Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Antara kritikan terhadap “pertembungan peradaban” Samuel
Huntington, adalah bahawa pertembungan tidak semestinya berlaku antara
peradaban, tetapi juga dalam peradaban
itu sendiri, seperti yang berlaku dalam
Kristian, iaitu antara Katolik dengan Protestan, dan dalam Islam, iaitu antara Sunah dengan Syiah.
Dalam The
Clash Within: Democracy, Religious Violence and India‘s Future, Martha
C. Nussbaum, menggunakan persengketaan agama di Gujarat pada tahun
2002, yang terburuk dalam sejarah India, antara penganut Hindu dengan orang
Islam, untuk mencabar tesis terkenal Huntington, dan cuba mengemukakan
alternatif. Nussbaum berhujah bahawa
pertembungan sebenar bukannya antara Islam dengan Barat, tetapi dalam negara
itu sendiri, iaitu antara orang yang “bersedia untuk hidup dengan orang lain
yang berbeza, dari segi hormat yang sama rata, dengan mereka yang mencuba
mencari perlindungan kehomogenan, dicapai menerusi dominasi atau penguasaan
satu agama dan tradisi etnik.”
Dalam
Islam, pertembungan dalaman, antara Sunah dengan Syiah berlaku sejak sekian
lama dan kelihatan sukar, dan bahkan kini, semakin sukar untuk reda. Dua buah negara yang bersaing demi kepimpinan
Islam, iaitu Arab Saudi Sunah dan Iran Syiah, dikatakan menggunakan perpecahan
taifah demi meneruskan cita-cita besar mereka dalam percaturan geopolitik, dan
penyatuan antara kedua-dua buah negara ini agak mustahil. Sebagai contoh, penguasaan
Taliban di Afghanistan sebelum negara itu diserang oleh Amerika Syarikat pada
tahun 2001, mendapat sokongan Arab Saudi, tetapi ditentang oleh Iran, kerana
taifah Sunah dan Syiah.
Sementara
itu, di Iraq, penggulingan Presiden Saddam Hussein, Sunah, pada tahun 2003, membolehkan Syiah, golongan majoriti, mengambil alih kepimpinan dengan bantuan
Amerika Syarikat. Namun begitu, yang terbukti sekarang, pemimpin demokrat Perdana
Menteri Nouri al-Maliki tidak setanding pemimpin autokrat Saddam, dan akibatnya, Iraq
terhumban ke dalam kancah persengketaan
taifah. Al-Maliki dilaporkan memijak-mijak pengikut Sunah sebaik-baik
sahaja beliau berkuasa. Pengikut Sunah
dipaksa meninggalkan jawatan kerajaan dan ketenteraan, dan pasukan keselamatan
al-Maliki dilaporkan menyerang pengikut Sunah yang mengadakan tunjuk perasaan
secara aman. Banyak pengikut Sunah kini
melihat beliau tidak ubah seperti versi Syiah Saddam. Seburuk-buruk Saddam, sekurang-kurangnya pada
zaman beliau persengketaan taifah dapat dibendung dan Iraq stabil.
Iraq dianggap tonggak budaya kosmopolitan yang
berkembang maju, dan sepatutnya kekal sebagai negara kosmopolitan bersatu. Rakyat
Iraq dianggap mampu dan mereka akan menyediakan model pluralisme
demokrasi untuk seluruh Timur Tengah, termasuk Iran. Justeru, pembahagian negara itu kepada tiga negara yang
dikuasi oleh Syiah, Sunah, dan Kurdis, yang tidak menghargai rupa bentuk
masyarakat Iraq akan dengan pantas jatuh ke dalam tangan pemerintahan taifah
yang ganas dan puak cauvinis. Rakyat
Iraq Sunnah dilaporkan tidak mahu negara
mereka dipecah-pecahkan, mereka hanya mahu kesamaan. Bagi rakyat Iraq Syiah, takrif kesamaan adalah kekal keseluruhan, tetapi di
bawah kerajaan yang dikuasai oleh Syiah.
Perpecahan agama purba turut menyumbang kepada kebangkitan semula konflik di Timur Tengah dan
negara Islam. Pertarungan antara tentera
Sunah dengan Syiah mengheret Syria ke dalam kancah perang saudara yang
mengancam untuk mengubah peta Timur Tengah, mencetuskan keganasan yang memecah-belahkan
Iraq, dan melebarkan rekahan di beberapa negara Teluk yang tegang. Pertembungan taifah yang semakin menjadi-jadi
juga merangsang kebangkitan semula
rangkaian jihad transnasional yang memberikan ancaman melampaui Timur Tengah.
