Artikel Popular

Saturday, November 22, 2014

Penemuan Baharu dalam Pembelajaran Bahasa

SABTU,  22  November 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Di  Malaysia, sebarang usaha untuk mempertingkat penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar selalunya  melalui dasar.  Maka, pada tahun 2003, kerajaan memperkenalkan Pengajaran dan Pembelanjaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris  (PPSMI).  Dolak-dalih Kementerian Pelajaran ketika itu untuk memansuhkan dasar itu disambut oleh protes jalanan pada tahun 2009, suatu tindakan yang  mengejutkan kerajaan.
            Kira-kira satu dekad pelaksanaan, nyata dasar tersebut merupakan langkah langkah mundur dalam sistem pendidikan negara: yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran.  Walaupun beberapa tahun lalu kerajaan mengumumkan PPSMI dimansuhkan dengan “pendaratan lembut,”  desakan supaya dasar ini dikekalkan masih kedengaran di sana sini.   Antara alasan yang diketengahkan golongan pendesak ini ialah bahawa kita hidup pada zaman Internet yang menandakan bahawa warga global perlu menguasai bahasa Inggeris, dan Malaysia tidak terkecuali.  Mereka lupa bahawa Internet  dan media sosial sebenarnya memudahkan orang untuk belajar dan seterusnya menguasai bahasa asing tanpa perlu kerajaan memperkenalkan dasar atau program baharu.
            Di negara asing, pelajar muda sering membuka televisyen Amerika untuk menambahbaikkan kemahiran bahasa Inggeris mereka. Sementara itu,  sekolah bahasa CAN di Liberdade, Brazil,  menemui cara yang tidak dijangkakan untuk remaja Brazil  belajar bahasa.  Seperti yang dilaporkan pada Mei tahun ini, menerusi program yang disebut “Pertukaran Pertuturan,”  CAN dan agensi FCB Brazil menghubungkan remaja menerusi sembang Web dengan orang Amerika yang tua di Komuniti Persaraan Windsor Park, Chicago.  Pelajar merakamkan perbualan mereka dengan orang tua itu, supayaa guru dapat menilai kemajuan mereka. 
            Remaja Brazil mahu belajar bagaimana  bertutur dalam bahasa Inggeris, manakala orang tua Amerika mahukan teman untuk berbual. “Apa yang pelajar kami benar-benar mahukan adalah untuk bertutur dalam bahasa Inggeris dengan fasih,” kata Vanessa Valenca, penyelaras program, yang tahu bahawa banyak pelajar tidak mampu menanggung kos untuk pergi ke Amerika Syarikat untuk belajar bahasa Inggeris.
            Daya usaha remaja Brazil itu boleh diibaratkan, “di mana ada kemahuan di situ ada jalan.” Program yang dilaksanakan di negara itu pastinya menjimatkan kos kerana   remaja berkenaan  tidak perlu ke Amerika Syarikat, atau  “pakar” bahasa tidak perlu dibawa ke Brazil.       
            Sememangnya  mudah untuk mempelajari bahasa asing, seperti yang dilaporkan dalam akhbar The Independent akhir Jun, “anda dapat belajar bahasa asing ketika anda tidur,” yang memetik ahli psikologi Switzerland.   Penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal Cerebral Cortex oleh  Swiss National Science Foundation, mengatakan bahawa mendengar perbendaharaan kata asing yang baharu dipelajari ketika tidur dapat membantu memantapkan memori perkataan itu.  Dalam kajian yang diketuai oleh ahli biopsikologi, Bjorn Rasch, 60 puluh orang pelajar yang bertutur dalam bahasa Jerman yang diminta belajar beberapa perkataan Belanda yang mereka tidak pernah lihat sebelum jam 10.00 malam.  Separuh pelajar daripada kumpulan kemudian dibenarkan pergi tidur, dengan perkataan dimainkan balik untuk mereka, manakala separuh lagi dibiarkan berjaga untuk mendengar perkataan itu.
            Kumpulan pertama kemudian bangun daripada tidur jam 2.00  pagi dan kesemua 60 orang pelajar diuji tentang perkataan baru.  Ahli sains mendapati bahawa pelajar yang mendengar perkataan Belanda ketika tidur jauh lebih baik dalam mengingat perkataan baru.  Kajian itu juga mempertimbangkan hakikat bahawa kumpulan yang dibiarkan berjaga itu berprestasi teruk kerana mereka dinafikan untuk tidur, menggunakan pengukuran EEG  pelajar yang tidur untuk menunjukkan aktiviti yang meningkat dalam lobus parietal, iaitu bahagian penting otak dalam memproses bahasa.
            Kajian ini memperkukuhkan lagi kajian sebelum ini bahawa manusia dapat mempelajari maklumat baharu ketika tidur. Kajian yang diterbitkan dalam Nature Neuroscience yang menunjukkan ketika tidur, manusia dapat memperkukuh memori yang diperoleh sebelum ini, tetapi sama ada mereka dapat memperoleh maklumat baru keseluruhan masih tidak diketahui.
            Wujud beberapa penemuan  yang dapat membantu seseorang mempelajari bahasa asing.  Selain teknologi, seperti yang dimanfaatkan oleh remaja Brazil dan teknik mudah, iaitu sewaktu tidur,  penemuan terbaru  menunjukkan betapa mudahnya mempelajari bahasa,  seperti telan  pil. Pada masa akan datang, menurut Nicholas Negroponte:  “Kita banyak melakukan penggunaan maklumat seluruh mata kita. Cara itu mungkin saluran yang sangat tidak cekap. Ramalan saya adalah bahawa kita akan makan maklumat.  Anda akan telan pil dan tahu bahasa Inggeris.  Anda akan telan pil dan tahu Shakespeare.”  Pengasas MIT Media Lab itu berkata bahawa manusia mampu mempelajari seluruh bahasa dengan makan pil.
            Negroponte yang dipetik oleh antaranya oleh The Huffington Post dan The Daily Mail awal Julai, berkata bahawa pil yang beliau bayangkan akan mengikuti aliran darah ke otak, tempat pil itu akan menyimpan cebisan maklumat di tempat yang betul.
            Beberapa tahun lalu para penyelidik di Microsoft membina program yang menggunakan perisian  pengenalan pertuturan untuk menterjemahkan apakah yang seseorang itu katakan ke dalam bahas lain menggunakan versi yang diubah suai suara individu itu sendiri.  Menurut Technology Review,  perisian itu dapat menterjemahkan mana-mana kombinasi 26 bahasa yang berbeza. 
            Selain itu,  dengan menggunakan  Pimsleur Approach, seseorang dapat  mempelajari bahasa baharu hanya dalam masa 10 hari.   Pimsleur Approach  membantu seseorang mempelajari bahasa baharu dengan cepat, bahkan FBI dan Agensi Keselamatan Negara Amerika Syarikat membeli program  yang diperkenalkan oleh Dr. Pimsleur, pakar dalam bidang linguistik terapan. Beliau mengenal pasti menerusi penyelidikan yang meluas bahawa komunikasi berkesan dalam mana-mana bahasa bergantung pada penguasaan bilangan terhad perkataan secara relatif dan bukannya mencuba mempelajari banyak perkataan pada peringkat permulaan.
            Walau bagaimanapun, penilaian  terhadap   Pimsleur Approach mendapati program ini  membosankan, tetapi berkesan.  Walau membosankan, seseorang akan selalu belajar sesuatu. Program yang terpantas yang dapat diperoleh untuk kebanyakan bahasa popular. Alasan yang paling penting program bahasa Pimsleur berkesan adalah bahawa Pimsleur menggunakan sesuatu yang disebut “pengulangan terjarak”  (spaced repetition).  Selain itu, Pilmsleur dikatakan selalu membuat dakwaan pemasaran yang memang tidak realistik, seperti yang dapat pada iklannya, “Belajar Bahasa Sepanyol dalam Sepuluh Hari.”  Memang seseorang dapat belajar banyak bahasa Sepanyol dalam masa sepuluh hari, tetapi tidak ada orang akan berkata dengan serius bahawa orang itu bertutur dalam bahasa Sepanyol selepas sepuluh hari belajar dengan Pimsleur.

            Tidak dinafikan bahawa teknologi dan penemuan terbaru banyak memberikan manfaat kepada manusia,  tetapi bergantung pada manusia untuk memanfaatkannya, misalnya dari segi mempelajari dan seterusnya menguasai bahasa asing. Namun begitu, yang sering berlaku, perubahan budaya tidak bergerak seiringan dengan perubahan teknologi yang  begitu pesat. 
           (Nota:   Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Pelita Bahasa, September 2014.)

