SELASA, 20 Jun 2017
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Sebagai presiden sebuah
negara yang paling berkuasa di dunia, Donald Trump sering menjadi perhatian,
bukan sahaja dari segi dasar, seperti dasar ekonomi dan dasar luar, tetapi juga
hal-hal peribadi, seperti juga kelakuan dan gaya rambutnya. Tidak ketinggalan bahasa yang beliau gunakan
ketika berucap dan juga bahasa gerak-gerinya.
Donald Trump diperhatikan mengelak daripada memegang
tangan isterinya, Beliau berulang-ulang
kali menepis tangan isterinya apabila
Wanita Pertama cuba memegang tangan beliau.
Perkara seperti ini berlaku dikatakan ada kaitannya dengan sikap
manusia, iaitu apabila melibatkan paparan awam tentang kemesraan (afeksi),
setiap orang adalah berbeza. Sesetengah
pasangan menunjukkan kemesraan mereka di hadapan khalayak, manakala pasangan
lain pula berasa tidak selesa memegang
tangan pasaran mereka. Presiden Amerika Syarikat yang baharu ini dipercayai
mungkin tergolong dalam kumpulan kedua, tetapi menurut pakar bahasa gerak-geri,
hal ini menunjukkan lebih daripada hanya rasa tidak selesa menunjukkan
kemesraan kepada orang ramai.
Pakar bahasa gerak-geri, Patti Wood yang dipetik oleh The
Mail Online dan beberapa media
antarabangsa, percaya bahawa Trump enggan memegang tangan isterinya mungkin
kerana beliau mahu dilihat sebagai “alfa presiden.” Menurut Wood, lazimnya
berpegangan tangan menunjukkan pasangan sebagai unit. “Akan tetapi, bagi saya,
saya fikir beliau berkata, ‘Saya mahu dilihat sebagai presiden atas diri
sendiri’, yang adalah banyak alfa. ‘Saya mahu hanya saya yang berkuasa.’ Dan memang jelas bahawa itu
pilihan beliau.”
Hal ini sangat berbeza daripada penjelmaan awam bekas
Presiden Barack Obama dan hubungan isterinya, Michelle yang orang ramai selalu
melihat pasangan ini berpelukan dan bercium.
“Berpegangan tangan dapat berkomunikasi begitu banyak
tentang individu dan pasangan, bergantung pada kedudukan tangan, siapa yang
pegang dahulu, siapa yang melepaskannya dahulu,” jelas Wood. “Sebelum menjadi
presiden, Trump menunjukkan lebih kemesraan atau afeksi kepada Melania di
hadapan orang ramai. Walau bagaimanapun,
kini, Trump tidak mahu dilihat sebagai unit, semuanya mahu lebih ‘alfa’.”
Bahasa Donald Trump ketika beliau menyampaikan ucapan
bersempena pelantikannya sebagai Presiden Amerika Syarikat turut dikaji. Menurut
Paul Breen, persembahan linguistik Trump ialah siri aneh petikan suara yang
beliau percaya menjadi puisi, falsafah, dan patriotisme tanpa prejudis. Beliau menyampaikan
janji terburu-buru dan bukannya penyelesaian praktik. Breen yang menulis dalam akhbar The
Independent, “As
a Linguist, I Can Tell You What Donald Trump’s First Words as American President
Really Reveal about Him,” mengemukakan contoh
utama cara anggapan hebat Trump tentang “membasmi pengganas Islam” adalah
betul-betul dalam nafas yang hampir sama
dengan kenyataan menarik keluar Amerika daripada peranan sebagai polis dunia,
keselamatan dalam sempadan negara sendiri. Beliau berucap tentang pembasmian
kemiskinan ketika membincangkan hasratnya untuk menamatkan program untuk
golongan miskin Amerika, insurans penjagaan kesihatan Obama (Obamacare health
insurance).
Tegas
Breen, apa yang ucapan ini beritahu adalah bahawa Trump tidak dapat menjadikan kabisat
imaginasi atau emosi melampaui sempadan sejarah peribadinya sendiri – dan
beliau bahkan tidak melihat apa-apa keperluan untuk berbuat demikian, kerana
beliau memperlihatkan dirinya kepada
para penyokongnya sebagai jelmaan impian Amerika. Beliau secara
berhati-hati menggunakan perkataan yang orang ramai mahu dengar: Tuhan,
pekerjaan, kemenangan, dan dunia yang Amerika diutamakan, keselamatan dalam
sempadan negara sendiri.
