripada 23 peratus kepada 41 peratus” (Muhammed, 2014: 100; rujuk juga Jadual 1.3). Peningkatan ini dirumuskan, “mencerminkan hakikat bahawa persaudaraan taikun lebih baik daripada sebelum ini;  DEB tidak menamatkan urus janji antara politik yang terasing dari segi politik dengan elit ekonomi” (Studwell, 2007: 27).
Kajian  tentang pemilikan dan kawalan syarikat tersenarai awam yang terdiri daripada 172 buah syarikat yang tersenarai di bawah Kaunter Perindustrian Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) pada 1 Ogos 1992, lebih sedikit daripada satu pertiga dikawal oleh individu atau keluarga Cina Malaysia.  Turut tersenarai ialah Robert Kuok yang merupakan pemegang utama Federal Flour Mills Bhd. dan Perlis Plantations Bhd. (Beh, 2007: 242). Sebelum itu, dalam keluaran April 1989, Shang Hai, majalah ekonomi bulanan dalam bahasa Cina, menyenaraikan ““Ten Largest Chinese Businessmen”  di Malaysia, dengan Robert Kuok menduduki senarai paling atas (Hara, 1991: 360). Robert Kuok yang memiliki perniagaan bukan sahaja di Malaysia, Singapura, Hong Kong, dan tanah besar China, tetapi juga berkembang ke Liberia, Panama, Australia, Filipina, dan Kanada, dirujuk oleh majalah itu sebagai “commersial kingdom” Kuok.  Pusat “kingdom” itu ialah Kuok Brothers Sdn. Bhd. (Hara, 1991: 361). Selain itu, arahan awal  DEB mempunyai kesan sedikit terhadap Robert Kuok. Bahkan, Robert Kuok adalah antara  usahawan Cina yang berjaya memperluas kekayaan mereka dan membina yang baharu semasa pelaksanaan DEB dan ICA. Taikun Cina ini mewakili kumpulan pertama “wang lama,” iaitu perniagaan yang mapan sebelum DEB, dan bahkan semakin membesar semasa DEB (Heng, 1997: 275).
Selain mempengerusikan  Perbadanan Kemajuan Pelancongan Malaysia dan MISC, beliau juga dilantik sebagai pengerusi Penerbangan Malaysia (MAS) selepas berpecah dengan MSA. Apabila kerajaan menubuhkan Bank Bumiputra Bhd. dan Perbadanan Nasional Bhd. (Pernas), beliau dijemput untuk menduduki lembaga pengasas.  Berbanding dengan ahli perniagaan Malaysia tempatan lain, Robert Kuok merupakan pemain utama dalam syarikat yang disokong oleh kerajaan (Lee, Cheong, dan Lee, 2013:  280).  Justeru, ada penulisan akademik tentang Robert Kuok menggambarkan beliau sebagai contoh kapitalisme kroni. Kajian ini berasaskan korpus meluas kepustakaan primer dan sekunder, menunjukkan walaupun Robert Kuok bergantung pada pengaruh politik untuk kebaikan perniagaan, beliau menjangkau mencari sewa (rent-seeking) dengan bergantung pada sumber kekuatan lain untuk menjadi pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, pengeluar gula kelapan terbesar di dunia, dan pengusaha rantaian Hotel Shangri-La mewah (Lee, Cheong, dan Lee, 2013:  270 - 271).  Walau bagaimanapun,  “untuk mengatakan bahawa Robert Kuok mendapat manfaat kerana menjadi kroni negara  adalah berlebih-lebihan, terutamanya dalam hubungan penggunaan istilah ini untuk mereka yang bergantung pada naungan kerajaan pada tahun 1980-an dan seterusnya” (Lee, Cheong, dan Lee, 2013:  278). Sementara itu, beberapa orang pengkaji melihat kapitalis Cina di Asia Tenggara sebagai pencari sewa (rent-seekers), iaitu kelas  kapitalis yang bergantung pada negara dan modal asing (Beh, 2007: 231).  Perusahaan Kuok ialah contoh baik bagaimana hubungan antara perniagaan Cina dengan negara adalah penting untuk kejayaan, dan bagaimana, sebaik-baik syarikat menjadi antarabangsa dan tidak lagi bermastautin dalam persekitaran dilindungi oleh negara, maka kerapuhan struktur syarikat yang dikuasai oleh keluarga menjadi kelemahan yang serius (Beh, 2007: 240).
Kalau benar bahawa Robert Kuok ke Hong Kong kerana ingin mengelakkan daripada kroni atau amalan  mencari sewa  – yang disebut oleh ahli ekonomi – jenis khusus bikin wang, iaitu melalui hubungan politik -  hakikatnya,  amalan tersebut berlaku di banyak negara dan bukannya di Malaysia semata-mata. Seperti yang dapat dilihat dalam “The Crony-Capitalism Index,” yang menunjukkan kekayaan hartawan sebagai peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).  Daripada 23 buah negara, pada tahun 2014, Hong Kong menduduki tempat pertama, diikuti oleh Rusia, Malaysia, Ukraine, dan Singapura. Kelima-lima buah negara ini mengekalkan kedudukan pada tahun 2007 masing-masing. Negara lain yang   turut tersenarai, ialah Filipina yang menduduki tempat keenam berbanding dengan tempat kesembilan (2007), Indonesia tempat ke-10 berbanding dengan tempat ke-18 (2007), Thailand tempat ke-16 berbanding dengan  tempat ke-23 (2007), manakala China kekal dengan tempat ke-19 (The Economist, 2014: 55, Jadual 3). Sektor mencari sewa yang termasuk dalam indeks ialah kasino; arang batu, minyak sawit, dan balak; pertahanan; perbankan pengambilan deposit dan perbankan pelaburan; infrastruktur dan salur paip; minyak, gas, bahan kimia, dan tenaga lain; pelabuhan dan lapangan terbang; hartanah dan pembinaan; keluli, logam lain, perlombongan, dan komoditi; dan utiliti dan perkhidmatan telekom (The Economist, 2014: 54, Jadual 1). Di negara yang ahli perniagaan mempunyai hubungan politik berkemungkinan besar maju dan berjaya (The Economist, 2014: 54). Hong Kong dan Singapura padat dengan hartawan dalam industri kroni.  Hal ini menggambarkan tanah yang kurang, yang merangsang nilai harta, dan peranan negara dan wilayah itu sebagai entrepot untuk negara jiran  yang licik.  Hong Kong juga sudah lama kendur antitrust: hanya meluluskan undang-undang persaingan ekonomi meluas dua tahun lalu (The Economist, 2014: 55).
Perlu dinyatakan, negara yang Robert Kuok mempunyai kepentingan perniagaan, turut tersenarai dalam indeks tersebut, misalnya: Singapura (tempat kelima), Indonesia (tempat ke-10), dan China (tempat ke-19). Bahkan, di Indonesia, Robert Kuok  menubuhkan syarikat perladangan tebu, Gunung Madu, dengan Kuoks memiliki 45 peratus saham, manakala 55 peratus lagi dibahagikan sama rata antara Yani Haryanto dengan anak lelaki dan menantu lelaki Presiden Suharto.
(Dipetik daripada Bab Dua, Peneraju Dunia Korporat, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

