Artikel Popular

Tuesday, December 10, 2013

Menghindari Kebekuan, Memacu Pertumbuhan

SELASA,  10  Disember 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Belanjawan 2012 dibentangkan pada 7 Oktober 2011  ketika ekonomi global masih, dan bahkan semakin suram, iaitu pertumbuhan yang lemah dan pengangguran yang tinggi di ekonomi utama dunia, misalnya  Amerika Syarikat 9.1 peratus dan United Kingdom 7.9 peratus.  Jika pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua tahun ini dijadikan ukuran, boleh dikatakan banyak negara terhegeh-hegeh, kecuali China yang masih mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan, iaitu 9.5 peratus dan diikuti oleh Turki dengan 8.8 peratus, manakala Malaysia memadai dengan empat peratus.  
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam  World Economic Outlook (WEO) terbaharunya memberikan amaran  bahawa Amerika Syarikat dan zon euro berhadapan dengan risiko terjebak semula ke dalam kemelesetan, kecuali para penggubal dasar menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh dua kuasa ekonomi terbesar di dunia. Ekonomi global, menurut IMF adalah "dalam bahaya" dan bahawa ramalannya pemulihan perlahan dan  terenjut-enjut dibahayakan lagi oleh kedalaman krisis hutang kedaulatan Eropah atau percubaan terlalu terburu-buru untuk mengekang defisit belanjawan Amerika. 
Dalam ringkasan eksekutifnya, WEO  memaklumkan bahawa aktiviti global  menjadi lemah dan menjadi lebih tidak seimbang, keyakinan jatuh dengan ketara baru-baru ini, risiko kecenderungan menurun  menjadi-jadi.  Unjuran laporan  itu menunjukkan bahawa pertumbuhan global adalah sederhana, iaitu kira-kira empat peratus sepanjang tahun 2012, daripada lima peratus tahun 2010. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar di ekonomi maju diunjurkan berkembang pada kadar anemia, iaitu kira-kira 1.5 peratus pada tahun 2011 dan dua peratus pada 2012. 
Sehari sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak membentangkan Belanjawan 2012, dengan amaran yang menjadi-jadi tentang kemelesetan curam berganda dan krisis zon euro,  Bank of  England melancarkan program quantitative easing bernilai 75 bilion paun. KDNK  Britain yang dalam tempoh dari April hingga Jun tahun ini hanya 0.1 peratus adalah dikatakan berpunca daripada pemotongan perbelanjaan dan kenaikan cukai yang berlaku terlalu jauh dan terlalu cepat menjejaskan keyakinan pengguna, membunuh pemulihan, dan meningkatkan pengangguran.
Pada akhir September lalu, akhbar The Telegraph memetik ahli ekonomi di Goldman Sachs bahawa wujud risiko yang semakin membesar bahawa ekonomi global bergerak dari “Kemelesetan Besar” menjunam ke kancah “Kebekuan Besar.”  Ahli-ahli  ekonomi itu menjelaskan bahawa kebekuan lazimnya bermaksud tempoh yang lama bagi pertumbuhan yang lembap, iaitu kira-kira 0.5 peratus, inflasi yang rendah, pengangguran yang meningkat dan lekit, harga rumah yang beku, dan pulangan rendah daripada saham.  Wujud peluang 40 peratus situasi semasa berkembang ke arah tempoh kebekuan dalam kalangan ekonomi maju.  Mereka berkata, “Trend di Eropah dan Amerika Syarikat setakat ini masih mengikuti laluan pertumbuhan yang lazim untuk kebekuan.  Melihat 150 tahun sejarah makroekonomi, kemungkinan berlakunya kebekuan adalah tinggi selepas krisis kewangan.
Selepas pasaran global kerugian hampir AS$9 trilion, atau kira-kira 15 peratus pada tempoh puncak, April,  dalam tempoh tiga bulan, iaitu Mei hingga Julai, EconoMonitor dalam keluaran Ogos lalu, menjangkakan bahawa ekonomi dunia semakin dibayangi oleh kebekuan global, kecuali untuk Asia yang sedang muncul.  Dengan meneliti data keyakinan pengguna yang lembap pada tahun ini, Gavyn Davies yang menulis dalam blog Financial Times pada awal Oktober lalu membangkitkan persoalan, sama ada kemelesetan global atau kebekuan yang berpanjangan.