Dalam
kalangan penterjemah Perancis, Trump dikatakan menyampaikan ucapan mengelirukan
mereka. Mereka menghadapi kesukaran untuk menterjemahkan ucapan beliau ke dalam
bahasa Molière. Penterjemah Bérengère Viennot dipetik sebagai berkata
bahawa beliau percaya Presiden Amerika yang baharu itu sukar
diterjemahkan kerana “Trump seakan-akan tidak tahu ke manakah beliau pergi.” Viennot
memberitahu langkah pertama untuk penterjemah adalah untuk mampu “masuk ke
dalam minda seseorang, tetapi langkah ini tidak selalunya mudah untuk memahami
isi yang Trump cuba ketengahkan. Tambah Viennot, “Perbendaharaan kata Trump
terhad, sintaks beliau pecah; beliau mengulangi ungkapan yang sama
berkali-kali, memaksa penterjemah mengikuti langkah beliau. Seakan-akannya
beliau mempunyai kekaburan tema dalam kepalanya.”
Hal
ini mewujudkan kesukaran bagi orang Perancis, yang bahasa mereka secara am,
lebih berstruktur dan logik, dan para penterjemah berhadapan dengan dilema,
sama ada mengutamakan makna berbanding
dengan gaya.
Bahkan,
untuk penutur bahasa Inggeris, Trump bukan selalunya orang yang mudah difahami. Ketika debat pertama
presiden, beliau menggunakan “bigly” dunia, yang menyebabkan banyak orang berfikir
apakah perkataan baharu bermaksud untuk makna “big league,” atau sesuatu yang
lain. Pada suatu ketika yang lain,
beliau kedengaran berkata, “swatches of land,” apabila beliau benar-benar beliau
bermaksud “swathes of land.”
Pada Mac
2016, Justin Wm. Moyer “Trump’s Grammar in
Speeches ‘Just Below 6th Grade Level,’ Study Finds,” memetik kajian yang mendapati perbendaharaan
kata Trump dalam ucapannya memang teruk, walaupun pendebat yang hebat tidak
semestinya diperlukan untuk Rumah Putih.
George Washington dan George W. Bush adalah hanya dua orang daripada
banyak presiden yang dianggap pengucap awam yang lemah – dan banyak panglima
besar dalam dua abad antara mereka yang tidak semestinya berlidah emas. Moyer
yang menulis dalam The Washington Post,
memetik “A Readability Analysis of Campaign Speeches from the 2016
Presidential Campaign,” yang dikeluarkan pada minggu itu oleh Carnegie Mellon
University. Kajian
itu menganalisis ucapan pancang (stump speeches) untuk mengukur “kebolehbacaan” – tahap pembacaan ucapan,
ditarafkan daripada gred pertama kepada gred ke-12. Menurut ringkasan daripada universiti itu,
kajian mendapati “kebanyakan calon menggunakan perkataan dan tatabahasa tipikal
pelajar gred keenam hingga gred kelapan, meskipun Donald Trump cenderung
terkebelakang daripada calon lain.”
Menurut
dua penyelidik berkenaan, iaitu Maxine Eskenazi dan Elliot Schumacher yang
dipetik oleh Moyer, kajian itu berdasarkan pemerhatian yang beberapa perkataan
(dan struktur tatabahasa) muncul dengan kekerapan yang lebih kerap pada tahap
satu gred berbanding dengan gred lain. “Misalnya, kita akan menjangkakan bahawa
kita dapat melihat perkataan ‘menang’ kerap kali secara wajar dalam dokumen gred ketiga, manakala perkataan
‘berjaya’ lebih kerap, seperti dalam dokumen gred ketujuh. Kita tidak melihat klausa bergantung sangat
kerap pada tahap gred kedua, sedangkan klausa itu agak kerap pada gred
ketujuh.”
Pangkalan
data dipungut mengandungi dokumen daripada setiap (ketika itu) lima orang calon
presiden, iaitu Ted Cruz (5), Hillary Clinton (7), Marxo Rubio (6), Bernie
Sanders (6), Donald Trum (8), menurut
kajian itu. “Dokumen itu
dijulatkan daripada ucapan perisytiharan calon kepada ucapan jejak
kempen kepada ucapan kemenangan kepada ucapan kekalahan.” Untuk tujuan perbandingan
sejarah, kajian itu juga menganalisis kebolehbacaan Lincoln’s Gettysburg
Address,
dan ucapan daripada Barack Obama, George W. Bush, Bill Clinton, dan Ronald
Reagan.