Monday, November 17, 2014

Serbuan Bahasa

ISNIN, 17  November 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



“Pencemaran bahasa,” “kerancuan bahasa,” “bahasa rojak,” bagaikan wabak yang melanda bahasa Melayu, yang seakan-akan sukar dibendung.  Daripada papan iklan kepada dialog dalam drama televisyen, sebenarnya  apa-apa yang berlaku amat  menjijikan. 
            Selain itu, bahasa Melayu dan beberapa bahasa lain di dunia menjadi “mangsa serbuan,” yang paling ketara oleh bahasa Inggeris.   Serbuan atau dalam bahasa Inggeris disebut incursion  berlaku dalam beberapa cara, terutamanya melalui Internet, yang memperlihatkan hegemoni bahasa Inggeris ke seluruh pelosok dunia.  Baru-baru ini, Dewan Bahasa dan Pustaka memaklumkan bahawa “selfie,”  “hashtag,” dan “tweet” akan dimuatkan ke dalam Kamus Dewan yang untuk “sementara waktu” terpaksa diambil bulat-bulat daripada bahasa Inggeris.  Kepesatan bahasa Inggeris, baik melalui Internet mahupun edisi bercetak, menyukarkan bahasa Melayu (beberapa bahasa lain) untuk bergerak seiringan. 
            Di sini, dikemukakan contoh beberapa istilah yang  diperkenalkan  dalam  krisis kewangan Asia 1997-1998 dan digunakan semula secara meluas sejak  krisis kewangan global 2008-2009, iaitu bail-out, yang hingga kini, belum ada padanannya dalam bahasa Melayu.  Sejak tahun lalu, Rizab Persekutuan Amerika Syarikat menggunakan perkataan tapering,  tetapi belum lagi diterjemahkan  dalam bahasa Melayu.  Ketika berlakunya pemberontakan di dunia Arab beberapa tahun lalu, perkataan Arab Spring amat popular, tetapi bagi pengguna dalam bahasa Melayu, mereka menghadapi kesukaran untuk mencari perkataan yang sesuai dalam bahasa ini, mungkin Pemberontakan Arab, atau mungkin Musim Bunga Arab.
            Serbuan bahasa juga  berlaku apabila terjemahan daripada bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu, tetapi singkatannya masih dikekalkan dalam bahasa asal, misalnya IMF untuk Tabung Kewangan Antarabangsa, ILO untuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa, WTO untuk Organisasi Perdagangan Sedunia, MBA untuk sarjana pentadbiran perniagaan, IT untuk teknologi maklumat, TPP untuk Perkongsian Rentas Pasifik, dan banyak lagi. 
            Kebanjiran bahasa Inggeris turut  berlaku di China, tetapi tidak seperti di Malaysia, banyak pihak memandang serius gejala ini,  bahkan  ada usaha untuk membendung serbuan bahasa Inggeris ini.  Walaupun bukan suatu usaha yang mudah, komitmen memang tinggi, dan tidak seperti di Malaysia, mereka tidak membiarkan serbuan berlaku seadanya. 
Makalah dalam Dewan Bahasa  dalam salah satu  keluaran pada tahun 2011, pernah memberikan liputan tentang usaha kerajaan China untuk  melindungi bahasa Cina.  China tidak mudah tunduk pada kuasa asing dan  kerajaan memperlihatkan ketegasan terhadap penggunaan  bahasa Inggeris.  Akhbar, buku, dan laman web Cina tidak   dibenarkan menggunakan perkataan dan ungkapan Inggeris. The General Administration of Press and Publication (GAPP) mengumumkan bahawa “ketulenan” bahasa Cina dalam bahaya.  Badan penerbitan negara itu memaklumkan peraturan baru itu berkata, penggunaan perkataan dan singkatan Inggeris yang semakin meningkat dalam teks Cina menimbulkan kekeliruan dan bermakna “menyalahgunakan bahasa.”  Amalan sedemikian, tegas GAPP, “membawa kerosakan yang teruk terhadap kebakuan dan ketulenan bahasa China dan mengancam keharmonian dan kesegaran persekitaran bahasa dan budaya, menimbulkan impak sosial yang negatif.” 
 “China Central Television dan  Beijing Television dilaporkan memberitahu China Daily bahawa stesen televisyen berkenaan menerima pemberitahuan daripada kerajaan supaya mengelakkan singkatan Inggeris tertentu dalam program China.  Akan tetapi, singkatan Inggeris masih lazim kedengaran dalam berita tetap dan siaran sukan,” catat  makalah  tersebut.  China Central Television pernah mencetuskan tindak balas yang hebat apabila stesen televisyen itu mengubah “NBA” yang kerap digunakan kepada meizhilan, singkatan untuk "American Professional Basketball" dalam bahasa Cina.
Pihak berkuasa di China dan orang Cina masih menunjukkan komitmen yang tinggi untuk “memerangi” “perang”  bahasa  Inggeris dan mereka tidak membenarkan bahasa itu menceroboh kedaulatan mereka dengan sewenang-wenangnya.  Alasan bahawa  bahasa Inggeris ialah lingua franca   dalam bidang perniagaan, sains, dan teknologi, dengan perbendaharaan lebih satu juta perkataan, bukan bermakna mereka terpaksa menyerah kalah, tunduk pada hegomoni bahasa Inggeris
 Beberapa bulan lalu,  “PM2.5” merupakan buzzword dalam kalangan penduduk China yang bimbang akan kualiti udara.  Namun begitu,  sebilangan orang mahu menggantikan istilah itu, yang menjelaskan pencemaran yang berkaitan dengan zarah, yang mengelirukan orang Cina yang ingin melindungi  ketulenan bahasa Cina.  Lebih tiga dekad pembaharuan dan pembukaan China, bilangan perkataan  yang dipinjamkan meningkat diserapkan ke dalam penggunaan harian, daripada Wi-Fi kepada GDP,  NBA, dan VIP.  Penggunaan perkataan asing yang semakin meningkat mencetuskan debat hangat tentang ketulenan  bahasa Cina.
            “Perbincangan atas daya usaha editorial minggu lalu dalam People’s Daily, akhbar kemegahan  Parti Komunis China, yang mengkritik kebanjiran bahasa yang diimport kerana merosakkan ketulenan dan kesuburan bahasa Cina,” lapor China Daily dalam keluaran 7 Mei, sambil memetik Du Chuijian, pakar Confucianisme di Capital Normal University, Beijing, “fenomena mencampuradukkan perkataan Inggeris dengan bahasa Cina, meskipun kelihatan berpunca daripada kemalasan, hakikatnya mencerminkan kurangnya keyakinan dalam budaya.”
            Walau bagaimanapun, bantahan terhadap bahasa asing mencetuskan keberangan dalam kalangan orang awam, yang berkata bahawa  singkatan akronim bahasa Inggeris membantu meningkatkan kecekapan dalam komunikasi harian. Sebagai respons terhadap kebimbangan tentang serbuan bahasa asing, lapor China Daily lagi,  mungkin sesuatu yang wajar dipelajari oleh pencinta bahasa Melayu, pengguna dalam talian mewujudkan buku panduan bagaimana mengekalkan ketulenan bahasa Cina.  Buku panduan ini disebar secara meluas melalui Sina Weibo, perkhidmatan mikroblog yang paling popular di China.
            Sesetengah pihak mengalu-alukan fenomena ini sebagai tanda kosmopolitanisme dan bukannya mengganggap bahasa asing sebagai ancaman.  “Memasukkan perkataan asing bukan sahaja memperkaya bahasa Cina, tetapi juga memudahkan orang Cina berhubung dengan dunia luar,” kata komentar dalam Xinhua Daily Telegraph.  “Melindungi ketulenan bahasa dengan mentaliti xenophobia sebenarnya jenis  nasionalisme linguistik.”
            Dua tahun lalu, sesetengah ahli bahasa mengemukakan petisyen untuk mengeluarkan  perkataan Inggeris daripada  kamus Cina yang autoritatif dan sebaliknya memasukkan perkataan Cina yang sepadan dalam kamus itu. Walaupun diperhatikan bahawa sejak akhir-akhir ini  banyak perkataan asing memasuki bahasa Cina, sesetengah orang merujuk tambahan perkataan Cina ke dalam bahasa Inggeris sebagai bukti pertukaran bahasa.  Pada tahun 2013, ungkapan panas Cina, "no zuo no die",  yang bermakna "if you don't do stupid things, they won't come back to bite you" (“jika anda tidak melakukan perkara bodoh, maka perkara bodoh itu tidak datang semula menggigit anda”)  dimasukkan ke dalam Urban Dictionary, kamus dalam talian.
            Dalam makalah Dewan Bahasa  yang dipetik di atas, dikatakan  lebih 1000 perkataan asal Cina, boleh didapati dalam Oxford English Dictionary, dan sejak pertengahan 1990-an, penerimaan perkataan dan ungkapan  bahasa Cina dalam bahasa Inggeris semakin meningkat.   Bahasa Kantonis dan Hokkien merupakan penyumbang utama  perkataan Cina.  Perkataan Cina diterima pakai dalam bahasa Inggeris biasanya terjemahan harfiah yang digunakan apabila media berbahasa Inggeris membincangkan konsep dan fenomena yang berkait khusus dengan Cina. 
            Walau bagaimanapun, dikatakan  wujud “pertukaran tidak seimbang” antara pengambilan dan penggunaan bahasa Cina dengan bahasa Inggeris. Seperti yang dilaporkan dalam China Daily yang dipetik sebelum ini, sesetengah pakar mengatakan bahawa bahasa Cina tidak berpengaruh seperti bahasa Inggeris.  Mereka menggesa supaya kerajaan merumuskan garis panduan yang lebih spesifik tentang penggunaan perkataan yang dipinjamkan. Akhbar itu  memetik Gao Jian, profesor dari Shanghai International Studies University, yang menegaskan meskipun orang awam boleh memilih apakah yang mereka suka untuk kegunaan harian, kerajaan masih mempunyai obligasi untuk mengawal selia penggunaan berlebih-lebihan perkataan Inggeris yang dipinjamkan dalam bahasa rasmi. “Bahasa ialah manifestasi yang sangat penting dari segi jati diri budaya dan kita sepatutnya melindungi bahasa daripada hilang daya tarikan.”
            Yang menarik, usaha untuk membendung serbuan bahasa Inggeris itu mendapat perhatian antarabangsa, seperti yang dapat dilihat melalui  tulisan Amy Qin dalam akhbar The New York Times pada akhir April lalu.  “Hanya sebilangan bahasa utama yang merasakan kesan globalisasi dan pemodenan lebih peka atau sensitif berbanding dengan Mandarin,” tulis Amy.  “Penggunaan peranti papan kekunci yang semakin meningkat misalnya, menyebabkan banyak orang Cina lupa bagaimana menulis abjad dengan tangan, sehingga kepada takat  bahawa bahkan ada pertunjukan televisyen popular yang para peserta bersaing untuk menulis abjad yang rumit daripada memori.”  Kesan lain kemaraan China dalam integrasi global, hujah beliau, ialah kurang keunikan untuk Cina, iaitu penggabungan perkataan asing.  “Meskipun penyerapan perkataan tersebut kerap kali dilihat sebagai tanda positif kosmopolitanisme masyarakat, reaksi di China, sekurang-kurangnya menurut media negara, segalanya tidak positif,” tulis Amy yang juga merujuk editorial  People’s Daily yang menggasak kebanjiran perkataan asing, dengan mendakwa perkataan itu “merosakkan ketulenan dan kesuburan” bahasa Cina.
            Selain China, Perancis juga mengambil  pendirian yang tegas terhadap penggunaan bahasa asing.  Negara itu  mempunyai undang-undang yang menyatakan bahawa jika tanda awam (public signage) diterjemahkan ke dalam bahasa lain, mesti diterjemahkan sekurang-kurangnya ke dalam dua bahasa lain lagi.  Langkah ini dengan mudah   menyekat bahasa Inggeris daripada menguasai tanda awam di negara itu. 
            Sementara itu,  di  Quebec  – satu-satunya wilayah di Kanada, yang sejumlah besar penduduknya menggunakan bahasa Perancis,   daripada menu makanan kepada nama syarikat, pihak berkuasa memastikan  tidak berbau bahasa lain, seperti bahasa Itali dan bahasa Inggeris.  Seekor  burung kakak tua yang bertutur dalam bahasa Inggeris di Montreal Biodome, Quebec, dihantar pulang ke Toronto. Menurut cerita, wakil Office québecoise de la langue française (OQLF), badan yang dipertanggungjawabkan memastikan keagungan bahasa Perancis di Quebec mengadakan lawatan mengejut ke zoo tempat kakak tua  tinggal, dan burung malang itu bertutur dalam bahasa Inggeris. Kisah  itu yang diterbitkan dalam majalah Beaverton, menjadi olok-olokan, tetapi mencerminkan sikap tidak tolak ansur Quebec terhadap bahasa rasmi wilayah itu memang sentiasa benar.  Pihak berkuasa wilayah itu pernah menolak permohonan seorang ahli perniagaan untuk menyenaraikan firmanya dengan pendaftar syarikat.  Alasannya, nama syarikat itu terlalu berbunyi bahasa Inggeris. 
            Bersempena  57 tahun Malaysia  merdeka, sepatutnya bahasa Melayu terus berkembang maju sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan, kalaupun tidak mahu disebut peranan bahasa ini dalam pembentukan negara bangsa dan pembinaan bangsa.  Malangnya, impian murni ini belum menjadi kenyataan dan mungkin tidak akan menjadi kenyataan untuk selama-lamanya.  Serbuan kalaupun tidak mahu disebut pencabulan bahasa Inggeris berlaku dengan berleluasa, sewenang-wenangnya, tanpa wujud usaha untuk mencegahnya.  Slogan “bahasa jiwa bangsa” yang pernah menjadi kebanggaan, semakin luntur serinya.

