Artikel Popular

Tuesday, November 19, 2019

Merapatkan Jurang


SELASA, 19 November 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, di Dewan Rakyat pada 11 Oktober lalu,  bertemakan “Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama ke Arah Kemakmuran Bersama” dengan bertunjangkan empat teras utama, iaitu memacu pertumbuhan ekonomi dalam  ekonomi baharu dan era digital,  pelaburan ke atas rakyat: meningkatkan keupayaan modal insan,  mewujudkan masyarakat yang bersatu, inklusif dan saksama, dan  memulihkan institusi dan kewangan awam.
Dengan  perbelanjaan Persekutuan berjumlah RM297 bilion, iaitu 18.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Daripada jumlah itu, RM241 bilion diperuntukkan kepada belanja mengurus, RM56 bilion untuk belanja pembangunan, dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka. Seperti biasa, kudap-kudapan disediakan untuk setiap lapisan rakyat yang mungkin bersifat populis.
Belanjawan 2020 dibentangkan ketika ramalan  bahawa    kemelesetan akan melanda dunia pada tahun hadapan semakin menjadi-jadi,  antaranya berpunca daripada  perang dagang antara Amerika Syarikat dengan China yang masih belum reda dan kemungkinan  tidak akan reda. Banyak negara, termasuk Malaysia menerima kesan buruk  perang dagang itu.  Secara keseluruhan, ekonomi maju akan mengalami pertumbuhan yang lebih perlahan daripada pertumbuhan global, yang dijangkakan tumbuh  3.2 peratus tahun ini dan 3.5 peratus 2020. Ekonomi maju dijangkakan mencatatkan pertumbuhan  1.9 peratus tahun ini dan 1.7 peratus tahun hadapan. Di rantau Asia, China, India, dan Vietnam dijangkakan mencatatkan pertumbuhan yang tinggi. Sementara negara jiran,  Singapura dijangkakan boleh terjebak dalam kemelesetan selepas kejatuhan besar dalam kegiatan ekonomi pada suku kedua tahun ini.
Pertumbuhan ekonomi Malaysia suku tahun kedua 2019, ialah 4.9 peratus, mengatasi jangkaan, tetapi  pencapaian separuh pertama tahun ini, 4.7 peratus  berbanding sasaran  pertumbuhan tahunan 4.9 peratus. Pertumbuhan ekonomi  diibaratkan  sebagai “kek”;  semakin besar kek berkembang, maka semakin banyak orang dapat menikmatinya.
Yang menjadi perhatian, Belanjawan 2020 dibentangkan hanya beberapa minggu  selepas pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad. WKB 2030 merupakan hala tuju ekonomi negara bagi tempoh 10 tahun bermula 2021-2030 yang  akan memberi fokus kepada merapatkan jurang pendapatan antara negeri, golongan yang kaya dengan miskin serta bandar dengan luar. Ketidaksamaan kini merupakan fenomena global, yang turut melanda negara maju.
Perlu dinyatakan bahawa dalam tempoh pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), dari tahun 1971 hingga 1990, kemiskinan dan ketidaksamaan menjadi tumpuan para penggubal dasar dan para pengkaji. Namun begitu, selepas pelaksanaan DEB, secara beransur-ansur,  kemiskinan dan ketidaksamaan mula kurang mendapat perhatian. Hal ini demikian mungkin kerana melalui program tindakan afirmatif, kemiskinan dan ketidaksamaan berjaya dikurangkan. Pada awal tahun 1990-an, para pengkaji mula memberikan tumpuan pada Malaysia sebagai negara perindustrian baharu, globalisasi yang menerobos dunia, dan terhadap krisis kewangan Asia 1997 – 1998, yang Malaysia turut terjebak dalam krisis buruk itu dan krisis politik yang dicetuskannya. Bahkan, entah kenapa penerbitan buku Muhammed Abdul Khalid, The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia kurang mendapat perhatian para pengkaji, apatah lagi para penggubal dasar.
Muhammed, yang kini berkhidmat sebagai penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri, dalam prakata bukunya, menegaskan bahawa meskipun Malaysia mencapai kejayaan dalam mengurangkan kemiskinan dan ketidaksamaan, terutamanya antara kumpulan kaum dari tahun 1970  hingga tahun 1990, jurang kekayaan masih tinggi pasca-1990. Keadaan ini hampir kekal pada tahap yang sama dalam tempoh 25 tahun lalu. Masih teruk, jurang pendapatan relatif antara isi rumah bandar dengan isi rumah desa pada tahun 2012, sama seperti pada tahun Malaysia mencapai kemerdekaan daripada British pada tahun 1957.
Secara sepintas lalu, dapat diperhatikan bahawa dalam Belanjawan 2020, wujud usaha untuk mengurangkan jurang ketidaksamaan  antara golongan kaya dengan golongan miskin, antara kaum, dan juga antara penduduk bandar dengan penduduk  desa. Peningkatan kos sara hidup amat dirasai oleh rakyat, terutamanya penduduk bandar. Untuk menampung keperluan hidup diri dan keluarga, ada yang terpaksa melakukan kerja sambilan, seperti pemandu teksi dan penghantar makanan.
Sehubungan dengan itu,  Belanjawan 2020 mencadangkan peningkatan upah minimum kepada RM1,200 sebulan hanya di wilayah bandar utama, manakala di tempat lain kekal dengan RM1100. Di sini jelas menunjukkan bahawa kerajaan masih keberatan memperkenalkan upah minimum RM1500, seperti yang pernah dijanjikan.
Usaha untuk merapatkan jurang antara kaum yang lebih berkesan adalah melalui peluang perniagaan dan pekerjaan yang lebih luas kerana langkah ini akhirnya membolehkan golongan berkenaan berdikari. Untuk perniagaan, Belanjawan 2020 memperuntukkan RM445 juta untuk menyokong pembangunan usahawan bumiputera. Di bawah skim Pembiayaan Usahawan Perusahaan Kaum Cina, Belanjawan memperuntukkan pinjaman  RM100 juta, dan pinjaman  RM20 juta untuk Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India. Kerajaan juga terus menyokong usahawan bumiputera dalam kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Bagi usahawan bumiputera baharu dengan menyediakan dana RM200 juta khusus untuk usahawan wanita dan peruntukan dana RM300 juta untuk menyokong PKS yang berpotensi menjadi jaguh serantau. Langkah kerajaan ini sejajar dengan hakikat pentingnya PKS dalam ekonomi negara, iaitu penyumbang utama KDNK dan menyediakan peluang pekerjaan.
Golongan bawahan selalunya terdiri daripada pekebun kecil, pesawah, peneroka Felda, dan buruh yang biasanya tinggal di bandar atau pinggir bandar. Mereka yang lebih memerlukan sokongan atau bantuan kerajaan. Tanpa sokongan dan bantuan tersebut, maka sukar bagi mereka untuk keluar daripada belenggu taraf hidup rendah, dan dengan itu, jurang ketidaksamaan tidak dapat dirapatkan, bahkan mungkin semakin melebar.
Untuk pekebun kecil kelapa sawit, kerajaan akan melancarkan dan pinjaman penanaman semula berjumlah RM550 juta tanpa cagaran dan kadar faedah dua peratus setahun dan tempoh pinjaman selama 12 tahun. Untuk masyarakat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), kerajaan menyediakan peruntukan RM850 juta untuk pelbagai tujuan, antaranya RM200 juta untuk program meningkatkan pendapatan 11,600 orang peneroka dan RM300 juta untuk menghapus kira faedah pinjaman peneroka. Belanjawan 2020 juta menyediakan peruntukan RM738 juta untuk Risda dan Felcra  bagi melaksanakan pelbagai program penjanaan pendapatan yang akan memberikan manfaat kepada lebih 300,000 orang pekebun kecil dan 100,000 orang peserta Felcra.
Sesetengah negara maju juga merupakan negara pengeluar hasil pertanian, Amerika Syarikat pengeluar gandum, jagung, dan bahkan beras. Belanda yang saiznya sebesar negeri Pahang, masih mengeluarkan hasil pertanian. Negara maju biasanya memberikan bantuan atau subsidi kepada para petani  sebagai galakan supaya mereka kekal mengusahakan pertanian. Sebagai contoh, akibat perang dagang dengan China, pendapatan petani di Amerika terjejas teruk. Oleh sebab itu, Presiden Donald Trump  menawarkan bayaran bantuan pada tahun lalu bernilai kira-kira AS$12 bilion kepada petani yang terjejas oleh tarif tindak balas China.
Dalam Belanjawan 2020, dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan pengusaha pertanian, kerajaan memperuntukkan RM4.9 bilion, manakala RM150 juta untuk membantu petani, nelayan, dan pekebun kecil mempelbagaikan sumber pendapatan melalui integrasi tanaman.
Namun begitu, sejauh mana segala peruntukan yang diberikan itu dapat  mengurangkan jurang  ketidaksamaan,  menimbulkan persoalan yang sedikit banyak perlu disentuh di sini. Menurut kajian, agihan pemilikan dan pengusahaan tanah yang berat sebelah dalam kalangan kaum tani  sendiri juga merupakan masalah dan punca ketidaksamaan dalam kalangan masyarakat tani. Kajian empirik tahun 1970-an, menunjukkan  agihan pemilikan dan pengusahaan tanah tani, terutamanya dalam kalangan pekebun kecil getah dan pesawah padi di Semenanjung. Sehubungan dengan itu, pernah dicadangkan dalam usaha membasmi kemiskinan yang berleluasa  dalam kalangan kaum tani, terutamanya petani yang kelaparan tanah, secara berkesan semestinya agihan pemilikan tanah yang berat sebelah. Penumpuan selama ini terhadap usaha meningkatkan produktiviti pengeluaran petani hanya memperluaskan lagi jurang perbezaan dalam kalangan kaum tani, sedangkan kemiskinan dalam kalangan mereka yang kelaparan tanah terus tidak diatasi.
Sejak beberapa bulan lalu kita mendengar keluh-kesah para nelayan tentang kesengsaraan hidup mereka. Ada menteri mencadangkan nelayan menanam nanas dan rambutan untuk meningkatkan pendapatan mereka. Namun begitu, cadangan ini kelihatan tidak praktik kerana para nelayan biasanya mempunyai tanah yang luas sekangkang kera, berapalah hasil yang akan diperoleh kelak.
Oleh sebab diakui bahawa perikanan memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia, khususnya dari segi pembekalan bahan protein dan penyediaan peluang pekerjaan, meskipun perikanan merupakan sektor ekonomi yang kecil, maka kerajaan perlu membantu para nelayan supaya mereka mempunyai motivasi untuk kekal hidup sebagai nelayan. Sesungguhnya, wujud  kesan buruk, terutamanya dari segi keselamatan makanan sekiranya pesawah meninggalkan bendang mereka dan nelayan enggan turun ke laut.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, negara mengalami pengangguran yang semakin teruk. Lebih daripada setengah orang yang menganggur pada tahun 2018, 140,000 ialah siswazah. Dari segi usia pula, kira-kira 290,000 orang penganggur ialah belia yang berusia hingga 24 tahun. Sehari selepas pembentangan Belanjawan 2020, Datuk Seri Mustapha Mohamed dipetik sebagai berkata, “data diperlukan untuk melihat mengapa 200,000 orang siswazah menganggur, termasuk pemegang ijazah luar negara.”
 Pengalaman di banyak negara menunjukkan bahawa pengangguran dalam kalangan belia boleh mencetuskan ketidakstabilan politik dan kekacauan sosial apabila golongan ini turun di jalanan melancarkan tunjuk perasaan. Keadaan menjadi semakin teruk apabila negara terjebak dalam kemelesetan. Perlu ditegaskan bahawa usaha untuk mengurangkan jurang ketidaksamaan tidak akan berjaya sekiranya kadar pengangguran tinggi.
Dalam Belanjawan 2020, kerajaan menyediakan beberapa insentif untuk siswazah menganggur, namun yang anehnya, mereka diberikan insentif  RM500 sebulan selama dua apabila mereka menerima tawaran bekerja dan bukannya ketika mereka menganggur. Pihak majikan yang menerima mereka bekerja pula diberikan insentif RM300 sebulan untuk tempoh yang sama.
Skim Bantuan Sara Hidup (BSH) yang diperkenalkan pada tahun 2019 menggantikan BR1M, diteruskan pada tahun 2020, dengan peruntukan RM5 bilion. Skim ini diperluaskan kepada individu bujang seramai 1.1 juta orang,  berusia melebihi 40 tahun dan berpendapatan kurang daripada RM2000 sebulan. Orang kurang upaya (OKU) yang berusia 18 tahun ke atas dengan pendapatan kurang daripada RM2000 sebulan juga menikmati skim ini.
Yang mencetuskan kontroversi dalam Belanjawan 2020, ialah langkah  kerajaan membuka peluang kepada warga asing untuk memiliki  kondominium dan pangsapuri yang tidak terjual dianggarkan bernilai RM8.3 bilion pada pertengahan tahun 2019. Untuk itu, kerajaan akan menurunkan nilai ambang daripada RM1 juta kepada RM600,000 pada tahun 2020. Langkah kerajaan ini bukan sahaja dianggap untuk menyelamatkan pemaju, tetapi juga dianggap bercanggah dengan “rukun pasaran” dan  ditafsirkan sebagai bercanggah dengan Wawasan Kemakmuran Bersama.
Seperti belanjawan tahun-tahun sebelum ini, Belanjawan 2020 penuh dengan angka dan data. Meskipun banyak pihak dijanjikan kudap-kudapan, termasuk penjawat awam dan pesara, persoalan pokok ialah kemampuannya mengurangkan jurang ketidaksamaan dari setahun ke setahun.  Itu pun dengan harapan bahawa pada tahun depan tidak berlaku kemelesetan global, meskipun banyak ramalan kemungkinan besar akan berlaku.