Thursday, July 18, 2019

Petani di Kota

KHAMIS, 18 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Penghijrahan dari luar bandar ke bandar kerana alasan ekonomi, pendidikan, dan sebagainya, merupakan fenomena di kebanyakan kota negara membangun.  Sesetengah golongan penghijrah ini berjaya mengharungi hidup kota, malahan mereka mengalami mobiliti sosial yang lebih baik. Sesetengahnya pula tenggelam dalam arus kehidupan kota, lalu mencari jalan keluar yang tersendiri yang kadangkalah bercanggah dengan norma, kelaziman, dan undang-undang. 
Lazimnya, golongan penghijrah ini membawa bersama-sama budaya dan amalan hidup asal ke kota. Mungkin wajah mereka kelihatan seperti warga kota, tetapi jiwa mereka masih orang desa. Fenomena ini akan berterusan pada abad ke-21 dan dalam era teknologi maklumat.
Di kota, kawasan melarat (shanty town)  wujud bersama-sama dengan gedung beli-belah, bangunan pencakar langit, dan kawasan eksklusif yang bukan sahaja menggambarkan perbezaan sosial yang ketara, tetapi juga menggambarkan api pertentangan sedang membara.
Sebahagian penghijrah ini bersama-sama golongan lain di kota yang mengalami nasib yang sama seperti merek, iaitu mangsa pemodenan menjelma dalam dalam pelbagai bentuk dan gerakan. Sesetengahnya terjerumus ke dalam gejala sosial, seperti penagihan dadah, pelacuran, dan sebagainya. manakala sesetengah yang lain menyerap dan melibatkan diri dalam gerakan sosial keagamaan, etnik, dan budaya. Dengan menyertai gerakan seperti ini mangsa pemodenan ini dapat membina kekuatan dan kesepaduan.
Lazimnya, mangsa pemodenan berusaha mencari mangsa mereka, terutamanya apabila mereka mampu bertindak secara kumpulan. Mereka menjadikan pihak berkuasa dan kumpulan lain sebagai sasaran mereka. Meskipun secara luaran sesebuah kota kelihatan moden dan canggih, yang jelas, tindakan mangsa amat bercanggah dengan suasana atau rupa bentuk kota berkenaan. Dengan berselindung di balik keagamaan, etnik, dan budaya, mangsa pemodenan ini mencari mangsa mereka. 
Apabila memerhatikan fenomena yang wujud di Kuala Lumpurs sejak akhir-akhir ini, seperti gejala sosial yang berleluasa dan gerakan keagamaan yang semakin subur, maka timbul persoalan tentang hala tuju warga kota pada alaf  baharu. Apakah kesedaran terhadap agama sehingga masjid, gereja, dan kuil dipenuhi oleh penganut masing-masing akan membawa kepada kefanatikan agama dan kelunturan toleransi agama?
Kata-kata Robert D. Kaplan dalam The Ends of the Earth bahawa "apabila kemasukan pelarian meingkat dan apabila kaum tani terus berhijrah ke bandar di seluruh dunia, mereka mengubah bandar menjadi kampung yang  luas terbentang, sempadan negara semakin sempit, manakala kuasa politik semakin jatuh ke dalam tangan golongan yang kurang terpelaja, kurang canggih," memang ada kebenarannya. Kaplan yang pesimistik tentang masa hadapan dunia kerana  berlaku anarki, menegaskan bahawa pada pandangan golongan kurang terpelajar, tetapi baru berkuasa, sempadan sebenar paling ketara dan sukar dipengaruhi ialah budaya dan puak atau kabilah.
Dalam era globalisasi, dunai tanpa sempadan, budaya dan puak semakin kukuh. Dalam era globalisasi ini, sebagaimana keupayaan negara bangsa untuk mengawal selia modal semakin lemah, apakah negara bangsa juga menghadapi rintangan yang sama apabila berhadapan dengan kumpulan atau gerakan yang berasaskan keagamaan, etnik, danb budaya? Kumpulan atau gerakan ini bukan sahaja berusaha menentang kosmopolitan yang dibawa bersama-sama globalisasi, malahan menentang pemerintah yang dianggap bersekongkol dengan golongan kosmopolitan.

