Artikel Popular

Wednesday, October 29, 2014

Presiden Lawan Ekonomi

RABU, 5 November 2014
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH





Selepas Jabatan Buruh Amerika Syarikat mengumumkan bahawa pada bulan Ogos (2012) hanya 96,000 pekerjaan diwujudkan berbanding dengan anggaran130,000 pekerjaan, dan meskipun kadar pengangguran di negara itu jatuh daripada 8.3 peratus pada Julai  kepada 8.1 peratus, Ezra Klein yang menulis dalam blog The Washington Post,  menegaskan bahawa “Presiden lawan ekonomi.”  Penurunan kadar pengangguran  sebenarnya berpunca daripada sebilangan penganggur meninggalkan pasaran buruh, iaitu mereka tidak mahu mencari pekerjaan lagi.
Laporan bulanan  tentang pekerjaan  yang muram itu dijangkakan membayangi kejayaan  Persidangan Kebangsaan Parti Demokratik di Charlotte, North Carolina, yang baru sahaja selesai.  Presiden Barack Obama yang berucap untuk menerima pencalonan daripada partinya  kelihatan tidak setanding  bekas Presiden Bill Clinton dan isterinya, Michelle, yang berucap sebelum itu,  kerana beliau  “terganggu” oleh   laporan tersebut   yang beliau terima lebih awal:   krisis pekerjaan masih wujud. “Ucapan itu,” hujah Klein, “adalah sesuai untuk  ekonomi pada pengangguran 6.5 peratus dan bukannya pengangguran 8.1 peratus.”
Ketika pengumuman Jabatan Buruh itu dibuat 7 September, Pilihan Raya Presiden tahun 2012 hanya tinggal dua bulan lagi.  Dengan kadar pengangguran yang tinggi dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pula kurang daripada dua peratus, pastinya  penjawat kini, iaitu Presiden Barack Obama menghadapi laluan yang sukar untuk  penggal kedua.  Sejak zaman Franklin D.  Roosevelt, tidak ada Presiden Amerika Syarikat yang dapat mempertahankan jawatannya apabila kadar pengangguran lebih lapan  peratus.  Laporan pekerjaan itu diramalkan akan  merancakkan lagi kempen di kedua-dua belah pihak, iaitu Barack Obama dan lawannya, Mitt Romney daripada Republikan.  “Kita menuju arah yang salah,” isytiharkan Romney, memandangkan masih banyak rakyat Amerika yang  terhuyung-hayang akibat kemelesetan yang teruk.  “Kita tahu tidak cukup,” ulas Obama, “Kita perlu mewujudkan lebih banyak  pekerjaan dan lebih cepat.”
Beberapa laporan lain yang tidak memberangsangkan, menambahkan lagi tekanan terhadap Presiden Obama.  Tatkala kedua-dua calon yang bertanding berusaha untuk meraih sokongan golongan kelas menengah, pada  Ogos lalu, Pew Research Center, mengeluarkan laporan The Lost Decade of the Middle Class, menunjukkan bahawa sejak tahun 2000, golongan itu mengecil dari segi saiz, merosot  dari segi pendapatan dan kekayaan, membayangkan kemungkinan keterhakisan golongan itu pada masa hadapan.
Seterusnya, pada September, Biro Banci Amerika Syarikat menerbitkan  Income, Poverty, and Health Insurance Coverage in the United States: 2011, menunjukkan  banyak lagi berita buruk untuk kelas menegah. Ketidaksamaan ekonomi  terus meningkat, dipacu oleh pertumbuhan pendapatan dalam kalangan orang kaya Amerika, manakala golongan yang berpendapatan lebih sederhana mendapati pendapatan mereka mereka beku atau bahkan merosot. Pendapatan isi rumah median terus jatuh pada tahun 2011, tahun kedua pemulihan ekonomi, iaitu jatuh kira-kira empat peratus.  “Ketidaksamaan pendapatan semakin teruk,” tulis Timothy Noah dalam The New Republic. “Seperti yang kita ketahui bahawa golongan kaya terus meningkatkan bahagian mreka daripada pendapatan kolektif negara pada tahun 2010, apabila secara luar biasa 93 peratus pemulihan masuk ke dalam saku golongan satu peratus.”
Laporan itu juga menyatakan bahawa 46.2 juta rakyat Amerika hidup dalam kemiskinan, dengan garis kemiskinan untuk keluarga seramai empat orang ialah AS$22,811.  Kejatuhan jumlah ini dianggap baik dan agak memeranjatkan kerana Amerika Syarikat masih bersusah payah untuk pulih daripada kemelesetan.  Data menunjukkan bahawa kadar kemiskinan keseluruhan 15.0 peratus adalah rendah pada tahun 2011 berbanding dengan 15.1 peratus pada tahun sebelum ini, suatu perbezaan kira-kira 96,000 orang.
Ketika Barack Obama bersiap sedia untuk pertarungan penggal keduanya, penggunaan setem makanan dilaporkan, mencecah rekod tertinggi, iaitu 46.7 juta pada Jun. Penyertaan meningkat 0.4 peratus dari Mei dan 3.3 peratus lebih tinggi jika dibandingkan dengan tahun lalu dan kekal lebih besar daripada 46 juta sepanjang tahun kerana kadar pengangguran masih tinggi.  “Terlalu banyak keluarga kelas menengah yang hidup dalam kesusahan masih terpaksa bersusah payah,” jelas Setiausaha Pertanian, Tom Vilsack melalui e-mel kepada Bloomberg pada awal September lalu. “Matlamat kami adalah untuk menyediakan bantuan yang keluarga ini perlukan agar mereka mampu mengharungi masa yang sukar ini dan kemudian mampu berdikari semula secepat yang mungkin.”   Perbelanjaan stem makanan meningkat lebih berlipat ganda dalam masa empat kepada rekod tertinggi AS$75.7 bilion pada tahun fiskal yang  berakhir 30 September 2011, merupakan perbelanjaan terbesar Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA).
Sementara itu, seperti yang dilaporkan oleh CNN yang memetik USDA,   pada awal September, lebih 50 juta orang Amerika, tidak mampu membeli makanan pada masa tertentu pada tahun 2011.  Kanak-kanak dalam kira-kira 3.9 juta isi rumah sengsara akibat keadaan tidak keselamatan   makanan (food insecurity) pada tahun lalu, dengan keluarga mereka tidak mampu menyediakan makanan berkhasiat yang cukup.  Hampir 17 juta orang Amerika sengsara akibat “keselamatan  makanan yang rendah,” bermakna mereka terpaksa mengurangkan jumlah makanan yang mereka makan, iaitu makanan yang mereka beli tidak dapat tahan lama dan mereka tidak cukup wang untuk membeli makanan yang banyak.  Mereka lazimnya mendapati diri mereka dalam situasi sedemikian beberapa hari dalam sebulan untuk tujuh bulan setahun.  Bilangan orang dalam kategori ini meningkat sebanyak lebih 800,000 orang daripada jumlah pada tahun 2010.
Seperti Pilihan Raya Presiden pada tahun 2008, ekonomi dianggap merupakan faktor utama dalam pilihan raya kali ini.  Ketika itu, Amerika Syarikat  terjebak dalam kemelesetan, dan tatkala kempen sedang rancak, tiba-tiba pada pertengahan September, Lehman Brothers mengisytiharkan kemuflisan yang menyebabkan berlaku runtuhan Wall Street dan pasaran saham dunia lintang-pukang.  John McCain daripada Republikan yang ketika itu  mendahului Barack Obama, bagaikan dihempap oleh runtuhan itu dan terus tidak bangkit hingga hari pilihan raya.  Kini,  walaupun  Amerika telah keluar daripada kemelesetan pada pertengahan tahun 2009,   sebilangan besar penduduk tidak merasainya  kerana   kadar pertumbuhan rendah dan kadar pengangguran masih tinggi. Sememangnya,  ekonomi  tidak memihak kepada Barack Obama, bahkan kadar pengangguran yang diumumkan pada  Jumaat pertama setiap bulan, seakan-akan terus menzalimi beliau.  Prestasi ekonomi beliau tidak memuaskan, dan dengan itu, beberapa tinjauan pendapat menunjukkan bahawa rakyat Amerika lebih yakin kepada Mitt Romney untuk mengurus ekonomi dan menangani pengangguran. Dalam kad laporan Obama pada akhir penggal, The Economist memberikan gred untuk perkara yang berikut: Respons terhadap krisis (A-); rangsangan (B+); perumahan (C+); pasaran buruh (C+); perdagangan (B-); dasar perindustrian (F); kawal selia (D+); dan hutang/dasar fiskal (tidak lengkap).
