Artikel Popular

Wednesday, July 10, 2019

Ulang-alik ke England Demi Cita-cita


RABU, 10 Julai 2019
Oleh: ZULKIFLI SALLEH


Pada  tahun 1920, Tunku Abdul Rahman Putra dianugerahi biasiswa kerajaan Kedah untuk belajar di Cambridge University, England, dengan tujuan menjadi peguam sebagai pencarian hidup. “Sebenarnya, saya mendapat Ijazah Sastera, dan baru lulus dalam ujian bahagian sejarah pada tahun 1925 ” (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 453).  Tunku memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) tanpa kepujian untuk satu tempoh yang panjang. 
“Kemudian, saya mempelajari ilmu undang-undang dengan beberapa gangguan selama karier saya itu. Akhirnya, saya diterima menjadi peguam di Inner Temple ketika berumur 45 tahun” (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 453).  Pada usia  kebanyakan orang Melayu sedang berfikir-fikir untuk bersara daripada kehidupan yang aktif. “Saya dikenal sebagai ‘playboy,’ sedikit sekali sahabat yang menyangka saya akan berjaya” (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 385).  Pemergian Tunku ke England untuk menyambung semula pelajarannya dalam bidang undang-undang pada tahun 1946 boleh dikatakan dengan penuh nekad: lulus atau “saya tidak akan kembali lagi ke negeri ini”  (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 368).  Setelah 25 tahun  meninggalkan Inns of Court, Tunku datang semula pada usia 43 tahun dan setelah menyedari beliau tidak mempunyai tempat dalam perkhidmatan kerajaan Kedah dan berselisih dengan rakan-rakan politiknya, maka semasa di England Tunku berfikir, “berjaya atau makan batu.  Saya putuskan bahawa saya harus berjaya” (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 369). 
Tunku  pernah menceritakan pengalaman beliau untuk memasuki ujian terakhir, iaitu beliau menjadi gemuruh kerana terlalu memikirkan hal itu. Walau bagaimanapun, Tunku bernasib baik kerana sahabat baiknya Tan Sri Eusoffe Abdoolcader datang menolong beliau beberapa hari sebelum ujian terakhir itu.  Sementara itu, isteri Dr. Winstedt, seorang doktor memberi Tunku beberapa keping ubat Benzedrine dan menyuruh Tunku menelannya pada hari peperiksaan supaya tidak mengantuk (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 384). Tunku mengambil ujian undang-undang yang terakhir pada penghujung tahun 1948 setelah tinggal di England selama dua tahun (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 384).
Tunku menyifatkan pemergiannya ke England pada tahun 1946 untuk belajar kembali ilmu undang-undang sebagai pemergian “kali kedua” (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 378 dan 383). Walau bagaimanapun, Tunku dikatakan berulang-alik ke England beberapa kali,  demi memperoleh segulung ijazah undang-undang.  Pada awal tahun 1927, Tunku dihantar ke England semula untuk belajar ilmu undang-undang di universiti yang sama, kerana pencapaian akademik beliau tidak memuaskan hati kerajaan Kedah dan kaum kerabatnya.  Mereka tetap mahu Tunku lulus dalam bidang undang-undang (Ramlah, 2005: 26). Meskipun kebanyakan anak muda Melayu yang datang bersama-sama Tunku pada tahun 1927 telah menamatkan pelajaran mereka tanpa sebarang masalah, Tunku masih gagal dalam peperiksaan akhir penggal pertama pada tahun 1930.  Berikutan kegagalan itu Tunku berangkat pulang ke Tanah Melayu (Ramlah, 2005: 29 – 30).  Pada tahun 1938, Tunku berangkat sekali lagi ke England untuk meneruskan pelajaran dalam bidang undang-undang – ketika itu beliau telah berkhidmat sebagai pentadbir di negeri Kedah.  Walau bagaimanapun, oleh sebab di Eropah ketika itu timbul tanda tanya akan meletus perang dunia, maka Tunku kembali ke Tanah Melayu pada akhir tahun 1939 tanpa lulus peperiksaan yang diambilnya (Ramlah, 2005: 36 – 37).
Tunku nampaknya sukar membuang tabiatnya, iaitu gemar berhibur dan bersuka ria.   “Apa yang orang tuanya tidak ketahui ialah ketika tinggal di London, Tunku meneruskan minatnya terhadap perlumbaan, tetapi kali  lumba anjing yang berlangsung di Wembley  setiap petang.  Justeru, beliau mempunyai masa yang kurang untuk  buku undang-undang yang membosankan (Mohamed Suffian, t.t.: 32). Tunku hanya meminati sukan dan tidak meminati buku (Tuanku Ja’afar, t.t.: 5). Sikap kurang minat Tunku terhadap pelajaran ketara apabila beliau beberapa kali terlupa tarikh peperiksaan.  Ketika beliau menuntut di sana  kali pertama, “beliau terlupa jadual peperiksaan” (Ramlah, 2005: 24).  Tunku terlepas hari pertama Tripos beliau dalam tahun akhir beliau (Mohamed Suffian, t.t.: 32). Apabila pada tahun 1960 Tunku dianugerahi Ijazah Kehormat LL.D, dari universiti lamanya, Cambridge University, beliau menulis  kelewatan yang beliau pernah alami:  “... sedangkan tatkala saya menjadi mahasiswa di situ saya disuruh keluar kerana lambat datang untuk ijazah saya. Akibat daripada hukuman ini, saya kerugian 12 bulan dan terpaksa mengambil ujian itu setahun kemudian dan hampir-hampir tidak lulus pula” (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 94).
 Tunku, bahkan tidak mengetahui bilakah tarikh keputusan keluar untuk peperiksaan  terakhir pada tahun 1948 itu (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 384).  Beliau menerima pemakluman berita gembira daripada Daisy dengan lelehan air mata dan berkata pada dirinya sendiri, “Sekarang dapatlah aku pulang ke negeriku dengan tidak berasa malu, dan menghadapi semua pengkritikku” (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 384).  Tunku berangkat pulang pada Januari 1949 dengan menaiki kapal P & O Corfu  (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 385).
Meskipun  beberapa orang membantu Tunku untuk belajar undang-undang,  beliau nampaknya terhutang budi kepada Daisy:  “Apabila saya kenangkan kejayaan saya dalam pengajian undang-undang, saya tidak akan melupakan Cik Daisy Tullich, penjaga rumah No. 9 Barkston Gardens di Earls Court, iaitu tempat saya menumpang... Perhatian serta penjagaannya yang diberikan kepada saya, terutamanya dorongannya, menolong saya melipatgandakan usaha saya untuk lulus dalam ujian itu” (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980:  441).
Tun Mohamed  Suffian Hashim,  pernah menulis perihal  Tunku semasa menuntut di England pada  tahun 1946 itu:   “Tunku sudah berkahwin tiga kali dan mempunyai dua orang anak” (Mohamed Suffian, t.t.: 29).  Tunku sendiri mengaku bahawa beliau rindu akan keluarganya, meskipun kehidupan beliau secara keseluruhannya agak seronok. “Anak-anak saya masih kecil, dan terpaksa berpisah daripada mereka selama dua tahun sesungguhnya adalah suatu pengorbanan yang besar... Dalam bermain, saya juga belajar bersungguh-sungguh” (Tunku  Abdul Rahman Putra, 1980: 383 - 384).
Ketika menuntut di England, Tunku Abdul Rahman bergaul rapat dengan penuntut  Melayu. “Tunku dan orang Melayu di London mudah serasi.  Meskipun putera, Tunku lebih demokratik jika dibandingkan dengan seseorang yang mendakwa diri mereka demokratik” (Mohamed Suffian, t.t.: 31). Tunku bertanggungjawab menubuhkan Persatuan  Melayu Great Britain, yang tujuan utama adalah untuk memupuk perpaduan dalam kalangan orang Melayu dari negeri yang berbeza, dengan Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad  dilantik oleh Tunku sebagai Presiden, manakala Tunku sendiri memegang jawatan Setiausaha Kehormat” (Tuanku Ja’afar, t.t.: 5). Tuanku Abdul Rahman kemudiannya  ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama, manakala Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai  Perdana Menteri pertama.   Ketika Tunku ke England sekali lagi untuk menuntut semula ilmu undang-undang pada tahun 1946, iaitu selepas Perang Dunia Kedua tamat, beliau menjadi Presiden Persatuan Melayu Great  Britain, manakala Tun Abdul Razak sebagai Naib Presiden, dan Tan Sri Taib Andak sebagai Setiausaha.  Walau bagaimanapun, Taib diturunkan pangkat kepada Penolong Setiausaha kerana beliau tidak menjalankan tugas dengan sempurna, digantikan oleh Tun Mohamed Suffian (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980:  376 - 377).
(Dipetik daripada Bab Satu, buku Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