Dalam pembentangan Belanjawan 2012, dengan mukadimah yang retorik dan bahasa yang agak berbunga-bunga, Najib menyentuh prestasi dan cabaran ekonomi, iaitu peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) pada enam pertama 2011 sebanyak 75 peratus, kepada RM21.2 bilion berbanding dengan RM12.1 bilion pada tempoh yang sama pada 2010.  Pelaburan swasta dijangkakan berkembang 15.9 peratus pada tahun 2012, disokong oleh peningkatan pelaburan langsung asing dan domestik.  Beliau menegaskan bahawa fundamental ekonomi Malaysia masih utuh. Sistem perbankan dan kewangan terus teguh dengan nisbah modal berwajaran risiko pada 14.8 peratus, jauh melebihi keperluan antarabangsa lapan peratus. Rizab antarabangsa masih kukuh, mencatatkan RM414.5 bilion pada 15 September 2011, cukup untuk membiayai 9.5 bulan import tertangguh, di samping 4.5 kali hutang luaran jangka pendek.  Pendapatan per kapita dianggarkan meningkat kepada RM28,725 pada berbanding dengan RM26,175 pada tahun pada tahun 2010.
Najib begitu yakin bahawa  ekonomi negara berkembang antara lima peratus hingga 5.5 peratus  pada tahun ini. Untuk tahun belanjawan, meskipun beliau mengakui bahawa prospek ekonomi dijangkakan lebih mencabar dan beliau memetik semakan menurun oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tentang pertumbuhan  ekonomi dunia kepada empat peratus dan perdagangan global kepada 5.8 peratus, beliau menjangkakan pertumbuhan ekonomi negara adalah antara lima hingga enam peratus. Pertumbuhan pada tahun 2012 itu dipacu oleh pelaburan swasta dan awam yang masing-masing dijangkakan meningkat 15.9 peratus dan tujuh peratus, disokong oleh FDI yang lebih tinggi, pelaksanaan projek  Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Rolling Plan Kedua (RP2) di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).  Penggunaan swasta dianggarkan meningkat kepada 7.1 peratus berikutan peningkatan pendapatan boleh guna dan prospek pekerjaan yang lebih positif.  Dari sudut penawaran, sektor perkhidmatan dijangkakan berkembang 6.5 peratus, manakala sektor pembinaan tujuh peratus.
 Belanjawan 2012  memperuntukkan RM232.8 bilion untuk melaksanakan semula rancangan pembangunan kerajaan, termasuk projek dan program RP2, NKEA, NKRA, dan SRI, dengan tumpuan terhadap kesejahteraan rakyat.  Daripada jumlah itu, RM181.6 bilion untuk perbelanjaan  mengurus dan RM51.2 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Lazimnya,   pertumbuhan ekonomi dirangsangkan  oleh perbelanjaan pembangunan, tetapi setiap tahun, perbelajaan ini jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan perbelajaan mengurus, bahkan lebih rendah daripada  perbelanjaan mengurus untuk emolumen yang bernilai RM52 bilion. Dalam keadaan ekonomi  masih bergelut dengan krisis, lazimnya isi rumah dan sektor swasta lebih berminat “menyorok wang,”   iaitu isi rumah menggunakan wang mereka dengan berhati-hati, manakala sektor swasta keberatan untuk melabur.  Apabila berhadapan dengan keadaan seperti ini, seperti yang pernah dibahaskan oleh John Maynard Keynes, kerajaan perlu memainkan peranan utama dengan mengeluarkan peruntukan bagi “projek kerja raya” supaya dapat mewujudkan permintaan agregat. 
Untuk perbelanjaan pembangunan, RM29.8 bilion disediakan bagi  sektor ekonomi untuk menyokong keperluan infrastruktur, industri dan pertanian, di samping pembangunan luar bandar. Sementara RM13.6 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan, dan pembangunan komuniti. Kedua-dua sektor ini diharapkan dapat memacu pertumbuhan ekonomi. Namun begitu, kita perlu akur bahawa kekangan yang terpaksa dihadapi dalam projek pembangunan:  kelewatan pelaksanaannya.  Kelewatan pelaksanaan projek bermakna kelewatan perbelanjaan yang pastinya boleh menjejaskan pertumbuhan. 
Seperti yang diketahui,  kecuali China, banyak negara lain, seperti Amerika Syarikat, Jepun, dan beberapa negara Eropah, kecuali Jerman,   adalah terhuhung-hayang di tepi curam yang dalam. Untuk Amerika Syarikat, seperti yang dibayangkan oleh Michael Gerson dalam akhbar The Washington Post lebih sebulan yang lalu, “pemulihan ekonomi Amerika kini berhadapan dengan hanya dua halangan.  Malangnya, halangan itu terlalu besar: politik yang hancur di Amerika Syarikat dan politik yang hancur di Eropah.” Dalam Belanjawan 2012, kerajaan sedar akan persekitaran luaran yang semakin mencabar, dengan itu, usaha dilakukan untuk memperkukuh ekonomi domestik. Bagi terus memantapkan pertumbuhan ekonomi negara, kerajaan akan melaksanakan Pakej Rancangan Khas yang bernilai RM6 bilion dibiayai melalui Private Financing Initiative
Sesungguhnya, kerajaan mengambil langkah bijak dengan memberikan tumpuan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS).  Pada tanggapan umum, sektor korporat memainkan peranan penting dalam ekonomi negara, sedangkan peranan PKS tidak kurang pentingnya.  Hakikatnya,  PKS merupakan tunjang ekonomi sesebuah negara, termasuk di  negara maju.   Seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2012, PKS menyumbangkan kira-kira 31 peratus KDNK, 56 peratus tenaga kerja, dan mencakupi 19 peratus jumlah eksport.   Sebagai usaha meningkatkan lagi sumbangan PKS kepada pertumbuhan ekonomi, Dana Pembiayaan SME patuh syariah berjumlah RM2 bilion diwujudkan pada tahun 2012.  Kerajaan juga menyediakan  SME Revitalisation Fund dengan dana bernilai RM100 juta untuk membantu usahawan yang gagal kerana faktor di luar kawalan mereka.
