JUMAAT, 23 Januari 2015
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Pemupusan bahasa atau bahasa yang terancam terus mendapat
perhatian. Beberapa faktor telah dikenal
pasti, dan diperhatikan ada hubung kaitnya dengan kepupusan habitat atau
spesies.
David Crystal dalam bukunya, Language Death, mengemukakan beberapa faktor yang menyebabkan
sesuatu bahasa mati, tetapi beliau juga mengakui bahawa bahasa selalu
mati. Oleh sebab budaya bangkit dan
jatuh, maka demikian juga bahasa dalam budaya itu muncul dan lenyap. “Jelas
bahawa bahasa mati jika semua orang yang bertutur dalam bahasa itu mati,”
hujah beliau. “Banyak bahasa menjadi terancam, nazak, atau pupus kerana berpunca
daripada faktor yang mempunyai kesan dramatik terhadap kesejahteraan fizikal penutur
bahasa berkenaan.” Antara punca yang
beliau kenal pasti ialah bencana alam (gempa bumi, taufan, tsunami, banjir,
gangguan gunung berapi), kebuluran,
kemarau, dan wabak penyakit yang sesetengahnya diimport oleh penjajah terhadap kaum peribumi.
“Kesan
kebuluran dan wabak penyakit berkait rapat dengan faktor ekonomi,” tulis
Crystal. “Wujud kes yang tidak terkira
banyaknya sekarang tentang rekod keselamatan orang ramai terjejas secara
langsung oleh eksploitasi ekonomi di kawasan mereka oleh orang luar.” Menurut beliau, penggurunan, pembasmian hutan, dan amalan pengairan yang teruk,
dengan pola cuaca yang berubah juga terbabit. (Huruf condong adalah oleh
Crystal sendiri.) Apabila tanah hilang
kesuburannya, tanah itu tidak mampu menyokong penduduknya, fenomena yang
kelihatan berlaku berulang-ulang di Afrika pada tahun 1970-an dan 1980-an.
Penghijrahan yang tidak dapat diramalkan berlaku, iaitu komuniti mendapati
sukar untuk memulihara integriti mereka, dan budaya tradisional mereka dan
linguistik, maka pergantungan itu pecah.
Dalam
kes apabila komuniti dipindahkan, jelas Crystal, banyak penakat (survivors), tidak bersedia dan tidak
mampu untuk kekal dalam habitat mereka, menuju ke pusat penduduk, tempat mereka
secara perlahan-lahan hilang jati diri budaya mereka dalam persekitaran
kemiskinan. Untuk hidup, mereka
memperoleh seberapa banyak yang dapat bahasa baharu, misalnya di Brazil, bahasa
Portugis.
Walau
bagaimanapun, Crystal mengakui bahawa di sesetengah tempat di dunia, politik,
dan bukannya ekonomi di sesebuah negara yang merupakan punca segera desimasi
atau lesapnya komuniti. Kerosakan
mungkin berpunca daripada perang
saudara, atau konflik pada skala antarabangsa; contohnya, komuniti di Kepulauan
Pasifik dan Kepulauan Lautan Hindi yang terjebak dalam Perang Dunia Kedua,
dengan keterancaman bahasa satu daripada akibatnya. Dalam pada itu, beliau juga mengakui bahawa
di banyak tempat, memang sukar untuk menguraikan faktor politik dan
ekonomi. Kehilangan beberapa bahasa di
Colombia, misalnya, disebabkan oleh campuran keadaan agresif.
Hakikatnya, kira-kira 7000 bahasa dunia yang diketahui di
dunia lesap lebih cepat daripada
kepupusan spesies, seperti yang dibahaskan Emily Underwood dalam The
Huffington Post pada awal September,
dengan bahasa yang berbeza mati kira-kira setiap dua minggu. “Kini, dengan meminjam kaedah yang digunakan
dalam ekologi untuk menjejak spesies yang terancam, para penyelidik mengenal
pasti ancaman utama terhadap kepelbagaian linguistik ialah pembangunan
ekonomi,” hujah Underwood. “Meskipun
pertumbuhan tersebut ditunjukkan untuk menghapuskan bahasa pada masa lalu pada
asas satu demi satu kes, ini kali pertama kajian untuk menunjukkan bahawa
perkara itu merupakan fenomena global.”