("Memo Ketua Editor," Dewan Budaya, Oktober 2001.)





Memajukan Ekonomi Bumiputera

KHAMIS, 18 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Pada Jun 1965  berlangsung Kongres Ekonomi Bumiputera yang pertama, yang mencadangkan  penubuhan Bank Bumiputra Berhad dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).  Bank Bumiputra Berhad    ditubuhkan tahun itu juga dengan bantuan kerajaan untuk berkhidmat sebagai pusat kewangan untuk pengumpulan modal Melayu.  Pada  Mac 1966, MARA ditubuhkan menggantikan RIDA (Lembaga Kemajuan Perusahaan dan Kampung), di bawah Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar.
            Kongres Ekonomi Bumiputera itu, menurut Tun Ismail Mohamed Ali, “menjadi perkara yang bersejarah yang penuh bermakna.  Tun Abdul Razak mengaturkan mesyuarat pertama kongres.  Beliau melantik saya menjadi Pengerusi Kumpulan Sekerja Ekonomi dan kami meneruskannya dengan penubuhan Bank Bumiputra Berhad, MARA, dan pusat-pusat latihan (Ismail, 2006: 195).
            Pada 22 September 1970, Tun Abdul Razak dilantik sebagai Perdana Menteri kedua menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra.  Pada Julai 1971, iaitu beberapa bulan selepas demokrasi dipulihkan berikutan perisytiharan Darurat akibat Peristiwa 13 Mei 1969, beliau  membentangkan Rancangan Malaysia Kedua  1971 – 1975 di Parlimen yang mengandungi prinsip dan program Dasar Ekonomi Baru (DEB).  Penggubalan Rancangan ini pada prinsipnya dilaksanakan oleh Unit Perancangan Ekonomi yang diketuai oleh Tan Sri Thong Yaw Hong, dengan input daripada Raja Tun Mohar Raja Badiozaman, Tan Sri Chong Hon Nyan, Tun Ismail Mohamed Ali, Tan Sri Rama Iyer, dan beberapa yang lain (Ahmad Sarji, 2016: 33).
            DEB dilancarkan sebagai sebahagian strategi Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri ketika itu, bagi menyatukan dan membangunkan semula negara selepas pengalaman yang mengejutkan pada tahun 1969.  Selain objektif mewujudkan kemakmuran untuk semua rakyat Malaysia supaya tidak ada komuniti yang akan mengalami kehilangan dan penafian hak, rancangan ini juga  menekankan objektif yang penting bagi meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu selaras dengan semangat dan niat “tolak ansur” Perlembagaan (Faaland, Parkinson, dan Rais, 1991:  18).
Rancangan Malaysia Kedua merupakan tahap pertama pelaksanaan DEB,  “mengakui bahawa usaha mewujudkan perpaduan dan pengenalan negara merupakan kerja pelbagai bidang. Tugasnya tidaklah sebegitu mudah, terutamanya bagi negara yang dibebankan dengan pembahagian bangsa, agama, taraf ekonomi, dan pengasingan geografi... Di Malaysia, usaha begini melibatkan penggunaan seluruh bidang dasar ekonomi dan dasar sosial, daripada dasar pendidikan dan kesihatan kepada dasar buruh dan guna tenaga, serta juga langkah bagi menyusun semula pemilikan modal, dan bagi mengadakan urutan pengubahan sosial yang akan memberikan sedikit banyak keadilan kepada bilangan teramai rakyat negara.  Usaha ini tidak mahu tidak berkehendakkan perbelanjaan” (Faaland, Parkinson, dan Rais, 1991: 94).
Tun Ismail masih ingat “peristiwa di Parlimen sewaktu membuat undian bagi mendapatkan sumbangan untuk membiayai penyertaan orang Melayu dalam bidang perniagaan dan sektor swasta.  Kerajaan memiliki saham dalam syarikat-syarikat besar dan kami telah menjual saham-saham tersebut kepada individu Melayu” (Ismail, 2006: 195). Beliau juga  tidak lupa akan sahabat karibnya,  menulis, “DEB dimajukan dan insan yang memainkan peranan utama dalam membangunkannya ialah Timbalan Perdana Menteri kedua, iaitu Tun Dr. Ismail Abdul Rahman” (Ismail, 2006: 195).
Semasa berkhidmat sebagai gabenor Bank Negara Malaysia, Tun Ismail  diminta menimbangkan kemungkinan penubuhan sebuah tabung amanah bagi membeli saham-saham yang diperuntukkan kepada bumiputera.  Beliau sendiri mempengerusikan jawatankuasa kerja yang  mencadangkan penubuhan Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) dan seterusnya PNB. Menurut Tun Dr. Mahathir,  syarat utama tabung itu adalah menjana pulangan yang lebih tinggi daripada faedah simpanan tetap di dalam bank.  Hasilnya, lahir YPB dan buat permulaan kerajaan memperuntukkan RM200 kepada YPB sebagai modal.  YPB kemudiannya menubuhkan PNB (Mahathir, 2015: 549). Tun Ismail berkhidmat sebagai  pengerusi PNB yang pertama, iaitu sejak PNB ditubuhkan   pada 17 Mac 1978 hingga 17 Oktober 1996.  Beliau kekal di PNB sebagai penasihat hingga beliau meninggal dunia pada 6 Julai 1998.  Semasa kepimpinannya, Perbadanan  Nasional Bhd. (Pernas) memindahkan 11 syarikat yang paling menguntungkan, dengan aset bernilai RM1 bilion kepada PNB pada tahun 1981 atas permintaan kerajaan dan PNB (Jesudason, 1989: 87).
Pengerusi PNB, Tun Ismail, disanjung kerana mempunyai pengetahuan terbaik tentang sektor korporat di negara ini, adalah berpendidikan ekonomi di Cambridge, yang mempunyai kerjaya yang unggul sebagai pengerusi  [sic] Bank Negara sejak penubuhannya pada tahun 1959 hingga beliau bersara pada tahun 1978 (Jesudason, 1989: 86 – 87). Di bawah kepimpinannya  amanah saham di bawah PNB berjaya  menggerakkan dana daripada bumiputera untuk menjadi dana amanah saham terbesar di negara ini, memperoleh kepercayaan dan keyakinan lebih tujuh juta pemegang unit, melaburkan sedikit demi sedikit pendapatan dan simpanan mereka. Sebagai mengiktiraf usaha dan sumbangan beliau,  maka  Galeri PNB, dinamakan Galeri Tun Ismail Mohamed Ali (Ahmad Sarji, 2001). Selain galeri tersebut,  PNB juga mewujudkan Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan  yang amat penting dan berharga oleh beliau kepada kedua-duanya, iaitu sektor awam dan sektor korporat di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.  Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali mengiktiraf dasar monetari beliau yang berhemat, tegas, dan sangat bijak sebagai gabenor Bank Negara Malaysia (Ahmad Sarji, 2001).
(Dipetik daripada Bab Satu, Peneraju Dunia Korporat, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

