Artikel Popular

Wednesday, February 12, 2014

Sesat di Dalam Terowong

RABU, 12 Februari  2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pada awal September 2011,  Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) memotong tinjauan pertumbuhan untuk ekonomi maju dan menggesa negara maju itu  supaya lebih bersedia untuk menghulurkan lebih banyak usaha untuk menyokong ekononmi global.  Dalam taksiran terbaharunya, organsisasi ekonomi yang beribu pejabat di Paris menjangkakan pertumbuhan di ekonomi G-7  (tidak termasuk Jepun) kemungkinan besar adalah kurang daripada satu peratus, pada asas tahunan, dalam separuh kedua tahun ini.  Taksiran ini adalah kurang daripada separuh tahap pengembangan yang ramalkannya pada Mei lalu, iaitu dua peratus.  OECD menjangkakan angka pertumbuhan seterusnya untuk Jepun disuntikkan oleh perbelanjaan pembinaan semula pascatsunami. 
Akan tetapi, tinjauan untuk negara perindustrian maju lain dalam G-7 amat muram.  Ekonomi Jerman diunjurkan berkembang sebanyak 2.6 peratus dalam suku ketiga tahun ini, sebelum menguncup sebanyak 1.4 peratus dalam suku keempat.  Italy dijangkakan menguncup sedikit dalam suku ketiga, sebelum beku untuk suku seterusnya.  OECD menjangkakan pertumbuhan di Amerika Syarikat, Perancis, dan United Kingdom hampir lesap pada suku keempat.  “Pertumbuhan terbukti terlalu lembap daripada yang kami jangkakan tiga bulan lalu, dan risiko mengalami pertumbuhan negative semakin meningkat,” kata ketua ahli ekonominya,   Pier Carlo Padoan.  Organisasi itu juga memberikan amaran pertumbuhan yang kukuh sebelum ini di negara sedang muncul menunjukkan tanda merosot.
Negara perindustrian utama G-7, iaitu Perancis, Jerman, Italy, Jepun, United Kingdom, dan Amerika Syarikat, mengalami kejatuhan kepada 102.0 mata daripada 102.5 mata pada bulan Jun dalam indeks OECD, dengan 100 mata menunjukkan pertumbuhan sifar, manakala pembacaan individual untuk Brazil, India, dan China juga merosot semula. Berbanding dengan taksiran bulan Mei, Kanada, Perancis, Jerman, Italy, United Kingdom, Brazil, China, dan India menunjukkan dengan lebih jelas kelembapan dalam aktiviti ekonomi.
Namun begitu, menteri kewangan dan banker pusat G-7 yang bermesyuarat di Marseille, Perancis beberapa hari  selepas pengumuman tinjauan  OECD itu sekadar mengakui bahawa ekonomi global adalah perlahan. Tiada komitmen untuk mengambil tindakan baru untuk menggalakkan pertumbuhan.  Mereka sekadar komited terhadap respons yang kuat dan terselaras terhadap cabaran tersebut.
Sebelum ini, iaitu pada pertengahan  Ogos lalu, Bank Morgan Stanley memotong ramalan pertumbuhan global untuk tahun ini kepada 3.9 peratus daripada 4.2 peratus.  Meskipun ramalan itu  masih merupakan pertumbuhan yang dijangkakan, dengan Amerika Syarikat dijangkakan berkembang sebanyak 1.8 peratus  dan zon euro dijangkakan berkembang 1.7 peratus.   Bank Morgan Stanley juga mengkritik   para penggubal dasar di Washington dan Eropah kerana tidak bertindak secara lebih tegas untuk mengawal krisis hutang kedaulatan. 
Akibat ramalan  itu, pasaran  kewangan di sebelah menyebelah Atlantik,  terkejang-kejang dilanda gelombang baru penjualan di tengah-tengah ketakutan bahawa ekonomi dunia menjunam semula ke kancah kemelesetan.  FTSE 100 ditutup jatuh 239 mata (4.5 peratus), menyapu lebih 62 bilion paun sterling nilainya, terburuk  sejak kemuncak krisis kewangan tahun 2008,  manakala di Amerika Syarikat,  Purata Perindustrian Dow Jones (Dow) ditutup jatuh 419 mata (3.7 peratus), kepada 10,991 mata.  Keadaan kucar-kacir bangkit di zon euro berhubung dengan pelan penyelamat terbaharu untuk Greece, angka sektgor pembuatan Amerika yang lemah. 