Tuesday, July 9, 2019

Pendirian PKMM terhadap Malayan Union dan UMNO


SELASA, 9 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Ketika masih beribu pejabat di Ipoh, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) menyatakan “persetujuan pada prinsip” atas andaian seluruh pentadbiran Tanah Melayu disatukan, tidak berasing-asing seperti sebelum perang.  Tetapi, apabila diketahui akan maksud yang sebenarnya, maka PKMM menukar sikap lalu membantah bersama-sama berpuluh-puluh badan politik Melayu yang lain, yang timbul secara mendadak sebagai reaksi terhadap rancangan British hendak menguburkan kedaulatan Melayu di tanah air sendiri (Mohd. Salleh, 1998: 53 – 54; Mohamed Salleh, 2016: 67 - 68). 
PKMM mengalu-alukan pada prinsip – bukan penerimaan bulat-bulat gagasan Malayan Union yang diumumkan oleh British pada awal tahun 1946, kerana “matlamat perjuangan PKMM mencapai kemerdekaan penuh atau seratus peratus bagi Tanah Melayu dan tidak kurang daripada itu.” Perhitungan politik yang mendorong PKMM mengambil sikap “menerima pada prinsip” ini ialah “menangkap saat sejarah,” yang menurut Sukarno, “dalam kehidupan satu-satu bangsa, saat-saat sejarah akan menampakkan dirinya dari semasa ke semasa.  Hanya bangsa yang dapat menangkap saat sejarah inilah yang boleh menjadi bangsa yang besar” (Ahmad Boestamam, 2004: 156).  Bagi PKMM, ada dua bentuk negara merdeka, iaitu federalis (Negara Persekutuan) dan unitaris (Negara Kesatuan).  Antara dua bentuk ini, PKMM memilih Negara Kesatuan.  Atas pertimbangan ini, PKMM menerima Malayan Union yang tentulah dengan sendirinya Negara Kesatuan (Ahmad Boestamam, 2004: 156 – 157).
PKMM yang berpindah dari Ipoh ke Kuala Lumpur pada Februari 1946, “mendapati dirinya di tengah-tengah suasana politik yang sedang tegang dan berkembang semakin ligat dan hebat (Mohd. Salleh, 1998: 53).  Dalam beberapa hari sahaja sejak berpindah, dengan markas besarnya terletak di bangunan kedai Nombor 2, Batu Road, PKMM menerima undangan untuk menghantar perwakilan ke sebuah kongres badan dan pertubuhan Melayu se-Malaya bagi membentuk sebuah gabungan besar yang akan dinamakan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang akan berjuang menentang Malayan Union (Ahmad Boestamam, 2004: 158). Ketika itu PKMM telah menyedari muslihat British yang sebenar, bahawa Malayan Union “bukanlah dimaksudkan sebagai sebuah negara yang merdeka melainkan sebagai jajahan takluk Inggeris... bahkan paksaan dan penipuan dilakukan ke atas Raja-Raja Melayu bagi dapat melahirkan Malayan Union” (Ahmad Boestamam, 2004: 159; rujuk juga Mohamed Salleh, 2016: 68).
Setelah pucuk pimpinan PKMM berbincang,  mereka membuat keputusan menerima undangan itu atas alasan,  “Malaya Union yang akan menjadi tanah jajahan Inggeris bulat-bulat tidak ada gunanya kepada rakyat jelata, sebab ia bererti perhambaan ke atas mereka semata-mata.  Sebab itu ia harus ditentang habis-habisan  dan dihancurkan sehingga menjadi debu” (Ahmad Boestamam, 2004: 159).
Dalam Kongres Melayu se-Malaya yang berlangsung dari 1 – 4 Mac 1946, di Kelab Sulaiman, Kuala Lumpur, “Dr. Burhanuddin menjadi ketua perwakilan PKMM bersama-sama beberapa tokoh PKMM, termasuk Ahmad Boestamam, dan parti itu juga menghantar pemerhati paling banyak, iaitu 16 orang”  (Ramlah, 2003: 50), dan  “salah seorang pemerhati rasmi PKMM ialah Mohd.  Salleh Daud”  (Mohd. Salleh, 1998: 52 – 53).  Mohd.  Salleh juga mencatatkan peristiwa yang bersejarah itu tentang perwakilan dengan penuh teruja: “Ada yang berhaluan kiri dan radikal seperti PKMM yang dipimpin oleh Dr. Burhanuddin; ada yang berhaluan kanan dan konservatif, seperti Pergerakan Melayu Semenanjung Johor (PMSJ) yang dipimpin oleh Dato’ Onn Ja’afar; dan ada yang berpuas dengan gelaran ‘nasionalis’ sahaja” (Mohd. Salleh, 1998: 54 – 55).  Menurut rencana pengarang Pelita Malaya, Dr. Burhanuddin menyokong kongres tersebut demi kepentingan dan perpaduan Melayu (Ramlah, 2003: 51).  Walau bagaimanapun, kepimpinan beliau dalam PKMM dan sokongannya terhadap Kongres Melayu se-Malaya, dipersoalkan oleh Ahmad Boestamam, Ketua API (Ramlah, 2003: 52).
Sokongan Dr. Burhanuddin dan PKMM kepada Malayan Union ditunjukkan secara  tegas oleh PKMM sebaik-baik sahaja rancangan Malayan Union itu diketahui umum. Sokongan itu diteruskan, walaupun pada masa yang sama,  PKMM menganggotai Kongres 1946 (Kongres Melayu se-Malaya) dan menubuhkan UMNO di Johor Bahru pada 11 Mei 1946. Ini bermakna, Dr. Burhanuddin dan PKMM mempunyai pendirian politik gergaji dua mata.  Ini telah melahirkan strategi politik yang paling selamat untuknya (Ramlah, 2003: 45). Beliau menjelaskan bahawa sokongannya itu berdasarkan hasratnya untuk membentuk sebuah negara Melayu yang berteraskan kebangsaan Melayu sejati. Beliau berharap British melahirkan semula  sebuah negara Melayu yang bersatu, bukan berpecah di dalam negeri-negeri kecil seperti dahulu (Ramlah, 2003: 46).
Dalam Persidangan Perhubungan Asia di New Delhi yang berlangsung dari 23 Mac hingga 2 April 1947,   Dr. Burhanuddin  selaku ketua delegasi,  berucap dalam sidang pleno pada hari kedua menyatakan pendirian PKMM terhadap Malayan Union.  Tegas beliau, “kalau kerajaan British menganggap gerakan nasionalis Melayu itu lemah, maka itu adalah khayalan. Masa depan akan membuktikan bahawa orang Melayu tetapi berazam untuk mencapai kemerdekaan dengan semangat yang sudah ditunjukkan oleh saudara-saudara mereka di Indonesia” (Mohd. Salleh, 1998: 82 – 83). Dalam persidangan itu tidak kurang  22 buah negara mengambil bahagian – ada yang sudah merdeka dan ada yang masih dijajah. Oleh sebab Malaya belum merdeka, maka perwakilannya tidak daripada kerajaan, tetapi daripada berbagai-bagai badan politik, gerakan buruh, gerakan wanita, kebajikan, dan budaya.  Mohd. Salleh Daud yang hadir bersama-sama Dr. Burhanuddin al-Helmy (wakil PKMM dan PUTERA),  menulis dengan terperinci perjalanan persidangan yang dirasmikan oleh Pandit (Jawarhalal) Nehru, Perdana Menteri sementara India   (Mohd. Salleh, 1998: 77 – 88). Abdullah C.D. yang juga peserta  persidangan itu, mewakili Persekutuan Kesatuan Sekerja se-Malaya (Pan Malayan Federation of Trade Unions – PMFTU) bersama-sama Yap Meow Siew,   turut menulis dalam memoirnya (Abdullah C.D., 2005:  239 – 250).  Wakil lain ialah J.V. Thivy, Gurdial Singh, Jamnadas Mehta, Philip Hoalim, E.E.C. Thuraisingham, S.A.. Ganapathy, P.P. Narayanan, Brahmachari Kailasam, Hajah Zain Sulaiman, dan Devasayaham, dari  pelbagai pertubuhan turut menghadiri persidangan itu (Mohd. Salleh, 1998: 77 – 78).