Sunday, September 29, 2019

Kesedaran Bangsa Melayu

AHAD, 29 September 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

(Dipetik daripada Sejarah Perjuangan Kita oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy.  Nota: Mungkin berlaku kesilapan dalam merumikan teks ini  daripada Jawi.)

Setelah kira-kira tiga tahun lapan bulan lamanya bangsa Melayu merasa kekejaman penjajahan Jepun semakin bertambahlah rasa kesedaran bangsa Melayu, khasnya kepada golongan-golongan kebangsaan (nasionalis). Mereka telah mula mempelajari dari suatu masa ke satu masa akan kesan-kesan peredaran:
            Naungan British
            Penjajahan Jepun
            Desakan orang-orang dagang
Dari tiga peredaran ini, rakyat jelata Melayu telah menjadi semakin terdesak dan menderita, sementara itu tentera British telah kembali ke Malaya, yang membawa Malaya ini telah dijajah oleh British bagi kali yang keduanya.
Puak dan golongan kebangsaan Melayu yang telah merasa cukup sedar dan insaf  akan malapetaka yang telah dan akan menimpa nasib bangsa dan tanah airnya, telah mempelajari sejauh-sejauhnya akan kedudukan bangsa Melayu dahulu dan sekarang – serta memperbandingkan dengan perubahan-perubahan dunia selepas perang yang kedua ini, iaitu dengan adanya Antlantik Charter dan tertubuhnya Perlembagaan Bangsa-Bangsa (U.N.O.) kemudian mempelajari pula aliran-aliran dan sikap baharu imperialisme dan kapitalisme itu dan melihat semangat kebangsaan yang meluap-luap dari bangsa-bangsa Asia  yang lain – khasnya di Indonesia yang telah berterus terang menuntut kemerdekaan, maka dari kesedaran itulah timbulnya hasrat hendak mengadakans sebuah gerakan kebangsaan Melayu yang benar-benar menentang kolonialisme di Malaya ini.
Kesedaran itu telah semakin mendalam dipelopori pula oleh rasa keimanan bangsa Melayu sebagai bangsa yang beragama Islam,  iaitu agama yang mengajar hidup merdeka, dan hanya mesti tunduk dan bertakwa kepada Allah Yang Maha Esa semata-mata – bukanlah penaung atau penjajah dan sebagainya.
Dari sini – biarlah lebih dahulu saya bawa falsafah perjuangan kebangsaan Melayu kepada segi keimanan dan ajaran Islam, supaya lebih sesuai dengan semboyan “ (hubbul wathan minal iman” (kasihkan tanah  air itu sebahagian daripada iman). Jadi – dipandang dari segi falsafah perjuangan kebangsaan kita adalah tersusun dari:
1.    Iman (nyawa)
2.    Tubuh diri
3.    Bangsa
4.    Watan – tanah air

