Artikel Popular

Monday, November 2, 2020

Lingkungan Awam: Warung Kopi

ISNIN, 2 November 2020

 Oleh ZULKIFLI SALLEH

Buku Jurgen Habermas,  The Structural Transformation of the Public Sphere: An Inquiry into a Category of Bourgeois Society,   pertama kali diterbitkan pada tahun 1962, Strukturwandel der Öffentlichkeit. Untersuchungen zu einer Kategorie der bürgerlichen Gesellschaft, diterbitkan dalam bahasa Perancis pada tahun 1978 dan  seterusnya,  dalam bahasa Inggeris pada tahun 1989, mempersegar   kajian  warung kopi. 

Konsep lingkungan awam  mempunyai tradisi yang lama dalam  falsafah dan sains sosial. Pemahaman sezaman tentang istilah ini, kebanyakannya berasaskan karya ahli sosiologi Jerman, Jurgen Habermas yang memberikan analisis tuntas sifat lingkungan awam dan transformasi sejarahnya. Lingkungan awam terletak antara pada satu pihak, isi rumah persendirian, dengan negara pada satu pihak yang lain. Lingkungan awam merupakan ruang tempat warganegara yang bebas dan sama rata muncul bersama-sama untuk berkongsi maklumat, berdebat, berbincang, atau untuk mempertimbangkan keprihatinan bersama. Sehingga rekaan mesin cetak, warganegara muncul bersama-sama dalam ruang khusus, misalnya warung kopi, tempat mereka berbincang dengan orang lain.

Dalam bukunya itu, Jurgen Habermas, ahli sosiologi dan falsafah Jerman,  memeriksa  status pendapat awam dalam praktik kerajaan perwakilan di Eropah Barat. Beliau menegaskan bahawa orang Inggeris mewujudkan forum untuk debat kritis-rasional menjelang abad ke-18. Pertemuan perkembangan sejarah membuka ruang antara masyarakat sivil dengan negara tempat orang persendirian datang bersama-sama untuk berdebat secara terbuka. Lingkungan awam yang muncul ditandakan oleh kesopanan, tanpa mengira status, dan pengangkatan kebebasan bersuara kepada prinsip pertama.

Lingkungan awam dapat difahami melalui penjelasan Thomas McCarthy yang menulis “Pengenalan” bahawa  “buku ini ialah pemerian sejarah-sosiologi tentang kemunculan, transformasi, dan penyepaian lingkungan awam borjuis. Buku ini menggabungkan bahan dan kaedah daripada sosiologi dan ekonomi, undang-undang dan sains politik,  sosial dan sejarah budaya dalam usaha untuk menggarap prasyarat, struktur, fungsi, dan ketegangan dalaman domain masyarakat moden ini. Sebagai lingkungan antara masyarakat sivil dengan negara, yang perbincangan awam kritis tentang perkara kepentingan umum dijamin dari segi institusi, lingkungan awam liberal mengambil bentuk dalam keadaan sejarah spesifik pasaran ekonomi membangun.”

Apabila anggota borjuis berhimpun untuk minum kopi, mereka menunjukkan diri mereka sebagai peserta dalam kemanusiaan sebenar. Mereka tidak mendakwa mereka mewakili kawasan pilihan raya atau kepentingan tertentu, tetapi  merangkumi komuniti global. Bagi Habermas, kejayaan warung kopi sebagai organ utama pengaruh politik borjuis terbit daripada keupayaannya untuk menggambarkan dirinya sebagai tapak komuniti global. Mereka yang mempunyai masa lapang berhimpun di warung kopi diintegrasikan bukannya oleh kuasa atau kepentingan ekonomi, tetapi oleh akal budi.