Sementara Robert J. Samuelson yang menulis dalam The Washington Post, memberikan gred C+ untuk kad laporan ekonomi Presiden Obama, iaitu kurang bermutu terbaik, meskipun mengakui bahawa Presiden biasa tidak banyak pengaruh terhadap ekonomi.  Terlalu besar dan tertakluk kepada terlalu banyak kuasa kompleks, daripada teknologi baru kepada keadaan global.  Lagipun, banyak pihak yang terlibat, seperti Kongres untuk cukai dan perbelanjaan, Rizab Persekutuan untuk pasaran kewangan, dan agensi kawal selia.  “Presiden selalunya dipersalahkan atau diberikan pujian,” tegas Samuelson, “kerana ekonomi apabila mereka tidak wajar juga.  Akan tetapi, ketika krisis, Presiden memperoleh kuasa. Oleh sebab itu, Obama akan dan sepatutnya dinilai dari segi prestasi ekonomi.” 
Lebih menarik daripada keseluruhan gred saya, jelas Samuelson ialah komponenannya. “Untuk enam bulan pertama, saya memberinya A-; untuk bulan seterusnya, C- atau D. Saya memberikan wajaran dua gred itu secara seimbang kerana beliau wajar diberikan banyak pujian kerana menghentikan jatuh bebas ekonomi apabila memegang jawatan Presiden.”
Jika isu ekonomi dibangkitkan atau laporan tentang ekonomi dikemukakan, Demokrat dan kempen Obama kelihatan bersifat defensif, sesuatu yang sukar untuk dijawab atau dijelaskan.  Sebelum Persidangan Kebangsaan Parti Demokratik, mereka dikemukakan  soalan yang pernah dikemukakan oleh Ronald Reagan pada tahun 1980, ketika mencabar penjawat kini, Presiden Jimmy Carter: “Adakah rakyat Amerika lebih baik sekarang berbanding dengan empat tahun lalu?”
Beberapa anggota Demokrat yang diajukan soalan itu tidak cuba menjawabnya, sebaliknya mereka menyerang kempen Romney yang menurut mereka, tidak segan silu berdusta kepada pengundi. David Plouffe, penasihat kanan Rumah Putih enggan memberikan jawapan, sama ada ya ataupun tidak. Apabila pengacara program televisyen ABC,  George Stephanopoulos berulang-ulang kali bertanyakan beliau:  “Anda masih tidak dapat memberikan jawapan ya.”  “Jelas kita semakin baik, George,” jawab Plouffe. “Kita mencapai banyak kemajuan daripada kemelesetan yang teruk ... Kita perlu terus pulih.”   Sementara dalam program Fox News,  ahli strategi kempen Obama, iaitu David Axelrod, enggan memberikan jawapan yang berterus terang, manakala Gobenor Maryland, Martin O’Malley, yang muncul dalam program televisyen CBS, kelihatan tidak bersemangat, “Tidak, tetapi itu bukan soalan pilihan raya ini.”
Hanya selepas itu, dalam usaha mengawal “api daripada terus marak,”  daripada dijadikan modal oleh kempen Romney, anggota Demokrat lebih tegas memberikan jawapan mereka.  Misalnya, ketika ditanya, sama ada rakyat Amerika lebih baik, dalam program televisyen NBC, timbalan pengurus kempen Obama, iaitu Stephanie Cutter, memberikan jawapan yang muktamad dengan menyenaraikan statistik peningkatan pengangguran dan kemerosotan upah dalam masa enam bulan sebelum Obama menjadi Presiden. Mengikut mana-mana ukuran, negara ini mengorak langkah sepanjang empat tahun lalu. Bahkan, Martin O’Malley mengubah jawapannya, memberitahu CNN, “Kita jelas lebih baik sebagai sebuah negara kerana kita kini mewujudkan pekerjaan berbanding dengan kehilangan pekerjaan.”
Benarkah  ekonomi menentukan keputusan Pilihan Raya Presiden tahun ini?  Jika demikian,  bahkan diakui oleh anggota Republikan sendiri, Obama sudah lama berkubur;  sebaliknya, beliau masih dan terus kuat.  Tinjauan pendapat demi tinjauan pendapat yang dikeluarkan, khususnya selepas persidangan partinya, beliau terus mendahului Romney, baik di peringkat nasional, mahupun di peringkat negeri berayun yang kebanyakan beliau kuasai.   Sejak berbulan-bulan, Romney masih gagal memisahkan para pengundi yang masih  mendakap setia pada Obama, meskipun kempen demi kempen dilancarkan, iklan demi iklan disiarkan.  Dari segi kepopularan dan dasar luar, nyata bahawa Romney tidak mampu menyaingi lawannya.
Medan pertarungan yang sepatutnya dikuasai oleh Romney, iaitu ekonomi,  Obama menampakkan kemaraannya.  Daripada belanjawan kepada pencukaian kepada penjagaan kesihatan, kempen Romney gagal meyakinkan rakyat, dan terutamanya para pengundi.  Bahkan, janji Romney  untuk mewujudkan 12 juta pekerjaan dalam penggal pertama jika beliau dipilih sebagai Presiden, diragui oleh banyak pihak, terutamanya ahli ekonomi dan para penganalisis.
Hakikatnya, setakat ini, ekonomi belum lagi membawa  bencana terhadap Obama, dan kemungkinannya hal ini berterusan pada 6 November ini, walaupun dua  lagi laporan pekerjaan dan satu lagi laporan KDNK akan diumumkan.  Lagipun, ekonomi sekarang diperhatikan tidak seburuk tahun 1980 yang menyaksikan kekalahan Carter di tangan Reagan. Menurut rekod, Presiden daripada Parti Demokratik didapati lebih baik dari segi mengurus ekonomi dan mewujudkan pekerjaan; ketika Obama, lebih empat juta pekerjaan diwujudkan, biarpun pengangguran masih tinggi.
Diketahui umum, Barack Obama mewarisi masalah daripada George W. Bush, tetapi  beliau pastinya tidak dapat cuci tangan dengan menyalahkan Presiden sebelumnya.  Lebih-lebih lagi Obama banyak menghabiskan masa, iaitu dua tahun pertama  untuk memperkenalkan pelan penjagaan kesihatan – padahal, beliau sepatutnya memberikan tumpuan terhadap pemulihan ekonomi dan usaha untuk mewujudkan pekerjaan.  Sementara  anggota Republikan, baik semasa merupakan minoriti, mahupun majoriti dalam Dewan Perwakilan, iaitu selepas Pilihan Raya Separuh Penggal tahun 2010, enggan bekerjasama dengan Obama sehingga parti itu dikenali sebagai “parti tidak.” Bahkan, sebaik-baik sahaja Obama memenangi Pilihan Raya Presiden,  tetapi belum lagi memegang jawatan itu, Republikan mengisytiharkan bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan beliau.   Bagi mereka, “demi memastikan Obama hilang pekerjaan, biarkan rakyat  tanpa pekerjaan.”  
Rakyat  kini  menyalahkan Washington, iaitu Dewan Perwakilan, Senat, dan Rumah Putih terhadap masalah yang wujud, baik dari segi ekonomi mahupun politik.  Seperti yang pernah ditegaskan oleh bekas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Robert Gates, kegagalan menangani hutang dan masalah belanjawan yang teruk adalah kerana ahli politik Republikan dan Demokratik “lebih mementingkan kemenangan dalam pilihan raya dan meraih kemenangan ideologi berbanding dengan menyelamatkan negara.”
Memang  Obama boleh dikatakan gagal dari segi ekonomi, tetapi Romney gagal mengemukakan alternatif yang terbaik.  Dalam pilihan raya kali ini, rakyat nampaknya  perlu membuat pilihan antara dasar yang gagal dengan alternatif yang teruk. Pastinya, pilihan raya kali ini bukannya pertarungan angka semata-mata, bukannya hanya kuantitatif, tetapi ini juga kualitatif, yang dari segi ini Obama banyak mempunyai kelebihan berbanding dengan Romney. Kempen yang kurang cacat juga banyak membantu kemenangan calon, dan dari segi ini, kempen Obama mempunyai kelebihan berbanding dengan kempen Romney.
Ketika makalah ini ditulis, iaitu pada pertengahan September, The Huffington Post menunjukkan bahawa Barack Obama menguasai 316 berbanding 206 undi badan perwakilan pemilih untuk Mitt Romney,  manakala masih wujud dua buah negeri berayun, iaitu Wisconsin dan Iowa. Pastinya, dalam masa kira-kira 50 hari, kedudukan itu akan berubah-ubah.  Sementara Nate Silver, penganalisis yang sering dirujuk,  melalui kolumnya dalam The New York Times, dalam ramalannya pada 18 September, Obama memperoleh 320.2 undi badan perwakilan pemilih  berbanding 217.8 untuk Romney.  Peluang Obama menang pula ialah 91.3 peratus berbanding 8.7 peratus untuk Romney.
Ketika majalah  ini beredar dalam pasaran pada bulan November, keputusan pilihan raya telah pun diketahui. Maka,  dapat disahkan, sama ada Obama menang kerana kempennya, biarpun ekonomi teruk, ataupun Romney menang kerana ekonomi, biarpun kempennya teruk.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, November 2012.) 