Empat serangkai ini dalam binaan watan: iman berdiri di atas tubuh, tubuh berdiri di atas bangsa, bangsa berdiri di atas watan. Salah satu dari yang empat ini tiada boleh terpisah dari susunan binaannya dan watan adalah menjadi sebagai pokok. Ada watan ialah dengan kuat bangsa, kuat bangsa itu ialah dari tubuh diri yang sihat dan perkasa. Seperti pekerja, pahlawan, perajurit dan seluruh para pejuang kebangsaan, maka dalam jiwa para pejuang inilah letaknya iman!
Jika sesuatu itu lemah dan hina, maka agamanya juga turut lemah  dan hina, sebaliknya jika suatu bangsa itu bebas dan merdeka maka agamanya juga menjadi bebas dan merdeka.
Sebelum seseorang itu beriman dan beragama, lebih dahulu ia sudah berbangsa dan berwatan – tanah air. Ia dilahirkan di atas fitrahnya yang suci, bebas dan merdeka dalam erti kata bebas dan merdeka seluas-luasnya. Agama Islam juga belum mahu memaksa dengan suatu “taklif” selamanya seseorang itu belum lagi meningkat akal dan baligh dan setelah seseorang itu akal baligh, maka barulah kemerdekaan itu dibatasi dengan batasan-batasan yang tertentu yang tiada sampai merosakkan asasnya dan tiada pula melanggar kemerdekaan orang-orang lain.
Sebagaimana juga si ibu bapa telah membiarkan anaknya itu bebas lepas kencing di tilam, lamun masanya menyusu akan disusukannya juga begitulah dianya falsafah kepada tiap-tiap makhluk di muka bumi ini. Jadi, sungguh tepatlah bahawa merdeka itu menjadi “hak mutlak” kepada seseorang dengan tiada dapat disekat-sekat dan ditahan oleh sesiapa pun.
Al-Qur’an ada menceritakan bagaimana cara kebebasan berfikir yang dicontohkan oleh Saidina Ibrahim A.S. – yang pada mulanya bertuhankan bintang, bulan, matahari dan akhirnya mendapat keputusan (petikan surah – yang bertuhankan Allah khalaq al-alam.

Wednesday, September 25, 2019

Perang Dunia yang Kedua

RABU, 25 September 2019
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

(Dipetik daripada Sejarah Perjuangan Kita oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy. Nota: Mungkin berlaku kesilapan dalam merumikan teks asal yang ditulis Jawi.)


Dalam tahun 1941, udara Tanah Melayu telah turut muram dan gelisah, oleh haba api peperangan dunia yang semakin menjalar itu. China Kebangsaan (Kuomintang) dan China Komunis telah menjalankan rol percaturannya. Demikian pula India, sedang pihak Siam dan Indo-China tidak ketinggalan bersedia – menurut yang sesuai pada pendapat mereka. Akhirnya ... ramalan orang tua-tua “Cina gondol akan menjadi raja di Tanah Melayu setahun jagung” telah pun tiba dan menepati.

Persediaan bangsa Melayu terhadap Tanah Melayu dalam erti kata yang sebenar boleh dikata tiada ada langsung, hanya segolongan puak kiri – angkatan muda , yang menelan air mata mengingatkan kecemasan yang harus menimpa nasib bangsa dan tanah air Melayu, sedang sebahagian besar belum lagi sedar, hanya masih leka dan lalai. Pembesar-pembesar Melayu yang menjadi tumpuan dan harapan rakyat masih asyik bersuka ria dibuaikan oleh segala kenanagan yang palsu, pertahanan Tanah Melayu dari tentera Melayu darat, laut jauh dari mencukupi, kerana itu ikhtiar untuk mempertahankannya telah tidak berjaya.
“Gajah berjuang pelanduk mati tersempit” demikianlah perumpamaan yang sesuai mengenai nasib bangsa dan tanah air kita, ibu pertiwi tanah air kita yang tercinta menjerit, meraung dan menyeru pemuda-pemudanya, hanyalah siapa yang terasa insaf di ketika itu telah menyahut seruan ibu pertiwinya sebagai pemuda harapan bangsa, tidak sedikit di antaranya yang gugur di pangkuan ibunya...Bulan Disember tahun  1941, tentera Jepun telah mencurah-curah masuk ke Malaya laksana air banjir layaknya – dengan tiada bertahan-tahan lagi. Belum pun semua Malaya tewas, Pulau Pinang sudah ber... (kurang pasti) orang India. Akhirnya Singapura jatuh, Inggeris menyerah kalah, bangsa Melayu telah dapat menyaksikan kudrat iradat Tuhan Yang Maha Kuasa – mengaturkan dan melakukan segala kehendak-Nya. Itulah kemenangan Jepun yang dibangga-banggakan dengan “kemenangan Asia Timur Raya” konon, ada juga orang yang berfikiran singkat turut suka dengan kemenangan itu, mereka beramai-ramai keluar menyambut kedatangan Jepun konon, tetapi siapa yang lebih cepat berjumpa, orang itu yang lebih dahulu menerima hadiah “tempeleng pulang balik” dari Jepun. Inilah dia lagi suatu ujian kepada sejarah bangsa Melayu, untuk mengalami suatu penjajahan baharu pula – penjajahan dari sama bangsa Asia yang telah menimbulkan beberapa pelajaran:
1.    Perbezaan di antara dua penjajahan – penjajahan Inggeris dengan penjajahan Jepun.
2.    Masa Inggeris menyerah kalah dalam masa Jepun memerintah.