PKMM bukan sahaja mengubah pendiriannya terhadap Malayan Union dan mengambil bahagian dalam kongres tersebut, bahkan juga turut terlibat dalam penubuhan UMNO dengan menghadiri mesyuarat parti itu pada Mac 1946. Walau bagaimanapun, dalam mesyuarat tersebut, PKMM merupakan perwakilan tunggal yang mencadangkan kaitan dengan Indonesia yang muncul daripada hubungan etnik dengan rakyat Indonesia, manakala wakil daripada pertubuhan negeri sedang sibuk membicarakan ancaman Malayan Union (Ariffin, 2015: 116).  Dr. Burhanuddin pernah menjelaskan bahawa PKMM bersatu dengan UMNO kerana ingin melaksanakan sebenar-benar hasrat bangsa Melayu.  Bersama-sama dengannya PKMM  menumbangkan Malayan Union (dipetik daripada Ramlah, 2003: 47). Walau bagaimanapun, catatan lain mengatakan PKMM dipaksa oleh gelombang kemarahan orang Melayu terhadap rancangan Malayan Union untuk menghadiri  Kongres Melayu se-Malaya dan untuk bergabung dirinya dengan UMNO (Cheah, 2014: 286). 
Salah satu badan yang menjadi pengasas UMNO ialah PKMM. Tokoh-tokoh PKMM yang menghadiri kongres, baik sebagai wakil mahupun sebagai pemerhati, dengan sendiri dapat pula dikatakan sebagai tokoh pengasas UMNO (Ahmad Boestamam, 2004: 159 – 160).  Walau bagaimanapun, PKMM  bergabung dengan UMNO hanya selama tiga bulan –  Mac hingga Jun 1946.  PKMM  bertindak  keluar daripada UMNO kerana perselisihan pendapat tentang bentuk bendera yang hendak dijadikan lambang perjuangan UMNO.  Dalam Persidangan Majlis  Agung UMNO di Ipoh, pada 29 dan 30 Jun 1946, “ada hal yang tidak digemari berlaku, apabila dua buah daripada 34 pertubuhan yang hadir,  iaitu PKMM dan Persatuan Melayu Jawatan Rendah Selangor mengambil langkah keluar daripada persidangan dan terus menarik diri daripada menjadi ahli UMNO (Ibrahim, 1981: 140).
 PKMM bertahan mencadangkan Sang Saka Merah Putih sebagai “pusaka warisan Melayu zaman berzaman.” Kebanyakan perwakilan tidak bersetuju kerana ini bermakna “mahu bertuankan Indonesia.”  Keputusan mesyuarat memilih bentuk bendera UMNO yang wujud ke hari ini menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan perwakilan PKMM yang terdiri daripada Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestamam, dan Abdul Rahman Rahim, lalu mereka bertindak keluar dewan, dan sejak itu bermulalah perpisahan antara puak nasionalis konservatif dengan radikal Melayu (Mohd. Salleh, 1998: 57 – 58; rujuk juga Ibrahim, 1981: 141,  Cheah, 2014: 286,  dan Ramlah, 2003: 52 - 53). 
Walau bagaimanapun, alasan yang diberikan oleh PKMM  diragui, kerana cadangan yang dikemukakan oleh Ikatan Setia Kampung Baru – cadangan yang menang dala pemilihan bendera itu – mengalahkan cadangan PKMM dan cadangan Dato’ Onn Ja’afar daripada PSMJ – sebenarnya, tidak  jauh berbeza dengan cadangan PKMM (Ramlah, 2003: 52 – 53). Menurut Firdaus Haji Abdullah,  PKMM menggunakan helah pemilihan bendera untuk memisahkan dirinya daripada UMNO, kerana beberapa bulan sebelumnya, semakin tidak mungkin parti itu berada dalam UMNO, sementara pada masa yang sama, PKMM mahu mencapai objektif politiknya sendiri (dipetik daripada Mohamed Salleh, 2016: 70).
Kempen PKMM menentang Malayan Union  berteraskan idea nasionalisme Malaya, yang mengandungi orang Cina dan India tidak mendapat sokongan yang luas berbanding dengan gerakan penentangan yang dilancarkan oleh UMNO yang memperjuangkan nasionalisme Melayu (Mohamed Salleh, 2016: 69). Dalam satu temu bual, Ishak Haji Muhammad beritahu bahawa tindakan PKMM menyokong Malayan Union memberikan kesan paling buruk terhadap parti itu (Ariffin, 2015: 125). Boleh dikatakan PKMM gagal dalam tindakannya menentang arus, seperti yang pernah dicatatkan, “parti itu gagal memperoleh mana-mana sokong meluas orang Melayu terhadap dasar pro-Malayan Unionnya” (Cheah, 2014: 282), yang diambil kesempatan oleh kumpulan yang bermusuh dengan PKMM mengambil daya usaha untuk menubuhkan UMNO.
Menurut pemerhatian Joel S. Kahn, walaupun orang Melayu kelihatan bersatu menentang Malayan Union, wujud perpecahan yang semakin dalam antara organisasi nasionalis radikal dengan organisasi nasionalis konservatif,  yang berbeza dari segi konsep mereka tentang Melayu.  Meskipun kedua-dua organisasi ini menentang Malayan Union, nasionalis radikal yang lebih tua mula secara lebih eksplisit menyatakan dengan jelas budaya berbanding dengan wawasan perkauman jati diri Melayu; yang paling jelas dalam hujah Dr. Burhanuddin al-Helmy, yang membezakan antara bangsa dengan kebangsaan (Kahn, 2016: 113).
Sementara itu, di peringkat dalaman PKMM, “keutuhan kepimpinan Dr. Burhanuddin sekali lagi tercemar dengan  tindakan Ahmad Boestamam menarik PKMM keluar daripada UMNO”   (Ramlah, 2003: 52).  Beliau menerima keputusan Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Muhammad, wakil PKMM ke persidangan itu dengan mudah sekali.  Beliau tidak berasa tercabar kuasa dan kedudukan politiknya sebagai seorang Presiden (Yang Dipertua Agung) PKMM (Ramlah, 2003: 53). PKMM tidak dapat menerima kekalahan kerana parti itu mengamalkan dasar penggabungan dengan Indonesia dan menentang kaum bangsawan.  Kekalahannya melambangkan kegagalan dasar Indonesia Raya yang cuba dijadikan dasar UMNO (Ramlah, 2003: 52 – 53). PKMM mengambil masa yang agak lama untuk mengetepikan idea penggabungan Tanah Melayu dengan Indonesia. Bahkan, Dr. Burhanuddin  tidak pernah melupakan idea penyatuan Tanah Melayu dengan Indonesia, meskipun Sukarno sendiri “mengabaikan hasratnya untuk bergabung dengan Tanah Melayu” (Ariffin, 2015: 118).
Dalam masa kira-kira setahun berlaku pertembungan  dalam dua buah organisasi politik Melayu  yang berkait dengan simbol.  Yang pertama, ketika penubuhan PKMM yang menyaksikan puak sosialis ditumpaskan oleh puak radikal Melayu dalam memilih nama parti itu.  Kemudian, dalam pemilihan bendera UMNO, yang berkesudahan, puak radikal Melayu ditumpaskan oleh puak nasionalis konservatif.  Secara kebetulan, dalam dua pertembungan itu, Dr.  Burhanuddin tidak hadir, dan secara kebetulan juga, kedua-duanya berlangsung di Ipoh.  Beliau tidak hadir ketika penubuhan PKMM kerana beliau berada di Singapura, manakala dalam persidangan UMNO, “beliau sibuk” (Ramlah, 2003: 52).
(Dipetik daripada Bab Satu, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