Tuesday, October 21, 2014

Bahasa: Orde Baru Dunia

SELASA, 21  Oktober 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Selepas berakhirnya Perang Dingin, jika  Amerika perlu mempunyai strategi besar baru, pertama-tamanya Amerika perlu muncul dengan peta baru dunia. Intelektual Amerika, seperti yang dibahaskan oleh Charles A. Kupchan dalam The End of the American Era, setakat ini,  mengemukakan lima alternatif peta dunia.  Mereka ialah Francis Fukuyama, John Mearsheimer, Samuel Huntington, Paul Kennedy, Robert Kaplan, dan Thomas Friedman, yang terpaksa berfikir keras, bergelut dengan isu besar hari ini dalam usaha membantu Amerika menyesuaikan dirinya dalam era baru dan tidak pasti.  Akan tetapi, peta dunia mereka mengelirukan,  atau sekurang-kurangnya mempunyai hayat yang terlalu pendek untuk dapat dipertahan.  
            Kupchan memang betul apabila beliau menegaskan, “meskipun setiap intelektual itu  menggarap unsur penting dalam sistem antarabangsa, kesemuanya tidak menepati sasaran dalam mengenal pasti punca kesalahan utama tentang masa depan.”   Walau bagaimanapun, sebagaimana intelektual itu, beliau juga tidak mengesan kemungkinan kebangkitan semula Rusia yang atas nama Kesatuan Soviet tewas dalam pertarungan ideologi. Beliau juga terlepas pandang tentang kemungkinan  Rusia  membentuk Orde Baru Dunia pasca-Perang Dingin. Beliau hanya membayangkan bahawa cabaran seterusnya terhadap Amerika bukannya daripada  Islam atau China, tetapi datangnya daripada Eropah yang bergabung:  Kesatuan Eropah.      
            Dalam Dewan Bahasa keluaran Mei lalu, di bawah tajuk “Bahasa Lesen Pencerobohan?” saya menulis pencerobohan Rusia  terhadap  Ukraine.  Alasannya adalah untuk    melindungi  rakyat di negara itu yang bertutur dalam bahasa Rusia. Sesungguhnya, pengilhakan (annexation) Semenanjung Crimea oleh Rusia itu bukan sahaja dari segi geopolitik membimbangkan Barat,   tetapi juga alasan untuk mewajarkan tindakan, iaitu bahasa turut mendapat perhatian.
            Pada akhir Februari, hanya dua hari selepas Presiden Viktor Yanukovych yang pro-Rusia lari meninggalkan Kiev, lapor The Moscow Times, parlimen Ukraine memansuhkan undang-undang yang menyemadikan hak orang penutus bahasa Rusia menggunakan bahasa pertama mereka.  Penutur bahasa Rusia di Ukraine, tertumpu di timur dan selatan, tempat undang-undang itu dikuatkuaskan, menganggap tindakan itu sebagai membalas dendam.  Di Moscow, pemimpin Rusia melihat sebagai peluang.  Kerajaan baru Ukraine hanya mengambil masa lima hari untuk mengubah keputusan parlimen itu,  membenarkan semula penggunaan bahasa Rusia di sesetengah sekolah, mahkamah, dan institusi negara lain.
            Kerajaan baru Ukraine dikatakan membuat kesilapan yang disengajakan dengan memansuhkan undang-undang tahun 2012 yang membenarkan  bahasa Rusia menjadi bahasa rasmi negara itu bersama-sama bahasa Ukraine di wilayah-wilayah yang penutur bahasa Rusia adalah lebih banyak.   Keputusan itu dianggap  tergesa-gesa dan tidak perlu, walau bagaimanapun,  Oleksandr Turchynov,  pemangku Presiden Ukraine, memvetokan penurunan taraf bahasa Rusia  selepas  Rada meluluskannya.  Beliau dipetik sebagai berkata, “Meskipun undang-undang bahasa tahun 2012 tidak seimbang, saya tidak akan menandatangani keputusan parlimen untuk memansuhkannya sehingga rang undang-undang baru untuk melindungi semua bahasa dilindungi.” 
            Akan tetapi, lima hari itu sudah cukup untuk Presiden Vladimir Putin menggerakkan rantai peristiwa yang melemahkan kerajaan pro-Barat di Kiev dan melakarkan kawasan besar negara itu kembali semula ke  dalam orbit Rusia. Keputusan terges-gesa tentang undang-undang bahasa  yang dibuat oleh Rada, parlimen Ukraine, memberikan kewajaran kepada Presiden  Putin menceroboh negara itu.  Seperti yang dicatatkan oleh R.L.G., memberikan  hujah  propaganda yang selesa kepada Putin: puak fasis berusaha sedaya-upaya untuk menghapuskan semua kesan orang Rusia, bahasa dan budaya dari Ukaine.  R.L.G. yang menulis dalam The Economist, “Johnson:  Different Tongues, Common Homes,”    bahawa tokok tambah yang  memeranjatkan ini lebih berkesan kerana adanya bibit kepercayaan terhadapnya.  “Perkara seterusnya yang Ukraine tahu,” tulis beliau,  “Rusia menceroboh dengan alasan untuk melindungi rakan Rusia.  Crimea yang bertutur dalam bahasa Rusia kini dalam tangan Rusia, dan semua mata tertumpu ke Ukraine timur, yang orang Rusia juga lebih banyak.”
            Krisis Ukraine terus  meruncing, dengan  wilayah timur   juga mengadakan pungutan suara untuk “kembali semula” ke Rusia.  Tanpa perlu menghantar sebuah kereta perisai menyeberangi sempadan, tetapi hanya memadai dengan Rusia  mengapi-apikan pemberontakan bersenjata, Ukraine Timur juga  terlepas daripada kawalan Kiev. 
            Etnik Rusia yang bertaburan, seperti yang ditunjukkan dalam peta Time keluaran 19 Mei, kini menjadi perhatian.  Ukraine sendiri tanpa Semenanjung Crimea mempunyai 15 peratus etnik Rusia daripada jumlah penduduknya, manakala yang tinggi ialah di  Latvia (26 peratus) dan Estonia (25 peratus), dan  Kazakhstan   (24 peratus).  Sebuah lagi negara yang boleh dikatakan tinggi jumlah etnik Rusia ialah Kyrgyzstan, iaitu 13 peratus.  Jika melindungi penutur bahasa Rusia dijadikan alasan,    Rusia berkemungkinan melebarkan sayapnya dari Asia Tengah ke Baltic. 
            Walaupun bukan kali pertama pengilhakan berlaku kerana melindungi penutur sesuatu bahasa,  sebelum ini, Jerman Nazi   pernah melakukannya di Sudetenlad, Czechoslovakia,  Putin  dengan berani menunjukkan cara melakarkan semula peta dunia berdasarkan bahasa.
            Putin dianggap menghidupkan semula “imperialisme linguistik,”  yang mendorong The Economist  muncul  dengan  “The World According to Putin dalam keluaran 10 Mei.  Apabila  beliau  mewajarkan pengilhakannya terhadap Crimea, dan alasan bahawa beliau berikrar untuk melindungi penutur bahasa Rusia di mana-mana sahaja,  majalah ini (The Economist menganggapnya akhbar) tidak berkenan dengan hujah Putih itu,  menegaskan oleh sebab sempadan linguistik tidak memadankan mana-mana negara, maka ini akan membawa kacau-bilau.  Majalah tersebut melakar semula sempadan dunia menurut prinsip Putin, yang mungkin para pembaca bersetuju bahawa peta yang dihasilkan itu mempunyai daya tarikan yang sangat besar.
            Lakaran itu, jika kita kembangkan, katakan   untuk  Asia Tenggara, maka hasilnya,  bahasa Inggeris: Brunei, Malaysia, Myanmar dan Singapura;  bahasa Belanda:  Indonesia; bahasa Perancis: Indo-China;  bahasa  Sepanyol:  Filipina.  Atau kerana bahasa,  Malaysia, Indonesia, dan Brunei bercantum.    Sesuatu yang tidak pernah difikirkan sama sekali, walaupun ketika Internet mula menjelajah dunia, dijangkakan wujud hegemoni bahasa Inggeris sambil mengorbankan bahasa lain, termasuk bahasa Melayu.
            “Pembahagian Putin  memandang tinggi kuasa kolonial lama. Portugal akan menuntut semula Brazil, Sepanyol kebanyakan  Amerika Tengah dan Amerika Selatan, dan Perancis kebanyakan Afrika Barat, yang mungkin dialu-alukan oleh penduduk tempatan kerana banyak kerajaan semasa mereka tidak banyak berfungsi.” Tulis The Economist,  “kerajaan Scandinavia yang kuat akan muncul, termasuk Finland, meskipun Finnish sangat berbeza daripada bahasa orang Scandnavia.  Oleh sebab Swedish ialah bahasa kedua Finland, maka orang Viking mempunyai alasan yang kuat untuk mewujudkan sejenis percantuman aman berasaskan nilai budaya yang dikongsi yang mereka memang terkenal.”
            Sementara Arab yang bersatu, menurut majalah itu, akan terbentang dari Lautan Atlantik ke Lautan Hindi.  Di situ mungkin berlaku pergaduhan kecil antara orang Sunah, Syiah,  orang Kristian, dan penyokong pandangan purbakala tentang bangsa; tetapi bersatu melalui bahasa bersama, orang Arab akan pasti dapat bersama-sama, terutamanya jika mereka bersatu menyerang penutur bahasa Parsi yang mendiami bahagian lain Teluk Paris. Dua Korea akan menjadi satu, yang mungkin satu perkara baik atau tidak, bergantung pada sistem yang dikekalkan.
            Berdasarkan bahasa, peta dunia yang baru mungkin terlakar, misalnya bahasa Hindi dan Urdu, yang menurut The Economist, oleh sebab  kedua-duanya campuran Sanskrit dan Parsi saling dapat difahami, maka India boleh menuntut Pakistan atau sebaliknya.  “Yang paling baik, Britain akan mendapat semula empayarnya, termasuk Amerika Syarikat, kerana Britain yang mula-mula bertutur dalam bahasa Inggeris,” tulis majalah itu sambil mengingatkan, penyatuan dapat dilemahkan oleh gerakan kemerdekaan linguistik:  di China  berbelas-belas  bahasa akan tertanggal daripada Mandarin; Mayaland akan menuntut autonomi di Amerika Tengah; Swahililand akan menuntut kemerdekaan di Afrika.

            Putin mungkin membuat pertaruhan yang silap  kerana di  dunia dengan tujuh bilion penduduk, wujud  lebih 7000 bahasa, bahkan di Rusia sahaja ada lebih 100 bahasa.  Namun, setakat ini, tanpa menggunakan kuasa  ketenteraan dan kuasa ekonomi daripada hasil minyak yang lumayan, beliau  membentuk Orde Baru Dunia bertonggakkan  bahasa.  Atau memetik istilah yang diperkenalkan oleh Joseph Schumpeter, beliau melakukan “pemusnahan kreatif,” dalam erti kata, meninggalkan yang lama, mencuba yang baru dalam usahanya menobatkan dirinya sebagai tsar dan pada masa yang sama, mengembalikan semula kegemilangan Rusia (atau Kesatuan Soviet) yang telah lenyap.
           (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Bahasa, Julai 2014.)