Habermas mentakrifkan lingkungan awam sebagai komuniti maya atau  khayalan yang tidak semestinya wujud dalam mana-mana ruang yang dapat dikenal pasti. Dalam bentuk idealnya, lingkungan awam adalah terdiri daripada orang persendirian yang berkumpul sebagai awam dan menyatakan secara  jelas keperluan masyarakat dengan negara. Menerusi tindakan perhimpunan dan dialog, maka lingkungan awam mencetuskan pendapat dan sikap yang bertujuan menegaskan atau mencabar, dan dengan itu, untuk menuntun hal ehwal negara. Dalam istilah unggul, lingkungan awam ialah sumber pendapat awam yang diperlukan untuk mengesahkan wibawa dalam mana-mana demokrasi yang berfungsi. 

Habermas menjejaki kebangkitan lingkungan ini menerusi  litar institusi berturut-turut: keluarga   kahwinan (conjugal family), dunia persuratan (world of letters), warung kopi dan salun, terbitan mingguan dan novel, perpustakaan sewa dan akhbar, memuncak dengan pengkanunan undang-undang sivil yang membawa negara berperlembagaan borjuis. Bagi Habermas, lingkungan awam mula muncul  menerusi pertumbuhan warung kopi, kesusasteraan dan pertubuhan  lain, persatuan sukarela, dan pertumbuhan akhbar.  Pada abad ke-17 dan ke-18, warung kopi London dan salun Paris, berfungsi, apa yang beliau kenal pasti  sebagai lingkungan awam, iaitu tempat untuk interaksi sosial di luar lingkungan persendirian (di rumah) dan lingkungan wibawa awam (negara atau istana). Meskipun banyak terdapat institusi lingkungan awam lain, dalam bentuk kelab, teater, rumah inapan Masonic, dan sebagainya, warung kopi merupakan institusi lingkungan awam paling penting di London, sebagaimana salun di Paris. Tiga ciri  penting yang dikongsi oleh warung kopi dan salun: keramahan, kesamaan, dan komunikasi.

Lingkungan awam borjuis, seperti yang jelaskan oleh Habermas, “dibayangi sebagai lingkungan orang ramai persendirian yang muncul bersama-sama sebagai orang awam; mereka dengan cepat menuntut lingkungan awam yang dikawal selia dari atas bertentangan dengan pihak berkuasa awam mereka sendiri, untuk melibatkan mereka dalam debat peraturan am yang memerintah atau menguasai hubungan yang secara asasnya, diswastakan, tetapi dari segi awam, lingkungan pertukaran komoditi dan tenaga kerja sosial yang relevan.”

Habermas memberikan perincian empirik tentang warung kopi Britain, atau lebih tepat, warung kopi London: “Sekitar pertengahan abad ke-17, selepas bukan hanya teh yang mula-mula popular, tetapi juga coklat dan kopi yang menjadi minuman biasa sekurang-kurangnya dalam kalangan orang berada (well-to-do strata), iaitu pemandu kereta kuda saudagar Levant yang membuka warung kopi pertama. Pada dekad pertama abad ke-18, London telah pun mempunyai 3000 buah warung kopi, setiap sebuah dengan kumpulan teras pelanggan tetap. Sebagaimana John Dryden, dikelilingi oleh generasi penulis generasi baharu, menyertai pertempuran “purba dan moden di Will’s, Joseph Addison dan Richard Steele yang tidak lama kemudian, mengadakan “senat kecil” mereka di Button’s; demikian juga di Kelab Rotary, yang dipengerusikan  oleh setiausaha Milton, Marvel dan Pepys berjumpa dengan Harrington yang berkemungkinan mengemukakan idea republikan Oceana beliau. Sebagaimana salun, tempat “kaum intelektual” berjumpa dengan aristokrasi, golongan sasterawan perlu mengesahkan dirinya sendiri di warung kopi ini. Oleh itu, debat kritis yang dicetuskan oleh karya sastera dan seni segera diperluaskan untuk memasukkan pertikaian ekonomi dan politik tanpa apa-apa jaminan bahawa perbincangan sedemikian menjadi tidak penting, sekurang-kurangnya dalam konteks segera.

