Artikel Popular

Wednesday, September 16, 2015

Malaysia Tanah Airku

RABU, 16 September 2015
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Apabila Rafidah Aziz dipetik sebagai berkata, “Tanah Melayu tidak wujud lagi. Kini, Malaysia” dan sempena Hari Malaysia, beberapa hari lalu saya membaca semula tulisan Abdul Rahman Haji Ismail dalam buku, Malaysia:  Sejarah Kenegaraan dan Politik (Dewan Bahasa dan Pustaka).  Beliau  menegaskan bahawa “walaupun secara rasminya, Malaysia ialah suatu nama yang baharu, dari segi makna nama ini tidak menyimpang jauh daripada perkembangan sejarah di rantau ini. Nama itu ganjil bagi semua orang, penduduk tempatan, dan orang luar, tetapi tepat  membayangkan wataknya yang tersendiri  dan istimewa.” Hujah Abdul Rahman, “Malaysia” di sebalik bunyinya yang agak ganjil masih berlandaskan peribadinya yang paling asas dan dominan, yakni “Melayu,” biar apa-apa pun pengertian sebenar perkataan itu. “Nama ini ialah gabungan antara unsur lama dengan baharu, suatu petunjuk kedinamikan yang membolehkannya terus hidup berkembang sesuai dengan perubahan dan cabaran yang mendatang.”
            Abdul Rahman memetik A.L. Kroeber, dalam bukunya, Anthropology (1923), menggunakan istilah “Malaysia” untuk merujuk Semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan Asia Tenggara yang penghuni ibundanya yang mempunyai ciri-ciri fizikal dan budaya Malayo-Polinesia yang membentuk watak rantau ini. Untuk tujuan rasmi, menurut Abdul Rahman, istilah “Malaysia” hanya mula muncul pada tahun 1931, iaitu dalam laporan banci penduduk pada tahun itu.
            Sebagai nama bagi sebuah wilayah, jelas Abdul Rahman lagi, “Malaysia” menjadi lebih terkenal, terutamanya dalam dunia akademik apabila seorang profesor Universiti Harvard, Rupert Emerson, menerbitkan bukunya, Malaysia: A Study ini Direct and Indirect Rule di New York pada tahun 1937. 

            Para penggiat politik “Melayu Raya,” seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy dan Ibrahim Haji Yaacob, menurut Abdul Rahman, ada menggunakan nama “Malaysia” dalam tulisan mereka sejak tahun 1940-an.   

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...