            (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Bahasa, Ogos 2014.)

Wednesday, November 12, 2014

Siapakah Kita?

RABU, 12  November 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Beberapa  bulan lalu,  dilaporkan bahawa  pengenalan kaum dalam borang rasmi kerajaan  akan dimansuhkan.  Walau bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak  memaklumkan bahawa pengenalan itu kekal seadanya.  Berikutan campur tangan segera Perdana Menteri,  cadangan itu sekadar   “ribut dalam cawan,” dan berakhir di situ sahaja.
            Penulisan yang jelas datangnya daripada pemikiran yang jelas.  Demikian juga idea  yang jelas datangnya daripada minda  yang jelas.  Memang sesuatu yang mengejutkan apabila cadangan pemansuhan  pengenalan kaum dalam borang rasmi dibawa ke  peringkat Jemaah Menteri. Sepatutnya,  cadangan pemansuhan itu ditolak awal-awal lagi oleh menteri yang berkenaan.  Hal ini demikian kerana pengenalan kaum dalam borang itu bukannya satu masalah, bahkan bukannya simpton.  Langkah yang amat mudah itu tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah, dan sekali gus, bermakna tidak mampu meneruskan pembinaan bangsa yang terencat,  kalaupun tidak mahu disebut gagal. 
            Pemansuhan pengenalan kaum juga  tidak akan mewujudkan “komuniti yang dibayangkan,” suatu konsep  yang diperkenalkan oleh Benedict Anderson.  Menurut beliau,   untuk setiap warganegara mengetahui warganegara lain dan mengenali diri mereka dalam hubungan dengan warganegara lain hanya boleh muncul melalui jenis jati diri massa kolektif yang dibentuk dan diperkukuh menerusi imaginasi. 
            Komuniti yang dibayangkan, hujah Anderson adalah berbeza daripada komuniti sebenar kerana komuniti yang dibayangkan tidak (dan tidak boleh) berasaskan interaksi muka ke muka (face-to-face) setiap hari antara anggota komuniti berkenaan.  Sebaliknya, anggota tersebut menyimpan dalam minda mereka bayangan (imej mental) tentang kesamaan mereka, misalnya kenegaraan yang anda rasakan dengan anggota lain dalam bangsa (nation) anda apabila “komuniti yang dibayangkan” anda itu menyertai acara yang lebih besar, seperti Sukan Olimpik. 
            Bangsa, tegas beliau, “ialah dibayangkan kerana anggota, bahkan bangsa yang lebih kecil tidak pernah mengetahui kebanyakan anggota bangsa mereka, tidak pernah berjumpa dengan mereka, atau bahkan tidak pernah mendengar tentang mereka.  Namun begitu, dalam minda setiap anggota itu hidup imej perhubungan mereka.”
            Anderson dalam bukunya,  Imagined Communities: Reflections on the Origin and Spread of Nationalism, mentakrifkan  bangsa yang dibayangkan kedua-duanya,    iaitu sebagai memang terhad dan berdaulat. Beliau  menjelaskan, “dibayangkan kerana anggota, bahkan bangsa yang kecil  tidak akan pernah mengenali anggota  lain, berjumpa mereka, dan  bahkan tidak pernah mendengar tentang mereka, namun dalam minda setiap mereka hidup  imej  perhubungan   mereka.”  Semua komuniti, hujah beliau, lebih besar daripada kampung primordial kontak muka ke muka (dan mungkin bahkan ini) adalah dibayangkan.  Komuniti dapat dibezakan, bukannya oleh kepalsuan/ketulenan mereka, tetapi oleh gaya yang mereka dibayangkan.  Bangsa adalah dibayangkan terhad, bahkan sebesar mana pun  mereka merangkumi mungkin satu bilion orang,  mempunyai had, jika sempadan kenyal, yang di luarnya wujud bangsa lain.  Tidak ada  bangsa membayangkan diri mereka mempunyai sempadan  dengan umat manusia. Dibayangkan sebagai berdaulat kerana konsep ini lahir pada zaman ketika  Kesedaran dan Revolusi memusnahkan semua kerajaan dinasti.  Akhir sekali, dibayangkan sebagai komuniti kerana, tanpa menghiraukan ketidaksamaan sebenar dan ekspolitasi yang mungkin wujud, bangsa selalunya dianggap sebagai kesetiakawanan mengufuk, yang dalam, sehingga banyak orang rela mati demi imaginasi yang terhad itu.  (Huruf condong oleh beliau.) 
            Anderson menjelaskan budaya dan maksud budaya tentang komuniti dan bangsa sebagai ruang dibayangkan.  Justeru, nasionalisme dan jati diri nasional bukannya tidak dapat dielakkan atau kebenaran konkrit, tetapi sebaliknya imaginasi kolektif.  Beliau juga berhujah bahawa nasionalisme adalah dimaju dan dapat difahami, bukannya menerusi sistem kuasa politik, tetapi sebaliknya menerusi sistem budaya pengeluaran.  Budaya mewujudkan bangsa.
            Tahun ini genap 57 tahun Malaysia merdeka, namun di sebalik pelbagai kemajuan yang dicapai, komuniti yang dibayangkan belum lagi terbentuk atau tidak akan terbentuk selama-lamanya. Demikian juga jati diri nasional yang semakin jauh daripada jangkauan, bagaikan terletak “di hujung benua.” Mungkin sebilangan rakyat negara  ini masih ingat bahawa jati diri pernah dijadikan tema Hari Kemerdekaan atau Hari Kebangsaan pada pertengahan tahun 1990-an.  Namun begitu, seperti lazim, tema tinggal tema, slogan tinggal slogan.  Semuanya  lesap  sebaik-baik sahaja sambutan berakhir.  Tidak ada usaha untuk mentakrifkan dan menterjemahkannya ke dalam pelbagai dasar nasional yang digubal. 
            Hal ini merupakan “sisi gelap”  untuk sebuah negara bangsa, kerana Bapa Pengasas, berusaha gigih, melalui pelbagai dasar nasional yang merangkumi ekonomi, pendidikan, bahasa, dan budaya yang dilaksanakan,  terutamanya  pada tahun 1970-an.   Sememangnya, Bapa Pengasas menyediakan tapak yang kukuh untuk pembentukan  komuniti yang dibayangkan dan  jati diri nasional.  Malangnya, segala usaha murni mereka itu, rosak dan musnah sejak dua atau tiga dekad lalu, dengan bermacam-macam  dasar  yang “menyakitkan mata memandang,” dan bahkan, “menjijikkan.” 
            Kerosakan bahasa kebangsaan memang ketara sehingga menimbulkan keluh-kesah dalam kalangan “suara kesepian.” Bahasa ini terpinggir daripada apa yang ditafsirkan  oleh Benedict Anderson:  “Jelas bahawa walaupun hari ini  hampir semua bangsa yang ditanggapi moden dan juga semua negara bangsa, mempunyai ‘bahasa cetak kebangsaan,’ kebanyakan mereka mempunyai bahasa ini secara bersama, dan dalam lain-lain hanya pecahan kecil penduduk ‘menggunakan’ bahasa kebangsaan dalam perbualan atau atas kertas (on paper).”
            Bahasa  dan pada takat tertentu, budaya yang diharapkan dan dijangkakan memainkan peranan sebagai tonggak jati diri nasional, dalam keadaan haru-biru.  Bahasa kebangsaan yang pada “zaman keemasan” berkembang maju dalam bidang pendidikan dan pentadbiran terutamanya, kini,  mengalami zaman surut. Akibatnya, jati diri  nasional,    memetik Anderson,  “yang dibayangkan dan dibentuk”    semakin pudar. 