Kedua-dua
taifah Islam ini membaca al-Qur’an dan percaya Nabi Muhammad S.A.W. Pesuruh
Allah. Kedua-duanya berpegang pada Rukun
Islam yang sama dan mempercayai hukum Syariah, meskipun mereka mempunyai
tafsiran yang berbeza. “Akan tetapi, di
sebalik persamaan itu,” hujah Jim Maceda dalam NBC News, “Sunah dan Syiah berpecah-belah hampir 1400
tahun. Kunci perbezaan teologi adalah
tentang pemilihan pengganti Rasulullah. Perseteruan politik dan bukannya kepercayaan agama punca perpecahan antara dua taifah ini. Sepanjang zaman, perseteruan ini mencetuskan
peperangan, di samping perrgaduhan semasa.”
Dalam
keluaran 30 Jun, Time
mencatatkan kebencian purba antara Sunah
dengan Syiah yang bermula pada tahun 632 apabila orang Islam tidak bersetuju
siapakah sepatutnya menggantikan Nabi Muhammad S.A.W. yang wafat pada tahun
itu. Satu kumpulan percaya kepimpinan sepatutnya kekal dalam kalangan keluarga
Baginda, dan diberikan kepada Sayidina Ali.
Mereka dikenali sebagai pengikut Ali, atau Syiah. Satu kumpulan lagi, Sunah, percaya
komuniti Islam sepatutnya menentukan
kepimpinan baru melalui konsensus. Seterusnya,
dua empar Islam berjuang untuk dominan
atau ketuanan. Kira-kira tahun 1500,
Safavid mewujudkan kawasan zaman moden Iran sebagai Syiah. Pengikut Syiah secara beransur-ansur
menyatukan Empayar Parsi dan
membezakannya dengan Empayar Ottoman Turki, yang merupakan Sunah. Rekahan zaman
moden berlaku apabila Amerika Syarikat menceroboh Iraq dan menggulingkan Saddam
Hussein, membolehkan kerajaan yang dipimpin oleh Syiah berkuasa. Akan tetapi, perpecahan taifah berterusan
sehingga mencetuskan kacau-bilau di Iraq, hampir membawa kepada perang saudara
pada tahun 2006 – 2007.
Michael Crowley yang menulis rencana
utama majalah itu, “Iraq’s Eternal War,”
menegaskan bahawa orang Barat yang cuba mengawal Timur Tengah lebih satu
abad selalunya terkial-kial untuk
memahami agama yang mentakrifkan rantau ini.
Menurut Crowley, Barat sekular hanya dapat memahami budaya yang agama
merupakan kerajaan adalah bahawa Islam
berpecah antara Sunah dengan Syiah sejak Nabi Muhammad S.A.W. wafat.
“Selama berabad-abad, dua taifah ini memajukan budaya, geografi, dan jati diri
politik yang berbeza yang sangat
melampaui asal usul agama tentang perpecahan itu.”
Persengketaan taifah menjadi semakin sengit apabila pada pertengahan Jun tahun ini
pejuang Negara Islam Iraq dan Syria
(ISIS atau ISIL) merobohkan garisan sempadan di antara Syria dengan Iraq dan
menguasai beberapa bandar di Iraq, seperti Mosul, Kirkuk, dan
Tikrit, dan bersiap sedia untuk menawan Baghdad. ISIS mengawal liputan tanah yang memanjang dari
timur Syria ke tengah Iraq. Dengan ISIS
bergerak pantas, maka Iraq kelihatan runtuh dan negara itu akan berpecah kepada
negara Sunah, Syiah, dan Kurdis. Pada
hari pertama Ramadan, jurucakap ISIS mengumumkan penubuhan semula “khalifah.” Dalam pada itu, Iran bersama-sama Rusia
menunjukkan komitmen untuk menangkis kemaraan
ISIS, manakala Amerika Syarikat menghantar beratus-ratus orang
penasihat ketenteraan kepada kerajaan
Iraq yang masih bertahan di Baghdad.
Sementara puak militia Syia yang setia kepada pemimpin Syiah Muqtada
al-Sadr, bersumpah untuk mempertahankan Baghdad daripada pemberontakan yang
diketuai oleh ISIS.
Melihat pergolakan terbaru di Timur
Tengah dengan kebangkitan ISIS yang cuba melakarkan peta baru rantau itu,
Shlomo Ben-Ami, berhujah bahawa sejarah kerap kali dibentuk oleh kuasa yang
tidak bersifat peribadi yang sangat besar, seperti agama, jati diri etnik, dan
sikap budaya yang tidak terbuka untuk penyelesaian berasaskan kekuatan, apatah
lagi campur tangan tentera asing. “Bahkan, negara Arab betul-betul meledak
kerana ketidakmampuan mereka untuk menyatukan kepelbagaian agama dan etnik,”
tulis Ben-Ami untuk Project Syndicate. “Dunia
Arab berjuang untuk mewujudkan orde sosiopolitik yang berdaya maju bukannya
mudah. Sememangnya, Syria dan Iraq dan
kini terdiri daripada kuasi-negara Kurdis, Syiah, dan Sunah yang berasingan,
dengan Sunah berkembang ke Syria mungkin bukan merupakan negara terakhir di
rantau ini menghadapi cabaran terhadap sempadan arbitrari yang dibina di rantau
ini oleh kuasa kolonial pada akhir Perang Dunia Pertama.