Wednesday, July 17, 2019

Keluarga Nasionalis Melayu

RABU,  17 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Tun Ismail Mohamed Ali, anak kedua daripada 13 orang adik beradik, iaitu Mohd Noor, Tan Sri Saleha, Tan Sri Abdul Aziz, Abdul Rahman (meninggal dunia semasa kecil), Siti Jameah, Tun Dr. Siti Hasmah, Dato’ Ahmad Razali, Omar dan Halimah (kembar, meninggal dunia semasa kecil), Dato’ Jaffar, Tan Sri Hashim, dan Dato’ Zainal Abidin  (Azizah et al., 1999: 12 – 13).  Beliau dilahirkan pada 16 September 1918 di Pelabuhan Kelang, Selangor, berketurunan Minangkabau dari Rao, Sumatera Barat. 
Ayahnya, Haji Mohamed Ali Taib, dan ibunya bernama Hajah Siti Khadijah Haji Ahmad.  Mohamed Ali mula bekerja sebagai kerani di Pejabat Kesihatan di Kelang.  Melalui usaha gigihnya, beliau meningkat hingga ke peringkat pegawai Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur dan akhirnya dilantik sebagai Official Assignee (Pegawai Pemegang Harta) dan Public Trustee (Pemegang Amanah Raya).  Keluarga Mohammed Ali dan tidak banyak berbeza dengan keluarga kelas menengah yang lain.  Didikan dalam keluarga mereka berteraskan kepatuhan kepada agama dan sifat-sifat kemelayuan.  Di samping itu, sebagai seorang yang berpelajaran, Haji Mohamed berjaya menerapkan nilai-nilai sejagat dalam kalangan anaknya, seperti mementingkan pelajaran, sifat berdikari, dan rasa  tanggungjawab segala tugas hingga sempurna.  Hajah Siti Khadijah pula lebih banyak menekankan pemupukan nilai-nilai murni, seperti murah hati, kasih sayang, dan taat setia sesama keluarga, serta tingkah laku yang lemah lembut, sopan santun, dan penuh beradab (Azizah et al., 1999: 9 – 10). “Bapa mertua saya, Haji Mohamed Ali, juga ada seorang isteri sahaja”  (Mahathir, 2015: 22).
Tun Ismail dilahirkan dalam keluarga yang terkenal dan “berpengaruh di Selangor” (Adshead, 1989: 40).  Adik-beradiknya  tidak asing  dalam masyarakat Malaysia,   kebanyakannya berpendidikan tinggi dan ada memegang jawatan penting dalam kerajaan,  iaitu Tun Dr. Siti Hasmah, Tan Sri Saleha, Dato’ Ahmad Razali, mantan Menteri Besar Selangor, Jeneral (Bersara) Tan Sri Hashim, Dato’ Jaafar, Dato’ Zainal Abidin, dan Jameah (Reena, 2006). Seorang lagi, Tan Sri Abdul Aziz,  melanjut pelajaran di United Kingdom bersama-sama Tun Ghazali Shafie dan beberapa pelajar lain pada tahun 1948.  “Keluarga mereka terkenal dan nasionalis Melayu yang kuat.  Sesetengah dalam keluarga ini terlampau nasionalistik, bahkan tidak mahu  menerima diri mereka disebut orang Malaya kerana mereka telah pun orang Melayu” (Ghazali, 1998: 37).
Tan Sri Saleha yang merupakan salah seorang daripada dua orang wanita Melayu pertama melanjutkan pelajaran di London School of Economics (LSE) pada tahun 1940-an, memberitahu dalam satu wawancara bahawa “bapa mereka progresif’ – beliau ialah Pemegang Amanah Raya dan Pegawai Pemegang Harta. Keluarga Mohamed  Ali merasakan memang tugas kami untuk memperhambakan diri pada Tuhan dan orang ramai, bukannya untuk mencari nama” (Reena, 2006).
Menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu dan Victoria Institution (V.I.) Kuala Lumpur, dari tahun 1931 hingga 1938, Tun Ismail aktif dalam bidang pengakap, renang, badminton, dan berkebun. Beliau ialah pengawas Shaw House dan merupakan pelajar Melayu kedua di negara ini yang memenangi Biasiswa Diraja (Queen Scholarship). Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Kesusasteraan dalam Ekonomi daripada University of Cambridge pada tahun 1941.  Terkandas di England akibat Perang Dunia Kedua,   beliau melanjutkan pengajian dalam bidang undang-udang pada tahun  1943 di Middle Temple, Inns of Court,  London, dan beliau diterima sebagai peguam (barrister-at-law).
Ketika menyampaikan ucapan di V.I pada 12 Julai 1991, Tun Ismail memberitahu bahawa beliau memasuki sekolah itu ketika beliau berusia 13 tahun, terasa kecil dan sedikit takut datang ke sekolah besar untuk pertama kali, datang dari Sekolah Jalan Batu  (Batu Road Boys School). Beliau ditempatkan dalam apa yang disebut ketika itu Darjah 6A (Tingkatan Dua sekarang).  Beliau memberitahu bahawa beliau hanya pelajar sederhana, lulus semua peperiksaan, tidak paling tinggi  dan tidak juga paling rendah dalam kelas, hanya di tengah-tengah.  Tun Ismail memberitahu bahawa beliau lulus peperiksaan senior ketika beliau berumur kira-kira 17 tahun, satu usia yang dianggap terlalu muda untuk ke universiti di luar negara.  Beliau juga memberitahu bahawa beliau berasa gembira ketika selama tujuh menuntut di V.I. tempat murid Melayu, Cina, India, dan Eurasia bercampur gaul sesama mereka tanpa mengenali kaum atau ras. Di V.I. juga Tun Ismail mempunyai kawan rapat, Cina Kristian, Rodney Lam, seorang murid yang pintar, terutamanya dalam matematik dan juga mempunyai tangan yang baik untuk melakukan sesuatu perkara.  Hanya mata pelajaran yang beliau dapat mengatasi Rodney Lam, ialah bahasa Latin. Rodney Lam, amat rapat dengan Tun Ismail berbanding dengan adik beradik lelakinya sendiri dan ibu bapa beliau menerima Rodney sebagai salah seorang anggota keluarga besar mereka. Rodney juga memenangi Biasiswa Diraja selepas Perang Dunia Kedua dan pergi ke Edinburgh untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, akhirnya menetap di England sebagai pakar bedah (Ismail, 1991).
(Dipetik daripada Bab Satu, Peneraju Dunia Korporat, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

