Artikel Popular

Saturday, January 17, 2015

Pupus Habitat Pupus Bahasa

SABTU, 17 Januari 2015
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH






“Pupus bahasa pupus bangsa,”   demikian pesan beberapa pejuang bahasa apabila  pada tahun 1990-an kerajaan mula  memperkenalkan beberapa dasar yang dianggap  menjejaskan  masa depan bahasa Melayu.  “Bahasa jiwa bangsa.” Sebagai peringatan,  Palestin dikatakan  bangsa yang dicipta kerana tidak wujud bahasa Palestin, yang wujud bahasa Arab. Sesuatu bahasa itu dikatakan pupus apabila penutur terakhir bahasa itu tidak wujud   lagi atau meninggal dunia.
Meskipun kepelbagaian linguistik global menarik, keadaan ini semakin merosot.  Pada tahun 2011, David Harmon dan Jonathan Loh,  yang mengendalikan Index of Linguistic Diversity (ILD),  memberikan amaran tentang potensi “pemupusan massa” linguistik pada abad ke-21.  ILD merupakan ukuran kuantitatif yang pertama yang pernah wujud  tentang trend dalam kepelbagaian linguistik global, menyatakan bahawa  hanya 80 peratus bahasa yang dituturkan pada tahun 1970 masih wujud pada 2005.  Dengan kata lain, dalam masa 35 tahun, kepelbagaian linguistik global berkurangan sebanyak 20 peratus.  Kepelbagaian linguistik peribumi,  bahkan merosot lebih ketara di kebanyakan wilayah di dunia.  Sebanyak 16 bahasa dunia yang besar meningkatkan bahagiannya daripada penduduk dunia daripada 45 peratus (1970) kepada 55 peratus (2005).
            Walaupun wujud 7000 bahasa yang dituturkan pada 2011, kepelbagaian linguistik global merosot dan bilangan penutur bahasa ini sangat tidak seimbang.  Beberapa bahasa setiap satu mempunyai banyak penutur, manakala banyak bahasa lain setiap satu mempunyai bilangan penutur yang kecil. Bahkan, agihan ini, menurut ILD, terlalu terpencong, iaitu separuh penduduk dunia bertutur satu atau bahasa lain daripada hanya 25 bahasa “besar,” manakala selebihnya, 6975 atau lebih bahasa.  Dan bahasa kecil ini semakin hilang daya saing  kepada bahasa “besar” ini. Daripada jumlah bahasa “besar”  itu, 10   teratas  terdiri daripada Cina (Mandarin), Sepanyol, Inggeris, Hindi, Bengali, Portugis, Rusia, Jepun, Jerman (Standard), dan Jawa. 
            Menurut ILD, bahasa yang dituturkan oleh kaum peribumi, yang terdiri daripada 80 peratus hingga 85 peratus bahasa dunia, terutamanya terjejas.  Kadar global kemerosotan untuk bahasa peribumi pantas sedikit (21 peratus) berbanding purata global untuk semua bahasa, dengan variasi yang sangat besar antara wilayah di dunia.  Antara tahun 1970 hingga 2005, kepelbagaian linguistik peribumi merosot kira-kira 60 peratus di Amerika (Americas), 30 peratus di Pasifik, dan 20 peratus di Afrika.
            Kemerosotan dramatik kepelbagaian linguistik adalah berpunca daripada tekanan sosial dan ekonomi yang semakin menjadi-jadi yang mendorong atau bahkan memaksa orang ramai beralih daripada bahasa yang pada am lebih kecil, lebih terhad dari segi geografi, terutamanya bahasa global, seperti Cina Mandarin, Hindi, Inggeris, atau Sepanyol, atau bahasa dominan dari segi wilayah, seperti Swahili. 