Beliau
memetik Tatsuya Amano, ahli zoologi di University of Cambridge, United Kingdom,
dan pengarang utama kajian baharu, yang berkata bahawa banyak orang mengetahui
beruang kutub dan merpati penumpang yang terancam, tetapi hanya sebilangan
orang mendengar bahasa yang terancam dan pupus, seperti bahasa Eyak di Alaska,
yang penutur terakhir meninggal dunia pada tahun 2008, atau bahasa Ubykh di
Turkie, yang penutur fasih meninggal dunia pada tahun 1992. “Memang diketahui bahawa pertumbuhan ekonomi
atau keinginan untuk mencapai pertumbuhan dapat memacu bahasa hilang. Bahasa dominan, seperti Mandarin dan bahasa Inggeris selalu
diperlukan untuk mobiliti ke atas dalam pendidikan dan perniagaan, dan bantuan
ekonomi selalunya menggalakkan penerima untuk bertutur dalam bahasa
dominan. Sementara kajian kes spesifik
menunjukkan kuasa tersebut berfungsi, seperti peralihan daripada bahasa Cornish
kepada bahasa Inggeris di United Kingdom dan daripada bahasa Horom kepada
bahasa Inggeris di Nigeria, ini kajian pertama yang mengkaji kehilangan di
seluruh dunia dan meletakkan pertumbuhan ekonomi bersama-sama kemungkinan
pengaruh lain,” tambah Amano.
Amano et al., menurut Underwood, menggunakan
sumber yang paling lengkap yang dapat diperoleh melalui repositori dalam talian
yang dikenali Ethnologue untuk
analisis mereka. Daripada pangkalan data
itu, kumpulan penyelidik berkenaan mampu menghitung julat geografi, bilangan
penutur, dan kadar kemerosotan penutur bagi bahasa di seluruh dunia, dan peta
yang data yang dalam lingkungan sel grid persegi kira-kira 190 km merentas
sepanjang seluruh dunia. Meskipun mereka
mampu memperoleh maklumat tentang julat dan bilangan penutur bagi lebih 90
peratus 6909 yang dianggarkan di dunia, mereka hanya dapat mengutip perincian
kira-kira kadar kemerosotan atau pertumbuhan untuk sembilan peratus, atau 649 bahasa
itu.
Seterusnya,
kumpulan penyelidik itu memerhatikan korelasi antara kehilangan bahasa dengan
faktor, seperti Keluaran Dalam Negara (KDNK) sesebuah negara dan tahap
globalisasi seperti yang dihitung oleh indeks yang diiktiraf di peringkat
antarabangsa. Sebagai tambahan, mereka
mengkaji faktor persekitaran, seperti ketinggian atau altitud, yang mungkin
menyumbang kepada kehilangan bahasa dengan menyentuh bagaimana mudahnya
komuniti dapat berhubung dan kembara.
Ethnologue
yang dirujuk itu yang merupakan pangkalan data yang menjejak
situasi bahasa dunia, menyatakan wujud
dua dimensi untuk pencirian terancam,
iaitu bilangan pengguna yang dikaitkan
dengan bahasa tertentu dan bilangan jenis fungsi yang bahasa itu
digunakan. Bahasa mungkin terancam
kerana wujud semakin sedikit orang yang mendakwa bahawa bahasa itu sebagai
bahasa mereka, dan oleh itu, bahasa itu tidak digunakan atau tidak
diperturunkan kepada anak-anak mereka.
Mungkin juga, atau secara alternatif, terancam kerana bahasa digunakan
untuk semakin sedikit aktiviti harian dan oleh itu, seperti biasa kaitan rapat
bahasa dengan fungsi sosial dan komunikasi tertentu. Ethnologue
menyenaraikan 373 bahasa yang pupus sejak 1950 (tahun apabila Ethnologue memulakan penerbitan). Kadar kehilangan ialah enam bahasa setahun.
