Artikel Popular

Wednesday, February 22, 2012

Mitt Romney: Kapitalis Kroni Obama dan Retorik Anti-China

KHAMIS, 23 Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Mitt Romney, salah seorang calon Presiden daripada Republikan untuk Pilihan Raya Presiden 2012,  pada suatu ketika mendahului pesaing-pesaingnya, sejak akhir-akhir ini mula terjejas, dan didapati kurang menyengat.  Untuk pemilihan awal di Michigan, beliau diperhatikan  disaingi sengit oleh Rick Santorum, dan bahkan  bergelut dengan kekalahan.   


Berbanding dengan calon-calon Republikan dan Presiden Barack Obama sendiri - dengan George Soros - penyumbang setia Demokrat  yang tidak muncul-muncul,  Romney merupakan kesayangan Wall Street dan mendapat sokongan Donald Trump. Beliau boleh dikatakan mewakili golongan satu peratus, maka tidak memeranjatkan apabila beliau secara  terbuka menyatakan bahawa beliau  tidak mempedulikan golongan miskin. 


Pada awal bulan ini, Mitt Romney menulis mengkritik kapitalisme kroni yang diamalkan oleh Presiden Barack Obama dalam pelan penyelamat  di Detroit.   Beliau menuduh Obama melakukan  kapitalisme kroni secara besar-besaran, yang meskipun menyelamatkan industri auto tiga tahun lalu, sebenarnya demi kepentingan kesatuan sekerja yang merupakan penyokong Obama dan Demokrat. Romney percaya bahawa tanpa campur tangan, keadaan menjadi lebih baik melalui apa yang cadangkan kemuflisan terurus. 


Kemuflisan terurus, tulis Romney, "kedengaran seperti menandakan berakhirnya riwayat.  Akan tetapi, hakikatnya, merupakan cara untuk syarikat yang bermasalah untuk menyusun semula dirinya secara pantas, memasuki dan meninggalkan kamar mahkamah ada kalanya berminggu-minggu atau berbulan-bulan, dan bukannya bertahun-tahun, dan kemudian kembali kepada operasi yang menguntungkan." 


Presiden Obama dalam melaksanakan pelan penyelamat untuk General Motors (GM) dan Chryster, seperti yang pernah diberitahu oleh ahli strateginya, David Axelrod dalam Time lebih setahun lalu,  beliau tidak mahu industri auto Amerika lenyap ketika beliau menjadi Presiden.  Hasil pelan penyelamat, industri auto dapat diselamatkan, manakala GM menghasilkan keuntungan. Namun, Romney menyerang tindakan Obama itu: Pada musim bunga 2009, meskipun pasaran bebas melakukan apa yang terbaik, kita ghairah terhadap kapitalisme kroni, gaya Obama.


Kritikan Romney terhadap pelan penyelamat auto industri, mengundang padah, mendedahkan  kepura-puraan ideologi  kerana beliau menyokong Wall Street diselamatkan.  Charles Lane yang menulis dalam The Washington Post mengingatkan bahawa pelan penyelamat untuk pembuat kereta kos dan faedah untuk Romeny, Santorum, dan Obama.


Setelah mengkritik kapitalisme kroni Barack Obama, seterusnya Mitt Romney menulis dalam The Wall Street Journal bagaimana Amerika Syarikat perlu menangani kebangkitan China.  Bermulanya abad China, tulis beliau, dan berakhirnya abad Amerika, bukannya sesuatu yang tidak dapat dielakkan.  "Amerika mempunyai kekuatan yang wujud yang menjamin kita kelebihan bersaing mengatasi China dan seluruh dunia.  Walau bagaimanapun, kita mesti memulihkan kekuatan ini."


Jelas Romney, "menopang kedudukan fiskal dan ekonomi kita, membina semula ketenteraan kita, dan memperbaharui kepercayaan terhadap nilai kita.  Kita mesti menggunakan kekuatan ini dalam dasar kita ke arah China untuk menjadikan laluannya ke hegemoni serantau lebih tinggi kosnya berbanding dengan laluan alternatif menjadi rakan kongsi yang bertanggungjawab dalam sistem antarabangsa.''


Seterusnya, beliau mendakwa Barack Obama sebenarnya bergerak ke arah yang silap.  Pencapaian yang bersinar-sinar pertemuan di Washington minggu ini dengan Xi Jinping, Naib Presiden China dan berkemungkinan pemimpin masa depan adalah gemilang dan upacara yang kosong.


Selain mengkritik Obama dalam hubungan dengan China, dan kerana dasar dan  kegagalan kepimpinannya, ketenteraan Amerika menanggung pemotongan perbelanjaan bernilai AS$1 trilion sepanjang dekad datang, Romney juga menyerang China.  "Kita mesti mengubah laluan.  Dalam bidang ekonomi, kita mesti berhadapan secara langsung amalan China yang disalahgunakan dalam bidang perdagangan, harta intelek, dan penilaian mata wang.  Meskipun saya bersedia untuk bekerja dengan para pemimpin demi memastikan negara kita kedua-duanya berfaedah daripada perdagangan, saya tidak akan meneruskan hubungan ekonomi yang menghargai penipuan China dan menghukum syarikat dan pekerja Amerika. 


Berhubung dengan kelebihan bersaing Amerika yang dibanggakan oleh Mitt Romney, tidak dapat dipastikan sejauh mana ketepatannya.  Hal ini demikian kerana, seperti yang dibahaskan oleh Robert J. Samuelson dalam The Washington Post, dapat disimpulkan bahawa "daya saing Amerika merosot, sedangkan China terus mara."  China, tegas Eugene Robinson, "tanpa mengira buruk baiknya, ialah negara serius. Amerika Syarikat lebih baik bertindak seperti China."


Sebenarnya, retorik anti-China Romney mempunyai risikonya.  Beliau mempunyai latar belakang perbankan pelaburan dan mesej pasaran bebas yang kelihatan beliau calon pilihan komuniti perniagaan Amerika, kecuali apabila beliau bercakap tentang China. Seperti yang dibahaskan oleh Alex Roarty  dalam The Atlantic, calon harapan Republikan kelihatan seperti anggota kesatuan sekerja yang berpiket berbanding dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif apabila beliau menggariskan agenda Rumah Putihnya untuk China, mendesak tarif dan mengheboh-hebohkan ancaman perang perdagangan.  Beliau memperluas percakapan yang kerasnya melalui makalahnya dalam The Wall Street Journal, memperlihatkan contoh retorik fahaman perlindungan, yang beliau mengatur kedudukan terlalu banyak untuk kempen Presiden beliau.


Jon Huntsman, bekas calon Presiden Amerika Syarikat, juga daripada Republikan, dan pernah berkhidmat sebagai duta besar Amerika Syarikat ke China,  turut mengkritik dasar China Romney itu. Memang bukan sesuatu yang luar biasa untuk calon mengatakan sesuatu tentang China.  "Memang mudah bercakap tentang China dari segi faktor takut berbanding dengan faktor peluang."


Mungkin retorik Romney tidak kena masanya kerana diluahkan ketika Amerika Syarikat meraikan sempena 40 tahun  hubungan dengan China



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...