Mengapa negara berpecah? Persoalan ini cuba dijawab oleh Benjamin
Miller dalam Foreign Policy, yang
melihat wujud persamaan tentang pertumpahan darah yang berlaku di Timur Tengah sekarang dengan
keganasan terbaru di ruang bekas Soviet.
Kedua-dua konflik, hujah beliau, berpunca daripada sumber yang sama,
demikian juga konflik utama lain di seluruh dunia. Dalam setiap konflik itu, wujud
ketidakserasian antara sempadan negara dengan jati diri nasional, iaitu
ketidakseimbangan antara negara dengan bangsa.
“Negara ialah set institusi yang mentadbir wilayah tertentu; bangsa
terdiri daripada orang yang dalam pandangan mereka, berkongsi trait bersama
(bahasa, sejarah, budaya, agama) yang melayakkan mereka untuk berpemerintahan
sendiri,” tulis Miller. Percakaran
terbaru di Timur Tengah, menurut beliau, mungkin kelihatan seperti konflik
taifah. Lagipun, kumpulan yang diterajui
oleh Sunah di Iraq, Lubnan, dan Syria, semuanya disokong negara Sunah di
Teluk, adalah bersengketa dengan pakatan
kerajaan Syiah Iran, Iraq, dan hezbullah di Lubnan. Akan tetapi, banyak orang di negara ini tidak
fikir bahawa sistem negara Sykes-Picot, yang diwujudkan oleh kuasa kolonial
Barat, memenuhi tuntutan kesahan terhadap penentuan nasib sendiri nasional.
Seperti yang diperhatikan oleh
Fareed Zakaria, di sekeliling dunia hari, kita menyaksikan kebangkitan jenis
lain nasionalisme, sesuatu yang lebih gelap dan lebih banyak membawa
kesusahan. Dalam makalah yang
kebetulan bersempena Hari Kemerdekaan
Amerika Syarikat pada 4 Julai, Fareed menulis dalam The
Washington, “Identiti, Not ideology, is Moving the World,”
merujuk pilihan raya Parlimen Eropah baru-baru ini, yang menyaksikan kemenangan
besar parti nasionalis, populis, dan
xenofobia di United Kindom, Perancis, dan Greece. Pola pengundian yang sama
kelihatan di Austria, Denmark, Belanda, Finland, dan Sweden yang berkembang maju
dari segi ekonomi. Dan semua parti yang
menang besar menumpukan agenda mereka bukan terhadap ekonomi, tetapi imigresen
dan pernyataan lain tentang nasionalime.
“Anda dapat lihat kebangkitan nasionalisme bukan hanya di Eropah, tetapi
juga di seluruh dunia: Jepun, Rusia, Turki, dan China,” tulis Fareed.
Menurut Fareed, globalisasi dan
revolusi teknologi yang bergerak maju dan mengubah dunia menyebabkan orang
ramai berasa tidak senang dengan kepesatan perubahan dan mencari sesuatu untuk
dipegang untuk memberikan pertolongan dan kestabilan. “Jika ikatan lebih kuat
di peringkat bangsa, maka nasionalisme meluap,” bahas Fareed. “Akan tetapi, jika projek nasional lemah atau
dianggap tidak sah, maka anda lihat tarikan kuasa lama yang lebih dalam. Dari Catalonia ke Scotland ke Timur Tengah,
jati diri subnasional mengambil makna
baru dan keterdesakan.”
Fareed mengakhiri tulisannya dengan memetik Samuel Huntington
yang mencatatkan sejak lama dahulu bahawa kuasa bawah ke atas yang kelihatan
menggerakkan dunia hari ini ialah jati diri politik, sedangkan pada zaman
globalisasi, golongan elit membincangkan ideologi politik.
Ketika globalisasi dengan rakusnya
menerobos dunia, iaitu pada tahun 1990-an, banyak orang menjangkakan kedaulatan
dan kewibaan negara bangsa tergugat atau terhakis. Walau bagaimanapun, yang
berlaku, sesetengah negara bangsa memperkukuh cengkaman terhadap kedaulatan dan kewibawaan untuk menangkis rempuhan globalisasi.
Justeru, dirumuskan bahawa globalisasi hanya terbatas pada ekonomi dan maklumat, pada takat
tertentu, keganasan dan wabak penyakit, tetapi politik terus berkubu kuat, atau
dengan kata lain, kebangkitan etnisiti: respons politik terhadap globalisasi
ekonomi. Sebagai contoh, India, kerana
globalisasi menjadi lebih Hindu.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Budaya, November 2014.)
No comments:
Post a Comment