Bagi Habermas, warung kopi merupakan tempat individu borjuis dapat masuk ke dalam hubungan antara satu sama lain tanpa sekatan keluarga, masyarakat sivil, atau negara. Dengan menemui sejarah pendemokrasian, Habermas mendatangi negara bangsa Eropah moden secara umum dam Republik Persekutuan Jerman secara khusus dengan pelukisan yang diidealkan tentang budaya politik Zaman Kesedaran yang bersemangat. Lokus utama wacana borjuis Inggeris merupakan arena sosial baharu, iaitu warung kopi. Warung kopi menyediakan beliau dengan pemisalan keadaan bersuara yang beliau anggap asas untuk penentuan nasib sendiri politik rasional.

Dalam naratif Habermas, kejayaan warung kopi Inggeris sebagai organ utama pengaruh politik borjuis diperoleh daripada kemampuannya untuk menggambarkan dirinya sebagai tapak komuniti universal. Mereka yang masa lapang berhimpun di warung kopi diintegrasikan bukan oleh kuasa atau kepentingan politik, tetapi oleh akal budi. Habermas mencatatkan bagaimana reputasi warung kopi sebagai ruang kerasionalan serius memerlukan penolakan wanita. Warung kopi kekal sebagai ruang bersifat gender: tempat lelaki minum kopi.

Akhbar dan perbincangan di warung kopi dikatakan, dengan cepat membina hubungan simbiotik. Dalam hubungan ini,  Habermas merujuk Joseph Addison dan  Richard Steele,  yang menyumbang penulisan mereka dalam bentuk kesusasteraan dan kewartawanan awal dalam akhbar The Tatler, The Spectator, dan The Guardian. Addison dan Steele yang merupakan wartawan utama pada masa itu dan menulis apa yang disebut waktu itu Moral Weeklies dalam tiga buah akhbar itu, yang mempunyai sejumlah besar peminat sebagai pelanggan. Warung kopi menyediakan naskhah kepada para pelanggan mereka. Biasanya satu naskhah dibaca  beramai-ramai.

Habermas percaya bahawa lingkungan awam asal berkembang menerusi bermacam-macam bentuk baharu persimpangan sosial dan komunikasi antara orang awam, warung kopi, dan akhbar merupakan dua contoh utama. Bagi  beliau, karya Addison dan Steele  ialah pusat kepada pembinaan lingkungan awam dalam dunia kesusasteraan dan membekalkan bahan untuk “demokratik sebenar, dan pendapat awam yang benar-benar munasabah.”

Sumbangan Addison kepada akhbar  berpengaruhnya, The Spectator menggalakkan idea bahawa pembelajaran sepatutnya ramah dan boleh diakses oleh kedua-dua jantina, iaitu lelaki dan wanita. Cadangan beliau yang terkenal bahawa falsafah sepatutnya dibincangkan secara terbuka. Beliau menjelaskan latar tempat lelaki dan wanita sepatutnya berjumpa dan bertukar idea menerusi kegiatan perbualan yang menyenangkan, maka seni komunikasi yang sangat canggih yang peranan pemeradaban wanita sentiasa ditekankan. 

Bagi Habermas, “tanda muktamad lingkungan awam baharu ialah perkataan bercetak,” dan warung kopi  disekutukan secara rapat dengan pengeluaran akhbar awal. Inggeris cepat matang dalam penciptaan surat berita pada akhir abad ke-17, yang mengutarakan topik yang merangkumi  politik, komersial, dan budaya. Banyak penerbitan, yang  The Tatler dan The Spectator Steele dan Addison hanya paling terkenal, ditulis di warung kopi dan bertujuan untuk mencatatkan perbualan yang didengar ketika itu dalam dua akhbar itu.

Perbincangan tentang sastera, moral, idea, dan politik yang diadakan di warung kopi menjadi intipati berita. Satu surat berita, iaitu The Guardian, mempelawa para pembaca meninggalkan surat di ibu pejabat warung kopinya, yang akhbar itu akan “cernakan untuk kegunaan orang ramai.” Pastinya, News Lloyd’s Coffee House  mencetak gosip dan maklumat tentang dunia maritim yang Edward Lloyd kumpulkan di warung kopinya. Pada awal abad ke-18, “Coffee House Masters” mencadangkan bahawa mereka diberikan monopoli dari segi pengeluaran akhbar, iaitu Coffee-house Gazette yang akan ditulis oleh para pelanggan di warung kopi yang berbeza. Penggunaan dan perbincangan akhbar membawa kepada artikulasi pendapat awam yang menjadi perkara akhbar baharu.