Saga Perwaja


SELASA, 9 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

“Saving Perwaja” demikian tajuk depan Starbizweek keluaran 25 Julai 2015,  dengan rencana utama, “Salvaging Perwaja” yang ditulis oleh Leong Hung Yee pada halaman 16 dan 17. Leong memulakan penulisannya dengan menegaskan, “menyelesaikan masalah Perwaja Holding Bhd., pembuat keluli yang tenat, bukannya mudah.  Menyalurkan wang tunai baharu ke dalam operasi tidak menyelesaikan isu yang melingkari pengeluarannya, yang dimusnahkan sebahagian besar oleh penentuan harga yang lemah dan persaingan yang sengit.”
          Sementara itu, Gurmeet Kaur yang menulis “Company’s  Chequered Corporate Past,” mencatatkan bahawa Perwaja kini mempunyai kerugian terkumpul RM1.89 bilion di peringkat kumpulan, di samping jumlah liabiliti hutang RM2.22 bilion berhutang pada bank-bank dan badan berkanun, di samping pembekal tenaga Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas).  Gurmeet  mengimbas kembali Perwaja, bahawa  syarikat ini ditubuhkan pada tahun 1982, merupakan brainchild mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menerajui tanggungjawab Malaysia ke dalam segmen industri berat. Perwaja merupakan usaha sama antara Negeri Terengganu, Nippon Steel Corporation, dan Perwaja Terengganu Sdn. Bhd. Hicom Holdings yang dimiliki oleh kerajaan ialah pemilik utama asal Perwaja Steel dengan pertaruhan 51 peratus ketika itu.
    Dipendekkan cerita, selepas menanggung kerugian demi kerugian, meskipun pengurusan silih berganti, akhirnya pada tahun 1995, kerajaan mengambil keputusan menjual Perwaja.  Tiga syarikat, iaitu Maju Holdings, Lion Group, dan Wing Tiek Holdings Bhd., mengemukakan bida.  “Di bawah pengawasan rapi Mahathir, kerajaan mengemukakan cadangan kepada tiga syarikat berkenaan untuk memiliki Perwaja, dengan Maju Holdings memiliki  51 peratus pertaruhan. Lion Group dan Wing Tiek tidak menerima cadangan tersebut  kerana pengaturan itu bermakna berkesudahan bahagian modal mereka akan dikurangkan menjadi minoriti dalam pengurusan,” tulis Gurmeet.
            Usaha membangunkan perindustrian berat ke arah negara perindustrian  baru (NIC) dikaitkan dengan Dr. Mahathir, yang memajukan industri berat sejak beliau menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian pada akhir tahun 1970-an.  Demi memenuhi aspirasinya, beliau menubuhkan Perbadanan Industri Berat Malaysia (Hicom) yang dipelopori oleh pihak kerajaan memandangkan pelabur swasta tidak sanggup berbuat demikian.  Sejak Mahathir menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981, beliau telah memindahkan tanggungjawab terhadap Hicom dari kementerian lamanya ke Jabatan Perdana Menteri.  Sokongan yang lebih banyak diberikan pada rancangan perindustrian berat, seperti projek simen, besi waja, dan kereta, yang kononnya diperlukan untuk menjadikan Malaysia sebuah NIC. Setakat tahun 1983 sahaja, industri berat baharu ini dianggarkan telah menelan belanja RM8 bilion.  Jelaslah sekarang bahawa dua tiga tahun setelah Mahathir menjadi Perdana Menteri merupakan tempoh yang penting sekali untuk usaha memajukan industri berat baharu ini.  Satu usaha sama telah diwujudkan antara Hicom, Perbadanan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang kaya dengan duit minyak, dan  sebuah kumpulan syarikat Jepun yang dipimpin Nippon Steel Corporation.  Perwaja Terengganu Sdn. Bhd. ini telah membiayai loji besi waja sebanyak RM1.3 bilion (Jomo, 1992: 348 – 350).

Oleh sebab pelabur swasta enggan menyertai industri itu, maka kerajaanlah terpaksa merintis jalan ke arah matlamat itu. Walau bagaimanapun, pengumuman dasar baharu itu tidak disambut dengan baik kerana kerajaan membebankan Malaysia dengan projek yang  mahal lagi merugikan.  Negara membangun yang berjaya dalam bidang industri berat, seperti Korea Selatan, menumpukan pengeluarannya ke pasaran eksport.  Sebaliknya, Malaysia bertujuan memasarkan pengeluarannya dalam negara (Pura, 1986: 114 – 115).  Namun begitu, bagi Mahathir, perindustrian berat bukan sekadar kepentingan ekonomi semata-mata, bahkan “sebagai penyataan nasionalisme yang menunjukkan bagaimana orang Melayu dapat maju melampaui had ekonomi yang sebelum ini ditetapkan terhadap mereka” (Zulkifli, 2014: 24).

Monday, July 8, 2019

Mendung Berarak dari Utara


ISNIN, 8 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Banjir yang melanda Kelantan dan Terengganu turut merebak ke Kota Setar dan Kubang Pasu.  Walau bagaimanapun, bencana alam yang teruk ini tidak menjejaskan persiapan dan kerancakan pilihan raya kecil Lunas. Malah, ketika ancaman banjir belum reda sepenuhnya, cuaca di Lunas pada 29 November 2000 panas dan terang, memudahkan pengundi melunaskan tanggungjawab. Mereka menyatakan hasrat dan pilihan mereka, iaitu kemenangan kepada calon Keadilan, Saifuddin Nasution Ismail (10,511 undi) berbanding dengan calon Barisan Nasional (BN), S. Anthonysamy (9981 undi).

Dalam sejarah pilihan raya kecil, BN beberapa kali gagal mempertahankan kerusi, seperti di Arau, Teluk Intan, Pulau Condong, Teluk Pasu, dan Johor Bahru. Lunas merupakan senarai tambahan kekalahan BN dalam pilihan raya kecil. Perubahan drastik dalam tempoh setahun memang di luar dugaan. Lebih-lebih lagi keputusan pilihan raya itu penting, sama ada BN dapat mengekalkan majoriti dua pertiga ataupun sebaliknya.

Bagi sesiapa yang sempat menatap wajah presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu yang muncul beberapa kali di kaca televisyen menjelang pilihan raya kecil kepiutusan itu tdiak memeranjatkan sama sekali. Samy Vellu yang sebelum penamacaan calon menegaskan bahawa beliau tidak akan pulang ke Kuala Lumpur tanpa membawa kemenangan, kelihatan letih dan percakapannya "tidak tentu hala." Keadaan ini bukan sahaja menggambarkan bahawa beliau keletihan, malah hilang keyakinan.

Apabila sesebuah parti kalah dalam pilihan raya, maka timbul banyak alasan, salah-menyalah, tuduh-menuduh sesama sendiri ataupun dengan pihak lawan. Walau apa-apa pun tuduhan yang dilemparkan, hakikatnya, pihak yang menang selalu betul. Selain itu, kedengaran gembar-gembur di pihak yang kalah. "Saya akan kembali" merupakan ungkapan lazim pihak yang kalah dalam mana-mana pertandingan.

Sejak pilihan raya umum 1999 dan beberapa pilihan raya kecil, seperti Sanggang, Teluk Kemang, dan Lunas, jelas bahawa rakyat mempunyai kesedaran politik yang mendalam. Penglibatan  dan iltizam penyokong parti yang bertanding, khususnya pembangkang amat tinggi kerana mereka semakin memperoleh kekuatan hasil kejayaan dalam pilihan raya umum itu. 

Dengan kesedaran ini, parti yang bertanding tidak boleh memperlekeh pengundi dengan persiapan dan kempen yang ala kadar. Pengundi tidak boleh diperbodohkan dengan isu dan janji yang ketinggalan zaman, seperti subsidi dan bantuan. Memang benar pandangan bahawa pengundi terpengaruh oleh isu kaum dan agama, tetapi tidaklah sehingga menafikan kematangan dan kewarasan mereka.

Dalam era teknologi maklumat, jangan terperanjat jika dalam beberapa tahun lagi, pengundi ingin melihat ketrampilan calon yang bertanding melalui laman web. Selain itu, mereka ingin bersembang, berhujah, bersoal jawab, dan sebagainya melalui e-mel dan Internet. Era teknologi maklumat turut membawa demokrasi baharu. Justeru, parti politik yang tidak dapat menangani kesedaran dan perubahan ini akan terus kecundang. Keputusan di Lunas membuktikan hakikat ini. Kesedaran dan perubahan tersebut mengajar ahli politik tentang pertarungan politik pada abad ke-21.

Keputusan di Lunas juga mengajar ahli politik, khususnya pemimpin, agar berhati-hati apabila memelihara "anak harimau" kerana "anak harimau" yang semakin besar berani menggigit tangan tuannya. Kini, kerajaan BN terdesak kerana dasar liberal yang diamalkan dalam bidang pendidika, budaya, dan bahasa sejak awal tahun 1990-an. Sifat "beri betis paha" dan bersekongkol dengan golongan "gunting dalam lipatan" yang semakin berani menunjukkan kuasa tawar-menawar.