Sebelum masuk tentera Jepun ke Malaya, bangsa Melayu telah mendengar kata-kata takabur dri propaganda Inggeris “biar tulang jangan putih mata” dan sebagainya. Begitu pula, sewaktu Jepun mula-mula sampai, bangsa Melayu telah disongsong dengan janji-janji yang manis dan gula-gula dengan semboyan: kita sama-sama bangsa Asia, kemakmuran bersama, Asia Timur Raya dan sebagainya. Semuanya itu adalah menjadi pengalaman, pelajaran besar kepada bangsa Melayu yang mahu insaf, itulah dia “gula-gula penjajah” sekali penjajah tetap penjajah! Kerana hanya beberapa hari sahaja Jepun berkuasa, mulalah mereka menunjukkan... (kurang pasti), gerakan kebangsaa Melayu (Kesatuan Melayu Muda) pun diharamkan dari semenjak itu bebaslah berlaku segala kezaliman, kekejaman, kebengisan yang tak dapat digambarkan, yang harus menjadi kenang-kenangan selama hidup kepada bangsa Melayu, itulah dia penjajahan, walau dari mana datangnya!!
Dari semenjak itu, gerakan kebangsaan Melayu terpaksalah berjalan di bawah tanah dengan segala  macam kebijaksanaan, ada yang tinggal di dalam, ada yang tinggal di luar, di dalam mengambil langkah sebagaimana Nabi Allah Musa di dalam istana Firaun, manakala di luar pula menjadi antifasis, anti-Jepun dan ada pula yang menjalankan gerakan ghaif – semut putih dan sebagainya.
Kesedaran dan kemarahan bangsa Melayu semakin bertambah dengan sebab pekerti Jepun menyerahkan empat buah negeri Melayu: Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis ke dalam pemerintahan Siam.
Demikianlah gerakan kebangsaan Melayu dari sebulan ke sebulan, bertambah kuat mendesak fasis Jepun dari luar dan dalam. Yang lebih membingungkan Jepun, ialah meluap-luapnya semangat kebangsaan Melayu itu dari pemuda-pemuda yang kononnya hendak dijepun-jepunkan tetapi tiba-tiba telah terbalik menjadi “Melayu tulen” serentak dengan itu juga yang berlaku di Indonesia dan Filipina.
Kebangkitan semangat kebangsaan Melayu  ini juga telah menerbitkan kebimbangan segolongan orang-orang  Cina di Malaya ini. Mereka memandang dari segi banyaknya orang  orang-orang Melayu yang turut bekerjasama dengan Jepun sebagai tentera, sedang di pihak orang-orang Cina pada umumnya adalah bersemangat bencikan Jepun. Sekalipun sebahagian kecil ada juga yang menunjukkan bekerjasama, tetapi yang sebenarnya merekalah yang terkenal dengan perkataan “chon kweghap” atau memberi suap kerana muslihat hidup dan perniagaan mereka. Maka dengan dua aliran ini, terjadialh rasa curiga mencuragai di antara orang-orang Cina terhadap orang-orang Melayu.
Oleh itu, dengan terkejutnya Jepun menyerah diri kepada pihak berikat, di antara dua semangat yang bertentangan tadi mudah sahajalah menjadi  subur dan bernyala, sementara di pihak orang Cina pula didorong oleh rasa hendak membalas dendam kepada orang-orang yang menjadi pegawai dan kakitangan Jepun yang telah melakukan kezaliman di masa Jepun itu. Dan serentak dengan itu berdirilah kerajaan Cina Bintang Tiga selama kira-kira tiga minggu.
Meskipun begitu, beberapa panglima Melayu yang terkenal dengan keturunan Banjar dan parang panjang, telah sempat juga menunjukkan darah kepewiraannya, seperti yang berlaku di Batu Pahat – Johor, dan di Sungai Manik – Perak, yang telah menimbulkan kesan besar yang menginsafkan orang-orang Cina seluruhnya. Manakala sepihak lagi, dari golongan kebangsaan telah tampil ke muka, kesedaran politik, memimpin dan menyeru rakyat supaya bersatu padu, kerana membela hak dan keadilan bangsa Melayu – kepada para pejuang dan ahli-ahli kebangsaan ini tergambarlah beberapa soal yang penting dan masih rumit dan sulit untuk dipelajari iaitu:
1.    Siapakah Raja-Raja Melayu yang sebenarnya yang mesti ditaati oleh rakyat menurut yang sesuai  dengan binaan keagungan bangsa Melayu terhadap kedaulatan Raja-Rajanya itu?
2.    Bagaimanakah perlembagaan tatanegara kerajaan Melayu yang sebenarnya yang telah terdiri sejak beribu-ribu  tahun dahulu turun-temurun menjadi kemegahan bangsa Melayu, sehingga berakhir dengan jatuhnya kerajaan Melaka?
3.    Kenapakah rakyat Melayu berpantang menderhaka dan apakah rahsianya?
4.    Kenapakah negeri-negeri kecil yang dahulunya berpusat ke Melaka itu, telah mendirikan kerajaan sendiri masing-masing pula di Kepulauan Melayu ini?
5.    Bagaimanakah taraf Raja-Raja Melayu sebelum membuat triti dengan East Hindia Companya dan apakah sebab-sebabnya triti itu dibuat?
6.    Kenapakah Belanda  menabalkan Sultan-Sultan Melayu di Riau dan British pula menabalkan Sultan-Sultan di Singapura?
7.    Apakah sikap yang dijalankan oleh Belanda di Indonesia dan East Hindia Company di Malaya ini?
8.    Bagaimanakah sebenarnya kedudukan taraf Raja-Raja Melayu di Tanah Melayu ini dari semenjak tahun 1874 hingga tahun1933, iaitu sejak dari Triti Pangkor yang dibuat oleh Raja-Raja Melayu berakhir dengan Triti Kedah?
9.    Apakah sebenarnya takrif dan istilah (kurang pasti) tiap-tiap perkataan yang terkandung dalam triti itu, terutamanya yang di antara lain-lain berbunyi “hendaklah atau mestilah menerima nasihat daripada penasihat-penasihat British – kita dipelawa oleh Raja-Raja Melayu untuk mendirikan  Negeri Melayu – British tidak mencampuri adat istiada Melayu dan agama”.
10. Betulkan Negeri-Negeri Melayu ini bersendirian dan merdeka, hanya berlindung di bawah bendera Inggeris?
11. Apakah pendapat kebangsaan Melayu terhadap buku MALAYSIA yang ditulis oleh Rupert Emerson dengan buku pemerintahan British di Timur Asia oleh Mill itu, dan apakah pengalaman bangsa dan kebangsaan Melayu hingga Perang Dunia yang Kedua ini di bawah naungan British?
12. Apakah untung-ruginya kepada bangsa Melayu seluruhnya dengan adanya Raja-Raja dan negeri-negeri pula di Semenanjung ini?
13. Apakah sebab-sebab rasa taat setia rakya terhadap Rajanya telah mulai renggang?
14. Adakah  Raja-Raja Melayu telah sedar di mana dan setakat mana kekuasaan mereka yang sebenarnya, demikian pula hak rakyat jelata terhadap Raja dan negerinya?
15.  Di manakah dan bagaimanakah “songlap” yang mem... (kurang pasti) hak dan keadilan Raja-Raja da bangsa Melayu di tanah airnya sendiri?
16. Dari manakah punca puncanya kejatuhan bangsa Melayu di atas tanah airnya sendiri? Adakah disebabkan Raja-Rajanya, rakyatnya atau penaungnya? (yang sebenarnya telah menjadi penjajah?).
17. Adakah perkataan “Malayan” itu baharu? Adakah rancangan hendak “memalayankan”  ini baru selepas perang ini sahaja? Apakah yang dituju oleh siasah pintu terbuka itu?
18. Adakah tuntutan orang yang menghitungkan dirinya Malayan itu sebagai suatu tuntutan yang hak dan adil atau hanya mengada-ada?
19. Apakah akibatnya kepada bangsa Melayu yang tetap berpendirian “Malaya hak Melayu” manakala orang-orang Malayan berdegil dengan tuntutan mereka, bahawa orang asing dikatakan Malayan itu juga berhak. Siapakah yang akan kecewa dan siapakah yang akan beruntung?
20. Dapatkah Malaya dipertahankan, diselamatkan dengan kedaulatan Raja-Raja Melayu atau dengan kedaulatan rakyat – demokrasi, kemudian mana satukah sikap yang lebih sesuai yang harus diperjuangkan oleh bangsa Melayu untuk keselamatan bangsa dan nungsa?
21. Lain-lain soal lagi yang harus timbul dari semasa ke semasa.

Sunday, September 22, 2019

Aliran Pemikiran Kemiskinan di Malaysia

AHAD, 22 September 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Ozay Mehmet yang mengkaji kemiskinan di negara ini, menyatakan  dalam bukunya, Pagar Makan Padi: Amanah, Kemiskinan dan Kekayaan di Bawah Dasar Ekonomi Baru, terdapat tiga aliran pemikiran mengenai kemiskinan di Malaysia. Pertama, aliran yang menekankan institusi dan struktur, yang biasanya dikaitkan dengan Ungku Aziz, yang menjelaskan kemiskinan di luar bandar berdasarkan struktur eksploitasi monopoli-monopsoni, yang membawa keuntungan yang berlebihan kepada orang tengah dan kemiskinan kepada petani Melayu. Satu cabang aliran ini ialah teori pemilikan tanah separuh feudal, yang diperkenalkan oleh Syed Husin Ali. Beliau mengatakan bahawa kemiskinan luar bandar disebabkan oleh kesan dasar serta undang-undang tanah yang diperkenalkan oleh pemerintahan penjajah British, pemecahan tanah, undang-undang perwarisan Islam, dan pertambahan penduduk. Teori kemiskinan aliran budaya pula berpendapat bahawa kemiskinan orang Melayu berpunca daripada pegangan kepada nilai-nilai Islam, terutama sekali sikap menyerah diri, di samping cita-cita dan dorongan yang rendah. Baru-baru ini, terdapat aliran pemikiran ketiga, iaitu teori pergantungan. Teori ini memberikan perhatian kepada sebab-sebab kemunduran dari segi antarabangsa. Menurut aliran ini, kemiskinan terus wujud di Malaysia akibat pergantungan dan penglibatan pembahagian kerja antarabangsa yang baharu.

Teori-teori ini, hujah Mehmet, walaupun berbeza, mempunyai suatu persamaan, iaitu masalah kemiskinan boleh diatasi melalui campur tangan dasar. Oleh itu, sekiranya dasar yang sesuai dapat digubal (seperti menghapuskan eksploitasi orang tengah, menggubal dasar pemilikan tanah yang baharu serta mengurangkan pergantungan luar0, kemiskinan akan dapat dikurangkan. Ini ialah pandangan optimistik, yang berasal daripada sikap liberalisme Eropah pada abad ke-19. 

Monday, September 16, 2019

Malaysia: Mengenang Jasa Tun Ghazali Shafie


ISNIN,  16 September 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Tun Muhammad Ghazali Shafie memberitahu  bahawa Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra melantik beliau sebagai pegawai projek pembentukan Malaysia (Ghazali, 2004: 26; Ghazali, 2015: 31), dan seterusnya beliau memberitahu bahawa menteri yang bertanggungjawab terhadap pembentukan Malaysia, ialah Timbalan Perdana Menteri, Tun  Abdul Razak Hussein. Ghazali pergi jauh sedikit dengan menceritakan hubungan mereka berdua: “Razak dan saya telah lama bersahabat sejak dari zaman  kanak-kanak di Pahang.  Kami meneruskan persahabatan kami di  Raffles College, Singapura, dan  kemudian di Britain.  Beliau dan saya menghabiskan  banyak masa untuk membincangkan dan mencari persetujuan mengenai  apakah yang  harus  dilakukan.  Akhirnya, beliau dipertanggungjawabkan untuk memujuk orang Melayu secara politik menerima Konsep Malaysia” (Ghazali, 2004: 29; Ghazali, 2015: 34).

