Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Apakah bangsa atau dalam bahasa Inggeris disebut nation?
Bangsa ialah kumpulan orang yang disatukan oleh bahasa, leluhur, sejarah, atau budaya bersama. Orang
mempunyai selalunya berasa sangat patuh kepada bangsa mereka dan bangga akan
ciri nasional mereka. Bangsa, menurut takrif Max Weber, ialah “komuniti manusia
yang (berjaya) menuntut monopoli
penggunaan sah kuasa fizikal dalam wilayah yang dinyatakan.” Dalam kata
lain, intipati kenegaraan ialah penguatkuasaan,
iaitu keupayaan muktamad untuk menghantar seseorang dengan pakaian seragam dan
senapang untuk memaksa orang mematuhi undang-undang negara (Fukuyama, 2005: 8;
huruf condong oleh beliau sendiri).
Immanuel Wallerstein dalam “The Left and the Nation:
Unresolved Ambiguities” melalui laman
webnya (Commentary No. 419, 15 Februari 2016), menjelaskan bahawa istilah “bangsa”
mempunyai banyak makna yang berbeza merentas abad. Akan tetapi, kini, dan sejak Revolusi
Perancis lebih kurang, istilah ini dikaitkan dengan negara, sebagai negara
bangsa. Dalam penggunaan ini, “bangsa”
merujuk kepada mereka yang menjadi anggota menurut hak komuniti yang terletak
dalam negara. Wallerstein percaya bahawa
negara mewujudkan bangsa dan bukan sebaliknya.
Dalam Race, Nation, Class: Ambiguous Identities,
Wallerstein menyorot secara ringkas pandangan yang wujud dalam sains sosial
tentang peoplehood, iaitu konsep yang
wujud daripada struktur dan proses dalam sistem sejarah. Menurut beliau,
istilah “orang” agak jarang-jarang digunakan berbanding dengan tiga istilah yang sama, iaitu “ras,” “bangsa,” dan
“kumpulan etnik,” yang kesemuanya mungkin keanekaan “orang” di dunia moden.
Kesemua tiga yang terakhir ini adalah paling baharu dan dalam hubungan ini,
menggantikan istilah “minoriti” yang
digunakan secara meluas sebelum ini (rujuk Balibar dan Wallerstein, 1991: 77).
Wallerstein menjelaskan bahawa “ras” sepatutnya dianggap
kategori genetik, yang mempunyai bentuk fizikal boleh nampak. Berlaku
perdebatan hangat sepanjang 150 tahun lalu tentang nama dan ciri ras. “Bangsa” sepatutnya dianggap kategori
sosiopolitik, entah kenapa dikaitkan dengan sempadan negara sebenar atau
sempadan potensi. “Kumpulan etnik”
sepatutnya dianggap kategori budaya, yang dikatakan kelakuan terus-menerus tertentu yang diperturunkan
daripada satu generasi kepada satu generasi dan
yang secara normal tidak berkait dalam teori sempadan negara (Wallerstein,
1991: 77). Beliau menjelaskan, konsep
“ras” adalah berkait dengan pembahagian kerja paksi dalam ekonomi-dunia, iaitu
antimoni pusat-pinggir. Konsep “bangsa” berkait dengan superstruktur politik
sistem sejarah ini, negara berdaulat yang membentuk dan berasal daripada sistem
antara negara. Konsep “kumpulan etnik” berkait dengan penciptaan struktur isi rumah yang membenarkan pengekalan
komponen besar buruh bukan upah dalam pengumpulan modal. Tidak ada satu
daripada tiga istilah itu berkait secara langsung dengan kelas. Hal ini kerana
“kelas” dan peoplehood ditakrifkan
secara ortogon yang akan kita lihat satu
percanggahan sistem sejarah ini (rujuk Balibar dan Wallerstein, 1991: 81).
Sementara itu, kawan sealiran
dengan Wallerstein, iaitu Samir Amin menjelaskan bahawa konsep “bangsa”
berdasarkan pertentangan yang asas yang menentang ketelitian komuniti terhadap
kesejagatan – spesies manusia, nasibnya, bentuk masyarakatnya – yang membentuk
kemanusiaan. Analisis saintifik sebenarnya terletak pada penelitian terhadap
mitos, persepsi, dan konsep yang berhubungan dengan bangsa (Amin, 2001: 21).
Dengan menoleh kepada sejarah, iaitu Revolusi Perancis, Amin seterusnya
menjelaskan bahawa peraturan sosial baharu yang mula terbentuk di kawasan
hujung Eropah pada Zaman Pembaharuan, penaklukan Dunia Baharu, ekonomi
merkantil dalam pemerintahan beraja Eropah Barat – menghuraikan dengan lebih
lanjut latar baharu pembangunannya. Latar ini bakal menjadi negara bangsa
borjuis yang pertama (terutamanya England dan Perancis). Di situlah letaknya
Revolusi Perancis. Ia membentuk satu bangsa baharu, bukan berdasarkan hubungan
darah keturunan atau agama Kristian, tetapi ditakrifkan sebagai bangsa manusia
yang merdeka (pada masa itu konsep persamaan jantina amat tidak dapat diterima).
Oleh itu, bangsa termasuk semua orang yang melibatkan diri dalam Revolusi,
meskipun bahasa ibunda mereka bukan
bahasa Perancis, misalnya orang Alsatia. Oleh itu, bangsa dikenali sebagai
suatu ideologi kewarganegaraan (Amin, 2001: 21). Amin mengkritik konsep
“bangsa” yang diperkenalkan oleh puak sayap kanan, iaitu dalam lingkungan sayap
nasionalis konservatif, yang menurut beliau, “yang dengan namanya terseru
perjuangan, kekal merupakan khayalan atau kabur, pada masa-masa tertentu
menafikan hakikat kepelbagaian etnik, agama, atau linguistik yang jelas
terkandung di dalamnya (Amin, 2001: 23).
