Artikel Popular

Tuesday, February 21, 2012

Tragedi Greece Kelemahan Zon Euro

SELASA,  21  Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Dua hari sebelum para Menteri Kewangan Zon Euro bermesyuarat di Brussel  bagi memutuskan pelan penyelamat kedua untuk Greece, The Economist membayangkan sesuatu yang lebih serius, lebih teruk berlaku di zon euro, meskipun apa-apa sahaja yang  terjadi terhadap Greece.  Kelemahan zon euro tidak ditangani, Greece selalu terlepas tarikh sasarannya.   Menteri Kewangan zon euro sepatutnya bermesyuarat pada 15 Februari, tetapi ditangguhkan.  Kepercayaan dalam troika penyelamatnya, iaitu kerajaan zon euro, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dan Bank Pusat Eropah (ECB) yang berpegang pada perjanjian baru adalah rendah.  

Para pelabur yakin bahawa urus janji akan dicapai, walaupun mesyuarat ditangguh ke 20 Februari, tekanan terhadap Greece, bahkan semakin runcing.  Ekonomi negara itu merosot sebanyak tujuh peratus pada tahun hingga suku keempat tahun 2011.  Kejatuhan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tiga bulan terakhir 2011 adalah kira-kira lima peratus, berbanding dengan kejatuhan purata 0.3 peratus di seluruh zon euro. Dalam kalangan negara zon euro yang teruk, Greece yang paling teruk mengalami kejatuhan KDNK.  Ketidakpastian merupakan masalah ekonomi yang paling besar.  Perniagaan tidak akan melabur sehingga masa depan Greece dalam euro selamat; para pembekal juga tidak akan memperluas kredit firma Greece, memburukkan lagi kekurangan kecairan drastik. Selain itu, Greece mempunyai AS$18.8 bilion bon yang cukup tempoh 20 Mac ini. 




Jelas majalah itu lagi, kelemahan euro sebagai zon mata wang jarang-jarang ditangani.  Ketiadaan dasar fiskal yang terselaras, dan kehilangan daya saing (dan masalah perbankan) di negara pinggir, membantu menjelaskan mengapa zon itu tercampak ke dalam kemelesetan. Kini, ekonomi zon euro secara keseluruhan dalam kemerosotan, selepas KDNK jatuh dalam suku keempat 2011

Untuk pelan penyelamat kedua ini,  Greece memerlukan 130 bilion euro (AS$172  bilion).  Mampukah jumlah ini menyelamatkan Greece?  Ahli ekonomi Jerman meraguinya kerana wang berkenaan akan hanya membantu bank-bank antarabangsa, dan bukannya  Greece.  Greece hanya menyelesaikan krisisnya jika negara itu meninggalkan euro. Luxembourg merupakan negara terbaharu negara "teras" yang kaya di zon euro mencadangkan jika Greece  meninggalkan mata wang tunggal itu, pastinya tidak berakhirnya dunia.  


Namun, dipercayai bahawa antara mungkir dengan meninggalkan zon euro, mungkir merupakan alternatif yang lebih baik secara relatifnya, meskipun Jerman merangka pelan untuk Greece meninggalkan euro.  Bahkan, seperti yang dibahaskan oleh Mark S. Sheetz dalam Foreign Policy, bukan sesuatu tragedi jika Greece mungkir, meskipun para pemimpin Eropah bertungkus-lumus berusaha mencegah kemungkiran.


Penangguhan mesyuarat pertama itu mencetuskan ketakutan bahawa berlaku kemungkiran pertama hutang kedaulatan zon euro.  Beberapa hari lalu, Menteri Kewangan Greece, Evangelos Venizelos menuduh para pemimpin Jerman "bermain api" dengan cuba menyingkirkan negara yang terkepung itu dari zon euro di tengah-tengah ketakutan bahawa mereka mahu melengah-lengahkan kelulusan pelan penyelamat 130 bilion euro sehingga selepas pilihan raya Greece pada April ini.  Beliau menuduh zon euro dengan sengaja mengubah terma pelan penyelamat 130 bilion euro kerana pemain utama mahu menyingkirkan negaranya keluar daripada mata wang tunggal.  


Memang berlaku tuduh menuduh antara Jerman dengan Greece berhubung dengan krisis hutang, seperti yang dilaporkan dalam Los Angeles Times.  "Berlin melihat Athens tidak bersemangat untuk menamatkan tawar-menawarnya bagi  pelan penyelamat; Greece menanggapi kempen hukuman oleh Jerman tehadap ekonominya yang telah pun terhuyung-hayang. 


Namun, Jerman tidak keseorangan, bersama-samanya ialah Austria, Belanda, dan Finland, tulis Larry Elliott yang dapat merumuskan bahawa Greece adalah usaha yang tidak berhasil, dan ahli politik di Athens tidak mengatakan apa-apa tentang komitmen untuk mengutip cukai, memotong perbelanjaan, dan memperbaharui ekonomi yang dapat dipercayai.  Semua negara berkenaan mungkin memutuskan untuk menyingkirkan Greece daripada mata wang tunggal, meskipun semua kenyataan rasmi adalah sebaliknya. 


Melihat dolak-dalik dan kerenah dalam kalangan negara zon euro,  Peter Osborne yang menulis dalam The Telegraph mengingatkan bahawa  kekejaman yang tidak mempunyai perasaan Kesatuan Eropah adalah memusnahkan Greece, negara yang pernah dibanggakan. Beliau mencadangkan "Britain memainkan peranaan untuk menamatkan tragedi Greece ini."  Malahan, dikatakan bahawa sesuatu yang memalukan Eropah kerana mengkhianati negara yang bergelut dengan krisis hutang itu. Juga dikatakan bahawa Eropah lebih banyak menanggung kerugian jika Greece dipaksa keluar dari zon euro.

Krisis hutang Greece berlaku kerana perbelanjaan dan penggunaannya yang sangat besar, bersama-sama dengan kenaikan upah dan faedah kerajaan, dalam tahun-tahun selepas negara itu menerima pakai euro. Selepas menjarah perbendaharaan mereka secara sistematik, tulis Michael Lewis dalam Vanity Fair, pastinya orang Greece tidak boleh lagi mempercayai rakan Greece mereka. 


Walaupun Greece terus diaibkan dan ahli politik di Athens ditanggapi tidak boleh dipercayai, "tindakan rakyat negara itu melancarkan protes dihargai," tulis John Holloway dalam The Guardian:   menentang sistem yang gagal, menentang langkah jimat-cermat yang dicetuskan oleh semua golongan yang menanggung akibat demi manfaat bank dan golongan kaya. Walau bagaiamanapun, diperhatikan  bahawa dengan tercetusnya rusuhan di  tempat kelahiran demokrasi,  maka  menggambarkan kebencian.  Jika demokrasi ialah Greece, demikian juga keganasan. 


Menteri Kewangan zon euro yang mula bermesyuarat di Brussels pada Isnin semalam, masih belum membuat keputusan tentang pelan penyelamat kedua itu.  Dilaporkan bahawa laporan kemapanan hutang troika yang disusun oleh IMF, ECB dan Suruhanjaya meramalkan bahawa wang tunai diperlukan sebagai tambahan untuk membawa hutang Greece turun kepada 129 peratus KDNK pada tahun 2020. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...