Monday, October 20, 2014

Mitos Banjir

ISNIN,  20  Oktober  2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Malapetaka selalunya mendekatkan manusia dengan Tuhan.  Contoh terbaru ialah kehilangan pesawat MH370.  Tatkala misi pencarian yang melibatkan pelbagai negara tertumpu di Laut China Selatan dan Teluk Siam, kemudian beralih sepenuhnya ke selatan Lautan Hindi,  orang ramai, baik penganut agama Islam mahupun bukan Islam, terus  berdoa agar kehilangan misteri dapat dirungkaikan dan para penumpang selamat.  Tatkala Taufan Haiyan melanda Filipina pada akhir tahun lalu, penduduk negara itu yang majoritinya beragama Katolik  bertanya, “mengapa Tuhan memilih mereka” sebagai sasaran malapetaka yang sangat dahsyat itu. Kira-kira  sepuluh tahun lalu, ketika tsunami melanda Indonesia, India, Sri Lanka, Malaysia, Thailand, dan beberapa buah negara di Lautan Hindi, yang mengorbankan berpuluh-puluh ribu nyawa, kebesaran Tuhan  mendapat perhatian penganut agama yang berkenaan:  masjid di Aceh, patung Buddha di Sri Lanka, dan dua buah gereja Katolik  di India, yang terselamat.  
            Dalam kalangan pemimpin politik dan pengikut mereka pula, seperti yang berlaku di Malaysia, mereka cenderung mentafsirkan sesuatu tragedi, seperti bencana alam  untuk menyerang pihak lawan.   Misalnya kalau di Terengganu, banjir, menurut orang PAS,  “bala”  Tuhan.  Walau bagaimanapun, sebaik-baik sahaja   parti tersebut  memerintah negeri itu pada akhir   tahun 1999,  berlaku banjir,  maka diberikan  alasan    “cuci dosa.”
            Ada kepercayaan dan jenaka  di sebalik banjir yang berlaku.  Ketika saya  masa kanak-kanak dahulu, apabila banjir berlaku, air Sungai Terengganu naik dan arusnya deras.  Bunyi arus yang kuat  jelas kedengaran pada waktu malam, yang kononnya bunyi  naga  dari hulu Terengganu turun ke laut. Apabila saya meningkat remaja,  ada  orang menyebut, “banjir besar malam tadi,” sambil menambah “empat kaki atas katil.”   Pada suatu ketika dahulu, di Kuala Terengganu, banjir seakan-akan satu pesta, iaitu untuk orang lelaki “cuci mata,” kerana adanya sebilangan anak gadis dan wanita yang  “bermain air bah”  menyelak kain mereka hingga ke paras paha.
            Baru-baru ini, banjir yang digambarkan dalam   filem Noah  benar-benar berlaku.   Vue Cinema di kota Exeter, United Kingdom terpaksa membatalkan tayangan epik Bible lakonan Russell Crowe dan Emma Watson itu  kerana banjir yang berpunca daripada mesin ais yang tidak dapat dikawal, tetapi nasib baik kerana  “bahtera tidak  diperlukan.”
            Filem   Noah yang  diharamkan tayangannya  di beberapa buah negara Islam, termasuk Malaysia dan Indonesia, dan ditentang oleh orang Islam serta  orang Kristian kerana bercanggah dengan kitab suci mereka,   mengingatkan masyarakat kini tentang banjir yang berlaku pada zaman lampau.  Bagi orang Islam,  kisah Nabi Nuh AS, selalunya dikaitkan dengan banjir besar yang Allah turunkan kerana kaum Nuh menolak kebenaran dan  melakukan kesalahan.  Akibatnya, mereka yang ingkar ditenggelamkan, manakala yang beriman diselamatkan.  
            Ketika zaman kanak-kanak dahulu, saya pernah mendengar kisah Nabi Nuh dan banjir besar, dan ada dua perkara yang masih kekal dalam ingatan saya hingga sekarang, tetapi saya tidak pernah memastikan  kesahihannya.  Pertama, bubur sura yang masih wujud hingga kini, dikatakan  pada asalnya  dimasak dalam bahtera Nabi Nuh.  Kedua, selain umat yang setia pada Nabi Nuh, haiwan juga dibawa menaiki bahtera itu.  Dalam banyak-banyak haiwan itu, babi dan anjing “berkelakuan tanpa segan-silu, bergomol jantan betina,” dan akibatnya,  kedua-dua haiwan itu dijatuhi hukuman yang  dipatuhi oleh orang Islam.
            Namun begitu, kisah banjir besar, seperti yang dibahaskan oleh Ishaan Tharoor dalam Time dalam talian, tidak bermula dengan Bible, sebaliknya bermula dalam peradaban purba Mesopotamia.  Tharoor merujuk Epic of Gilgamesh yang lahir hampir 5000 tahun lalu dan difikirkan mungkin kisah tertulis paling tua tentang planet ini.   Dalam epik itu diriwayatkan kisah pendeta agung, Utnapishtim, yang memberikan amaran tentang banjir akan diturunkan tidak lama lagi oleh tuhan-tuhan yang murka.  Beliau membina bot besar berbentuk bundar, diperteguh dengan tampalan tar dan gegala, yang membawa saudara-maranya, bijian, dan haiwan.  Selepas beberapa hari bertahan daripada ribut taufan, Utnapishtim, seperti Noah dalam  Genesis, melepaskan burung untuk mencari tanah yang kering.
            Pelbagai ahli arkeologi, seperti yang dipetik  oleh Tharoor, menyatakan bahawa wujud banjir besar bersejarah antara 5000 tahun hingga 7000 tahun lalu yang melanda tanah merangkumi kawasan dari Laut Hitam ke yang banyak orang sebut sangga peradaban, iaitu dataran banjir di antara Sungai Tigris dengan Sungai Eupharates.  Mitos banjir  Mesopotamia itu dipercayai mendahului kisah Noah dalam Bible.
            Walau bagaimanapun, hujah Tharoor, kisah banjir berkembang daripada banyak sumber.  Budaya purba tidak terkira banyaknya mempunyai legendanya sendiri tentang bencana air dan takhlisan (salvation).  Beliau memetik tradisi  Vedic yang mengisahkan ikan memberitahu Manu, raja India mitos bahawa banjir akan memusnahkan manusia.  Maka, Manu membina kapal untuk dapat bertahan daripada hujan yang sangat lebat dan kemudian dibawa ke puncak gunung oleh ikan yang sama.  Tharoor  juga menyebut kisah banjir di Aztec,  dan  pewujudan mitos dari Mesir ke Scandinavia yang melibatkan gelombang banjir. “Mitos banjir terlalu universal yang ahli psikoanalisis Hungary, Geza Roheim fikirkan bahawa mitos itu berasal daripada psikologik dan bukannya sejarah, menghipotesiskan mimpi banjir datang apabila manusia tertidur dengan pundi penuh.” 
            Dalam “Flood Stories from  Around the World,” yang dapat diperoleh melalui laman Web, The Talk Origins Archive, Mark Isaak menulis dalam pengenalan: “Kisah yang di bawah merupakan kisah banjir daripada folklore dunia.  Saya memasukkan kisah jika (1) kisah itu kisah; (2) kisah itu folklore, dan bukannya laporan sejarah atau fiksyen yang ditulis pengarang yang diketahui, dan (3) kisah melibatkan banjir.”  Kisah banjir yang beliau senaraikan itu merangkumi wilayah Eropah, Timur Dekat, Australia, Kepulauan Pasifik, Amerika Utara, Amerika Tengah, dan tidak ketinggalan Asia yang Benua-Jakun (Semenanjung Tanah Melayu) dan Kelantan turut tersenarai.  Menurut kisah Benua-Jakun, tanah yang kita pijak adalah semata-mata kulit yang meliputi abis air atau jurang air yang dalam.  Lama dahulu, Pirman, dewa, mengoyakkan kulit ini, maka berlaku banjir dan memusnahkan dunia.  Walau bagaimanapun, Pirman  mencipta lelaki dan wanita dan menempatkan mereka dalam kapal yang tertutup secara keseluruhan yang dibuat daripada kayu pulai.  Banjir di Kelantan pula mengisahkan satu hari,  perayaan diadakan untuk bersunat dan ketika itu semua jenis binatang liar diadukan untuk berlawan antara satu lain.  Perlawanan terakhir adalah antara anjing dengan kucing.  Ketika perlawanan itu berlangsung, banjir besar turun dari gunung, menghanyutkan setiap orang, kecuali dua atau tiga orang gaji yang disuruh ke bukit mencari kayu api.
            Mengapakah hampir setiap budaya mempunyai tradisi banjir global?  Persoalan ini cuba dijelaskan  oleh John D. Morris, dari Institute for Creation Research (ICR), yang menegaskan bahawa satu keterangan paling kukuh untuk banjir global yang memusnahkan semua manusia di Bumi ini, kecuali Noah  dan keluarganya, ialah kehadiran yang sentiasa ada  legenda banjir dalam folklore kumpulan orang dari seluruh dunia.  Dan kisah semuanya sangat sama.  Geografi tempatan dan aspek budaya mungkin ada, tetapi kisah itu semuanya seakan-akan memberitahu kisah yang sama.
            Morris selama beberapa tahun mengumpulkan lebih 200 kisah banjir global, yang pada asalnya dilaporkan oleh pelbagai mubaligh, ahli antropologi, dan ahli etnologi, menegaskan walaupun perbezaan tidak selalunya remeh, inti pati lazim kisah itu adalah penuh dengan maklumat:  keluarga diutamakan, mereka diberikan amaran terlebih awal, banjir berpunca daripada kejahatan manusia, malapetaka hanya banjir, banjir adalah global, terselamat kerana bot, haiwan juga diselamatkan, haiwan juga memainkan peranan, orang yang selamat mendarat di gunung,  geografi tempatan, burung dihantar ke luar, pelangi disebut,  orang yang selamat rela berkorban, dan secara khususnya, lapan orang diselamatkan, yang dapat dijalinkan menjadi sebuah kisah.
            “Pastinya, kisahnya kedengaran banyak persamaan dengan kisah banjir besar zaman Noah yang disebut dalam Bible,” tulis Morris.  “Laporan yang paling serupa lazimnya daripada budaya Timur Tengah, tetapi memeranjtkan legenda yang sama ditemui di Amerika Selatan dan Kepulauan Pasifik dan tempat-tempat lain.  Tidak satu pun kisah ini mengandungi kecantikan, kejelasan, dan perincian yang boleh dipercayai yang diberikan dalam Bible, tetapi setiap kisah itu penuh bermakna kepada budaya  mereka sendiri.”
            Walau bagaimanapun, Morris menjelaskan ahli antropologi akan memberitahu bahawa mitos selalunya memori yang luntur tentang peristiwa sebenar.  Perincian mungkin ditokoktambahkan, hilang, atau dikaburkan dalam penceritaan demi penceritaan, tetapi inti kebenaran kekal.  “Apabila dua budaya yang berasingan mempunyai ‘mitos’ yang sama dalam badan folklore, leluhur  budaya itu  mesti mempunyai, sama ada mengalami peristiwa yang sama, ataupun  kedua-dua budaya itu turun daripada  sumber nenek moyang yang sama yang dengan sendirinya mengalami peristiwa itu.”
            Meskipun dianggap mitos, wujud pengajaran yang berguna untuk generasi masa kini tatkala dunia bergelut dengan pertembungan peradaban dan persengketaan kaum serta agama yang berleluasa.  Seperti yang ditegaskan oleh Morris, “hanya cara yang boleh dipercayai untuk memahami legenda banjir yang sama, yang tersebar luas adalah untuk mengakui bahawa semua orang yang hidup hari ini, meskipun dipisahkan dari segi geografi, bahasa, dan budaya, berasal daripada beberapa orang sebenar yang terselamat daripada banjir global sebenar, menaiki bot sebenar yang akhirnya mendarat di gunung sebenar.  Keturunan mereka kini memenuhi dunia, tidak pernah melupakan peristiwa sebenar.”
            Balik kepada filem Noah yang juga diharamkan tayangannya di China atas alasan agama,  mendapat bantahan orang Islam dan  orang Kristian, menyaksikan penganut kedua-dua agama ini “bersatu,”  sesuatu yang jarang-jarang berlaku.  Beberapa tahun lalu, orang Islam dan Yahudi di Jerman bersatu menentang rancangan kerajaan negara itu mengharamkan amalan bersunat dalam kalangan kanak-kanak.  Bagi sebilangan orang Kristian, kini baru mereka menyedari bahawa selain dalam Bible, kisah  Nabi Nuh juga terkandung  dalam al-Qur’an.  Mereka  juga menyedari bahawa selain Nabi Muhammad SAW, orang Islam juga dikehendaki mempercayai  para rasul yang lain dan melindungi  para rasul   daripada dipersendakan, seperti yang berlaku dalam filem arahan  Darren Aronofksy itu.             

