Artikel Popular

Thursday, July 9, 2020

Rukun Negara: Latar Belakang Sejarah


KHAMIS, 9 Julai 2020
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

(Dipetik dan diubah suai daripada manuskrip yang belum diterbitkan “Tun Abdul Razak dan Pembinaan Negara.”)

Dasar Ekonomi Baru (DEB) dirumuskan oleh kerajaan  sebagai asas ekonomi tentang Rukun Negara.  Tun Abdul Razak yang bijak sememangnya menyedari bahawa walau bagaimana penting sekalipun keunggulan Rukun Negara dan perolehan persetujuan ramai, penentuan sama ada perjuangan bagi memperoleh perpaduan akan dicapai, atau tidak akan diketahui melalui penyusunan semula negara dari segi ekonomi dan sosial. Jadi, DEB dirangka dengan niat untuk memberikan kandungan dan isi kepada ideologi pembangunan negara Malaysia yang baharu, seperti yang terdapat dalam Rukun Negara (Faaland, Parkinson, Rais, 1991:  31). DEB ialah dasar jangka panjang yang meliputi tempoh selama 20 tahun (1971 – 1990).
            Tujuan utama kerajaan melancarkan DEB, dengan Rancangan Malaysia Kedua 1971 – 1975 sebagai tahap pertamanya, adalah untuk mentafsirkan ideologi Rukun Negara mengikut maksud pengendalian.  Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein, “Rancangan ini merupakan rancangan terperinci bagi DEB.  Rancangan ini menggabungkan objektif yang mempunyai dua tujuan, iaitu bagi membasmi kemiskinan, tanpa mengira kaum, dan bagi menyusun masyarakat Malaysia untuk mengurangkan dan secara beransur-ansur, menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi”  (Faaland, Parkinson, Rais, 1991:  93 – 94). 
            Rancangan Malaysia Kedua menggabungkan DEB yang bercabang dua untuk pembangunan.  Cabang pertama bertujuan untuk mengurangkan dan akhirnya menghapuskan kemiskinan dengan meninggikan pendapatan dan menambahkan guna tenaga untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan mereka. Cabang kedua bertujuan untuk menyegerakan proses penstrukturan semula masyarakat  Malaysia untuk membetulkan ketidakseimbangan ekonomi supaya kelaziman mengaitkan sesuatu bangsa dengan fungsi ekonomi tertentu dapat dikurangkan hingga akhirnya dapat dihapuskan secara beransur-ansur (Milne dan Mauzy, 1982: 415). Walau bagaimanapun, pandangan lain mengatakan bahawa DEB menjadi lebih penting daripada Rukun Negara, kerana DEB menjadi asas dan kayu ukuran untuk semua dasar ekonomi dan sosial yang diunjurkan sekurang-kurangnya hingga tahun 1990 (Means, 1991: 23).
            Langkah positif telah diambil untuk menyelesaikan pertikaian antara ketiga-tiga kaum yang terbesar  di Malaysia (Melayu, Cina, dan India) dengan penubuhan tiga institusi  Pada Julai 1969, Jabatan Perpaduan Negara ditubuhkan, dengan Datuk  Dr. Agoes Salim sebagai ketuanya.  Seterusnya, Tun Abdul Razak menubuhkan Majlis Perundingan Negara (MPN) pada tahun 1970 untuk memajukan konsensus tentang isu nasional dan mengenal pasti dan bersetuju tentang ideal yang implisit dalam Perlembagaan Persekutuan atau melampaui Perlembagaan (Ahmad Sarji, 2016: 29). Pada tahun itu juga Majlis Muhibah Negara  ditubuhkan yang dianggotai oleh 53 orang ahli yang dipilih oleh Tunku sebagai pengerusi Majlis).  Walau bagaimanapun, jentera Majlis Muhibah Negara tidak sama dengan Jabatan Perpaduan Negara dan MPN (Milne dan Mauzy, 1982: 116).
