Artikel Popular

Monday, January 12, 2015

Peradaban dalam Kemusnahan

ISNIN, 12 Januari 2015
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH





Pada jam 4.00 pada musim sejuk yang lembap, lengas di Rangoon pada November  1862, sebaik-baik sahaja selepas berakhirnya monsun,  mayat yang berkapan yang diiringi oleh kumpulan kecil tentera British dibawa ke perkuburan yang namanya tidak diketahui di belakang  kepungan penjara yang bertembok. Demikian catatan yang membangkitkan perasaan pembaca oleh William Dalrymple dalam pengenalan bukunya, The Last Mughal:  The Fall of a Dynasty, Delhi, 1857.  Tambah beliau lagi, upacara pengebumian adalah ringkas.  Pihak berkuasa British bukan sahaja memastikan bahawa kubur telah pun digali, tetapi juga kuantiti kapur dalam tangan untuk menjamin kereputan yang pantas terhadap kedua-duanya, iaitu usungan jenazah  dan jasad.  
Melalui surat Pesuruhjaya British, Kapten H.N. Davies ke London seminggu kemudian,  untuk melaporkan upacara tersebut, para pembaca dapat mengetahui  siapakah   yang disemadikan itu.   Seperti yang dicatatkan oleh Dalrymple, yang dirujuk oleh Davies itu dikenali lebih tepat sebagai Bahadur Shah II, dikenali daripada nama penanya sebagai Zafar, bermaksud “Kemenangan.”  Zafar ialah Maharaja Moghul terakhir dan keturunan langsung daripada Genghis Khan dan Timur, dan daripada Akbar, Jahangir, dan Shah Jahan.
Dalam bab  terakhir buku itu, Dalrymple menyatakan bahawa apabila Delhi jatuh pada September 1857, bukan hanya kota dan istana Zafar yang dihapuskan dan dimusnahkan, tetapi juga keyakinan diri dan wibawa politik dan dunia budaya Moghul yang melebar di seluruh India. Skala pemusnahan dan kekalahan, dan kedalaman penghinaan  yang dilonggokkan terhadap Moghul yang ditumpaskan, mengurangkan sangat banyak bukan hanya martabat orde aristokrat  lama, tetapi juga sekurang-kurangnya pada takat tertentu, komposit Hindu-Muslim, peradaban Indo-Islam yang istana Zafar merupakan kemegahan.
“Bagi British selepas tahun 1857, orang Islam di India hampir-hampir menjadi  makhluk, seperti binatang,” tulis Dalrymple.  Namun begitu, beliau menambah:  “Penghinaan yang mendalam yang British nyatakan secara terbuka terhadap orang Islam di India dan budaya Moghul, terbukti berjangkit, terutamanya kepada orang Hindu yang sedang bangkit, yang dengan cepat mengentalkan sikap mereka terhadap semua perkara Islam, tetapi juga kepada banyak orang Islam muda, yang kini percaya berbanding dengan purba  mereka sendiri dan peradaban yang sangat dihargai tidak dapat tidak, telah dicemarkan.”
Wujud tiga empayar Islam yang terbentang  dari Asia ke Timur Tengah dan seterusnya ke Eropah, iaitu Empayar Moghul di India yang   jatuh ke tangan British, dan Empayar Ottoman yang wujud selama lebih 600  tahun  runtuh   apabila pada tahun 1918, kesultanan Ottoman, empayar Islam agung terakhir, akhirnya ditewaskan.   Satu lagi, ialah  Empayar Safavid (1501 – 1722) yang menjadi asas Iran sekarang, dan cukup kuat untuk mencabar Ottoman di Barat dan Moghul di Timur.  Pada abad ke-17,  apabila musuh utama, seperti Ottoman kurang mengancam, maka akibatnya,  angkatan tentera menjadi kurang berkesan.  Shah Safavid dikatakan berpuas hati dan kemudian korup dan merosot. Kuasa diserahkan kepada ulama Syiah yang akhirnya menyingkirkan Shah dan mengisytiharkan Republik Islam pertama di dunia pada abad ke-18.  Pada tahun 1726, kumpulan Afghanistan memusnahkan dinasti yang memerintah ini, manakala dalam tempoh ini, Empayar Savafid berpecah, dan untuk dua abad seterusnya bergelut dengan kemerosotan.