            Kisah banjir   menunjukkan bahawa  budaya yang berbeza mempunyai mitos yang sama. Dalam konteks yang lebih luas,  apakah banjir besar melahirkan budaya besar atau budaya agung?
            (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Budaya, Julai 2014.)

Sunday, October 19, 2014

Model yang Gagal

AHAD, 19  Oktober 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH





Pergelutan  dengan krisis hutang tanpa kesudahan, tidak kurang pula pemimpin yang disingkirkan, sama ada melalui teknokrasi ataupun demokrasi, Greece di persimpangan, sama ada kekal ataupun keluar dari zon euro, dan Jerman akhirnya akan melakukan apa-apa  yang perlu demi memastikan kelangsungan mata wang bersama itu, euro dikatakan terlalu besar untuk gagal.  Krisis zon euro dijangkakan mengancam untuk memusnahkan Kesatuan Eropah. 
Ketika berucap di Itali,  George Soros memberitahu  Jerman bahawa negara itu mempunyai masa tiga bulan untuk menyelamatkan euro dan mencegah Kesatuan Eropah daripada berkecai.  Dalam makalahnya yang diterbitkan dalam The Guardian, Soros menyatakan kini jelas bahawa punca krisis euro ialah negara anggota menyerahkan hak mencetak wang kepada Bank Pusat Eropah (ECB).  Negara berkenaan tidak faham apakah yang penyerahan itu diperlukan dan demikian pihak berkuasa Eropah.
Charles A. Kupchan yang menulis  dalam The Washington Post pada awal Jun lalu, mengingatkan bahawa meskipun tidak terlalu terlewat untuk menyelamatkan euro, semakin terlewat untuk menyelamatkan Kesatuan Eropah. Langkah mengetatkan tali pinggang yang dipaksa oleh Jerman perlu untuk mengurangkan hutang mencetuskan penentangan popular terhadap Kesatuan Eropah boleh menjadi punca kemusnahan. Tegas Kupchan, menyelamatkan euro merupakan kerja yang mudah; memulihkan keyakinan dalam integrasi akan terbukti kedua-duanya, iaitu lebih muktamad dan lebih sukar.
            Keputusan pilihan raya pada pelbagai peringkat, dari Perancis ke Greece ke Itali, bukan sahaja menyaksikan pemberontakan terhadap jimat-cermat, tetapi juga penentangan terhadap Kesatuan Eropah itu sendiri. Sementara di Jerman, walaupun sokongan terhadap Kesatuan Eropah masih kukuh, para pengundi negara itu sudah berasa keletihan apabila negara mereka asyik memainkan peranan “saku dalam” untuk  menyelamatkan negara  bermasalah dalam Kesatuan Eropah.  Bahkan, keadaan di Britain lebih teruk apabila permusuhan terhadap Kesatuan Eropah memasuki arus perdana.
            Seperti yang pernah  diperkatakan oleh Martin Feldstein dalam Foreign Affairs bahawa euro sepatutnya kini dikenal pasti sebagai sebuah eksperimen yang gagal. “Kegagalan ini,” tegas beliau, “yang berlaku sebaik-baik sahaja selepas berbelas-belas tahun sejak diperkenalkan pada tahun 1999, bukan secara kebetulan atau akibat salah urusan birokratik, tetapi adalah kerana akibat yang tidak dapat dielakkan mengenakan mata wang tunggal terhadap kumpulan negara yang sangat majmuk.  Kesan ekonomi yang buruk yang dicetuskan oleh  euro, termasuk krisis hutang kedaulatan di beberapa buah negara Eropah, keadaan lemah bank-bank utama Eropah, tahap tinggi pengangguran di seluruh zon euro, dan defisit perdagangan yang besar yang kini melanda kebanyakan negara zon euro.” 
Matlamat politik mewujudkan Eropah yang harmoni juga gagal, tambah Feldstein. “Perancis dan Jerman mengenakan langkah jimat-cermat yang menyakitkan terhadap Greece dan Italy sebagai syarat bantuan kewangan mereka, dan Paris dan Berlin bertelagah tentang peranan ECB  dan tentang beban bantuan kewangan yang akan dikongsi.”  Dorongan awal yang membawa penubuhan Kesatuan Monetari Eropah dan kewujudan euro,  adalah politik, dan bukannya ekonomi.
Eropah memasuki zon bahaya kerana kesatuan monetari yang merangkumkan 17 buah negara yang berbeza dengan mata wang tunggal, berfungsi hanya jika kesatuan fiskal, kesatuan perbankan, dan kesatuan dasar ekonomi menyertai kesatuan itu monetari itu. Jika tidak, perbezaan dalam kalangan negara anggota dari segi daya saing, defisit belanjawan, hutang negara, dan kestabilan perbankan boleh menyebabkan ketidakseimbangan kewangan yang teruk.  Hujah Roger C. Almanfor dalam The Washington Post, “keadaan ini dibincangkan dengan meluas apabila perjanjian monetari dimeteraikan pada tahun 1992, tetapi integrasi lanjut tersebut tidak berlaku.”
Jika akhirnya Kesatuan Eropah runtuh, hal ini pastinya tidak memeranjatkan, kerana benih krisis disemai sejak 60 tahun yang lalu. Dekad klise tentang kepaduan Eropah dan idea Eropah, tulis Clive Crook dalam Bloomberg, dipegang untuk cemuhan.  Hujah bahawa orang British, Jerman, Greece, dan orang Sepanyol merupakan rakan budaya kenalurian yang kebersamaan yang menjangkau perbezaan dan permusuhan sejarah mereka yang jelas berbeza. “Streotaip purba,”  hujah beliau, “membentuk perbualan tentang krisis. Orang Jerman suka mengarah dan keras.  Orang Itali bermalas-malas.  Orang Greece korup. Orang British angkuh. Orang Perancis megah diri. Begitu banyak untuk 60 tahun penyatuan Eropah.”
Masalahnya ialah kesatuan fiskal, jelas Crook, yang menguntukkan Kesatuan Eropah potensi perpindahan yang sangat besar dalam kalangan anggota, dan menjadikan mereka eksplisit.  Soal beliau:  Bolehkah wujud kesatuan fiskal jenis itu tanpa kesatuan politik?  Dan bolehkan negara yang berpecah belah di Eropah, iaitu orang Jerman yang suka mengarah, orang Itali yang bermalas-malas, orang British yang angkuh, dan orang Perancis yang megah diri, sebenarnya mahu menjadi sebuah negara?
Keputusan Pilihan Raya Presiden di Perancis, Parlimen di Greece, dan pilihan raya di beberapa buah negeri di Jerman pada awal Mei   lalu, sesungguhnya memperlihatkan pemberontakan Eropah terhadap jimat-cermat.  Berikutan kemenangan Francois Hollande dalam Pilihan Raya Presiden Perancis pada awal Mei lalu, menewaskan penjawat kini, Nicolas Sarkozy, ketidaksepakatan antara Paris dengan Berlin, khususnya terhadap pelaksanaan jimat-cermat semakin ketara.