            Tidak banyak orang ingin membicarakan pentingnya jati diri nasional dalam konteks penggubalan dasar nasional demi pengukuhan negara bangsa dan pembinaan bangsa.  Pemimpin politik di kedua-dua belah pihak seberapa boleh cuba  mengelakkan diri mereka daripada polemik   yang pada pandangan mereka,  tidak membawa faedah politik berbanding dengan kelangsungan politik mereka. Mungkin mereka sedar bahawa   usaha mereka untuk  membawa jati diri nasional ke tengah pentas   boleh mencetuskan perang budaya. 
            Sejak merdeka, pelbagai rancangan pembangunan lima tahun diperkenalkan, daripada Rancangan Malaya Pertama kepada Rancangan Malaysia Kesepuluh, manakala Rancangan Malaysia Kesebelas, akan menyusur.  Sementara itu, pelbagai dasar tidak terhitung banyaknya.  Namun, usaha pembentukan  jati diri nasional boleh dikatakan tersisih sama sekali daripada segala dasar dan rancangan pembangunan.
            Memang disedari bukan mudah untuk membentuk jati diri nasional kerana rangka teorinya sahaja mengundang debat dan polemik yang berpanjangan. Namun begitu, halangan ini tidak boleh dijadikan alasan kerana setiap masalah itu, sama ada kecil ataupun besar, pasti ada jalan penyelesaiannya.  Pokok pangkalnya, keazaman, atau lebih tepat, keazaman politik. 
            Jati diri yang pada mulanya dikenali sebagai kelompok status, istilah yang  yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris daripada istilah Max Weber, Stande, yang diperoleh daripada sistem feudal. Weber memperluas istilah ini kepada maksud pengelompokan sosial dalam dunia moden yang bukan berasaskan kelas (kelompok etnik, kelompok agama, dan sebagainya).  Walau bagaimanapun, pada akhir abad ke-20, “jati diri”  mula digunakan, membawa makna lebih kurang, perkara yang sama, tetapi mungkin lebih menekankan ciri subjektifnya.
            Selain Benedict Anderson, ada sebilangan sarjana yang pemikiran mereka tentang jati diri nasional dijadikan rujukan, antaranya Eric Hobsbawm dan  Samuel Huntington,   di namun  di sini,  hanya pemikiran Anthony  D. Smith diketengahkan.  Jati diri nasional, menurut Smith dalam bukunya, National Identity, melibatkan beberapa maksud komuniti politik, sejarah, wilayah, patria, kewarganegeraan, nilai bersama, dan tradisi.  Beliau menegaskan bahawa “bangsa mesti mempunyai ukuran budaya bersama dan ideologi sivik, set kefahaman bersama dan aspirasi, sentimen dan idea, yang menyatukan penduduk bersama-sama di tanah air mereka.”  Selain itu, menurut beliau, agensi sosialisasi popular, terutamanya sistem pendidikan awam dan media massa diberikan tugas untuk menjayakan budaya massa awam bersama.  Smith menganggap jati diri nasional sebagai multidimensi dengan mengemukakan lima sifat asas: wilayah sejarah atau tanah air, mitos bersama dan memori sejarah, budaya awam massa bersama, hak undang-undang dan tugas bersama untuk semua anggota, dan ekonomi bersama dengan mobiliti wilayah untuk anggota.
            Walau bagaimanapun, takrif  jati diri yang diperkenalkan oleh Smith, yang kelihatan “unggul,” dipersoalkan oleh Montserrat Guibernau, yang cuba mengemukakan alternatif dengan memasukkan renungan bagaimana jati diri nasional dibentuk pada era global.  Guibernau dalam makalahnya yang diterbitkan dalam Nations and Nationalism keluaran tahun 2004, menegaskan bahawa jati diri nasional merupakan fenomena moden sifat cecair dan dinamik, dalam erti kata, komuniti berkongsi set ciri tertentu yang membawa kepada kepercayaan subjektif yang anggotanya berkait dari segi nenek moyang.  Kepercayaan dari segi perkongsian budaya, sejarah, tradisi, simbol, persanakan, bahasa, agama, wilayah, detik pengasas, dan takdir yang dirayu, dengan membezakan keamatan pada masa dan di tempat yang berbeza, oleh orang yang mendakwa mereka berkongsi jati diri nasional tertentu.
            “Secara amnya, jati diri nasional diterapkan untuk warga sesebuah negara bangsa,” tulis Guibernau. “Pada pandangan saya, jati diri nasional mempunyai lima dimensi: psikologi, budaya, wilayah, sejarah, dan politik.”  Walau bagaimanapun, beliau mengakui bahawa dalam kes lain, jati diri nasional dikongsi dalam kalangan individu yang menganggotai sesuatu bangsa tanpa negara mereka sendiri.
            “Memori sejarah tidak wujud lagi (the historical memory was no longer alive),” memetik pesanan  sejarawan    terkenal, Eric Hobsbawn, yang juga   benar-benar berlaku di Malaysia.  Perjalanan sejarah negara dari zaman prakolonial, kolonial, dan pascakolonial, boleh dikatakan terputus. Dari segi sejarah ekonomi misalnya, sebilangan orang  gemar berbicara tentang perkembangan kapitalisme dalam sektor perlombongan dan perladangan, yang menurut mereka, buruh Cina dan India memberikan sumbangan yang besar. Justeru, sumbangan kedua-dua kaum perlu diambil kira dalam penulisan sejarah dan “penyatuan nasional.”  Walau bagaimanapun, mereka lupa atau pura-pura lupa tentang sumbangan besar kaum peribumi dalam sistem ufti dunia sebelum sistem ini digantikan dengan sistem kapitalis yang diglobalisasikan. 
            Sementara itu, tonggak   pembentukan Malaysia ialah  kesinambungan kenegaraan (polity) Melayu, iaitu  Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, agama Islam, dan adat istiadat Melayu,  yang    diperkukuhkan pula dengan sistem politik moden, iaitu demokrasi berparlimen, kelihatan  semakin goyang dan diasak dari segenap penjuru:  demokrasi, liberalisasi,  kebebasan.
            Lebih parah lagi, sejak Pilihan Raya Umum 2008, Malaysia mula terjebak dalam apa yang dikatakan “bangsa yang berpecah-belah,” yang bagi sebilangan orang, amat membimbangkan.  Namun begitu, hal ini sebenarnya, pengorbanan yang perlu ditanggung atau harga yang perlu dibayar untuk demokrasi.  Di banyak negara, bahkan di Amerika Syarikat sendiri, hakikatnya, demokrasi membawa perpecahan dalam kalangan penduduk yang mempunyai fahaman politik yang berbeza.  Sementara itu,  ketidaksamaan yang melebar antara penduduk Malaysia, yang lazimnya dilihat dari sudut kaum, iaitu antara bumiputera dengan bukan bumiputera,  menambahkan lagi keparahan perpecahan.

       Dalam sorak-sorai   menyambut ulang tahun detik bersejarah ini, sewajarnya juga diajukan pertanyaan, “siapakah kita?”  Mungkin kita perlu akur bahawa kita sekadar “generasi yang hilang”  dalam perjalanan negara bangsa, dan kehilangan itu sukar ditebus kembali.
          (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Budaya, Ogos 2014.)
        

