Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Seandainya Barack Obama tewas di tangan Mitt Romney, penjelasan yang
mudah ialah ekonomi mengalahkan beliau.
Misi Romney sejak awal lagi adalah mudah, iaitu ledakan mesej bahawa
Obama mengambil ekonomi yang buruk dan menjadikannya teruk, manakala yang lain
menyusul, iaitu pengangguran di sekitar lapan peratus dan selama empat tahun
berturut-turut defisit bertrilion dolar.
Kemenangan Obama dalam Pilihan Raya Presiden
tahun 2012, seperti yang dihujahkan oleh G.I., bukan sekadar kemenangan
untuk peribadi beliau semata-mata,
tetapi untuk makroekonomi. G.I. yang
menulis dalam The Economist, memetik
tinjauan pendapat keluar yang menunjukkan para pengundi secara keseluruhannya
bersetuju bahawa ekonomi dalam keadaan teruk, tetapi mereka lebih cenderung
menyalahkan George W. Bush berbanding dengan Presiden Obama. Ahli strategi dan ahli demografi akan memetik
pentingnya faktor bukan ekonomi untuk menjelaskan kemenangan Obama: sokongan
yang besar daripada pengundi Hispanic, kejayaan beliau menangani Taufan Sandy,
mesej yang disasarkan di Ohio tentang pelan penyelamat auto, dan kelebihan
permainan padang.
Namun, hujah G.I. ekonomi yang teruk semakin baik
sepatutnya, dan sebenarnya, menghasilkan pilihan raya yang sengit. “Ekonomi mula meningkat pada musim panas. Pada Hari Pilihan Raya, pasaran saham dan
keyakinan pengguna balik kepada tahap yang dicapai sebelum Obama menjadi
Presiden, dan pengangguran akhirnya turun kepada di bawah lapan peratus.” G.I. sekali lagi memetik tinjauan pendapat
keluar, empat dalam 10 orang pengundi
berkata ekonomi lebih baik dan 88 peratus pengundi berkenaan memilih Obama.
Andrew Kohut, Presiden Pew Research Center yang
menulis tentang silap membaca Pilihan Raya tahun 2012 dalam The Wall Street Journal, bahawa
memeranjatkan, Romney tidak dapat mengeksploitasikan kelemahan besar Obama,
iaitu ekonomi. Sebanyak 76 peratus
responden tinjauan pendapat keluar menarafkan ekonomi negaa “teruk” atau hanya
“berpatutan,” dan hanya 25 peratus berkata kewangan mereka adalah lebih baik
jika dibandingkan dengan empat tahun lalu.
Namun, para pengundi menyatakan keyakinan yang agak seimbang terhadap
keupayaan Obama menangani ekonomi (48 peratus) berbanding dengan Romney (49
peratus).
Sepanjang tahun 2012, ekonomi dan pekerjaan
menjadi perhatian utama para pengundi.
Hal ini meletakkan penjawat kini
dalam keadaan serba tidak kena apabila pada hari Jumaat pertama setiap bulan, Biro Perangkaan Buruh Amerika Syarikat
mengumumkan laporan pekerjaan, dengan kadar pengangguran lebih lapan peratus.l
Hanya pada bulan September turun kepada 7.8 peratus, kemudian meningkat semula kepada 7.9 peratus
pada Oktober, yang diumumkan beberapa hari sebelum Hari Pilihan Raya. Tinjauan
pendapat demi tinjauan pendapat menunjukkan bahawa Romney lebih baik daripada
Obama tentang soalan siapakah calon yang akan menangani ekonomi dan mewujudkan
pekerjaan yang lebih baik. Kali terakhir
Presiden dipilih semula apabila kadar pengangguran lebih 7.2 peratus adalah
pada tahun 1936, apabila Franklin D.
Roosevelt menang besar. Republikan menjangkakan Obama mengalami nasib
seperti Jimmy Carter pada tahun 1980, yang tewas kerana ekonomi yang teruk.
Namun, diiakui bahawa Romney silap membaca para
pengundi, mengandaikan bahawa ekonomi yang lembap akan secara automatik,
menyebabkan mereka menentang Presiden.
Walau bagaimanapun, banyak pengundi yang menyalahkan kemelesetan
terhadap bekas Presiden Bush dan Wall Street, dan semakin membiasakan diri
mereka dengan pertumbuhan ekonomi secara perlahan-lahan.
Tinjauan pendapat yang disiapkan pada minggu pilihan raya oleh peninjau
pendapat Demokratik, iaitu Geoff Garin dan dibiayai oleh kumpulan bebas yang
menyokong Obama, menurut The Wall Street
Journal, menunjukkan kempen Obama berjaya dari segi memujuk para pengundi
bahawa dasar ekonomi Romney akan memudaratkan orang seperti mereka. “Hanya 38 peratus pengundi mengatakan bahawa
jika Romney dipilih sebagai Presiden, dasar ekonomi beliau akan baik untuk
orang seperti mereka. Secara perbandingan,
44 peratus pengundi mengatakan dasar Presiden Obama baik untuk orang seperti
mereka.”