Kumpulan penyelidik yang diketahui oleh Amano itu
mendapati bahawa daripada semua pemboleh ubah yang diuji, pertumbuhan ekonomi
mempunyai hubungan yang paling kuat dengan kehilangan bahasa. Dua jenis kawasan
khas kehilangan bahasa muncul daripada
kajian tersebut, yang diterbitkan dalam talian dalam Proceedings
of the Royal Society B, iaitu wilayah maju dari segi ekonomi, seperti
barat laut Amerika Utara dan selatan Australia, dan wilayah membangun dari segi
ekonomi, seperti kawasan tropika dan Himalaya. Aspek geografi tertentu
seakan-akan bertindak sebagai penghadang
atau ancaman, misalnya kemerosotan kelihatan berlaku lebih pantas di kawasan iklim sederhana berbanding
dengan tropika atau wilayah bergunung-ganang, mungkin kerana mudah untuk keluar
masuk di wilayah iklim sederhana. Walau
bagaimanapun, kumpulan penyelidik itu menegaskan bahawa lebih banyak
penyelidikan diperlukan untuk menentukan secara tepat apakah tentang
pembangunan yang membunuh bahasa.
Langkah seterusnya, menurut mereka, memahami bagaimana pertumbuhan
berinteraksi dengan faktor lain, seperti landskap.
Dalam abstrak Proceedings of the Royal Society B, Amano et al. menyatakan bahawa
banyak bahasa di dunia menghadapi risiko serius pemupusan. Usaha untuk mencegah kehilangan budaya ini
dikekang secara teruk oleh pemahaman yang lemah tentang pola geografi dan
pemacu risiko pemupusan. Mereka
menyatakan kuantiti taburan global risiko pemupusan bahasa, diwakili oleh julat
kecil dan saiz populasi penutur dan kemerosotan pesat dari segi bilangan penutur,
dan mengenal pasti pemacu persekitaran dan sosioekonomi. Mereka menunjukkan bahawa kedua-duanya, iaitu
julat kecil dan saiz populasi penutur berkait dengan kemerosotan pesat bilangan
penutur, menyebabkan 25 peratus bahasa yang wujud diancam berasaskan kriteria
yang digunakan untuk spesies. Julat bahasa dan saiz populasi kecil di wilayah
tropika dan artik, terutamanya di kawasan dengan hujan lebat yang tinggi, kepelbagaian topografi yang tinggi dan/atau
populasi manusia berkembang pesat.
Sebaliknya, kemerosotan penutur baru-baru ini berlaku terutamanya di latitud
tinggi dan berkait kuat dengan pertumbuhan ekonomi yang tinggi.
Kajian yang dijalankan oleh
kumpulan penyelidik tersebut dikatakan yang pertama benar-benar padu dari segi
statistik, yang menunjukkan prinsip tentang kemerosotan bahasa. Walau bagaimanapun, kaitan dengan ekonomi
masih diragui kerana bahasa yang terancam berpunca daripada dasar sejarah yang
memaksa generasi muda mengetepikan bahasa ibunda mereka untuk mempelajari bahasa
utama dunia, seperti bahasa Inggeris. Selain itu, analisis kajian tersebut
tidak memasukkan faktor wabak penyakit, pembunuhan, dan genosid, yang juga
memainkan peranan penting.
Kepincangan pembangunan dan
pertumbuhan ekonomi sering didedahkan, kerana pada masa yang sama, wujud
ketidaksamaan, jurang antara golongan kaya dengan golongan miskin semakin
melebar, pembangunan tidak seimbang.
Pertumbuhan yang pesat tidak menghasilkan kesan lelehan dalam erti kata
bahawa golongan bawahan tidak menikmati faedah pertumbuhan itu. Sementara
itu, kajian terbaru menunjukkan bahawa
pembangunan dan pertumbuhan ekonomi merupakan faktor sesuatu bahasa terancam
atau pupus. Nampaknya, pengorbanan yang
perlu ditanggung atau harga yang perlu dibayar untuk pembangunan amat tinggi.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam
Dewan Bahasa, November 2014, dengan judul, “Harga Sebuah Pembangunan.”)
No comments:
Post a Comment