Tuesday, November 11, 2014

Manfaat Kesihatan Dwibahasa

SELASA,  11 November 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


“Jika kita bertutur dalam bahasa yang berbeza, kita akan menanggapi sesuatu yang berbeza tentang dunia.”  Demikian pesan ahli falsafah Austria, Ludwig Wittgenstein pada abad ke-18  tentang pentingnya dwibahasa, yang dianggap masih bernilai hingga sekarang. Dianggarkan kini  lebih separuh penduduk dunia adalah dwibahasa, bermakna kira-kira 3.5 bilion orang menggunakan lebih satu bahasa untuk berkomunikasi setiap hari.
            Gabriela Kruschewsky yang menulis dalam akhbar Internet, The Huffington Post pada awal Jun tahun ini, mengemukakan enam  manfaat dwibahasa, yang diringkaskan, seperti yang berikut:  Anda dapat memahami dan menghargai rujukan dan nuansa budaya; kedwibahasaan  dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan membantu anda memandu arah dunia; anda sedar dan menghargai perkara yang ada kalanya hilang dalam terjemahan; anda merasakan erti hubungan dengan warisan, sejarah, dan keluarga anda; interaksi anda dengan orang daripada budaya yang berbeza berlaku lebih mendalam; dan akhir sekali,  pernyataan kendiri anda secara teruja mengambil banyak bentuk.
            Penguasaan  sekurang-kurangnya dwibahasa  bukan sahaja dapat  membuka minda seseorang,  memudahkan seseorang berkomunikasi dalam kehidupan harian, dalam bidang diplomatik serta perniagaan,  dan penting dari segi pembangunan kerjaya seseorang,  tetapi juga dapat memperlahankan  keterhakisan memori seseorang.  Kira-kira tiga tahun lalu, Steve Connor  menulis dalam akhbar The Independent  bahawa bertutur bahasa kedua mungkin memperlahankan kadar  kemerosotan otak apabila umur kian meningkat, menunjukkan bahawa penutur dwibahasa adalah lebih terlindung daripada penyakit Alzheimer berbanding dengan orang yang menggunakan satu bahasa sahaja.  Connor merujuk beberapa kajian yang ketika itu  menunjukkan hubungan jelas antara menggunakan bahasa kedua dengan kemerosotan kognitif.
Beliau juga merujuk kajian   yang dikemukakan kepada American Association for the Advancement of Science di Washington, yang mendapati pesakit yang bertutur dwibahasa dengan kemungkinan menghadapi Alzheimer. Besar kemungkinan pesakit melengahkan simptom jika dibandingkan dengan penyakit yang ekabahasa.  Bahkan,  bertutur bahasa kedua menghasilkan kesan yang sangat kuat terhadap melengahkan bermulanya Alzheimer berbanding dengan mana-mana drug yang kini digunakan untuk mengawal penyakit ini.  Para penyelidik percaya kesan secara langsung ada hubungannya  dengan penggunaan bahasa kedua dan bukannya kesan sampingan perbezaan pekerjaan atau pendidikan antara penutur dwibahasa dengan orang yang ekabahasa.  Eksprimen menunjukkan hal ini ada kena mengena dengan usaha lebih mental yang dicurahkan untuk menggunakan bahasa kedua. 
Dalam makalahnya itu, Steve Connor memetik Judith Kroll,  Profesor Psikologi di Penn State University di Pennsylvania, yang berkata kajian terbaharu menunjukkan bahawa menjugel (juggling) dua atau lebih bahasa membantu melatih otak dan memastikan otak cergas pada usia yang lebih tua.  Pada dasarnya,  kedwibahasaan adalah baik untuk seseorang.  Orang dwibahasa terlibat dalam code switching, iaitu perundingan mental antara bahasa yang digunakan oleh mereka,  sebenarnya elok dari segi kesihatan.
Manfaat dwibahasa dari segi kesihatan terus dikaji dan terbukti bahawa pembelajaran bahasa kedua dapat memberikan kesan positif terhadap otak, bahkan jika seseorang itu mempelajarinya ketika dia dewasa.  Kajian yang dijalankan oleh para penyelidik dari University of Edinburgh, mendapati bahawa pembacaan, kefasihan lisan, dan kepintaran adalah meningkat atau bertambah baik.   Kajian yang  diterbitkan dalam jurnal Annals of Neurology, yang mendapat perhatian beberapa media pada awal Jun lalu, membangkitkan persoalan besar, sama ada pembelajaran bahasa baru menambahbaikkan fungsi kognitif ataupun sama ada individu yang mempunyai keupayaan kognitif yang lebih baik berkemungkinan besar menjadi dwibahasa.
Dr.  Thomas Bak, dari  Centre for Cognitive Ageing and Cognitive Epidemiology di universiti tersebut  memberitahu bahawa beliau menemui jawapannya.  Beliau dipetik sebagai berkata, “Berjuta-juta orang di seluruh dunia memperoleh bahasa kedua mereka kemudian. Kajian kami menunjukkan kedwibahasaan, bahkan apabila diperoleh ketika kedewasaan, boleh memanfaatkan otak yang meningkat tua.”
Menggunakan data daripada ujian kepintaran terhadap 262 individu yang dilahirkan di Edinburgh, yang berusia 11 tahun, kajian tersebut memerhatikan bagaimana keupayaan kognitif mereka berubah apabila mereka diuji sekali lagi ketika mereka berusia 70-an.  Kajian yang dijalankan antara tahun 2008 hingga 2010, mendapati bahawa semua peserta memberitahu mereka mampu berkomunikasi sekurang-kurangnya dalam satu bahasa selain bahasa Inggeris.  Daripada jumlah itu, 195 individu mempelajari bahasa kedua sebelum berusia 18 tahun, dan 65 individu mempelajarinya selepas usia itu.
Dapatan menunjukkan bahawa mereka yang bertutur dalam dua atau lebih bahasa mempunyai keupayaan kognitif yang lebih baik secara signifikan jika dibandingkan yang dijangkakan daripada ujian garis dasar (baseline) mereka.  Kesan yang sangat kuat ditemui dalam kepintaran umum dan pembacaan.  Kesan itu wujud dalam kalangan individu yang mempelajari bahasa kedua mereka ketika usia muda, dan ketika usia dewasa.
“Pola yang kami temui adalah ‘bermakna’ dan penambahbaikan dalam perhatian, focus, dan kefasihan tidak dapat dijelaskan oleh kepintaran asal,” beritahu  Dr.  Bak. “Dapatan ini adalah tentang relevan praktis yang agak banyak.  Berjuta-juta orang di seluruh dunia memperoleh bahasa kedua mereka kemudian.  Kajian kami menunjukkan bahawa kedwibahasaan, bahkan apabila diperoleh ketika dewasa, boleh memanfaatkan otak yang meningkat tua.”
Walau bagaimanapun, seperti lazim, sesuatu dapatan itu bukan sesuatu yang muktamad, dan lazimnya menimbulkan beberapa soalan.  Demikian juga kajian ini, seperti yang diakui sendiri oleh  Dr. Bak.  Kajian tersebut   membangkitkan banyak persoalan, seperti sama ada pembelajaran lebih satu bahasa juga mempunyai kesan positif terhadap kognitif yang meningkat tua, dan sama ada, bertutur dalam bahasa kedua secara aktif adalah lebih baik daripada hanya tahu bagaimana untuk bertutur dalam bahasa itu.
Dr.  Alvaro Pascual-Leone,  profesor perubatan di Harvard Medical School in Boston, Amerika Syarikat, seperti yang dipetik oleh BBC News, menjelaskan bahawa kajian epidemiologi menyediakan langkah pertama yang penting dalam memahami impak kesan pembelajaran bahasa kedua dan otak yang meningkat tua.  “Kajian ini menurap laluan untuk kajian kesan-musabab kedwibahasaan dan pencegahan kemerosotan kognitif pada masa depan.”
Sementara itu, Caroline Abrahams, pengarah amal untuk Age United Kingdom, yang menyokong  kajian tersebut dipetik oleh The Telegraph dan Latin Post, sebagai berkata, “Lebih sejuta orang di United Kingdom berusia 65 tahun  dan lebih dianggarkan mempunyai beberapa darjah gangguan kognitif. Kita perlu segera memahami apakah pengaruh kognitif yang semakin tua supaya kita dapat memberikan nasihat orang ramai tentang melindungi kesihatan kognitif mereka.”

Boleh dikatakan satu demi satu kajian yang menunjukkan bahawa dwibahasa memberikan manfaat kesihatan kepada penuturnya.  Memang jelas bahawa banyak manfaat yang dapat diperoleh daripada  kedwibahasaan.  Namun begitu, tidak bermakna bahawa dalam konteks Malaysia,  bahasa Melayu perlu diletakkan di tempat yang sewajarnya sesuai dengan martabatnya sebagai bahasa kebangsaan.  Sepatutnya, tidak wujud “permainan hasil tambah sifar” antara bahasa kebangsaan dengan bahasa lain, seperti bahasa Inggeris.  Dan, sebarang usaha untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan, seperti yang dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, tidak seharusnya ditanggapi, seperti yang pernah terjadi,  sebagai usaha menyekat rakyat  negara ini menguasai bahasa lain. 
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Pelita Bahasa, Ogos, 2014.) 