Dalam memoirnya tentang pembentukan Malaysia setebal lebih 400 halaman (edisi bahasa Inggeris) dan 550 halaman (edisi bahasa Melayu), Ghazali Shafie mencatatkan bahawa Tunku meminta  beliau  menggubal Konsep Malaysia  dan untuk mencapai kejayaan,  konsep itu mestilah  dapat diterima oleh semua pihak, iaitu kerajaan Tanah Melayu dan rakyatnya, Majlis Raja-Raja Melayu, kerajaan British,  rakyat Singapura dan wilayah Borneo (Ghazali, 2004: 26; Ghazali, 2015: 31).  Sebaik-baik sahaja Tunku menyampaikan ucapan bersejarah di Singapura itu, reaksi awal daripada Singapura dan Brunei adalah positif dan terdapat  reaksi yang berbelah bahagi dari  Sarawak dan Borneo Utara.  (Tan Sri) Zainal Abidin Sulong dan pasukan bertugas sebenarnya masih   pada tahap awal  operasi mereka.  Reaksi Indonesia dan Filipina tidak negatif (Ghazali, 2004: 30; Ghazali, 2015: 35).
Daripada empat wilayah yang dijangkakan bergabung dalam pembentukan Malaysia, Singapura nampaknya bersungguh-sungguh ingin menyertainya, manakala tiga lagi, menurut Memorandum on Malaysia, “mengaku bahawa kesukaran yang besar bagaimana memujuk rakyat Borneo Utara, Sarawak, dan Brunei untuk menerima Konsep Malaysia” (Ghazali, 2004: 35; Ghazali, 2015: 40).  Singapura nampaknya rela bertolak ansur tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahkan kedudukan agama Islam.  “Lee Kuan Yee menyatakan kepada  bahawa bahasa Melayu patut menjadi  bahasa kebangsaan bagi  Tanah Melayu dan Singapura. Bagaimanapun,  beliau  kesal di  Tanah Melayu, cara  melaksanakan dasar itu  tidak begitu baik.  Di Singapura, katanya, beliau menjadikan dasar untuk menerangkan bahawa  semua orang perlu mempelajari bahasa Melayu kerana tanpa bahasa Melayu, mereka tidak akan  mendapat  pekerjaan dan pembelajaran perlu dimotivasikan melalui keperluan ekonomi” (Ghazali, 2004: 30; Ghazali, 2015: 35 - 36). Sementara itu, Donald Stephens tidak menemui sebarang kesukaran berhubung dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.  Kebimbangan beliau adalah terhadap bahasa Inggeris, iaitu memerlukan suatu jaminan mengenai penggunaan berterusan bahasa Inggeris selepas Hari Malaysia (Ghazali, 2015: 375).
Dalam persidangan Jawatankuasa Perundingan Solidariti Malaysia (MSCC) yang berlangsung di Kuching pada 18 Disember 1961, apabila ditanya oleh Donald Stephens (Tun Mohammad Fuad Stephens)  – ketua anggota dari Borneo Utara, Lee Kuan Yew menjelaskan bahawa  Singapura menerima Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia, meskipun di Singapura, hanya kira-kira 15 peratus penduduknya beragama Islam.  Walau bagaimanapun, Borneo Utara dan Sarawak tidak bersetuju dengan Islam sebagai agama rasmi negara Malaysia yang akan dibentuk kelak (Ghazali, 2004: 157).  Menarik juga untuk dinyatakan di sini, dalam persidangan itu, Lee Kuan Yew sangat tidak gembira dengan (Tan Sri) Ong Kee Hui, pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang membangkitkan  hak pemisahan.  Bagi Lee, sebelum perkahwinan berlangsung, pihak yang terlibat telah pun bercakap tentang hak menuntut perceraian (Ghazali, 2004: 156).  Namun begitu, yang berlaku kira-kira  dua tahun selepas Malaysia dibentuk pada tahun 1963,  Singapura  “buat perangai” untuk berpisah dari Malaysia.
Tatkala Brunei, Borneo Utara, dan Sarawak terus berunding, Singapura mengadakan pungutan suara pada 3 September 1962, dengan Barisan Sosialis dan Majlis Tindakan  Bersama memperoleh lebih 144,030 kertas undi kosong daripada 692,800 pengundi di Singapura.  “Rakyat Singapura keluar mengundi, meskipun bukan mandatori dan majoriti mengundi Singapura  menyertai Malaysia, manakala mengekalkan autonomi buruh dan pendidikan”  (Ghazali, 2004: 274; Ghazali, 2015: 330).
Seperti yang diketahui, Brunei membuat keputusan tidak menyertai Persekutuan Malaysia yang ditubuhkan secara rasmi pada 16 September 1963 – lewat sedikit daripada perancangan asal, iaitu 31 Ogos.  Sementara Tun Abdul Razak berkeyakinan bahawa Sultan Sir Omar Ali Saifuddin – kedua-duanya bersama-sama menuntut di MMKK - akan membawa Brunei ke dalam Malaysia, Ghazali Shafie berpendirian sebaliknya – sebaik-baik sahaja beliau  melawat negeri  itu bersama-sama Tun Abdul  Razak pada 16 Ogos 1962 (Ghazali, 2004: 273 -  275).  Pada suatu ketika, Tun Abdul Razak memberitahu akhbar bahawa beliau fikir Brunei akan menyertai Malaysia pada 31 Ogos, kerana kesukaran tidak begitu besar.  Akan tetapi, sumber Brunei memberitahu akhbar bahawa Brunei berasa bimbang untuk menyertai Malaysia, tetapi akan melakukannya berdasarkan pertimbangan Brunei sendiri. Tunku melepaskan ledakan bahawa Malaysia akan wujud pada 31 Ogos 1963, dengan atau tanpa Singapura dan Brunei (Ghazali, 2004: 298; Ghazali, 2015: 360).  “Kenyataan Tunku itu,” ulas Ghazali, “bukanlah kata alu-aluan,  tetapi selamat tinggal kepada Brunei.” Soal wang yang gagal menjadi punca kegagalan dan  Kuala Lumpur  dilihat sebagai kuasa perampas (Ghazali, 2004: 299; Ghazali, 2015: 360).
Dalam memoir ini Ghazali Shafie juga mendedahkan beliau melakukan “helah Machiavellian dalam seluruh usaha  Malaysia” tatkala pada saat akhir, penyertaan Sarawak belum muktamad (Ghazali, 2004: 443; Ghazali, 2015: 535). Beliau sedar bahawa kaum Iban mahukan Malaysia. Satu-satunya  masalah ialah salah  seorang pegawai  ekspatriat kolonial  yang mengeksploit  harga diri  dan nasionalisme  Iban dengan menggunakan Ningkan dan  Jugah (Ghazali, 2004: 443; Ghazali, 2015: 535).
  Selain sebagai pegawai projek Malaysia,  Ghazali Shafiei juga dilantik sebagai  anggota Suruhanjaya Cobbold. Suruhanjaya ini, menurut  Tunku,  menyelidik pendapat penduduk supaya menolong mewujudkan Malaysia, yang dipengerusikan oleh Lord Cobbold, mantan Gabenor Bank of England.  Anggota lain dalam Suruhanjaya Cobbold, ialah Tan Sri Wong Pow Nee ketika itu Ketua Menteri Pulau Pinang, Sir David Watherston, Ketua Setiausaha Inggeris yang terakhir bagi Tanah Melayu, dan Sir Anthony Abell, mantan Gabenor Sarawak.  Mereka mengunjungi  Borneo, Sarawak, dan Singapura, dan mengadakan pertemuan dengan berbagai-bagai orang dan persatuan (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 107). Walau bagaimanapun,  Ghazali Shafie menjelaskan bahawa beliau enggan menerima pelantikan itu kerana beliau terlalu terlibat dalam pemasaran idea dan pelantikan itu mungkin tidak diterima dengan baik. Tunku terpaksa memujuk beliau beberapa ketika supaya menerima lantikan itu.  Bagi Tunku, beliau tidak dapat fikirkan orang lain lagi kerana, “saya orang yang ‘mengheret’ beliau untuk melaksanakan pembentukan Malaysia” (Ghazali, 2004: 184). 
Peranan Ghazali bukan setakat anggota Suruhanjaya Cobbold -  seperti yang pernah diungkit dan dikecohkan  oleh seorang pemimpin MCA tentang  buku teks Sejarah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka beberapa tahun lalu,  yang menampakkan Ghazali  lebih penting daripada seorang lagi anggota suruhanjaya itu, Tan Sri  Wong Pow Nee.  Pemimpin MCA itu mengungkit bahawa  Ghazali ketika itu setiausaha tetap Kementerian Luar Negeri, sedangkan Wong ialah Ketua Menteri Pulau Pinang yang kononnya lebih tinggi kedudukannya. Dalam usaha memadamkan “memori sejarah,” pemimpin MCA itu lupa, sebagai pegawai projek, Ghazali menjalankan tugas sebelum pembentukan Suruhanjaya Cobbold pada 17 Januari 1962. Dia juga lupa bahawa, para pemimpin di Sabah dan Sarawak, meskipun mereka bukan anggota suruhanjaya, peranan dan sumbangan mereka  dalam pembentukan amat besar. Bahkan, ada pemimpin, misalnya Tun Temenggong Jugah anak Barieng sanggup menolak jawatan gabenor  Sarawak semata-mata mahu merealisasikan pembentukan Malaysia. Tanpa usaha gigih pemimpin, seperti Jugah, Tun Mohammad Fuad Stephens, Tun Datu Mustapha Datu Harun, dan Tun Abdul Rahman  Ya’kub – sekadar menyebut beberapa nama -  memujuk dan meyakinkan penduduk tempatan dan menunjukkan komitmen tinggi mereka, kemungkinan besar gagasan Malaysia tidak akan menjadi kenyataan.
Pertemuan, perbincangan, dan rundingan antara Ghazali Shafie dengan para pemimpin Sabah dan Sarawak, juga akhir mewujudkan hubungan akrab, misalnya antara beliau dengan Jugah, Mustapha, dan Fuad Stephens. Bagi Mustapha yang mengasaskan  Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), oleh sebab “beliau kurang berilmu, maka beliau meminta nasihat, antaranya Ghazali dalam menerajui partinya” (Subky, 1981: 12 – 13).
Peranan Ghazali Shafie tidak berakhir dengan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, kerana Manila dan Jakarta yang tidak mengiktiraf Malaysia terus menerus melancarkan ancaman mereka. Tunku juga menyebut peranan Ghazali Shafie dalam perdamaian antara Malaysia dengan Indonesia berikutan tercetusnya Konfrontasi yang dilancarkan oleh Presiden Sukarno.  “Orang yang di belakang perdamaian itu sebenarnya ialah Leftenan Kolonel Ali Murtopo, sementara saya melantik Tan Sri  Ghazali bagi mewakili kerajaan Malaysia dalam semua perbincangan” (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 167). 
(Dipetik daripada Bab Tujuh, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa Jilid II, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