Wujud petunjuk baharu tentang kepupusan sesuatu bahasa, iaitu apabila hutan dibersihkan dan spesies lenyap, berlaku kehilangan lain, iaitu bahasa.   Jonathan Loh dan David Harmon  dalam  laporan  mereka,  Biocultural Diversity: Threatened Species, Endangered Languages,  menegaskan wujud keselarian yang jelas antara spesies dengan bahasa, dan ahli bahasa mengenal pasti kira-kira 7000 bahasa yang dituturkan di dunia.  Menurut analogi  dengan takrif tentang spesies, dua orang manusia dikatakan bertutur dalam bahasa yang sama jika mereka dapat memahami antara satu sama lain.  Jika mereka dapati mereka tidak dapat memahami antara satu sama lain, mereka bertutur dalam bahasa yang berbeza. Dialek menurut takrif ini, ialah seakan-akan sama dengan subspesies: komunikasi adalah mungkin antara dua individu, meskipun hal ini bukan mudah.
Kedua-dua penyelidik itu, iaitu Loh dan Harmon memetik Charles Darwin dalam The Descent of  Man (1874),  untuk menunjukkan keselarian antara spesies dengan bahasa:  “Pembentukan bahasa yang berbeza dan spesies yang berbeza, dan bukti bahawa kedua-duanya berkembang menerusi proses beransur-ansur, adalah peliknya selari...  Sebagaimana spesies, bahasa apabila pupus, seperti yang ditegaskan oleh Sir C. Lyell, tidak akan muncul semula.”
Bahasa boleh pupus, sama ada kerana seluruh penduduk penutur meninggal dunia, atau yang sangat lazim kerana penutur beralih kepada bahasa yang berbeza, dan tipikalnya dalam beberapa generasi, lupa akan bahasa ibunda mereka.  Hal seperti ini terjadi,  menurut Loh dan Harmon, kerana  alasan sosial dan ekonomi, seperti perdagangan dan penghijrahan, atau menerusi dasar penyatuan bahasa dengan sengaja oleh kumpulan dominan. 
Walau bagaimanapun, Loh yang muncul bersama-sama Luisa Maffi, Harmon dalam wawancara dengan David Braun dari National Geographic News Watch tentang ILD, menegaskan bahawa apabila bahasa pupus, tidak semestinya bermakna bahawa kumpulan etnik yang bertutur dalam bahasa itu akan pupus.
“Penjajahan, globalisasi, dan perpindahan ke bandar yang berlaku di seluruh dunia dalam masa 30 tahun lalu, sebilangan kecil bahasa global semakin  menguasai: 95 peratus penduduk dunia bertutur satu daripada hanya 400 bahasa, setiap bahasa dituturkan oleh berjuta-juta orang, dan 40 peratus daripada kita bertutur satu daripada hanya lapan bahasa, iaitu Mandarin, Sepanyol, Inggeris, Hindi, Portugis, Bengali, Rusia, dan Jepun,” tulis Loh dan Harmon.   “Globalisasi perdagangan dan media, dan kemajuan teknologi dalam bidang pengangkutan dan komunikasi, mempercepat proses anjakan bahasa, seperti dasar  pemiliknegaraan yang mengutamakan bilangan kecil bahasa, meningkatkan tekanan terhadap bahasa yang mempunyai beribu-ribu orang atau sebilangan penutur, merangsang dominan bahasa yang mempunyai berjuta-juta orang penutur.  Oleh sebab bahasa ialah medium utama penyaluran budaya, kepelbagaian linguistik dan kepelbagaian budaya adalah berkurangan serentak,”
Kebanyakan bahasa diancam kepupusan adalah secara evolusi agak berbeza daripada sebilangan bahasa dunia yang dominan, dan demikian juga bahasa itu mewakili budaya yang sangat berbeza.  Hampir semuanya dituturkan oleh kaum peribumi, sesetengahnya masih hidup secara tradisional di tanah leluhur mereka, meskipun hal ini menjadi jarang-jarang. Bersama-sama bahasa, pengetahuan tradisional budaya peribumi ini dilupakan, jelas Loh dan Harmon.  Nama, penyediaan perubatan dan spesies makanan, kedua-duanya, iaitu tumbuh-tumbuhan dan haiwan, dan kaedah tradisional perladangan, perikanan, perburuan, dan pengurusan sumber asli, semunya lenyap, tidak perlu disebut banyaknya kepercayaan rohaniah dan agama yang selalu dikaitkan dengan penggunaan tanah tradisional dan pengurusan sumber yang seperti bahasa itu sendiri adalah pelbagai dan banyak. Khazanah ilmu yang sangat besar ini yang berkembang dan dikumpulkan selama berpuluh-puluh ribu tahun boleh hilang hanya dalam dua abad, iaitu abad ke-20 dan ke-21.