Friday, November 7, 2014

Belanjawan 2013: Ke Arah Pertumbuhan Mapan

JUMAAT,  7 November 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak membentangkan Belanjawan 2012, antara komen atau ulasan yang mewarnai perbincangan, baik melalui  kaca televisyen, mahupun melalui penulisan, ialah belanjawan pilihan raya.  Selain belanjawan pilihan raya, seperti lazim, komen atau ulasan tertumpu pada habuan yang diberikan kepada penjawat awam dan golongan masyarakat yang lain sehingga membayangi persoalan yang lebih besar, seperti defisit belanjawan yang berterusan lebih 10 tahun, dan usaha memacu pertumbuhan di tengah-tengah kelembapan ekonomi global.
            Namun, seperti yang diketahui, pilihan raya yang dijangkakan tidak kunjung tiba sehingga Najib yang juga  Menteri Kewangan pertama,  membentangkan Belanjawan 2013 pada 28 September lalu.  Pastinya, orang ramai tidak memerlukan cerdik pandai dan ahli politik untuk memberitahu mereka bahawa belanjawan terbaru ini ialah belanjawan pilihan raya kerana masa untuk pilihan raya semakin hampir, paling tidak, selewat-lewatnya  pada awal tahun depan. 
            Belanjawan 2013 dibentangkan tatkala ekonomi dunia masih muram selepas mengalami kemelesetan terburuk sejak  Kemelesetan Besar tahun 1930-an:  sektor pembuatan di China menguncup untuk bulan ke-11 berturut-turut, ekonomi Amerika Syarikat hanya berkembang 1.3 peratus pada suku tahun kedua, dan ekonomi United Kingdom dalam tempoh yang sama, menguncup 0.4 peratus, manakala akaun semasanya  mencatatkan defisit 20.8 bilion paun. 
            Belanjawan 2013 juga dibentangkan ketika zon euro masih dilanda krisis, dan pada minggu sama dengan pembentangan belanjawan itu, berlaku protes antijimat-cermat dari Madrid ke Athens.  Pada minggu sebelum ini, lebih setengah juta orang berarak di kota-kota seluruh Portugal untuk membantah potongan keselamatan sosial.  Sepanyol yang menghadapi kebangkitan sentimen pemisahan daripada penduduk Catalonia, dijangkakan menjadi Greece baru.  Antijimat-cermat yang berlaku di Eropah, tidak menunjukkan tanda akan reda, bahkan pada 30 September lalu, mereka ke Perancis.
Meskipun empat tahun berlalu selepas  keruntuhan Lehman Brothers dan pasaran saham global lintang-pukang,   krisis kewangan global masih belum reda. Seperti yang dimaklumkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), bahawa risiko masih wujud dalam sistem kewangan kerana para pelabur  Amerika Syarikat ketakutan.  Sementara dalam Global Financial Stability Report terbaru  yang kebetulan  dikeluarkan sebelum pembentangan belanjawan, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), mengingatkan bahawa di sebalik ribut salji (blizzard) peraturan baru, sistem perbankan masih mudah terjejas.  Sementara Organisasi Perdagangan Sedunia (WTO) pada akhir September lalu,  mengingatkan bahawa tinjauan perdagangan global terjejas kerana krisis zon euro membantutkan pertumbuhan.  WTO mengurangkan ramalan pertumbuhan perdagangan global tahun ini daripada 3.7 peratus kepada 2.5 peratus, kurang separuh daripada purata 20 tahun sebelum ini, membayangkan bahawa keadaan semakin buruk dan bukannya bertambah baik. Pada tahun 2013, WTO menjangkakan bahawa perdagangan tumbuh sebanyak 4.5 peratus, berbanding dengan ramalan sebelum ini, pertumbuhan 5.6 peratus.
Melihat data ekonomi yang teruk yang mencurah-curah, seperti krisis hutang kedaulatan Eropah, harga komoditi yang tinggi, legasi keruntuhan kewangan empat tahun lalu, dan ketegangan antara tiga ekonomi terbesar di dunia, iaitu Amerika Syarikat, China, dan Jepun, maka dijangkakan berlaku  kelembapan global. 
“Ekonomi global terpaksa melalui perjalanan yang jauh untuk mencapai pertumbuhan mapan,” tulis Larry Elliott dalam The Guardian, antara memetik kemerosotan sektor pembuatan di China.  Beliau mengemukakan tiga masalah besar dan saling terikat.  Pertama, Eropah yang terus menerus menggunakan petua yang sama untuk menyelesaikan krisis menyembunyikan hakikat bahawa kelemahan ekonomi merebak dari pinggi ke pusat.  Kedua, masalah adalah bahawa hanya sedikit kemajuan dicapai dalam menangani ketidakseimbangan global yang mewujudkan keadaan untuk keruntuhan pada tahun 2007.  Akhir sekali, bank-bank pusat dan para menteri kewangan telah pun menggunakan amaun yang besar amunisi yang dapat diperoleh.
Semasa menyentuh aspek prestasi ekonomi 2012 dan prospek 2013 dalam pembentangan  Belanjawan 2013, Najib nampaknya menyedari realiti yang sedang melanda dunia, yang beliau nyatakan, “persekitaran global yang tidak menentu dan mencabar.”  Namun, beliau menjelaskan  bahawa kerajaan komited dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus berkembang, dengan asas ekonomi negara yang kukuh  serta disokong oleh sistem monetari akomodatif membolehkan ekonomi negara berada di landasan yang teguh.  Beliau juga merujuk prestasi ekonomi separuh pertama tahun 2012 yang tumbuh pada kadar 5.1 peratus didorong, terutamanya oleh kekukuhan aktiviti pelaburan dan penggunaan swasta.  Pada tahun ini, menurut beliau, pertumbuhan ekonomi negara dijangkakan berkembang pada kadar 4.5 peratus hingga lima peratus, manakala pada tahun 2013, berdasarkan persekitaran ekonomi global yang lebih baik, pertumbuhan ekonomi negara diunjurkan berkembang lebih kukuh pada kadar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus. 
Belanjawan 2013 yang berjumlah RM251.6 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan, dengan pelbagai habuan atau  bantuan kepada setiap lapisan rakya demi mengurangkan beban kos sara hidup mereka, seperti bonus untuk penjawat awam, BR1M 2.0 untuk setiap isi rumah yang berpendapatan RM3000 ke bawah dan RM250 seorang bagi individu bujang 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak lebih RM2000, bantuan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, rebat telefon pintar 3G bagi belia yang berumur 21 - 30 tahun berpendapatan RM3000 ke bawah, pelepasan cukai bagi pendidikan tinggi anak-anak dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional, diskaun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)  antara 10 – 20 peratus, baucar buku mahasiswa, insentif khas tentera, insentif nelayan,  dan bermacam-macam lagi.
Meskipun kerajaan berusaha mengurangkan defisit belanjawan kepada 4.0 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2013, berbanding 4.5 peratus pada tahun 2012,  kerajaan tidak mendakap langkah jimat-cermat  yang  dilaksanakan di Eropah dan Amerika Syarikat. Seperti yang sering diperdebatkan mengapa benua Eropah terus terbenam dalam kemelesetan, antaranya kerana pelaksanaan jimat-cermat yang tidak sesuai dengan masanya, iaitu ketika pucuk hijau baru bertunas, iaitu pemulihan masih lemah. “Kegilaan jimat-cermat Eropah,” seperti yang dibahaskan oleh Paul Krugman dalam The New York Times pada 27 September, “akan membawa banyak kesakitan, baik dari segi ekonomi mahupun politik.”  Dari segi ekonomi, menurut beliau, jimat-cermat tidak dapat menyelesaikan masalah kadar pengangguran yang tinggi, manakala dari segi politik, mencetuskan keberangan rakyat, seperti yang berlaku di Greece dan Sepanyol.
Dengan tidak menunjukkan keterujaan dan ketaksuban terhadap jimat-cermat yang memungkinkan zon euro berkecai, Malaysia dijangkakan mampu mencatatkan pertumbuhan ekonomi pada tahun depan, seperti yang diunjurkan. Dengan pelbagai habuan dan bantuan  tersebut, sekurang-kurangnya kerajaan dapat merangsangkan penggunaan isi rumah untuk keperluan harian dan seterusnya merancakkan  industri peruncitan.  Pastinya, langkah ini mampu memacu  pertumbuhan ekonomi, kerana salah satu faktor pertumbuhan ekonomi  Amerika Syarikat dan Eropah lembap ialah rendahnya permintaan domestik. Tatkala pertumbuhan perdagangan global lemah, seperti yang diperingatkan oleh WTO,  tidak dapat tidak, pertumbuhan ekonomi Malaysia perlu bergantung pada aktiviti ekonomi domestik.
Tatkala kadar pengangguran di seluruh 17 buah negara yang menggunakan mata wang euro mencecah 11.3 peratus pada bulan Julai dan Amerika Syarikat 8.1 peratus pada bulan Ogos, pasaran buruh Malaysia, seperti yang ditunjukkan dalam Laporan Ekonomi 2012/2013, kekal stabil sepanjang tahun 2012, dengan kadar pengangguran yang rendah, iaitu 3.2 peratus, kerana aktiviti domestik yang rancak.  Seperti yang sering dihujahkan bahawa kadar pengangguran yang tinggi yang diburukkan oleh pelaksanaan jimat-cermat tidak akan mewujudkan permintaan agregat dan seterusnya membantutkan pertumbuhan ekonomi. Kadar pengangguran yang tinggi, jimat-cermat, dan kemelesetan, merupakan masalah yang berangkaian dan saling melengkapi antara satu sama lain.
Komitmen  kerajaan untuk memastikan pertumbuhan mapan dapat dilihat pada fokus pertama: merangsang aktiviti pelaburan.  Seperti yang ditegaskan oleh Najib dalam pembentangan belanjawan itu, “pertumbuhan ekonomi negara akan terus dipacu oleh pelaburan langsung asing dan domestik,” dan “terus memperhebat  pelaksanaan 12 Bidang Utama Ekonomi Negara.”  Dalam fokus pertama ini juga kerajaan menggalakkan pelaburan domestik, menjadikan Malaysia hab minyak dan gas, merancakkan sektor pelancongan, meningkatkan aktiviti pertanian, melestarikan jaminan bekalan makanan, membela nasib petani dan nelayan, mencergaskan pasaran modal dan kewangan, menggalakkan amanah perniagaan, merangka Wakaf Korporat,  dan membangunkan usahawan bumiputera.
Tanggapan umum, tetapi tidak semestinya tepat, ialah ekonomi negara digerakkan sebahagian besarnya  oleh sektor korporat, sedangkan peranan   perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak kurang pentingnya dari segi  pemacuan  pertumbuhan ekonomi dan pewujudan peluang pekerjaan.  Di bawah fokus pertama, kerajaan mempergiat PKS, dan seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2013,    “PKS memainkan peranan penting dalam transformasi ekonomi negara.”  Sehubungan dengan itu, untuk mempercepat pertumbuhan industri PKS dan perluasan skop kawasan industri di seluruh negara, kerajaan menyediakan dana RM1 bilion di bawah Skim Pembangunan PKS yang dikendalikan oleh SME Bank.
Belanjawan 2013 dan enam lagi belanjawan yang seterusnya dijangkakan mengubah Malaysia daripada status sebuah negara membangun berpendapatan sederhana tinggi kepada negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020.  Untuk mencapai matlamat tersebut kerajaan perlu memperluas dan memperkembang golongan kelas menengah, iaitu golongan yang di peringkat global semakin mendapat perhatian kerana semakin mengecil, antaranya kerana kesan kemelesetan ekonomi, kebekuan upah,  dan kemerosotan pendapatan  serta kekayaan. Kewujudan dan pengembangan  golongan kelas menengah adalah penting  dari segi kuasa beli dan pencukaian, dan dengan itu, untuk  merangsangkan pertumbuhan ekonomi.