Malaysia: Mengenang Jasa Tun Jugah

ISNIN, 16 September 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Selepas pembentukan Malaysia  pada tahun 1963, kelihatan seorang lelaki yang berpakaian gaya Barat, tetapi dengan rambutnya mencerminkan jati diri atau pengenalan suku kaum peribumi.  Meskipun ketika itu  taraf kenal huruf rakyat masih rendah, manakala  media, seperti televisyen belum tersebar  luas, kalaupun ada hanya akhbar, melalui gambarnya, orang ramai   dapat  mengenali beliau.  Sememangnya, gaya rambutnya itu bukan sekadar  pengenalan peribadinya, tetapi juga memperlihatkan  jati diri kaumnya yang  memasuki arus perdana melalui pembentukan Malaysia. Beliau ialah pemimpin kaum Iban yang merupakan kira-kira 30 peratus penduduk Sarawak.  Oleh sebab penampilan  peribadinya sedemikian, maka boleh dikatakan, beliau  terkenal ketika itu, dengan jawatannya sebagai Menteri Persekutuan bagi  Hal Ehwal Sarawak. Beliau adalah antara pemimpin awal dari Sarawak dan Sabah  yang dilantik  menganggotai  Kabinet Tunku Abdul Rahman sebaik-baik  sahaja Malaysia terbentuk.
           Pengumuman Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra tentang gagasan pembentukan Malaysia ketika berucap di Singapura pada 27 Mei 1961,   mengejutkan para pemimpin Borneo, di samping pemerhati asing di rantau ini ketika itu.  Dalam kalangan pemimpin Borneo yang terkenal ketika pengumuman Malaysia, di Sarawak ialah Ong Kee Hui, pengerusi SUPP dan presiden Majlis Perbandaran Kuching, Temenggong Jugah anak Barieng yang merupakan Pemimpin Agung dan pemimpin tetap kaum Dayak, dan Datu Bandar Abang Mustapha (Ongkili, 1967: 26 – 27).
            Di Sarawak, kaum Dayak dan orang Cina yang merupakan dua kelompok dominan di negeri itu, menentang rancangan Malaysia. SNAP yang didominasi oleh orang Dayak diketuai oleh Stephen Kalong Ningkan menentang rancangan Sarawak menyertai Malaysia dengan anggapan Persekutuan Tanah Melayu ialah kuasa asing (Mohd, 2016: 240).  Orang Cina pula menolak rancangan Malaysia disebabkan kebimbangan ianya [sic] akan mengancam kedudukan  ekonomi mereka yang akan dikuasai oleh penduduk Persekutuan Tanah Melayu.  Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu bagaimanapun, tidak menumpukan usaha untuk memujuk orang Cina yang dianggap oleh Tunku sebagai kaum oportunis, sebaliknya menumpukan usaha memujuk orang Melayu dengan harapan akan membuka ruang besar penerimaan penduduk tempatan terhadap rancangan Malaysia (Mohd, 2016: 240).  Perbezaan politik tempatan, seperti yang berlaku di Sarawak,  merumitkan lagi  rancangan  Malaysia. Misalnya,    Temenggong Jugah dan Ong Kee Hui tidak sehaluan dengan  Datu Bandar Abang Haji Mustapha. Jugah pernah enggan datang ke Tanah Melayu bersama-sama  Datu Bandar (Ghazali, 2004: 79).
Di Sarawak, kerajaan Persekutuan Tanah Melayu mengharapkan pemimpin berpengaruh, seperti Temenggong Jugah, Datu Abang Haji Mustapha, Louis Bereng, dan Datu Abang Haji Zain dapat dipujuk untuk menyokong gagasan Malaysia (Mohd, 2016: 239 – 240). Ghazali Shafie yang memainkan peranan utama bersama-sama Tun Abdul Razak untuk bertemu dengan pemimpin tempatan, sasaran utamanya ialah beberapa suku kaum, khususnya Temenggong Jugah sebagai tokoh utama yang dapat mempengaruhi  penduduk Iban dan kaum lain di Sarawak (Mohd, 2016: 237).
Menurut Tunku Abdul Rahman, pemimpin di Sabah, seperti Tun Datu Mustapha, dan di Sarawak, seperti Tun  Tuanku Haji Bujang (Tuanku Othman),   Abdul Rahman Ya’kub, Datu Bandar (Abang Haji  Mustapha), dan   Temenggong Jugah, berhasrat untuk bercantum dengan Persekutuan atau mengadakan hubungan yang lebih erat dengan Tanah Melayu (Tunku  Abdul Rahman Putra, 1980: 98,  101).  Jugah tidak secara keseluruhannya menentang idea Malaysia, meskipun sikap awal beliau dikatakan, berwaspada (Sutlive, 1992: 174). Kewahaman Jugah tentang kemungkinan Persekutuan tidak sekuat penolakan terhadapnya seperti yang berlaku di Brunei dan Borneo Utara (Sutlive, 1992: 175).
Tunku benar-benar mahu memenangi hati  Jugah. Justeru, apabila “Bennet Jarrow, orang Iban dari bahagian pedalaman Sarawak,  mencadangkan kepada Ghazali Shafie dan kemudian kepada Tunku, bahawa Temenggong Jugah bersedia untuk berjumpa Tunku, tetapi lebih berkesan sekiranya Tunku menjemput Jugah sebagai tamu peribadi,   Tunku menerima idea itu tanpa teragak-agak (Ghazali, 2004: 91).
            Pada suatu ketika, Temenggong Jugah dikatakan mahu lebih banyak masa untuk memahami Konsep Malaysia. Beliau memberitahu bahawa  banyak orang dari kawasannya dan rumah panjang yang lain, pergi ke Tanah Melayu, tetapi tidak seorang pun yang mampu menjelaskan kepada beliau, apakah sebenarnya Konsep Malaysia.  Beliau menegaskan bahawa keputusan sepatutnya tidak dibuat tergesa-gesa.  Seperti pendirian yang diambil oleh pegawai kolonial British, Jugah memerlukan masa (Ghazali, 2004: 160). Akan tetapi,  Pengarah dan Penghulu  menyokong Konsep Malaysia dan mahu “Merdeka”  menerusi Malaysia dengan segera. Mereka berjaya memujuk Jugah  mengubah fikirannya supaya bersama-sama mereka  (Ghazali, 2004: 176). Jugah pernah mengemukakan pandangannya bahawa beliau menyokong kemerdekaan Sarawak dan Borneo Utara terlebih. Bagi beliau, elok dua wilayah ini menyelesaikan masalah perseikatan rapat mereka terlebih dahulu (Ongkili, 1967: 31; Sutlive, 1992: 174).
            Walau apa-apa pun pandangan dan pendiriannya tentang pembentukan Malaysia, Temenggong Jugah terlibat dalam perbincangan atau rundingannya  sejak awal lagi. Ketika  Tunku Abdul Rahman mengadakan pertemuan dengan orang kenamaan dari Bahagian Ketiga Sarawak,  di Sibu,  di atas kapal Tentera Laut Diraja Tanah Melayu, Mutiara, Temenggong Jugah mengetuai senarai tetamu itu. Dalam pertemuan itu Tunku secara jenaka merujuk Jugah sebagai pereka potongan  rambut Beatles! Seorang Iban dalam perkhidmatan tadbir yang bertugas di Sibu bernama  Bennett Umpam memberitahu Ghazali Shafie, jika Jugah dapat dipujuk, maka tidak akan  ada masalah daripada orang Iban di Sarawak (Ghazali, 2004: 47; Ghazali, 2015: 57). Menurut Ghazali, Temenggong Jugah buta huruf, tetapi beliau seorang insan yang banyak pengalaman dan bijaksana. Beliau juga ialah seorang pemimpin masyarakat yang sejati, bukan sahaja untuk kaum Iban. Beliau seorang pemurah, baik, dan sentiasa berhati-hati supaya tidak menyakitkan hati orang lain. Sangat penting untuk memilik Jugah di pihak Konsep Malaysia (Ghazali, 2015: 176).