Kancah Anarki

RABU, 17 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Pergaduhan di Balkan,Caucasus, dan di mana-mana sahaja menunjukkan bahawa trend anariki sedang merebak. Pada tahun 1993, 42 buah negara terlibat dalam konflik yang teruk dan 37 buah negara lain yang mengalami bentuk keganasan politik yang kurang teruk.Enam puluh buah negara daripada 79 buah negara yang terlibat terdiri daripada negara membangun. Demikian ulas Robert D. Kaplan dalam The Ends of the Earth: A Journey at the Dawn of the 21st Century.

Kebenaran kata-kata Kaplan tidak dapat dipertikaikan kerana Asia Barat, Afrika, Balkan, dan Asia Selatan, dan kini, Asia Tenggara merupakan medan anarki.  Satu-satu fenomena ketara selepas berakhirnya Perang Dingin dan bermulanya globalisasi dan dunia tanpa sempadan adalah merebaknya anarki dalam bentuk pergaduhan etnik dan agama. Salah satu kegagalan negara bangsa sejak akhir abad ke-20 adalah untuk memayungi atau memupuk kejamakan budaya.

Malangnya, tidak ada usaha negara di dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membendung keganasan yang kian tidak terkawal, dan seolah-olahnya mereka merestui keganasan, malahan menyediakan satu demi satu tapak anarki.  Pada abad ke-21, warga dunia tidak boleh meletakkan harapan mereka untuk hidup dalam suasana yang lebih beradab dan aman damai. 

Lebih merisaukan kita, ialah bibit anarki mula kelihatan di Malaysia. Banyak petanda bahawa anarki sedang mencari dan membuka ruang di negara ini, sama ada dalam bentuk etnik, agama, ataupun ideologi politik.  Sesungguhnya, persengketaan dan  percaturan  politik yang semakin sengit dan "toleransi politik yang kian menjunam," seperti kata Tan Sri Musa Hitam semasa ucap perdana Kongres Peradaban Malaysia pada 12 Jun 2001, membuka ruang yang seluas-luasnya kepada anarki untuk bertapak. Persengketaan dan percaturan politik antara golongan yang mempertahankan kuasa dengan yang memburu kuasa mendorong mereka menghalalkan segala tindakan masing-masing sambil mengorbankan kesejahteraan rakyat.jelata. Toleransi politik yang kian menjunam telah mengikis sikap menilai benar atau salah secara objektif.  Pihak yang bertelagah, baik di peringkat pemimpin mahupun di peringkat pengikut sering menuding jari antara satu sama lain. Kesilapan pihak lawan diputarbelitkan dan diperbesar-besarkan demi menunjukkan kejaguhan sendiri.

Kepintaran pemimpin meniupkan ketaasuban dalam kalangan pengikut mereka memuncakkan lagi unsur keganasan.  Ketaasuban yang tidak terkawal, baik dari segi etnik, agama, mahupun ideologi politik mampu mampu menanam bibit militan. Pastinya, militan akan dicabar dengan militan, sama ada antara individu, kumpulan, dan antara kumpulan dengan pemerintah.  Meskipun pemerintah sering mengingatkan kewujudan beberapa ancaman militan, amaran ini kurang mendapat perhatian. Hal ini demikian kerana merudumnya keyakinan rakyat, manipulasi politik, khususnya oleh parti pembangkang, tindak-tanduk pemerintah dalam menangani satu-satu isu yang pada tanggapan umum kurang profesional, dan gambaran media arus perdana yang pada tanggapan umum sebagai gembar-gembur.