Benih ketidakpastian mula kelihatan di Lunas dan akan subur hiingga tahun 2004. Adakah mendung yang berarak dari utara akan menurunkan hujan atau sekadar ditelan matahari?

("Memo Ketua Editor," Dewan Budaya, Januari 2001.) 











































Projek Lebuh Raya Utara-Selatan dan Skandal BMF

ISNIN, 8 Julai 2019
Oleh: ZULKIFLI SALLEH

Ketika berkhidmat sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun, Tun Dr. Mahathir Mohamad terkenal dengan pelaksanaan projek besar atau projek mega, seperti  Lebuh Raya Utara-Selatan, Pusat Pentadbiran Putrajaya (Putrajaya), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),  Koridor Raya Multimedia (MSC), Menara Berkembar Petronas KLCC, Menara Kuala Lumpur.  Akibatnya, Dr. Mahathir sering menjadi sasaran kritikan, terutamanya daripada parti pembangkang dan daripada Dato’ Seri Anwar Ibrahim apabila beliau dipecat daripada kerajaan dan parti pada September 1998, padahal sebagai anggota Kabinet - menteri dan Timbalan Perdana Menteri, beliau pastinya, terlibat dalam pembuatan keputusan untuk melaksanakan projek berkenaan.  
       Walau bagaimanapun, segala kritikan itu tidak dapat menafikan kewajaran akan perlunya sesetengah projek besar atau projek mega, misalnya lebuh raya yang kini bukan lagi dianggap sebagai alternatif, tetapi sebagai keperluan, manakala Putrajaya dan KLIA adalah untuk keperluan jangka panjang.  Sebagai contoh mudah, ialah pembinaan Jambatan Pulau Pinang pada tahun 1982 dan siap pada tahun 1985 dengan perbelanjaan RM850 juta.  Lebih dua  dekad  kemudian, sebuah lagi jambatan perlu dibina, yang dikenali dengan nama rasminya Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. Kerajaan  DAP yang menguasai Pulau Pinang sejak pilihan raya umum  2008 - dan pemimpin parti itu  sering mengkritik  projek mega Dr. Mahathir, turut merancang projek yang boleh dikatakan “projek mega,” iaitu  pembinaan terowong di negeri itu.
Tentang Lebuh Raya Utara-Selatan, Dr. Mahathir memberitahu bahawa Kabinet bersetuju perlu diswastakan, tetapi tidak banyak pula kontraktor berminat untuk mencuba sesuatu yang baharu.  Akhirnya, sekumpulan kontraktor Melayu dipujuk untuk membina dan mengendalikan lebuh raya itu (Mahathir, 2015: 582). Pembinaan seterusnya sebagai tambahan kepada  Lebuh Raya Utara-Selatan, iaitu di antara Kuala Lumpur dengan Seremban yang telah pun siap dibina, di bawah penswastaan bermula pada tahun 1988 dan siap pada tahun 1995, 15 bulan lebih awal daripada jadual.  Lebuh raya  ini meliputi jarak 772 kilometer dari sempadan Thai ke Johor, dengan sebuah jambatan baharu menyambungkannya dengan Singapura.  Penswastaan Lebuh Raya Utara-Selatan dari segi operasi boleh dianggap berjaya... (Mahathir, 2015: 583).  Apabila Mahathir mengumumkan pembukaan Lebuh Raya Utara Selatan pada September 1994, pihak media dalam nada memuji, menekankan penyempurnannya yang lebih awal dan bukannya skandal kontrak bernilai RM3.4 bilion yang dianugerahkan kepada United Engineers Bhd. (UEM), subsidiari pelaburan UMNO, Hatibudi (Hilley, 2008: 71; rujuk juga Means, 1991: 210).
Namun begitu, pemberian kontrak kepada UEM ini mencetuskan kontroversi, dan ketika perebutan kepimpinan UMNO, “Musa Hitam menuduh Dr. Mahathir dan Daim melakukan rasuah” (Means, 1991: 210). Kontroversi menjadi semakin rumit apabila pada Julai 1987, Lim Kit Siang, mengemukakan saman di mahkamah untuk menyekat pelaksanaan kontrak atas alasan konflik kepentingan dalam menganugerahkan kontrak dan rasuah pada bahagian mereka yang bersekutu dengan projek ini.  Kerajaan naik berang terhadap tindakan undang-undang ini (Means, 1991: 211).  Walau bagaimanapun, Mahkamah Agung  yang bersidang, memutuskan bahawa  Lim Kit Siang tidak mempunyai locus standi, dan dengan itu, tidak boleh meneruskan kes ini di mahkamah (Means, 1991: 237). Tidak dapat dipastikan, sama ada penahanan Lim Kit Siang di bawah ISA ketika Operasi Lalang,  ada hubung kaitnya dengan saman kontrak bernilai RM3.4 bilion itu.
“Mahathir percaya pada perkara besar,” tulis Rais Yatim dengan merujuk beberapa projek besar atau “projek mega” itu. “Walau bagaimanapun, ketika rakyat menggunakan projek itu, domain awam ini merembeskan kemegahan mereka dan kebergunaan.  Dalam analisis akhir, rakyat percaya bahawa apa yang beliau lakukan bukannya untuk dirinya sendiri, tetapi untuk negara” (Rais, 2006: 121).  Rais dalam bukunya yang lain menjelaskan bahawa  “projek mega” atau projek gergasi tidak menjadi hal sangat kerana akhirnya manfaat diterima juga oleh rakyat (Rais, 2004: 506).
Bagi Dr. Mahathir, beliau mempunyai alasan tertentu mengapa beliau melaksanakan projek besar atau projek mega, iaitu dari segi “ekonomi bidangan,” seperti  yang pernah jelaskan kepada para perwakilan UMNO. Beliau mengakui bahawa projek-projek di Malaysia, sama ada oleh swasta ataupun kerajaan memang besar, kerana skala ekonomi, iaitu penurunan kos, selain menjana keuntungan yang besar, yang dapat menambah hasil kerajaan, di samping menambah modal untuk pelaburan atau projek lain. Dan pelaburan menyumbang kepada kekayaan negara. Hujah Dr. Mahathir, projek besar bukan pembaziran, sebaliknya menyumbang kepada pembangunan negara.  Beliau mengingatkan rakyat Malaysia “supaya tidak mudah terpedaya dengan dakwaan mereka kononnya kita di Malaysia, dan saya terutamanya, sedang membazirkan duit negara dengan projek-projek ‘mega.’ Kita tidak sebodoh itu” (Ahmad Fawzi dan Mohd Foad, 2005: 448 – 449).
Projek mega, skandal pun mega!  Dalam tempoh 22 tahun pemerintahannya berlaku pelbagai skandal,   seperti yang didedahkan Barry Wain dalam “Bab 6:  Scandal, What Scandal?” bukunya, Malaysian Maverick:  Mahathir Mohamad in Turbulent Times, seperti malapetaka bijih timah, kisah BMF (Bumiputra Malaysia Finance), kegagalan pertukaran asing, dan bencana Perwaja, dianggarkan kerugian sebanyak  RM100 bilion. “Kebanyakan semua skandal melibatkan kerajaan secara langsung, atau pegawai kanan dan ahli perniagaan yang mempunyai hubungan rapat dengan UMNO” (Wain, 2009: 149).
Dalam kes BMF, pada Oktober 1983, tindakan mahkamah di Hong Kong mendedahkan Carrian Investments berhutang sebanyak RM1.7 bilion dengan BMF dan sangat sedikit jumlah itu dapat dipulihkan (Means, 1991: 120).  Dr. Mahathir  mengakui bahawa “jenayah yang sungguh kejam” dilakukan, menambah, “meskipun apa yang mereka lakukan salah dari segi moral, sah dari segi undang-undang, kita tidak boleh menghadapkan mereka ke mahkamah” (Meas, 1991: 122). Pendedahan skandal BMF di Hong Kong itu jelas mencemarkan slogan “Bersih, Cekap, Amanah”  dalam pentadbiran Mahathir... Dalam kalangan tokoh politik yang tercemar akibat ini ialah Dr. Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah,(Tun) Musa Hitam, Dr. Nawawi Mat Awin, Hashim Shamsuddin, (Tan Sri) Kamarul Ariffin Mohamed Yassin, dan Dr. Rais Saniman (Means, 1991: 123).  Walau bagaimanapun, pada tahun 1995, tanpa liputan media arus perdana di Malaysia, Tengku Razaleigh yang ketika itu ketua parti pembangkang,  menang di Mahkamah Tinggi Hong Kong, membebaskan dirinya daripada sebarang tuduhan yang menyebabkan BMF kerugian RM1.5 bilion pada tahun 1983 (Hilley, 2008: 140).
 Berikutan pendedahan dalam buku Barry Wain  itu, “pemimpin pembangkang Lim Kit Siang menggesa  Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat Tun Mahathir” (Tai, 2010). Melihat hubungan rapat yang terjalin antara dua pemimpin veteran pada  tahun 2016 dengan pelancaran Deklarasi Rakyat, mungkin Lim Kit Siang berasa “bersyukur” kerana gesaannya tidak dipedulikan oleh  Mohd. Najib!   
(Dipetik daripada Bab Sepuluh, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)




Sunday, July 7, 2019

Apa Pula Selepas Ini?