Hasil
kajian menunjukkan bahawa tahap wacana politik merosot – sebahagian kerana
Trump. “Ucapan presiden yang lalu ketika berkempen dan Gettysburg Address adalah
sekurang-kurangnya pada tahap gred kelapan.
Ucapan calon kebanyakannya adalah daripada tahap gred ketujuh untuk
Donald Trump kepada tahap gred ke-10 untuk Bernie Sanders.”
Para
penyelidik juga cuba mengukur “darjah yang calon mengubah pilihan perkataan
mereka daripada satu ucapan kepada satu ucapan lain.” Keputusannya kelihatan mengesahkan tanggapan
Hillary Clinton sebagai kameleon.
“Perubahan
boleh mencerminkan usaha untuk mengambil kira khalayak atau keadaan yang
berbeza (misalnya, ucapan kemenangan atau ucapan konsesi di sesebuah negeri).
Kita dapat melihat bahawa Hillary Clinton mempunyai lencongan standard yang
sangat tinggi dan demikian juga perubahan yang sangat besar dari segi pilihan
perkataan daripada satu ucapan kepada satu ucapan yang lain, manakala Ted Cruz
kurang berbeza dari segi pilihan perkataan.”
Kajian
seterusnya adalah dari segi tatabahasa ahli politik, yang mendapati bahawa
George W. Bush mempunyai tahap paling rendah dan Abraham Lincoln yang paling
tinggi. “Dalam kalangan calon, tahap antara gred keenam dengan gred ketujuh,
kecuali untuk Donald Trump (gred 5.7).”
Ringkasan
kajian itu menunjukkan “dari segi tatabahasa, tidak seorang presiden atau calon
presiden pun dapat dibandingkan dengan Lincoln’s Gettysburg Address – diakui
standard tinggi, dengan tatabahasa jauh mengatasi tahap gred ke-10. “Calon semasa pada amnya memperoleh antara
gred keenam dengan ketujuh, dengan Trump hanya di bawah tahap gred keenam. Presiden memperoleh tahap gred kelima.”
Pada
akhir Januari lalu, Perdana Menteri British Theresa May mengunjungi Presiden
Donald Trump – beliau merupakan pemimpin dunia yang pertama Presiden Amerika
Syarikat yang baharu itu. Pejabat Akhbar
Rumah Putih dalam siaran akhbarnya didapati tiga kali tersilap eja nama Theresa
May, yang dieja Teresa May, yang kebetulan nama bekas model glamor dan pelakon
filem lucah, termasuk Whitehouse:
The Sex Video and Leather Lust.
Sementara
itu, Dana Milbank, kolumnis The Washington Post, melalui “Shoker! Rediculous Chocker
Trump Attaks and Dishoners English with Ever-dummer Spellings” pada 7 Februari,
sengaja melakukan kesilapan ejaan dalam tajuk makalahnya untuk menyindir Trump
dan pentadbirannya yang gemar melakukan kesilapan ejaan. Hujah Milbank, Rumah Putih Trump pada Isnin malam,
cuba menunjukkan bahawa media mengabaikan keganasan, mengeluarkan “list of 78
‘underreported’ attacks.” Senarai itu
tidak menunjukkan apa-apa yang baharu tentang serangan pengganas, tetapi
mendedahkan serangan yang kurang dilaporkan sebelum ini oleh pentadbiran Trump
tentang konvensyen bahasa Inggeris penulisan. Milbank dapat mengesan memo Rumah Putih dalam
senarai 78 serangan “yang tidak dilaporkan melakukan 27 kali kesilapan ejaan,
iaitu “attacker” atau “attackers” dieja “attaker” atau “attakers.” San
Bernardino hilang “r” kedua. “Denmark” menjadi “Denmakr.” Tulis Milbank,
“Trump, pembantunya, dan penyokong setianya terkial-kial dengan ejaan.”
Milbank
membangkitkan tulisan Trump dalam Twitter pada pagi selepas beliau dilantik
sebagai Presiden Amerika Syarikat, “I am honered to serve you, the great
American People, as your 45th President of the United States!”
Kesilapan
ini dilakukan oleh presiden sebuah negara yang dianggap “hegemoni bahasa
Inggeris,” dan oleh pentadbirannya. Bayangkanlah sekiranya kesilapan seperti ini dilakukan oleh pemimpin atau
agensi kerajaan di Malaysia, pastinya sebuah akhbar bahasa Inggeris “tidak sempat
bermalam” untuk melaporkannya dengan motif untuk menunjukkan kelemahan penggunaan
bahasa Inggeris: “Manglish.”