Namun, antara ketiga-tiga pilihan raya itu, Greece yang paling teruk kerana gagal  parti-parti gagal mencapai kesepakatan untuk membentuk kerajaan.  Greece yang menghadapi kelumpuhan ekonomi dan kemudian kebuntuan politik  bergelut dengan  krisis yang cukup dalam.  Atas tekanan troika, iaitu Kesatuan Eropah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dan ECB,  Greece terpaksa memotong perbelanjaan sehingga ke tahap tidak ada lagi yang dapat dipotong dan terpaksa menswastakan aset milik negara, seterusnya digertak dan diberikan kata dua: Kekal dalam zon euro dan laksanakan jimat-cermat.  Kebuntuan politik sehingga pilihan raya baru terpaksa diadakan semula pada 17 Jun lalu menguatkan lagi spekulasi bahawa Greece akan meninggalkan zon mata wang bersama.  Jika itulah jalan yang dipilih, nescaya kesan cukup parah:  Pemulihan Britain akan terbantut dan kesejahteraan Jerman terjejas. Greece diibaratkan “senjata pemusnahan besar-besaran” dan keruntuhan ala Lehman Brothers yang berlaku pada September 2008 dalam pembikinan.  Juga timbul persoalan tentang nasib negara dalam zon euro, seperti Sepanyol, Portugal, dan Ireland.
Sama ada Greece kekal ataupun meninggalkan zon euro, tegas  Seumas Milne dalam The Guardian, “kita mesti meninggalkan model yang gagal ini,” sambil membangkitkan tekanan yang keterlaluan terhadap Greece dan Ireland: Laksanakan jimat-cermat. Beliau mengingatkan dalam kedua-dua kes, iaitu Greece dan Ireland, “ancaman adalah pura-pura.  Asas perundangan klausa perjanjian kerajaan Ireland menegaskan akan memotong dana pelan penyelamat masa depan dicabar kuat dan prospek tidak realistik.  Dan penduduk Greece tidak mengundi, sama ada untuk kekal ataupun untuk meninggalkan euro pada bulan depan (Jun).  Mereka mengundi, sama ada untuk meneruskan ataupun menolak program terapi kejutan yang bahkan pihak yang mendesak pelaksanannya  tahu akan mengheret Greece ke dalam hutang dan kepapaan yang teruk.”  Tambah beliau, “di seluruh benua itu, sama ada kekal ataupun keluar dari zon euro, perlunya untuk memutuskan hubungan dengan model ekonomi yang gagal itu tidak boleh lebih mendesak.”
Greece yang dalam kesusahan dibimbangi merupakan “domino pertama” yang runtuh kerana jimat-cermat dianggap gagal.  Jimat-cermat diperhatikan, tidak pernah berkesan bukan hanya tentang persekitaran ekonomi semasa, tetapi juga sejarah menunjukkan bahawa pemotongan belanjawan  selalunya membawa kepada kemelesetan.   Ketika sidang kemuncak G-8 di Camp David pada akhir Mei lalu, para pemimpin, antaranya Presiden Barack Obama, menyokong dasar pertumbuhan ekonomi mengatasi jimat-cermat dan menegaskan Greece yang yang terpaksa bergelut mencari jalan keluar daripada krisis hutang yang teruk, sepatutnya kekal dalam zon euro.  Menjelang sidang kemuncak itu, Barack Obama memberitahu Kesatuan Eropah supaya merangsang  pertumbuhan sekarang atau menghadapi krisis global.  Beliau  mendesak Jerman supaya mengurangkan kesakitan akibat pelaksanaan jimat-cermat untuk merangsang pertumbuhan.
Baik Kesatuan Eropah mahupun zon euro, sebenarnya Eropah memilih model yang membawa kegagalan. Tinjauan pendapat yang dijalankan oleh Pew Research Centre baru-baru ini mendapati “majoriti di kebanyakan lapan negara yang dikaji berpendapat bahawa integrasi Kesatuan Eropah melemahkan ekonomi negara.”    Setelah tiga tahun bergelut dengan krisis hutang, kesilapan memilih penawar atau remedi, iaitu jimat-cermat memburukkan lagi keadaan.  Sekurang-kurangnya  sembilan negara  Kesatuan Eropah terjebak dalam kemelesetan pada suku pertama tahun 2012, antaranya United Kingdom, Itali, dan Sepanyol.   Dengan pertumbuhan 0.5 peratus dalam suku pertama itu berikutan prestasi eksportnya yang kuat, Jerman membantu ekonomi 17 buah negara yang menggunakan euro daripada nyaris-nyaris terjebak dalam kemelesetan.  Menurut Eurostat, pejabat perangkaan Kesatuan Eropah, tanpa Jerman, nescaya ekonomi zon euro merosot sebanyak 0.2 peratus dalam suku pertama tahun ini.   
Ahli ekonomi, seperti Paul Krugman pernah mengesyorkan Eropah meninggalkan program jimat-cermat, belanja lebih, dan pastikan belanjawan teratur sebaik-baik sahaja ekonomi pulih. Masalahnya, menurut Keynesian, seperti Krugman, adalah bahawa elit Eropah, terutamanya di Jerman,  mendakap doktrin ekonomi yang silap.
            Tatkala negara Eropah berlumba-lumba untuk mengurangkan defisit belanjawan dengan memotong perbelanjaan, benua itu sendiri mengalami satu lagi defisit, iaitu defisit demokratik  atau  demokrasi dalam krisis.  Seperti yang berlaku di Itali dan Greece, demokrasi terpaksa dikorbankan demi menyelamatkan kapitalisme apabila dua pemimpin yang dipilih diketepikan dan memberikan laluan kepada teknokrat.  Dari satu segi yang lain, seperti yang pernah dibangktikan oleh  Fareed Zakaria  dalam blognya: “Adakah demokrasi sebahagian masalah ekonomi Eropah?”    Demokrasi dikatakan memusnahkan zon euro, apabila Pilihan Raya Presiden Perancis dan di beberapa buah lain, menunjukkan penentangan popular besar-besaran terhadap dasar jimat-cermat yang diperlukan demi menyelamatkan mata wang bersama itu.  Euro dipercayai   mampu mengharungi pelbagai bencana, daripada krisis perbankan di Ireland kepada keruntuhan hartanah di Sepanyol, di samping kekacauan ekonomi yang berpanjangan di Greece. Kini, mata wang bersama itu menghadapi ancaman yang paling besar, sesuatu yang tidak mampu diatasi, iaitu demokrasi.  
           Sama ada demokrasi terpaksa dikorbankan demi menyelamatkan kapitalisme atapun demokrasi merupakan sebahagian masalah ekonomi atau mengancam mata wang bersama, yang jelas, kedua-duanya, iaitu Kesatuan Eropah dan zon euro merupakan model gagal.  Dan implikasi kegagalan cukup besar, cukup mendalam, bukan sahaja terhadap benua itu, tetapi juga dunia keseluruhannya.
        