            Proses pembentukan Malaysia tidak berjalan dengan licin sehingga menyebabkan  tarikh yang dirancang pada 31 Ogos 1963, terpaksa ditunda.  Selain tentangan daripada pemimpin di Sarawak dan Borneo Utara, Brunei pula, atas alasan yang tidak perlu diulang di sini,  menarik diri.  Satu-satunya negeri, yang beria-ria dan bersungguh-sungguh menyertai gagasan pembentukan Malaysia, ialah Singapura, pimpinan Lee Kuan Yew.
Keadaan menjadi semakin runcing, iaitu melibatkan Sarawak yang tidak menggalakkan sehingga timbul persoalan, sama ada  Malaysia dibentuk tanpa penyertaan negeri itu.  Hal ini berpunca daripada pelantikan gabenor (Yang Dipertua Negeri) apabila “Waddel, Gabenor British mencabar kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. (Sir Alexander Waddel, ialah Gabenor Tanah Jajahan British Sarawak yang terakhir.)  Waddell bersungguh-sungguh mencadangkan Temenggong Jugah sebagai gabenor dan Stephen Kalong Ningkan yang juga berbangsa Iban menjadi Ketua Menteri” (Mohd, 2016: 261). 
Tunku menjelaskan kepada Kabinet bahawa British mencadangkan nama Jugah sebagai gabenor pertama  Sarawak.  Ini dilakukan kerana  desakan  “kerajaan Ningkan.  Beliau  memberitahu bahawa Tanah Melayu tidak boleh mengiktiraf “kerajaan Ningkan” dan sekiranya datang daripada kerajaan British, ini semestinya atas desakan pentadbiran kolonial.  Walau bagaimanapun, wujud persefahaman dengan Kalong Ningkan bahawa jika  Ketua Menteri pertama ialah Iban, maka gabenor ialah Melayu atau sebaliknya.  Pelantikan pertama hanya untuk selama dua tahun.  Tunku yang nampak  sangat marah menuduh perkara ini berlaku kerana campur tangan oleh pentadbiran kolonial dengan melantik Kalong Ningkan sebagai “Ketua Menteri” (Ghazali, 2004: 440; Ghazali, 2015: 531).  Tunku merumuskan bahawa Malaysia sepatutnya dibentuk seperti yang dijadualkan, iaitu pada 16 September, bersama-sama  dengan Singapura dan Borneo Utara tanpa Sarawak  (Ghazali, 2004: 440; Ghazali, 2015: 531). 
Kemudian Tunku  menyentuh  Jugah yang beliau sangat sayangi,  tetapi  beliau  berkata  Jugah tidak layak menjadi gabenor.  Tunku mendapati sukar  untuk mengesyorkan nama seseorang yang tidak boleh membaca menulis, kecuali   namanya sahaja.  Seorang lepas  seorang menteri bercakap dan menyokong Tunku tentang keputusannya bahawa Sarawak yang patut dikeluarkan  daripada Malaysia, kecuali Tun Abdul Razak yang tegas bahawa beliau tidak dapat bayangkan keadaan  tanpa Sarawak dalam Malaysia. Beliau yakin bahawa pencalonan Ningkan dan Jugah dapat diselesaikan dengan mudah (Ghazali, 2004: 440; Ghazali, 2015: 531 - 532).
Walau bagaimanapun, impian pembentukan Malaysia akhirnya menjadi kenyataan,  apabila kebuntuan di Sarawak dapat dirungkaikan, semata-mata kerana Temenggong Jugah sanggup berkorban.  Bagi beliau, penyertaan Sarawak dalam Malaysia lebih penting daripada jawatan gabenor yang dicadangkan diberikan kepadanya. Seperti yang dilaporkan dalam Sarawak Tribune, “demi kepentingan muhibah menjelang pembentukan Malaysia, Temenggong Jugah dengan hati yang mulia meminta supaya namanya tidak dipertimbangkan untuk jawatan gabenor pertama” (dipetik daripada Sutlive, 1992: 192). Dengan persefahaman itu, Tun Abang Haji Openg dilantik sebagai Gabenor Sarawak, meskipun nama Datu Bandar Abang Haji Mustapha turut disebut-sebut. 
        Dipercayai bahawa tanpa usaha gigih Ghazali Shafie, pembentukan Malaysia mungkin tidak menjadi kenyataan. Perlu ditambah di sini,  bahawa tanpa pengorbanan besar Temenggong Jugah, “Malaysia kalau terbentuk,  cacat sejak lahir.”
          (Dipetik daripada Bab Satu, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa Jilid II, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

Sunday, September 15, 2019

Pergerakan Kebangsaan Melayu dan Politik

AHAD, 15 September 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

(Dipetik daripada Sejarah Perjuangan Kita oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy. Nota: Mungkin berlaku kesilapan dalam merumikan teks asal yang ditulis Jawi.)



Semasa Perang Dunia yang Pertama, setelah bangsa Melayu puas kena ulit dengan ubat-ubat tidur, maka mulalah rasa keinsafan terhadap perkara-perkara yang tak segiyanya (nota: saya kurang pasti) ditanggung dan dideritai oleh mereka. Bangsa Melayu mula merasakan bagaimana nasib mereka yang telah terbiar, perhubungan di antara rakyat  dengan Raja tidak begitu rapat lagi menurut erti kata yang sebenar,  bangsa Melayu hanya dapat bertemu dengan Raja-Rajanya ialah pada masa-masa dan hari-hari yang tertentu sahaja, seperti hari-hari kebesaran, pertabalan, istiadat perkahwinan, kemangkatan dan sebagainya. Begitu pula (sama ada disedar atau tidak) kedudukan taraf rakyat bangsa Melayu adalah berlainan dengan taraf bangsa-bangsa asing pada hari istiadat itu, bangsa-bangsa asing umpama – telah dapat sama-sama duduk di kerusi tetapi rakyat jelata bangsa Melayu selain dari yang bertalwat (nota: saya kurang pasti) – menyembah telah duduk di tanah pula. Inilah sedikit gambaran yang membayangkan hakikatnya taraf rakyat bangsa Melayu sendiri dengan Raja-Rajanya.
Manakala dari jurusan lain pula, kedudukan rakyat jelata memang terbiar, tak dapat pembelaan yang selayaknya. Kaum-kaum peladang yang berjemur kepanasan setiap lebih banyak mengorbankan tenaga dari mendapat hasilnya yang mencukupi. Penoreh-penoreh getah Melayu di kebun-kebun kecil dan yang menjadi buruh di estet hanya mencukupi sekadar “kais pagi makan pagi – kais petang makan petang” sahaja sementara anak-anak  mereka tinggal terbiar dengan tiada mendapat apa-apa pelajaran. Kaum-kaum nelayan Melayu adalah  dalam keadaan yang lebih menyedihkan lagi, mereka hanya menjadi alat kepada tauke-tauke bangsa asing, yang sebagai memasang jerat di tempat yang genting itu.
Oleh sebab beberapa perkara yang menyedihkan itu, mulalah timbul rasa kesedaran kepada bangsa Melayu, surat khabar dan majalah-majalah Melayu mulalah menyebarkan buah-buah fikiran dan pemandangan-pemandangan  yang menginsafkan , ahli-ahli agama kepada dua aliran, aliran yang berfaham menuju kepada perubahan dan kemajuan dan aliran-aliran yang berfaham cara lama – yang memandang agama untuk ibadat sahaja.
Di masa itu, kebangunan bangsa Melayu adalah dipelopori oleh beberapa beberapa golongan iaitu:
1.    Dari penuntut-penuntut yang ke luar negeri,
2.    Dari sebahagia guru-guru sekolah Melayu,
3.    Dari ahli-ahli agama yang berfaham maju.