Satu-satunya benteng terakhir untuk membendung api anarki ialah faktor ekonomi.  Seandainya kegawatan dan kelembapan ekonomi yang melanda negara meninggalkan kesan yang buruk terhadap rakyat, nescaya bibit anarki semakin subur. Ekonomi yang teruk mendedahka negara kepada bermacam-macam angkara yang cenderung membawa kepaada huru-hara. Pada itu, pemerintah akan menguatkan cengkaman melalui tindakan undang-undang serta jenteranya, parti pembangkang pula membakar sentimen rakyat, dan rakyat yang hidup dalam kesusahan dan ketidakpastian semakin gelisah. 

Apabila berhadapan dengan keadaan sedemikian, Malaysia yang mempunyai kekhususan perjalanan sejarah mudah terheret ke arah sengketa berunsur perkauman. Keadaan menjadi semakin runcing kerana agama sejak kebelakangan ini tidak lagi menjamin toleransi. 

("Memo Ketua Editor," Dewan Budaya, September 2001.)







Tuesday, July 16, 2019

Kemunculan Ahli Perniagaan Melayu

SELASA, Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Golongan ahli perniagaan   Melayu yang seakan-akan tidak kelihatan akhirnya muncul dengan  pelaksanaan  Dasar Ekonomi Baru (DEB) dari  tahun 1971 hingga 1990, yang “menyasarkan penstrukturan semula pemilikan dan kawalan dalam ekonomi dan penyertaan guna tenaga orang Melayu dalam pelbagai sektor” (Faaland, Parkinson, dan Rais, 1991: 82).  DEB menentukan matlamat untuk tahun 1990 bagi peratusan bahagian pemilikan aset modal rakyat Malaysia, terutamanya ekuiti 30:40:30 oleh kepentingan bumiputera, rakyat Malaysia daripada kaum lain, dan kepentingan asing (Faaland, Parkinson, dan Rais, 1991: 82).
Pada tahun 1970, pemilikan saham korporat oleh orang Cina berjumlah 27 peratus, dan  perusahaan asing hampir 63 peratus, manakala  individu bumiputera dan agensi amanah,  dan orang India masing-masing 2.4 peratus dan 1.1 peratus (Gomez, 2013: 88 dan Jadual 3.1).  Berikutan  pelaksanaan DEB, bahagian pemilikan bumiputera telah meningkat, meskipun ada kalanya tidak mencapai sasarannya. “Pada tahun 1975, matlamat pemilikan dan penguasaan syarikat oleh individu bumiputera dan agensi amanah ialah 9.0 peratus, tetapi pencapaiannya 9.2 peratus.  Namun begitu, pada tahun 1985, hanya 19.1 peratus sektor berkenaan dimiliki oleh individu  bumiputera dan agensi amanah, kurang daripada matlamat asalnya, iaitu 21.9 peratus (Jomo K.S., 1992: 84 dan Jadual 6.5). Pada tahun 1990, iaitu tahun DEB berakhir, ekuiti korporat yang dimiliki oleh individu bumiputera dan agensi amanah  berjumlah 19 peratus, tidak mencapai sasaran 30 peratus, tetapi masih peningkatan yang menarik jika dibandingkan dengan angka pemilikan 1.5 peratus oleh bumiputera pada tahun 1969 (Gomez, Saravanamuttu, dan Maznah, 2013: 9; Gomez, 2013: Jadual 3.1).
Pelaksanaan DEB juga menyaksikan penglibatan UMNO dalam perniagaan dan hubungan ahli perniagaan Melayu  dengan pemimpin parti itu. Pada  mulanya, mereka mempunyai hubungan    dengan Tengku Razaleigh Hamzah, Menteri Kewangan, kemudian mereka yang mempunyai hubungan dengan Tun Daim Zainuddin  yang menggantikan Tengku Razaleigh pada tahun 1984 (Gomez, 1990: 32 – 51).  Seterusnya, apabila Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Menteri Kewangan pada tahun 1991, menggantikan Tun Daim, dan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1993, wujud ahli perniagaan  yang  mempunyai hubungan dengan beliau. Pendek kata, “pemimpin datang, pemimpin pergi”  yang pastinya membawa bersama-sama mereka ahli perniagaan. “Fleet Holdings pada era Tengku Razaleigh dan  Peremba Bhd yang pernah dikiaskan ‘Sekolah Pengurusan Peremba’  pada era Daim telah   melahirkan ahli korporat Melayu, manakala Malaysia Resources Corporation Bhd (MRCB) dikaitkan dengan  Anwar melalui management buyout”  (Zulkifli, 2002: 6).
Tahun awal 1990-an hingga tercetusnya krisis kewangan Asia 1997 – 1998,  menyaksikan kemunculan  ahli perniagaan di tanah air ini.  Bagi ahli perniagaan Melayu, kebanyakannya dan selalunya,  tetapi  bukan semuanya,  dikaitkan dengan UMNO dan elit pemerintah, manakala bukan Melayu, ada juga yang “tumpang sekaki.” Kebanyakan  mereka – Melayu dan bukan Melayu,  sebenarnya mendapat  faedah daripada “kapitalisme negara” dan “kapitalisme kroni.” Kapten perdagangan dan industri dikatakan  keriangan kerana mereka  mendapat manfaat daripada dasar ekonomi yang dilaksanakan, seperti dasar penswastaan. Ahli perniagaan berlumba-lumba untuk menyenaraikan syarikat mereka  di bursa saham, paling tidak pada papan kedua.   Setiap kali adanya tawaran awam permulaan (IPO), orang awam, iaitu  pelabur kecil berlumba-lumba mencuba nasib dalam pasaran saham.