AHAD, 7 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Satu demi satu gejala sosial melanda masyarakat, khususnya remaja di negara ini. Gejala lepak, bohsia, bohjan, ketagihan pil khayal ecstasy, sambutan terhadap pusat permainan video, dan penkid (menggalakkan gadis meniru gaya lelaki) menggambarkan rentetan gejala yang melanda sesetengah anggota masyarakat. Golongan ini bergelumang dalam situasi yang sukar dirombak dan akhirnya mewujudkan masalah sosial yang serius.

Apabila gejala ini semakin tidak terkawal, pihak berkuasa mengambil tindakan tegas, seperti pemeriksaan dan penutupan pusat permainan video. Media pula memaparkan liputan yang meluas tentang kepincangan atau keburukan yang dibawa oleh gejala sosial. Di samping itu, setiap lapisan masyarakat mengalu-alukan langkah tegas pihak berkuasa demi menyelamatkan golongan berkenaan, di samping mengawal gejala ini daripada terus merebak.

Meskipun pihak berkuasa telah mengambil tindakan tegas, gejala sosial tetap muncul. Setiap gejala sosial yang berkubur digantikan oleh gejala sosial yang baharu yang pastinya memikat sebilangan anggota masyarakat.Setiap tindakan sekadar mampu membendung satu-satu gejala sosial, tetapi membenihkan gejala sosial yang baharu, Kewujudan gejala sosial di Malaysia tidak ubah seperti "patah tumbuh hilang berganti,"

Ketagihan pil khayal, kunjungan ke pusat permainan video, dan pelbagai gejala sosial menggambarkan kepincangan yang wujud dalam masyarakat dan semasa ke semasa. Banyak fakfor yang mewujudkan gejala sosial, seperti pendidikan, keluarga, kawasan kediaman, masyarakat, dan media. Semua faktor ini mendorong golongan tertentu mencari jalan keluar yang tidak sihat yang boleh memudaratkan diri mereka dan masyarakat,

Masyarakat dan negara kini menanggung akibat pengkomoditian dan pengkomersialan budaya. Yang jelas, nilai gunaan dan atau nilai penghayatan budaya semakin berkurangan, Di samping itu, kemurnian dan keluhuran budaya tempatan dicemari oleh kebanjiran budaya asing. Penciptaan budaya tempatan semakin kurang, sebaliknya masyarakat lebih banyak melanggani budaya asing. Budaya yang diwarisi turun-temurun kian pupus dan digantikan oleh budaya yang dicipta oleh televisyen, media, dan siber. Misalnya, televisyen lebih berminat menyiarkan budaya massa yang berasaskan penggunaan dan rancangan sukan yang menjadi ketagihan sebilangan besar masyarakat. Mereka akan terdorong untuk mencari keseronokan dan ketagihan di luar rumah, iaitu bersama-sama rakan sebaya di pusat hiburan atau pusat permainan. Akibatnya, masyarakat, khususnya remaja dan kanak-kanak, terus terpisah daripada budaya mereka sendiri.

Usaha menangani gejala sosial perlu menjuru kepada pengesanan dan rawatan faktor yang sebenar. Tindakan seperti mengharamkan pusat permainan video tidak berkesan dalam jangka panjang kerana golongan yang terbabit akan mencari alternatif untuk memenuhi kehendak dan keperluan mereka. Dengan itu, golongan ini terus bergelumang dalam kemelut gejala sosial.

Memang sukar mengesan dan seterusnya merawat faktor yang menyebabkan berlakunya gejala sosial. Namun begitu, langkah ini paling baik dalam jangka panjang jika dibandingkan dengan langkah jangka pendek, seperti menutup pusat permainan video. Memang benar bahawa dengan penutupan pusat permainan video, pelanggannya tidak lagi tertumpu di situ. Sekali gus, gejala sosial berjaya dibendung. Namun begitu, pada hakikatnya, masalah sosial masih wujud dengan berleluasa,

Satu-satunya langkah terbaik dan berkesan adalah dengan menyelami faktor yang mendasari masalah sosial, walaupun mungkin memakan masa. Langkah sementara, seperti menutupa pusat permainan video, sekadar berupaya membendung gejala ini daripada terus merebak. Langkah ini perlu disusuli dengan langkah mengesan, mengubat, dan mengawal masalah sebenar. Jika tidak, lambat-laun, masalah sosial semakin parah sehingga sukar dikesan , diubat, dan dikawal.

("Memo Ketua Editor,"  Dewan Budaya, November 2000.)























Saturday, July 6, 2019

Pasukan Pengawal Kampung: Tun Hussein dan Tun Ibrahim


SABTU, 6 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Pada permulaan Darurat, Parti Komunis Malaya (PKM) mempunyai kekuatan 5000 orang anggota yang dibahagikan kepada 10 batalion, manakala kekuatan British jauh lebih besar dengan peningkatan pasukan polis daripada 9000 orang anggota pada tahun 1948 kepda 67,202 orang pada tahun 1952. Daripada jumlah tersebut, 22,187 ialah polis biasa, 44,878 polis bantuan, manakala kekuatan Pengawal Kampung pula meningkat hingga 300,000 pada Januari 1951 (Mohd Rizal dan Shamrahayu, 2015: 118 - 119).
Selepas enam bulan dalam perkhidmatan tentera, Tun Hussein Onn menyertai Perkhidmatan Tadbir Melayu (Malay  Administrative Service) dengan berkhidmat sebagai penolong pegawai tadbir di Daerah Segamat dan kemudian sebagai pegawai daerah di Kuala Selangor dan Kelang. Ketika itu, British sedang mengemukakan dasar Malayan Union dan Dato' Onn  Ja’afar sendiri memainkan peranan penting menentang Malayan Union dengan menubuhkan UMNO (Arkib Negara Malaysia, 1995: 1; rujuk juga Morais, 1982: 10). Beliau juga  dilantik menjadi anggota Majlis Undangan Negeri Johor dan Majlis Undangan Persekutuan. Semasa Darurat, beliau dilantik menjadi pegawai penjaga pasukan Pengawal  Kampung (Home Guard) di Johor (Arkib Negara, 1995: 1 – 2;  rujuk juga Ibrahim, 1981: 1011, Ibrahim, 2008: 202 - 203).  Tun Hussein sebagai ketua dan Tun Ibrahim Ismail sebagai timbalan  Pengawal Kampung bergerak ke seluruh negeri Johor melalui jalan raya menaiki sebuah jip bersama-sama seorang pemandu dan seorang pengiring.  Biasanya, mereka melalui kawasan yang sering didatangi komunis dan kemungkinan diserang hendap adalah tinggi; ada beberapa kali mereka nyaris diserang hendap (Ibrahim, 2008: 203).