Amin juga cuba membahaskan
teori bangsa dari sudut Eurocentrism, dengan alasan Eurocentrism
dinyatakan secara praktikal dalam semua bidang pemikiran sosial. Hujah Amin, “realiti sosial tidak hanya
terbatas pada ragam pengeluaran, bentukan masyarakat (social formation),
sistem bentukan, negara, dan kelas sosial.
Bahkan, jika diakui memang sedemikian pun, dalam analisis akhir, teras penting
realiti global, yang terkemudian itu juga termasuk berbagai-bagai bangsa,
kumpulan etnik, struktur keluarga, komuniti linguistik atau komuniti agama, dan
semua dalam bentuk lain kehidupan yang mempunyai kewujudan sebenar dan
menduduki tempat dalam kesedaran manusia” (Amin, 2009: 255). Menurut beliau,
bangsa wujud dengan jelas di dua tempat, iaitu pertama, dalam masyarakat ufti (tributary societies)
maju yang ufti dipusatkan oleh negara, kelas ufti merupakan sebahagian negara
(China atau Mesir), berbeza dengan masyarakat mundur secara relatif (seperti masyarakat feudal Eropah) yang ufti
masih berpecah-pecah; dan kedua, dalam kapitalisme yang persaingan modal (yang
mengakibatkan persamaan kadar untung) dan mobiliti buruh yang diurus oleh campur
tangan negara (undang-undang, sistem monetari, dan dasar ekonomi negara). Jelas
Amin lagi, konsep bangsa kelihatan dengan jelas dalam masyarakat maju, sama ada
ufti (China atau Mesir) atau kapitalis (bangsa Eropah kapitalis pusat). Dalam ragam pengeluaran pinggir mundur,
realiti sosial etnik terlalu kabur untuk disebut nasional (Amin, 2009: 257).
Sejarah pengalaman Eropah menunjukkan dua fakta penting yang lain, iaitu
pertama, bangsa berkemungkinan tidak wujud terlebih dahulu penciptaannya; dan
kedua, model kesekenaan antara negara dengan bangsa hanya merupakan model ideal
atau unggul, direalisasikan secara tidak sempurna, dan model ini tidak
bertindak balas terhadap mana-mana keperluan kapitalisme (Amin, 2009:
258). Secara keseluruhannya, Amin cuba memberikan perspektif sejarah
tentang bangsa dan pewujudannya dalam masyarakat apa yang diistilahkan sebagai
masyarakat ufti maju dan dalam
masyarakat Eropah, meskipun beliau pernah menyatakan bahawa “kekaburan rujukan
jati diri budaya yang mendominasi sistem ufti yang lalu, misalnya Hinduisme dan
Islam” (Amin, 2001: 23).
Konsep bangsa di Eropah
dimajukan di rupa bumi atau terain patrimonial dan negara pemutlak. Negara
patromonial ditakrifkan sebagai harta raja. Dalam keanekaan bentuk analog di
negara berbeza di seluruh Eropah, negara patromonial dan negara pemutlak merupakan
bentuk politik yang diperlukan untuk memerintah hubungan sosial feudal dan hubungan
pengeluaran. Menurut Michael Hardt dan Antonio Negri, kemenangan politik
borjuis, seperti Revolusi Inggeris dan Revolusi Perancis menunjukkan dengan
jelas, “di balik dimensi ideal konsep bangsa wujud tokoh kelas yang telah pun
menguasai proses pengumpulan. Justeru,
‘bangsa’ pernah adalah kedua-duanya, iaitu ‘keazaman umum’ Rousseaunian dan apa
yang mereka-reka ideologi anggap sebagai ‘komuniti keperluan’ (iaitu peraturan
kapitalis pasaran) yang dalam jangka panjang pengumpulan primitif di Eropah
adalah lebih atau kurang liberal dan selaluya borjuis” (Hardt dan Negri, 2001: 96).
Apabila pada abad ke-19 dan
ke-20, konsep bangsa mengambil bentuk dalam konteks ideologi yang sangat
berbeza dan menerajui mobilisasi popular di wilayah dan negara di dalam dan di
luar Eropah yang mengalami bukannya revolusi liberal dan bukan juga tahap sama pengumpulan
primitif, masih selalunya mewakili konsep pemodenan kapitalis, yang mendakwa
membawa bersama-sama tuntutan antara kelas untuk perpaduan politik dan
keperluan pembangunan ekonomi. Dalam kata lain, bangsa diutarakan sebagai satu
dan hanya wahana yang dapat menyampaikan kemodenan dan pembangunan (Hardt dan
Negri, 2001: 96). Jelas Hardt dan Negri lagi, proses pembinaan banga, yang
memperbaharui konsep kedaulatan dan memberinya takrif baharu, dengan pantas
menjadi mimpi ngeri ideologi dalam setiap konteks sejarah (Hardt dan Negri,
2001: 97).
Pembinaan bangsa ialah bentuk
paling biasa proses pembentukan jati diri kolektif dengan pandangan untuk
mengesahkan kuasa awam dalam wilayah tertentu. Proses ini dibentuk daripada
tradisi, institusi, dan adat yang sedia ada, dan mentakrifkan semua itu sebagai
ciri nasional untuk menyokong tuntutan bangsa terhadap kedaulatan dan keunikan. Proses pembinaan bangsa yang berjaya
menghasilkan unjuran budaya bangsa yang mengandungi set tertentu andaian,
nilai, dan kepercayaan yang boleh berfungsi sebagai asas yang sah struktur
negara.