            Fernand Braudel  pernah mencatatkan secara ringkas keagungan ketiga-tiga empayar ini dalam bukunya, A History of Civilizations: “Islam Turki kekal berkuasa, pintar, dan mengagumkan untuk suatu tempoh yang lama.  Demikian juga Savafid, dikagumi pada abad ke-17  melalui pemerhatian pengembara Perancis, Tavernier.  Demikian juga Moghul Agung, yang pada permulaan abad ke-18 hampir menguasai seluruh Deccan di Selatan, meskipun diawasi  rapat oleh  British dan Perancis.”
Kejatuhan tiga empayar itu  merupakan  titik hitam atau sisi gelap dunia Islam jika dilihat dalam konteks sistem dunia dan pada takat tertentu,  pergolakan geopolitik hari ini, terutamanya di Timur Tengah.     Hingga kini umat Islam dan negara Islam masih terkial-kial mencari jalan keluar, malahan terus bergelut dengan kejumudan dan krisis.  Kebangkitan semula Islam yang didorong Revolusi Islam Iran tahun 1979, lebih banyak diwarnai oleh keganasan,  dan  bahkan,  sebuah demi sebuah negara Islam dari Asia Selatan ke Timur Tengah ke Afrika dianggap negara yang gagal.
Peradaban Islam  mempunyai zaman keemasannya dari abad kelapan hingga abad ke-12.   Selama empat atau lima abad Islam  merupakan peradaban paling hebat di Dunia Lama.  Dunia Islam menerajui  kuasa ketenteraan dan ekonomi yang maha agung di dunia, dan pemimpin dalam seni dan sains peradaban. Seperti yang diperhatikan oleh Bernard Lewis dalam bukunya, The Crisis of Islam:  Holy War and Unholy Terror, “untuk tempoh bermula dengan kemaraan Islam, orang Islam menghasilkan kepustakaan sejarah yang kaya dan pelbagai, sesungguhnya, di banyak wilayah, bahkan di negara yang peradaban purba, seperti India, penulisan sejarah yang serius bermula dengan ketibaan Islam.”  Kemudian, segalanya berubah. Islam ditinggalkan oleh pencapaian manusia yang  diciptanya sendiri dan yang pernah  menjadi keagungan dunia.  Barat yang sebelum ini dianggap tidak berguna, menang satu demi satu, baik di medan perang mahupun dalam pasaran.
“Pada sepanjang abad ke-20, menjadi sejelas-jelasnya di Timur Tengah, dan bahkan di seluruh tanah Islam bahawa perkara sesungguhnya menjadi sangat teruk,” tulis Bernard Lewis dalam  What Went Wrong?  “Berbanding dengan seteru alafnya, iaitu dunia Kristian, dunia Islam menjadi miskin, lemah, dan jahil.  Pada sepanjang abad ke-19 dan ke-20, keperdanaan (primacy) dan oleh itu, penguasaan Barat, menjadi jelas untuk semua orang lihat, menceroboh orang Islam dalam setiap kehidupan awam mereka, dan lebih menyakitkan, bahkan kehidupan peribadi mereka.”  Lewis menegaskan bahawa sudah cukup teruk bagi orang Islam untuk  berasa lemah dan miskin selepas berabad-abad kaya dan kuat, dan dikurangkan peranan kepada pengikut Barat.  Pada abad ke-20, terutamanya bahagian kedua, membawa keaiban seterusnya, iaitu kesedaran bahawa mereka tidak lagi yang pertama dalam kalangan pengikut, tetapi terus tercicir.  Untuk mencari di manakah silapnya, Lewis dalam pengenalan buku itu, sempat menyebut,  “selama berabad-abad dunia Islam   berada di barisan depan  peradaban dan pencapaian manusia. Dalam tanggapan orang Islam sendiri, Islam sendiri sememangnya, bersempadan dengan peradaban, dan melampaui sempadannya hanya wujud puak gasar dan orang kafir.” 
Kira-kira tiga tahun lalu, iaitu ketika Pemberontakan Arab tercetus, bermula di Tunisia merebak ke Mesir, Libya, dan Yaman, harapan diberikan bahawa dunia Arab menerajui dunia semula.  Setiap kebangkitan rakyat   di luar rantau itu, seperti yang berlaku  di Israel, Amerika Syarikat, di United Kingdom, zon euro, Turki, Brazil, dan bahkan di China, dipercayai  sedikit sebanyak  dirangsang Pemberontakan Arab yang bermula dengan  Revolusi Melati  di Tunisia yang menyaksikan Presiden Zine el-Abidine Ben Ali digulingkan.  Namun begitu, apa yang berlaku adalah sebaliknya dan  di luar jangkaan:  Syria terjebak dalam perang saudara, Libya berkemungkinan terheret ke dalam kancah anarki, dan Mesir selepas mendakap demokrasi seketika berpatah balik kepada autokrasi.