            (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Ogos 2012.)

Saturday, October 18, 2014

Pertempuran di Negeri Berayun

          SABTU, 18 Oktober 2014
          Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

           



Ketika makalah ini ditulis pada awal Ogos,  Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tahun 2012, hanya tinggal kurang 100 hari lagi. Sebagaimana pilihan raya sebelum ini, beberapa negeri yang dikuasai oleh Parti Demokratik dikenal pasti, antaranya California, Washington, dan Massachusetts, manakala untuk Parti Republikan ialah Texas, Arizona, dan Louisiana.  Beberapa tinjauan pendapat menunjukkan bahawa penjawat kini, Presiden Barack Obama mendahului pencabarnya, Mitt Romney daripada Republikan. Di peringkat nasional, menurut RealClearPolitics, pada awal Ogos,  Obama memperoleh 47.7 peratus atau 247 badan perwakilan pemilih berbanding dengan Romney 44.3 peratus atau 191 badan perwakilan pemilih.  Sementara akhbar Internet, The Huffington Post, menunjukkan bahawa  Obama yang pernah jatuh kepada 241 badan perwakilan pemilih, tetapi seperti awal Ogos, masih stabil dengan 291 berbanding dengan Romney yang memperoleh 191 badan perwakilan pemilih, manakala 57 adalah lambung duit (tossup).
Sementara Nate Silver, penganalisis yang terkenal, melalui tulisan terbaharunya dalam akhbar The New York Times,  meramalkan Obama memperoleh 330 daripada 538 badan perwakilan pemilih,  mengatasi keperluan minimum 270 badan perwakilan pemilih. Michael Tomasky yang menulis dalam The Daily Beast, secara provokatif,   meramalkan Obama berkemungkinan menang besar dalam pilihan raya kali ini, bersetuju dengan ramalan Silver.
Seperti juga sebelum ini, pertarungan biasanya tertumpu di negeri berayun (swing states yang juga dikenali sebagai negeri medan pertempuran atau negeri lambung duit.    Tinjauan pendapat oleh Quinnipiac University/CBS News/New York Times, menunjukkan bahawa Obama  memperoleh 50 peratus di tiga negeri berkenaan.  Beliau mendahului Romney sebanyak enam titik peratusan di kedua-duanya, iaitu Florida, dan Ohio, manakala di Pennsylvania, yang lazimnya condong kepada Demokratik, beliau mendahului lawannya sebanyak 11 titik peratusan.  Sejak tahun 1960, dikatakan bahawa tidak ada calon yang menang sebagai Presiden tanpa memenangi dua daripada tiga negeri itu.
Keupayaan Obama mendahului lawannya di tiga buah negeri itu agak mengejutkan kerana di tengah-tengah ekonomi yang muram – yang sepatutnya memberikan kelebihan kepada Romney, iaitu kadar pertumbuhan lemah, hanya 1.5 peratus suku kedua tahun ini dan kadar pengangguran masih tinggi, 8.2 peratus pada bulan Jun.  Wujud enam teori, menurut The Week, mengapa Obama memperoleh kedudukan   di tiga buah negeri berayun itu. Pertama, banyak pengundi menganggap Romney tidak mempedulikan mereka. Kedua, serangan iklan Obama tentang penglibatan Romney dalam firma ekuiti swasta, iaitu Bain Capital, dan keengganan Romney mendedahkan penyata cukai pendapatannya, adalah   berkesan.  Ketiga, sokongan besar-besaran wanita terhadap Obama, iaitu 60 peratus di Ohio dan Pennsylvania, dan 50 peratus di Florida.   Keempat, para pengundi bersetuju dengan Obama untuk menaikkan cukai terhadap golongan kaya.  Kelima, negeri berayun didapati rendah kadar pengangguran jika dibandingkan dengan peringkat nasional, misalnya 7.3 peratus di Ohio.  Keenam, ekonomi yang dikatakan merupakan pengubah permainan tidak lagi merupakan faktor utama.
Namun, wujud persoalan berapa dalam Obama mendahului lawannya, Romney di negeri berayun itu?  Harry J. Enten yang menulis dalam The Guardian, cuba memberikan jawapannya dengan menggunakan median untuk data tinjauan pendapat di setiap negeri berayun atau negeri medan pertempuran itu sejak 1 Jun.   Nyata bahawa, tegas Enten, “Obama mendahului Romney tidak benar-benar dalam.  Jika margin beranjak satu setengah titik daripada di Florida, Iowa, dan Virginia, beliau akan memperoleh 284 badan perwakilan pemilih, atau 52.8 peratus.”
Para penyokong Obama, hujah Enten, mungkin menyatakan bahawa tidak besar kesannya jika Obama kalah satu titik peratusan di Florida, kerana beliau masih menang di Iowa.  “Mungkin, tetapi, sokongan Presiden di peringkat negeri cenderung bergerak serentak antara satu sama lain.  Jika Romney menang di Florida, beliau mungkin juga menang di Iowa dan Virginia.”  Justeru, negeri utama, menurut data tinjauan pendapat median, hujah Enten lagi, “ialah Ohio.  Jika Obama menang di Ohio, beliau hampir pasti memenangi pilihan raya untuk penggal kedua.  Jika Romney menang, beliau mempunyai kedudukan yang baik.”
Sepintas lalu, Ohio seakan-akan negeri selamat untuk Mitt Romney yang di peringkat nasional, diterima oleh para pengundi kelas pekerja kulit putih.  Di Ohio, pengundi tahun 2008 adalah 50 peratus terdiri daripada kulit putih dan kurang pendidikan kolej.  Namun, hujah Enten, Romney ketinggalan semula di Ohio, negeri yang pernah beliau mendahului Obama, tetapi kini defisit  tiga  titik peratus dari segi median. “Industri auto pulih di negeri ini; sesetengah pihak mungkin berhujah bahawa Ohio ialah negeri yang kempen Obama menyerang Bain Capital Romney, kelihatan berkesan.”
Seperti yang dibahaskan oleh Nate Cohn dalam The New Republic, meskipun Obama mendahului lawannya sejak tinjauan pendapat demi tinjauan pendapat diadakan mulai Mei lalu, belum pasti menjamin kemenangan untuk beliau. Secara purata, Obama memperoleh 47.4 peratus undi di negeri itu, manakala Romney memperoleh 42 peratus. “Lambat-laun,”  hujah Cohn, “pengundi yang condong kepada Republikan akan kembali kepada Romney.  Justeru, wujud alasan yang kukuh bahawa beliau akan memperoleh 46 atau 47 peratus undi tanpa  banyak kesukaran.”
Paul Bengala yang menulis dalam Newsweek menegaskan bahawa para pengundi negeri berayun menentukan Presiden Amerika kali ini.  Beliau  menyenaraikan negeri berkenaan, iaitu Virginia, Florida, Ohio, Iowa, New Mexico, dan Colorado, yang dijangkakan kedua-dua belah pihak, iaitu kempen Obama dan kempen Romney dijangkakan membelanjakan lebih AS$2 bilion semata-mata untuk memenangi pengundi di negeri itu.  Beliau menjangkakan dalam pilihan raya ini, Obama memperoleh 48 peratus, begitu juga Romney, maka kedua-dua calon terpaksa berebut sengit bakinya,  kira-kira  empat peratus atau 916,643 orang pengundi di enam buah negeri itu. Maka, secara lebih khusus, menurut Bengala,  AS$2,181.87 akan dibelanjakan untuk setiap pengundi.
Priorities USA Action, super PAC (political-action committee) pro-Obama, dilaporkan oleh The Washington Post,  akan membelanjakan AS$30 juta dalam penyiaran dan masa televisyen kabel di enam buah negeri medan pertempuran yang kritikal, iaitu Colorado, Iowa, Florida, Ohio, Pennsylvania, dan Virginia.
Walaupun kedua-dua belah pihak, iaitu kempen Obama dan kempen Romney diperhatikan banyak tertumpu di negeri berayun, dan demikian juga liputan media, tidak wujud kesepakatan dari segi mengenal pasti negeri berkenaan. Setiap media mempunyai jumlah yang berbeza tentang negeri berayun, misalnya menurut The Huffington Post, tiga buah negeri (Florida, North Carolina, dan Virginia),  manakala National Journal, 16 buah negeri (Arizona, Colorado, Florida, Indiana, Iowa, Michigan, Minnesota, Missouri, Nevada, New Hampshire, New Mexico, North Carolina, Ohio, Pennsylvania, Virginia, dan Wisconsin).Sementara The Washington Post, The New York Times, ABC, dan RealClearPolitics, mengatakan lapan negeri berayun yang kedua-dua calon, iaitu Barack Obama dan Mitt Romney, tidak mendahului secara jelas. Pendek kata, setiap media mempunyai jumlah yang berbeza tentang negeri berayun, misalnya USA Today dan The Wall Street Journal menyenaraikan 12 buah negeri, POLITICO 10 buah negeri, MSNBC sembilan buah, dan CNN dan PBS tujuh buah negeri.
Daripada 12 saluran berita itu, tegas Eric Ostermeier dalam blog smart politics, hanya Florida dan Virginia tersenarai dalam setiap saluran berita, diikuti oleh Colorado, Iowa, Nevada, New Hampshire, dan Ohio, yang disenaraikan oleh 11 saluran berita, manakala North Carolina,  Wisconsin, dan Michigan,  masing-masingnya disenaraikan oleh  lapan,  tujuh, dan empat saluran berita.  Sementara Arizona, Missouri, New Mexico, Pennsylvania, masing-masingnya disenaraikan oleh dua saluran berita, dan yang terendah ialah Indiana dan Minnesota, masing-masingnya disenaraikan oleh satu saluran berita, sebagai negeri berayun.
Sekiranya negeri berayun adalah 12 buah, 11 buah daripadanya,  menurut POLITICO, akan dimenangi oleh Obama, iaitu Colorado, Florida, Iowa, Michigan, Nevada, New Hampshire, Ohio, Virginia, dan Wisconsin, membolehkan beliau meraih 115 badan perwakilan pemilih, dicampurkan dengan 221 badan perwakilan pemilih yang condong atau berkemungkinan memihak kepada Demokrat, maka jumlahnya  332 – suatu unjuran yang nampaknya terlalu optimis. Sebaliknya, Romney hanya memenangi sebuah negeri berayun, iaitu North Carolina, yang mempunyai 15 badan perwakilan pemilih, dicampurkan dengan 191 yang condong atau berkemungkinan memihak kepada Republikan, maka   memperoleh 206 badan perwakilan pemilih.
Namun, tidak dapat dipastikan setakat mana Barack Obama mampu mengekalkan kedudukannya sehingga hari pilihan raya 6  November. Dari segi kewangan, Mitt Romney lebih kukuh kerana tiga bulan berturut, iaitu sejak Mei, jawatankuasa pengumpulan dana bersama Mitt Romney mengatasi jawatankuasa bersama Barack Obama.  Pada bulan Julai misalnya, kempen Romney berjaya mengumpulkan dana berjumlah AS$101.3 juta berbanding dengan kempen Obama yang hanya  mengumpulkan AS$75 juta.  Dijangkakan bahawa berkemungkinan inilah kali pertama, pencabar berbelanja lebih besar daripada penjawat kini.  
Kalaupun wujud  sedikit kelebihan pada kempen Obama ialah sumbangan yang diterima kebanyakannya datangnya daripada akar umbi berbanding dengan kempen Romney adalah hasil sumbangan penderma besar. Pada bulan Julai, menurut kempen Obama, 201,000 orang merupakan penderma yang tidak pernah menyumbang sebelum ini. 
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, Oktober 2012.)

Friday, October 10, 2014

Ukraine: Pertembungan Peradaban?