“Wujud hubungan langsung antara habitat yang lesap dengan kehilangan bahasa,” bahas John Vidal.   “Satu dalam empat daripada 7000 bahasa yang dituturkan di dunia kini menghadapi risiko lenyap selama-lamanya kerana ancaman terhadap kepelbagaian bio budaya (cultural biodiversity) meningkat.”  Daripada jumlah itu, kini separuh mempunyai kurang daripada 10,000 orang penutur, dan 3500 bahasa ini dituturkan oleh hanya 0.1 peratus penduduk dunia, setara dengan kota kira-kira sebesar London. Lapan juta orang ini kini bertanggungjawab memastikan khazanah  sejarah budaya manusia terus hidup.
Vidal yang menulis dalam The Observer merujuk laporan  Loh dan Harmon itu,  menyatakan bahawa New Guinea mempunyai kira-kira 1000 bahasa, tetapi oleh sebab perubahan politik dan pemupusan hutan berlaku dengan pesat, halangan semula jadi yang pernah membolehkan banyak bahasa berkembang dalam pengasingan telah runtuh. Hal ini merupakan bahagian proses yang melihat bahasa merosot apabila kepelbagaian bio merosot.  Para penyelidik mewujudkan korelasi antara perubahan persekitaran tempatan, termasuk pemupusan spesies dengan kehilangan bahasa yang dituturkan oleh komuniti yang mendiami persekitaran itu. “Sementara kira-kira 21 peratus semua mamalia, 13 peratus burung, 15 peratus reptilia, dan 30 peratus amfibia terancam, kira-kira 400 bahasa difikirkan akan  menjadi pupus pada masa yang sama.”        
“Hutan ditebang.  Banyak bahasa hilang.  Kaum imigran datang dan banyak orang meninggalkan kawasan kediaman mereka untuk mencari pekerjaan di tanah rendah dan di kota. Kerajaan Indonesia melarang kami bertutur dalam bahasa kami di sekolah,” kata Benny Wenda dari tanah tinggi Papua Barat, seperti yang dipetik oleh Viral.
New Guinea, pulau kedua terbesar di dunia, bukan hanya tempat yang bahasa paling pelbagai di dunia, tetapi juga salah sebuah tempat yang paling kaya dari segi biologi.  Hari ini, kedua-duanya, iaitu hidupan liar dan bahasanya terancam.  Menurut ahli bahasa dan pengarang Asya Pereltsvaig, yang dipetik oleh Vidal, bahasa Bo dituturkan oleh 85 orang, Ak oleh 75 orang, dan Karawa hanya oleh 63 orang.  Likum dan Hoia Hoia sekitar 80 orang penutur, dan Abom hanya 15 orang. Guramalum di Wilayah New Ireland pada hitungan terakhir hanya ada tiga orang penutur dan Lua bahasa yang paling pupus, dengan seorang penutur yang dirakamkan pada tahun 2000.  (Lua kini dinyatakan bahasa pengaturcaraan komputer yang paling berjaya.)
John Vidal juga menjelaskan bahawa bahasa tidak semestinya pupus kerana seluruh penduduk penutur bahasa itu meninggal dunia, tetapi kerana penutur minoriti, b biasanya peribumi, anjakan bahasa kepada bahasa yang lebih dominan, dan secara tipikal, dalam beberapa generasi, hilang bahasa ibunda mereka.
Apakah kita tidak lagi memerlukan ahli bahasa, ahli sains sosial, atau penyelidik untuk mengingatkan kita  tentang kepupusan sesuatu bahasa?  Memadai dengan memerhatikan pokok yang ditebang, hutan belantara yang dibersihkan,  bukit-bukau yang digondolkan, haiwan yang pupus,  dan spesies yang lenyap,  kerana dari situ, kita dapat   menjangkakan  sesuatu bahasa itu sedang terancam.

(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Bahasa, Oktober 2014.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...