Apabila sebuah demi sebuah negara mengumumkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masing-masing untuk suku kedua tahun ini, terbukti bahawa secara keseluruhannya, agak suram, dengan banyak negara terperangkap dalam pertumbuhan dalam lingkungan satu peratus. Amerika Syarikat berkembang 1.3 peratus,  Jerman 0.1 peratus,  United Kingdom 0.2 peratusSepanyol berkembang 0.2 peratus, sedangkan  Greece menguncup 6.9 peratus.    Sementara Perancis beku, iaitu tiada pertumbuhan jika dibandingkan dengan suku pertama 0.9 peratus.   Hanya China masih dapat mengekalkan rentak pertumbuhannya yang memberangsangkan apabila KDNK suku keduanya mencecah 9.5 peratus berbanding dengan anggaran 9.4 peratus, manakala India berkembang dengan 7.7 peratus.  Bagi ekonomi Asia lain, Indonesia berkembang 6.5 peratus, Vietnam 5.7 peratus, Korea Selatan, ekonomi keempat terbesar di Asia berkembang 0.8 peratus, dan Singapura 0.9 peratus, dan Filipina 0.6 peratus.  Sementara   Jepun menguncup 0.5  peratus bersama-sama Thailand yang menguncup 0.2 peratus.
 Malaysia boleh menarik “nafas lega” apabila KDNK-nya  berkembang sebanyak 4.0 peratus dalam suku kedua tahun ini, meskipun lebih rendah jika dibandingkan   dengan 4.9 peratus suku pertama, kerana sektor  pembuatan lemah  berikutan persekitaran luaran yang lemah.   Sektor pembuatan diasak oleh kelemahan keseluruhan dalam  ekonomi maju dan gangguan rantaian bekalan pembuatan global akibat bencana di Jepun.
Nyata bahawa pemulihan ekonomi  tersekat-sekat.  Sejak tahun lalu, iaitu tatkala  cahaya  berkelip-kelip di hujung terowong,  sesetengah  ahli ekonomi,  sering mengingatkan bahawa pemulihan ekonomi tidak seindah yang dijangkakan, iaitu krisis masih belum pergi jauh.  Meskipun  dunia dapat mengelakkan daripada ulang tayang Kemelesetan Besar, secara keseluruhannya, pertumbuhan masih rendah, sedangkan pengangguran masih tinggi.  Pertumbuhan itu  sebenar  dipacu oleh pakej rangsangan fiskal yang dilaksanakan oleh banyak negara pada tahun 2009. Untuk menyandarkan permintaan, misalnya negara G-20 melaksanakan rangsangan fiskal yang nilainya jika digabungkan iala dua peratus KDNK.
Tatkala zon euro terus bergelut dengan krisis hutang,  Standard & Poor’s (S&P) bertindak secara luar biasa, iaitu menurunkan penarafan kredit kedaulatan jangka panjang Amerika Syarikat daripada AAA kepada AA+ pada hari Jumaat awal Ogos lalu sehingga menyebabkan pasaran saham dunia yang berurus niaga pada Isnin berikutnya dalam keadaan lintang-pukang dari Hong Kong ke Mumbai ke Frankfurt.  Di London, penjualan pada hari itu melenyapkan 46.3 bilion paun sterling nilai FTSE 100, ditutup pada 5068 mata, jatuh sebanyak 178.04 mata (3.39 peratus).  Sementara  indeks Purata Perindustrian Dow Jones (Dow) jatuh lebih tiga peratus dalam jam pertama perdagangan.  Dalam hari terburuk sejak tahun 2008, Dow ditutup dengan kejatuhan sebanyak 635 mata (5.6 peratus), kepada 10,810 mata sebagai reaksi terhadap penurunan gred tersebut.  
Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick memberikan amaran baru-baru ini bahawa pasaran saham memasuki "zon bahaya baru" dalam kritikan pedas terhadap kepimpinan ekonomi  Amerika Syarikat dan Eropah.  Beliau  berkata, ekonomi dunia mengalami pemulihan multikelajuan dengan ekonomi Barat tersekat di laluan perlahan berikutan penurunan gred hutang kerajaan Amerika Syarikat dan krisis yang berlanjutan di zon euro.
Melihat pertumbuhan KDNK yang agak lembap itu, maka dijangkakan beberapa buah negara, kalaupun tidak dunia, akan terperangkap dalam kemelesetan curam berganda.  Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, Michael Spence memberitahu Televisyen Bloomberg pada Ogos lalu, bahawa peluang dunia terjebak semula  dalam kemelesetan ialah 50 peratus.   Spence, profesor di Stern School of Business, New York University, yang berkata  sedemikian juga menegaskan bahawa kemungkinan Amerika Syarikat terbenam semula ke dalam kemelesetan, dan jika berlaku, kemungkinan besar merebak ke seluruh dunia. Beliau “berasa bimbang akan penurunan yang berlakudi Eropah dan Amerika yang mewakili jumlah besar ekonomi perindustrian, pastinya menjejaskan pertumbuhan di China khusunya, dan kemudian dengan serta-merta merebak ke negara lain dalam  ekonom yang sedang muncul.”  KDNK Amerika Syarikat  terjejas dengan teruk akibat lemahnya perbelanjaan pengguna yang merupakan 70 peratus ekonomi negara itu dan kadar pengangguran yang tinggi, iaitu 9.1 peratus.
Pada bulan berikutnya, seorang lagi Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, iaitu Paul Krugman memberitahu stesen televisyen yang sama bahawa meskipun Presiden Barack Obama mengumumkan rancangan pekerjaan, usaha ini mungkin tidak cukup untuk menghalang kemelesetan global. Sebagaimana Michael Spence, beliau juga menjangkakan bahawa peluang berlakunya kemelesetan global adalah “agak tinggi, mungkin 50 peratus.”  Kepercayaan utama beliau adalah bahawa kemungkinan kadar pengangguran setahun dari sekarang adalah lebih tinggi daripada yang dialami pada hari ini.
Tiga tahun selepas  Lehman Brothers tumbang, ekonomi dunia belum pulih daripada krisis kewangan.  Pengangguran yang tinggi yang berterusan  di Amerika Syarikat dan krisis hutang di zon euro yang tidak memperlihatkan tanda untuk reda  adalah antaranya yang menyebabkan “cahaya yang kelihatan di hujung terowong semakin malap.” Pemulihan ekonomi global hilang rentaknya.   Perbincangan dasar di sebelah menyebelah Atlantik dikatakan dikuasai oleh helang fiskal yang salah melihat perbelanjaan awam sebagai masalah dan bukannya sekurang-kurangnya sebahagian penyelesaian.  Akibatnya, bukan sahaja ketidakstabilan kewangan enggan pergi, tetapi juga KDNK menguncup dan kehidupan  rakyat biasa terjejas dengan teruk. Seperti yang dibahaskan oleh Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, Joseph Stiglitz bahawa terutamanya Eropah dan Amerika Syarikat, dan bukannya pasaran yang sedang muncul utama, yang terjebak dalam pertumbuhan yang perlahan dan kadar pengangguran yang tinggi.  Melalui makalah yang diterbitkan dalam majalah Slate beliau menulis:  “Sesungguhnya, Eropah dan Amerika yang berarak, sendirian dan bersama-sama, untuk pengutukan kegagalan yang sangat teruk.”
 Bagi beliau, Eropah melakukan kesilapan dengan memotong perbelanjaan secara besar-besaran dan melaksanakan langkah jimat-cermat yang boleh menghalang pertumbuhan ekonomi di benua itu.  Sementara di Amerika Syarikat pula, puak kanan pelampau mengancam untuk menutup kerajaan.  Akibatnya, Presiden Barack Obama terpaksa akur pada strategi pengurangan hutang tidak seimbang, dengan tiada kenaikan cuai, dan bahkan tidak untuk jutawan yang mencipta kejayaan ketika dua dekad lalu, dan bahkan tidak  dengan menghapuskan cukai hadiah percuma kepada syarikat minyak, yang melemahkan kecekapan ekonomi dan menyumbang kepada kemerosotan alam sekitar.