Pertumbuhan ekonomi, pastinya  kurang signifikan, dan bahkan akan terjejas sekiranya ketidaksamaan pendapatan semakin melebar.   Perlu dipastikan tidak wujud golongan “99 peratus”  dan golongan “satu peratus” yang mencermikan ketidaksamaan pendapatan yang amat ketara, yang memboleh membawa kepada persengketaan antara kedua-dua golongan tersebut.  Pertumbuhan ekonomi mapan dan negara maju berpendapatan tinggi hanya benar-benar bermakna sekiranya jurang ketidaksamaan diperkecil dan    kekayaan diagihkan secara  lebih adil dan saksama.  Jika tidak,  tema belanjawan “Memakmur Negara Menyejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati” sekadar retorik yang muluk-muluk yang sarat dengan gembar-gembur.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, November 2012.)

Wednesday, November 5, 2014

Presiden Lawan Ekonomi

RABU,  5  November 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH





Selepas Jabatan Buruh Amerika Syarikat mengumumkan bahawa pada bulan Ogos, hanya 96,000 pekerjaan diwujudkan berbanding dengan anggaran130,000 pekerjaan, dan meskipun kadar pengangguran di negara itu jatuh daripada 8.3 peratus pada Julai  kepada 8.1 peratus, Ezra Klein yang menulis dalam blog The Washington Post,  menegaskan bahawa “Presiden lawan ekonomi.”  Penurunan kadar pengangguran  sebenarnya berpunca daripada sebilangan penganggur meninggalkan pasaran buruh, iaitu mereka tidak mahu mencari pekerjaan lagi.
Laporan bulanan  tentang pekerjaan  yang muram itu dijangkakan membayangi kejayaan  Persidangan Kebangsaan Parti Demokratik di Charlotte, North Carolina, yang baru sahaja selesai.  Presiden Barack Obama yang berucap untuk menerima pencalonan daripada partinya  kelihatan tidak setanding  bekas Presiden Bill Clinton dan isterinya, Michelle, yang berucap sebelum itu,  kerana beliau  “terganggu” oleh   laporan tersebut   yang beliau terima lebih awal:   krisis pekerjaan masih wujud. “Ucapan itu,” hujah Klein, “adalah sesuai untuk  ekonomi pada pengangguran 6.5 peratus dan bukannya pengangguran 8.1 peratus.”
Ketika pengumuman Jabatan Buruh itu dibuat 7 September, Pilihan Raya Presiden tahun 2012 hanya tinggal dua bulan lagi.  Dengan kadar pengangguran yang tinggi dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pula kurang daripada dua peratus, pastinya  penjawat kini, iaitu Presiden Barack Obama menghadapi laluan yang sukar untuk  penggal kedua.  Sejak zaman Franklin D.  Roosevelt, tidak ada Presiden Amerika Syarikat yang dapat mempertahankan jawatannya apabila kadar pengangguran lebih lapan  peratus.  Laporan pekerjaan itu diramalkan akan  merancakkan lagi kempen di kedua-dua belah pihak, iaitu Barack Obama dan lawannya, Mitt Romney daripada Republikan.  “Kita menuju arah yang salah,” isytiharkan Romney, memandangkan masih banyak rakyat Amerika yang  terhuyung-hayang akibat kemelesetan yang teruk.  “Kita tahu tidak cukup,” ulas Obama, “Kita perlu mewujudkan lebih banyak  pekerjaan dan lebih cepat.”
Beberapa laporan lain yang tidak memberangsangkan, menambahkan lagi tekanan terhadap Presiden Obama.  Tatkala kedua-dua calon yang bertanding berusaha untuk meraih sokongan golongan kelas menengah, pada  Ogos lalu, Pew Research Center, mengeluarkan laporan The Lost Decade of the Middle Class, menunjukkan bahawa sejak tahun 2000, golongan itu mengecil dari segi saiz, merosot  dari segi pendapatan dan kekayaan, membayangkan kemungkinan keterhakisan golongan itu pada masa hadapan.
Seterusnya, pada September, Biro Banci Amerika Syarikat menerbitkan  Income, Poverty, and Health Insurance Coverage in the United States: 2011, menunjukkan  banyak lagi berita buruk untuk kelas menegah. Ketidaksamaan ekonomi  terus meningkat, dipacu oleh pertumbuhan pendapatan dalam kalangan orang kaya Amerika, manakala golongan yang berpendapatan lebih sederhana mendapati pendapatan mereka mereka beku atau bahkan merosot. Pendapatan isi rumah median terus jatuh pada tahun 2011, tahun kedua pemulihan ekonomi, iaitu jatuh kira-kira empat peratus.  “Ketidaksamaan pendapatan semakin teruk,” tulis Timothy Noah dalam The New Republic. “Seperti yang kita ketahui bahawa golongan kaya terus meningkatkan bahagian mreka daripada pendapatan kolektif negara pada tahun 2010, apabila secara luar biasa 93 peratus pemulihan masuk ke dalam saku golongan satu peratus.”
Laporan itu juga menyatakan bahawa 46.2 juta rakyat Amerika hidup dalam kemiskinan, dengan garis kemiskinan untuk keluarga seramai empat orang ialah AS$22,811.  Kejatuhan jumlah ini dianggap baik dan agak memeranjatkan kerana Amerika Syarikat masih bersusah payah untuk pulih daripada kemelesetan.  Data menunjukkan bahawa kadar kemiskinan keseluruhan 15.0 peratus adalah rendah pada tahun 2011 berbanding dengan 15.1 peratus pada tahun sebelum ini, suatu perbezaan kira-kira 96,000 orang.
Ketika Barack Obama bersiap sedia untuk pertarungan penggal keduanya, penggunaan setem makanan dilaporkan, mencecah rekod tertinggi, iaitu 46.7 juta pada Jun. Penyertaan meningkat 0.4 peratus dari Mei dan 3.3 peratus lebih tinggi jika dibandingkan dengan tahun lalu dan kekal lebih besar daripada 46 juta sepanjang tahun kerana kadar pengangguran masih tinggi.  “Terlalu banyak keluarga kelas menengah yang hidup dalam kesusahan masih terpaksa bersusah payah,” jelas Setiausaha Pertanian, Tom Vilsack melalui e-mel kepada Bloomberg pada awal September lalu. “Matlamat kami adalah untuk menyediakan bantuan yang keluarga ini perlukan agar mereka mampu mengharungi masa yang sukar ini dan kemudian mampu berdikari semula secepat yang mungkin.”   Perbelanjaan stem makanan meningkat lebih berlipat ganda dalam masa empat kepada rekod tertinggi AS$75.7 bilion pada tahun fiskal yang  berakhir 30 September 2011, merupakan perbelanjaan terbesar Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA).
Sementara itu, seperti yang dilaporkan oleh CNN yang memetik USDA,   pada awal September, lebih 50 juta orang Amerika, tidak mampu membeli makanan pada masa tertentu pada tahun 2011.  Kanak-kanak dalam kira-kira 3.9 juta isi rumah sengsara akibat keadaan tidak keselamatan   makanan (food insecurity) pada tahun lalu, dengan keluarga mereka tidak mampu menyediakan makanan berkhasiat yang cukup.  Hampir 17 juta orang Amerika sengsara akibat “keselamatan  makanan yang rendah,” bermakna mereka terpaksa mengurangkan jumlah makanan yang mereka makan, iaitu makanan yang mereka beli tidak dapat tahan lama dan mereka tidak cukup wang untuk membeli makanan yang banyak.  Mereka lazimnya mendapati diri mereka dalam situasi sedemikian beberapa hari dalam sebulan untuk tujuh bulan setahun.  Bilangan orang dalam kategori ini meningkat sebanyak lebih 800,000 orang daripada jumlah pada tahun 2010.
Seperti Pilihan Raya Presiden pada tahun 2008, ekonomi dianggap merupakan faktor utama dalam pilihan raya kali ini.  Ketika itu, Amerika Syarikat  terjebak dalam kemelesetan, dan tatkala kempen sedang rancak, tiba-tiba pada pertengahan September, Lehman Brothers mengisytiharkan kemuflisan yang menyebabkan berlaku runtuhan Wall Street dan pasaran saham dunia lintang-pukang.  John McCain daripada Republikan yang ketika itu  mendahului Barack Obama, bagaikan dihempap oleh runtuhan itu dan terus tidak bangkit hingga hari pilihan raya.  Kini,  walaupun  Amerika telah keluar daripada kemelesetan pada pertengahan tahun 2009,   sebilangan besar penduduk tidak merasainya  kerana   kadar pertumbuhan rendah dan kadar pengangguran masih tinggi.
Sememangnya,  ekonomi  tidak memihak kepada Barack Obama, bahkan kadar pengangguran yang diumumkan pada  Jumaat pertama setiap bulan, seakan-akan terus menzalimi beliau.  Prestasi ekonomi beliau tidak memuaskan, dan dengan itu, beberapa tinjauan pendapat menunjukkan bahawa rakyat Amerika lebih yakin kepada Mitt Romney untuk mengurus ekonomi dan menangani pengangguran. Dalam kad laporan Obama pada akhir penggal, The Economist memberikan gred untuk perkara yang berikut: Respons terhadap krisis (A-); rangsangan (B+); perumahan (C+); pasaran buruh (C+); perdagangan (B-); dasar perindustrian (F); kawal selia (D+); dan hutang/dasar fiskal (tidak lengkap).