Daniel Gross yang menulis dalam The Daily Beast, beberapa hari sebelum
Hari Pilihan Raya, ekonomi membawa beberapa berita baik, iaitu perbelanjaan
pengguna, pekerjaan, pasaran perumahan,
sektor pembuatan, dan sektor auto, semuanya kelihatan meningkat. Hal ini baik untuk Obama dan baik untuk
Amerika. “Jauh daripada merosot,” tulis
Gross, “ekonomi Amerika Syarikat berkembang dan pulih. Kitaran berbudi tentang pengguna yang yakin, meningkatkan
aktiviti dalam negara dan lebih banyak pekerjaan, semuanya turut menjelaskan mengapa Presiden Obama bersiap
sedia untuk menang pemilihan semula minggu depan bukan kerana prestasi ekonomi dalam empat tahun lalu,
tetapi kerana prestasi ekonomi dalam tiga tahun lalu.”
Ekonomi Amerika Syarikat yang lebih baik,
misalnya pertumbuhan sekitar dua peratus dan kadar pengangguran di bawah lapan
peratus, meletakkan Mitt Romney dalam keadaan sukar untuk bertarung di medan
yang beliau mempunyai kelebihan atau kekuatan berbanding dengan Barack Obama:
ekonomi. Bahkan, kempen Obama yang pada
mulannya bercakap tentang rangsangan, tetapi menjelang pilihan raya, mereka
berani membangkitkan rangsangan yang dilaksanakan oleh Obama yang melibatkan
peruntukan lebih AS$700 bilion.
Tidak dapat dinafikan bahawa secara
keseluruhannya, ekonomi Amerika Syarikat lebih baik daripada yang berlaku empat
tahun lalu. Simon Kennedy yang menulis dalam Bloomberg pada pertengahan November, menegaskan bahawa “ekonomi
mempunyai pucuk hijau dari China ke Amerika Syarikat kerana data
memeranjatkan.” Kedua-dua buah negara
itu, sumber kembar tradisional dunia dari segi pertumbuhan, jelas beliau, menyemai
benih untuk mengeluarkan ekonomi dunia daripada kelembapan pertengahan
tahunnya. Dalam kalangan pucuk hijau
yang menunjukkan pengembangan yang pantas: permintaan yang semakin kuat
terhadap perumahan dan pengambilan pekerja di Amerika Syarikat dan meningkatnya
output dan jualan runcit di China.
Bertanggungjawab untuk satu pertiga ekonomi dunia, dua buah negara ini
kini menyediakan balast dari segi antarabangsa kerana Eropah dan Jepun beku.
Joseph
Stiglitz berhujah bahawa jika warga
dunia boleh mengundi, pastinya mereka memihak kepada Barack Obama, berdasarkan
“dasar ekonomi” antara kedua-dua calon itu.
Dalam makalah yang diterbitkan dalam The
Guardian beberapa hari sebelum Hari Pilihan Raya, Penerima Hadiah Nobel
Ekonomi itu menegaskan bahawa “exceptionalism Amerika mungkin mendapat sambutan baik di Amerika Syarikat, tetapi sambutan
dingin di luar negara.” Kapitalisme gaya
Amerika Syarikat, hujah beliau, tidak cekap dan tidak stabil. Dengan pendapatan kebanyakan rakyat Amerika
beku selama satu setengah dekad, maka jelas model ekonomi Amerika Syarikat,
tidak memanfaatkan kebanyakan warganya, apa-apa sekalipun data Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK) katakan. “Sesungguhnya, model ekonomi negara ini
meletup sebelum tempoh perkhidmatan
Presiden George W. Bush berakhir.”
Stiglitz mengkritik dasar penguncupan yang
dicadangkan oleh Romney dalam usaha untuk mengurangkan defisit sebelum tiba
masanya, meskipun ekonomi negara itu masih lemah, yang pasti melemahkan
pertumbuhan yang telah pun anemia, dan jika krisis euro semakin teruk, nescaya
boleh mencetuskan satu lagi kemelesetan.
Cabaran utama yang dihadapi oleh Obama sebelum
beliau meneruskan tempoh penggal keduanya, adalah untuk mengelakkan fiscal cliff berikutan tidak wujud
kesepakatan antara pentabdiran beliau dengan Kongres tentang saiz tahap
perbelanjaan kerajaan dan kadar cukai.
Kongres enggan meningkatkan had peminjaman kerajaan Amerika Syarikat,
yang ditetapkan oleh statut.