Sebelum krisis kewangan, pertumbuhan ekonomi Malaysia secara purata lebih lapan peratus setahun, bermula sejak tahun 1988.  Pelaburan asing, iaitu aliran masuk bersih pelaburan langsung asing (FDI) tinggi, iaitu secara purata, RM3.19 bilion setahun dari 1991 – 1994, sebelum jatuh kepada RM486 juta untuk tahun 1995  - 1995.  Kadar pengangguran turun, manakala pendapatan dan taraf hidup meningkat (Khoo, 2003: 17). Wang panas yang menjelajah dunia turut mengalir ke Malaysia  merancakkan lagi kemunculan dunia korporat, yang  menyaksikan kehadiran ahli perniagaan   di mana-mana sahaja:  daripada bidang perniagaan kepada bidang politik, tidak ketinggalan dalam seminar atau persidangan. Bagi ahli perniagaan atau tokoh korporat  Melayu, nama mereka turut bergema   dalam Perhimpunan Agung UMNO, kerana melalui usaha parti itu, orang Melayu menguasai pelbagai sektor ekonomi, daripada perbankan kepada penerbangan.  Dalam ucapannya sempena Perhimpunan Agung UMNO tahun 1993, Tun Dr Mahathir Mohamad menyentuh panjang lebar pencapaian Melayu dan bumiputera sebagai pakar dalam pelbagai jurusan perubatan, juruterbang, ahli bank, dan ahli korporat yang terkemuka. Bagi beliau,  kejayaan itu bukan sahaja kejayaan UMNO, tetapi juga kerana perjuangan UMNO dan kerajaan pimpinan UMNO (Ahmad Fawzi dan Mohd Foad, 2005: 84 – 85).
Dalam dunia korporat, seperti yang diperhatikan oleh Terence Gomez, pada awal tahun 1997, perbadanan utama Malaysia, termasuk beberapa buah firma yang dikawal  oleh bumiputera, kebanyakan semuanya sangat berhubung rapat dengan salah seorang daripada tiga ahli politik yang paling berkuasa di Malaysia. Mahathir,  Anwar Ibrahim,Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, dan Daim Zainuddin, penasihat ekonomi kerajaan ketika itu (Gomez, 2003). Gomez seterusnya menyenaraikan nama yang berkait kuat dengan tiga ahli politik tersebut. Orang Melayu yang mengawal firma besar, termasuk Halim Saad, Tajuddin Ramli, Wan Azmi Wan Hamzah, Samsudin Abu Hassan, Hassan Abas, Ahmad Sebi Abu Bakar, dan Amin Shah Omar Shah, yang bersekutu rapat dengan Daim; Ishak Ismail, Mohamad Sarit Yusoh, Kamaruddin Jaafar, Kamarudin Mohd Nor, dan Rashid Hussain,   dikaitkan dengan Anwar; manakala mereka yang rapat dengan Perdana Menteri, termasuk anaknya Mirzan dan Mokhzani Mahathir, selain Allahyarham Yahya Ahmad, Basir Ismail, dan Mohd Noor Yusof (Gomez, 2003). Dalam kalangan tokoh perniagaan yang lebih  bebas dalam sektor korporat yang muncul sebagai ahli perniagaan sebelum Mahathir menjadi Perdana Menteri ialah Tunku Abdullah (Tuanku Abdul Rahman), Shamsuddin Abdul Kadir, dan Azman Hashim, tetapi semua ketiga-tiga ini sahabat karib Perdana Menteri (Gomez, 2003).
Walau bagaimanapun, Terence Gomez turut menyebut ahli perniagaan bukan Melayu yang mempunyai hubungan, yang juga berkembang cepat sebagai pemilik perusahaan ketika era Mahathir.  Ahli perniagaan ini,  termasuk Vincent Tan Chee Youn, Ting Pik Khiing, Francis Yeoh, Lee Kim Yew, dan T. Ananda Krishnan yang semuanya dikatakan bersepakat dengan Mahathir dan Daim, manakala Tong Kooi Ong, Quek Leng Chan, dan T.K. Lim bersekutu dengan Anwar. Kebanyakan kesemua ahli perniagaan Melayu dan bukan Melayu ini adalah dalam kalangan tokoh korporat utama Malaysia sebelum krisis mata wang tahun 1997 bersubahat dengan naungan negara dalam sesetengah bentuk, terutamanya pemberian kontrak yang diswastakan (Gomez, 2003). 
Di tengah-tengah    kerancakan  kemunculan ahli perniagaan,    yang boleh dikatakan tidak mendapat perhatian  berbanding dengan yang lain, ialah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary. Beliau   dibayangi oleh ahli perniagaan, seperti Tan Sri Halim Saad, Tan Sri Tajuddin Ramli, Tan Sri Wan Azmi  Wan  Hamzah – ketiga-tiganya anak didik Daim di  “Sekolah Pengurusan Peremba,” Tan Sri Azman Hashim, Tan Sri Rashid Hussain, Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir, dan Tan Sri Yahya Ahmad yang meninggal dunia dalam nahas helikopter – sekadar menyebut beberapa nama. Meskipun  ketika itu Syed Mokhtar  sedang membina serta membesarkan perniagaannya  dan  memiliki saham dalam beberapa  syarikat tersenarai awam, beliau seakan-akan bersendirian,    tidak mempunyai   hubungan  dengan Tun Daim, atau Dato’ Seri Anwar Ibrahim, atau  Tun  Dr. Mahathir. Nama beliau tidak tersenarai dalam kalangan ahli perniagaan Melayu yang ada hubungan dengan, sama ada Tun Daim ataupun Tengku Razaleigh Hamzah. Usaha gigih beliau  unuk membina dan membesarkan perniagaannya tidak mendapat perhatian pemimpin kerajaan; kecuali pegawai  kerajaan yang beliau berurusan sahaja mengenalinya.  Padahal, seperti yang dinyatakan oleh Premilla Mohanlall, menjelang tahun 1995, Syed Mokhtar merupakan pemegang utama dalam 15 syarikat tersenarai awam, yang meliputi bidang pakaian, makanan, pembuatan, dan pembinaan (Premilla, 2013: 100).  Bahkan,  perniagaan Syed Mokhtar telah pun berkembang pesat pada akhir tahun 1970-an, mengambil kesempatan daripada pertumbuhan ekonomi dan meraih peluang daripada pelaksanaan DEB, iaitu dengan memperoleh kontrak kerajaan (A Kadir, 2003: 30)
(Dipetik daripada Bab Empat, Peneraju Dunia Korporat, yang dapat diperoleh melalui e-Senral.)