“Satu pemacu yang paling penting untuk pertumbuhan defisit,” tulis Stiglitz, “ialah hasil cukai yang lemah, kerana prestasi ekonomi yang lemah; satu remedi terbaik yang membawa Amerika balik bekerja.  Urus janji hutang baru-baru ini bergerak dalam arah yang salah.”  Tambah beliau, “Wujud kebimbangan tentang jangkitan kewangan di antara Eropah dengan Amerika.  Lagipun, salah pengurusan kewangan Amerika memainkan peranan penting dalam mencetuskan masalah Eropah, dan kacau-bilau kewangan di Eropah tidak baik untuk Amerika Syarikat, terutamanya dalam keadaan kerapuhan sistem perbankan Amerika Syarikat dan peranan yang berterusan dalam pertukaran kemungkiran kredit yang tidak telus.”
Akan tetapi, Stiglitz mengingatkan bahawa masalah sebenar berpunca daripada satu lagi bentuk jangkitan, iaitu idea yang buruk yang bergerak dengan mudah merentas sempadan, dan pendapat ekonomi yang tidak bijak di sebelah menyebelah Atlantik yang saling memperkukuh setiap satu.  Hal yang sama akan menjadi benar tentang kebekuan yang dasar tersebut cetuskan.
Adakah dunia ditakdirkan terpaksa bergelut dengan satu lagi kemelesetan?  Tanya Jeremy Warner dalam The Telegraph pada awal September lalu setelah melihat Barat seperti tidak dapat mengelakkan daripada terbenam ke dalam jurang ekonomi yang dalam yang semakin dirumitkan oleh kelumpuhan politik di Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.  Eropah dalam tidak keruan, pasaran saham menjunam, krisis perbankan kembali semula secara besar-besaran, emas mencecah harga yang tinggi, dan kedua-duanya, iaitu United Kingdom dan Amerika Syarikat jelas bahawa terheret semula ke arah kemelesetan.  Sebagaimana penulis penulis atau ahli ekonomi yang lain, Warner juga menyalahkan para penggubal dasar di Eropah dan Amerika Syarikat yang beliau anggap lumpuh dengan semakin meningkatnya Euroscepticism dalam kalangan pengundi pada satu pihak,  dan penentangan sengit daripada Republikan terhadap perbelanjaan defisit seterusnya pada satu pihak yang lain. “Sedikit atau tiada consensus tentang apa yang perlu dilakukan,” tulis beliau.  “Di Eropah, kerajaan berjuta-juta batu jauh daripada, sama ada dua remedy yang berkemungkinan menyelesaikan krisis, iaitu memecahkan euro atau mewujudkan kesatuan politik dan fiskal.”
Yang benar-benar membimbangkan sekiranya kemelesetan berlaku semula adalah bahawa dunia tidak mempunyai opsyen lagi. Banyak sumber kewangan digunakan untuk pelan penyelamat bank-bank dan beberapa buah negara, dan  untuk pakej rangsangan fiskal.  Selain itu, di sesetengah negara, kadar faedah diturunkan hampir sifar.  Jerman baru-baru ini putus harapan terhadap Greece yang masih bergelut dengan krisis hutang, dan dengan itu, lebih baik Greece meninggalkan zon euro.  Meskipun pelan penyelamat bernilai 110 bilion euro telah dihulurkan pada tahun lalu, jumlah ini masih tidak mencukupi, dan kemungkinan besar Greece mungkir.  
Tatkala Eropah dan Amerika Syarikat lumpuh, harapan diletakkan pada ekonomi sedang muncul yang diterajui oleh China agar kemelesetan curam berganda dapat dielakkan.  Namun, China, meskipun masih mencatatkan pertumbuhan yang tinggi, kreditnya telah diasak kepada 200 peratus KDNK. 
(Nota:  Makalah asal  yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, November 2011.)


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...