            Daripada berbagai-bagai organisasi yang ditubuhkan selepas 13 Mei, MPN yang paling menarik.  Secara am, tujuannya diberikan sebagai “untuk mengadakan garis panduan bagi kerjasama antara kaum dan integrasi sosial untuk memupuk identiti kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia (Milne dan Mauzy, 1982: 116). Tugas MPN adalah untuk menentukan “penyelesaian” yang kekal terhadap masalah perkauman untuk menentukan bahawa tragedi 13 Mei tidak berulang lagi. Dalam beberapa perkara MPN merupakan institusi yang ditubuhkan sebagai menggantikan Parlimen.  Majlis ini merupakan sebuah badan berbilang kaum yang mengandungi 65 orang ahli yang mewakili kerajaan negeri dan Persekutuan, parti-parti politik (kecuali DAP dan Parti Rakyat), dan golongan yang berpengaruh” (Comber, 2007:  150 – 151).  MPN yang dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu Jawatankuasa Ekonomi dan Jawatankuasa Politik.  Hasil perdebatan yang panjang lebar, maka terbentuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan  Rukun Negara (Lim, 2006: 126).
            Pada pertengahan Julai 1969, Tan Sri (Tun) Ghazali Shafie mengumumkan matlamat untuk menyediakan garis panduan dalam mewujudkan ideologi negara.  Rangkanya telah disediakan oleh Jabatan Perpaduan Negara yang diketuai  oleh beliau sendiri.  Rangka akhir telah diserahkan kepada MPN untuk diluluskan (Comber, 2007: 151). Beberapa orang pegawai awam kanan dan akademik membantu merangka Rukun Negara, termasuk Tun Muhammad Ghazali Shafie, Tun Abdullah Ayob, Tan Sri Zain Azraai, Datuk Khatijah Ahmad, Tan Sri profesor Khoo Kay Kim, profesor James Peter Ongkili, Tan Sri Rama Iyer, Tun Mohd. Salleh Abas, dan Datuk Dr. Agoes Salim (Ahmad Sarji, 2016: 30).  Pada 31 Ogos 1970, Yang di-Pertuan Agong secara rasmi mengisytiharkan ideologi negara yang dinamakan Rukun Negara, dengan lima prinsip: Kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, dan kesopanan dan kesusilaan. Menurut Tun Ahmad Sarji prinsip ini diterima oleh semua dan boleh diterapkan untuk semua, adalah bertujuan untuk memandu tindakan negara baharu, dan semua parti politik yang mengaggotai MPN, di samping DAP yang tidak menganggotai MPN, meluluskan Rukun Negara  (Ahmad Sarji, 2016: 30). 
Rukun Negara diwujudkan kerana memandangkan masyarakat Malaysia yang berpecah-belah, termasuk perpecahan kaum yang digunakan untuk tujuan jahat pada 13 Mei, maka perlulah bagi negara untuk mencari jalan bagi mencapai matlamat tertentunya.  Untuk tujuan ini prinsip tertentu diperlukan sebagai panduan untuk mencapai matlamat tersebut (Milne dan Mauzy, 1982: 120).   Dengan memetik takrif ideologi  yang terdapat dalam kamus Paul Sigmund sebagai “suatu skim yang bersistem atau badan penyelaras idea mengenai kehidupan atau kebudayaan, maka jika dibandingkan sudah tentulah rangkai kata untuk Rukun Negara itu agak am.  Ini bukanlah satu ideologi dalam erti kata falsafah  yang dirancang secara menyeluruh” (Milne dan Mauzy, 1982: 120 – 121).  Menurut Tun Mohd. Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara,  Rukun Negara tidak mengenakan kewajipan yang lebih dan tidak memberikan hak yang lebih berbanding dengan apa yang sudah terkandung dalam Perlembagaan.  Jadi, usaha untuk mematuhi Rukun Negara tidak lebih daripada usaha untuk mematuhi Perlembagaan (Faaland, Parkinson, dan Rais, 1991: 30).
Di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak, kerajaan dan negara yang khidmatnya dicurahkan, untuk pertama kali mempunyai falsafah dan ideologi negara atau prinsip asas, iaitu Rukun Negara (Ahmad Sarji, 2016: 31). Walau bagaimanapun, tidak seperti Pancasila dan bahasa Indonesia berjaya dalam pembinaan bangsa di negara itu, Rukun Negara dan bahasa Melayu adalah sebaliknya.  Mungkin hal ini juga ada kaitannya dengan “usaha untuk  membuat rakyat memahami Rukun Negara supaya mencapai matlamat perpaduan negara akan mengambil masa yang panjang” (Milne dan Mauzy, 1982: 121).
Dalam salah satu ucapannya, Tun Abdul Razak, menyatakan bahawa Rukun Negara, DEB, DPK, dan DKK, semuanya akan menyumbang ke arah apa yang beliau  istilahkan sebagai “Malaysia Baru” (Ahmad Sarji, 2016: 41).  Hal ini jelas menunjukkan bahawa menerusi ideologi negara dan dasar negara, beliau mempunyai impian dan wawasan pembinaan negara.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...