Sementara Obama pula bertegas untuk memberikan
pelepasan cukai hanya kepada isi rumah berpendapatan AS$250,000 setahun ke bawah . Dengan kata lain, beliau tidak akan bertolak
ansur untuk menaikkan cukai bagi golongan kaya, sebaliknya Dewan Perwakilan
yang dikuasai oleh Republikan enggan menaikkan cukai untuk setiap isi rumah. Obama mengingatkan anggota Perwakilan
daripada Republikan bahawa kemenangan beliau dalam pilihan raya baru-baru ini menandakan bahawa beliau mendapat mandat. Obama
dilaporkan merancang untuk menaikkan cukai terhadap perbadanan dan golongan
kaya sebanyak AS$1.6 trilion sepanjang dekad akan datang. Sebaliknya, Speker
Dewan Perwakilan, John Boehner mencadangkan bahawa tahun 2013 ialah tahun untuk
menyelesaikan persoalan yang tertangguh tentang pencukaian dan perbelanjaan.
Obama diperhatikan melacarkan lobi yang pesat untuk menghidarkan kenaikan
cukai yang besar dan pemotongan belanjawan, mengadakan pertemuan dengan beberapa tokoh Wall Street dan berbincang dengan tokoh korporat kanan, termasuk Jamie Dimon
daripada JPMorgan Chase dan pelabur terkenal, Warren Buffett. Dalam usaha untuk mendesak Kongres menyokong
pendekatannya, Obama juga mengadakan pertemuan dengan pemimpin buruh dan sivik
dan kumpulan bukan keuntungan. Pemilihan
semula beliau sebagai Presiden dijangkakan memberi beliau beberapa pengaruh dalam perundingan.
Fiscal
cliff, menurut Pejabat Belanjawan Kongres (CBO), jika
gagal diselesaikan pada 1 Januari 2013, akan menghumbankan semula ekonomi
Amerika Syarikat ke dalam kemelesetan pada tahun 2013 dan mengakibatkan
peningkatan kadar pengangguran kepada 9.1 peratus pada akhir tahun ini. CBO memaklumkan bahawa output ekonomi akan
jatuh sebanyak 0.5 titik peratusan pada tahun ini jika Kongres gagal bertindak menghindarkan
kenaikan cukai dan potongan perbelanjaan dalam usul oleh perjanjian defisit
awal. Walau bagaimanapun, CBO dilaporkan
menambah bahawa ekonomi Amerika Syarikat dalam jangka panjang akan kembali
kepada kadar pertumbuhan yang lebih baik dan kadar pengangguran yang lebih
rendah, iaitu dijangkakan jatuh kepada 5.5 peratus pada tahun 2020.
Dalam mesyuarat tahunan kelima Majlis Ketua
Pegawai Eksekutif The Wall Street Journal
yang berlangsung di Washington pada pertengahan November, kebimbangan terhadap fiscal cliff menguasai perbincangan. Hampir tiga perempat ketua pegawai
eksekutif (CEO) yang menghadiri
pertemuan itu menyenaraikan fiscal cliff
sebagai kebimbangan utama mereka tentang landskap global, mengatasi kesusahan
kewangan Eropah, pertumbuhan China yang perlahan, dan ketidakpastian terhadap
konflik di Timur Tengah. Bagi mereka,
fiscal cliff akan mewujudkan tempoh ketidakstabilan kewangan dan ekonomi. Mereka mendesak Presiden Obama dan Kongres
agar “mengambil kesempatan peluang untuk tawar-menawar yang lebih besar” dari
segi cukai dan isu perbelanjaan “supaya perniagaan dan para pengguna dapat
merancang untuk jangka panjang.”
Kebanyakan CEO yang hadir tidak teragak-agak menyokong cukai yang lebih
tinggi terhadap golongan mewah, seperti mereka, asalkan kenaikan cukai disertai
oleh pemotongan serius dan boleh
dikuatkuasakan dalam perbelanjaan kerajaan.
Jika benar bahawa pemilihan semula Barack Obama
ialah mandat makroekonomi, mesti cabaran besar yang beliau hadapi bukan sahaja
mengelakkan fiscal cliff, bahkan
juga memastikan Amerika Syarikat bebas
daripada terus bergelut dengan pertumbuhan yang terhegeh-hegeh dan kadar
pengangguran yang tinggi. Di peringkat
global pula, beliau bersama-sama pemimpin lain, memastikan bahawa dunia tidak terjebak semula ke dalam
kemelesetan kerana zon euro dalam suku ketiga tahun 2012, terbenam dalam
kemelesetan curam berganda dan United Kingdom dijangkakan mengalami kemelesetan
ganda tiga – semunya petanda kurang baik.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam
Dewan Ekonomi, Januari 2013.)
No comments:
Post a Comment