JUMAAT, 10 Oktober 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Ukraine terus bergolak.  Persengketaan dalaman dan ancaman Rusia menjadi-jadi.  Selepas kehilangan Semenanjung Crimea  yang mengadakan pungutan suara dengan berkeputusan kembali semula ke pangkuan Rusia, wilayah timur pula   bercadang untuk mengambil langkah yang sama. Kehilangan Semenanjung Crimea sewajarnya menjadi  tamparan terhadap rakyat Ukraine yang tidak tahu menghargai “hidup aman,” iaitu gemar mengadakan tunjuk perasaan atau protes jalanan.  Tatkala Kiev bermuram durja dan terpinga-pinga, Moscow melompat keriangan menerima kepulangan bekas wilayahnya itu sambil bersiap sedia untuk menelan wilayah lain. 
            Seperti yang dicatatkan oleh Manuela Hoelterhoff dalam Bloomberg News, Ukraine,  berlumuran darah. “Novel, drama, puisi, dan filem menyediakan jendela untuk merenung sejarah tidak teratur dan kotor Ukraine tentang anjakan sempadan dan perubahan dipertuan, yang mengeluarkan kesakitan maksimum daripada orang yang tinggal di sana.”
            Memang bukan mudah untuk negara pelbagai bahasa, tulis R.L.G. dalam The Economist tentang konflik bahasa.  “Tidak lama selepas Presiden Viktor Yanukovych digulingkan, kerajaan baru Ukraine melakukan kesilapan sukarela memansuhkan undang-undang tahun 2012 yang memberikan status rasmi untuk bahasa Rusia (bersama-sama bahasa Ukraine) di wilayah yang penutur bahasa Rusia yang lebih banyak.”  
            Dengan menggunakan helah  Tsar Nicholas I,  Presiden Vladimir  Putin memberikan alasan untuk menceroboh  Ukraine:  puak fasis berazam untuk menghapuskan semua susur-galur bahasa dan budaya orang Rusia dari bumi Ukraine. Putin dikatakan mempunyai fantasi Eurasia, walaupun dengan sikap agresif terhadap Ukraine itu orang Rusia dikatakan memerlukan satu abad lagi sebelum bersedia menyertai peradaban Eropah.
            Pada tahun 1850-an,  Crimea pernah terjebak ke dalam kancah persengketaan antara dua kuasa besar di Timur Dekat, iaitu Rusia dengan Empayar Ottoman. Tsar Nicholas I mendakwa  hak untuk melindungi nyawa dan harta benda orang Kristian Ortodoks yang di bumi Ottoman, termasuk mereka yang mengawal laluan ke tanah suci Baitumuqqadis.  Sultan Ottoman, Abdülmecid I, menafikan bahawa orang Kristian Ortodoks yang merupakan lebih satu pertiga rakyatnya,  terancam.  Dakwaan Tsar itu, menurut baginda adalah semata-mata helah untuk campur tangan hal ehwal dalam negara baginda.  Kegagalan diplomasi untuk menyelesaikan pertikaian itu, tercetus Perang Crimea antara Rusia dengan Ottoman yang dibantu oleh Britain, Perancis, dan  Sardinia.
            “Crimea selalunya merupakan sebahagian penting Rusia dalam  hati dan minda rakyat,” isytihar Presiden  Putin ketika menyampaikan  amanat  dalam Dewan St.  George di hadapan beratus-ratus orang anggota Parlimen, gabenor, dan hadirin lain pada pertengahan Mac lalu.  Tema ucapan pahlawan Perang Dingin itu ialah memulihkan Rusia selepas zaman keaiban berikutan keruntuhan Kesatuan Soviet yang beliau selalu sebut, “malapetaka geopolitik yang maha dahsyat pada abad ke-20.”              
            Krisis Ukraine seakan-akan mengheret Barat dan Timur ke dalam kancah Perang Dingin baru, manakala Putin pula dilihat cuba mewujudkan Orde Baru Dunia.  Walau bagaimanapun, Michael Hirsh, cuba melihatnya dalam konteks yang berbeza, dengan membuka “kitab”  Samuel Huntington:  perjuangan global antara budaya, iaitu “pertembungan peradaban,” akan menggantikan perpecahan ideologi antara Barat dengan blok Soviet.  Hirsh yang menulis dalam National Journal, “Ukraine and  the Clash of Civilizations,”  mencatatkan  bahawa tidak ada idea akademik yang lebih banyak dibahaskan dan lebih banyak ditolak, sambil menambah krisis semasa di Ukraine, dan  kebuntuan yang bukan mudah  antara bahagian timur yang lebih pro-Rusia dengan bahagian yang lebih dibaratkan, mengundang perhatian dan lebih menggalakkan pada tesis Huntington, iaitu  antara Eurasia di timur dengan Kesatuan Eropah di barat Ukraine.
            Huntington, tegas Hirsh,  silap kerana pertembungan peradaban tidak berlaku, sebaliknya trend global kelihatan muncul integrasi global, pertumpuan sistem ekonomi (kapitalisme) dan sistem demokrasi (demokrasi) kelihatan bergerak seiringan dengan tesi “Pengakhiran Sejarah” Francis Fukuyama.  Akan tetapi, hujah Hirsh, pertumpuan global akhir-akhir ini kelihatan terbantut berikutan pendudukan  Crimea yang  sepatutnya dilihat sebagai sebahagian usaha  Putin untuk menghidupkan semula budaya dan penguasaan politik Rusia dalam lingkungan bekas Soviet, biarpun akhirnya beliau secara beransur-ansur menjadikan dirinya kuasi-tsar/pemerintah gaya Soviet.  “Kesatuan Ekonomi Eurasia,” termasuk Rusia, Belarus, dan Kazakhstan berasaskan apa yang Putin sebut “nilai terbaik Kesatuan Soviet,” mungkin mempunyai motif politik, tetapi lebih banyak diwajarkan pada alasan budaya.
            Pemimpin Rusia itu dan puak konservatif yang mengelilingi beliau di Kremlin, menurut Hirsh sudah lama berusaha untuk menggalakkan penyusunan semjula kuasa Rusia berasaskan idea bahawa banyak negara ini dengan banyaknya penduduk bertutur dalam bahasa Rusia, termasuk wilayah Ossetia Selatan dan Abkhazia yang berpisah dari Georgia (kini, dikawal oleh Moscow), ialah sebahagian budaya Eurasia yang tersendiri yang berbeza daripada Barat pada banyak tahap, termasuk dari segi rohaniah.  “Rusia  berusaha untuk membawa balik idea perpaduan kaum,”  tulis Hirsh, “pandangan ini berakar umbi dalam kepustakaan  akademik, yang diketengahkan dalam debat tentang konsep, seperti ‘Neo-Eurasianisme’ dan ‘Byzantisme,’ yang tema penyatuan menolak nilai Barat.”
            “Anda tidak boleh mempunyai banyak musuh pada sesuatu masa.”  Nampaknya, pesan ini sedikit sebanyak dipegang oleh Presiden Putin.  Tatkala Putin mengheret negaranya ke dalam kancah persengketaan dengan Barat, sama ada di medan Perang Dingin baru ataupun pertembungan peradaban, hubungan negaranya dengan dunia Islam adalah kritikal.  Pendirian Moscow terhadap perang saudara di Syria yang berlaku  sejak lebih tiga tahun lalu memang jelas: menolak campur tangan asing. Sementara  di peringkat dalaman, dapat dijangkakan bahawa   Moscow  pastinya  tidak sanggup melihat kewujudan satu lagi Chechnya yang bersengketa dengan Rusia sejak pembubaran Kesatuan Soviet.
            Sebagai imbas kembali,  Rusia bersama-sama Perancis dan Jerman bersepakat, sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Eropah tiga buah negara ini bersatu, menentang pencerobohan Amerika Syarikat dan sekutunya terhadap Iraq.  Dan, sebagai imbas kembali,  ketika berlangsungnya sidang kemuncak Pertubuhan Persidangan  Islam (OIC) di Kuala Lumpur pada tahun 2003, Vladimir Putin diundang dan beliau menyampaikan ucapan.  Antara lain, beliau menegaskan sebagai penyertaan komuniti Islam yang besar di Rusia.  Komuniti, yang menurut beliau, tidak lagi mengasingkan diri mereka daripada komuniti Islam antarabangsa, yang bersedia untuk penglibatan produktif dalam kehidupan rohaniah, budaya, dan politik mereka.
            Pengumuman Crimea untuk  mengadakan pungutan suara yang keputusannya dapat dijangkakan, perhatian turut tertumpu pada orang  Tatar.  Puak  ini, iaitu kumpulan Islam dianggap  menyukarkan Rusia mewujudkan kawalan terhadap Crimea berbanding dengan Ossetia Selatan,  Abkhazia, dan Transnistria.  Daripada lebih dua  juta orang penduduk di wilayah itu,  orang Tatar berjumlah kira-kira 12  peratus.  Secara tradisi, mereka pro-Ukraine, dan oleh itu,  mereka berhati-hati terhadap  peluasan  Rusia.  Tambahan pula, pengalaman pahit mereka  yang  pernah diusir  secara besar-besaran dari Crimea oleh Stalin pada tahun 1944 kerana menyokong Nazi.  Apakah mimpi ngeri berulang lagi?
            “Jika masalah orang Tatar Crimea meledak,” tulis Andrew Wilson, “tiup balik terhadap Moscow akan sangat besar.”  Melalui makalahnya yang diterbitkan dalam The Guardian pada awal Mac, Wilson mengingatkan bahawa hubungan Rusia dengan Turki telah pun terancam.  Reputasinya sebagai sahabat Islam di Timur Tengah akan rosak.  Rusia sendiri,  tambah beliau, mempunyai berjuta-juta orang Islam, yang majoritinya  Sunah, termasuk di Caucasus Utara.  “Dari segi sejarah, orang Tatar Crimea mempunyai hubungan rapat dengan orang Circassian, yang diusir dari kawasan Sochi pada tahun 1864.  Dan satu alasan Putin beria-ia menyokong rejim Alawite Assad di Syria melawan puak Sunah ialah ketakutan beliau terhadap kekacauan puan Sunah di negaranya.”
            Apabila Presiden Putin mengisytiharkan pengilhakan Crimea dalam majlis  yang dinyatakan sebelum  ini, diperhatikan pada barisan ketiga, iaitu di belakang perwakilan pro-Kremlin daripada komuniti Crimea Rusia dan anggota Parlimen serta pegawai Rusia lain, duduk dua ulama Islam pangkat tinggi Persekutuan Rusia.  “Meskipun Putin dalam ucapannya tidak menyebut Islam, kehadiran mereka dalam majlis tersebut diserlahkan oleh serban  dan jubah mereka di tengah-tengah hadirin bersut hitam dan bertali leher, menghantar mesej yang memang jelas,” tulis Robert D. Crews dalam Foreign Affairs. “Krisis Crimea bukan sekadar hubungan Rusia dengan Barat, tetapi juga sangat banyak peranan Islam di Rusia.”   
            Golongan elit Islam Rusia, jelas Crews dalam How Moscow is Trying to Integrate Crimean Muslims,”  sejak sekian lama memainkan peranan dalam peluasan negara Rusia.  Pada waktu penting sejarah Rusia dan Soviet, ulama Islam dari wilayah Volga memujuk penduduk Islam di sepanjang sempadan selatan dan timur empayar menjadi rakyat tzar. Peluasan formal lazimnya diikuti oleh gelombang saudagar Tatar yang berkembang maju di wilayah yang baru digabungkan itu dan membantu mengintegrasikan  orang Islam ke dalam rangkaian perdagangan  empayar.  “Pada zaman Soviet, beberapa usaha yang diterajui oleh orang Tatar untuk mewujudkan sintesis antara sosialisme dengan Islam, dan jambatan antara U.S.S.R. dengan dunia Islam.”
            Putin  nampaknya bertindak balas, memetik Michael Hirsh sekali lagi,  terhadap “dasar Amerika Syarikat dan Barat sejak berakhinya Perang Dingin yang hanya cenderung mengusik kebertahanan budaya (cultural defensiveness)  dan nasionalisme Rusia.”  Percaturan beliau  setakat ini membayangkan bahawa   pertembungan Rusia dan Islam pada satu pihak dengan Barat pada satu pihak yang lain. 

            Terima kasih Ukraine kerana membuka medan pertembungan ini!
            (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Budaya, Jun 2014.)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...