Sementara Robert J. Samuelson yang menulis dalam The Washington Post, memberikan gred C+ untuk kad laporan ekonomi Presiden Obama, iaitu kurang bermutu terbaik, meskipun mengakui bahawa Presiden biasa tidak banyak pengaruh terhadap ekonomi.  Terlalu besar dan tertakluk kepada terlalu banyak kuasa kompleks, daripada teknologi baru kepada keadaan global.  Lagipun, banyak pihak yang terlibat, seperti Kongres untuk cukai dan perbelanjaan, Rizab Persekutuan untuk pasaran kewangan, dan agensi kawal selia.  “Presiden selalunya dipersalahkan atau diberikan pujian,” tegas Samuelson, “kerana ekonomi apabila mereka tidak wajar juga.  Akan tetapi, ketika krisis, Presiden memperoleh kuasa. Oleh sebab itu, Obama akan dan sepatutnya dinilai dari segi prestasi ekonomi.” 
Lebih menarik daripada keseluruhan gred saya, jelas Samuelson ialah komponenannya. “Untuk enam bulan pertama, saya memberinya A-; untuk bulan seterusnya, C- atau D. Saya memberikan wajaran dua gred itu secara seimbang kerana beliau wajar diberikan banyak pujian kerana menghentikan jatuh bebas ekonomi apabila memegang jawatan Presiden.”
Jika isu ekonomi dibangkitkan atau laporan tentang ekonomi dikemukakan, Demokrat dan kempen Obama kelihatan bersifat defensif, sesuatu yang sukar untuk dijawab atau dijelaskan.  Sebelum Persidangan Kebangsaan Parti Demokratik, mereka dikemukakan  soalan yang pernah dikemukakan oleh Ronald Reagan pada tahun 1980, ketika mencabar penjawat kini, Presiden Jimmy Carter: “Adakah rakyat Amerika lebih baik sekarang berbanding dengan empat tahun lalu?”
Beberapa anggota Demokrat yang diajukan soalan itu tidak cuba menjawabnya, sebaliknya mereka menyerang kempen Romney yang menurut mereka, tidak segan silu berdusta kepada pengundi. David Plouffe, penasihat kanan Rumah Putih enggan memberikan jawapan, sama ada ya ataupun tidak. Apabila pengacara program televisyen ABC,  George Stephanopoulos berulang-ulang kali bertanyakan beliau:  “Anda masih tidak dapat memberikan jawapan ya.”  “Jelas kita semakin baik, George,” jawab Plouffe. “Kita mencapai banyak kemajuan daripada kemelesetan yang teruk ... Kita perlu terus pulih.”   Sementara dalam program Fox News,  ahli strategi kempen Obama, iaitu David Axelrod, enggan memberikan jawapan yang berterus terang, manakala Gobenor Maryland, Martin O’Malley, yang muncul dalam program televisyen CBS, kelihatan tidak bersemangat, “Tidak, tetapi itu bukan soalan pilihan raya ini.”
Hanya selepas itu, dalam usaha mengawal “api daripada terus marak,”  daripada dijadikan modal oleh kempen Romney, anggota Demokrat lebih tegas memberikan jawapan mereka.  Misalnya, ketika ditanya, sama ada rakyat Amerika lebih baik, dalam program televisyen NBC, timbalan pengurus kempen Obama, iaitu Stephanie Cutter, memberikan jawapan yang muktamad dengan menyenaraikan statistik peningkatan pengangguran dan kemerosotan upah dalam masa enam bulan sebelum Obama menjadi Presiden. Mengikut mana-mana ukuran, negara ini mengorak langkah sepanjang empat tahun lalu. Bahkan, Martin O’Malley mengubah jawapannya, memberitahu CNN, “Kita jelas lebih baik sebagai sebuah negara kerana kita kini mewujudkan pekerjaan berbanding dengan kehilangan pekerjaan.”
Benarkah  ekonomi menentukan keputusan Pilihan Raya Presiden tahun ini?  Jika demikian,  bahkan diakui oleh anggota Republikan sendiri, Obama sudah lama berkubur;  sebaliknya, beliau masih dan terus kuat.  Tinjauan pendapat demi tinjauan pendapat yang dikeluarkan, khususnya selepas persidangan partinya, beliau terus mendahului Romney, baik di peringkat nasional, mahupun di peringkat negeri berayun yang kebanyakan beliau kuasai.   Sejak berbulan-bulan, Romney masih gagal memisahkan para pengundi yang masih  mendakap setia pada Obama, meskipun kempen demi kempen dilancarkan, iklan demi iklan disiarkan.  Dari segi kepopularan dan dasar luar, nyata bahawa Romney tidak mampu menyaingi lawannya.
Medan pertarungan yang sepatutnya dikuasai oleh Romney, iaitu ekonomi,  Obama menampakkan kemaraannya.  Daripada belanjawan kepada pencukaian kepada penjagaan kesihatan, kempen Romney gagal meyakinkan rakyat, dan terutamanya para pengundi.  Bahkan, janji Romney  untuk mewujudkan 12 juta pekerjaan dalam penggal pertama jika beliau dipilih sebagai Presiden, diragui oleh banyak pihak, terutamanya ahli ekonomi dan para penganalisis.
Hakikatnya, setakat ini, ekonomi belum lagi membawa  bencana terhadap Obama, dan kemungkinannya hal ini berterusan pada 6 November ini, walaupun dua  lagi laporan pekerjaan dan satu lagi laporan KDNK akan diumumkan.  Lagipun, ekonomi sekarang diperhatikan tidak seburuk tahun 1980 yang menyaksikan kekalahan Carter di tangan Reagan. Menurut rekod, Presiden daripada Parti Demokratik didapati lebih baik dari segi mengurus ekonomi dan mewujudkan pekerjaan; ketika Obama, lebih empat juta pekerjaan diwujudkan, biarpun pengangguran masih tinggi.
Diketahui umum, Barack Obama mewarisi masalah daripada George W. Bush, tetapi  beliau pastinya tidak dapat cuci tangan dengan menyalahkan Presiden sebelumnya.  Lebih-lebih lagi Obama banyak menghabiskan masa, iaitu dua tahun pertama  untuk memperkenalkan pelan penjagaan kesihatan – padahal, beliau sepatutnya memberikan tumpuan terhadap pemulihan ekonomi dan usaha untuk mewujudkan pekerjaan.  Sementara  anggota Republikan, baik semasa merupakan minoriti, mahupun majoriti dalam Dewan Perwakilan, iaitu selepas Pilihan Raya Separuh Penggal tahun 2010, enggan bekerjasama dengan Obama sehingga parti itu dikenali sebagai “parti tidak.” Bahkan, sebaik-baik sahaja Obama memenangi Pilihan Raya Presiden,  tetapi belum lagi memegang jawatan itu, Republikan mengisytiharkan bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan beliau.   Bagi mereka, “demi memastikan Obama hilang pekerjaan, biarkan rakyat  tanpa pekerjaan.”  
Rakyat  kini  menyalahkan Washington, iaitu Dewan Perwakilan, Senat, dan Rumah Putih terhadap masalah yang wujud, baik dari segi ekonomi mahupun politik.  Seperti yang pernah ditegaskan oleh bekas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Robert Gates, kegagalan menangani hutang dan masalah belanjawan yang teruk adalah kerana ahli politik Republikan dan Demokratik “lebih mementingkan kemenangan dalam pilihan raya dan meraih kemenangan ideologi berbanding dengan menyelamatkan negara.”
Memang  Obama boleh dikatakan gagal dari segi ekonomi, tetapi Romney gagal mengemukakan alternatif yang terbaik.  Dalam pilihan raya kali ini, rakyat nampaknya  perlu membuat pilihan antara dasar yang gagal dengan alternatif yang teruk. Pastinya, pilihan raya kali ini bukannya pertarungan angka semata-mata, bukannya hanya kuantitatif, tetapi ini juga kualitatif, yang dari segi ini Obama banyak mempunyai kelebihan berbanding dengan Romney. Kempen yang kurang cacat juga banyak membantu kemenangan calon, dan dari segi ini, kempen Obama mempunyai kelebihan berbanding dengan kempen Romney.
Ketika makalah ini ditulis, iaitu pada pertengahan September, The Huffington Post menunjukkan bahawa Barack Obama menguasai 316 berbanding 206 badan perwakilan pemilih untuk Mitt Romney,  manakala masih wujud dua buah negeri berayun, iaitu Wisconsin dan Iowa. Pastinya, dalam masa kira-kira 50 hari, kedudukan itu akan berubah-ubah.  Sementara Nate Silver, penganalisis yang sering dirujuk,  melalui kolumnya dalam The New York Times, dalam ramalannya pada 18 September, Obama memperoleh 320.2 badan perwakilan pemilih  berbanding 217.8 untuk Romney.  Peluang Obama menang pula ialah 91.3 peratus berbanding 8.7 peratus untuk Romney.
Ketika majalah  ini beredar dalam pasaran pada bulan November, keputusan pilihan raya telah pun diketahui. Maka,  dapat disahkan, sama ada Obama menang kerana kempennya, biarpun ekonomi teruk, ataupun Romney menang kerana ekonomi, biarpun kempennya teruk.


(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, November 2012.)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...