Sementara itu, Iraq yang   porak-peranda akibat pencerobohan Amerika Syarikat pada tahun 2003 menjadi berpecah-belah apabila awal Jun lalu, pejuang Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS atau ISIL) meranapkan sempadan Syria-Iraq, menguasai beberapa kota di Iraq dan bersiap sedia untuk mara ke Baghdad.  Kejayaan ISIS menawan Mosul pada Jun menghantarkan gelombang kejutan di seluruh dunia.  Amerika Syarikat menganggap  bahawa kejatuhan kota kedua terbesar Iraq memberikan ancaman terhadap seluruh Timur Tengah.  Walau bagaimanapun, ISIS digambarkan dengan penuh keganasan dan kekejaman terhadap puak Syiah dan golongan minoriti  Kristian serta    memusnahkan masjid dan tempat suci.  Pada awal Ogos,  pejuang ISIS  dilaporkan akan melakukan genosid terhadap puak   Yazidi sehingga mendorong tentera Amerika Syarikat mengebom mereka demi menyelamatkan golongan minoriti itu.
            Dalam keluaran awal Julai, The Economist muncul dengan “tragedi Arab” dan peradaban yang digunakan untuk menerajui dunia dalam kemusnahan.  Beribu-ribu tahun lalu, kota besar Baghdad, Damasyik, dan Kaherah bergilir untuk bersaing rapat dengan dunia Barat.  Islam dan inovasi adalah kembar.  Beberapa pemerintahan  khalifah Arab ialah kuasa besar dinamik, iaitu mata arah  pembelajaran, toleransi, dan perdagangan. Namun begitu, hari ini, Arab dalam keadaan sugul.  Bahkan tatkala Asia, Amerika Latin, dan Afrika maju, Timur Tengah dikongkong semula oleh pemerintahan kuku besi dan terkokol-kokol oleh peperangan. “Mengapa negara gagal dengan teruk untuk mewujudkan demokrasi, kegembiraan atau kekayaan untuk 350 juta orang rakyat mereka merupakan satu soalan besar maha besar pada masa kita,” soal makalah itu.
            Satu masalah menurut The Economist, adalah bahawa  kesusahan negara Arab menjadi semakin meluas.  Syria dan Iraq kini sukar dianggap negara sama sekali.  Walaupun kebanyakan negara Arab bergelut dengan krisis, majalah itu menegaskan bahawa “hanya orang Arab dapat menterbalikkan kemerosotan peradaban mereka, dan sekarang ini, wujud sedikit harapan hal itu akan berlaku.  Puak pelampau tidak menawarkan apa-apa.  Mantera monarki dan orang tentera ialah ‘kestabilan.’  Pada masa kacau-bilau rayuan itu dapat difahami, tetapi paksaan dan genangan bukannya penyelesaian.”  Tambah makalah itu, “dunia Arab agung.  Pendidikan menopang keperdanaan mereka dalam perubatan, matematik, seni bina, dan astronomi.  Perdagangan dibayar untuk martabat  metropolisnya dan rempah dan sutera mereka.  Dan, yang paling baik, dunia Arab ialah tempat berlindung  kosmopolitan  untuk orang Yahudi, Kristian, dan Islam daripada banyak  taifah, yang toleransi memupuk kreativiti dan rekaan baru.”
            Meskipun krisis lazim berlaku, Timur Tengah kini diperhatikan terjebak dalam pembubaran negara  bangsa, seperti yang ditunjukkan oleh perpecahan dalam kalangan penduduk di rantau itu.  Negara di Timur Tengah menjadi semakin lemah sehingga tidak dapat lagi memperlihatkan wibawa, menegakkan kedaulatan undang-undang, dan berleluasanya kemunculan puak dan taifah yang menuntut wilayah masing-masing untuk “berkerajaan” sendiri. 

Timur Tengah benar-benar gawat dan kegawatan itu memusnahkan  peradaban Islam.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Budaya, Oktober 2014.) 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...