Penuntut -penuntut Melayu yang ke luar negeri, seperti ke India, Makkah dan Mesir telah mendapat beberapa pemandangan-pemandangan  pengalaman di luar negeri, di mana mereka menjadi penuntut itu. Mereka telah menyaksikan semangat yang meluap-luap yang sedang menuntut kemerdekaan untuk bangsa dan tanah air mereka keadaan itu dapat membangkitkan semangat dan menginsafkan penuntut-penuntut Melayu. Penuntut-penuntut yang pergi ke India dan Mesir tentulah berbeza dengan keadaan penuntut-penuntut yang menuntut di England, kerana di England adalah negara penjajah sendiri. Sedang di India dan Mesir masa itu adalah menjadi tanah jajahan yang sedang panas dengan udara ingin terlepas dari penjajahan.
Dari golongan guru-guru sekolah Melayu pula, mereka yang rajin membaca surat-surat khabar, majalah-majalah dan buku-buku, terutama surat khabar, majalah dan buku-buku dari Indonesia (kerana Indonesia juga di masa itu sudah pun timbul beberapa gerakan kebangsaan yang menentang penjajahan Belanda). Surat-surat khabar dan majalah-majalah yang diterbitkan di Malaya juga tidak kurang mengisi bahan-bahan yang menimbulkan rasa  kesedaran kepada bangsa Melayu.
Manakala dari golongan ahli-ahli agama yang berfaham maju pula telah membangunkan beberapa buah sekolah rakyat dan menyebarkan pelajaran agama seluas-luasnya, tidak lagi setakat mengajar tauhid, fiqah, tasauf sahaja, tetapi telah pun diajarkan tafsir al-Qur’an, Hadith dan tawarikh-tawarikh kebangunan Islam. Ketika itu, hanya dalam masa yang singkat-singkatnya sahaja telah timbul semangat keislaman yang meluap-luap, rasa kesedaran bahawa agama Islam itu, ialah agama kemajuan dan politik, di sana sini sekolah-sekolah rakyat yang terkenal dengan “sekolah Arab” itu mengadakan upacara-upacara iktikal. Di majlis itulah suatu kesempatan kepada guru-guru agama menanamkan rasa keislaman yang tulen dam sihat kepada umat Islam, sehingga akhirnya  faham-faham yang memandang agama Islam hanya agama ibadat sahaja itu telah mulai hapus.
Demikian sedikit gambaran golongan-golongan yang terbesar mempelopori kebangunan masyarakat Melayu di Malaya ini, dan ketika  golongan ini pada amnya terdiri dari golongan rakyat jelata semuanya. Akhirnya – hasil dari kesedaran tersebut – terdirilah beberapa buah persatuan kesatuan dan persekutuan (yang semuanya atas nama “Melayu”  seperti Persatuan Melayu, Kesatuan Melayu dan sebagainya) yang pada masa itu hanyalah masih beberapa badan sosial, kebajikan, persuratan sahaja, dan di antara persatuan-persatuan itu, maka persatuan yang berdasar persuratanlah yang lebih berpengaruh, dan yang lebih banyak menanamkan rasa keinsafan, yang di antaranya yang terkenal dengan “PSPM” (Persuratan Sahabat Pena Malaya). Kemudian berturut dengan kesatuan dan persatuan wartawan Melayu.
Rasa dan faham kebangsaan mulailah subur dam mendalam ke dalam jiwa sebahagian bangsa Melayu yang telah mengikuti persatuan-persatuan tersebut. Walaupun pada mulanya hanyalah  dengan berupa “sempit” sekadar istilah (kurang pasti) yang terkenal dengan  “takrif  Melayu” itu. Tetapi istilah (kurang pasti) itu adalah sesuai pula dengan keadaan dan suasana di masa itu, kerana bangsa-bangsa asing di masa itu pada umumnya, adalah masih tetap berpegang dengan tujuan mereka yang pertama ke Malaya ini kerana soal “dagang” mereka masih senang dengan sebutan bangsa dagang.
Oleh kuatnya saranan takrif Melayu itu melalui akhbar-akhbar dan majalah-majalah maka timbullah rancangan hendak mengadakan kongres kebangsaan Melayu seluruh Malaya. Kebetulan pula – udara pergerakan kebangsaan yang bertiup di Indonesia semakin kencang seolah-olah meniup dan menyuburkan benih kebangsaan yang sedang tumbuh dalam jiwa bangsa Melayu di Malaya ini. Akhirnya dapatlah diadakan sebuah kongres Melayu yang boleh dikatakan meliputi seluruh Negeri-Negeri Melayu, termasuk Brunei dan Sarawak. Hasil dari kongres itu dapatlah menimbulkan rasa kebangsaan yang lebih luas dan dapat menginsafkan lebih dalam lagi kedudukan yang sebenarnya nasib bangsa dan tanah air Melayu. Untuk melaksanakan cita-cita kebangsaan itu juga telah timbul dua aliran “non dan ko” (non & co) – kiri dan kanan.
Di pihak non atau kiri, adalah dari golongan yang lebih dalam keinsafan, kerana itu  mereka dapat mempelajari beberapa soal-soal yang penting yang antaranya ialah:
1.    Bagaimana kedudukan dan taraf Raja-Raja Melayu yang sebenarnya?
2.    Bagaimana perhubungan di antara rakyat dengan Raja-Rajanya?
3.    Apakah polisi kerajaan British terhadap bangsa Melayu?
4.    Apakah polisi kerajaan British terhadap bangsa dagang di Malaya ini?
5.    Apakah tuntutan-tuntutan dan kemahuan bangsa-bangsa dagang di Malaya ini kelak?
6.    Bagaimanakah jalan-jalan dan ikhtiar hendak memulihkan kerosakan nasib bangsa Melayu terutama dalam perkara-perkara ekonomi dan pelajaran?
7.    Apakah persediaan untuk keselamatan bangsa dan tanah air bangsa Melayu?
8.    Apakah akibatnya jika berbangkit peperangan di laut teduh?
9.    Dan beberapa soal yang rumit yang sedang dipelajari.

Soal tersebut telah pun dapat diagak dan dijawab dengan agak yang sipi dan hampir-hampir tepat, dengan melalui beberapa ikhtiar yang berat, rumit dan sulit, di antara beberapa badan yang mengambil berat itu, ialah Kesatuan Melayu Muda atau yang terkenal dengan nama KMM itu.
Kemudian peperangan di antara China – Jepun dari setahun ke setahun bertambah-tambah kencang, akhirnya meletuplah peperangan di Eropah (Perang Dunia yang Kedua) maka timbullah lagi beberapa soal yang lebih rumit iaitu:
1.    Bagaimana pertahanan British di Malaya?
2.    Apakah pula niat dan langkah Jepun terhadap pelan “Tanaka” itu?
3.    Apakah niat dan sikap bangsa Cina dan India terhadap Tanah Melayu?
4.    Apakah pula langkah dan sikap yang harus diambil oleh pihak bangsa Melayu untuk menghadapi segala kemungkinan-kemungkinan tersebut, untuk keselamatan bangsa dan tanah airnya?
5.    Dan beberapa soal-soal yang rumit lagi?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...