Modal dan Media

SELASA, 16 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Zaman moden ialah zaman penguasaan modal terhadap setiap ruang dan bidang. Rancangan Huaren Holding Sdn. Bhd., syarikat pelaburan MCA untuk Nanyang Press Holdings Bhd. pada harga RM230 juta sekali lagi membuktikan modal memiliki atau menguasai apa-apa sahaja,termasuk media. Bagi pemodal besar di Malaysia, penglibatan dalam media merupakan idaman mereka, meskipun bidang perniagaan ini belum pasti menjanjikan pulangan yang menguntungkan. Misalnya, pada tahun 1990-an, sebelum krisis kewangan Julai 1997, beberapa orang pemodal di negara ini mencuba nasib mereka dalam dunia media, seperti akhbar, majalah, dan penyiaran. Seorang pemodal dianggap sempurna perniagaanya jika dia juga menceburi bidang media. Namun begitu, akhirnya, terbukti bidang yang diceburi ini tidak menguntungkan, dan oleh itu, beberapa pemilik modal terpaksa meninggalkan perniagaan ini.

Usaha penguasaan modal terhadap media, seperti yang cuba dilakukan oleh Hueren Holdings bukannya satu perjalanan yang licin. Walaupun dalam hukum ekonomi, pasaran ditentukan oleh permintaan dan penawaran, kes pembelian Nanyang Press menunjukkan keadaan yang berbeza sama sekali. Pasaran bebas, seperti yang dituntut oleh pihak tertentu di negara ini berjalan dapat dengan sepenuhnya. Dalam banyak hal, pasaran bebas yang sepatutnya ditentukan  permintaan dan penawaran terpaksa akur pada tuntutan atau kehendak yang berbau kepentingan kaum.

Keadaan semakin rumit kerana sesetengah akhbar dianggap bukan hanya media semata-mata, tetapi juga mengandungi unsur atau latar belakang budaya, seperti Sin Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pau.  Hal ini dibuktikan oleh Tan Sri Tiong Hiew Poh, pemilik Sin Chew Jit Poh, untuk membina empayar media Cina di sedunia yang menyediakan rangkaian budaya Cina di seluruh dunia. Apabila melibatkan unsur budaya, maka modal akan menghadapi halangan untuk menguasai media. Oleh itu, kepentingan budaya merupakan halangan utama dalam pemilikan akhbar ini jika dibandingkan dengan alasan autonomi dan profesionalisme.

Jika pembelian modal Cina terhadap media Cina menghadapi tentangan yang sengit, maka seseorang dapat membayangkan tentangan yang lebih sengit sekiranya modal mewakili kepentingan kaum lain, misalnya modal Melayu untuk membeli media Cina; demikian juga sebaliknya. Seseorang juga mungkin sukar membayangkan bagaimana satu urus niaga yang sepatutnya ditentukan oleh kuasa pasaran, akhirnya melibatkan pertikaian yang berpanjangan yang boleh menjurus kepada perkauman atau menampakkan unsur etnik yang menebal. Modal Cina yang dimiliki oleh MCA terpaksa menghadapi pelbagai tentangan untuk memiliki akhbar yang tebal kecinaannya.

Anehnya, sebilangan puak yang menentang itu sering memperjuangkan pasaran bebas, iaitu kalau boleh, tidak ada campur tangan pemerintah atau negara, Sebaliknya, mereka mengutamakan pasaran. Jika demikian, golongan ini sebenarnya mahu berkuasa dalam pasaran bebas, tetapi tidak rela ditentang dalam sistem yang sama.

Dengan berselindung di balik kepentingan budaya dan kaum, pihak tertentu cuba menghalang perngembangan dan pengumpulan modal.  Dengan itu, bermakna bahawa ada ruang atau bidang tertentu yang tidak boleh ditembusi oleh modal.  Modal boleh menundukkan apa-apa sahaja, termasuk yang mengandungi lambang sejarah, tetapi modal tidak boleh mencuba nasib dalam bidang media yang mewakili budaya atau etnik tertentu.  Modal juga diizinkan berkembang di pulau, bukit, dan setiap bidang tanah milik bumiputera atas nama pembangunan dan pasaran bebas. Namun begitu, pengembangaan dan pengumpulan modal akan ditentang habis-habisan sekiranya modal mengancam ruang budaya dan etnik tertentu.

Dari satu segi yang lain, tentangan terhadap pembelian Nanyang Press sebenarnya mencabar kerakusan modal untuk berkembang dengan sewenang-wenangnya. Lazimnya, kerakusan modal sukar ditentang kerana apabila bertapak, modal akan mencari ruang untuk berkembang.

("Memo Ketua Editor," Dewan Budaya, Julai 2001.)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...