Salah satu faktor negara maju,   terjebak dalam  pertumbuhan yang lemah ialah mereka begitu pantas melaksanakan jimat cermat, mengurangkan perbelanjaan kerajaan,  dan menaikkan cukai.  Demi mengurangkan defisit, kerajaan mula meninggalkan  negara kebajikan. Dalam Belanjawan 2012, jelas bahawa kerajaan Malaysia tidak mengikuti langkah yang bukan sahaja  tidak popular itu, tetapi juga menempuh kegagalan, dengan meneruskan pelbagai program kebajikan untuk rakyat.  Selain subsidi makanan dan petroleum dan bantuan tunai, pada tahun 2012, kerajaan akan memperuntukkan RM1.2 bilion untuk program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KARISMA, yang antara lain, termasuk menyediakan bantuan untuk warga emas miskin dengan RM300 sebulan; bantuan untuk kanak-kanak miskin RM100 sebulan dengan maksimum RM450 sebulan; di samping bantuan dan elaun untuk orang kurang upaya antara RM150 hingga RM300 sebulan.
Dalam testimoninya di hadapan Jawatankuasa Bersama Ekonomi pada awal Oktober lalu, Pengerusi Rizab Persekutuan, Ben S. Bernanke mendesak Kongres supaya mengelakkan tindakan yang mungkin "menghalang pemulihan ekonomi yang sedang berlaku," manakala secara serentak melaksanakan rancangan untuk mengurangkan defisit masa depan dalam jangka panjang.  Beliau  menambah bahawa "belanjawan Persekutuan jelas pada masa sekarang tidak pada laluan mapan." Bernanke memaklumkan bahawa para pemimpin Rizab Persekutuan terpaksa merendahkan jangkaan mereka untuk pertumbuhan ekonomi  Amerika Syarikat.  Beliau meminta Kongres menangani kedua-duanya, iaitu defisit belanjawan jangka panjang dan kesukaran ekonomi jangka pendek.  Mesej yang ingin disampaikan oleh Bernanke itu ialah pastikan tindakan mengurangkan defisit tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kadar pengangguran.
Dalam Belanjawan 2012 dinyatakan bahawa jumlah hasil kerajaan Persekutuan dijangkakan meningkat sebanyak 1.9 peratus kepada RM186.9 bilion pada tahun 2012 berbanding dengan RM183.4 bilion pada tahun 2011.  Dengan mengambil kira hasil dan perbelanjaan yang dianggarkan, defisit kerajaan Persekutuan pada tahun 2012 dijangkakan 4.7 peratus berbanding dengan 5.4 peratus pada 2011.  Memang wajar kerajaan mengurangkan defisit yang berlaku agak lama,  tetapi langkah mengurangkan defisit secara tergesa-gesa, boleh membawa padah, seperti yang dialami oleh  Amerika Syarikat dan Eropah sekarang. 
Selepas Belanjawan 2012 dibentangkan di Dewan Rakyat, dalam Facebook kelihatan rasa kurang senang bahawa belanjawan ini seolah-olahnya untuk penjawat awam, tetapi mengetepikan pekerja swasta yang juga mengharapkan sesuatu, seperti lanjutan umur persaraan.  Pendek kata, belanjawan ini menggembirakan golongan tertentu, tetapi mengecewakan golongan yang lain. 
Melampaui persoalan tersebut, sesuatu yang lebih serius perlu dilihat, iaitu mampukah Belanjawan 2012 menghindari kebekuan dan memacu pertumbuhan?  Jawapannya terletak pada peruntukan RM232.8 bilion yang merupakan benteng dan pada masa yang sama sebagai perangsang. Juga perlu dinyatakan bahawa “dekad yang hilang” yang dialami oleh Jepun pada tahun 1990-an, kini menghantui sebelah menyebelah Atlantik. 
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, November 2011.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...