Habermas dikatakan membuat andaian yang silap bahawa warung kopi hanya merupakan dunia lelaki semata-mata, dan di situ, wanita tidak mempunyai tempat sama sekali telah mengundang beberapa kritikan.  Ketidaktepatan andaian Habermas bahawa hanya lelaki diterima masuk di warung kopi hanya  dibuat oleh andaian beliau bahawa pendapat wanita tidak penting, sedangkan pendapat lelaki  bernilai untuk lingkungan awam.  Dalam mengembangkan  pemeriannya, Habermas menekankan peranan lelaki pemilik harta dalam pembentukan lingkungan awam, tidak memasukkan  wanita sama sekali daripada pengembangan  itu, seperti yang beliau lakukan dalam deskripsinya tentang   dunia yang diunggulkan dengan fungsi politik yang jelas. ang lingkungan awam borjuis.

Banyak debat terkini tentang sifat kejantinaan warung kopi memberikan tumpuan pada persoalan, sama ada wanita dibenarkan ataupun tidak dibenarkan untuk memasuki kawasan dinding warung kopi. Telah diterima umum bahawa warung kopi Inggeris tidak ada tempat untuk kaum wanita. Walau bagaimanapun, dipercayai  bahawa kebangkitan semula minat baru-baru ini terhadap signifikan sosial fenomena warung kopi mendorong sesetengah sarjana untuk menegaskan bahawa sekiranya wanita dapat ditunjukkan hadir dalam warung kopi, maka ini juga dapat dianggap sebagai bukti penyertaan wanita sepenuhnya dalam “lingkungan awam” yang lebih luas. Namun begitu,  kehadiran wanita di warung kopi tidak boleh diambil sebagai bukti prima facie tentang penyertaan sama rata mereka dalam lingkungan awam Inggeris. Sebaliknya, sepatutnya dilihat sebagai titik permulaan untuk kajian selanjutnya.

Brian Cowan dalam bukunya, The Social Life of Coffee: The Emergence of the British Coffeehouse,  membayangkan bahawa lingkungan awam Habermas menyuntik  kesedaran terhadap para pengkaji untuk mentafsirkan kebangkitan warung kopi. Cowan lalu mencadangkan: “Untuk belajar mengapa dan bagaimana pengguna Inggeris  menjadi teringin terhadap minuman baharu yang aneh, seperti kopi boleh membawa kita perjalanan jauh ke arah pemahaman asal usul revolusi pada abad ke-18 yang panjang. Seiringan dengan itu, pandangan tentang lingkungan awam, kali pertama dijelaskan oleh Habermas, selalu mengangkat warung kopi sebagai contoh utama jenis institusi yang mencirikan dunia sosial baharu ini. Dalam pernyataan ini, warung kopi difahami sebagai ruang sosial yang baharu dan unik yang membezakan pangkat yang diabaikan seketika dan debat yang tidak segan-segan tentang perkara minat politik dan falsafah yang berkembang maju. Sekiranya wujud hubungan antara kelahiran masyarakat pengguna dengan kebangkitan lingkungan awam, maka cara terbaik untuk memahaminya adalah menerusi kajian asal usul peminuman kopi dan masyarakat warung kopi.”

Pengenalan konsep lingkungan awam mendorong para pengkaji, seperti Brian Cowan,  Markman Ellis, dan Bonnie Calhoun di England, di samping   Emİnegül   Karababa dan Gülİz Ger,   Hana Korneti, Deniz Canaran, dan  Cengiz Kirli di Turki,    membincangkan konsep tersebut dalam kajian warung kopi mereka. Meskipun Jurgen Hubermas dikritik kerana penolakan terhadap wanita, beliau berjaya menunjukkan bahawa warung kopi merupakan tempat pembentukan pendapat awam dan pemekaran dunia persuratan.  




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...