Penglibatan   Ibrahim dalam menentang ancaman komunis bermula sebaik-baik sahaja Darurat diisytiharkan pada tahun 1948. Di negeri Johor, Menteri Besar ketika itu, Dato’ Onn Ja’afar, mengambil langkah serta-merta untuk menghalang komunis daripada menguasai kampung Melayu terpencil.  Anaknya, Tun Hussein yang sedang berkhidmat sebagai penolong pegawai daerah di Kuala Selangor, diminta pulang ke Johor untuk mengetuai urusan penubuhan Pengawal Kampung.  Hussein yang memikul tanggungjawab itu meminta  Ibrahim bersama-sama beliau sebagai timbalan. Kedua-duanya, iaitu  Ibrahim dan  Hussein bertanggungjawab melatih kader jurulatih Pengawal Kampung, di samping atas permohonan Markas Kontinjen Johor yang dalam proses penubuhan pasukan hutan, mereka berdua membantu mereka melatih anggota polis mereka dalam taktik peperangan hutan  (Ibrahim, 2008: 205; Ramlah, 2014: 19; Zainah, 2011: 181).   Mereka berdua tanpa mengenal penat lelah menjelajah seluruh Johor, pergi ke kampung-kampung di daerah yang terjejas teruk, untuk mengatur dan melatih orang kampung menggunakan senjata dan dalam strategi mempertahankan diri (Zainah, 2011: 181 – 182). Pada masa itu, keselamatan negara sedang terancam.  Ini bermakna Pengawal Kampung   terpaksa lebih berwaspada semasa melaksanakan tugas mempertahankan diri daripada kemungkinan diserang oleh pengganas komunis (Ibrahim, 2008: 206), yang turut mencatatkan Peristiwa Bukit Kepong, apabila pada 23 Februari 1950, komunis menyerang balai polis. Ibrahim memberitahu, “Setiap orang berasa takut kerana gerila bersenjata, sedangkan penduduk kampung tidak.  Kami memberi mereka senapang patah dan melatih mereka menggunakan senjata.  Apabila kami kehabisan senapang patah, kami mengagihkan parang panjang yang dibuat oleh orang kampung sendiri” (Zainah, 2011: 182).  

           Hussein dan Ibrahim mengumpulkan, mengatur, dan melatih 10,000 orang Pengawal Kampung.  Menurut Ibrahim, sambutan terhadap misi mereka sukar dipercayai. Orang Melayu berdiri teguh di belakang mereka dan bangkit menentang gerila dan mencegah kampung mereka daripada disusupi atau diganasi. Memang tidak sukar untuk mengambil penduduk kampung kerana mereka telah pun penuh rasa bangga dengan semangat nasionalisme Melayu dan dengan UMNO yang baru sahaja ditubuhkan, dan menentang Malayan Union” (Zainah, 2011: 182).  Ibrahim yakin bahawa strategi melawan balik pemberontakan merupakan instrumental dalam mencegah PKM daripada mengambil alih kawasan luar bandar dan kampung (Zainah, 2011: 182).
            Menjelang tahun 1952,  PKM yang melancarkan pemberontakan itu terpaksa berhadapan dengan pasukan keselamatan yang lebih mantap kerana beberapa perubahan yang dilakukan oleh pesuruhjaya British Sir Gerald Templer yang juga merupakan pengarah operasi mulai Januari 1952. Sepanjang tahun 1953 dan 1954, komunis terus menerima tentangan hebat di setiap medan dan penjuru, terutama sekali pelancaran operasi besar-besaran pihak polis dan Pengawal Kampung di Kelantan, timur Pahang, dan barat Perak. Tentera pula menumpukan operasi di tempat-tempat lain. Kawasan putih semakin banyak diisytiharkan, terutamanya di Pantai Timur (Mohd. Reduan, 2008: 57 – 60).
(Dipetik daripada Bab Sembilan, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)


Rundingan Baling: Kejayaan Tunku Menundukkan Chin Peng


SABTU, 6 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Semasa berkhidmat sebagai Ketua Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra mengadakan rundingan dengan Chin Peng, setiausaha agung PKM, yang beliau sifatkan sebagai “rundingan bersejarah” (Tunku  Abdul Rahman Putra, 1980: 7).  Bagi Tunku, beliau mengadakan Rundingan Baling itu untuk “mendedahkan pembohongan PKM serta pengakuan Chin Peng bahawa dialah yang cuba membebaskan Tanah Melayu... Apabila Chin Peng memutuskan bahawa dia tidak akan meletakkan senjatanya, maka nyatalah kepada penduduk Tanah Melayu bahawa dia bermaksud untuk meneruskan tindakan kekejaman dan keganasannya bagi mencapai maksud politiknya sendiri...” (Tunku  Abdul Rahman Putra, 1980: 7). 
Dalam Rundingan Baling itu, Tunku bersama-sama David Marshall, Ketua Menteri Singapura daripada Parti Buruh dan Tun Tan Cheng Lock, pemimpin MCA, manakala Chin Peng bersama-sama Chen Tien dan Rashid Maidin.  Menurut Tunku, “beliau sedar bahawa Chin Peng datang berunding dengan perasaan yang ragu, maka oleh sebab itu, Tunku mengambil sikap sangat berhati-hati untuk memastikan agar tidak terlampau yakin kerana untuk mengelak daripada “risiko kegagalan” (Tunku  Abdul Rahman Putra, 1980: 7).  Ibrahim Mahmood  menyatakan pihak PKM berutus-utus  surat dengan Tunku yang membawa kepada Rundingan Baling (Ibrahim, 1981: 478 – 480), manakala Dato’ P.G. Lim memuatkan rekod verbatim Rundingan Baling yang melibatkan empat sesi (Lim, t.t.: 99 – 132).
Bagi Tunku, tawaran Chin Peng untuk bertemu dengan beliau sebagai anugerah daripada Tuhan, dan beliau segera mengambil kesempatan itu.  Sebenarnya, Tunku tidak  mahu Tanah Melayu senasib dengan Palestin, yang menurut beliau, ketika orang Yahudi menentang Inggeris, orang Arab mengambil pendirian tidak menyebelahi mana-mana pihak.  Akan tetapi, apabila Inggeris terdesak, mereka berdamai dengan Yahudi dan menyerahkan seluruh Palestin kepada Yahudi. “Perkara ini dapat berlaku dengan mudah sekali dalam keadaan Darurat Tanah Melayu, jika perang itu merugikan Inggeris.  Tidak ada kuasa penjajah yang mahu mempertimbangkan perasaan penduduk ‘bumiputera’ jika keputusannya akan merugikan kepentingan mereka ataupun mungkin membahayakan jiwa rakyat mereka” (Tunku  Abdul Rahman Putra, 1980: 7).  Sejauh mana tepatnya perbandingan yang dibuat oleh Tunku itu adalah di luar skop buku ini. Namun begitu, yang jelas di peringkat antarabangsa, ketika itu berlaku Perang Dingin, iaitu pertembungan ideologi antara Barat dengan Timur, antara komunis dengan bukan komunis, manakala  di rantau Asia,  Perang Korea (1950 – 1953) baru sahaja berakhir dan Perang Vietnam (1955 – 1975) baru sahaja bermula. Faktor ini tidak memungkinkan British begitu mudah bekerjasama dengan PKM dan begitu mudah menyerahkan Tanah Melayu kepada mereka.
Dalam rundingan yang berlangsung selama dua hari mulai 28 Disember 1955, Tunku menegaskan bahawa apa-apa jua keputusan rundingan itu, “rancangan kami terhadap berkerajaan sendiri tidak sekali-kali akan terganggu, tetapi akan berjalan terus seperti yang dirancang” (Ibrahim, 1981: 485).   Chin Peng mahu PKM diiktiraf dan mengekalkan hak ke atas senjata yang mereka miliki.  Tunku bagaimanapun, menuntut pembubaran PKM dan penyerahan semua senjata api yang dimiliki gerila.  Dia enggan berbuat demikian dan mereka kembali ke hutan belantara untuk meneruskan peperangan (Mahathir, 2015: 167).  Chin Peng yang  enggan menerima pengampunan dan meletakkan senjata tanda menyerah diri menegaskan, “sebab antara kamu dengan komunis tidak ada saling wujud” (Lim, t.t.: 94).  Dalam rundingan itu, Tunku menolak permintaan  dengan tegas permintaan PKM untuk dibenarkan wujud sebagai sebuah politik yang sah.  Tunku juga menolak permintaan PKM yang mahukan mereka diberikan peluang meletakkan senjata secara terhormat (Mohd. Reduan, 2008: 64).
Bagi Tunku sendiri, pertemuan dengan Chin Peng itu mendatangkan hasil yang sangat baik. “Barulah untuk pertama kalinya rakyat Tanah Melayu tahu apa yang dicita-citakan oleh Chin Peng – bukan pemerintahan sendiri yang demokratik, melainkan pemerintahan Tanah Melayu yang dikuasai oleh komunis (Tunku  Abdul Rahman Putra, 1980: 14). Dr. Mahathir yang dalam beberapa perkara  tidak sehaluan dengan Tunku, menganggap “pertemuan itu satu kejayaan besar bagi Tunku. Dengan satu langkah bijak, Tunku membuktikan kepada semua pihak bahawa beliau bukanlah boneka British”  (Mahathir, 2015: 167). Pertemuan itu bukan sahaja menaikkan imej dan wibawa Tunku sebagai pemimpin di sebuah negara yang sedang memperjuangkan kemerdekaan, tetapi juga menjadikan perjuangan komunis  tidak relevan, seperti yang dicatatkan oleh Dr. Mahathir:  “Mulai saat itu, Chin Peng  dan PKM bukan lagi pejuang pembebasan rakyat, tetapi berperang menentang Tanah Melayu” (Mahathir, 2015: 167).
Bagi kawan-kawan politiknya, seperti Tun Fatimah Hashim yang pernah menganggotai Kabinet Tunku dan menerajui Wanita UMNO, tindakan Tunku untuk bertemu dengan Chin Peng, menunjukkan kesediaan Tunku menggadai nyawanya (Fatimah, t.t.: 57). Bagi Tun Dr. Mahathir Mohamad pula, kesediaan Tunku untuk menemui Chin Peng bagi merundingkan gencatan senjata menunjukkan bahawa sebagai ketua kerajaan, Tunku “tidak berlengah untuk menunjukkan kebebasannya.” Dalam satu langkah yang bertentangan dengan dasar British, beliau menawarkan pengampunan kepada pengganas komunis (Mahathir, 2015: 167). 
PKM bersetuju mengadakan Rundingan Baling dengan beberapa muslihat tertentu, iaitu “untuk memperdaya Perikatan dengan mengadakan pakatan sementara.  Mereka perlu bekerjasama dengan Tunku Abdul Rahman untuk menghalau penjajah British. Setelah penjajah itu diusir dan keamanan ditegakkan, maka pada masa itulah PKM dengan sokongan rakyat akan menumbangkan rejim borjuis Tunku Abdul Rahman dan menggantikannya dengan rejim diktator rakyat semua kaum dan lapisan” (Mohd, Reduan, 2008: 63).   Setelah gagal dalam rundingan pertama, PKM sekali lagi mengajak kerajaan berunding, tetapi kerajaan mengetahui niat tersembunyi PKM, tidak melayani permintaan mereka (Mohd. Reduan, 2008: 64).  Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Chin Peng menghantar dua pucuk surat kepada Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, menyatakan kesediaan PKM untuk berunding.  Surat yang pertama bertarikh 12 Oktober 1957, bertaip dalam bahasa Melayu.  Satu lagi surat, yang merupakan surat terakhir, bertarikh 9 Disember 1957  (Ibrahim, 1981: 670 – 673).
Meskipun  Rundingan Baling itu gagal, pendapat awam memihak kepada Tunku, terutamanya pada pandangan kerajaan kolonial, yang tertarik dengan cara Tunku menangani situasi (Lim, t.t.: 94). Walaupun gagal memujuk PKM, Tunku Abdul Rahman dapat menunjukkan kepada orang ramai bahawa kerajaan Perikatan telah membuat yang terbaik untuk membawa keamanan bagi mencapai kemerdekaan Tanah Melayu.  Yang bersalah ialah PKM yang menolak pengampunan dan enggan meletakkan senjata (Ramlah, 2005: 248). Rundingan  itu menyebabkan British terpaksa memberikan perhatian serius terhadap perjuangan kemerdekaan.  Bagi Tunku, “Baling terus membawa terus kepada kemerdekaan” kerana Rundingan Baling itu, “maka kita dapat merampas inisiatif daripada PKM, kemudian bersidang di meja perundingan di London bagi kemerdekaan kita dengan kita dengan Inggeris”  (Tunku  Abdul Rahman Putra, 1980: 16).  Rundingan Baling sebenarnya merupakan kemenangan politik dan peribadi  bagi Tunku kerana dapat  “menjinakkan” PKM sambil meyakinkan British bahawa kemerdekaan Tanah Melayu tidak dapat dielakkan lagi.
Semasa kepimpinan Tunku sebagai Perdana Menteri,  “Darurat telah tamat pada 31 Julai 1960” (Mohd. Salleh, 2006: 22), menandakan kemenangan Tanah Melayu dalam menghadapi ancaman dan keganasan komunis. “Maka berakhirlah keganasan komunis yang selama 12 tahun mengganggu negara kita yang dahulunya aman bahagia” (Tunku  Abdul Rahman Putra, 1980: 16).
(Dipetik daripada Bab Satu, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

Thursday, June 27, 2019

Seandainya Tidak Ada Masa


KHAMIS, 27 Jun 2019
Oleh: ZILKIFLI SALLEH


Dalam kalangan  individu tertentu, kerana kesibukan, maka mereka tidak ada masa untuk membaca. Namun begitu, hasil inovasi dan kebijaksanaan manusia, masalah tersebut dapat diatasi. Buku The Great American Bathroom Book I [Compact Classic, (tidak dinyatakan tempat terbit), 1994, RM57.00]  dengan editornya, Stevens W. Anderson,   diulang cetak sebanyak tujuh kali dalam masa tiga tahun dapat menarik minat anda untuk membaca.

Great American Bathroom Book I (GABB) diterbitkan dengan tujuan menyediakan kualiti pembacaan yang unggul bagi sesiapa yang sedang  menunggu seseorang atau ketika makan tengah hari atau ketika dalam bilik air. Malahan, anda boleh membaca buku ini di mana sahaja pada bilabila masa. GABB memadatkan versi ringkasan idea dan karya penting.

Dalam beberapa minit sahaja, para pembaca benar-benar mengetahui dan mempunyai pengetahuan tentang beratus-ratus perkara daripada perniagaan dan prinsip pengurusan kepada sastera klasik dan sezaman, dan sebagainya.

Buku ini yang meringkaskan 130 buah buku yang terkenal untuk pembacaan masa lapang dan bermenung dibahagikan di bawah tajuk perpustakaan nombor I hingga perpustakaan nombor. Di bawah setiap tajuk perpustakaan ini terdapat beberapa bahagian. Di Amerika Syarikat, GABB menjadi buku terlaris dan dalam beberapa minggu sahaja, lebih satu juta naskhah telah dijual di negara itu.

Antara ringkasan buku yang dimuatkan dalam GABB ialah Entrepreneurial Megabucks, Megatrends, Megatrends 2000, The Managerial Mystique, A Passion of Excellence, Thriving on Chaos, The Greatest Management Principle in the World, The One-Minute Manager, The Greatest Salesman in the World, Swim with the Sharks, Managing Conflict, Situational Leadership, Employee and Management Rights, The Seven Habits of Highly Effective People, Love is Letting Go of Fear, Wealth without Risk, Time Saving Tips, petikan dan anekdot, biografi, dan sebagainya.

Sebenarnya, untuk menjadi orang yang benar-benar mengetahui dan berpengetahuan, para pembaca tidak perlu membaca kesemua 130 buah buku yang terkenal itu. Sekadar membaca GABB, para pembaca dapat mengetahui beberapa perkara dan persoalan penting yang terkandung dalam semua buku berkenaan.

Seorang sahabat saya  yang melihat GABB telah melahirkan rasa tertarik beliau terhadap buku tersebut. Setelah membaca GABB sepintas lalu, sahabat ini berkata, “Sekurang-kurangnya kita dapat mengetahui perkara penting yang dibicarakan oleh pembaca lain. Dengan membaca buku ini kita tidak akan ketinggalan dari segi pengetahuan.”

Dalam buku ini juga para pembaca dapat bersua dengan nama-nama terkenal, seperti Euclid, Isaac Newton, Winston Churchill, Benjamin Franklin, William Shakespeare, Leonardo da Vinci, Thomas Alva Edison, Marie Curie, Martin Luther King, Mahatma Ghandi, dan Confucius.

GABB diilhamkan oleh Lan England, seorang usahawan yang ketika itu berada dalam penerbangan yang jauh. Dalam penerbangan itu beliau berhasrat meringkaskan semua buku klasik yang pernah beliau dengar. Oleh itu, beliau mengupah editor, Stevens Anderson yang kemudiannya mengupah beberapa orang profesor kolej dan ulat buku yang lain.

Buku ini diimport khas oleh Rayma Management Centre Sdn. Bhd., dan ketika ulasan ini diterbitkan,  masih belum dijual di kedai buku. 
(Dewan Ekonomi, Januari 1995.)











Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...